Friday, October 13, 2017

AHMAD AZAM: MENGANGKAT HARKAT DAKWAH




Amanat Pimpinan

Muktamar Nasional Kesebelas
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
13-15 Oktober 2017 / 22-24 Muharram 1439
IDCC Shah Alam, Selangor


MENGANGKAT HARKAT DAKWAH, MEMIMPIN POLITIK PERUBAHAN

Ahmad Azam Ab Rahman
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)


Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. (At-Tawbah 9:20).

1.0 MUKADIMAH

Diawali dengan BismiLlah, dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, dengan kehangatan ukhuwwah fiLlah dan semangat juang yang menjulang, kami mengucapkan selamat datang kepada para muktamirin ke Ijtima’ Haraki kali ke- 5 yang melibatkan seluruh warga PKPIM, ABIM dan WADAH. Perhimpunan dua tahun sekali ini merupakan manifestasi kesatuan jamaah yang diikat oleh kesatuan fikrah dan kekentalan ukhuwwah dalam jihad dan perjuangan bagi mencapai cita-cita pembinaaan Khayra Ummah.

Ahlan wa sahlan diucapkan kepada para peserta Seminar Politik Islam dan Demokrasi. Seminar ini dianjurkan antara lain untuk menggagaskan amalan politik yang Islami, berprinsip dan berintegriti dalam menggarap persoalan demokrasi yang merupakan salah satu kaedah yang sah berdasarkan perundangan negara bagi mengabsahkan sesuatu pemerintahan dalam abad moden ini.

Hadirin dan hadirat yang dimuliakan,

Ketika kita berada di dewan yang mulia ini, dalam keselesaan rutin kehidupan, dunia sedang pantas berubah sama ada perubahan berdasarkan teknologi ataupun bukan teknologi. Perubahan perlu sentiasa dilakukan dan jika seseorang atau organisasi mahu berjaya, perubahan mestilah didepani, diurus dan diterajui dengan berkesan terutama di zaman milenial yang penuh cabaran ini.


2.0 CABARAN DAKWAH MILENIAL


Dalam konteks dakwah, cabaran kontemporari adalah bersifat metodologis dan fenomenologis maka strateginya perlulah proaktif, bukan reaktif. Beberapa isu strategik dikemukakan di sini dalam kaitannya dengan cabaran internal dan eksternal yang memerlukan visi, rujukan, dan paradigma tersendiri untuk menanganinya.


2.1. Revolusi Industri 4.0 dan Generasi Milenia:

Trend semasa yang mengutamakan teknologi, automasi dan pertukaran data dinamakan sebagai Revolusi Industri 4.0 (RI 4.0) Budaya baharu ini mempengaruhi komunikasi, sistem sosial dan sebagainya. Pemodenan melalui bidang pembuatan, bioteknologi, robotik, dan Internet Pelbagai Benda atau Internet of Things akan menjadi sangat menarik dan mencabar. Generasi akan datang dianggap akan lebih banyak berkomunikasi melalui alam maya berbanding dengan sistem sosial yang lama. Kita bimbang jika kemajuan dalam RI 4.0 ini berkembang dalam kerangka yang mengetepikan sistem kemanusiaan, hal ini akan mengundang keruntuhan sistem nilai dan unsur insaniah yang akan membawa kepada keretakan dan kecelaruan pembentukan kemanusiaan masa akan datang.

Satu persoalan berbangkit: sejauh mana kemajuan dalam era digital ini mampu mempertahankan jatidiri dan kualiti kemanusiaan? Fenomena ini perlu ditangani dengan berhikmah agar kemajuan teknologi ini dapat digunakan untuk memberi manfaat kepada perkembangan dakwah. RI 4.0 melahirkan generasi milenia yang ditandai dengan keakraban mereka dengan penggunaaan teknologi komunikasi, media dan teknologi digital. Di samping itu generasi millennia terpengaruh dengan perubahan liberalisasi politik dan ekonomi secara meluas. Apa yang diperlukan adalah pengisian dalam siri program pembangunan insan, pemupukan bakat dan tarbiyyah generasi baru dalam dunia digital. Ini bermakna gerakan Islam perlu kepada bakat-bakat berdedikasi, tangkas dan berupaya menguasai dan membangunkan aplikasi agar gerakan Islam terus maju, berpengaruh dan mendatangkan impak. Kita perlu menyumbang kepada penyebaran wacana dan gagasan bagi gerakan mencerahkan dan mencerdaskan umat melalui wacana yang sahih, wasatiyyah dan dapat menyatukan umat.

Perubahan sosial, teknologi, ekonomi dan poliitik kesan daripada Revolusi Industri Keempat ini memaksa Gerakan Dakwah menilai semula segala pendekatan yang digunakan selama ini. Kegagalan mengatur stategi baru sebagai respons kepada perubahan-perubahan radikal yang terjadi akan menyaksikan Gerakan Dakwah tersisih daripada arus perdana masyarakat dan akhirnya menjadikannya tidak lagi relevan.

2.2 Isu Golongan LGBT:

Isu kaum LGBT mempolarisasikan dunia Islam dengan dunia Barat. Pada 2011, Majlis Hak Asasi Manusia PBB meluluskan resolusi mengiktiraf hak asasi LGBT. Sebanyak 99 buah negara telah menandatangan deklarasi menyokong hak tersebut sementara 54 buah negara (kebanyakan negara Islam) menentangnya. Sehingga Mac 2017, sebanyak 22 negara telah mengiktiraf perkahwinan sejenis dan memberi sebahagian besar hak yang disenaraikan untuk warga LGBT. Keadaan ini berkembang dan masyarakat Islam terus didesak supaya mengetepikan prinsip-prinsip agama dan menerima budaya LGBT sebagai bukti kesediaan mereka untuk hidup dan berintegrasi dalam masyarakat moden. Mereka dipaksa agar turut menerima norma-norma yang nyata bertentangan dengan nilai-nilai agama dan masyarakat.

Ini meletakkan gerakan menyokong LGBT, penganutnya dan kefahamannya dalam keadaan berkonfrontasi dengan Islam, nilai moral, kemurnian dan kesucian institusi keluarga. Pembawaan agenda ini jelas bertentangan dengan tujuan asasi maqasid shariah iaitu memelihara nasab dan keturunan, akal dan kehormatan, agama dan iman serta basic human decency iaitu fitrah salimah.


2.3 Gerakan Atheisme:

Gerakan Atheisme kini menular kembali dalam masyarakat. Atheisme baru ini sarat dengan kebencian dengan pendekatan yang jauh lebih jahat. Gerakan ini memandang rendah dan menghina agama. Atheisme baru ini perlu ditangani bukan kerana keteguhan dalilnya tetapi disebabkan luas penularannya terutama melalui media baru. Pendokong tegarnya tidak ramai namun aksesnya lebar dan pantas.

Pada abad lalu karya penafsiran al-Qur’an, Risalah An Nur telah berusaha menangkis dan merebahkan projek sekularisasi ekstrim Kamal Ataturk serta memenangkan agama dengan mengembalikan keimanan kepada Allah serta kebenaran-Nya. Sekarang sudah tiba masanya para ahli-ahli usuluddin, ahli ilmu kalam dan saintis Islam mengartikulasi secara kontemporari dan tuntas bagi menolak gejala atheisme baru ini. Ini termasuk penguasaan ilmu merentasi bidang serta memanfaatkan keupayaan komunikasi serta keampuhan media seluas-luasnya. Gerakan Islam perlu merancakkan tradisi ilmu dengan rasional dan bijaksana bagi merungkai secara prinsip, rasional dan saintifik agar moral tertegak dan rahmat difahami.


2.4 Kleptokrasi:

Kleptokrasi bukanlah istilah baru, tetapi telah muncul sejak zaman Rom purba. Perkataan ini secara harfiahnya bermakna “pemerintahan oleh perampok” iaitu golongan kleptokrat yang menggunakan kuasa untuk merompak, menggarong, menggendor dan mengeksploit harta negara bagi kepentingan diri dan kuasa politik mereka. Penyelewengan ekonomi, kegiatan ekonomi dan kewangan tidak halal, eksploitasi dan monopoli lalu mencipta satu kitaran sistem ekonomi yang tidak adil dan korup. Kekayaan dibolot oleh diri sendiri, kaum kerabat serta kroni sementara kerugian diagihkan pula kepada rakyat.

Apabila pertumbuhan ekonomi hanya dikira sebagai GDP dan pendapatan per kapita, maka manfaat sebenar kepada rakyat jelata dan orang bawahan tidak diambil kira. Nikmat pertumbuhan hanya dikecapi segolongan kapitalis dan golongan yang berpendapatan tinggi. Keadilan dan pengurusan ekonomi manusiawi perlu diutamakan dengan mensasarkan ekonomi yang lebih distributif. Ini akan hanya berlaku melalui reformasi yang diterajui oleh kepimpinan yang adil, berwibawa serta mempunyai keprihatinan terhadap masalah rakyat.

Kewibawaan kepimpinan akan terhakis apabila berlaku political patronage dalam penentuan dasar dan pelaksanaan projek. Apabila dibiarkan hubung kait bisnes dan politik yang tidak sihat menjadi resam dengan merestui amalan kronisme dan nepotisme, maka natijahnya kepimpinan akan hilang integriti dan wibawa. Masyarakat awam pula menjadi menjadi venal – mudah menerima sogokan dan suapan. Penyelewengan, pengubahan wang haram, ketirisan, penyalahgunaan wang awam akan memburukkan lagi keadaan terutama apabila tidak mendapat perhatian jujur dari pihak berkuasa atau pihak perundangan. Pembanterasan rasuah menjadi tidak berkesan terutama apabila berlaku pendakwaan terpilih.

Sesuatu yang mengecewakan umat apabila para agamawan tidak memberi perhatian terhadap gejala rasuah dan salah laku pengurusan wang awam. Dengan berbuat demikian mereka gagal mengambil pendirian moral yang tinggi lalu jatuh di lembah fiqh al-istibdaad; merelakan walaupun berlaku kezaliman. Pegawai-pegawai tinggi, cendekiawan, akademia, orang berpengetahuan dan mereka yang bertanggungjawab hanya mendiamkan diri kerana khuatir kehilangan pangkat, kedudukan dan kesenangan. Pengurusan syarikat-syarikat negara diisi dengan pengarah-pengarah dan eksekutif tidak berwibawa, bereputasi rendah, tidak berpengalaman dan tidak kompeten. Maka berlaku pelaburan merugikan, pembelian aset yang sia-sia, projek-projek rakus, pelucutan aset, penjarahan harta syarikat dan pembaziran besar-besaran.

Setelah berpuluhan tahun merdeka dan kemaraan negara membangun, negara tidak mampu lagi menawarkan biasiswa pendidikan, bertindak menghapuskan subsidi bantuan rakyat, membiarkan harga barangan melambung dan tidak mempunyai skema saraan jangka panjang untuk masa depan rakyat. Kerajaan yang bergantung penuh kepada ekonomi berpendapatan minyak kini terpaksa menaikkan harga minyak tanpa henti, meminjam wang, menjual tanah, menggadai aset dan memperkenalkan cukai secara sembarangan.

Memulihkan negara daripada wabak kleptokrasi akan mengambil masa yang lama dan usaha mengesan wang dicuri akan melalui proses yang panjang dan rumit. Pada 2015, Switzerland memulangkan kepada Nigeria USD380 juta daripada USD2.2 bilion yang dicuri oleh bekas diktator Sani Abacha yang disorok di dalam akaun-akaun bank di Eropah. Pemulangan ini berlaku setelah 16 tahun bertelingkah perbicaraan di mahkamah. Abacha yang memerintah Nigeria selama 5 tahun mencuri USD4.3 bilion semasa memegang jawatannya, meletakkan dirinya sebagai kleptokrat pencuri wang rakyat Afrika yang paling tamak. (The Guardian, 18 Mac 2015).


2.5 Extremisme:

Orang yang serius menekuni dan aktif secara akrab dengan aktivis Islamis seluruh dunia amat terkejut dengan pertumbuhan pesat pelampau-pelampau militan dan teroris yang tidak dikenali langsung sebelum ini. Gerakan jahat ini berusaha untuk membunuh psikologi Islamis sejati dan menumpaskan semangat tulen jihad. Penggunaan ungkapan Shahadah, La ila ha illal Lah Muhammad ur Rasulullah oleh teroris mengguris fikiran dan jiwa Muslim serta non-Muslim. Distorsi jelek mengibarkan lambang khataman nabiyyin pada bendera-bendera hitam sewaktu melakukan aksi ganas dan brutal yang ditularkan melalui media meninggalkan bekas mendalam ke atas sanubari dan memberi kesan psikologi parah kepada minda banyak golongan muda.

