Thursday, July 2, 2015

MUTIARA KATA ANWAR IBRAHIM



IDEALISME PERJUANGAN

"Saya dibesarkan pada zaman transformasi sosial hebat di mana berlaku cetusan ledakan idea-idea dan peristiwa-peristiwa berbetulan serta bertindan dengan aktivisme mahasiswa, kebangkitan agama dan pergolakan politik. Saya tidak rela berada selaku pemerhati sahaja, bahkan saya memilih untuk menjadi ahli yang berpartisipasi aktif. Saya muncul daripada semua ini dengan berkeyakinan bahawa sementara pilihan hidup secara bertafakur, berfikir dan bertapa menyendiri boleh menyegarkan dan melazatkan minda dan jiwa, tetapi hidup bertafakur digandingkan pula dengan gerak tindakan dan pupuk persaudaraan lebih memugarkan aktualisasi diri. Saya tidak menyesali jalan yang ditempohi kerana jejak laluan ini telah membawa saya mengalami dan menghayati kehidupan cukup mencabar dan penuh bermakna bagi saya. Dan di ruang lingkup  inilah saya akan terus berperanan secara aktif dan menyertai dengan seutuhnya bagi merealisasikan cita-cita dan matlamat hidup yang lebih tinggi."



1. ASAS PAKSI PERJUANGAN

“Kita harus mengingatkan diri kita supaya kembali kepada kepada asas - asas paksi perjuangan - latihan intensif, pendidikan dan pengisian serba mencakupi dan galakkan untuk berwacana dan berbahas - membicarakan isu-isu kontemporari. Berilah ruang seluas dan secukupnya untuk percambahan fikiran, pemekaran dan penghasilan idea, pemikiran dan maklumat. Kita tekankan sekali lagi, Nahdah Islamiyyah tidak bererti tanpa intisari pendidikan, tanpa tarbiyyah. “


2. PRINSIP NAHDAH ISLAMIYYAH

“Nahdah Islamiyyah memerlukan tajdid (pembaharuan) and islah (reform). Sebelum kita berbicara tentang perubahan, inilah hakikatnya dan intisarinya, kesedaran dimeratakan, usaha menyampaikan kefahaman. Jika tidak mempunyai intisari ini, kita tidak akan mampu membawa perubahan - dan kita tidak akan berjaya merubah atau mengnyahkan diktator-diktator. Perlu ada seruan dan anjuran kepada kebaiikan dan pencegahan kemungkaran. Berpegang teguh dan mematuhi arkan al Islam (rukun Islam) and arkan al iman (rukun iman) semestinya dengan istiqamah dan tidak goyah. Inilah tradisi intelektual.”


3. PEMIMPIN MUNCUL DARI TRADISI ILMU DAN PENDIDIKAN

“Nahdah Islamiyyah memerlukan dipupuk dan dibina pendidikan Islam yang kuat. Sepertimana  kita sebut tentang Salahuddin dalam pertarungannya dengan Eropah di bawah naungan tentera Richard the Lionheart. Sultan Salahuddin al Ayyubi yang hebat itu adalah suatu contoh teladan terbaik kepimpinan umat. Perubahan tidak akan berlaku jika tiada usaha-usaha persediaan dilakukan melalui pemerataan pendidikan, kesedaran awam dan disiplin tinggi. Pengalaman Salahuddin melakarkan riwayat bersejarah - kecenderungan dan trend untuk perubahan - untuk islah dan tajdid. Kekuatan Salahuddin al Ayyubi datang daripada tradisi ilmu yang subur berkembang di rantau itu. Salahudin tidak akan muncul sekiranya tidak ada tradisi keilmuwan,  da’wah and tarbiyyah di seluruh negeri  Iraq pada era itu. Kesedaran dan kebangkitan itu datang daripada pendidikan yang mantap.”


4. ILMU DAN TAWADU’

“Kita ingin untuk menawarkan wacana intelektual yang mendalam, untuk bersikap lebih toleransi dan lebih berpandangan terbuka. Kita tidak boleh mengekang pengajian kita sebab kita hidup di dalam dunia yang majmuk budaya. Para pengkritik saya menuduh saya terlalu liberal dan plural. Tetapi intipati, hakikat dan rujukan masih Qur’an dan Sunnah. Jika sesuatu itu jelas bercanggah dengan rujukan pedoman asasi ini, kita akur dan menerima tegurannya.”


5. NAHDAH DAN TRADISI AKLIAH

“Nahdah Islamiyyah mengandungi intelektualisme yang gigih dan rancak, merangsang komitmen untuk kembali merujuk prinsip-prinsip asas  Qur’an and Sunnah. Kita mengalaminya dan merujuk kepada ini dalam usrah-usrah dan tamrin-tamrin - bukan dogmatik dan bukan macam Taliban.

Taliban dulu adalah pelajar-pelajar yang terdidik di madrasah-madrasah – pengalaman madrasah yang khusus dan tersendiri itu bererti pematuhan ketat dan berpandangan tegar. Mereka berada di dalam keadaan terlalu eksklusif dan selalu terbiasa melihat kepada musuh - dan kurang memperkemaskan tatakelola dan keadilan.

Itulah sebabnya tradisi akliah juga mustahak (seperti disarankan Naqib al Attas dan lain-lain) – kerana tanpanya, tidak akan menjadi unsur cerapan Nahdah Islamiyyah.”


6. PRASYARAT PERUBAHAN

“Kita perlu pergi kepada asas-asas kefahaman da’wah dan menimba ilmu, bagaimana berubah, dalam pembina peribadi atau  syakhsiah. Kita perlu menganjurkan peri pentingnya tatakelola baik - good governance, bagi membawa negara-negara supaya menjauhi korupsi dan despotisme - kediktatoran. Perubahan bukan semata-mata semudah menurunkan pemimpin, ketua negara, PM atau diktator tetapi perubahan adalah dengan reform total – keadilan dan aturan menurut maqasid  syariah – keutamaan sistem keadilan.”


7. MENGHORMATI ULAMA

“Ulama yang tulen dan sejati mendapat penghormatan tertinggi kita kerana mereka berbakti dengan jiwa raga mereka di jalan perjuangan Islam dan keadilan. Mereka tidak takut kecuali kepada Allah s.w.t. Kita sebutkan ulama tulen kerana ada yang digelar ‘ulama’ atau menganggap diri mereka sebagai ‘ulama’  tetapi apabila diuji, ternyata bahawa mereka ini lebih takut kepada manusia daripada takut kepada Allah s.w.t.

Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian) tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Qur’an ‘ali Imran 3:18)

Mereka yang disebutkan sebagai orang-orang berilmu adalah ulama sejati kerana mereka bukan sahaja ‘ulul ‘ilmi’  malah  ‘qaa-imambilqisti’."


8. PESANAN KEPADA ANAK ANAK MUDA

“Kita harus berpesan kepada anak-anak muda supaya merenungi dan meneliti firman Allah swt dalam surah al-Kahfi, ayat 13-14. Mereka anak  muda punya tenaga, punya semangat membara. Mereka tidak rela melihat kerosakan dan kebobrokan yang tidak bertanggungjawab oleh para penguasa.

“Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenar-benarnya. sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Rabb mereka, dan kami tambahkan lagi hidayah (petunjuk) kepada mereka. Dan kami teguhkan hati mereka tatkala mereka berdiri (menghadap raja yang zalim), ‘Rabb kami ialah Rabb pentadbir langit dan bumi, dan kami tidak memohon kepada selain Dia. Sesungguhnya, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh daripada kebenaran’”


9. TRADISI ILMU

“Generasi 70an dan 80an sungguh luar biasa. Budaya ilmu digarap dan dihidupkan melalui usrah-usrah. Teks dan reference yang digunakan lebih daripada biasa dikendalikan oleh organisasi lain. Keilmuan inilah yang memperkuatkan gerakan.

Kita bukan sahaja bina generasi tetapi membina asas pemikiran akliah, rasional bertunjangkan aqidah Islamiyyah bagi melahirkan syakhsiah ma’nawiyah. Tradisi ilmu dipupuk dengan mendalami kitab-kitab klasik berbahasa Arab, karya-karya agong, tulisan ulama-ulama besar.

Kita biasakan diri dengan pelbagai karya tafsir Fi Zilal, Ibn Kathir, al Qurtubi. Kita adakan kupasan-kupasan baik kitab-kitab bahasa Arab ataupun bahasa Inggeris. Contohnya karya Hasan al Banna, Sayyid Qutb, Mawlana Maududi, juga pemikiran semasa seperti Sayyid Hosein Nasr, Abu Bakar Sirajuddin, Sayyid Naqib al Attas dan Freire.”


10. TRADISI ILMU DAN AKTIVISME ANAK MUDA

“Kepimpinan sewaktu (70’an) itu memulai tradisi ilmu, berfikir terbuka dan terlepas daripada kerangka pemikiran yang jumud. Pimpinan-pimpinan muda mampu dan berupaya menggugat gagasan semasa itu contohnya isu pendidikan, sosial dan perubahan. Nyata walaupun kekuatan dan penguasaan tidak secanggih hari ini tetapi pada konteks ketika itu ia bermakna dan ia masih ampuh hasil cetusan generasi muda berusia 20’an.

Pada waktu itu, kita sudah menunjukkan, mempunyai sikap tuntas, coherent untuk menghimbau, memberi idea, boleh mempengaruhi pemikiran semasa dan pemikiran masa depan. Penubuhan UIA, UKM, dasar-dasar pendidikan, kurikulum bersepadu KBSM, sistem kewangan Islam adalah pengaruh dan kesan generasi muda zaman itu.”


11. ISLAH

“Apabila ditanya kenapa kita masih sanggup menjejaki jalan ranjau penuh penderitaan ini dengan segala mehnah dan fitnah, kita kata, dengan merujuk kepada ungkapan Islah mastata'tu - surah Hud:88 - “Tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami.””


12. MENCARI KEKUATAN

“Apabila ditanya bagaimana mencari kekuatan dengan dugaan besar yang dihadapinya, kita merujuk kepada pesanan tok guru dan alim ulama – Tok Guru Nik Aziz, Tuan Guru Hj Salleh, Shaykh Wahbah al Zuhaili semua berpesan yang sama - supaya berpaut kepada ungkapan Innalladzina qalu rabbunallah (sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, “Tuhan kami ialah Allah”) sebagai pengakuan atas ketuhanan-Nya dan keesaan-Nya - thummas taqamu (kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka) (Surah al Fushshilat: 30)”


13. PENJARA 1998-2004

“Pada tahun 1974, pertama kalinya pada September 1974, kerana memperjuangkan masalah kemiskinan Baling, saya dipenjarakan tetapi keadaan waktu itu tidaklah seteruk. Tetapi kali ini, ia amat berat bagi saya secara peribadi, merasai kepayahan, penghinaan, sukar kerana usia dan kedudukan. Saya telah dipukul, ditelangjangkan, dibiarkan bagaikan se ekor haiwan, dinafikan rawatan. Bagaimana untuk menceritakan layanan buruk ini? Sukar juga untuk memahami bagaimana boleh sampai begini jadinya. Saya terpaksa mengharunginya, Azizah dan anak-anak juga terpaksa mengharunginya. Waktu itu amat mencabar dan sangat getir. Di situlah ABIM membantu dan menolong, memberikan keyakinan bagi saya.” (Ucapan sempena Muktamar Sanawi ABIM 2005)


