Saturday, July 13, 2013

MUHASABAH GERAKAN ISLAM

TEKS UCAPAN PENGERUSI WADAH PENCERDASAN UMAT CAWANGAN PULAU PINANG, USTAZ DR WAN SALIM MOHD NOOR SEMPENA MUKTAMAR KE 6 PADA 13 JULAI 2013 DI BANGUNAN ABIM NEGERI, SUNGAI GELUGOR.


Segala kepujian dan kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah swt yang telah menurunkan sebaik-baik syari’at untuk kesejahteraan dan kebahagian hidup hamba-hambaNya. Selawat dan salam ke atas junjungan agong Nabi Muhammad s.a.w. yang telah berjaya menterjemahkan Risalah Khatimah di dalam kehidupan baginda dan di dalam realiti bermasyrakat dan bernegara. Maka dengan itu membuktikan bahawa syari’at ini adalah satu syari’at realistik dan praktikal.

Ijtima’ Harakiy Wadah Pencerdasan Umat WADAH dan Angkatan Belia Islam Malaysia ABIM Negeri Pulau Pinang tahun ini berlangsung pada bulan Ramadan al Mubarak. Kita ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh kaum Muslimin, khasnya warga ABIM dan WADAH Pulau Pinang.

Ketibaan bulan yang mulia ini sewajarnya dapat meningkatkan lagi kualiti diri setiap individu Muslim di samping menambahkan lagi iltizam kepada jihad suci untuk mendaulatkan agama Allah swt dan mengangkat martabat khayra ummah dan kemuliaan di dunia. Umat Islam yang mendapat tarbiyyah daripada madrasah Ramadan diharap mampu menimba semaksima mungkin inspirasi yang lumayan hasil perjuangan rohani yang diharungi sepanjang bulan ini. Mereka juga mesti mempunyai kekuatan azam untuk menjelmakan atau mentransform roh jihad yang dibekalkan menerusi puasa Ramadan bersama amal ibadat dan kebajikan lain untuk diterapkan ke dalam pelbagai lapangan hidup sebagai menyahut seruan Allah swt di dalam Al Qur’an yang bermaksud:

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang Muslim dari dahulu dan (begitu pula) dalam (Al Qur’an) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah solat, tunaikanlah zakay dan berpeganglah kamu kepada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dia adalah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong. (Al Hajj: 78)


SELAMAT BERMUKTAMAR

Selamat bermuktamar kepada saudara saudari yang masih istiqamah dengan idealisme perjuangan. Idealisme yang murni bagi menegakkan cita-cita Islamiah. Usaha suci bagi mencerahkan dan mencerdaskan umat , serta menjalankan misi besar liberatif dan edukatif – membebaskan dan mentarbiyyah agar mendekati keimanan serta menegakkan kebenaran dan menjauhi kebatilan serta kemungkaran.  Perjuangan yang menggabungkan kita semua supaya intima dengan gerakan Islam dan mendokong fikrahnya tanpa mengira usia, keadaan dan masa. Inilah peluang untuk bersama menilai dan menghisab setahun perjalanan, satu perjumpaan singkat tetapi penuh bermakna kerana di sinilah kita mengikrarkan semula komitmen dan tekad untuk meneruskan perjuangan di bawah naungan dan rahmat Allah swt.


SIASAH SYAR’IYYAH

Tahun yang lalu memperlihatkan suasana politik yang panas dan getir yang melibatkan pertarungan bagi menentukan gagasan menerajui negara. Kita tidak terkecuali daripada merasai bahangnya dan tidak kurang juga kerana ada terlibat dengan mengharungi kederasan  arusnya dan pancaroba pertarungannya. Walauapapun, kita telah membuat keputusan bersama supaya bagi sesiapa yang datang dari pengkalan akan tetap kembali ke pengkalan dalam keadaan mana sekalipun. Kembali bagi meneruskan kerja da’wah dan aktivisme serta menguruskan institusi membangunkan ummah.

Apa pengajarannya? Kita menyokong gagasan baru berasaskan siasah syar’iyyah supaya ragam lama berpandukan politik mentah berubah kepada politik luhur. Kita cuba menganjurkan politik berprinsip supaya kebenaran dan keadilan disanjung, kebatilan didedahkan dan budaya fitnah serta melanggar hukum kemanusiaan dan menyalahi syara’ ditolak oleh rakyat.