Pelampau militant seperti ISIS menjelma daripada kebobrokan sistem pendidikan, keruntuhan budaya ilmu, ketandusan pemimpin berwibawa, peminggiran kelompok muda dan kezaliman pemerintahan brutal. ISIS adalah hasil evolusi trend-trend pemuda takfiri apabila kecewa dan terpengaruh akibat kezaliman melampau sekian lama ke atas umat Islam. Ada juga yang mendakwa ISIS merupakan projek Zionisme dan badan-badan perisik antarabangsa bagi menebalkan faham Islamophobia dan memporak-peranda negara-negara Islam.


2.6 Polemik Agama:

Kekusutan fikiran polemik khilaf dan kontroversi yang timbul dalam kalangan agamawan kebelakangan ini jelas sekali sangat merugikan. Polemik ini menjadi tidak sihat apabila merebak kepada hal remeh temeh untuk menghukum, mengutuk dan menolak pihak lain. Ikhtilaf dan hawaa, perbedaan dan ego, cenderung untuk menguasai jiwa, pemikiran, sikap dan perasaan sehingga melupakan prinsip-prinsip asas Islam. Apabila hilang keseimbangan, pertimbangan mahupun keutamaan, hukuman yang dilontarkan dengan mudah menghampiri amalan takfiriyun - kefanatikan dan kegopohan untuk mengeluarkan orang daripada agama dan ini merupakan satu bentuk terorisme pemikiran – al-irhab al-fikri.

Oleh itu, kita perlu menjauhi amalan mudah memberi label semata-mata kerana perbedaan pendapat atau aliran. Terutama sekali pertubuhan Islam dan pergerakan da’wah, perlu ada tasamuh, tawadu’ dan rasa hormat kepada ulama, tokoh-tokoh kepimpinan gerakan dan mereka yang terbukti telah menyerahkan jiwa raga mereka kepada jalan islah dan kebangkitan ummah.


2.7 Pendakwah ala selebriti:

Gerakan Islam berjasa meratakan alwa‘ y al-Islamiy (kesedaran keislaman), dalam pengertian menyedarkan umat tentang hakikat kesempurnaan Islam (shumuliyyat al-Islam) sebagai cara hidup dan sekali gus membangkitkan kesungguhan untuk menghayati Islam dalam segala aspek kehidupan. Antara kejayaan gerakan Islam dan kebangkitan Islam adalah meratanya minat dan kefahaman Islam dalam kalangan umat sehingga tokoh, institusi, seni, budayawan agama dan karyawan agama mendapat tempat dalam masyarakat, semakin dihormati dan disanjungi.

Pengetahuan agama diganding dengan bakat penyampaian memungkinkan kerjaya yang lumayan. TV dan media memberikan ruang dan medan luas kepada tokoh-tokoh agama dengan pembiayaan dana pengiklanan. Perkembangan positif dari suatu sudut adalah kemunculan populariti agamawan sehingga ada yang digelar selebriti agama. Sekiranya mereka muncul melaksanakan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab, ikhlas, diiringi sifat tawadhu’ dan bukan dengan tujuan ‘menjual agama’ untuk kepentingan duniawi, maka kehadiran mereka akan banyak membantu membangun kecermelangan umat.

Namun sangat keterlaluan apabila pendekatan diambil semakin meniru bulat-bulat konsep hiburan dan sensasi media Barat terutama acara-acara yang berbentuk ‘reality show’. Apabila fokus tertumpu kepada komersialisasi, mengutamakan populariti demi mengaut keuntungan, mengutamakan keseronokan penonton serta kepentingan ‘rating’ iklan, mengenepikan nilai-nilai akhlak dan ciri-ciri budaya luhur, maka program-program demikian akan hanya menjadi hiburan namun gagal membina umat terbaik, khayr al-ummah, yang menjadi harapan kita.


2.8 Menafsir semula sejarah dari perspektif Islam:

Salah satu cabaran dunia Islam pada hari ini adalah pemesongan fakta sejarah. Hakikat pahit yang kita depani adalah bagaimana sejarah diubah dan digelapkan demi menafikan kebenaran sehingga wajah Islam tidak difahami dengan tepat. Musuh-musuh Islam yang tidak mampu berdepan dengan kebenaran Islam telah berusaha menggelapkan kebenaran sejarah dunia Islam bahkan tidak dinafikan terdapat usaha-usaha mencipta sejarah baru dengan menggelapkan, memesongkan dan memomokkan sejarah dan hakikat Islam. Akibatnya, hari ini kita perhatikan terdapat pelbagai salah tanggapan yang cuba disebarkan bagi menafikan sejarah dan kebenaran Islam sebagai agama yang membawa rahmat dan keselamatan kepada umat sejagat.

Penafsiran semula sejarah amat penting sebagai satu metodologi dakwah yang berkesan. Penafsiran sejarah umat ini perlu dilakukan daripada perspektif yang benar (ru’yat al-Islam li ‘lwujud) (Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, 1995) – menggali semula kebenaran sejarah yang sekian lama telah digelapkan oleh ‘pihak yang menang’. Usaha ini perlu dibuat agar kita tidak meninggalkan generasi penyusul yang hampa sejarah – yang tidak lagi mengetahui kekuatan sejarah bangsa sendiri. Dalam bahasa al-Qur’an, sejarah disebut sebagai hari-hari ALlah (ayyami ‘l-Llah) – kisah hidup umat lampau yang menatijahkan i’tibar. Berasal daripada kalimah shajarah atau pokok, sejarah merakamkan akar kekuatan bangsa – lebih mendalam kita arif dengan akar bangsa, lagi kukuhlah tempat kita berpijak dan lebih jauhlah kita dapat mencapai apa yang diingini, laksana pohon rendang di tengah padang, akarnya kukuh menghujam ke bumi dan pucuknya tinggi mencapai awan.

Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon (shajarah) yang baik, akarnya kuat dan cabangnya menjulang ke langit (Ibrahim 14:24)


3.0 MENGANGKAT HARKAT DAKWAH


Harkat bermaksud taraf, mutu, darjat, nilai atau harga. Perjuangan menyeru manusia untuk melakukan kebaikan dan melarang perbuatan munkar agar manusia mendapatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat perlu diangkat dan ditingkatkan secara berterusan dari setiap segi komitmen, kaedah dan sebagainya.


3.1 Mengaplikasi Fikah Kontemporari:

Orientasi gerakan adalah penjelmaan kesederhanaan Islam, dengan sikap toleransi, berimbang antara idealisme dan realisme - wasatiyatul islam, al tasamuh al-islamiy, waqi’i mithali, berpemikiran kontemporari dan futuristik tanpa melupakan pengajaran sejarah agar menyedari realiti masa kini dan bersiap sedia untuk masa depan - mu’asir, mustaqbali al-tarikhi.

Gerakan perlu menghormati dan merujuk ulama’ mu’tabar serta berkeupayaan mendalam untuk mengolah naratif dan melakukan analisis situasi secara tepat dan jitu. Penilaian tepat dan menghargai pengalaman sejarah penting agar gerakan dakwah tidak terbabas daripada menangani isu menurut prinsip bagi memastikan tertegaknya kebenaran dan keadilan. Faham post-truth atau ‘pasca kebenaran’ muncul dengan gelagat terang-terangan menolak serta meremehkan nilai kebenaran dengan semata-mata mementingkan kemenangan atau kesudahan bagi mencapai tujuan. Faham ini turut menghantui orang beragama.

Gerakan kebangkitan hendaklah menampilkan Islam dengan wajah sebenar sebagai agama rahmah bukan dengan wajah yang menakutkan, bukan agama yang marah-marah, bukan agama rasis perkauman sempit, agama yang tidak merelai rasuah serta kezaliman dan bukan agama yang cenderung menghukum. Menjadi amanah gerakan untuk menampilkan Islam dalam wajahnya yang tulen dalam menyikapi fenomena kemajmukan yang semakin berkecamuk dan pencitraan Islam yang dicemari radikalisme.

Gerakan kebangkitan mesti berusaha membebaskan dan memberdaya umat, mencerahkan dan mencerdaskan pemikiran rakyat – ini dinamakan gerakan tanwir, reformasi - islahiy dan tamkin. Gerakan hendaklah memahami fiqh al-taghyir (fiqh perubahan), menganjur fiqh al-taharrur (fiqh pembebasan) dan fiqh al-tamkin (fiqh pemberdayaan), serta bangun menentang fiqh al-istibdaad (fiqh penindasan) serta menolak al-istibdad al-siyasiy (politik tirani). Menurut Abd Rahman al-Kawakibi, membiarkan berleluasa al-istibdaad adalah merelakan penindasan dan kezaliman sehingga orang-orang baik mempunyai agama dan memiliki nilai tetapi tanpa kebenaran. Sementara penjahat dan penyangak berwenang-wenang melakukan pelanggaran dan kebatilan.


3.2 Adab al-ikhtilaf:

Umat Islam sering dituduh sebagai tidak berupaya menangani perbedaan pendapat dan berbahas secara segar dan terbuka, enggan bersemuka secara sihat dan terhormat, tidak dapat mengolahkan perbedaan pendapat secara positif dan mudah melabel lawan serta menghukum sewenang-wenangnya. Ketempangan terbesar umat adalah kita merupakan umat yang tercorot apabila menangani perbedaan. Perbedaan kita sebenarnya kerdil apabila dibandingkan dengan persamaan yang ada sesama kita. Barat menewaskan kita melalui keupayaannya menangani perbedaan padahal perbedaan sesama mereka lebih besar berbanding dengan kita. Hakikatnya adalah masyarakat kita bukan satu tetapi masyarakat kita majmuk dan pelbagai. Begitulah realiti yang melahirkan kepelbagaian trend dan pergerakan.

Gerakan Islam mesti bersemangat amal jama’iyy dan budaya kolektif mengembleng tenaga dan potensi yang berbeda-beda bagi mencapai matlamat jamaah, bermula dengan menghargai perbedaan dan kepelbagaian, berkepimpinan jama’iyy dan syura serta tidak berpusat kepada peribadi. Kita mesti berusaha memahami dan mematuhi adab ul ikhtilaf – adab perbedaan pendapat dan menjadi penyuluh jalan dan contoh teladan bagi menangani permasalahan besar umat masakini di segenap peringkat.


3.3 Asas Akhlak:

Teras gerakan adalah dakwah dan tarbiyah: tarbiyah ilmiah yang memberikan kefahaman utuh dan mendalam tentang serba serbi agama Islam serta tarbiyah pembinaan sahsiah iaitu membina kefahaman dan membina watak sepadu serta seimbang menghayati nilai-nilai memperbaiki amal dan akhlak para pendakwah. Kader-kader gerakan ini menjadi masdarul khayr – sumber kebaikan, kebaikan untuk dirinya dan melimpah kebaikan kepada orang di sekitarnya, menjadi ‘inspiring personality’ – mengilhamkan orang lain agar menjadi baik.

Orang beragama mempunyai moral imperative – kewajipan moral membawa standard akhlak tertinggi dan memastikan manusia berasa selamat dengan lidah, tingkah laku dan wataknya. Tidak ada kompromi dalam kedudukan dan pendirian moral pendakwah dan ahli agama.

3.4 Fiqh al-Ta’ayush - Fikah Hidup Bersama:

Dalam konteks negara ini, gerakan Islam mesti bersifat ummatik sentiasa bersama rakyat, bukan bersifat elitis, bahkan menjadi juara kepada masyarakat madaniy dengan jaringan luas meliputi pihak non- Muslim dan bukan Melayu. Kita mesti hadir memperjuangkan keadilan sosial, membela mereka yang dizalimi, menentang pembaziran, rasuah dan penyalahgunaan kuasa, menyantuni masalah masyarakat, menangani kemelaratan, kemiskinan, krisis akhlak serta keruntuhan moral, tanpa mengira bangsa dan agama.  Pembelaan dan usaha memperjuangkan isu keadilan tidak wajar dibiarkan dan kita tidak seharusnya menyerahkan naratif sosial kepada pihak lain.

Gerakan dakwah mesti hadir dengan penuh wibawa bagi menampilkan kembali citra Islam sebagai agama rahmat dan kasih sayang sekali gus menjelmakannya dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, membangunkan agenda pembinaan bangsa Malaysia yang inklusif didasari oleh semangat ukhuwwah insaniyyah (persaudaraan insan) dan ukhuwwah wataniyyah (persaudaraan berasaskan tanah air) yang bebas dari cauvinisme, rasisme, kecurigaan dan kecemburuan sosial.

Kita merujuk Fiqh Islam – fiqh al-waqi’ al-maliziy yang mengiktiraf status al-muwatanah al-kamilah (warganegara penuh) yang sah meliputi mereka yang bukan Islam. Maka seterus kita mesti melakar peta jalan ke arah hidup bersama berharmoni - fiqh al-ta‘ayush, sama-sama menikmati hak dan sama-sama memikul tanggungjawab atas prinsip lahum ma lana, wa ‘alayhim ma ‘alayna.

Tidak banyak pihak kini bersungguh-sungguh dalam menangani dan mendepani cabaran mengurus dan menyelesaikan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan. Yang kita perlukan bukan lip service – pernyataan tanpa komitmen. Jangan pula sampai mengeruhkan keadaan, seperti yang kini terjadi. Sekiranya bukan gerakan Islam yang mengambl tangguungjawab mencabar ini, siapa lagi?

3.5 Memberdaya Keilmuan Wanita.:

Dr. Siddiq Fadzil, pada MPAT ke-55 PKPIM membuat seruan kepada generasi sekarang bahawa tidak cukup sekadar pencapaian wanita memakai tudung kerana itu perjuangan generasi dulu. Wanita yang memakai tudung sekarang perlu menjadi wanita yang cerdas, berani, mengetahui hak-hak dan bebas daripada pemikiran perhambaan. Beliau seterusnya menegaskan bahawa wanita perlu berperanan dalam tiga perkara dalam menghadapi cabaran dakwah kontemporari iaitu mencerdaskan umat supaya berfikir, melestarikan kekuatan tradisi keilmuan, dan memahami sejarah.

Pencerdasan adalah keperluan yang sangat mendesak berasaskan kenyataan bahawa umat kita perlu disedarkan kerana sudah sekian lama terbelenggu dalam pemikiran yang dibentuk golongan mereka yang berkepentingan. Malek ben Nabi menyebut bahawa umat kita menghadapi fenomena al-da’fu wa al kasal fi al tafkir – lemah dan malas berfikir. Dalam suasana beginilah pentingnya gerakan dakwah membangunkan daya fikir umat termasuk kaum wanita. Umat tidak akan mampu ke mana-mana jika masih tidak mampu berfikir.


3.6 Antara Dakwah dan Politik:

Sejak awal kebangkitan Islam, kita sering bertanya bilakah ketikanya marhalat al-da’wah akan beranjak kepada marhalat al-dawlah? Saban tahun kita menilai keperluan ini kerana kita sedar bahawa politik perubahan di antara dua tahap ini (al-da’wah dan al-dawlah) memerlukan kesenian dan kemahiran yang jauh berbeza lantaran medan operasi dan peraturannya yang sememangnya berbeza. Berhadapan dengan marhalat al-dawlah ini, sesebuah gerakan dakwah memerlukan prasyarat agar kehadirannya memberi kesan, bukan sekadar melukut di tepi gantang.

Prasyarat pertama ialah kewibawaan dan kredibiliti gerakan dakwah tersebut dan kedua, kekuatan aktivis dakwah sebagai ilmuwan penerus misi perubahan. Kita perlu tetap setia dengan misi perubahan, islah mastata’tum – merubah dengan segala upaya yang kita ada. Kewibawaan gerakan dakwah dinilai daripada bagaimana ditanggapi kemelut semasa secara berhikmah meskipun terus setia dengan rujukan turath dan dipedomani kerangka pemikiran klasik. Keupayaan pimpinan gerakan dakwah memahami realiti zaman dan lingkungan secara tepat dan mendalam, lalu mencorakkan keputusan-keputusan semasa tanpa melakukan sebarang kesilapan strategik akan menjadikan gerakan dakwah terus relevan. Tidak wajar sesebuah gerakan dakwah mengusulkan sesuatu penyelesaian yang mungkin dilihat radikal, tetapi dalam proses melaksanakan penyelesaian tersebut, ia mencipta pula masalah-masalah baru.

Gerakan dakwah bukanlah kegiatan tanpa arah. Kegiatannya sangat kalkulatif dan ada ketikanya kehadirannya sangat menentu (determining). Gerakan dakwah perlu terus terpelihara daripada disabotaj, dieksploitasi, diseleweng dan dibajak (hijacked) oleh agenda terpencil mana-mana pihak yang kemudiannya mengotorkan wajah murni agenda dakwah. Aktivis dakwah pula tidak seharusnya mudah terhimbau dengan kemilau perhitungan politik rendah dan sempit, sama-sama bergelumang dengan fenomena kata-mengata, cerca-mencerca, meremehkan sumbangan mana-mana pihak dan membanggakan pihak yang lain sehinggakan kita sudah tidak lagi objektif dalam melakukan penentuan-penentuan strategik bagi umat. Aktivis dakwah perlu cermat dan teliti dalam tindakan. Mereka mesti terus jujur dengan cita-cita pelaksanaan Islam tanpa membawa kerosakan kepada yang lain – tanpa pandangan yang sempit. Bagi aktivis dakwah, mengkritik dan membahaskan sesuatu isu adalah tanggungjawab amar ma’ruf nahy mungkar – bukan menyokong melulu atau membangkang semberono.

Status aktivis dakwah (da’i) sangat tinggi – mereka telah menyertai bidang yang mengatasi segala kerjaya, bidang yang bukan sekadar kegiatan kosong perintang waktu yang gemanya bergegar secara musiman. Kegiatan murni penuh berkualiti ini tidak mempunyai syarat keahlian; meskipun demikian, ia setia mewarisi tugas seruan dari satu generasi ke satu generasi.

4.0. MEMIMPIN POLITIK PERUBAHAN

Tidak dapat dinafikan bahawa perubahan merupakan suatu konsep penting dalam mana-mana organisasi termasuk gerakan dakwah. Perubahan bukan bersifat predictable atau sequential tetapi proses kompleks yang melibatkan pelbagai faktor.

4.1 Politik Perubahan:

Politik perubahan merujuk pada keperluan atau penggunaan kuasa untuk melaksanakan idea atau pendekatan baru dalam sesebuah negara, organisai atau gerakan. Perpaduan umat mesti berasaskan dasar yang kukuh, kepada politik luhur bukan politik durjana, politik jahat, politik kebencian dan politik menakut-nakutkan. Kezaliman, korupsi dan salahlaku tidak boleh dipertahankan atas nama perpaduan Melayu atau agama Islam.

Para pemimpin masyarakat berjanji untuk memperjuangkan nasib umat tetapi masih bergelut dengan pertembungan antara kepentingan rakyat dengan kepentingan diri. Politik perubahan di samping membawa idealisme reformasi-islahiy perlu memastikan bingkai kesatuan dijamin seperti termaktub dalam perlembagaan dan Rukun Negara. Kedudukan agama Islam, Bahasa Kebangsaan dan hak orang Melayu perlu dipastikan serta hak semua warganegara mesti diberikan jaminan agar perubahan politik diterima tanpa meresahkan rakyat jelata serta tidak menjejaskan hasrat perpaduan umat.

Perpaduan umat hendaklah seiring dengan perpaduan negara agar perubahan disambut oleh semua warganegara dengan penuh keyakinan. Islam itu tinggi dan tiada yang melebihi kemuliaannya. Oleh itu, agama ini dan penganutnya patut sentiasa berada pada kedudukan moral yang tinggi. Seruan dakwah dengan penuh hikmah, dengan contoh teladan terbaik serta hujah yang bernas tidak mengizinkan sikap rasis. Tindakan ekstrim hanya menakutkan dan menjauhkan orang daripada risalah rahmatan lil alamin. Politik perubahan mesti mendalami fiqh al-ta’addudiyyah menangani sifat majmuk dan kepelbagaian mesyarakat agar didokong oleh semua dengan teguh dan bermaruah.

Politik luhur memerlukan jiwa besar dan berlapang dada. Perpaduan politik memerlukan pemimpin yang boleh mengetepikan sentimen, mudah memaafkan dan mengutamakan matlamat lebih tinggi. Itulah mungkin yang disebut Anwar Ibrahim tentang penganiayaan terhadap dirinya sebagai ‘luka kecil’ dan begitulah juga dengan Alija Ali Izetbegovic yang dipenjarakan selama 11 tahun kerana enulis buku Islam between East and West (American Trust Publications, 1984) yang mengkritik sosialisme dan komunisme. Apabila beliau bebas dan dilantik menjadi presiden Republik Bosnia Herzegovina, beliau tidak membalas dendam dengan memenjarakan atau memecat sesiapa pun yang terlibat dalam konspirasi pendakwaan dan pembicaraannya.

4.2 Rasuah dan Penyelewengan:

Rasuah pasti akan membawa kepada penyelewengan. Rasuah hanya melorongkan kita kepada hanya satu haluan iaitu penyelewengan yang akan memanfaatkan mereka yang tidak layak dan tidak berhak. Yang rosak bukan hanya sebuah syarikat atau sesuatu peringkat dalam masyarakat, tetapi rasuah telah terbukti menghancurkan pelbagai negara dan entah berapa banyak empayar. Kalaulah kita hanya memikirkan bahawa rasuah hanya mengambil rupa dalam bentuk wang, kita akan kecewa kerana kuasa dan persepsi kekuasaan adalah candu paling parah. Tiada tamadun yang dapat lari dari kecanduan rasuah dan penyelewengan – sama ada tamadun silam mahupun tamadun mutakhir.

Sarah Chayes (2015), dalam The Thieves of State meneliti krisis kewangan yang dihadapi oleh Ireland and Iceland. Menurut beliau, ekonomi Ireland dalam dekad 1990-an terbina dengan jaringan kleptokratik antara elit pemerintah, eksekutif tertinggi sektor perbankan dan usahawan-usahawan hartanah. Selama lebih 10 tahun, kadar pertumbuhan ekonominya melebihi kadar pertumbuhan di negara-negara maju yang lain. Namun pada tahun 2008, ekonomi kleptokratik ini runtuh sehingga rakyat Ireland yang seramai 4.5 juta itu mulai dibayangi semula dengan fenomena Kebuluran Besar (Great Hunger). Sejak kemelut Ireland bermula sehinggalah tahun 2014, seramai lebih 400,00 rakyat Ireland telah meninggalkan tanah air mereka dan kadar pengangguran meningkat dengan mendadak.

Kemelut ekonomi Iceland (2008-2011) pula bermula dengan penjualan tanah-tanah kerajaan bagi menarik kehadiran pelaburan asing (FDI) untuk membina projek-projek impian masing-masing. Dengan tempias kemelut kewangan antarabangsa pada tahun 2008, Iceland hampir menjadi negara muflis. Kemeruduman ekonomi Iceland bukan cuma kerana keputusan salah yang diambil, tetapi kerana kegagalan pemerintah dan rakyatnya menangani gejala rasuah dan penyelewengan akibat daripada sistem tadbir urus yang kleptokratik. Kemeruduman Iceland bukannya sekadar satu kejatuhan ekonomi, tetapi juga adalah kegagalan moral – kehancuran kepercayaan rakyat terhadap ahli-ahli politik, institusi dan sistem kewangan negara mereka – rakyat yang selama ini tidak mengetahui sejauh mana rasuah dan penyelewengan politik dan pengabaian yang berlaku tanpa disedari selama puluhan tahun (Chayes, Sarah, 2015).

Penyelewengan yang jauh lebih parah dalam sejarah ialah penyelewengan ilmu, (Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, 1978). Penyelewengan ilmu atau corruption of knowledge telah sekian lama mendangkalkan ilmu dan pemikiran umat lalu melemparkan umat ke dalam kancah kekeliruan dan kekacauan pemikiran. Yang benar dicampur-aduk dengan yang batil, lalu timbul kekeliruan. Yang benar cuba disaluti dengan kepalsuan agar umat tidak lagi mengenali siapa diri mereka yang sebenarnya – tidak lagi mengetahui apa yang sewajarnya mereka ketahui dan dahului; mereka gagal mengetahui siapakah rujukan mereka yang sebenarnya dalam kehidupan, lalu mengambil yang bukan autoriti sebagai ikut-ikutan. Jiwa umat dibiarkan miskin agar mudah disudutkan. Kebangkitan umat dibiarkan ditunjangi oleh mereka yang dangkal ilmu, lalu tenggelam dalam pesta pora sloganan dan jeritan silam. Umat yang bersemangat dibiarkan terlorong ke dalam kancah kejahilan yang tidak bertepi. Kepimpinan umat yang muncul satu demi satu gagal menangani kemelut berpanjangan ini – sibuk meremajakan semula (rejuvenating) kelompok demi kelompok kepimpinan keliru sesama mereka. Kesemua ini membuahkan dilema umat yang berpanjangan (al-Attas, 1978).

Tiada dilema tanpa jalan penyelesaian. Umat tidak boleh terus dibiarkan berada di dalam dilema. Mereka perlu diberikan harapan dan jaminan bahawa jalan penyelesaian – wawasan dan strateginya, pendokong dan pimpinannya, dasar, perancangan dan programnya – sudah siap tersedia, hanya menanti ketikanya sahaja untuk dijelmakan. Sekiranya umat tidak dijelaskan dengan jalan penyelesaian, kita khuatir akan berlaku the reversal of expectations – satu penolakan setelah diberikan harapan yang menggunung selama ini, lalu mengembalikan umat kepada kesedihan dan kemurungan, menangisi kegemilangan silam dan terus terbuai dengan nostalgia lampau. Entah berapa lama pula “the reversal of expectations” ini akan terubat.