14. HIKMAH PENJARA

“Jika ditanya apa erti atau hikmah ini semua? Alhamdulillah, saya lebih dewasa dan lebih matang. Saya lebih bertekad untuk berjuang untuk kebebasan, kebenaran dan keadilan, dengan lebih teguh lagi. Daripada bersantapan di istana, dicampakkan ke kamar, berlumuran darah, dilayan seperti se ekor anjing, dan saya keluar daripada itu semua dengan tidak berdendam kerana kita harus terus tetap berbuat sesuatu untuk membela umat, mengangkat martabat umat di sini atau di mana-mana sahaja.
Kita mengerti makna kebebasan dan karamah insan. Keazaman lebih gigih. Perjuangan dan prinsip lebih jelas dan terang. Kita bercakap tentang demokrasi dan kebebasan. Kita bercakap sedangkan hidup senang dan selesa. Tetapi jika kita bercakap tentang demokrasi dan kebebasan daripada kehidupan dalam penjara – sudah tentu kita hargai nilai keluhuran undang-undang.
Prinsip perjuangannya tetap sama tetapi kita lebih memahami dan menggarap isu-isu. Dan tanpa dendam ke atas sesiapa. Namun, lebih bersemangat memastikan keadilan tertegak dan dinikmati oleh semua.”


15. IMAN

“Waktu saya terpenjara itu memang masa yang susah. Saya tidak pernah membayangkan bahawa sebagai seorang Timbalan Perdana Menteri sebuah negara demokratik, saya akan dipukul dan disumbat ke dalam penjara seperti mana penjenayah lain di negara ini. Saya dipisahkan daripada keluarga dan anak-anak yang  masih sedang membesar tanpa seorang bapa di sisi mereka.

Pada saat-saat kelam itu, iman yang sentiasa membekalkan sumber harapan dan pasrah bahawa segala kejadian yang berlaku adalah sebahagian daripada perancangan Allah swt, di mana kita sebagai manusia kerdil tidak akan mampu mengerti dan kepadaNya kita mesti berserah. Saya berasa tenang hati apabila menerima surat-surat mendoakan saya dari orang daripada pelbagai kepercayaan. Sehingga sekarang, saya masih terharu apabila berjumpa dengan orang-orang dan kumpulan-kumpulan yang menunjukkan belasan kasihan dan prihatin mereka ke atas diri saya dan keluarga.

Ada hikmah kelebihannya, walaupun saya tidaklah menyarankan kepada orang lain untuk ke penjara juga, hikmah membolehkan saya menumpukan masa yang panjang berdhikir mengingati Allah dan kebesaranNya, kepada bacaan dan hafalan al Qurán serta mengerjakan ibadat-ibadat sunat di dalam kamar kecil, berbanding jika berada di tampuk kerajaan. Saya lihat ada sinar harapan, kelebihan yang daripadanya saya mengambil kekuatan spiritual.”


16. INTEGRITI

“Saya telah menyatakan perihal ini dengan jelas kepada ahli keluarga saya bahawa tiada seorang pun boleh ada apa-apa kepentingan, kontrak, saham atau urusan dengan Perbendaharaan, kerana saya Menteri Kewangan.

Oleh itu, seluruh keluarga berhimpun pada cuti Eid al Fitr di kampung, bersama dengan ayah saya, sedangkan abang sulung saya menjadi jurucakap. Dia berkata. “Takkanlah hanya kerana Anwar Menteri Kewangan, kami semua tak boleh cari sara hidup?” Ini suatu pengalaman yang sungguh berat kerana saya terpaksa melawan. Azizah pun hadir masa itu. Saya terpaksa berkata, “Maaf banyak-banyak, tetapi keluarga semua perlu mencari alternatif-alternatif lain. Kalau pun telus, saya tidak bersedia berhadapan dengan orang ramai kerana mereka akan kata, ‘kamu pun sama korup macam yang lain’.” Saya tidak bersedia untuk itu dan arahan saya kepada Bank Negara, kepada Perbendaharaan adalah mereka tidak boleh mendapat apa-apa pun.

Itulah sebab apabila ada tuduhan-tuduhan liar berkenaannya, saya katakan,  “Wallahul-adhîm, jika saya dapat satu saham daripada kerajaan selama 8 tahun sebagai Menteri Kewangan, atau se bidang tanah yang saya ambil untuk diri atau keluarga, ia adalah haram, dan saya akan dikutuk jika sesiapa mempunyai bukti yang sahih.” Tetapi alhamdu-lillah, kita bersabar menanganinya.”


17. MASALAH KITA

“Masalah kita adalah apabila kita bercakap tentang Islam, tentang kerajaan, tentang demokrasi, kita tidak mengamalkannya. Ini adalah  masalah kita selama ini.”



 18. KEADILAN BUKAN DENDAM KESUMAT

“Saya di serang dan dipukul di dalam penjara. Saya dipukul di pusat tahanan Kuala Lumpur semasa  Mahathir Menteri Dalam Negeri. Pakar forensik kerajaan memberi keterangan bahawa pukulan itu bertujuan melumpuh atau menyebabkan kematian.  Adakah sebarang pendakwaan? Tidak, sehinggalah tekanan media antarabangsa dan kebangkitan rakyat memaksa ketua polis negara didakwa dan dihukum penjara 1 bulan. Saya pula dikenakan 6 tahun!

Bukanlah saya ingin berdendam...sudahlah.. kita tinggalkanlah ini. Bukanlah memuaskan hati saya untuk melihat bekas ketua polis ini menjalani 6 tahun penjara. Saya harap dia bertaubat dan memperbaiki dirinya. Itu saja. Saya mahu teruskan kehidupan saya tetapi kezaliman ini tidak boleh berulang. Jikalau saya selaku mantan Timbalan Perdana Menteri boleh diperlakukan sebegini, bagaimana pula orang miskin gelandangan? Bagaimana dengan orang kampung? Siapa yang ambil peduli tentang mereka? Inilah hakikat yang perlu ditegaskan, dititikberatkan.”


19. PESANAN SAHABAT 1982

“Saya kagum dengan sosok keperibadian, kepimpinan serta ketokohan yang ditonjolkan oleh al marhum Ustaz Fadzil Noor dan teringat kata-kata kebimbangan yang diucapkan dalam satu pertemuan panjang.

 “’Ya, ana doakan sebaiknya kerana ana tidak pernah pertikai niat anta dan keupayaan Anwar. Cuma ana bimbang satu perkara, mereka akan khianati anta.’ kata al marhum Ustaz Fadzil Noor.””


20. PESANAN SAHABAT 1997

“Sahabat saya, al marhum Ustaz Fadzil Noor, rakan di sebelah parti pembangkang waktu itu, juga ketua Parti Islam, apabila saya membawa rang undang-undang anti rasuah ke sidang Parlimen, dia berbisik kepada saya, “Anwar, berjaga-jaga, anta melakukan sesuatu yang sangat berani, untuk bawa rang undang-undang ini.” Dia berkata, “Anta tentu tahu mereka ini tidak bersedia untuk memperagakan harta kekayaan mereka kepada peraturan undang-undang.”

Kemudiannya, saya pula yang didakwa dan dihukum 6 tahun di bawah ordinan darurat atas tuduhan salahguna kuasa.”


21. PESANAN TOK GURU 1

Anwar, kamu boleh memaafkan orang yang menzalimi kamu dan orang yang memukul kamu. Tetapi kamu kena ingat ini jadi pengajaran.
Besok kalau Allah takdirkan kamu perintah, kamu kena ingat apa erti kezaliman.
Apa erti kezaliman? Apa erti sakit dipukul walaupun kamu tidak bersalah?
Apa erti kamu dizalimi dan dipenjara, padahal kamu difitnah.
Apa sengsara Azizah dan anak-anak?
Apa erti rasa kamu derita dizalimi bertahun-tahun?
Apa ertinya kezaliman ini?
Apa pengajarannya?
Kamu kena ingat. Ini bukan soal Anwar.”

“Tidak banyak orang lalui macam kamu. Pemangku Perdana Menteri sudah. Bintang pun sudah penuh. Tetapi ada hikmahnya.”


22. PESANAN TOK GURU 2

"Anwar kamu dah rasa apa itu kemisknan, kamu dah rasa penderitaan, kamu juga dan rasa betapa sakitnya dipukul. Satu hari nanti, jika Allah takdirkan kamu berkuasa dan memerintah negara, jangan sekali-kali buat rakyat derita.”

“Kalau ditakdirkan pemimpin maka Anwar kena pastikan jangan ada seorang pun rakyat Malaysia, Melayu, Cina , India, Dayak, Kadazan yang hadapi dan rasa sakit derita seperti yang kamu rasa.
Kamu mesti pastikan bila kamu ada kuasa, kamu kenang nasib mereka, setiap rakyat ini kerana tidak ramai orang yang rasa macam kamu rasa. Rasa susah derita macam mereka rasa.

Jaga mereka seperti anak-anak kamu sendiri maka inshaa Allah, kamu akan menjadi pemimpin yang baik.”


23. BICARA SEPANJANG HAYAT

“Ya, saya pernah memikirkan kesengsaraan jika dipenjara lagi, mengenangkan dulu kena pukul, merasakan cukuplah, bersara dan lepaskan diri. Bahkan, kita pun menempah hotel-hotel terbaik di dunia dan asyik menikmati juadah paling enak.  Apa lagi yang kita mahu? Adakah ini menjadi ragam hidup kita sepanjang hayat?

Tetapi bagaimana komitmen kita kepada rakyat kita? Bagaimana dengan demokrasi di Malaysia dan keluhuran undang-undang, kehakiman adil, media bebas, semua yang kita pernah bicarakan sepanjang hidup kita ini?”


24. UNTUK RAKYAT

“Saya ingin memulakan ucapan saya dengan menegaskan bahawa saya dan rakan-rakan bersedia melakukan apa sahaja demi untuk membela rakyat. Kami menyokong sebarang inisiatif untuk membantu rakyat. Ada di antara kami telah masuk penjara, dipukul dan disembur dengan gas pemedih mata demi memperjuangkan nasib rakyat.”


25. PERPADUAN BUKAN PERKAUMAN

“Prinsip karamah insaniah (kemuliaan insan) dan litaarafu (saling berkenalan) inilah yang menggembeling keyakinan baru di kalangan umat Melayu dan bumiputera untuk membanteras sikap perkauman dan membantah sebarang dasar yang meminggirkan golongan lain atas pertimbangan ras. Justeru itu jangan ada yang mahu menggantikan satu bentuk rasisme dengan rasisme yang baru, dengan membidas perkauman Umno semata-mata dari perspektif kepentingan kaum tertentu. Kepada kaum Cina, India, Kadazan, Iban dan Melayu, ingin saya jelaskan di sini perkauman sempit tidak boleh ditewaskan dengan perjuangan serta tuntutan perkauman sempit juga. 

Jika ini berlaku, maka tidak akan ada kemajuan dalam perjuangan melawan perkauman. Perjuangan melawan perkauman hanya akan berjaya jika didorong oleh keadilan sejagat dan kesederhanaan sikap.”


26. PERSAUDARAAN INSAN

“Rakyat Malaysia dari pelbagai kaum mempunyai moral resources - khazanah akhlak, yang kaya untuk memerangi fikiran sempit dan perkauman, dan menggantikannya dengan keadilan sejagat untuk semua, menghapuskan prasangka dan menyemai benih persaudaraan insaniah. Inilah yang dituntut oleh Saidina Ali Karamallahu Wajhah apabila ditanya mengenai persaudaraan sesama insan:
Akhukum fil Insaniah (Persaudaraan sesama insan) yang mana turut bergema dalam tradisi Tamil: ontre kulam oruvane thevan ( satu jiwa kerana kemanusiaan) dan  juga dalam tradisi Cina yang diungkapkan oleh mahaguru Kung dalam kitab Lun Yu,“si hai zhi nie jie xiong di” (empat lautan terbentang luas, semua manusia bersaudara).”


27. BTN

“Kita perlu fokus kepada usaha memupuk kefahaman, kesedaran awam melalui pendidikan, pengupayaan ekonomi dan keadilan sosial. Adakalanya, kita semacam terkeliru di antara agenda rasis Melayu dengan program keadilan Islam. Pada tahun-tahun 70'an PKPIM dan ABIM diserang oleh BTN khususnya kerana didakwa mesej universal Islam kita bukan secocok mesej  ‘Melayu’. Sebenarnya, mereka gagal memahami watak Melayu itu sendiri adalah watak Islam. Memadam Islam daripada watak Melayu akan merendahkan martabatnya kepada watak yang kontang budaya, bahasa dan keimanan. BTN juga gagal memahami apa itu keadilan sosial.”


28. PERTUMBUHAN EKONOMI DAN AKAUNTABILITI

“Saya berhujah, “Tanpa pertumbuhan, kita tidak akan jana pendapatan. Natijahnya kita hanya mengagihkan kepapaan!”

Jadi, kita sedar kita perlu ada dan memperkenalkan preskripsi ekonomi dan dasar yang mejanakan kekayaan negara. Ini bermakna membawa polisi-polisi yang tidak semestinya kita selesa dengannya- apa lagi dengan banyak kemiskinan dan kesusahan, kita pula memajukan pertumbuhan, mempromosi bisnes dan pembangunan.  Oleh kerana kita ada perasaan, kita mempunyai masalah yang dirasai, bagaimana hendak menyelesaikan keruncingan perumahan dan miskin tegar di tengah-tengah kita?

Kita laksana dasar-dasar yang menggalakkan pertumbuhan. Tidak ada jalan lain. Untuk laksana polisi pertumbuhan, kita mesti ada kedaulatan undang-undang. Kedaulatan undang-undang perlu ditempatkan, berada di posisinya, peraturan-peraturan berjalan, semuanya telus dan semuanya dipertanggungjawabkan – ada akauntabiliti.”


29. MENGURUS EKONOMI NEGARA

“Bagaimana kita hendak mengajak berwaspada mengurus pertumbuhan ekonomi yang pesat? Kita gunakan pengkisahan Sayyidina Yusuf (as) tentang perencanaan 7 tahun menangani kedatangan kemelesetan tahun-tahun berikutnya. Kita masih ingat, ada rakan-rakan di Parlimen menyoal dan menyindir tentang apa relevannya ayat Qur’an kepada ekonomi moden dan pasaran bebas. Kita jawab bahawa tiada jaminan pertumbuhan pesat itu akan terus berlaku sampai bila-bila, tak kira betapa hebat, bijak atau bertanggungjawabnya kita ini. Kita perlu bersifat penuh tawadu’ untuk bersedia menerima peristiwa-peristiwa yang di luar dugaan atau kawalan.

Oleh itu, panduan terbaik adalah berdasarkan pengalaman Nabi Yusuf a.s. di dalam al Qur’an untuk merancang dan bersedia.  Kita pun menyalurkan sebahagian lebihan ke dana akaun amanah khas untuk masa depan.

Itulah sebab apabila kita hadapi ekonomi merudum pada 1997 dan 1998, oleh kerana kita mempunyai surplus, rizab besar  dan dana-dana khas kita mampu bertahan.”


30. CABARAN MERUBAH PARADIGMA

“Apabila membincangkan pengurangan cukai, kita merujuk kepada thesis Abd ar-Rahman Ibn Khaldun. Ibn Khaldun berkata apabila cukai diturunkan orang akan bekerja lebih bersungguh dan pendidikan akan lebih maju, akhirnya kerajaan menjana pendapatan yang lebih. Apabila kita selaku Menteri Kewangan sekitar tahun 1993-1994 bercakap tentang Ibn Khaldun dari abad ke 14 kepada audien, ada loyar-loyar buruk di kalangan banker dan juruanalisa menyampuk, “Menteri ini Wahabbi ke apa?” Dengan menyedari kesinisan itu, kita bawa pula pandangan seorang pujangga Cina kurun lalu yang juga menganjurkan thesis penurunan cukai yang seumpama. Begitulah betapa sukar untuk lebih terbuka menampilkan model dan pengajaran di luar kerangka sistem sedia ada untuk digarap dan difahami.”



 31. PENGURUSAN EKONOMI BERHEMAH

“Dengan pertumbuhan 9%, kita jalankan rancangan perumahan rakyat besar-besaran. Program besar-besaran pembasmian kemiskinan. Bukan seperti inisiatif kerajaan British yang merupakan pemberian terus tetapi dasar-dasar yang digubal supaya rakyat bekerja dan beroleh pendapatan kecualilah mereka warga tua, OKU atau miskin tegar. Kalau tidak, sentiasa mereka miskin dan memerlukan pemberian.

Waktu itu, keadaan ekonomi dunia nampak baik. Bermula dengan defisit kecil, kita capai belanjawan berimbang dalam tempoh 2 tahun. Tahun berikutnya, kita capai lebihan – surplus belanjawan. Saya terpaksa berurusan dengan pemimpin saya yang ingin berbelanja besar dengan pembinaan menara-menara tinggi,  projek-projek mega dan pembelian-pembelian mahal, maka saya harus bijak meletakkan sebahagian dana peruntukan dalam kontingensi bagi masa depan. Kita namakan akaun amanah untuk generasi masa depan. 

