Sunday, September 13, 2015

IMPAK ISU ANTARABANGSA DAN GERAKAN ISLAM



MISI GERAKAN

Gerakan Islam bertunjangkan ilmu (knowledge-based),  bersikap terbuka serta wasatiyah – pertengahan (moderate) berasaskan realiti masyarakat setempat di samping memegang teguh prinsip-prinsip Islam serta kesepaduan ilmu, iman dan amal dalam rangka pembangunan manusia. Gerakan yang menangani isu-isu politik, namun non-partisan; bebas dan tidak memihak.

Gerakan Islam komprehensif merealisasikan cita-cita Islamiyyah membina dan memimpin tamadun khayra ummah – umat terbaik.

Tugas hakiki adalah menyeru dan mengajak manusia supaya seutuhnya dan setulusnya menyembah dan mengabdikan diri hanya kepada Allah swt yang Maha Esa – ta’bidunnas li rabbihim. Gerakan ingin membawa misi tanwir wa tahrir – pencerahan, pencerdasan dan liberatif umat demi mardatillah.

Garis besar haluan perjuangan bermula daripada pembinaan diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Cita-cita gerakan Islam adalah  Nadwah IslamiyyahIslamic Resurgence/ Renaissance – Kebangunan Islam.


ISU ANTARABANGSA

Isu-isu yang menyentuh dan mempengaruhi gerakan Islam terlalu luas skop dan rencam ragamnya. Berikut beberapa isu yang boleh diolah dan dibahaskan:-

Keseimbangan Kuasa

Idealisme perjuangan dan hasrat umat menuntut perubahan serta Nadwah Islamiyyah namun realiti keseimbangan kuasa semasa tidak memihak kepada umat. Hakikatnya, kuasa-kuasa besar dan senario antarabangsa tidak menyokong perubahan. Pemerintah negara-negara Islam sendiri enggan berubah. Suasana dalam negara-negara Islam, massa dan kaum minoriti  menghalang nadwah dan perubahan. Tetapi keadaan ini tidak semestinya begini selama-lamanya.

Penguasaan dan dominasi Barat ke atas pemikiran Islam adalah ketara. Budaya, kesenian dan bahasa Barat sangat mempengaruhi. Tasawur – pandangan sarwar hidup juga mengatasi pandangan lain. Ekonomi dan kewangan dunia diboloti dan dikawal di sana. Mereka mencapai tahap kesejahteraan hidup yang tinggi dan menjadi contoh kelestarian serta kualiti hidup masyarakat. Idea dan pemikiran bebas berkembang, sistem pendidikan berjaya, kadar jenayah rendah dan terkawal secara relatifnya, kadar kemiskinan rendah dan banyak negara terutama di Eropah mengamalkan negara berkebajikan. Mereka juga menguasai media di segenap peringkat pada setiap masa. Penemuan-penenemuan dan teknologi terbaru diterokai oleh mereka.

Barat merupakan tumpuan terkini pelarian-pelarian Muslim seluruh dunia bagi mencari  peluang kehidupan baru serta keselamatan demi menebus diri dan keluarga daripada kezaliman, penindasan, peperangan, kelaparan serta musibah angkara perbuatan negara mereka sendiri. Misi kemanusiaan, dana sumbangan dan pemberian bantuan pembangunan dikuasai Barat.

Barat menjulung tinggi konsep sekularisme, liberalisme dan pluralisme. Mereka memajukan realiti-realiti baru walaupun berlaku kebejatan dan kerosakan sosial akibat krisis nilai dan keruntuhan nilai asasi kemanusiaan. Kefahaman hak asasi yang disepakati secara global sebelum ini telah dirombak dan dirungkai semula oleh pergerakan orde baru yang licik sehingga melanggar segala batasan agama termasuk tentang identiti manusia, gender dan keluarga. Kefahaman songsang ini sedang dipaksa ke atas umat Islam melalui platform-platform dan ruang-ruang antarabangsa.