4.3 Harkat Dakwah dan Cabaran Politik:

Dakwah dan tarbiah kini menempuh fasa-fasa yang lebih mencabar. Ruang-ruang yang terbuka dalam bidang politik telah mendorong para aktivis dakwah untuk terlibat secara langsung atau tidak dalam aktivisme yang terkait dengan parti politik. Dengan dana dan kuasa serta kemudahan-kemudahan yang tersedia, berbagai program telah berjaya digerakkan dan berjaya memberi impak tertentu ke atas masyarakat. Keadaan ini memberi tanggapan bahawa partisipasi dalam politik lebih berkesan dalam usaha membawa perubahan masyarakat, berbanding dengan apa yang mampu dibuat oleh dakwah. Implikasinya, tugas-tugas dakwah seakan ‘dipandang rendah’ dan ‘kurang bermakna’ kerana kesannya yang perlahan dan mengambil masa.

Harus disedari bahawa politik adalah amat dinamik terutama dalam sebuah negara demokrasi yang ditandai dengan perlawanan mendapat kuasa ‘at all cost’. Kuasa politik boleh berubah dan bertukar dalam jangka waktu yang pendek melalui proses pilihan raya biasa atau menerusi manipulasi yang seringkali tidak beretika.

Mereka yang mengambilalih kuasa pula cenderung ‘memadamkan’ apa jua program yang dilaksanakan (termasuk usaha-usaha dakwah) dan berusaha membina legasi yang baru. Bagi membolehkan perancangan dan pelaksanaan program yang berterusan, kuasa mesti dipertahan terus menerus. Kegagalan berbuat demikian akan turut menjejaskan apa yang dibuat selama ini termasuk ‘kerja-kerja dakwah di jalur politik’.

Sementara dakwah dan tarbiyyah pula adalah agenda jangka panjang yang tidak terikat dengan kuasa politik dan pilihan raya. Dakwah dan tarbiyyah ber  umat dan generasi akan datang. Berdakwah ke jalan Allah adalah dekri rasmi (official decree) dari Allah dengan anjuran melaksanakannya dengan cara dan kaedah terbaik iaitu al-hikmah, maw’izah hasanah dan husn al-mujadalah. Maka kerananya, Allah s.w.t. menyediakan jawapan yang pasti kepada pertanyaan-Nya sendiri, “Siapakah yang lebih baik? Bahawa mereka yang berdakwahlah yang lebih baik”,

Siapakah yang lebih baik kata-katanya dari mereka yang memanggil (berdakwah) kepada jalan Allah dan berkata sesungguhnya kami dari kalangan mereka yang menyerah diri (Fussilat, 33).

Para pendokong dakwah mestilah tegak berdiri dengan keyakinan bahawa tugas dakwah adalah tugas mulia, perintah ilahi dan warisan para nabi dan mursalin.

4.4 Pendirian Gerakan Dakwah Menjelang Pilihanraya

Pilihanraya ialah satu proses penting dalam sebuah sistem demokrasi. Namun yang lebih penting untuk difahami ialah sebuah sistem demokrasi mempunyai beberapa komponen penting lain yang melayakkannya menjadi sebuah sistem demokrasi yang berfungsi (functioning). Sebagai satu sistem, demokrasi boleh saja dimanipulasi sebagaimana terbukti di banyak negara termasuklah di negara-negara yang sudah matang sistem demokrasinya. Anehnya, ada manipulasi yang dilakukan menerusi saluran perundangan dan dilihat sebagai menuruti kehendak perlembagaan (constitutional).

Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) yang dinantikan ini merupakan satu lagi medan bagi rakyat memilih corak kerajaan. Soalnya bagaimana rakyat membuat keputusan untuk memberi undi kepada parti-parti politik yang bertanding dan apakah yang mempengaruhi keputusan rakyat ini? Berlatarbelakangkan inilah maka sesebuah gerakan dakwah perlu memahami bahawa meskipun tujuan menghadapi PRU-14 ini adalah untuk menasihati rakyat pengundi tentang pilihan yang tepat, ia juga perlu terus setia dengan matlamat akhir proses pilihanraya ini iaitu pelaksanaan Islam secara total dan bertahap sesuai dan seiring dengan penerimaan rakyat.

Bagi memenuhi matlamat ini, bagaimanakah pula model penyertaan gerakan dan aktivis-ilmuwan dakwah dalam medan politik negara menjelang PRU-14 ini? Kita berpijak pada premis awal bahawa rakyat kita kini sedang mengalami pembelahan yang parah mengikut jalur politik masing-masing. Hampir tiada yang tidak terpalit – hatta mereka yang baik-baik. Setiap kenyataan kita akan diteliti sama ada mendokong jalur itu atau jalur ini – seakan-akan tiada lagi mereka yang cuba menegakkan kebenaran tanpa memihak, seakan-akan pendirian non-partisan itu hanyalah kehendak naluri ideologi politik semata-mata tanpa wujud pertimbangan ilmu dan asas kebenaran. Polemik demi polemik dibiarkan berlanjutan melelahkan tumpuan rakyat kepada perkara yang langsung tidak membawa sebarang faedah. Kehadiran pelbagai parti politik ditanggapi sebagai ancaman sehingga memunculkan sikap holier-than-thou – “aku lebih suci dan engkau kurang mulia”. Kita sudah semacam kehilangan punca bahawa tiada pemonopoli jalan pengislahan di dalam medan politik kita – berbeza kaedah tidak bermakna berbeza agama atau kebenaran. Inilah kepelbagaian yang perlu dirai. Sudahnya kita telah terlepas banyak saat-saat strategik untuk bertindak secara bijaksana dan menggunakan peluang yang mungkin akan timbul sekali dalam sejarah hidup kita.

Di tengah-tengah kecamuk dan keserabutan inilah, maka kita telah dan akan terus mengetengahkan kaedah fiqh taghyiriy dan fiqh tanwiriy dalam misi perubahan dan pencerahan. Sebagai pendokong gerakan dakwah, penyertaan kita boleh saja menekuni model penyertaan politik perubahan yang dipelopori oleh Nabi Yusuf, gandingan Nabi Musa dan Nabi Harun, serta gandingan Nabi Daud dan Nabi Sulaiman ‘alayhimu ‘s-salati wa ‘s-salam (Siddiq Fadzil, 2013). Masing-masing mempunyai kelebihannya yang sesuai dengan cabaran yang dihadapi ketika itu. Di zaman ini, kita dihadapkan pula dengan model politik perubahan yang sedang dieksperimenkan di Turki sebagai sebuah negara moden (modern sovereignty), atau model yang ditampilkan menerusi personafikasi Shaykh Yusuf al-Qaradawi atau model gerakan Muhammadiyyah dan Nahdatul Ulama. Turki memilih pendekatan al-tadarruj – kaedah bertahap dan beransur-ansur dalam melaksanakan perubahan berdasarkan realiti yang wujud di dalam masyarakat. Kehadiran Shaykh Yusuf al-Qaradawiy tidak pernah diambil mudah (taken for granted); nasihatnya akan diperhalusi, tegurannya akan dituruti. Al-Qaradawiy akan tampil memberi penjelasan terhadap isu-isu penting yang menjadi belenggu ke atas umat – lalu menggagaskan perubahan-perubahan yang perlu dilaksanakan. Dari gerakan dakwah Muhammadiyyah dan Nahdatul Ulama, kita boleh pelajari bagaimana kemandirian (independence) dipertahankan ketika berhadapan dengan pemerintah.

Satu sisi dari gerakan taghyiriy dan tanwiriy ialah anjuran berjihad membina dan mengukuh ketahanan umat dan ini bukanlah satu agenda sementara. Sesungguhnya sejarah manusia adalah sejarah pertentangan antara yang batil dan yang benar. Umat Islam adalah umat yang seluruh hidupnya sentiasa berjihad – sentiasa membuat keputusan untuk membenarkan yang benar (Surah al-Haj: 78). Umat juga diberi peringatan agar tidak pecah amanah untuk berjihad (Surah at-Tawbah: 39) dan ini disusuli dengan Janji Allah SWT bagi mereka yang meneruskan kelangsungan hidup berjihad (Surah at-Tawbah: 111) dengan ungkapan kalimah al-fawzu ‘l-‘azim – kejayaan yang benar-benar cemerlang, bukan apa yang disifatkan sebagai pyrrhic victory – satu kejayaan yang tampaknya semacam satu kemenangan tetapi sebenarnya tidak ubah seperti sebuah kegagalan. Gerakan dakwah sebeginilah yang perlu terus mengukuhkan budaya ilmu sebagai jawapan kepada gerakan pembodohan yang meremehkan pemikiran (insulting the intelligence) rakyat. Yang kita turut maksudkan dengan politik perubahan ini (politics of change) ialah pengukuhan nilai-nilai universal (kulliy) dengan penyertaan yang bukan elitis kerana yang diimpikan ialah perubahan yang lebih menyeluruh, bukan tempelan atau picisan. Pembinaan dan pengukuhan benteng ketahanan umat ini dianjurkan di atas kesedaran bahawa umat tidak dapat selamanya diberi dan dijamin perlindungan. Kerana itulah umat mesti sentiasa diberi pencerahan, pendidikan, penjelasan dan keberanian agar pemikiran umat tidak lagi dapat dipermainkan.

Kerana itulah kita tidak dapat membayangkan bagaimana pihak-pihak tertentu cuba mempertahankan apa yang tidak lagi boleh dipertahankan (defending the indefensibles); umpamanya mempertahankan gejala pelanggaran etika dalam berpolitik, keghairahan menjaja fiqh istibdaad – menjustifikasikan kemahuan pemerintah, menyebarluaskan jangkauan budaya politik takut dan politik penindasan (politics of fear and suppression), kegelojohan  gerimander dalam persempadanan kawasan pilihanraya (gerrymandering) dan percambahan politik tohmah dan fitnah.

Sebahagian dari kebobrokan inilah yang dinamakan sebagai politik toksik – meracuni kemerdekaan fikiran umat. Malah, dalam sejarah silam umat Islam, Imam ash-Shafi’e pun tidak terlepas dari tohmah dan fitnah sehingga ditahan di bawah tuduhan pengkhianatan negara (state treason) ketika bertugas di Najran, Yemen yang berada di bawah kerajaan Bani Abbasiah pada era Khalifah Harun al-Rashid. (Mahmood Zuhdi Haji Abdul Majid, 2014; Muhammad Abu Zahrah, 2010). Kerana itu jugalah kita tidak perlu alergik dengan usaha untuk mengembalikan semak dan timbang (check and balance) dalam pentadbiran negara, serta pemusatan kuasa politik yang sungguh membimbangkan umat.

5.0 MEMIMPIN ARUS KEBANGKITAN BARU
Gerakan dakwah hari ini memerlukan pemimpin dan kepemimpinan seperti tokoh-tokoh terdahulu yang berilmu, inovatif, gigih dan mampu membangunkan semangat serta kebijaksanaan.

5.1 Misi Kerahmatan: Antara faktor keagungan Tamadun

Andalusia (711/1492M) ialah semangat yang disebut sebagai La Convivencia iaitu semangat hidup bersama, tolong menolong, saling memanfaatkan kelebihan masing-masing antara penganut agama besar dunia iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Walaupun bumi Andalusia di segi politik sentiasa bergolak dan ada pasang surutnya, namun Tamadun Ilmu mencapai kemuncaknya di abad ke-10 hingga ke 12 dengan kelahiran tokoh ilmuan sepanjang zaman saperti Ibn Bajjah (1106-1138M), Ibn Tufail (1105-1185), Ibn Rusyd (1126-1198). Mereka adalah ilmuan bertaraf ‘polymath’ dan ‘encyclopedic’ yang bermaksud mampu menguasai pelbagai bidang ilmu secara mendalam. Zaman Renaisans Barat banyak berhutang budi kepada ilmuan Andalusia ini. Malah tokoh yang terkenal sebagai Sheikhul Maqasid, Abu Ishak al Shatibi (1320/1388) adalah ilmuan asli Granada. Sehubungan dengan ini, Negara ini amat berpotensi untuk mencipta sebuah tamadun agung sekiranya semangat La Convivencia ini dapat disemarakkan dan secara langsung mengenepikan aliran cauvinisme dan rasisme yang mulai menular akibat manipulasi kepentingan politik sempit.

5.2 Wacana Kekhalifahan dan Ketamadunan:

Menjelang tahun 2024, tujuh tahun yang akan datang, maka Dunia Islam akan memperingati 100 tahun tanpa Khalifah. Sejak kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924, nasib umat Islam semakin hari semakin menderita akibat kejahilan, kemiskinan dan perpecahan yang dirancang secara halus dan nyata. Kesannya, umat Islam semakin lesu dan mudah menyerah kalah serta mati semangat juangnya. Inilah umat yang kehilangan jatidiri, malah berbangga dengan penjajahan dan perhambaan terhadap bangsanya. Wacana kekhalifahan dan ketamadunan hampir tiada di masjid-masjid. Minda umat masih berlegar dengan soal dakwah ritual dengan penekanan kepada persoalan pemantapan ‘aqidah dan tahsinul ibadah serta persiapan untuk mati. Perlu ada keseimbangan antara kedua wacana ini didalam komponen pengisian ceramah dan kuliah di Masjid-masjid seluruh Negara.

5.3 Kematian Idealisme Perjuangan:

Antara faktor terpenting dalam mana-mana perjuangan sebuah kebangkitan, ialah kepeloporan anak muda dengan idealisme perjuangan yang membara. Anak muda yang tampil dengan kesediaan untuk ‘berkorban apa saja’, adalah orang-orang yang menjadi penggerak dan pendokong kepada kejayaan sebuah perjuangan. Idealisme perjuangan seperti inilah yang mencetuskan kebangkitan Islam di negara ini. Ketika ketiadaan dana yang mencukupi, tiada pangkat dan jawatan, tiada pengaruh dalam masyarakat dan hanya berbekalkan semangat jihad dan ilmu yang sedikit, seluruh pelosok negara dijelajahi untuk mengajak umat kembali kepada Islam yang syumul dan Islam sebagai Ad Din. Walau diremehkan oleh golongan agamawan dan pihak berkuasa, anak muda tidak mudah patah semangat.

Islam bukan sekadar melahirkan umat yang rajin ke masjid, bertaubat menunggu mati, tetapi umat yang mampu melaksanakan misi Kalimat Tauhid, misi pembebasan dari semua illah dan berhala termasuk sistem yang menindas, kezaliman,kemiskinan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah atau siapa saja. Perjuangan Tawhidik adalah perjuangan pembebasan, menafikan segala illah dan mengitsbatkan Allah dalam segala aspek kehidupan. Namun, musuh kepada mana-mana perjuangan kebangkitan ialah kematian idealisme. Apabila idealisme perjuangan mati dan digantikan dengan perjuangan kepentingan diri, pangkat dan harta, pejuang itu sebenarnya sudah mati sebelum mati. Kehidupan akhiratnya telah digadaikan dengan kemewahan hidup duniawi yang amat sementara ini.

5.4 Kualiti Umara’ dan Ulama’:

Sejarah telah membuktikan bahawa kesalingan Umara’ dan Ulama’ adalah resepi terpenting bagi kekuatan sesuatu pemerintahan. Sultan Murad II berganding dengan Haci Bayram Veli, Sultan Muhammad Al-Fatih berganding dengan Ak Shamsuddin. Masing-masing menghormati peranan tersendiri. Mengambil kira akan perubahan dunia kesan dari Revolusi Industri Keempat, maka usaha untuk meningkatkan kualiti ilmu kepemimpinan para pemimpin Negara termasuk para Sultan dan para ulama’ harus dipertingkatkan. Perancangan membina generasi pemimpin masa depan yang berkualiti adalah suatu yang sangat penting.

Sultan Murad II telah mempersiapkan anaknya, Sultan Muhammad Al-Fatih dengan tujuh formula pendidikan sejak kecil sehingga berjaya membebaskan Kota Konstantinopel pada 29 Mei 1453M. Formula tersebut ialah

1) Menanam wawasan Ummatik
2) Menamakan anak sesuai cita-cita
3) Penekanan kepada Adab dan akhlak
4) Mewajibkan penguasaan Al-Quran
5) Mewajibkan solat Tahajjud
6) Menguasai ilmu strategik pemerintahan
7) Menguasai pelbagai Bahasa besar dunia.

Sultan Suleiman Kanuni (1520/1566) pula telah meletakkan syarat yang penting di dalam pemilihan Imam Besar Masjid Suleiman yang baru siap dibina pada tahun 1558. Syaratnya seperti berikut:

1) Menguasai Bahasa Arab, Latin, Turki dan Parsi
2) Menguasai ilmu Al-Quran, Injil dan Taurat
3) Mempunyai kepakaran ilmu Syariah dan perundangan
4) Menguasai ilmu Fizik dan Matematik tahap mengajar
5) Berkemahiran dalam memanah, berlawan pedang dan ilmu peperangan
6) Seorang yang berperawakan menarik
7) Mempunyai suara yang kuat dan merdu.

Mari kita bermuhasabah! Apakah kualiti para pemimpin dan ulama’ yang ada hari ini mampu untuk mencipta kebangunan abad baru, mampu untuk merealisasikan Al Islam ya’lu, wala yu’la ‘alayh?

5.5 Seruan Perpaduan:

Seruan untuk umat Islam bersatu dan berpadu merupakan salah satu agenda penting Gerakan Islam. Namun demikian agenda Perpaduan Umat tidak akan berjaya sekiranya tiada keazaman poltik untuk melibatkan semua stakeholders dalam masyarakat negara ini. Realitinya, dunia sudah berubah, masyarakat juga sudah berubah. Agenda keadilan sosial, hak kebebasan, kebenaran dan keadilan, keluhuran perlembagaan dan undang-undang, hak bukan Islam sebagai warganegara penuh, bukan bertaraf dhimmi. Akauntabiliti, transparensi adalah antara isu besar yang perlu ditangani.

Seruan Perpaduan Umat demi meraih sokongan orang Melayu kelihatannya memakai strategi menimbulkan ketakutan dan permusuhan terhadap non-Muslim. Pendekatan cauvinisme dan rasisme ini mungkin boleh berjaya untuk jangka pendek, tetapi bakal mengundang tindak balas yang parah untuk jangka panjang. Model Piagam Madinah dengan pendekatan inklusif yang memakai kalimah Ummah bagi semua kaum, baik Islam maupun bukan Islam dalam hubungan kemasyarakatan di Madinah wajar menjadi rujukan dan kajian. Islam mengajar umatnya supaya saling belajar dan tolong-menolong antara bangsa-bangsa dalam pengertian li ta’arafu.

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (Al Hujuraat 49:13)

5.6 Gerakan menterjemah khazanah ilmu dalam Bahasa Melayu:

Melalui sejarah, kita mengetahui bahawa Islam adalah agama yang amat mementing ilmu untuk kesejahteraan dan pembangunan kualiti umat. Ilmu yang dipelajari sudah semakin jauh berkembang meluas merentasi batas geograf, budaya dan pemikiran. Jika kita melihat pada awalnya bagaimana Islam telah melahirkan tokoh-tokoh ilmuwan bertaraf dunia. Kebangkitan dan perkembangan Ilmu ini adalah hasil daripada kekuatan khazanah Ilmu yang berkembang dan diterjemahkan ke dalam bahasa ibunda masing-masing. Sejarah perkembangan ilmu di Alam Melayu sendiri telah berkembang dengan pesat hasil daripada usaha-usaha menterjemah karya-karya agung ke Bahasa Melayu.

Bidang-bidang seperti sejarah, astronomi, bahasa, sastera, undang-undang dan lain-lain turut berkembang. Pusat intelektual Islam di Alam Melayu melahirkan institusi-institusi pendidikan dan karya-karya agung seperti kitab Sirat al-Mustaqim oleh Nur al-Din al-Raniri, Sabil al-Muhtadin oleh Muhammad Arsyad al-Banjari, Kifayah al-Mubtad oleh Daud al-Fatani, Sejarah Melayu, Tuhfat al-Nafis, dan sebagainya. Begitu juga bahasa Melayu Jawi merupakan bahasa komunikasi dan bahasa penulisan kitab-kitab agama yang difahami oleh seluruh penduduk. Bahasa Melayu Jawi menjadi bahasa dominan dan telah dijadikan bahan rujukan utama oleh para pengkaji Barat mengenai Melayu Islam kerana hampir kesemua cabang ilmu agama Islam yang tersebar di rantau ini ditulis dalam bahasa Melayu Jawi. Kedudukan bahasa Melayu Jawi menjadi lebih terkenal, khususnya selepas tertubuhnya kerajaan-kerajaan Islam di rantau ini. Pada waktu itu kegiatan penulisan dan penterjemahan kitab-kitab agama dari bahasa Arab ke bahasa Melayu Jawi berkembang pesat, terutama mengenai bidang-bidang kajian yang dinyatakan di atas.

6.0 KHATIMAH

Dalam kesempatan yang berharga ini, kita menyatakan solidariti dan ukhuwwah setulusnya dengan Anwar Ibrahim yang masih mendekam di dalam penjara kerana idealisma perjuangannya dan pengorbanan yang sangat menginspirasikan. Kita menyeru buat kesekian kalinya, Anwar Ibrahim mesti dibebaskan segera. Beliau adalah sebahagian dari penyelesaian kepada kemelut politik Negara yang sudah berpanjangan hampir dua dasawarsa. Kita juga menyatakan solidariti dengan umat Rohingya yang masih terus dinafikan hak kewarganegaraannya, terus dibunuh dan dihalau dari tanah tempat kelahiran mereka sedangkan dunia membisu dan membutakan mata. Ini adalah tragedi kemanusiaan dan penghapusan etnik abad ini yang merobek keinsanan kita semua.

Marilah kita merapatkan saf perjuangan dalam kekentalan Ukhuwwah, semangat ruhul jihad dengan pengorbanan yang setulusnya bagi merealisasikan cita-cita pembinaan Tamadun Khayra Ummah yang kita dambakan sejak lama. Ketika kita memulakan kebangkitan Islam tahun 70an, kita tiada memiliki apa-apa selain berbekal sebuah idealisme perjuangan. Hanya dengan semangat ini, kita telah berjaya memikul amanah dakwah dengan begitu baik sekali. Hari ini sudah 56 tahun kelahiran PKPIM, 46 tahun kelahiran ABIM dan 12 tahun kelahiran WADAH di persada dakwah. Sudah tentu kita sudah punya begitu banyak pengalaman, banyak pengaruh, banyak jaringan bisnes dan politik dan juga harta. Namun, sekiranya kita terkena penyakit kematian idealisme, maka segala kelebihan ini tidak bermakna apa-apa kepada perjuangan.

Justeru itu, ayuh kita bangun, semboyan perjuangan dan pengorbanan kita bakar semula. Yang muda belajarlah dari yang tua, yang tua pantas lah berlari ke garis penamat bertemu Rabbul Jalil. Dunia tempat berjuang, akhirat tempat berehat buat selama-lamanya menikmati syurgawi Ilahi Rabbi.

Selamat bermuktamar dan berseminar.


RUJUKAN

Al-Attas, Syed Muhammad Naquib (1995) Prolegomena To The Metaphysics of Islam: An Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islam. Kuala Lumpur: ISTAC, hal.
Al-Attas, Syed Muhammad Naquib (1978) Islam and Secularism. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Al-Attas, Syed Muhammad Naquib (2001) Risalah Untuk Kaum Muslimin. Kuala Lumpur: ISTAC.
Carlson, Elwood (2008). The Lucky Few: Between the Greatest Generation and the Baby Boom, New York: Springer.
Chayes, Sarah (2015) Thieves of State: Why Corruption Threatens Global Security. New York: W.W. Norton & Company, Inc.
Mohammad Abdullah Enan (2007) Ibn Khaldun: His Life and Works. Kuala Lumpur: The Other Press.
Mahmood Zuhdi Haji Abdul Majid (2014) Biografi Agung Imam Syafi’i: Travelog Kesarjanaan Imam Mazhab Yang Genius. Selangor: Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd.
Muhammad Abu Zahrah (2010) Pengembaraan Intelektual dan Pemikiran Imam Syafi’I Dalam Masalah Akidah, Politik dan Fiqih. Selangor: Crescent News (karya terjemahan).

Siddiq Fadzil (2013) Gerakan Islam dan Politik Perubahan: Optimis Dalam Waspada. Amanat Pimpinan sempena Muktamar Nasional Ketujuh WADAH, 7 September 2013, Shah Alam, Selangor, hal. 20-23.

Wednesday, October 11, 2017

YUSUF AL QARADAWI: RISALAH BUAT ANAKKU



رسالة إلى ابنتي عُلا

YUSUF AL QARADAWI: RISALAH BUAT ANAKKU


Risalah kepada anak perempuanku ‘Ula,


Anakku yang ku sayang, jantung hatiku, buah hatiku, anakku yang ku sayang sepenuh hatiku. Betapa penuhnya kalbu ini dengan kasih padamu, dan pada tiap kasih itu penuh dengan ketulusan dan kebenaran.

Anakku sayang, selama lebih seratus hari engkau telah berada di dalam penjara diktator. Betapa panjangnya tempoh penindasan si zalim keatas orang yang ditindas! Hinggakan sehari menjadi seperti setahun. Insya Allah, hari-hari kezaliman ini akan luput dan kamu hai anakku serta suamimu akan pulang kepada keluargamu dan rumahmu dengan keadaan aman dan memperolehi nikmat.
Kamu dahulunya menganggap dirimu jauh dari penempatan masyarakat, kamu jauh dari mereka dan mereka pula jauh darimu. Kamu dilahirkan bukan di tanah mereka, kamu tidak mendapat pendidikan di negara mereka serta kamu tidak bekerja di jabatan mereka. Maka apa masalah mereka hingga mereka mahu menghukum kamu?

Kamu adalah seorang isteri dan ibu kepada Wijdah. Kamu adalah seorang wanita yang penyayang serta pegawai untuk kedutaan di negara kamu. Kamu memikul kewarganegaraan negaramu, tiada langsung hubungan mereka dengan tugasan kamu. Kemudian  kamu tidak menyibukkan diri kamu dalam politik kecuali suamimu yang menyertai parti Al-Wasat yang ditubuhkan secara sah dalam undang-undang. Akan tetapi pihak berkuasa Mesir tetap menangkap suamimu selama dua tahun lebih dan dia diadili sekaligus lalu tiada pertuduhan dapat disabitkan. Kemudian suamimu dibebaskan, akan tetapi mereka kembali menangkapnya kerana dia adalah suamimu.

Pada prinsip asalnya, manusia bebas daripada sebarang pertuduhan dan ini merupakan pegangan setiap undang-undang. Secara dasarnya, setiap orang yang dituduh adalah bebas dari sebarang tuduhan selagi mana tidak diputuskan oleh mahkamah yang adil. Individu yang dituduh mempunyai hak untuk membuat rayuan keatas pertuduhan yang dilemparkan keatasnya, dia juga mempunyai hak untuk membatalkan pertuduhan itu. Prinsip Mahakim Lin Naqdhi (Court of Cassation) adalah ia bersama-sama dengan yang tertuduh hinggalah ia membebaskannya atau mensabitkan si tertuduh dengan kesalahan jenayah.

Demi Allah yang merupakan Pelindungmu Hai Anakku. Mengapa mereka melayan kamu dengan layanan yang kasar, mengapa kamu dikurung secara berseorangan di dalam penjara yang sempit, kamar kelam di mana kamu tidak mengetahui waktu siang atau malam tatkala kamu dikurung. Mengapa kamu ditangkap? Mengapa kamu difitnah di media massa dan surat khabar ketika perbicaraan kamu di mahkamah? Mengapa kamu dihalang daripada menuntut hak-hak asasi yang terdiri dari hak untuk mendapat pelawat, dan penjagaan kesihatan dan perubatan?! Kamu tidak pernah melakukan jenayah besar apatah lagi kecil, samada bersangkut dengan urusan agama mahupun duniawi. Kamu tidak menyertai demonstrasi dan tidak terlibat dalam perkara-perkara yang berisiko. Sedangkan sebelum kamu ditangkap, kamu bebas keluar masuk, bermusafir dan pulang. Tiada sesiapa pun yang mengatakan kepada kamu sebarang kalimat, namun mengapa insiden penangkapan ini berlaku?! Seolah-olah mereka baru teringat bahwasanya kamu hai anakku adalah anak perempuan Yusuf al-Qaradawi!!

Dan ayahmu hai anakku, menunaikan tanggungjawab mengajar dan mendidik agama kepada orang ramai sepanjang hayatnya samada sebagai faqih, memberikan fatwa, melakukan tugas Daie, guru, penyair, dan penulis. Ayahmu tidak mengkhianati umatnya, dan tidak mensia-siakan risalah ummah ini bahkan tidak berdusta keatas ummah ini dalam hidup ayah semenjak masyarakat mengenali ayahmu hinggalah ayahmu berumur lebih 90 tahun. Ayahmu telah menziarahi benua-benua kesemuanya,  ke negara-negara yang penting dan ayah langsung tidak melupakan isu ummah dan tidak culas dari kewajipan ke atas para muslimin. Andainya mereka yang berkomplot menangkap kamu tidak hairan dengan perkara ini, hal ini kerana urusan Islam tidak penting bagi mereka, urusan ummah tidak penting bagi mereka, tamadun ummah tidak penting bagi mereka, agama dan keilmuan ummah ini tidak penting bagi mereka.

Apa pula dosamu hai anakku? Mengapa mereka mahu menghukum kamu? Ataupun, mengapa mereka menghukum AYAHMU dengan menghukum kamu? Mereka telah menghukum ayahmu sebelum ini, mereka melihat ayahmu ini ahli dalam Tajammuat  Al-Azhar al-Kubra , presiden Kesatuan Ulama Sedunia, dan institusi-institusi keilmuan dan dakwah, anggota dan ahli pakar untuk organisasi fiqh.

Sesungguhnya mereka tatkala mentohmah ayahmu dengan banyak tohmahan, ayah merupakan anggota Haiah Kibaril Ulama’ dan Majma’ al-Buhuth Al-Islamiyyah di Mesir. Kemudian ayah meletakkan jawatan dari kedua –dua jawatan ini ketika mana ayah melihat kedua-dua institusi ini tidak mampu untuk bersatu untuk membincang isu-isu besar yang menimpa Mesir. Maka ayahmu mengucapkan selamat tinggal kepada mereka dan pulang ke negeri pilihan. Maka mengapa mereka menghukum ayah dengan tohmahan yang pelik? Iaitu kesalahan menyertai cubaan untuk menceroboh penjara untuk membebaskan para banduan padahal ketika itu ayahmu sudah berumur 85 tahun dan tidak pernah ayah dengar tentang penjara itu melainkan ketika mana tohmahan ini dibuat. Kesalahan ini tidak pernah dilakukan oleh ayahmu samada di Mesir atau di Qatar.

Sesungguhnya, mereka telah meletakkan belenggu mereka dan kebencian mereka keatas seorang wanita yang merdeka. Mereka ingin untuk menindasnya dan menekannya. Akan tetapi ALLAH akan menimpakan keatas mereka azab, dan Maha Suci ALLAH, Dialah yang menjaga anakku dengan pengawasannya yang tiada kekurangan, dan melindungi diri anakku dalam penjagaannya yang tiada tandingan dan tidak akan dilemahkan.

Wahai ‘Ula anakku,

Allah berkehendak untuk menjadikan untuk mu suatu kurniaan, menjadi tinggi darjat kedudukanmu di dunia dan di akhirat, dan Allah akan menjadikan neraca hisabmu berat dengan limpahan kebaikan. Sesungguhnya kamu, meskipun berada didalam penjara yang sempit, namun sangatlah tinggi martabatmu daripada mereka yang menzalimimu yang hidup enak di istana yang gah lagi hebat. Kamu akan menjadi di kalangan orang yang sangat dicintai dan dikasihi ALLAH, dan juga dikasihi oleh hamba-hambaNya yang sebenar. Betapa banyak orang Muslim dan Muslimah, Mu’min dan Mu’minah, merata dunia memohon ampun kepada Allah untukmu, berdoa kepada Allah untukmu, berdoa untukmu dan saudara yang lain yang juga dizalimi. Mereka mendoakan pertolongan Allah yang hampir tiba dan balasan azab yang segera keatas mereka yang menganiayaimu. Tidak akan sekali-kali doa-doa ini disia-siakan oleh Allah samada di dunia atau di akhirat.

Oleh itu, sejukkanlah matamu, lapangkanlah dadamu, senyumlah kamu dan suamimu dan percayalah bahwasanya doa tulus yang terbit daripada munajat orang yang dizalimi lagi ditindas di penjara, akan menghancurkan dunia para penindas dan diktator. Doa ini bakal menjadikan mereka terdiri dari golongan yang hampa dan sia-sia.

Dan Tuhanmu langsung tidak lalai akan perbuatan mereka, dan mereka yang menindas akan tahu di mana tempat pengakhiran yang bakal mereka temui.


والدك
يوسف القرضاوي
Ayahmu
Yusuf al-Qaradawi, 11 Oktober 2017


Sumber: www.al-qaradawi.net/new/Articles-12510




Teks Asal
ابنتي وحبيبتي عُلا ..
فلذة كبدي, ومهجة قلبي, وثمرة فؤادي, ابنتي التي لها مني كل القلب, ومن قلبي كل الحب, ومن حبي كل الصدق, ومن صدقي كل الإخلاص.
حبيبتي .. صار لك أكثر من مائة يوم في سجون الطغاة, وما أطول أيام الظلم على المظلوم! حتى لكأن اليوم بسنة. ستنقضي إن شاء الله أيام الظلم هذه، وتعودين وزوجك لأهلك وبيتك، سالمة غانمة. 
كنتِ تظنين أنك بعيدة عن مظنة القوم, وأنت بعيدة عنهم, ولدت في غير أرضهم, وتعلمت في غير مدارسهم وجامعاتهم، وتوظفت في غير دواوينهم, فما لهم ولكِ؟
أنت زوجة وأم وجدة، وامرأة مسالمة، وموظفة في سفارة بلدك، التي تحملين جنسيتها, لا علاقة لهم بعملك, ثم أنت لا تشتغلين بالسياسة, يشتغل بالسياسة زوجك, من خلال حزب الوسط، المرخص والمعترف به قانونا, ورغم ذلك اعتقلوه سنتين أو أكثر, وحُوكم فلم يوجد عليه شيء, فبرَّأوه وأفرجوا عنه, ثم أعادوه مرة أخرى؛ لأنه زوجك.
الأصل في الإنسان أنه بريء, هكذا يراه القانون, كل قانون. والأصل في كل متهم أنه بريء، ما لم تَدِنْه محكمة عادلة, ومن حقِّه أن يستأنف الحكم, ومن حقِّه أن يلجأ للنقض, والأصل في محاكم النقض: أنها مع المتهم حتى تبرئه أو تدينه, والله وكيل عليها.
لماذا يعاملونك هذه المعاملة القاسية, ولماذا هذا الحبس الانفرادي في زنزانة ضيقة، لا يعرف فيها ليل من نهار؛ بل لماذا الحبس أصلا؟ ولماذا التشهير في الصحف والأخبار أثناء المحاكمة؟ ولماذا المنع من الحقوق الأساسية، من زيارة ورعاية صحية ودواء؟! فلا ارتكتبت كبيرة ولا صغيرة, لا دينية ولا دنيوية, ولا شاركت في مظاهرة ولا مغامرة, وقد مرَّ عليك سنوات, وأنت تخرجين وتدخلين, وتسافرين وتعودين, ولم يقل لك أحد أي كلمة، فما الذي جرى اليوم؟.
وكأنهم تذكروا فجأة أنك بنت القرضاوي!!
وأبوك يا ابنتي، قد سار بين الناس طول عمره بالدين, وتعليم الدين, فقيها ومفتيا, وداعيا ومعلما, وشاعرا وكاتبا, ما خان أمته, ولا أضاع رسالتها, ولا كذب عليها في حياته منذ عرفه الناس إلى أن جاوز التسعين. زار القارات كلها، وزار البلاد المهمة, ولم يتخلف عن قضية للأمة, ولم يتكاسل عن واجب للمسلمين, وإذا كان هذا لم يعجبهم, لأنهم لا يهمهم أمر الإسلام، ولا أمته، ولا حضارتها، ولا دينها وثقافتها, فما ذنبك أنت؟ لماذا يعاقبونك أنت؟ أو لماذا يعاقبون أباك في صورتك؟!
لقد حاكموا أباك, وهم لا يرونه إلا مشاركا في تجمعات الأزهر الكبرى, وهو رئيس للاتحاد العالمي لعلماء المسلمين، ولعدد من المؤسسات العلمية والدعوية، وعضو وخبير بالمجامع الفقهية الكبرى.
لقد كان حين وجهوا له هذه التهم عضوا في هيئة كبار العلماء، ومجمع البحوث الإسلامية بمصر، ثم استقال منهما حين رأى أنهما لا يجتمعان من تلقاء أنفسهما لمناقشة الملمات العظمى التي تمر بها مصر، فودعهم راجعا إلى موطنه الاختياري. فلماذا يحاكمونه بتهمة غريبة: أنه شارك وهو فوق الخامسة والثمانين – آنذاك - في اقتحام السجون، وإخراج المسجونين من سجن لم يسمع به إلا حين سمع هذه التهمة، والتي لم يعلموه بها، لا في مصر ولا في قطر.
لقد وضعوا غلهم وحقدهم في امرأة حرة, أرادوا أن يقهروها, وأراد الله أن يقهرهم هم, وهو سبحانه يحفظها بعينه التي لا تنام, ويكلؤها في كنفه الذي لا يضام.
عُلا ابنتي, شاء الله أن يجعل لك من اسمك نصيبا، فيعلي من قدرك في الدنيا والآخرة، ويثقل ميزان حسناتك، وإنك وأنت في زنزانتك الضيقة لأعلى قدرا من ظالمك في قصره المنيف، وأحب إلى الله وإلى قلوب عباده منه، وكم من مسلم ومسلمة ومؤمن ومؤمنة في أقاصي الأرض، يستغفر لك، ويسأل الله لك، ويدعو لكِ ولإخوانك وأخواتك المظلومين بفرج قريب، وانتقام عاجل من ظالميك، ولن تضيع هذه الدعوات في الدنيا ولا في الآخرة.
فقري عينا, وانشرحي صدرا, وابتسمي ثغرا, أنت وزوجك, وثقي أن دعوة صالحة تصدر من المظلومين المضيَّق عليهم في سجونهم جديرة أن تفسد على الظالمين دنياهم, وتجعلهم خائبين, وما ربك بغافل عما يعملون، وسيعلم الذين ظلموا أي منقلب ينقلبون.

والدك 
يوسف القرضاوي


Monday, September 25, 2017

PERGINYA SEORANG MURABBI: MOHAMMED MAHDI AKEF


PERGINYA SEORANG MURABBI:  MOHAMMED MAHDI AKEF (Semoga Allah merahmati)


Kita sedih apabila mendapat berita kematian Mohamed Mahdi Akef, mantan Murshidul Am Ikhwan al Muslimin di Mesir. Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas ruhnya. Ucapan Ta’ziah  kepada keluarga, saudara-maranya serta sahabat seangkatan.

Anak perempuannya Aliya Mohamed, mengumumkan tentang kematian bapanya yang sedang berada dalam tahanan di hospital tentera Qasr el-Eyni. Kenyataan Aliya berbunyi: “Bapa saya telah meninggal dunia. Dari Allah kita datang, dan kepadaNya kita akan kembali.”

Sungguh pilu apabila mendengar bahawa keluarga al marhum Syaikh Akef memohon kebebasannya kerana keadaan penderitaan kesihatannya tetapi permohonan itu ditolak oleh Mahkamah Mesir. Syaikh Akef berumur 89 tahun mengidap kanser dan sakit jantung serta tulang pahanya patah. Anak perempuannya mengesahkan bahawa kebelakangan ini Syaikh Akef telah dikurung di hospital penjara dan hanya dibenarkan lawatan sekali seminggu, walaupun usia lanjutnya dan mengalami kesihatan yang tenat. Rayuan keluarganya agar diberi belas kasihan tidak dilayani dan tidak dihiraukan langsung oleh regim pemerintah.  

Syaikh Akef telah melepaskan jawatan Murshidul Am Ikhwan pada 2010. Dia telah ditangkap pada 4 Julai 2013 walaupun dia tidak lagi berada di dalam barisan pimpinan Ikhwan. Dia ditahan sempena gempuran berdarah oleh tentera Mesir dalam rampasan kuasa brutal yang menyaksikan 2,600 orang yang tidak berupaya mempertahankan diri dibunuh pada suatu hari di Medan Raba’a.

Rampasan kuasa haram itu menjatuhkan kerajaan dan presiden pertama yang dipilih secara demokratik, bebas dan sah.  Kerajaan-kerajaan Barat dan banyak negara lain enggan mengutuk malah tidak mahu mengakui bahawa rampasan kuasa tentera telah berlaku. Kerajaan Barat, Arab dan Islam (kecuali Qatar dan Turki) tidak mengendahkan pembunuhan beramai-ramai dan tidak peduli tentang pelanggaran hak asasi apabila ribuan orang dihumban ke dalam penjara dan disiksa. Banyak anggota Ikhwan terpaksa melarikan diri ke negara-negara lain. Amerika Syarikat dan United Kingdom serta negara-negara Eropah jelas menampakkan sifat hipokrit dalam respon dan muslihat licik mereka. Mereka lebih gemar berbaik dan berurusan dengan diktator-diktator korup dan uzur sehinggalah pemimpin-pemimipin kuku besi ini sampai kepada ‘tamat tempoh sahlaku’ mereka.

Ikhwan al Muslimin menjauhi dan menolak tindakan militant dan keganasan, dan tetap mengekalkan cara aman, pilihanraya demokratik bebas dan perlawanan idea sebagai wasilah mencapai matlamat politiknya. Ikhwan percaya kepada gerakan islah masyarakat secara beransur-ansur. Ikhwan telah muncul sebagai pihak pembangkang paling kuat di Mesir, memenangi sokongan besar kerana ia mempamerkan kepimpinan jati, ia menyediakan khidmat kesihatan dan perkhidmatan sosial lain yang kerajaan Mesir tidak mampu melaksanakan.  Ikhwan menawarkan politikal Islam sebagai penyelesaian dan Ikhwan terbukti tidak korup. 


Di bawah kepimpinan Syaikh Akef, Ikhwan telah memenangi 20 peratus jumlah kerusi parlimen pada pilihanraya legislatif 2005. Ini suatu pencapaian bersejarah bagi sebuah parti yang diharamkan tetapi dibiarkan bergerak. Ikhwan tampil sebagai kuasa oposisi paling berorganisasi menentang regim Presiden Hosni Mubarak, berkempen membantah kekejaman polis, rasuah, salahguna kuasa dan ketidakadilan sosial yang ketara.

Syaikh Akef berkata bahawa negara-negara Arab dan Islam mengalami kemunduran teruk, dan dunia Barat inginkan supaya mereka berada lebih jauh keterbelakang lagi. Barat tidak langsung mahu mereka maju. Banyak yang menafsirkan ini bermakna anjuran agar meraih kemajuan teknologi tinggi dan ada yang mendakwa Syaikh Akef menggesa negara-negara Arab dan Islam memperolehi keupayaan nuklear. Kini telah bertambah jelas apa yang dia maksudkan dan apa sebenarnya posisi Ikhwan al Muslimin sekarang dan sudut sisi politiknya.

Para penganalisa menyimpulkan bahawa perjuangan dan seruan ke arah partisipasi politik dan keabsahan pilihanraya, yang mana Ikhwan al Muslimin adalah model terbaik, diliihat sebagai ancaman eksistensial, kerana Ikhwan menawarkan model politikal Islam berbeda serta menyaingi amalan regim-regim despotik Arab.  

Telah sekian lama, bangsa Arab hidup dalam keadaan menghina diri sendiri, menerima dan bernaung di bawah pemimpin-pemimpin serta regim-regim paling teruk dan paling korup yang membawa negara-negara mereka sengsara ke jurang kehancuran. Syaikh Akef berkata AS dan kerajaan-kerajaan seumpamanya takut kepada kebebasan sebenar sama saja sepertimana digeruni oleh regim-regim despotik. Mereka berkomplot bagi merubah sistem pendidikan, mencampuri wacana agama, budaya dan media negara-negara Arab dan Islam, agar memaksa umat tunduk melutut, melemahkan aqidahnya, mencemarkan akhlaknya, menyisihkan jatidirinya dan menjauhkannya daripada asal usul budayanya yang unggul. Inisiatif-insiatif AS dan Eropah digunakan bagi memaksa dan memeras ugut regim-regim rantau berkenaan agar berkompromi dan beralah tentang isu-isu nasional dan rantau yang asasi, menyerah dan patuh kepada kehendak AS ke atas Palestin, Afghanistan, Iraq dan pembolotan minyak.

Mesir, negara Arab terbesar dan negara paling berdaya yang sepatutnya menerajui reform dan perubahan, malangnya meneruskan dasar-dasar menindas. Pimpinan Mesir tidak memiliki rasa bertanggungjawab ke atas ketenteraman, kesejahteraan dan kestabilan negara. Mereka tidak berusaha untuk pembangunan negara, atau keperluan menarik pelaburan ; mahupun berkebolehan mencipta persekitaran bagi keterbukaan politik yang meraikan semua kuasa-kuasa politik dan memberdaya serta memberikan ruang dan peluang kepada semua kuasa-kuasa sosial menyuarakan pendapat mereka; ataupun rasa takut kerana pasti nanti mereka akan berdiri depan Allah, ‘Yang akan bertanya mereka (bagaimana mereka melayani) rakyat mereka.

Syaikh Akef kesal dengan peranan Mesir di Gaza kerana membantu penjajah Israel bukan memperjuangkan kepentingan bagi membebaskan rakyat Palestin. Dia menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab Ikhwan supaya mendedahkan dasar dan tindakan buruk, tindak-tanduk yang melanggar hak asasi manusia dan merendahkan martabat maruah insan.

Syaikh Akef menekankan perubahan sebenar negara hanya akan dicapai oleh rakyatnya sendiri, yang mempunyai azam untuk berubah. "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah Ar-Ra'd 13:11). Ikhwan al Muslimin berjihad bagi mencapai matlamat ini melalui pendekatan beransur-ansurnya: islah diri, membina keluarga, menasihati masyarakat dan membebaskan ibu pertiwi.

Syaikh Akef seterusnya menyatakan bahawa Ikhwan akan terus menyeru kepada para pemimpin negara, iaitu mereka yang telah diamanahkan memimpin ummah ini, supaya takut kepada Allah dalam melayani rakyat jelata, dan agar mereka sedar dan ingat bahawa mereka akan di bawa berhadapan dengan Allah tanpa sebarang rahsia. Syaikh Akef memberi amaran kepada regim-regim bahawa mereka akan disoal tentang setiap perbuatan kecil ataupun besar, tentang jeritan mereka yang disiksa dalam tahanan, tentang pertumpahan darah para syahid dan kesengsaraan mereka, tentang tangisan janda-janda yang hilang suami, tentang ibu-ibu dan anak-anak yatim yang  merana, tentang teriakan keluarga-keluarga tahanan di pintu-pintu pagar penjara dan pusat-pusat tahanan, tentang berjuta-juta rakyat menganggur, tentang wang rakyat yang dicuri, tentang pembangunan yang diselewengkan, dan tentang setiap perkara tanpa terlepas sesuatu pun.

"Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya; dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang ia telah usahakan, sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.” (Aali 'Imraan 3:25)

Syaikh Akef menyenaraikan bahawa perubahan dan islah sebenar mensyaratkan kesetiaan durjana dan pilih kasih diganti dengan merit dan kelayakan; menggantikan kuasa wewenang pasukan keselamatan dengan keluhuran undang-undang; mengangkat prinsip akauntabiliti bagi membenteras pemunggahan harta rakyat.

Syaikh Akef menyedari tentang krisis parah masyarakat Arab sedang mengalami, dengan pergantungan regim kepada belantan besar pasukan keselamatan untuk bunuh, siksa dan tangkap sesiapa saja, merubah dan menatijahkan negara-negara Arab menjadi penjara besar. Regim-regim Arab masih tebal dengan mentaliti negara kepolisian, dan masih menggunakan taktik-taktik usang, dan apa yang mereka amat prihatin hanyalah memastikan kuasa berada ditangan mereka, walaupun mereka terpaksa melangkahi mayat-mayat mangsa-mangsa kezaliman mereka. 

Syeikh Akef berikrar untuk setia patuh kepada agama dan misi perjuangan, kepada negara dan watan ibu pertiwi, untuk menggalas segala beban pengorbanan demi Allah sehinggalah Allah mengurniakan kemenangan.
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).”
(Al-Baqarah 2:214)

Syaikh Akef menghabiskan 33 tahun usianya merengkuk di penjara. Kali pertama setelah langkah besar-besaran penyingkiran oleh pemimpin Arab Raya dan presiden pertama Mesir Gamal Abdel Nasser pada 1954 selama 26 tahun. Dia dipenjarakan selama 3 tahun pula oleh Hosni Mubarak pada 1996. Apabila Presiden Morsi dijatuhkan, Syaikh Akef dihukum penjara seumur hidup bermakna lagi 25 tahun tahanan.

Sudah terlalu ramai dan terlalu lama putera-puteri terbaik dan terbilang Mesir  dipenjarakan dan didera kerana mereka menegakkan prinsip, hati nurani dan keimanan.

Syaikh Akef hidup dengan penuh maruah dan kehormatan berkhidmat di jalan Allah dan dia syahid keranaNya.

Tepat sekali kata-kata Aliya Mahdi Akef dalam Facebook, mengatakan "Bapa saya di dalam pangkuan Allah.

Dengan nama Allah: segala puji bagi Allah, dan salawat dan salam ke atas Rasulullah dan semua yang mengikuti jejak langkahnya…

"Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.”
(Al-Ahzaab 33:23)



Ahmad Azam Abd Rahman
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)



Saturday, September 23, 2017

AHMAD AZAM: MOHAMED MAHDI AKEF



IN MEMORY OF MOHAMED MAHDI AKEF (May Allah have mercy on him)


We are grieved to hear of the death of Mohamed Mahdi Akef, former General-Guide of the Muslim Brotherhood in Egypt. May Allah have mercy on him. Ta’ziah – condolences to his family and his brethren.

His daughter Aliya Mohamed, announced last evening the loss of her detained father at Qasr el-Eyni Hospital. A statement posted on Aliya’s Facebook page read: “My father has passed away. To Allah, we belong, and to Him, we shall return.”

It is sad to hear that Mr. Akef’s family had requested he be released from custody because of his medical condition but the request was declined by an Egyptian court. Akef who is 89 years old had cancer, heart problems and a broken thigh. His daughter affirmed that lately he was isolated in the prison hospital and was only allowed a visit once a week, despite his old age and poor health. The pleas for compassion by his family were totally ignored by the regime.

Mr Akef had already relinquished the post of the Brotherhood’s general guide in 2010. He was arrested on 4 July 2013 despite not being part of the Brotherhood’s current leadership at the time of the bloodiest crackdown by the Egyptian army in a brutal coup which killed 2,600 defenceless people in Raba’a Square alone.

The illegal coup brought down Egypt’s first free democratically elected government and president. Western and world governments refused to condemn or even acknowledge the military coup. Western, Arab and Muslim leaders ignored the massacre and gross violations of human rights with thousands being imprisoned and tortured. Many had to flee Egypt to seek refuge abroad. US, UK and European governments were exposed as most hypocritical in their responses and their scheming. They seem to only relish dealing with corrupt and decrepit dictators until a time that these despots reach their expiry limit.

The Muslim Brotherhood had renounced and rejected militancy and violence, and has always maintained free democratic elections and contests of ideas as the means of achieving its political goals. It believes in the path of gradual reform of society. The Brotherhood became the most powerful political opposition in Egypt, winning support because it showed leadership, it provided health care and other social services that the state did not. It offered political Islam as a solution and it has proven to be not corrupt.

Under Akef’s leadership, the Brotherhood won 20 percent of parliamentary seats in 2005 legislative elections, a historic achievement for the then banned but tolerated movement. The group emerged as the most organised opposition force against President Hosni Mubarak's regime, campaigning against police brutality, corruption and rampant inequality.

Akef said that Arab and Islamic countries suffer from severe backwardness, and the Western world wanted to make them even more backward. It did not want these countries to progress at all. Many interpret this to mean advanced technology and even implied that Akef encouraged Arab and Muslims countries to acquire nuclear capability. It is becoming clearer what he meant and what the Muslim brotherhood is all about currently and politically.

Analysts have concluded that calling for political participation and electoral legitimacy, of which the Muslim Brotherhood is perhaps the best example, was seen as almost an existential threat, because it offered a different model of Islamist politics to that of despotic Arab regimes.

For far too long, Arabs especially have been living in self-contempt and accepting the worst of leaders and the most corrupt regimes to lead their nations into further ruin. Akef said that the US and such governments fear real freedom as much as the despotic regimes fear it. They conspire to change the education system, dictating the religious, cultural and media discourses in Arab and Islamic states, to force the Ummah to its knees, to weaken its creed, to corrupt its ethics, to alienate it from its identity and to distance it from its unique cultural roots. US and European initiatives are being used to pressurise and blackmail the regimes of the region to make further concessions on national and regional issues, over and above their total acquiescence to the will of the US on the Palestinian, Afghan, Iraq and oil issues.

Egypt, the largest Arab country and the one most capable of spearheading real reform, instead continues in its same repressive policies. Its leaders have neither any feeling of responsibility for either the security and stability of the country, or for its development and its need to attract investments to it; nor the ability to create an environment of political openness that can accommodate all political forces and provide the opportunity for all social forces to express themselves; nor even a sense of awe of the inevitability of standing before Allah, ‘Who will ask them about [how they have treated] their people’.

Akef lamented the role of Egypt in Gaza as aiding the occupier instead of serving the cause and interests to free Palestinians. He said it was the duty of the Brotherhood to expose ugly and unjust practices, which violate human rights and the dignity of man.

Akef stressed that real reform in the country could only be achieved by its people, who have the real interest in change. "Verily, never will Allah change the condition of a people until they change what is in themselves" (Qur’an 13:11). The Muslim Brotherhood strives to achieve this goal in accordance with its gradual approach: reform of souls, building families, counselling society and liberating motherlands.
Akef went on to state that the Brotherhood  will continue to call upon the rulers, to whom Allah has entrusted this Ummah, to fear Allah in their peoples, and to know that they will be taken before Allah on a day in which no secret will be concealed. He warned the regimes that they will be asked about every little and weighty thing, about the groans of the tortured, about the blood of the martyrs and the suffering, about the tears of the widows, bereaved mothers and orphans, about the cries of the families of the imprisoned at the gates of jails and prisons, about the millions of unemployed, about the stolen money, about the squandered development, and about everything else. "But how (will they fare) when We gather them together against a Day about which there is no doubt, and each soul will be paid out just what it has earned without injustice?"

Akef stated that real reform entails to replace crooked loyalty and patronisation with merit and qualifications; to replace the unbridled power of the security services with the rule of law; the principle of accountability as opposed to squandering public resources.

Akef noted that the depth of the crisis which the Arab societies are undergoing, with the regimes’ dependence on the big stick of the security services to kill, torture and arrest whoever it pleases, and to transform the Arab countries into big prisons. Arab regimes still have the same police-state mentality, and are still using the same old tactics, and that the only thing that they care about is to consolidate their grip on power, even over the dead bodies of their victims.

He pledged to be loyal to religion and mission, to country and motherland, to shoulder all the possible sacrifices for the sake of God until God granted victory. "Or do you think that you shall enter Paradise without such (trials) as came to those who passed away before you? They encountered suffering and adversity, and were so shaken in spirit that even the Messenger and those of faith who were with him cried: ‘When (will come) the help of Allah?’ Ah! Verily, the help of Allah is (always) near!" (2:214).

Akef spent more than 33 years of his life in jail, the first time after a purge by pan-Arabist leader and Egyptian president Gamal Abdel Nasser in 1954. He was sentenced to 3 years in prison by Hosni Mubarak in 1996. After President Morsi's ouster he was sentenced to life in prison which implied 25 years of detention.

Too many and too long have the finest sons and daughters of Egypt been imprisoned and tortured for their principles, their conscience and beliefs.

Akef led the life of honour and dignity serving the path of Allah and he died a martyr in His cause.
It is apt that Aliya Mahdi Akef made the announcement on Facebook, saying "my father is in the care of Allah”.

In the name of Allah; praise be to Allah, and peace and blessings be upon His Prophet and those who followed him...

"Among the believers are those who have been true to their covenant with Allah: of them some have died and some [still] wait; but they have never changed [their determination] in the least." (Qur’an 33: 23)


Ahmad Azam Abd Rahman
President
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
Movement for an Informed Society Malaysia




Saturday, September 16, 2017

SERUAN DAN RINTIHAN PARA ULAMA ARAB SAUD



Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim

Kenyataan media oleh ulama Arab Saudi yang berada di dalam negara Arab Saudi berkenaan kes penangkapan ulama oleh kerajaan Saudi.


Kepada yang dihormati para ulama umat Islam, pertubuhan-pertubuhan Islam, serta kesatuan dan institusi-institusi  ‘ilmaniyyah


Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh

Kami adalah terdiri daripada ulama, para penuntut ilmu serta pendakwah-pendakwah di Arab Saudi ingin memberi kenyataan bahawasanya bermula dari tarikh 18/12/1438 Hijrah atau 9/9/2017 telah berlaku penangkapan beberapa orang saudara-saudara kamu yang terdiri daripada para alim ulama dan pendakwah di Arab Saudi.  Penangkapan itu berterusan hingga ke tarikh penulisan kenyataan ini.

Siri penangkapan ini turut diiringi dengan dakwaan kerajaan Saudi bahwasanya penangkapan ini dilakukan ke atas kumpulan-kumpulan yang berhubung dengan pihak luar bagi merencanakan perkara jahat terhadap kerajaan Arab Saudi,  disamping tuduhan mereka berkenaan usaha kumpulan ekstremis untuk meletupkan bangunan kementerian pertahanan. Dakwaan-dakwaan ini dijadikan asas untuk menahan para alim ulama yang tidak bersalah, tambahan pula penulisan-penulisan fitnah  yang dilakukan oleh pemilik-pemilik akaun media sosial yang berkhidmat untuk kerajaan dan mereka menyebarkannya supaya dapat memalit ulama-ulama ini dengan tuduhan palsu mereka.

Siri penangkapan ini juga berlaku selepas berlakunya beberapa insiden yang penting, di antaranya usaha-usaha yang berterusan untuk menormalisasikan hubungan dengan rejim Zionis. Selain itu, telah berlaku pertemuam dengan pimpinan Zionis beberapa hari sebelum berlakunya kempen penangkapan para alim ulama. Terdahulu juga suatu kenyataan oleh duta UAE di Amerika Syarikat bahawasanya Arab Saudi akan menjadi negara sekular dalam tempoh sepuluh tahun. Ini merupakan suatu kenyataan yang belum lagi ada suatu komen rasmi mengenainya, tambahan pula dengan krisis yang masih berlangsung dengan negara Qatar beserta tindakan-tindakan zalim ke atas beberapa pemimpin yang menentang penguasaan UAE ke atas urusan negara Arab Saudi. Diikuti pula kecenderungan  serta tindak tanduk Putera Mahkota menindas keluarganya dan rakyat.


Kami ingin menekankan disini untuk para ulama umat, para pemikirnya, para aktivis hak kemanusiaan, para ahli media yang mulia serta institusi-institusi hak kemanusiaan, bahawasanya mereka yang ditangkap samada lelaki atau perempuan, mereka sebenarnya adalah golongan yang terbaik dalam masyarakat kami. Di antara mereka terdiri daripada ulama, pendakwah, pemikir yang masyhur kedudukan mereka samada dalam negara atau antarabangsa. Mereka ini terkenal dengan pendapat yang seimbang - i’tidal dan wasatiyyah serta mengajak kepada kesejahteraan,  keamanan, kestabilan dan penyatuan bangsa demi kebaikan negara. Kesemua tohmahan yang dibawa oleh media rasmi, serta laskar elektronik upahan kerajaan  Arab Saudi dan Abu Dhabi adalah palsu dan dusta.

Allah swt berfirman “Nabi Musa berkata kepada mereka: “Celakalah kamu kelak! Janganlah kamu mendakwa secara dusta terhadap Allah, kerana dengan sebab itu akan membinasakan kamu dengan azab seksa; dan sesungguhnya orang yang berdusta tetap hampa dan kecewa” (Taha ayat 61)

Kami mejangkakan kempen penangkapan ini akan berterusan dan tohmahan ini akan berlanjutan. Beberapa pegawai termasuk juga sebahagian anggota kehakiman yang masyhur dengan kejujuran akan diheret ke kancah ini dan dibawa ke perbicaraan olok-olok serta menghadapi hukuman yang zalim.

Sesungguhnya kami sangat menuntut kepada masyarakat dunia sekalian agar menyebarkan kenyataan kami ini dan mengangkat isu ini melalui media serta perjuangan hak kemanusiaan melalui cara yang sah.

Kami ingin memohon maaf kepada saudara kami alim ulama kerana ketiadaan catatan nama-nama penggubal kenyataan ini. Jika kami tidak melakukan perkara sedemikian ia akan mengheret kami ke penjara untuk disenyapkan secara ganas dalam tempoh yang panjang sepertimana tabiat setiap negara diktator. Kami akan diperlakukan sepertimana yang telah diperlakukan ke atas mereka yang telah ditahan sebelum ini yang terdiri daripada tokoh-tokoh reformasi - islah, dan aktivis-aktivis hak kemanusian serta mereka yang masih merengkuk di dalam penjara sejak beberapa tahun. Semoga Allah bebaskan mereka!

Kami mohon kepada Allah agar menghilangkan kekejaman yang menimpa ke atas mereka yang dizalimi dan agar Dia membebaskan mereka yang ditahan dan menjadikan akibat yang baik untuk orang yang bertaqwa.



Ditulis pada 22/12/1438 bersamaan 13/9/2017



*Komen dari Kesatuan Ulama Sedunia: Pejabat Kesatuan telah menerima kenyataan ini menerusi sumber-sumbernya yang khas dan sah daripada alim ulama yang berada di dalam Arab Saudi. Kami menyebarkannya beserta tuntutan Kesatuan kepada kerajaan Arab Saudi supaya segera membebaskan mereka yang ditahan.  Oleh kerana mereka  itu adalah pewaris para nabi maka adakah patut mereka dipenjarakan hanya kerana doa dan pendirian semata-mata?