Kita hadapi masalah kerana berlaku kedangkalan kefahaman dan kekeliruan di kalangan umat. Umat umumnya belum bersedia untuk perubahan. Sebahagian terpedaya dengan serangan media dan lambakan propaganda sehingga merelakan qazaf dan pelbagai taburan fitnah ke atas kepimpinan, tokoh gerakan Islam dan idealisme perjuangan. Adalah malang juga apabila berlaku pengkhianatan dan persekongkolan individu-individu tertentu dan pertubuhan-pertubuhan yang lebih gemar dan tanpa segan silu tampil menyumbang kepada kecederungan kebatilan. Tanpa panduan dan pencerahan, umat tidak mengenali permata mana yang tulen dan yang lebih berharga bagi mereka berbandingkan dengan kepalsuan dan fasad.

Pengajarannya adalah lebih banyak perlu dilakukan supaya matlamat pencerdasan umat itu tercapai supaya umat bulat bersama perjuangan dan menolak kebatilan. Supaya para pimpinan serta tokoh-tokoh umat dan rakyat jelata tidak berkompromi, tidak mudah diperdaya  akibat sogokan, bujuk rayu dan ancaman.


KEMELUT UMMAH

Walaupun kita harus lebih tumpu kepada isu-isu lokal, namun perkembangan terkini umat se antero dunia tetap menyentuh cara fikir, jiwa  dan gerak kerja serta nadi gerakan. Pengkaji sejarah revolusi akan memberikan contoh-contoh penyentapan dan bagaimana revolusi diragut oleh regim korup lama melalui kontra revolusi. Kenangkan Mossadegh di Iran pada 1954 dan Patrice Lumumba di Congo pada 60’an setelah memenangi pilihanraya, mereka digulingkan melalui komplot penjajah Barat dengan sekutu suruhan mereka terdiri daripada tentera dan oportunis semata-mata kerana mereka benar-benar pemimpin kemerdekaan. Begitu juga berlaku kepada FIS di Algeria dan Hamas di Palestin. Mereka dinafikan kemenangan demokratik dengan pelbagai cara samada brutal seperti pembunuhan dan pembasmian - eradication di Algeria atau tidak kurang zalimnya pemulauan, sekatan kejam dan pengepungan seperti di Palestin. Kini giliran umat Islam di Mesir pula dianiayai dengan revolusi rakyat 25 Januari menjadi sebuah stolen revolution akibat dirampas semula oleh regim pada 30 Jun 2013. Pesanan Sayidina Ali r.a. tentang kekalahan hak kepada kebatilan kerana kekuatan sistem adalah tepat sekali.

Kebatilan sistematik boleh dilihat apabila regim ganas Alawi Syria dengan kerjasama penuh dan pakatan erat Rusia, Iran, Iraq dan Hizbullah membunuh dan menyembelih umat Islam Syria secara terang-terangan. Sebaliknya, negara-negara lain masih terkial-kial tanpa komitmen atau rancangan jitu untuk membela nasib umat yang menurut pemerhatian biasa akan pasti ditewaskan sekali lagi justeru mengulangi tragedi kejam bandar Hama apabila dimusnahkan dan diranapkan bersama penduduknya oleh Hafez bapa kepada Bashar Assad pada 1982.

Begitulah juga nasib umat Islam di Rohingya akibat hasutan rahib-rahib ekstrim dibunuh begitu saja. Negara-negara Islam termasuk kita hanya berminat dengan mencari peluang keemasan berdagang semata-mata setelah pasaran Myanmar terbuka. Penderitaan hanya tinggal sekadar muatan di laman media.


SITUASI SEMASA

Kini dunia dilanda fasad secara terang-terangan dan mengalami kebejatan moral yang begitu parah apabila negara-negara utama Barat mengusulkan dan meluluskan di medan-medan legislatif mereka hak LGBT. Ini sekaligus merosakan institusi keluarga dan peradaban manusia. Tidak puas hati dengan pencemaran ini, usul ini dibawa secara rempuhan ke peringkat penguatkuasaan antarabangsa melalui PBB dengan percubaan memaksa penerimaan LGBT sebagai sebahagian hak asasi yang terkandung pada Pengisytiharan Universal Hak Asasi Manusia. Jika mereka berjaya, ia merupakan malapetaka besar ke atas umat manusia dan dunia Islam seluruhnya. Sekali lagi pergerakan kefasadan ini bergerak secara terancang dan sistematik.

Begitulah gelagat pihak ekstrimis liberal-sekular yang sering menguasai arus perdana.

Di sini pula kelemahan kepimpinan politik Islam ternyata sekali apabila mereka gagal membentang dan meluluskan Rang Undang-Undang Pentadbiran Islam Wilayah Persekutuan 2013 di Parlimen. Padahal rang undang-undang yang sama telah lama diluluskan oleh negeri-negeri lain dalam persekutuan.

Kita amat berharap ada keberanian, kematangan dan kejelasan politik secara prinsip supaya kepentingan umat Islam terus terpelihara oleh mereka yang telah diberikan amanah oleh rakyat di peringkat legislatif negara.


TARBIYYAH

Ramai pimpinan dan tokoh-tokoh telah melalui madrasah gerakan Islam, samada melalui penyertaan, penggabungan, pengajian, program, persahabatan dan interaksi. Ramai pasti tersentuh dengan sentuhan gerakan Islam dan gagasan yang dibawanya. Adalah dianggapkan dan diharapkan semuanya berperanan untuk menegakkan agama, kefahaman meluas dan pemerataan keIslaman di segenap bidang  dan masyarakat amnya. Peri penting adalah penerusan dan kesinambungan model harakiy – pergerakan terencana dan aktivisme padu.

Dengan kedudukan gerakan Islam semasa, adakah model ini memadai untuk mengekalkan cita-cita dan idealisme?

Perkembangan positif dari suatu sudut adalah kemunculan populariti agamawan sehingga ada yang digelar selebriti agama. Sekiranya pengkalan dirujuk, sifat tawadu’ dipertahankan dan pengkomersialan terurus dengan terhormat, ia boleh menyumbang kepada pembaharuan.

Bagi masyarakat am dan pemuda khususnya, penerangan dan penjelasan berhikmah perlu supaya mereka mampu dan bijak menelusuri, mengolah dan menilai kepelbagaian aliran kefahaman dan pemikiran serta lambakan maklumat. Walauapapun, adalah suatu kemestian bahawa aliran sesat dan batil ditolak samasekali.
Gerakan Islam perlu bermuhasabah dan juga membuat pembaharuan dan inovasi bagi menangani fenomena dan perkembangan terkini.


PRIHATIN DAN KEPEDULIAN UMMAH

Menyingkap ucapan dasar yang lalu, gerakan Islam masih belum berperanan dan belum menjadi jurubicara umat bagi menghadapi pelbagai masalah kos sara hidup, penempatan dan perumahan dan kedudukan ekonomi umat yang tidak memberangsangkan walaupun sebagai sebuah negeri Pulau Pinang telah jauh maju sebagai kuasa ekonomi. Situasi sosial umat Islam  masih bermasalah.
Gerakan Islam perlu melihat semula Projek BANGKIT yang strategik dan telah dibangunkan bersama kerajaan negeri beberapa tahun dahulu bagi tujuan merancang, merumus dan memberi fokus yang realistik dan berkesan dalam usaha menegakkan cita-cita Islamiyyah dan pembelaan umat Islam Pulau Pinang.


PENGISIAN DAN TUMPUAN GERAKAN

Saranan ucapan dasar yang lalu perlu disingkap semula, supaya pengisian ilmu dan amal dilakukan bersungguh-sungguh oleh jamaah. Gerak kerja perlu cekap dengan pengalaman dan tenaga yang ada. Penguasaan ilmu dan keupayaan artikulatif suatu kewajipan jamaah dalam memahami dan mengolah syari‘ah dan membahaskannya dalam konteks semasa.

Penegasan semula saranan lalu tentang tumpuan gerakan diulangi:-

  • Mengumpul dan menggembleng ahli dan bergerak aktif.
·         Menggerakkan institut kajian dasar.
·    Membangunkan dan mempertingkatkan prestasi madrasah-madrasah SEMI, SERI, Al-‘Uthmaniah, Outreach, Rohingya Educational Centre REC, TASKI, Tabung Ekonomi.
·         Melaksanakan kerja di lapangan , memberi sumbangan membantu golongan du‘afa jauh dan dekat.
·         Melebarkan serta mengeratkan perhubungan serta wilayah pengaruh.



KHATIMAH

Muktamar sanawi atau Ijtima’ harakiy yang diadakan setiap tahun adalah masa paling sesuai bagi para pendokong Harakah Islamiyyah bermuhasabah. Kita harus bertanya kepada diri masing-masing :  Sejauh manakah perkara-perkara yang disarankan di dalam muktamar-muktamar yang lalu telah direalisasikan? Atau ia tinggal sebagai slogan-slogan kosong semata-mata? Kita tidak sepatutnya mendedahkan diri kepada kemurkaan allah swt akibat tidak mengotai apa yang kita pernah ucapkan.

Maksud firman Allah swt:

Wahai orang-orang yang beriman! Kenapa kamu ucapkan apa yang tidak kamu lakukan? Besarlah kemurkaan di sisi Allah bahawa kamu katakan apa yang kamu tidak lakukan. (As Saff : 1-2)




No comments: