SELAMAT PULANG ANWAR IBRAHIM!
MENEMPUH RANJAU, ONAK DAN DURI – MEMPERJUANGKAN REFORMASI
RANJAU SEPANJANG JALAN
Pada November 2017, sewaktu sekumpulan pasukan sukarelawan ABIM membawa
bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir terbesar yang melanda
kawasan Lahar Yooi Pulau Pinang, seorang warga tua menyahut, “Hangpa dari ABIM
ke? Teringat pulak kat Pak Shaykh, kesian kat dia, dia dok dalam lagi.” Banyak
lagi anekdot boleh dicatat daripada penduduk setinggan Sg Nibong Tengah pada
tahun 80’an dan juga Baling pada tahun 1974 sebagai cerita rakyat marhaen serta
merata pelusuk tanah air. Begitulah sosok Anwar Ibrahim diingati oleh mereka
yang mengenangkan jasanya sewaktu mahasiswa yang turun berkhidmat masuk ke
kampung mereka dan mereka mengamatinya sehingga bersinar naik menjadi menteri
kemudian malap kejatuhannya disumbat ke dalam penjara dan dipukul setengah mati.
Anwar Ibrahim tersemat di dalam hati nurani rakyat kerana dia pelopor gerakan
kebangkitan Islam, pendakwah karismatik, tokoh politik tersohor dan negarawan
yang disanjungi.
Di ambang pemecatan dan pemenjaraan Anwar Ibrahim pada 1998, sumber khas menganalisa
dan mengandaikan penyokong-penyokong Anwar terutama daripada partinya tidak
akan setia bertahan lama, lalu mereka menfokus kepada ABIM dilabel pendokong
tegar atau disifatkan sebagai ‘diehards’. Namun analisa ini meleset
kerana walaupun ketika itu ABIM, gerakan Islam, parti Islam PAS dan masyarakat
sivil memang mengambil pendirian tegas berasaskan kebenaran dan keadilan tetapi
yang sebenar mengangkatnya dan membelanya adalah rakyat. Ini telah memastikan
Anwar tidak dilupakan di mata hati rakyat – ‘jauh di mata namun tetap di hati’
- walaupun dia dipaksa merengkok lama di balik tabir besi dan dicaci serta
dihina media utama begitu rupa.
Rakyat menyaksikan sendiri layanan buruk yang diterima oleh seorang pemimpin
harapan umat dan merekalah juga memastikan Anwar diangkat menjadi ikon
Reformasi. Anwar mengajak kepada perubahan daripada sistem yang korup, bobrok
dan maju bersama menyelamatkan negara. Dari sebalik tirai besi, Anwar membidani
kelahiran parti baru, parti Reformasi pelbagai kaum, Parti KeAdilan yang juga
bakal membawa perubahan besar kepada
ragam politik tanah air. Pilihanraya 1999 menyaksikan buat pertama kalinya
beberapa kekalahan parti pemerintah tetapi pentadbiran negara masih mengekalkan
status quo. Anwar kekal di dalam penjara.
Setelah kemenangan besar kerajaan Pak Lah pada pilihanraya 2004, Anwar
dibebaskan dan dia disebut dalam suatu wawancara sebagai ‘politically forgotten’ –
pesaing enteng oleh PM pada waktu itu.
Anwar bergerak merangka strategi, meraih sokongan dan dokongan rakan-rakan, menemukan
parti-parti berlainan ideologi, menjambatani perbedaan, melerai perbalahan dan menjelajah
seluruh negara membangkitkan semangat rakyat
sehingga berjaya mewujudkan Pakatan Rakyat – gabungan parti yang
berkoalisi berasaskan ‘moral compact’ – ikatan moral bagi memperjuangkan
keadilan sosial demi mensejahterakan rakyat Malaysia. Anwar berjaya menangani
pertembungan dan kepelbagaian bersama rakan-rakannya dalam satu pakatan yang
sering diuji muafakatnya dalam isu-isu getir yang berjaya diolah oleh Anwar
serta diartikulasi meyakinkan pimpinan semua parti agar terus bersatu pada
waktu itu.
Kemaraan Anwar disekat sekali lagi dengan tuduhan kedua dan bermula semula
adegan fitnah jijik serta kemunculan Anwar yang kesekian kalinya terpaksa naik
turun menghadiri perbicaraan-perbicaraan di mahkamah bagi membela dan
mempertahankan diri demi memelihara maruahnya. Pilihanraya 2008 menyaksikan
Tsunami politik pertama merubah landskap negara dengan menafikan kuasa dua per
tiga kerajaan. Anwar juga telah kembali ‘menggegarkan parlimen’. Pak Lah akur
dengan prestasinya yang merudum lalu
mengundur diri.
Pilihanraya 2013 menyaksikan kemenangan undi popular bagi Pakatan Rakyat
walaupun masih tidak dapat menguasai parlimen. Pada Februari 2015 Anwar
dipenjarakan setelah dijatuh hukum oleh Mahkamah Persekutuan. Musuh-musuh
politik Anwar seolah-olah ingin merayakan musibah ini dengan melakukan ‘jelajah
qazaf’ bertujuan membenam terus reputasinya.
Pakatan Rakyat dilanda krisis pertelagahan besar apabila perbedaan tidak
dapat lagi ditangani sehingga PAS meninggalkan pakatan berkenaan. Peluang dan
harapan Pakatan Rakyat bertambah tipis.
ISTIQAMAH DAN KESABARAN DALAM PERJUANGAN
Di sinilah dapat disaksikan istiqamah dan kesabaran Anwar Ibrahim dalam
perjuangan. Apabila ditanya bagaimana mencari kekuatan dengan dugaan besar yang
dihadapinya, dia merujuk kepada pesanan-pesanan tok guru dan alim ulama – al
marhum Tok Guru Nik Aziz, Tuan Guru Hj Salleh, Shaykh Wahbah al Zuhaili semuanya
berpesan yang sama - supaya berpaut kepada ayat Innalladzina qalu
rabbunallah (sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, “Tuhan kami ialah Allah”)
sebagai pengakuan atas ketuhanan-Nya dan keesaan-Nya - thummas taqamu (kemudian
mereka meneguhkan pendirian mereka) (Surah al Fushshilat: 30)”
Profesor Yusuf al Qaradawi berkali-kali mengutus surat dan datang sendiri bertemu
pemimpin negara ini memohon agar Anwar dibebaskan. Al marhum Dr Wahbah telah menegaskan
semasa kunjungan ke rumah Anwar, “Saya kenal Anwar Ibrahim begitu lama, dia
seorang yang baik dan bersih. Sangat wajar dia mengadu terus ke hadrat Allah
s.w.t..” Keyakinan dan dokongan para ulama luar dan dalam negeri menggembirakan
kedukaannya serta mengukuhkan ketabahannya menempuh tribulasi.
Tema perjuangan Anwar disingkap apabila dia ditanya kenapa dia masih
sanggup menjejaki jalan ranjau penuh penderitaan ini dengan segala mehnah dan
fitnah, Anwar sering merujuk kepada ungkapan Islah mastata'tu - surah
Hud:88 - “Tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya
kami.””
Anwar berazam bahawa perjuangan untuk demokrasi, untuk kebebasan, untuk
keadilan bukan suatu lakaran teori. Anwar mempunyai ‘tabiat hati’, satu iltizam,
‘courage of conviction’ - keberanian berbekalkan keyakinan, dengan
ketabahan, dengan niat yang luhur. Dia percaya bahawa ini prinsip yang tidak
boleh dikompromi. Itulah sebabnya dia menolak tawaran agar menjadi suaka
politik di luar negara seperti yang cuba dipujuk rayu oleh rakan-rakannya
memandangkan usia dan kesihatan fizikalnya bagi menjalani penjara semula. Anwar
berkata, “Saya harus pulang dan berada di sini. Disinilah gelanggang perjuangan
saya. Saya akan hadapi apa pun termasuk penjara.”
Rakyat dapat melihat bahawa Anwar dikurniakan keluarga yang hebat. Dr Wan Azizah
dan anak-anak bukan sahaja menyokong, mendokong penuh tetapi mereka semua
komited sepenuhnya kepada idealisme perjuangan. Anwar juga terinspirasi dan
terhutang budi kepada rakyat Malaysia, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan
dan semua orang yang mempercayai
perjuangannya, demi kebebasan, untuk demokrasi, demi kedaulatan undang-undang,
untuk kebebasan hati nurani. Dan dia percaya jika semua ini memerlukan sedikit
usaha dan pengorbanannya, ia mesti dilakukan.
Anak lelaki Anwar, Ihsan mengungkapkan, “Papa mengutamakan negara dan
rakyat daripada dirinya.”
Politik luhur memerlukan jiwa besar dan berlapang dada. Perpaduan politik
memerlukan pemimpin yang boleh mengetepikan sentimen, mudah memaafkan dan
mengutamakan matlamat lebih tinggi. Itulah yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim
dengan menyifatkan penganiayaan terhadap dirinya sebagai ‘luka kecil’ lantas
dia serta keluarga memaafkan Tun Dr Mahathir dan tidak ingin membalas dendam.
Pengorbanan Anwar dan keluarga ini membolehkan muafakat padu Pakatan
Harapan yang diketuai Tun Dr Mahathir yang akhirnya berjaya menumpaskan Barisan
Nasional pada 9 Mei 2018 yang bersejarah.
PEMEKARAN DEMOKRASI DAN PERUBAHAN POLITIK
Anwar adalah instrumental dalam
pembentukan pakatan politik baru iaitu Pakatan Harapan. Dia percaya bahawa
Pakatan Harapan memiliki kesungguhan untuk memulih dan membina semula negara
manakala Barisan Nasional pula mempunyai pelbagai rekod kefasadan yang nyata
serta tidak berdaya untuk berubah. Malaysia amat memerlukan perubahan politik.
Inilah citra gerakan reformasi Anwar Ibrahim. Oleh itu, Anwar Ibrahim mesti
diberi keadilan, ditebus dengan pembebasan dan pembersihan nama serta maruahnya.
Ini hanya mungkin dengan kemenangan Pakatan Harapan.
Isu kleptokrasi dan rasuah bertaraf mega serta global 1MDB dan
skandal-skandal lain telah mengheret rakyat menjadi derita berpanjangan bakal
meninggalkan malapetaka kewangan kepada
beberapa generasi akan datang sedangkan elit pemerintah dan
kuncu-kuncunya hidup mewah penuh pembaziran yang melampau-lampau. Pada 9 Mei rakyat telah bangkit dan dengan
sebatang pena melakukan perubahan besar.
PELOPOR ISLAM DAN DEMOKRASI, MUSLIM DEMOKRAT SERTA DIALOG PERADABAN
Umat Islam menginginkan sistem kerajaan berpewakilan dan punya akauntabiliti – boleh
dipertanggungjawabkan, sebagai satu-satu cara mampan bagi memastikan kebebasan,
keadilan, kesaksamaan dan kedaulatan undang-undang, demi mencapai kesejahteraan
hidup dan kemakmuran negara mereka.
Apa yang menjadikan Anwar Ibrahim unik dan unggul adalah bagaimana dia
menterjemahkan visinya dan perjuangannya kepada tindakan dan kepada sebuah pergerakan.
Anwar adalah seorang pengasas kepada gerakan Demokrat Muslim.
Demokrat Muslim menekankan fundamental tadbir urus menentukan keabsahan
kerajaan. Pokok permasalahan adalah ketidakupayaan umat berpartisipasi dalam
proses menentukan siapa yang patut mewakili dan memimpin mereka mesti diatasi. Demokrat
Muslim berjuang untuk ekonomi manusiawi dan kerajaan yang bersih serta
prihatin, mengimbangi di antara pasaran bebas dan tuntutan keadilan sosial,
menjaminkan hak dan kebebasan asasi, tadbir urus baik dan kebebasan kehakiman,
layanan adil kepada kaum minoriti, wanita dan kanak-kanak, orang tua dan orang
kurang upaya.
Demokrat Muslim berazam membasmikan rasisme dan sifat kebencian sesama
insan. Anwar menegaskan bahawa ini
memerlukan reform dan pembaharuan serta keberanian menelusuri jejak yang
dipandukan oleh maqasid al-Shari’a. Ia memerlukan agar menekankan sifat
Islam yang sebenar, sejahtera dan meraikan kemajmukan. Intelektual Muslim dan
orang ramai diseru kembali kepada keunggulan mesej Islam tentang kebebasan dan rahmatan
lil ‘alamin.
Anwar menggalakkan trend sihat di kalangan ulama Muslim untuk mendalami
ruang dialog peradaban kerana pentingnya mengadakan program dialog antara agama
dan budaya bagi menangani kepelbagaian dan perbedaan. Dia menganjurkan saling
faham memahami di antara satu sama lain, berinteraksi dengan bermakna dan
kehidupan bersama merujuk kepada pengalaman Andalusia “la convivencia” di
mana manusia pelbagai latarbelakang dan keturunan telah menjalani hidup makmur
dan aman damai.
