Friday, September 7, 2018

DR SIDDIQ FADZIL: FIQH KEWARGANEGARAAN




FIQH KEWARGANEGARAAN : APLIKASINYA DALAM KONTEKS MALAYSIA BAHARU
Siddiq Fadzil
(Nota Ucaptama Muhadharah Pentadbiran Islam “Siyasah Shar`iyyah: Aplikasi Fiqh Kewarganegaraan (Fiqh al-Muwatanah) Dalam Era Malaysia Baharu”)


Fiqh Kewarganegaraan termasuk dalam liputan al-Siyasah al-Shar`iyyah, disiplin ilmu yang menangani perubahan dan perbezaan realiti politik. Ungkapan “Syari`at Islam sesuai untuk semua tempat dan setiap zaman” dapat direalisasikan apabila perubahan dan perbezaan realiti yang berlaku kerana peredaran zaman dan perbezaan tempat ditangani dengan baik menerusi dinamika al-siyasah al-shar`iyyah yang berpaksikan ijtihad demi maslahah.

Al-Siyasah al-Shar`iyyah telah membeku selama berabad-abad, dan ini telah mengakibatkan perkembangan dan perubahan politik dalam masyarakat Islam terlepas dari kendali siyasah shar’iyyah. Kerana itu dinamika siyasah shar`iyyah harus dipulihkan bagi memungkinkannya berperanan semula menangani realiti-realiti baru di ranah politik berasaskan prinsip dan nilai politik Islam. Selari dengan itu fiqh al-siyasah atau fiqh al-dawlah kita juga harus dibaharui sesuai dengan realiti politik hari ini. Warisan turath fiqh politik abad ke-5 hingga abad ke-8H memang sesuai dengan realiti politik zaman tersebut, tetapi realiti politik abad ke-15H jelas sudah banyak berubah. Kerana itu kita memerlukan fiqh politik baru.

Terkait dengan itu diperlukan pula usaha penyegaran fiqh al-waqi` (fiqh realiti) yang merujuk realiti perubahan zaman di samping realiti khas tempatan. Dalam konteks Malaysia, realiti yang harus diperhitungkan termasuklah sistem politik, komposisi penduduk, budaya dan sejarahnya. Ciri-ciri khas kemalaysiaan inilah pula yang menjustifikasikan penggagasan fiqh Malaysia.

Malaysia adalah sebuah negara demokratik. Politik Islam boleh menerima demokrasi yang berintikan prinsip hak rakyat memilih pemerintah, hak rakyat berpartisipasi dalam melaksanakan pemerintahan dan hak rakyat menentukan sistem pemerintahan yang mereka inginkan sejauh yang tidak bertentangan dengan prinsip dan nilai Islam. Demokrasi yang berpaksikan kuasa rakyat dapat diserasikan dengan hakikat bahawa menurut Islam umat adalah tonggak (al-ummah hiya al-asl) seperti yang ditegaskan oleh al-Raysuniy. Dengan demikian al-ummah (rakyat) harus lebih besar daripada al-dawlah (kerajaan). Justeru, kerajaan pada hakikatnya adalah alat pelaksana kemahuan rakyat.

Demokrasi yang disemangati prinsip dan nilai Islam harus menjunjung tinggi kedaulatan rakyat. Demokrasi hanya akan mempunyai erti jika rakyat menyedari kedaulatan dirinya. Daulat rakyat dalam erti siyadat al-sha`b membawa implikasi bahawa rakyat adalah sumber kekuasaan (al-sha`b masdar al-sultah). Daulat rakyat dalam konteks umat Islam tidak mengatasi daulat syari`at. Daulat syari`at mengatasi semua. Dalam konteks Malaysia, ada pula daulat raja di samping daulat rakyat. Kedua-duanya mempunyai erti dan konteks sendiri-sendiri. Daulat rakyat diertikan sebagai sumber kekuasaan dalam konteks sistem demokrasi. Daulat raja pula diertikan sebagai kuasa tertinggi dalam konteks raja berperlembagaan. Daulat raja juga dapat diertikan sebagai wibawa peribadi dan institusi, sehingga selain memiliki kuasa yang diperuntukkan oleh perlembagaan, raja juga memiliki moral authority yang tinggi dan dihormati. Yang harus dipastikan ialah adanya maslahah yang real dalam pelestarian institusi raja. Mungkin ini dapat dilihat dari segi fungsinya sebagai pelindung rakyat yang mengatasi politik dan non-partisan. Kedudukannya sebagai ketua agama pula dapat ditafsirkan sebagai institusi pengawal daulat syari`at.