Apabila kita ada surplus – lebihan - kita tambah peruntukan untuk kesihatan dan pendidikan. Jika ada lebihan, kita simpan untuk generasi masa depan.  Sekarang, setelah saya dipecat, semua dana ini telah lesap digunakan. Tiada apa pun dalam belanjawan. Sekarang kita hadapi defisit serious melebihi 4% (pada tahun 2005).

Ya, memang saya gusar, kerana kita telah bekerja keras untuk itu. Dengan pengurusan berhemah, kita boleh ada simpanan tanpa mengurangkan belanjawan pendidikan dan kesihatan.”


32. INILAH PAKATAN RAKYAT, BUKAN KADUK NAIK JUNJUNG

“Maka rakyat memberikan dokongan kepada gagasan Keadilan, DAP dan Pas. Jika kita lihat persiapan jentera pilihanraya, kerjasama antara parti-parti kita yang masih longgar, dan kita melihat pula juggernaut – raksasa pilihanraya Umno-BN, dengan propaganda licik dan penuh fitnah, semua merasa mustahil kita mampu memperoleh kemenangan yang begitu besar.

Tetapi rakyat memberikan kita kepercayaan. Maka kita harus insaf dan bersifat tawadhu. Kita memperoleh kemenangan tersebut bukan kerana kekuatan kita atau jentera parti. Kita di Dewan Rakyat, di tampuk pemerintahan negeri kerana rakyat memberikan kita sedikit keyakinan. Kita jangan sekali jadi seperti kaduk naik junjung.

Maka kita jangan mengkhianati kepercayaan tersebut.  Kita perlu yakin dengan kebijaksanaan rakyat. Meskipun mereka dihujani dengan propaganda murahan, dan mereka disekat dengan pelbagai instrumen pemerintahan, tetapi bila tiba saatnya, rakyat akan membuat pilihan dan penentuan yang benar dan adil.”



 33. PAKATAN ADALAH GERAKAN POLITIK MASSA

“Pakatan Rakyat, bukan sekadar sebagai gabungan parti-parti politik, tetapi juga sebagai gerakan politik. Pakatan Rakyat is not merely a political alliance, it is first and foremost a political movement.

Perjuangan yang kita bawa ini bukan milik parti-parti politik semata-mata. Agenda perubahan, agenda reformasi yang kita bawa turut menjadi milik lembaga swadaya masyarakat (NGO), blogger, pemikir, penyair dan seniman.

Dengan kepercayaan rakyat  yang kita perolehi kita kini berada di persimpangan zaman. Kita tidak berjuang sekadar untuk mengganti satu kekuasaan dengan kekuasaan yang lain. Kita tidak berjuang untuk membuat perubahan runcit-runcitan. Kita berjuang untuk membuat perubahan besar, big change, fundamental change. Semangat dan hati nurani rakyat menuntut ini dan mendorong kita membuat lompatan yang jauh. Maka kita perlu ada keberanian kebenaran, the courage of truth, keyakinan terhadap semangat rakyat, faith in the power of the spirit of the people.”


34. DASAR PAKATAN

“Dasar Pakatan adalah garis besar perjuangan rakyat. Dasar-dasar ini adalah moral compass dalam perjuangan politik kita. Pakatan Rakyat akan berlayar jauh, maka kita perlu ada kesatuan fikrah, kesatuan pemikiran dan sentiasa berada di garis tengah. Kita perlu mematuhi ethics of coalition, Etika Pakatan.

Setiap kumpulan punya tuntutannya sendiri dan mempunyai legitimasi dan keabsahannya. Tetapi kita juga perlu melihat urutan keutamaan kerana tidak semua tuntutan boleh ditangani dengan sekaligus. Maka kita tidak boleh melihat tuntutan political constituency masing-masing tanpa melihat dan mempertimbangkan political constituency rakan-rakan kita. Perlu ada sikap empathy, keprihatinan terhadap pelbagai sektor dan constituency rakan –rakan kita.”


35. IDEALISME KEADILAN DAN PAKATAN RAKYAT

“Perbandingan dengan UMNO/BN tidak cukup kerana BN/UNMO mewakili sistem yang bobrok dan rosak. Maka sistem kita, kalau kita ingin katakan kita lebih baik daripada BN, tidak mencukupi. Kita tidak tertegak kerana kita lebih baik daripada BN. Kita tertegak kerana kita menjanji, mengikrarkan pembaharuan dan reformasi.”


36. PR: MENANGANI PERBEDAAN DAN MENGUTAMAKAN INSAN

“Bagaimana untuk mempertahankan prinsip dalam keadaan perbedaan – a serious discourse in a coalition of contentious forces. Perbincangan wajar berlegar bagaimana kebebasan dan keadilan itu diterjemahkan ke dalam kepedulian ekonomi pasaran - market economy dan menginsafi derita rakyat. Prinsip kebebasan, pemerkasaan, kemuliaan insan dan keadilan mesti dipertahankan. Pakatan Rakyat akan hanya relevan jika ada pembaharuan nilai dan polisi kepada sistem – supaya tiada lagi pembaziran dan ketirisan – supaya rakyat terbela.  Selepas perubahan, it cannot be business as usual – bukan urusan cara lazim lagi.  Kita memberi peringatan bahawa perjuangan tidak selesai hanya dengan PR menang.”


37. KESENJANGAN POLITIK

“Kritikan terhadap mana-mana parti politik adalah tentang kesenjangan – disconnect  kerana apa yang diandaikan oleh ahli politik tidak semestinya menjadi hakikat di bawah, bukan menjadi realiti di lapangan. Ia tidak mencerminkan hasrat dan aspirasi rakyat. Ini memerlukan satu perubahan, satu kebangkitan.

Oleh itu, kita harus mempertahankan tradisi keilmuan dan tarbiyyah.”


