Pernyataan Wadah sempena Hari
Kemerdekaan ke-60 dan Perayaan Eidul Adha al Mubarak 1438H
MEMBANGUN JIWA MERDEKA,
BERKORBAN DEMI AGAMA DAN NUSA
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
(Wadah) menginsafi dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT sempena Ulangtahun
Kemerdekaan negara kali ke-60 pada tahun 2017 ini.
Sesungguhnya kemerdekaan adalah
nikmat dan anugerah yang amat bermakna bagi seluruh rakyat. Kemerdekaan bererti
bebas dari kongkongan penjajah. Kemerdekaan bererti kita mempunyai kuasa untuk
memerintah dan menentukan masa depan negara dengan cara dan pendekatan kita
sendiri. Atas dasar itu kemerdekaan adalah hak milik amat berharga, yang harus
dipertahankan sekalipun dengan darah dan nyawa.
Kemerdekaan, bagaimanapun tidak
terhenti dengan kejayaan membebaskan negara dari cengkaman penjajah. Apa yang
jauh lebih penting ialah bagaimana kita mengisi kemerdekaan tersebut dengan
usaha yang sungguh-sungguh bagi mengangkat rakyat menjadi rakyat yang berdaulat
dan bermartabat berasaskan prinsip keadilan, kesaksamaan dan nilai-nilai murni.
Akan lebih bermakna sekiranya pembangunan negara dilaksanakan secara seimbang
dan lestari dengan kemakmuran yang diperolehi dinikmati bersama secara adil.
Dalam masa yang sama rakyat menikmati kebebasan dan peluang untuk bekerja dan
meningkatkan kemampuan diri. Mereka juga memiliki kebebasan untuk menyuarakan
pandangan dan kritikan bagi kebaikan bersama. Tidak ada makna kemerdekaan kalau
kekayaan negara hanya dinikmati oleh sebilangan kecil kelompok elit dan para
pemodal, sedang rakyat terbanyak tertekan dengan kemiskinan dan kos hidup yang
tinggi. Tidak juga bermakna kemerdekaan sekiranya rakyat tidak mempunyai
kebebasan untuk bersuara dan menyatakan pandangan sesuai dengan prinsip-prinsip
demokrasi. Apa ertinya kemerdekaan sekiranya nilai dan perbuatan buruk seperti
rasuah dan pembaziran, pornografi dan kerusakan akhlak, politik kebencian
(politics of hate) dan politik menakut-nakutkan (politics of fear) menular
menjadi budaya yang diterima masyarakat?
Penghayatan kemerdekaan harus
menjulang tema pembebasan dari belenggu kejahilan, pembodohan, budaya rasuah
dan pembohongan serta kebobrokan akhlak yang melibatkan bukan hanya rakyat
biasa tetapi juga mereka yang berada di tampuk kekuasaan. Kemerdekaan sebenar
bererti kejayaan mengangkat kemuliaan insan dan martabat umat selaras dengan
prinsip-prinsip agama yang murni.
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
(Wadah) juga menyedari bahawa waktu ini jutaan umat Islam sedang berada di
Tanah Suci bagi menunaikàn Rukun Islam yang kelima. Perhimpunan tahunan ini
menjunjung falsafah pengorbanan dan sebagai bukti kemerdekaan jiwa daripada
memperhambakan diri kepada makhluk manusia, nafsu dan dunia, kepada perhambaan
mutlak kepada Allah SWT.
Sesunģguhnya pensyariatan Ibadah
Haji adalah kemuncak pembuktian Iman dan Taqwa yang melahirkan warga negara dan
warga dunia yang benar-benar bebas dan merdeka.
Moga semangat merdeka yang
ditanam dalam jiwa sanubari rakyat dapat diperteguh dengan semangat pengorbanan
demi mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanahair.
Selamat menyambut Hari
Kemerdekaan ke-60 dan Salam Eidul Adha al-Mubarak.
Ahmad Azam Abd Rahman
Presiden
www.wadah.org.my
wadahpusat@gmail.com
No comments:
Post a Comment