Pemberdayaan ekonomi sangat mustahak agar menyelamatkan umat yang separuh berada di bawah paras kemiskinan
kerana peminggiran ekonomi membawa kepada natijah sosio-ekonomik yang dahsyat.
Keadilan sosial seperti dianjurkan oleh al Qur’an and al Sunnah adalah ajaran
Islam tentang menyediakan kesihatan, pendidikan, perumahan dan pekerjaan. Ketaksaksamaan
buruk yang melanda dunia Islam akan kekal dan bertambah teruk jika tiada usaha
kolektif dan bersungguh-sungguh.
Berdasarkan maqasid al-Shari’a, tugas pemimpin-pemimpin Muslim
mendirikan institusi-institusi tabdir urus demi keadilan, demokrasi dan hak
asasi manusia bagi memacukan kebangkitan ummah. Kebangkitan Islam mesti
memastikan kebebasan bersuara dan bebas daripada ancaman penahanan rambang
serta penindasan penguasa.
Anwar mengakui bahawa ini waktu getir bagi dunia Islam, di samping jalan ke
arah pemulihan dan kekuatan itu jauh dan berliku-liku lantas cabaran terbesar
dihadapi umat adalah reform dan pembaharuan - tajdid dan islah yang mesti datang
daripada diri kita sendiri.
Anwar Ibrahim sering menegaskan bahawa dia
berdiri tegak sebagai seorang demokrat Muslim tanpa ragu dalam memburu
dengan kritis perubahan tulen, tuntutan Islam dan konteks semasa adalah agenda
koheren dengan tujuan dan objektif yang jelas; iaitu pilihanraya bebas dan
adil, akses terbuka dan inklusif bagi partisipasi dan libatserta semua lapisan
masyarakat, penggantian kuasa aman dan tatakelola teliti dengan akauntabiliti. Itulah yang
diperjuangkannya dengan gigih di lapangan.
WAWASAN ANWAR IBRAHIM. MEHNAH DAN FITNAH
Anwar Ibrahim adalah tokoh multi-dimensi memiliki kemampuan pelbagai sebagai
pemimpin karismatik, ahli politik
berkaliber dan strategis yang cemerlang.
Dia juga sebenarnya adalah seorang pemikir serius dan ilmuwan berwawasan
luas menginspirasikan: wawasan kebangkitan Islam, wawasan kebangkitan
Asia, wawasan ekonomi kemanusian, wawasan pendidikan keinsanan, wawasan masyarakat madani, dan ‘Muslim
Democrats’.
Anwar menganjurkan pemerataan kefahaman Islam yang syumul dan pendekatan da'wah
bil hikmah wal mau'izatul hasanah. Kesederhanaan
dan keseimbangan - ummatan wasata; dan keyakinan bahawa hanya dengan
derajat mulia dan seimbang, umat akan menjadi contoh dan saksi kepada umat
manusia - shuhada' 'alannas.
Anwar menolak pandangan agama yang dogmatik, terperangkap dengan taqlid
buta, tidak memberi ruang untuk pemikiran kreatif yang berlandaskan kepada asas
Islam. Dia menyarankan supaya menyingkap sejarah mengambil iktibar daripada kelenturan
dan kelesuan pemikiran hingga berlaku 'kelompong ijtihad'. Gejala mutakhir, adalah
kemunculan ulama yang menganggap penafsiran mereka sebagai muktamad - dan
kecenderungan menjurus kepada takfir dan faham kabilah secara sempit. Islam
menekankan keseimbangan sosial - tawazun ijtima'i bukan cara keras, memaksa, mengugut dan
mengherdik. Anwar menolak faham jumud kalangan yang bersekongkol dengan
penindas terutama yang menganiaya golongan miskin dan lemah. Agamawan mesti
menghindari penyakit ingin mendapat laba.
Program agama hendaklah memberi penekanan ke arah pencerahan dan
pencerdasan umat, mengekalkan landasan da'wah berhikmah, memanfaatkan gudang
pengalaman, khazanah ilmu dan turath Islam untuk menyinarkan obor.
Dr Siddiq Fadzil pernah menyatakan bahawa kita berkongsi perasaan kasih
kepada Anwar Ibrahim kerana sedih dengan apa yang menimpanya dan kita semua
terasa terhutang kepadanya. Anwar pemimpin paling berjasa untuk Islam dan dialah yang betul-betul mencipta sejarah
kebangkitan Islam. Dialah ikonnya. Dialah tokoh yang berjasa dan berjaya
merubah ribuan malah jutaan orang – berhijrah daripada kejahilan kepada Islam.
Dia pula orang yang paling banyak diaibkan di dalam sejarah kita. Kesedihan itu
turut disebut oleh Dr Razali Nawawi apabila dia mengatakan, “Tangisan itu adalah
doa untuk sahabat kita.”
Sudah tiga kali dia dipenjarakan – 2 tahun di bawah ISA, tragedi 1998
selama 6 tahun dan sekarang 5 tahun pula. Tidak ada tokoh lain yang didera dan
diaibkan seperti ini. Keputusan politiklah yang telah menjatuhkan Anwar Ibrahim.
Ada yang merasa telah menang dan beruntung dengan memenjarakan dan terus
menerus menfitnah Anwar.
Anwar pula tidak dilawan kekayaannya kerana dia memang tidak kaya. Anwar terbukti
kewibawaan integritinya kerana tidak pernah mengambil kesempatan mengaut laba
atau harta padahal sewaktu dia berjawatan TPM atau Menteri Kewangan memang
banyak kesempatan. Oleh kerana dia bukan hartawan maka tidak ada guna bagi
cubaan membankrapkannya. Kekuatannya adalah pada kekuatan moralnya. Musuhnya
tidak sanggup untuk melawannya dari segi moral. Maka terjadilah fitnah paling
dahsyat dan paling aib. Sehingga lidah kita pun tak sanggup, tak terdaya, tak
tergamam menyebutnya.
Kita berserah kepada Allah swt bagi membersihkan orang-orang bersih. Soal
berapa lama dan bila, kita hanya mampu berserah dan ambillah iktibar kisah Musa
a.s. dan Aisyah r.a. Politik fitnah adalah politik keji dan bukan politik
luhur. Kita perlu selamatkan umat daripada terjebak dalam kancah qadhaf dan
kefasikan.
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti
orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya
dari segala cacian yang mereka katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di
sisi Allah. (al Ahzab : 69)
Satu kelebihan Anwar Ibrahim adalah kelebaran jaringan persahabatannya yang
unik, akrab dan lingkaran jejak kenalannya boleh dikesan di serata dunia.
Malangnya kekuatan karisma inilah yang
cuba dieksploit secara songsang - reverse psychosis dan dengan
kaedah yang amat jelek bagi menjatuhkan
pula karakternya melalui ‘pengakuan’ bekas sahabatnya sendiri. Padahal tidak
ada rekod di mana-mana bahawa Anwar Ibrahim memutuskan persahabatan dan
mengkhianati kawan-kawannya.
Iltizam agamanya, pengetahuan mendalam, komitmen tinggi dan identiti diri
peribadi Anwar sinonim dengan perjuangan Islam, gerakan kebangkitan Islam,
pemikiran Islam dan kemampuannya mentadbir negara majmuk dan plural. Seluruh
usaha Islamisasi, pembangunan institusi, membangunkan Falsafah Pendidikan
Sepadu membuktikan iktikad dan kewibawaannya memimpin umat .
Anwar memang terkenal dan konsisten berjuang menentang kezaliman Israel
bahkan menentang kezaliman mana-mana pihak pun terhadap rakyat yang ditindas,
diceroboh samada Bosnia, Afghanistan, Iraq, Patani, Mindanao dan Rohingya atau
lain-lain. Persahabatan rapatnya dengan pemimpin pejuang Palestin merentasi
semua faction.
Dengan Barat, terserlah keupayaannya mengadakan perhubungan, talian
diplomatik dan mendapat pengiktirafan antarabangsa samada di bidang agama,
sosial, ekonomi, kewangan dan politik. Kekuatannya adalah keterbukaannya,
kemampuannya membina rangkaian kenalan merentas nasionaliti, kekuatan hujah,
kepetahan berbahasa, kepandaian sastera, menggarap filosofi, keupayaan
pengolahan dan mengartikulasi pelbagai isu serta cakna permasalahan semasa.
Pendekatan pertengahan - wasatiyyah dan berprinsip yang bukan ala
Taliban dan juga bukan Pak Turut Barat, membawa wajah Islam dengan pendekatan
yang bermaruah dan mampu berdialog melibatserta secara konstruktif – constructive
engagement.
Apabila pada suatu ceramah awal era Reformasi 1998, Anwar melaungkan
kata-kata masyhur “lawan tetap lawan” dan “kalau takut risiko, jangan bicara
perjuangan”, banyak penyokong-penyokong terkenal dan pimpinan pemuda ketika itu
bertempek, bersorak dan bertakbir bersemangat berkobar-kobar. Ketika itu Anwar
mengingatkan hadirin bahawa apabila melangkah ke medan perjuangan, perlu
benar-benar melangkah mengharungi onar dengan
sepenuh iltizam kerana melangkah itu langkah yang nyata bukan lagi hanya
hasrat di hati sahaja.
Ini terbukti apabila tidak semua sanggup bertahan. Ada ketua pemuda kecundang dan patah semangat
tersungkur mengaku kalah dalam tempoh yang begitu singkat. Ada ahli intelek
yang didera begitu rupa sehingga apabila bebas keluar mengecut memencilkan diri
dan berpaling tadah. Ramai yang menjadi serik untuk menyertai perjuangan kerana
baru tersedar bahawa betapa perit jalan yang ditempuhi dan dibayar pula harga
yang mahal mencalar maruah, mengganggu jiwa serta mencelarukan pemikiran.
Pengalaman jerih, ngeri dan menakutkan sedemikian meninggalkan memori pahit
yang bakal menghantui diri kecuali pada jiwa kental diri seorang pejuang.
Ada yang pada awalnya berdegar-degar tetapi tewas akibat tekanan sempit
hilang kemewahan dan habis keselesaan. Siapa sangka bekas tokoh korporat
terpaksa berniaga direct selling jual agar-agar di bonet kereta selepas
ceramah untuk sara hidupnya. Ada yang kecundang disebabkan umpanan, termakan
budi dan janji sehingga terikat kepada agenda menyalak dan acara tibai-menibai
apabila diarah. Ada yang rebah kerana dendam dan dengki. Ada yang tertiarap
apabila menjangkakan tiada lagi laluan mudah bagi kemenangan. Mereka ini
semuanya pernah menjadi sahabat tetapi tidak dapat mengerti atau mengisi erti
persahabatan bersama seorang pejuang.
Sahabat-sahabat di sisi Anwar
Ibrahim samada seorang tokoh, orang awam atau orang kampung, baik Muslim atau
Non Muslim telah dan akan membela serta lebih setia kepada persahabatan dan
prinsip. Sememangnya banyak sahabat-sahabat setianya dari segenap pelusuk dunia
dan rakyat jelata yang rela bersama pejuang yang sejati tak kira apa tohmahan
dan menolak label yang digunakan bagi memburukkan
watak yang pada mereka lebih mereka kenali.
AKHIRKALAM: IDEALISME
PERJUANGAN
Anwar Ibrahim mengungkapnya begini:-
"Saya dibesarkan pada zaman transformasi sosial hebat di mana berlaku
cetusan ledakan idea-idea dan peristiwa-peristiwa berbetulan serta bertindan
dengan aktivisme mahasiswa, kebangkitan agama dan pergolakan politik. Saya
tidak rela berada selaku pemerhati sahaja, bahkan saya memilih untuk menjadi
ahli yang berpartisipasi aktif. Saya muncul daripada semua ini dengan
berkeyakinan bahawa sementara pilihan hidup secara bertafakur, berfikir dan
bertapa menyendiri boleh menyegarkan dan melazatkan minda dan jiwa, tetapi
hidup bertafakur digandingkan pula dengan gerak tindakan dan pupuk persaudaraan
lebih memugarkan aktualisasi diri. Saya tidak menyesali jalan yang ditempohi
kerana jejak laluan ini telah membawa saya mengalami dan menghayati kehidupan
cukup mencabar dan penuh bermakna bagi saya. Dan di ruang lingkup inilah saya akan terus berperanan secara
aktif dan menyertai dengan seutuhnya bagi merealisasikan cita-cita dan matlamat
hidup yang lebih tinggi."
SELAMAT PULANG ANWAR IBRAHIM.
SELAMAT BERJUANG BAPA REFORMASI!
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH
16 Mei 2018 bersamaan 30 Sya’ban 1439
No comments:
Post a Comment