38. MEREKA TAK PEDULI

“Dasar pendidikan sedang dihumban tanpa berunding dengan sesiapa. Bahasa Melayu diremehkan. Kita hairan kenapa tiada kemarahan dan keprihatinan umat kita. Umat kita sudah lembik. Dengan memaksa anak-anak Melayu belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris akan menyebabkan 200,000 orang pelajar Melayu jadi parah. Kesan kepada pelajar Cina pun buruk. Akibatnya, mutu pelajaran Sains dan Matematik merosot. Tidak ada perbahasan pun di perhimpunan UMNO. Yang ada isu AP dan itupun kerana ia tidak diagihkan kepada lebih ramai pimpinan UMNO yang ada.

Kata-kata Imam Shafie r.a. “Kalangan yang sibuk dan ghairah dengan perut mereka sendiri, nilainya tidak lebih dengan apa yang keluar daripada perut mereka.””


39. PEMIMPIN DAN KERANGKA BESAR PERJUANGAN

“Ini kerana, hendak memimpin ini menuntut kepada sikap yang lebih tegas dan berani. Idealisme yang lebih baik. Ilmu yang lebih mendalam. Kalau ilmu kita itu mendatar. Jika pidato kita sepertimana menteri biasa, kita tidak akan mampu memimpin. Kalau pengucapan bahasa kita cukup hambar, kita tidak akan boleh menonjolkan diri kita lebih daripada yang lain. Kita tidak dapat mengangkat sebagai contoh atau teladan baik dari segi bahasa, sahsiah atau keperibadian. Apatah lagi konsep ilmu.

Sebab itu, kita pohon kalau pun bukan kesemuanya tetapi kita cuba menggarap, menanggapi, menilai dan menangkap maksud kerangka perjuangan yang lebih besar. Apa maksud kerangka yang lebih besar? Kalau tidak ada kerangka ini, kita akan terbawa dan terheret dengan tuntutan semasa.”


40. PEMIMPIN TITANIC

“Peringatan kepada peristiwa malapetaka kapal Titanic  - obsesi dan keangkuhan dengan pemacuan berkuasa besar,  negara dibawa tanpa tanggungjawab; pemimpin – samada presiden atau perdana menteri menolak pandangan orang-orang pintar tanpa mempedulikan bahaya dan bencana. Apabila Titanic tenggelam –atau ekonomi merudum, orang-orang kaya dek atas yang diselamatkan manakala yang papa di dek bawah dibiarkan saja.”


41. SIAPA TANGGUNG

“Siapa sepatutnya menanggung bebanan hutang negara – orang kaya atau orang miskin?
Kini semakin hilang percaya dengan kapitalisme dan persekongkolan golongan kaya raya dengan ahli politik elit. Ia merupakan kekecewaan dengan penyelewengan ekonomi berasaskan pasaran. Ekonomi pasaran berjaya mencatat pertumbuhan tetapi tiada keadilan. Apabila berlaku krisis, yang kaya masih terselamat dan yang miskin terus merempat.”


42. PENJARA AUTOKRAT

“Pemimpin diktator sering percaya bahawa cara paling berkesan untuk menangani pembangkang adalah dengan memenjarakan mereka. Tetapi sepanjang sejarah menunjukkan bahawa langkah ini hanya memakan diri.”


43. ORANG TAHU SIAPA CURI

“Saya teringat yang kawan saya dulu sumbat saya ke dalam penjara dan yang lawan saya dulu tolong bela saya. Saya tidak ada niat untuk dera mereka (yang menzalimi saya). Saya tidak ada niat untuk berdendam.  Mahathir tangkap saya, tetapi saya tidak akan tangkap dia. Rahim Noor memukul saya tetapi saya tidak akan memukul dia. Saya tidak ada niat.

Tetapi saya ingin bagitahu bahawa duit yang mereka curi dari rakyat berbilion ringgit, saya hendak pastikan dikembalikan kepada rakyat.

Jadi pemimpin kena berani. Berani untuk membetulkan. Orang tahu siapa curi, siapa rasuah, siapa ambil harta negara. Ini kena dihentikan.”


44. MEDIA BARU

“Media baru menjadi landasan strategi komunikasi pembangkang. Kita perlu aktif online dan mencipta cara-cara inovatif untuk sampai kepada konstituensi di dalam talian atau di luar talian bagi mengimbangi ketempangan  maklumat demi menandingi TV dan suratkhabar yang dikontrol kerajaan. Penyampaian kita kepada generasi baru rakyat Malaysia pada umumnya  akan berlaku melalui teknologi.

Tetapi saya tidak percaya bahawa teknologi adalah penawar - penyelesaian kepada segala-galanya. Memang teknologi merubah haluan politik dan polisi di seluruh dunia tetapi kumpulan-kumpulan ektremis juga mengeksploitasinya. Barangsiapa yang bakal meraih keuntungan daripada teknologi ini bergantung kepada dua perkara – pelakuan strategi yang koheren dan kualiti mesej yang dibawa. Maklumat akan bergerak pantas dengan apa cara sekali pun jika ada permintaan untuk kandungan isinya.”



 45. APA ISLAMOPHOBIA

“Permusuhan terhadap Islam dalam sejarah menunjukkan ia seiring dengan anti Semitism – permusuhan yang disuburkan di dalam sungai yang sama, kata intelektual tersohor Edward Said. Islamophobia adalah bahaya yang tersembunyi. Ia adalah  rasisme yang amat mudarat -   racism with steroids - rasisme diransang hormon. Islamophobia adalah percubaan untuk mengasingkan dan mengnyahkan  orang Islam daripada ruang awam, kehidupan khalayak,  daripada ekonomi, daripada politik.  Tasawur Islam, penyertaan dan konsep ditolak secara bulat-bulat.”