Barat memang mencurigai dan bersikap ambivalen terhadap kedudukan agama di dalam ruang awam dan amat cemas melihat peranan agama di dalam politik dan kenegaraan. Pemikiran serong terhadap pengaruh agama kepada politik adalah wacana yang dominan.

Secara komparatif, nilai, standard, amalan keadilan sosial dan integriti negara mereka tinggi. Wujud amalan demokrasi yang segar, institusi-institusi berwibawa, kerajaan telus dan bercambah masyarakat sivil - al mujtama’al madaniy (civil society) yang berfungsi menjamin kelangsungan hasrat suara hati rakyat. Barat juga secara relatifnya berjaya menangani fenomena kemajmukan etnik dan kepelbagaian ragam manusia – ethnicity and diversity.

Negara dan bandar termiskin, paling kotor, kurang sejahtera dan indeks rasuah tertinggi adalah di kalangan negara Islam manakala negara-negara contoh mithali berada di Barat.

Tentang keganasan pula, memang ada di kalangan negara Barat terutama Amerika Syarikat merupakan world’s greatest killing machine.  Namun perbedaannya adalah the West practices violence with prudence and thinking – Barat mengganas dengan berhemah dan dengan berfikir.

Zionisme – Projek Israel

Zionisme adalah kesinambungan kepada penjajahan. Pertarungan hari ini adalah bertembung dengan Zionisme. Zionisme berjaya memobilisasi Barat bagi menentang umat Islam. Zionisme kekal relevan sebagai gagasan besar walaupun Israel telah pun dirampas dan berdiri teguh kerana mereka terus menerus  merekayasa musuh baru iaitu Islam. Dengan ini dana dan dokongan kuat tetap mengalir kepada mereka. Zionisme kini telah tertanam ke dalam sanubari Barat mempengaruhinya supaya sepakat melihat dan menanggapi musuh yang sama. 

Apa yang perlu dilakukan adalah menangani cabaran ini dengan memperkukuh daya juang dan daya tahan serta menggemblengkan semua pihak. Perlu ada dialog dan keterlibatan – engagement dalaman bersama semua pihak samada trend Islamis atau selainnya. Perlu ada dialog dan keterlibatan dengan orang Kristian. Perlu ada dialog dan keterlibatan dengan Barat. Di Barat wujud kuasa intelektual dan aktivisme yang memahami dan menghargai keadilan dan hak asasi manusia. Perubahan ini dapat dilihat kepada kerisauan Israel dan sekutunya terhadap umpamanya pergerakan BDS – Boikot, Tukar dan Sekat barangan/ tokoh Israel serta kebangkitan suara akademik mengkritik Israel. Apa yang diperjuangkan oleh gerakan Islam akan memanfaatkan Barat dan bakal mengelak dunia daripada kancah perseteruan dan kebinasaan. Perjuangan kita adalah supaya menolak dan menghalang ancaman Zionis yang mahu merosakkan prinsip-prinsip kemanusiaan dan asas ketamadunan yang beradab.

Adakah berlaku perdampingan - engagement kita dengan Barat tentang isu ini dan isu besar kesejahteraan dunia ? Mampukan kita bertindak sedemikian dengan melihat semakin hari semakin kuat Zionis, semakin lebar pengaruhnya dan pesat pembesaran projek Israel beserta kezalimannya berwenang-wenang berlaku tanpa dicabar?

Ekstremisme and Terorisme

Konsepsualisasi menolak keluar, menghukum dan takfir (mengisytihar seseorang murtad) amat cenderung bagi semua trend. Takfir petunjuk bagi kecenderungan apabila suatu pihak bertegas bahawa hanya mereka sahaja mewakili kebenaran dan kesahihan (al-Haq). Kondisi manusia begini sungguh kompleks dan menolak logik untuk berlaku perbahasan sihat di kalangan pelbagai trend pemikiran Islam. Islamis sering dituduh sebagai tidak berupaya berbahas secara segar dan terbuka, enggan bersemuka secara sihat dan terhormat, tidak dapat mengolahkan perbedaan pendapat secara positif dan mudah melabel lawan serta menghukum sewenang-wenangnya.

Ada yang terdidik di madrasah-madrasah dogmatik – pengalaman madrasah yang khusus dan tersendiri itu bererti pematuhan ketat dan berpandangan tegar. Mereka berada di dalam keadaan terlalu eksklusif dan selalu terbiasa melihat kepada musuh  dan kurang memperkemaskan tatakelola dan keadilan, tidak terbuka serta tidak biasa berdamping atau berinteraksi dengan orang lain. Mereka terpisah daripada menghayati bahawa Nahdah Islamiyyah mengandungi intelektualisme yang gigih dan rancak, merangsang komitmen yang merujuk prinsip-prinsip asas  Qur’an and Sunnah dan bukan sesuatu yang asing.

ISIS menjelma daripada kebobrokan sistem ini, keruntuhan budaya ilmu, ketandusan pemimpin berwibawa dan kezaliman pemerintahan. ISIS adalah hasil evolusi trend-trend pemuda takfiri apabila kecewa dan terpengaruh akibat kezaliman melampau dan sekian lama ke atas umat Islam. Ada juga yang mendakwa ISI adalah juga projek Zionisme dan badan-badan perisik antarabangsa bagi menebalkan faham Islamophobia dan memporak peranda negara-negara Islam rantau itu.

Islamophobia

“Permusuhan terhadap Islam dalam sejarah menunjukkan ia seiring dengan anti Semitism – permusuhan yang disuburkan di dalam sungai yang sama, kata intelektual tersohor Edward Said. Islamophobia adalah bahaya yang tersembunyi. Ia adalah  rasisme yang amat mudarat -   racism with steroids - rasisme diransang hormon. Islamophobia adalah percubaan untuk mengasingkan dan mengnyahkan  orang Islam daripada ruang awam, kehidupan khalayak,  daripada ekonomi, daripada politik.  Tasawur Islam, penyertaan dan konsep ditolak secara bulat-bulat.” (Anwar Ibrahim)

Islamophobia bukan sahaja mengancam umat Islam terutama penduduk minoriti Muslim di Barat malah mengkaburkan mesej suci tawhid dan risalah rahmat kepada dunia.

Despotisme

Pemerintahan mutlak autokrat berkuku besi atau belitan oligarki despot merupakan kelaziman dunia Islam. Ia merupakan penggunaan kuasa absolut secara zalim dan kejam menguasai secara turun temurun sistem politik serba fasad dan korup. Regim despot pula dikelilingi tokoh-tokoh, teknokrat, usahawan, penjawat awam, cendekiawan, alim ulama, pakar, juruekonomi, sasterawan, karyawan dan panglima pengampu serta mediocre – “mutu biasa-biasa sahaja”.

Di antara tanda keruntuhan bangsa dan tamadun Arab adalah apabila mereka menghina diri mereka sendiri dengan merelakan kelanjutan sistem tirani ini – the Arabs hold themselves in self contempt. Contoh sifat penghinaan diri ini adalah apabila rakyat massa Mesir berpihak atau merelakan rampasan kuasa oleh tentera mengembalikan sistem politik kepada regim despot lama walaupun sebelum  itu rakyat telah  berjuang dan bertarung nyawa dalam Thawrah Sha’ab – Revolusi Rakyat.
“Di dalam negara-negara begini, setiap hari yang berlalu tanpa perubahan, akan menyaksikan derita semalaman lagi tahanan politik merengkok di penjara keseorangan; seorang lagi nyawa terkorban kerana lapar dan wabak akibat terabai dan deprivasi; satu lagi kesempatan orang korup merompak berjuta dari perbendaharaan negara.” (Anwar Ibrahim)

Kesan despotisme adalah kemunculan penghijrahan pelarian terbesar di dalam sejarah moden. Sikap dan sosok sebenar pimpinan negara-negara Islam serta pertubuhan-pertubuhannya terdedah sebagai tidak peduli, lalai dan tidak bermaya.

Cabaran Intelektualisme

Intelek umat yang sepatutnya meraih potensi dan mencipta kondisi peradaban dan nadwah yang dicita-citakan ternyata amat terhad. Oleh itu, dinamika sejarah moden Islam agak penuh dengan ledakan. Banyak tenaga digerakkan tetapi akhirnya tewas dan lenyap, suatu fenomena akibat daripada ketidakupayaan menghalakan tenaga ini ke arah kebangunan umat yang berkesan.

Intelek umat telah mengabaikan tanggungjawabnya apabila tunduk kepada kuasa. Cendekiawan umat gagal apabila tidak bercakap benar berhadapan dengan kuasa. Fenomena yang disebutkan lama dahulu oleh al Shaheed Abd Qadir Awdah (rahimahullah) sebagai keadaan “ilmuwan lesu dan umat daif”.

Perpecahan Umat

Ketempangan terbesar umat adalah kita merupakan umat yang tercorot apabila menangani perbedaan. Perbedaan kita sebenarnya kerdil apabila dibandingkan dengan persamaan yang ada sesama kita. Ini mungkin akibat saki baki pemikiran Badawi yang diwarisi yang diberikan nama al-Fiqh al-Badawi oleh Sheikh Muhammad Ghazali. Barat menewaskan kita melalui keupayaannya menangani perbedaan padahal perbedaan sesama mereka lebih besar berbanding dengan kita.

Hakikatnya adalah masyarakat kita bukan satu. Masyarakat kita majmuk dan pelbagai. Begitulah dengan kefahaman nass dan realiti yang melahirkan kepelbagaian trend dan pergerakan.



BAGAIMANA GERAKAN ISLAM MENYIKAPI DAN MENANGANI ISU-ISU INI?

Isu yang dibangkitkan terlalu besar dan rumit untuk dirumuskan dengan mudah dan tuntas. Apa yang dibentangkan berikut ini hanyalah lakaran gagasan dan  idea umum yang perlu disemak semula dan dibahaskan dengan lebih ilmiah dan teliti oleh para ilmuwan yang lebih layak.

Menghidupkan semula Ruh Islam

Pada zaman mereka, Abul Hasan Ali An Nadwi dan Sayyid Qutb (rahimahullah) berulangkali menegaskan tentang ruh Islam – the spirit of Islam - perlu subur dan mekar di dalam sanubari umat dan pada mereka yang diamanahkan untuk memimpinnya. Ruh Islam ini telah meninggalkan kesan pada realiti sejarah, kepada sahsiah-sahsiah dan sentiasa mentransformasi serta memperbaharui sepanjang zaman.

Ruh inilah yang menetapkan standard amat tinggi bagi penganutnya berjihad bagi mencapai tujuannya. Ia tidak terhad kepada ibadah khusus dan am. Standard ini memang sukar dicapai dan payah dikekalkan. Ini disebabkan kecenderungan kehidupan manusia dan tirani penindasan hidup. Standard ini melibatkan tanggungjawab berat, tugas ke atas nyawa dan harta, keimanan dan sahsiah. Paling berat adalah ketaqwaan yang menjadikan seorang Muslim senantiasa berwaspada pada dirinya dan memberikan kesedaran akhlak yang tinggi.

Ruh inilah yang boleh digarap apabila memahami tujuan-tujuan shari’ah – maqasid shari’ah bagi mencari maksud dan menghayati pengertiannya. Ruh ini jugalah terpampang pada keadilan sosial dalam Islam. Ruh inilah yang subur segar bugar di dalam usrah-usrah dan pengisian-pengisian informal gerakan Islam yang efektif dan berjaya.



Pembaharuan Gerakan Ilmu dan Pendidikan

Nahdah Islamiyyah memerlukan dipupuk dan dibina pendidikan Islam yang kuat. Sultan Salahuddin al Ayyubi yang hebat itu adalah suatu contoh teladan terbaik kepimpinan umat. Perubahan tidak akan berlaku jika tiada usaha-usaha persediaan dilakukan melalui pemerataan pendidikan, kesedaran awam dan disiplin tinggi. Pengalaman Salahuddin melakarkan riwayat bersejarah - kecenderungan dan trend untuk perubahan - untuk islah dan tajdid. Kekuatan Salahuddin al Ayyubi datang daripada tradisi ilmu yang subur berkembang di rantau itu. Salahudin tidak akan muncul sekiranya tidak ada tradisi keilmuwan,  da’wah and tarbiyyah di seluruh negeri  Iraq pada era itu. Kesedaran dan kebangkitan itu datang daripada pendidikan yang mantap.

Kedangkalan ilmu dan kelemahan pendidikan telah lama dikenalpasti sebagai penyakit parah umat Islam masakini. Oleh itu gerakan Islam seluruh dunia meletakkan tradisi ilmu, pendidikan dan pendidikan semula – educating and reeducating sebagai prasyarat kebangunan umat – kebangkitan ilmu dan umat.

Gagasan Islamisasi ilmu berkembang mekar hasil usaha gerakan Islam dan tokoh-tokoh utama Islam bermula dengan Naqib al Attas  yang mengolah secara tuntas tujuan dan objektif pendidikan Islam di Makkah pada 1977 yang telah menjadi rujukan asasi serta bahan inspirasi ilmuwan Muslim yang ingin menghayati makna pendidikan Islam. Ini diikuti strategi praktikal oleh Ismail al Faruqi yang diolah pada Bengkel Strategi Pengislaman Ilmu di Islamabad pada 1981. Hasil bengkel ini, gerakan Islam bertindak dengan berpartisipasi secara langsung menyertai pemerintahan politik dalam konteks rakan pembinaan negara, berperanan mencorak reformasi sistem pendidikan dan berpengalaman terlibat di dalam arusperdana pentadbiran negara – tatbiq al shari’ah di negara masing-masing. Natijah penglibatan ini  dan babak penting sejarah siasah ini menagih pengkajian dan perbahasan yang hebat.

Menggarap Realiti and idealisme – Keseimbangan Kuasa dan Idea Rashid al Ghanoushi

Fiqh ‘aqlanah dipelopori oleh Rashid al Ghanoushi. Manusia hidup dan sering berhubung dengan persekitarannya. `Aqlanah (realisme) bermakna orang Islam menyedari suasananya dan mengambilkira realiti ini berpandukan nass. Inilah keseimbangan nilai kemanusiaan, nass dan realiti.  Memahami realiti antarabangsa dan tempatan,  dan memahami nass dengan latar konteks ini.

Berteraskan ilmu wahyu, ilmu diperolehi melalui pembelajaran daripada sumber sains amali dan daripada penemuan kondisi yang Allah swt tentukan berada dalam masyarakat – fiqh sunan. Ilmu dan pengetahuan yang meliputi Shari’a, sains dan ilmu kemanusiaan-kemasyarakatan – disiplin shari’a, kejuruteraan, perubatan,  sejarah, ekonomi, falsafah, psikologi, sains politik dan undang-undang. Gerakan Islam perlu memahami  dan menguasai perkara ini.

Rashid Ghanoushi memilih pendekatan intelektual warisan rantau Maghrib, dengan menekankan isu-isu sosial dan uslub islahi – reformis masyarakat.  Pertama, mempertahankan Islam sebagai identiti atau jatidiri iaitu sebagai cara hidup bukan negara atau hukum. Kedua, memperjuangkan kebebasan dan hak masyarakat sivil serta melebarkan rangkaian pengaruh dan persefahaman dengan pelbagai trend.

Realitinya adalah situasi umumnya tidak memihak kepada Islamis. Media, golongan bisnes dan korporat, pentadbir, elit dan termasuk resam budaya – semuanya menentang Islamis. Contohnya di Mesir, tentera dan polis pun menentang Islamis. Oleh itu jumlah bilangan ramai penyokong sahaja tidak memadai. Ia juga melibatkan peranan wang, sikap angkatan tentera, permainan kuasa-kuasa halus dan golongan pentadbir yang ada. Di Algeria pada 1992, Islamis telah memenangi 80% undi. Tetapi baki 20% yang mengambil alih kuasa dan menyekat kemaraan Islamis. Ini bermakna 80% pun belum mencukupi untuk memerintah.  

Ghanoushi menganjurkan perkongsian kuasa dan politik akomodatif dengan semua golongan termasuk sekularis dan komunis bagi menghadapi mudarat regim yang lebih besar.

Pembaharuan Demokrasi dan Ekonomi model Erdogan

Usaha yang Turki telah lakukan dalam mengemudi ke arah “konsensus baru” menyerlahkan negara itu sebagai demokrasi yang segar dan matang. Ia dilakukan di dalam kerangka demokratik bagi memenuhi aspirasi mengulangi sejarah gemilang warisan budayanya. Turki ingin mematangkan lagi amalan demokrasinya di samping mengekalkan identiti Islamnya. Kerajaan Erdogan mempunyai mandat demokratik daripada rakyatnya. 

Tekun dan cekal kepada pegangan politiknya, sosok Erdogan menunjukkan kualiti yang diperlukan bagi memajukan reformasi demokratik dan keadilan sosial.  Di bawah kepimpinannya, sekularisme (tebal di Turki) tidak lagi dilihat sebagai “penentang agama” tetapi dianggap sebagai prinsip asas  saksama tanpa berpihak dan toleransi kepada kemajmukan agama. Jika sebuah negara demokratik Muslim ingin meletakkan had kepada kuasa kerajaan ke atas hak individu , ini adalah seiring dengan keperluan demokrasi berperlembagaan.

Kompetensi mengurus ekonomi dengan cemerlang oleh Erdogan meyakinkan semua pihak menerima kepimpinannya termasuk nasionalis dan sekularis kerana realiti kejayaannya.

Menganjurkan Tatakelola Beretika dan Pengurusan Ekonomi Pasaran gagasan Anwar Ibrahim

Kita perlu pergi kepada asas-asas kefahaman da’wah dan menimba ilmu, bagaimana berubah, dalam pembinaan peribadi atau  syakhsiah. Kita perlu menganjurkan peri pentingnya tatakelola baik - good governance, bagi membawa negara-negara supaya menjauhi korupsi dan despotisme - kediktatoran. Perubahan bukan semata-mata semudah menurunkan pemimpin, ketua negara, PM atau diktator tetapi perubahan adalah dengan reform total – keadilan dan aturan menurut maqasid  shari’ah – keutamaan sistem keadilan.

Anwar Ibrahim berhujah bahawa “Tanpa pertumbuhan, kita tidak akan jana pendapatan. Natijahnya kita hanya mengagihkan kepapaan!  Jadi, kita sedar kita perlu ada dan memperkenalkan preskripsi ekonomi dan dasar yang mejanakan kekayaan negara. Ini bermakna membawa polisi-polisi yang tidak semestinya kita selesa dengannya- apa lagi dengan banyak kemiskinan dan kesusahan, kita pula memajukan pertumbuhan, mempromosi bisnes dan pembangunan.  Oleh kerana kita ada perasaan, kita mempunyai masalah yang dirasai, bagaimana hendak menyelesaikan keruncingan perumahan dan miskin tegar di tengah-tengah kita?

Kita laksana dasar-dasar yang menggalakkan pertumbuhan. Tidak ada jalan lain. Untuk laksana polisi pertumbuhan, kita mesti ada kedaulatan undang-undang. Kedaulatan undang-undang perlu ditempatkan, berada di posisinya, peraturan-peraturan berjalan, semuanya telus dan semuanya dipertanggungjawabkan – ada akauntabiliti.”

Bagaimana hendak mengajak berwaspada mengurus pertumbuhan ekonomi yang pesat? Anwar menggunakan pengkisahan Sayyidina Yusuf (as) tentang perencanaan 7 tahun menangani kedatangan kemelesetan tahun-tahun berikutnya. Ada rakan-rakannya di Parlimen menyoal dan menyindir tentang apa relevannya ayat Qur’an kepada ekonomi moden dan pasaran bebas. Anwar jawab bahawa tiada jaminan pertumbuhan pesat itu akan terus berlaku sampai bila-bila, tak kira betapa hebat, bijak atau bertanggungjawabnya kita ini. Ini mengingatkan kepada perlu bersifat penuh tawadu’ untuk bersedia menerima peristiwa-peristiwa yang di luar dugaan atau kawalan.

Gerakan Islam juga berhadapan dengan cabaran merubah paradigma. Apabila membincangkan pengurangan cukai, dirujuk thesis Abd ar-Rahman Ibn Khaldun yang berkata apabila cukai diturunkan orang akan bekerja lebih bersungguh dan pendidikan akan lebih maju, akhirnya kerajaan menjana pendapatan yang lebih. Apabila Menteri Kewangan sekitar tahun 1993-1994 bercakap tentang Ibn Khaldun dari abad ke 14 kepada audien, ada loyar-loyar buruk di kalangan banker dan juruanalisa menyampuk, “Menteri ini Wahabbi ke apa?” Dengan menyedari kesinisan itu, dibawa pula pandangan seorang pujangga Cina kurun lalu yang juga menganjurkan thesis penurunan cukai yang seumpama. Begitulah betapa sukar untuk lebih terbuka menampilkan model dan pengajaran di luar kerangka sistem sedia ada untuk digarap dan difahami.

Menyanjungi Ulama – Muktabar dan Arus Perdana - Wasatiyah

Profesor Yusuf al Qaradawi adalah contoh  ulama arus perdana, ulama massa, ulama rakyat dan ulama serta ahli fiqh muktabar. Dia berjaya mengglembeng, membina rangkaian serta pengaruh hingga meletakkan Kesatuan Ulama Sedunia sebagai badan tersohor antarabangsa. Dia melibatkan diri dalam isu kontemporari seperti mengartikulasi fiqh semasa, mendokong kebangkitan rakyat, bersuara menentang kezaliman dan menyokong media bebas yang memberikan manfaat kepada umat seperti siaran Al Jazeera. Pemikiran wasatiyahnya dan prinsip perjuangannya berjaya  mempengaruhi banyak pihak dan dunia Islam menerima ketokohan dan pandangannya dalam menyelesaikan masalah umat.

Ulama yang tulen dan sejati mendapat penghormatan tertinggi  kerana mereka berbakti dengan jiwa raga mereka di jalan perjuangan Islam dan keadilan. Mereka tidak takut kecuali kepada Allah s.w.t. Kita sebutkan ulama tulen kerana ada yang digelar ‘ulama’ atau menganggap diri mereka sebagai ‘ulama’  tetapi apabila diuji, ternyata bahawa mereka ini lebih takut kepada manusia daripada takut kepada Allah s.w.t.

Mereka yang disebutkan sebagai orang-orang berilmu adalah ulama sejati kerana mereka bukan sahaja ‘ulul ‘ilmi’  malah  ‘qaa-imambilqisti’. “ (surah ali Imran 3:18)

Menangani Masa depan –  al Fikr al Mustaqbal Siddiq Fadzil

Kita amat prihatin tentang masa depan kerana gerakan Islam berfikiran ke hadapan  - al fikr al mustaqbal. Telah berlaku anjakan daripada marhalah da'wah kepada marhalah dawlah - governan. Perlu disedari masalah yang dihadapi dan optimis berwaspada.

Apa yang dibimbangi di dunia Islam adalah kualiti kepimpinan. Mengetuai negara tidak sama seperti memimpin gerakan Islam. Pemimpin masa depan gerakan Islam mesti bersedia dengan realiti yang bakal ditempuhi.

Gerakan perlu kembali kepada kepada rujukan asasi. Pada al Qur’an terdapat model kepimpinan. Nabi Daud a.s. dan Sulayman a.s. memimpin kerajaan yang agong dengan urustadbir terbaik beserta ilmu dan hikmah. Nabi Musa a.s. berkonfrontasi dan berlawan dengan kezaliman Fir’aun sehingga baginda membebaskan kaumnya menjalani kehidupan baru. Nabi Yusuf a.s. menyertai kerajaan non Muslim dengan misi islahi. Demikian adalah model-model nyata yang kita dapat pelajari.

Gerakan perlu prihatin dengan permasalahan menentukan keutamaan - al awlawiyyat. Mana didahulukan dan mana dikemudiankan.

Kita mesti prihatin dengan krisis expektasi – jika kita gagal memenuhi ekspektasi umat. Orang pula adakalanya tidak munasabah dan inilah yang melanda di sebahagian pelusuk dunia masakini.
Kita perlu kajisemula kitab-kitab dan rujukan-rujukan. Pada tahun 60’an kita baca kitab ilal Islam min jadid karya Al Nadwi. Namun tidak cukup sekadar bergantung kepada karya 60’ an. Kita perlu karya kontemporari dan kita mesti kondisi semula diri kita – mengisi dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang relevan pada hari ini.

Kita wajar memahami fiqh al taghyir - fiqh perubahan kerana apa yang kita usahakan dan perjuangkan adalah untuk perubahan tetapi kita belum menggarap fiqh al taghyir. Adalah mustahak dan mendesak supaya gerakan Islam menguasai kefahaman fiqh al taghyir and fiqh al waqi' -fiqh memahami realiti dunia kontemporari agar gerakan lebih realistik. Kita perlu berupaya mengolah fiqh al ta'adudiyyah – memahami kemajmukan dan realiti ragam kepelbagaian budaya. Kita perlu pelajari inklusiviti.

Pola hubungan antarabangsa berubah, dan dunia sudah menjadi sebuah desa buana (a global village)  pemakaian istilah dar al-harb dengan segala implikasi hukum-hakamnya tidak lagi membawa maslahah.  Pelaksanaan Islam tidak lagi terbatas di negara-negara yang majoriti penduduknya Muslim,  tetapi di mana-mana di seluruh dunia, termasuk di negara-negara yang  penganut Islamnya minoriti.   Di situ tumbuhnya fiqh al-aqalliyyah  (fiqh minoriti),   sejenis fiqh kontekstual yang sesuai dengan realiti setempat dan realiti umat.   Melabel  negara-negara Barat  sebagai dar al-harb akan mempertebal imej  “terror” dan “ganas”  Islam dan umatnya.   Hubungan asal dan aslinya adalah hubungan dakwah.   Perang  adalah kekecualian dari  prinsip asal   -   damai dan dakwah.  

Fiqh Islam mengiktiraf  status al-muwatanah al-kamilah  yang memang Non Muslim nikmati sekarang.     Oleh itu harus ada peta - road map ke arah  hidup bersama  (al-ta`ayush) [“coexistence" or "life in common”] dalam pengertian  sama-sama menikmati hak dan sama-sama memikul tanggungjawab atas prinsip lahum ma lana, wa `alayhim ma `alayna.  Hidup bersama dalam suatu bai’ah moral, kompas moral yang terarah, menjunjung keadilan dan hak asasi, kebersamaan, akomodasi dan rekonsiliasi.


(MAKMAL  WAP PULAU PINANG)


No comments:

Post a Comment