Demokrasi selalu dipertentangkan dengan shura. Memang demokrasi tidak mesti sama dan tidak mesti tidak sama dengan shura. Menurut Islam, pemerintahan negara harus berdasarkan shura (dawlah shuriyyah) dalam pengertian peranserta rakyat dalam pengurusan kehidupan mereka. Demokrasi seharusnya menjiwai semangat tersebut dengan menepati makna peranserta rakyat di semua peringkat baik secara langsung atau menerusi sistem perwakilan. Yang lebih penting lagi ialah pembudayaan shura dalam kehidupan sehari-hari.

Malaysia adalah negara bermasyarakat majmuk. Muslim dan bukan-Muslim mendapat taraf kewarganegaraan penuh. Semuanya disebut warganegara (muwatinun). Pengkategorian kafir harbiy atau kafir dhimmiy bagi warga bukan-Muslim tidak lagi relevan dalam realiti politik hari ini. Semua kaum dan golongan berhak memelihara dan mempertahankan jati diri keagamaan dan kebudayaan masing-masing. Dengan demikian kepelbagaian akan terus wujud sebagai ciri khas masyarakat Malaysia.

Fenomena kepelbagaian harus disikapi secara positif. Ia wujud dengan kehendak Allah sendiri kerana hikmah dan maslahah tertentu. Manusia yang diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku adalah untuk tujuan saling mengenal (lita`arafu). Berlakunya proses saling mengenal tentunya akan berkelanjutan dengan saling memahami, saling menghormati, saling memberi dan menerima, saling memperkaya, saling bekerjasama dan saling memperkuat. Demikian andainya kepelbagaikan dimanfaatkan dengan bijaksana.

Kepelbagaian tidak seharusnya menjadi punca silang sengketa. Islam menjadikan damai (salam) sebagai prinsip pelayanan terhadap orang lain. Nilai salam diinternalisasikan menerusi pelbagai cara. Justeru, salam adalah nama Tuhan, nama syurga, lafaz hormat orang Islam, kata penutup sembahyang dan lain-lain lagi. Selama berabad-abad umat Islam telah membuktikan semangat salam dalam interaksi mereka dengan kaum-kaum lain. Semangat ini harus dilestarikan.

Semua golongan dengan jati diri keagamaan dan kebudayaan yang pelbagai itu harus bergabung membentuk satu ummah siyasiyyah yang inklusif dengan memakai acuan Perlembagaan Madinah. Dari perlembagaan tersebutlah terumusnya formula pembentukan bangsa Malaysia, kepelbagaian dalam bungkai kesatuan. Kepelbagaian tetap wujud, tetapi semuanya terpadu dalam lingkaran bingkai kesatuan yang berupa persaudaraan kemanusiaan, persaudaraan kenegaraan, kesepakatan komitmen terhadap dasar-dasar kenegaraan seperti rukun negara, bahasa kebangsaan dan lain-lain di samping perkongsian nilai-nilai kemanusiaan sejagat seperti patriotisme, integriti moral, kebebasan, keadilan, persamaan, hak asasi manusia dan sebagainya.

Keadilan sebagai nilai teras ajaran Islam harus dilaksanakan baik sesama Muslim mahupun terhadap yang bukan-Muslim. Dasar Islam dalam melayani warga bukan Islam yang komited terhadap aspirasi hidup berdampingan secara damai ialah melakukan kebaikan (al-birr) dan menegakkan keadilan (al-qist).



KDH/IDE/UNISEL
ILIM: 06092018.

No comments:

Post a Comment