46. JIKA TANPA PERUBAHAN

‘’Perdebatan demokrasi bukan teori. Ia lahir daripada hasrat hati kita menginginkan maruah dan kehormatan serta fitrah naluri yang mengidamkan kemajuan insan dan kelangsungan hidup. Setiap hari yang berlalu tanpa perubahan, menyaksikan derita semalaman lagi tahanan politik merengkok di penjara bersendirian; seorang lagi nyawa terkorban kerana lapar dan wabak akibat terabai dan deprivasi; satu lagi kesempatan orang korup merompak berjuta dari perbendaharaan negara.

Perdebatannya adalah tentang baiah rakyat dengan kerajaan, tentang tatakelola tadbir urus dan akauntabiliti. Kita tolak keangkuhan kuasa, gelagat mainan badan-badan perisikan dan penggantungan hak asasi kebebasan.”


47. FITRAH UNIVERSAL

“Cahaya yang akan bersinar menyahkan gelap kezaliman adalah keterlibatan – engagement, apabila dilakukan gigih dengan penuh keberanian dan keyakinan. Kita mesti tolak meminggir orang semata-mata kerana pegangan politik mereka. Kita mesti memastikan institusi-institusi demokratik berdiri teguh mengakomodasi spektrum politik selebar-lebarnya merai pelbagai perspektif dan kecenderungan.

Barat tidak boleh memandang ulama tradisional sebagai penentang kebebasan atau demokrasi. Banyak ulama telah berjuang untuk kebebasan dan keadilan, dan banyak pula di kalangan mereka yang telah membayar harga yang mahal.

Adalah suatu kesilapan jika hanya memilih untuk libatserta dengan golongan  liberal manakala mengkesampingkan pemimpin-pemimpin yang mendapat kepercayaan ramai. Cabaran kita adalah untuk keterlibatan yang selebar-lebarnya, tanpa mengkompromi komitmen kita  kepada kebebasan dan demokrasi.

Kesimpulannya adalah fitrah manusia itu universal,  ingin bebas dan menjalani hidup bermaruah; sangat gusar terhadap kuku besi dan kezaliman. Ini adalah keghairahan semangat yang mendorong bukan sahaja umat Islam tetapi umat manusia semua tamaddun.”


48. PRASYARAT DEMOKRASI BERPERLEMBAGAAN

“Menurut setengah pihak, tata politik sekular adalah prasyarat kepada demokrasi berperlembagaan. Tetapi pengalaman di Mesir di bawah Nasserisme, Iraq di bawah Baathisme dan Indonesia di bawah Suharto dulu yang terang-terangan sekular namun tidak menjelmakan demokrasi berperlembagaan, bahkan menjadi ramuan tirani.  Adalah lebih tepat jika dikatakan bahawa demokrasi berperlembagaan tidak akan mengakar di dalam masyarakat, samada sekular atau Islamik, tanpa komitmen tegas dan mendalam pihak elit politik untuk melindungi hak-hak asasi semua orang.”


49. PENGALAMAN TURKI

“Usaha yang Turki telah lakukan dalam mengemudi ke arah “konsensus baru” menyerlahkan negara itu sebagai demokrasi yang segar dan matang. Ia dilakukan di dalam kerangka demokratik bagi memenuhi aspirasi mengulangi sejarah gemilang warisan budayanya. Turki ingin mematangkan lagi amalan demokrasinya di samping mengekalkan identiti Islamnya. Kerajaan Erdogan mempunyai mandat demokratik daripada rakyatnya.  

Tekun dan cekal kepada pegangan politiknya, sosok Erdogan menunjukkan kualiti yang diperlukan bagi memajukan reformasi demokratik dan keadilan sosial.  Di bawah kepimpinannya, sekularisme (tebal di Turki) tidak lagi dilihat sebagai “penentang agama” tetapi dianggap sebagai prinsip asas  saksama tanpa berpihak dan toleransi kepada kemajmukan agama. Pada pemikiran saya, jika sebuah negara demokratik Muslim ingin meletakkan had kepada kuasa kerajaan ke atas hak individu , ini adalah seiring dengan keperluan demokrasi berperlembagaan.”


50. KUASA DAN TATAKELOLA

“Pemilik kuasa akan terpedaya jika menganggap kuasa itu suatu kesucian. Dengan kebijaksanaannya untuk bermuhasabah, Khalifah Umar Abdul Aziz melantik hisbah bagi mengawasi tingkahlaku dirinya sendiri.  Umar berhujah kepada pengawas-pengawasnya:  “Pemerintah lazimnya melantik orang bagi mengawasi rakyat jelata. Aku melantik kamu supaya mengawasi aku dan tingkahlaku aku.”

 “Keupayaan manusia untuk menegakkan keadilan memungkinkan demokrasi, tetapi kecenderungan manusia untuk melakukan ketidakadilan menjadikan demokrasi wajib” – Ahli theologi Christian Reinhold Niebuhr.

Selaku menteri kewangan dulu, saya sebutkan kebijaksanaan menegur sebagai semakan dan kawalan ke atas godaan kuasa yang mengajak kepada kesombongan, lalai dan berpura-pura. Kritikan terhadap bermegah-megahan adalah perlu bagi memastikan alat-alat dan institusi-institusi negara demokratik terhindar daripada godaan menggunakan kaedah-kaedah yang  melanggar undang-undang, yang menyebabkan kezaliman dan menindas pandangan-pandangan  berbeda serta  menginjak-injak pembangkang.

Bukan saja kita perlu menolak mengaitkan kuasa dengan kesucian tetapi kemasyhuran itu mesti diiringi kepedulian ke atas mereka yang merana angkara manusia lain yang tidak berperi kemanusiaan.

Impiannya bukan hanya untuk pembebasan manusia bahkan supaya tatakelola beretika. Tanpa tatakelola beretika semua perjuangan sia-sia dan tidak bererti."






No comments: