Amanat Pimpinan
Muktamar Nasional Kesebelas
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
13-15 Oktober 2017 / 22-24 Muharram 1439
IDCC Shah Alam, Selangor
MENGANGKAT HARKAT DAKWAH, MEMIMPIN POLITIK PERUBAHAN
Ahmad Azam Ab Rahman
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah
dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi
Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. (At-Tawbah 9:20).
1.0 MUKADIMAH
Diawali dengan BismiLlah, dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang, dengan kehangatan ukhuwwah fiLlah dan semangat juang
yang menjulang, kami mengucapkan selamat datang kepada para muktamirin ke
Ijtima’ Haraki kali ke- 5 yang melibatkan seluruh warga PKPIM, ABIM dan WADAH.
Perhimpunan dua tahun sekali ini merupakan manifestasi kesatuan jamaah yang
diikat oleh kesatuan fikrah dan kekentalan ukhuwwah dalam jihad dan perjuangan
bagi mencapai cita-cita pembinaaan Khayra Ummah.
Ahlan wa sahlan diucapkan kepada para peserta Seminar Politik Islam
dan Demokrasi. Seminar ini dianjurkan antara lain untuk menggagaskan amalan
politik yang Islami, berprinsip dan berintegriti dalam menggarap persoalan
demokrasi yang merupakan salah satu kaedah yang sah berdasarkan perundangan
negara bagi mengabsahkan sesuatu pemerintahan dalam abad moden ini.
Hadirin dan hadirat yang dimuliakan,
Ketika kita berada di dewan yang mulia ini, dalam keselesaan rutin
kehidupan, dunia sedang pantas berubah sama ada perubahan berdasarkan teknologi
ataupun bukan teknologi. Perubahan perlu sentiasa dilakukan dan jika seseorang
atau organisasi mahu berjaya, perubahan mestilah didepani, diurus dan diterajui
dengan berkesan terutama di zaman milenial yang penuh cabaran ini.
2.0 CABARAN DAKWAH MILENIAL
Dalam konteks dakwah, cabaran kontemporari adalah bersifat metodologis dan
fenomenologis maka strateginya perlulah proaktif, bukan reaktif. Beberapa isu
strategik dikemukakan di sini dalam kaitannya dengan cabaran internal dan
eksternal yang memerlukan visi, rujukan, dan paradigma tersendiri untuk
menanganinya.
2.1. Revolusi Industri 4.0 dan Generasi Milenia:
Trend semasa yang mengutamakan teknologi, automasi dan pertukaran data
dinamakan sebagai Revolusi Industri 4.0 (RI 4.0) Budaya baharu ini mempengaruhi
komunikasi, sistem sosial dan sebagainya. Pemodenan melalui bidang pembuatan,
bioteknologi, robotik, dan Internet Pelbagai Benda atau Internet of Things akan
menjadi sangat menarik dan mencabar. Generasi akan datang dianggap akan lebih
banyak berkomunikasi melalui alam maya berbanding dengan sistem sosial yang
lama. Kita bimbang jika kemajuan dalam RI 4.0 ini berkembang dalam kerangka
yang mengetepikan sistem kemanusiaan, hal ini akan mengundang keruntuhan sistem
nilai dan unsur insaniah yang akan membawa kepada keretakan dan kecelaruan
pembentukan kemanusiaan masa akan datang.
Satu persoalan berbangkit: sejauh mana kemajuan dalam era digital ini mampu
mempertahankan jatidiri dan kualiti kemanusiaan? Fenomena ini perlu ditangani
dengan berhikmah agar kemajuan teknologi ini dapat digunakan untuk memberi
manfaat kepada perkembangan dakwah. RI 4.0 melahirkan generasi milenia yang
ditandai dengan keakraban mereka dengan penggunaaan teknologi komunikasi, media
dan teknologi digital. Di samping itu generasi millennia terpengaruh dengan
perubahan liberalisasi politik dan ekonomi secara meluas. Apa yang diperlukan
adalah pengisian dalam siri program pembangunan insan, pemupukan bakat dan
tarbiyyah generasi baru dalam dunia digital. Ini bermakna gerakan Islam perlu
kepada bakat-bakat berdedikasi, tangkas dan berupaya menguasai dan membangunkan
aplikasi agar gerakan Islam terus maju, berpengaruh dan mendatangkan impak.
Kita perlu menyumbang kepada penyebaran wacana dan gagasan bagi gerakan
mencerahkan dan mencerdaskan umat melalui wacana yang sahih, wasatiyyah dan
dapat menyatukan umat.
Perubahan sosial, teknologi, ekonomi dan poliitik kesan daripada Revolusi
Industri Keempat ini memaksa Gerakan Dakwah menilai semula segala pendekatan
yang digunakan selama ini. Kegagalan mengatur stategi baru sebagai respons
kepada perubahan-perubahan radikal yang terjadi akan menyaksikan Gerakan Dakwah
tersisih daripada arus perdana masyarakat dan akhirnya menjadikannya tidak lagi
relevan.
2.2 Isu Golongan LGBT:
Isu kaum LGBT mempolarisasikan dunia Islam dengan dunia Barat. Pada 2011,
Majlis Hak Asasi Manusia PBB meluluskan resolusi mengiktiraf hak asasi LGBT.
Sebanyak 99 buah negara telah menandatangan deklarasi menyokong hak tersebut
sementara 54 buah negara (kebanyakan negara Islam) menentangnya. Sehingga Mac
2017, sebanyak 22 negara telah mengiktiraf perkahwinan sejenis dan memberi
sebahagian besar hak yang disenaraikan untuk warga LGBT. Keadaan ini berkembang
dan masyarakat Islam terus didesak supaya mengetepikan prinsip-prinsip agama
dan menerima budaya LGBT sebagai bukti kesediaan mereka untuk hidup dan
berintegrasi dalam masyarakat moden. Mereka dipaksa agar turut menerima
norma-norma yang nyata bertentangan dengan nilai-nilai agama dan masyarakat.
Ini meletakkan gerakan menyokong LGBT, penganutnya dan kefahamannya dalam
keadaan berkonfrontasi dengan Islam, nilai moral, kemurnian dan kesucian
institusi keluarga. Pembawaan agenda ini jelas bertentangan dengan tujuan asasi
maqasid shariah iaitu memelihara nasab dan keturunan, akal dan kehormatan,
agama dan iman serta basic human decency iaitu fitrah salimah.
2.3 Gerakan Atheisme:
Gerakan Atheisme kini menular kembali dalam masyarakat. Atheisme baru ini
sarat dengan kebencian dengan pendekatan yang jauh lebih jahat. Gerakan ini
memandang rendah dan menghina agama. Atheisme baru ini perlu ditangani bukan
kerana keteguhan dalilnya tetapi disebabkan luas penularannya terutama melalui
media baru. Pendokong tegarnya tidak ramai namun aksesnya lebar dan pantas.
Pada abad lalu karya penafsiran al-Qur’an, Risalah An Nur telah berusaha
menangkis dan merebahkan projek sekularisasi ekstrim Kamal Ataturk serta
memenangkan agama dengan mengembalikan keimanan kepada Allah serta
kebenaran-Nya. Sekarang sudah tiba masanya para ahli-ahli usuluddin, ahli ilmu
kalam dan saintis Islam mengartikulasi secara kontemporari dan tuntas bagi
menolak gejala atheisme baru ini. Ini termasuk penguasaan ilmu merentasi bidang
serta memanfaatkan keupayaan komunikasi serta keampuhan media seluas-luasnya.
Gerakan Islam perlu merancakkan tradisi ilmu dengan rasional dan bijaksana bagi
merungkai secara prinsip, rasional dan saintifik agar moral tertegak dan rahmat
difahami.
2.4 Kleptokrasi:
Kleptokrasi bukanlah istilah baru, tetapi telah muncul sejak zaman Rom
purba. Perkataan ini secara harfiahnya bermakna “pemerintahan oleh perampok”
iaitu golongan kleptokrat yang menggunakan kuasa untuk merompak, menggarong,
menggendor dan mengeksploit harta negara bagi kepentingan diri dan kuasa
politik mereka. Penyelewengan ekonomi, kegiatan ekonomi dan kewangan tidak
halal, eksploitasi dan monopoli lalu mencipta satu kitaran sistem ekonomi yang tidak
adil dan korup. Kekayaan dibolot oleh diri sendiri, kaum kerabat serta kroni
sementara kerugian diagihkan pula kepada rakyat.
Apabila pertumbuhan ekonomi hanya dikira sebagai GDP dan pendapatan per
kapita, maka manfaat sebenar kepada rakyat jelata dan orang bawahan tidak
diambil kira. Nikmat pertumbuhan hanya dikecapi segolongan kapitalis dan
golongan yang berpendapatan tinggi. Keadilan dan pengurusan ekonomi manusiawi
perlu diutamakan dengan mensasarkan ekonomi yang lebih distributif. Ini akan
hanya berlaku melalui reformasi yang diterajui oleh kepimpinan yang adil,
berwibawa serta mempunyai keprihatinan terhadap masalah rakyat.
Kewibawaan kepimpinan akan terhakis apabila berlaku political patronage
dalam penentuan dasar dan pelaksanaan projek. Apabila dibiarkan hubung kait
bisnes dan politik yang tidak sihat menjadi resam dengan merestui amalan
kronisme dan nepotisme, maka natijahnya kepimpinan akan hilang integriti dan
wibawa. Masyarakat awam pula menjadi menjadi venal – mudah menerima
sogokan dan suapan. Penyelewengan, pengubahan wang haram, ketirisan,
penyalahgunaan wang awam akan memburukkan lagi keadaan terutama apabila tidak
mendapat perhatian jujur dari pihak berkuasa atau pihak perundangan. Pembanterasan
rasuah menjadi tidak berkesan terutama apabila berlaku pendakwaan terpilih.
Sesuatu yang mengecewakan umat apabila para agamawan tidak memberi
perhatian terhadap gejala rasuah dan salah laku pengurusan wang awam. Dengan
berbuat demikian mereka gagal mengambil pendirian moral yang tinggi lalu jatuh
di lembah fiqh al-istibdaad; merelakan walaupun berlaku kezaliman.
Pegawai-pegawai tinggi, cendekiawan, akademia, orang berpengetahuan dan mereka
yang bertanggungjawab hanya mendiamkan diri kerana khuatir kehilangan pangkat,
kedudukan dan kesenangan. Pengurusan syarikat-syarikat negara diisi dengan
pengarah-pengarah dan eksekutif tidak berwibawa, bereputasi rendah, tidak
berpengalaman dan tidak kompeten. Maka berlaku pelaburan merugikan, pembelian aset
yang sia-sia, projek-projek rakus, pelucutan aset, penjarahan harta syarikat
dan pembaziran besar-besaran.
Setelah berpuluhan tahun merdeka dan kemaraan negara membangun, negara
tidak mampu lagi menawarkan biasiswa pendidikan, bertindak menghapuskan subsidi
bantuan rakyat, membiarkan harga barangan melambung dan tidak mempunyai skema
saraan jangka panjang untuk masa depan rakyat. Kerajaan yang bergantung penuh
kepada ekonomi berpendapatan minyak kini terpaksa menaikkan harga minyak tanpa
henti, meminjam wang, menjual tanah, menggadai aset dan memperkenalkan cukai
secara sembarangan.
Memulihkan negara daripada wabak kleptokrasi akan mengambil masa yang lama
dan usaha mengesan wang dicuri akan melalui proses yang panjang dan rumit. Pada
2015, Switzerland memulangkan kepada Nigeria USD380 juta daripada USD2.2 bilion
yang dicuri oleh bekas diktator Sani Abacha yang disorok di dalam akaun-akaun
bank di Eropah. Pemulangan ini berlaku setelah 16 tahun bertelingkah
perbicaraan di mahkamah. Abacha yang memerintah Nigeria selama 5 tahun mencuri
USD4.3 bilion semasa memegang jawatannya, meletakkan dirinya sebagai kleptokrat
pencuri wang rakyat Afrika yang paling tamak. (The Guardian, 18 Mac 2015).
2.5 Extremisme:
Orang yang serius menekuni dan aktif secara akrab dengan aktivis Islamis
seluruh dunia amat terkejut dengan pertumbuhan pesat pelampau-pelampau militan
dan teroris yang tidak dikenali langsung sebelum ini. Gerakan jahat ini
berusaha untuk membunuh psikologi Islamis sejati dan menumpaskan semangat tulen
jihad. Penggunaan ungkapan Shahadah, La ila ha illal Lah Muhammad ur
Rasulullah oleh teroris mengguris fikiran dan jiwa Muslim serta non-Muslim.
Distorsi jelek mengibarkan lambang khataman nabiyyin pada
bendera-bendera hitam sewaktu melakukan aksi ganas dan brutal yang ditularkan
melalui media meninggalkan bekas mendalam ke atas sanubari dan memberi kesan
psikologi parah kepada minda banyak golongan muda.
Pelampau militant seperti ISIS menjelma daripada kebobrokan sistem
pendidikan, keruntuhan budaya ilmu, ketandusan pemimpin berwibawa, peminggiran
kelompok muda dan kezaliman pemerintahan brutal. ISIS adalah hasil evolusi
trend-trend pemuda takfiri apabila kecewa dan terpengaruh akibat kezaliman
melampau sekian lama ke atas umat Islam. Ada juga yang mendakwa ISIS merupakan
projek Zionisme dan badan-badan perisik antarabangsa bagi menebalkan faham
Islamophobia dan memporak-peranda negara-negara Islam.
2.6 Polemik Agama:
Kekusutan fikiran polemik khilaf dan kontroversi yang timbul dalam kalangan
agamawan kebelakangan ini jelas sekali sangat merugikan. Polemik ini menjadi
tidak sihat apabila merebak kepada hal remeh temeh untuk menghukum, mengutuk
dan menolak pihak lain. Ikhtilaf dan hawaa, perbedaan dan ego,
cenderung untuk menguasai jiwa, pemikiran, sikap dan perasaan sehingga
melupakan prinsip-prinsip asas Islam. Apabila hilang keseimbangan, pertimbangan
mahupun keutamaan, hukuman yang dilontarkan dengan mudah menghampiri amalan takfiriyun
- kefanatikan dan kegopohan untuk mengeluarkan orang daripada agama dan ini
merupakan satu bentuk terorisme pemikiran – al-irhab al-fikri.
Oleh itu, kita perlu menjauhi amalan mudah memberi label semata-mata kerana
perbedaan pendapat atau aliran. Terutama sekali pertubuhan Islam dan pergerakan
da’wah, perlu ada tasamuh, tawadu’ dan rasa hormat kepada ulama,
tokoh-tokoh kepimpinan gerakan dan mereka yang terbukti telah menyerahkan jiwa
raga mereka kepada jalan islah dan kebangkitan ummah.
2.7 Pendakwah ala selebriti:
Gerakan Islam berjasa meratakan alwa‘ y al-Islamiy (kesedaran
keislaman), dalam pengertian menyedarkan umat tentang hakikat kesempurnaan
Islam (shumuliyyat al-Islam) sebagai cara hidup dan sekali gus
membangkitkan kesungguhan untuk menghayati Islam dalam segala aspek kehidupan.
Antara kejayaan gerakan Islam dan kebangkitan Islam adalah meratanya minat dan
kefahaman Islam dalam kalangan umat sehingga tokoh, institusi, seni, budayawan
agama dan karyawan agama mendapat tempat dalam masyarakat, semakin dihormati
dan disanjungi.
Pengetahuan agama diganding dengan bakat penyampaian memungkinkan kerjaya
yang lumayan. TV dan media memberikan ruang dan medan luas kepada tokoh-tokoh
agama dengan pembiayaan dana pengiklanan. Perkembangan positif dari suatu sudut
adalah kemunculan populariti agamawan sehingga ada yang digelar selebriti
agama. Sekiranya mereka muncul melaksanakan tugas dengan penuh rasa
tanggungjawab, ikhlas, diiringi sifat tawadhu’ dan bukan dengan tujuan
‘menjual agama’ untuk kepentingan duniawi, maka kehadiran mereka akan banyak
membantu membangun kecermelangan umat.
Namun sangat keterlaluan apabila pendekatan diambil semakin meniru
bulat-bulat konsep hiburan dan sensasi media Barat terutama acara-acara yang
berbentuk ‘reality show’. Apabila fokus tertumpu kepada komersialisasi,
mengutamakan populariti demi mengaut keuntungan, mengutamakan keseronokan
penonton serta kepentingan ‘rating’ iklan, mengenepikan nilai-nilai
akhlak dan ciri-ciri budaya luhur, maka program-program demikian akan hanya
menjadi hiburan namun gagal membina umat terbaik, khayr al-ummah, yang
menjadi harapan kita.
2.8 Menafsir semula sejarah dari perspektif Islam:
Salah satu cabaran dunia Islam pada hari ini adalah pemesongan fakta
sejarah. Hakikat pahit yang kita depani adalah bagaimana sejarah diubah dan
digelapkan demi menafikan kebenaran sehingga wajah Islam tidak difahami dengan
tepat. Musuh-musuh Islam yang tidak mampu berdepan dengan kebenaran Islam telah
berusaha menggelapkan kebenaran sejarah dunia Islam bahkan tidak dinafikan
terdapat usaha-usaha mencipta sejarah baru dengan menggelapkan, memesongkan dan
memomokkan sejarah dan hakikat Islam. Akibatnya, hari ini kita perhatikan
terdapat pelbagai salah tanggapan yang cuba disebarkan bagi menafikan sejarah
dan kebenaran Islam sebagai agama yang membawa rahmat dan keselamatan kepada
umat sejagat.
Penafsiran semula sejarah amat penting sebagai satu metodologi dakwah yang
berkesan. Penafsiran sejarah umat ini perlu dilakukan daripada perspektif yang
benar (ru’yat al-Islam li ‘lwujud) (Al-Attas, Syed Muhammad Naquib,
1995) – menggali semula kebenaran sejarah yang sekian lama telah digelapkan
oleh ‘pihak yang menang’. Usaha ini perlu dibuat agar kita tidak meninggalkan
generasi penyusul yang hampa sejarah – yang tidak lagi mengetahui kekuatan
sejarah bangsa sendiri. Dalam bahasa al-Qur’an, sejarah disebut sebagai
hari-hari ALlah (ayyami ‘l-Llah) – kisah hidup umat lampau yang
menatijahkan i’tibar. Berasal daripada kalimah shajarah atau pokok, sejarah
merakamkan akar kekuatan bangsa – lebih mendalam kita arif dengan akar bangsa,
lagi kukuhlah tempat kita berpijak dan lebih jauhlah kita dapat mencapai apa
yang diingini, laksana pohon rendang di tengah padang, akarnya kukuh menghujam
ke bumi dan pucuknya tinggi mencapai awan.
Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan
kalimat yang baik seperti pohon (shajarah) yang baik, akarnya kuat dan
cabangnya menjulang ke langit (Ibrahim 14:24)
3.0 MENGANGKAT HARKAT DAKWAH
Harkat bermaksud taraf, mutu, darjat, nilai atau harga. Perjuangan menyeru
manusia untuk melakukan kebaikan dan melarang perbuatan munkar agar manusia
mendapatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat perlu diangkat dan ditingkatkan
secara berterusan dari setiap segi komitmen, kaedah dan sebagainya.
3.1 Mengaplikasi Fikah Kontemporari:
Orientasi gerakan adalah penjelmaan kesederhanaan Islam, dengan sikap
toleransi, berimbang antara idealisme dan realisme - wasatiyatul islam, al
tasamuh al-islamiy, waqi’i mithali, berpemikiran kontemporari dan
futuristik tanpa melupakan pengajaran sejarah agar menyedari realiti masa kini
dan bersiap sedia untuk masa depan - mu’asir, mustaqbali al-tarikhi.
Gerakan perlu menghormati dan merujuk ulama’ mu’tabar serta berkeupayaan
mendalam untuk mengolah naratif dan melakukan analisis situasi secara tepat dan
jitu. Penilaian tepat dan menghargai pengalaman sejarah penting agar gerakan
dakwah tidak terbabas daripada menangani isu menurut prinsip bagi memastikan
tertegaknya kebenaran dan keadilan. Faham post-truth atau ‘pasca
kebenaran’ muncul dengan gelagat terang-terangan menolak serta meremehkan nilai
kebenaran dengan semata-mata mementingkan kemenangan atau kesudahan bagi
mencapai tujuan. Faham ini turut menghantui orang beragama.
Gerakan kebangkitan hendaklah menampilkan Islam dengan wajah sebenar
sebagai agama rahmah bukan dengan wajah yang menakutkan, bukan agama yang
marah-marah, bukan agama rasis perkauman sempit, agama yang tidak merelai
rasuah serta kezaliman dan bukan agama yang cenderung menghukum. Menjadi amanah
gerakan untuk menampilkan Islam dalam wajahnya yang tulen dalam menyikapi
fenomena kemajmukan yang semakin berkecamuk dan pencitraan Islam yang dicemari
radikalisme.
Gerakan kebangkitan mesti berusaha membebaskan dan memberdaya umat,
mencerahkan dan mencerdaskan pemikiran rakyat – ini dinamakan gerakan tanwir,
reformasi - islahiy dan tamkin. Gerakan hendaklah memahami fiqh
al-taghyir (fiqh perubahan), menganjur fiqh al-taharrur (fiqh
pembebasan) dan fiqh al-tamkin (fiqh pemberdayaan), serta bangun
menentang fiqh al-istibdaad (fiqh penindasan) serta menolak al-istibdad
al-siyasiy (politik tirani). Menurut Abd Rahman al-Kawakibi, membiarkan
berleluasa al-istibdaad adalah merelakan penindasan dan kezaliman
sehingga orang-orang baik mempunyai agama dan memiliki nilai tetapi tanpa
kebenaran. Sementara penjahat dan penyangak berwenang-wenang melakukan
pelanggaran dan kebatilan.
3.2 Adab al-ikhtilaf:
Umat Islam sering dituduh sebagai tidak berupaya menangani perbedaan
pendapat dan berbahas secara segar dan terbuka, enggan bersemuka secara sihat
dan terhormat, tidak dapat mengolahkan perbedaan pendapat secara positif dan
mudah melabel lawan serta menghukum sewenang-wenangnya. Ketempangan terbesar
umat adalah kita merupakan umat yang tercorot apabila menangani perbedaan.
Perbedaan kita sebenarnya kerdil apabila dibandingkan dengan persamaan yang ada
sesama kita. Barat menewaskan kita melalui keupayaannya menangani perbedaan
padahal perbedaan sesama mereka lebih besar berbanding dengan kita. Hakikatnya
adalah masyarakat kita bukan satu tetapi masyarakat kita majmuk dan pelbagai.
Begitulah realiti yang melahirkan kepelbagaian trend dan pergerakan.
Gerakan Islam mesti bersemangat amal jama’iyy dan budaya kolektif
mengembleng tenaga dan potensi yang berbeda-beda bagi mencapai matlamat jamaah,
bermula dengan menghargai perbedaan dan kepelbagaian, berkepimpinan jama’iyy
dan syura serta tidak berpusat kepada peribadi. Kita mesti berusaha memahami
dan mematuhi adab ul ikhtilaf – adab perbedaan pendapat dan menjadi
penyuluh jalan dan contoh teladan bagi menangani permasalahan besar umat
masakini di segenap peringkat.
3.3 Asas Akhlak:
Teras gerakan adalah dakwah dan tarbiyah: tarbiyah ilmiah yang memberikan
kefahaman utuh dan mendalam tentang serba serbi agama Islam serta tarbiyah
pembinaan sahsiah iaitu membina kefahaman dan membina watak sepadu serta
seimbang menghayati nilai-nilai memperbaiki amal dan akhlak para pendakwah.
Kader-kader gerakan ini menjadi masdarul khayr – sumber kebaikan,
kebaikan untuk dirinya dan melimpah kebaikan kepada orang di sekitarnya,
menjadi ‘inspiring personality’ – mengilhamkan orang lain agar menjadi
baik.
Orang beragama mempunyai moral imperative – kewajipan moral membawa
standard akhlak tertinggi dan memastikan manusia berasa selamat dengan lidah,
tingkah laku dan wataknya. Tidak ada kompromi dalam kedudukan dan pendirian
moral pendakwah dan ahli agama.
3.4 Fiqh al-Ta’ayush - Fikah Hidup Bersama:
Dalam konteks negara ini, gerakan Islam mesti bersifat ummatik sentiasa
bersama rakyat, bukan bersifat elitis, bahkan menjadi juara kepada masyarakat
madaniy dengan jaringan luas meliputi pihak non- Muslim dan bukan Melayu. Kita
mesti hadir memperjuangkan keadilan sosial, membela mereka yang dizalimi,
menentang pembaziran, rasuah dan penyalahgunaan kuasa, menyantuni masalah
masyarakat, menangani kemelaratan, kemiskinan, krisis akhlak serta keruntuhan
moral, tanpa mengira bangsa dan agama.
Pembelaan dan usaha memperjuangkan isu keadilan tidak wajar dibiarkan
dan kita tidak seharusnya menyerahkan naratif sosial kepada pihak lain.
Gerakan dakwah mesti hadir dengan penuh wibawa bagi menampilkan kembali
citra Islam sebagai agama rahmat dan kasih sayang sekali gus menjelmakannya
dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, membangunkan agenda pembinaan
bangsa Malaysia yang inklusif didasari oleh semangat ukhuwwah insaniyyah
(persaudaraan insan) dan ukhuwwah wataniyyah (persaudaraan berasaskan
tanah air) yang bebas dari cauvinisme, rasisme, kecurigaan dan kecemburuan
sosial.
Kita merujuk Fiqh Islam – fiqh al-waqi’ al-maliziy yang mengiktiraf
status al-muwatanah al-kamilah (warganegara penuh) yang sah meliputi
mereka yang bukan Islam. Maka seterus kita mesti melakar peta jalan ke arah
hidup bersama berharmoni - fiqh al-ta‘ayush, sama-sama menikmati hak dan
sama-sama memikul tanggungjawab atas prinsip lahum ma lana, wa ‘alayhim ma
‘alayna.
Tidak banyak pihak kini bersungguh-sungguh dalam menangani dan mendepani
cabaran mengurus dan menyelesaikan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.
Yang kita perlukan bukan lip service – pernyataan tanpa komitmen. Jangan
pula sampai mengeruhkan keadaan, seperti yang kini terjadi. Sekiranya bukan
gerakan Islam yang mengambl tangguungjawab mencabar ini, siapa lagi?
3.5 Memberdaya Keilmuan Wanita.:
Dr. Siddiq Fadzil, pada MPAT ke-55 PKPIM membuat seruan kepada generasi
sekarang bahawa tidak cukup sekadar pencapaian wanita memakai tudung kerana itu
perjuangan generasi dulu. Wanita yang memakai tudung sekarang perlu menjadi
wanita yang cerdas, berani, mengetahui hak-hak dan bebas daripada pemikiran
perhambaan. Beliau seterusnya menegaskan bahawa wanita perlu berperanan dalam
tiga perkara dalam menghadapi cabaran dakwah kontemporari iaitu mencerdaskan
umat supaya berfikir, melestarikan kekuatan tradisi keilmuan, dan memahami
sejarah.
Pencerdasan adalah keperluan yang sangat mendesak berasaskan kenyataan
bahawa umat kita perlu disedarkan kerana sudah sekian lama terbelenggu dalam
pemikiran yang dibentuk golongan mereka yang berkepentingan. Malek ben Nabi
menyebut bahawa umat kita menghadapi fenomena al-da’fu wa al kasal fi al
tafkir – lemah dan malas berfikir. Dalam suasana beginilah pentingnya
gerakan dakwah membangunkan daya fikir umat termasuk kaum wanita. Umat tidak
akan mampu ke mana-mana jika masih tidak mampu berfikir.
3.6 Antara Dakwah dan Politik:
Sejak awal kebangkitan Islam, kita sering bertanya bilakah ketikanya marhalat
al-da’wah akan beranjak kepada marhalat al-dawlah? Saban tahun kita
menilai keperluan ini kerana kita sedar bahawa politik perubahan di antara dua
tahap ini (al-da’wah dan al-dawlah) memerlukan kesenian dan kemahiran
yang jauh berbeza lantaran medan operasi dan peraturannya yang sememangnya
berbeza. Berhadapan dengan marhalat al-dawlah ini, sesebuah gerakan
dakwah memerlukan prasyarat agar kehadirannya memberi kesan, bukan sekadar melukut
di tepi gantang.
Prasyarat pertama ialah kewibawaan dan kredibiliti gerakan dakwah tersebut
dan kedua, kekuatan aktivis dakwah sebagai ilmuwan penerus misi perubahan. Kita
perlu tetap setia dengan misi perubahan, islah mastata’tum – merubah
dengan segala upaya yang kita ada. Kewibawaan gerakan dakwah dinilai daripada bagaimana
ditanggapi kemelut semasa secara berhikmah meskipun terus setia dengan rujukan
turath dan dipedomani kerangka pemikiran klasik. Keupayaan pimpinan gerakan
dakwah memahami realiti zaman dan lingkungan secara tepat dan mendalam, lalu
mencorakkan keputusan-keputusan semasa tanpa melakukan sebarang kesilapan
strategik akan menjadikan gerakan dakwah terus relevan. Tidak wajar sesebuah
gerakan dakwah mengusulkan sesuatu penyelesaian yang mungkin dilihat radikal, tetapi
dalam proses melaksanakan penyelesaian tersebut, ia mencipta pula
masalah-masalah baru.
Gerakan dakwah bukanlah kegiatan tanpa arah. Kegiatannya sangat kalkulatif
dan ada ketikanya kehadirannya sangat menentu (determining). Gerakan dakwah
perlu terus terpelihara daripada disabotaj, dieksploitasi, diseleweng dan
dibajak (hijacked) oleh agenda terpencil mana-mana pihak yang
kemudiannya mengotorkan wajah murni agenda dakwah. Aktivis dakwah pula tidak
seharusnya mudah terhimbau dengan kemilau perhitungan politik rendah dan
sempit, sama-sama bergelumang dengan fenomena kata-mengata, cerca-mencerca, meremehkan
sumbangan mana-mana pihak dan membanggakan pihak yang lain sehinggakan kita
sudah tidak lagi objektif dalam melakukan penentuan-penentuan strategik bagi
umat. Aktivis dakwah perlu cermat dan teliti dalam tindakan. Mereka mesti terus
jujur dengan cita-cita pelaksanaan Islam tanpa membawa kerosakan kepada yang
lain – tanpa pandangan yang sempit. Bagi aktivis dakwah, mengkritik dan
membahaskan sesuatu isu adalah tanggungjawab amar ma’ruf nahy mungkar –
bukan menyokong melulu atau membangkang semberono.
Status aktivis dakwah (da’i) sangat tinggi – mereka telah menyertai
bidang yang mengatasi segala kerjaya, bidang yang bukan sekadar kegiatan kosong
perintang waktu yang gemanya bergegar secara musiman. Kegiatan murni penuh
berkualiti ini tidak mempunyai syarat keahlian; meskipun demikian, ia setia
mewarisi tugas seruan dari satu generasi ke satu generasi.
4.0. MEMIMPIN POLITIK PERUBAHAN
Tidak dapat dinafikan bahawa perubahan merupakan suatu konsep penting dalam
mana-mana organisasi termasuk gerakan dakwah. Perubahan bukan bersifat predictable
atau sequential tetapi proses kompleks yang melibatkan pelbagai
faktor.
4.1 Politik Perubahan:
Politik perubahan merujuk pada keperluan atau penggunaan kuasa untuk melaksanakan
idea atau pendekatan baru dalam sesebuah negara, organisai atau gerakan.
Perpaduan umat mesti berasaskan dasar yang kukuh, kepada politik luhur bukan
politik durjana, politik jahat, politik kebencian dan politik menakut-nakutkan.
Kezaliman, korupsi dan salahlaku tidak boleh dipertahankan atas nama perpaduan
Melayu atau agama Islam.
Para pemimpin masyarakat berjanji untuk memperjuangkan nasib umat tetapi
masih bergelut dengan pertembungan antara kepentingan rakyat dengan kepentingan
diri. Politik perubahan di samping membawa idealisme reformasi-islahiy perlu
memastikan bingkai kesatuan dijamin seperti termaktub dalam perlembagaan dan
Rukun Negara. Kedudukan agama Islam, Bahasa Kebangsaan dan hak orang Melayu
perlu dipastikan serta hak semua warganegara mesti diberikan jaminan agar
perubahan politik diterima tanpa meresahkan rakyat jelata serta tidak
menjejaskan hasrat perpaduan umat.
Perpaduan umat hendaklah seiring dengan perpaduan negara agar perubahan
disambut oleh semua warganegara dengan penuh keyakinan. Islam itu tinggi dan
tiada yang melebihi kemuliaannya. Oleh itu, agama ini dan penganutnya patut
sentiasa berada pada kedudukan moral yang tinggi. Seruan dakwah dengan penuh hikmah,
dengan contoh teladan terbaik serta hujah yang bernas tidak mengizinkan sikap
rasis. Tindakan ekstrim hanya menakutkan dan menjauhkan orang daripada risalah rahmatan
lil alamin. Politik perubahan mesti mendalami fiqh al-ta’addudiyyah menangani
sifat majmuk dan kepelbagaian mesyarakat agar didokong oleh semua dengan teguh
dan bermaruah.
Politik luhur memerlukan jiwa besar dan berlapang dada. Perpaduan politik
memerlukan pemimpin yang boleh mengetepikan sentimen, mudah memaafkan dan
mengutamakan matlamat lebih tinggi. Itulah mungkin yang disebut Anwar Ibrahim tentang
penganiayaan terhadap dirinya sebagai ‘luka kecil’ dan begitulah juga dengan
Alija Ali Izetbegovic yang dipenjarakan selama 11 tahun kerana enulis buku Islam
between East and West (American Trust Publications, 1984) yang mengkritik sosialisme
dan komunisme. Apabila beliau bebas dan dilantik menjadi presiden Republik
Bosnia Herzegovina, beliau tidak membalas dendam dengan memenjarakan atau
memecat sesiapa pun yang terlibat dalam konspirasi pendakwaan dan pembicaraannya.
4.2 Rasuah dan Penyelewengan:
Rasuah pasti akan membawa kepada penyelewengan. Rasuah hanya melorongkan
kita kepada hanya satu haluan iaitu penyelewengan yang akan memanfaatkan mereka
yang tidak layak dan tidak berhak. Yang rosak bukan hanya sebuah syarikat atau
sesuatu peringkat dalam masyarakat, tetapi rasuah telah terbukti menghancurkan
pelbagai negara dan entah berapa banyak empayar. Kalaulah kita hanya memikirkan
bahawa rasuah hanya mengambil rupa dalam bentuk wang, kita akan kecewa kerana
kuasa dan persepsi kekuasaan adalah candu paling parah. Tiada tamadun yang
dapat lari dari kecanduan rasuah dan penyelewengan – sama ada tamadun silam
mahupun tamadun mutakhir.
Sarah Chayes (2015), dalam The Thieves of State meneliti krisis kewangan
yang dihadapi oleh Ireland and Iceland. Menurut beliau, ekonomi Ireland dalam
dekad 1990-an terbina dengan jaringan kleptokratik antara elit pemerintah,
eksekutif tertinggi sektor perbankan dan usahawan-usahawan hartanah. Selama
lebih 10 tahun, kadar pertumbuhan ekonominya melebihi kadar pertumbuhan di
negara-negara maju yang lain. Namun pada tahun 2008, ekonomi kleptokratik ini
runtuh sehingga rakyat Ireland yang seramai 4.5 juta itu mulai dibayangi semula
dengan fenomena Kebuluran Besar (Great Hunger). Sejak kemelut Ireland
bermula sehinggalah tahun 2014, seramai lebih 400,00 rakyat Ireland telah meninggalkan
tanah air mereka dan kadar pengangguran meningkat dengan mendadak.
Kemelut ekonomi Iceland (2008-2011) pula bermula dengan penjualan
tanah-tanah kerajaan bagi menarik kehadiran pelaburan asing (FDI) untuk membina
projek-projek impian masing-masing. Dengan tempias kemelut kewangan
antarabangsa pada tahun 2008, Iceland hampir menjadi negara muflis. Kemeruduman
ekonomi Iceland bukan cuma kerana keputusan salah yang diambil, tetapi kerana
kegagalan pemerintah dan rakyatnya menangani gejala rasuah dan penyelewengan
akibat daripada sistem tadbir urus yang kleptokratik. Kemeruduman Iceland
bukannya sekadar satu kejatuhan ekonomi, tetapi juga adalah kegagalan moral – kehancuran
kepercayaan rakyat terhadap ahli-ahli politik, institusi dan sistem kewangan
negara mereka – rakyat yang selama ini tidak mengetahui sejauh mana rasuah dan
penyelewengan politik dan pengabaian yang berlaku tanpa disedari selama puluhan
tahun (Chayes, Sarah, 2015).
Penyelewengan yang jauh lebih parah dalam sejarah ialah penyelewengan ilmu,
(Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, 1978). Penyelewengan ilmu atau corruption
of knowledge telah sekian lama mendangkalkan ilmu dan pemikiran umat lalu
melemparkan umat ke dalam kancah kekeliruan dan kekacauan pemikiran. Yang benar
dicampur-aduk dengan yang batil, lalu timbul kekeliruan. Yang benar cuba
disaluti dengan kepalsuan agar umat tidak lagi mengenali siapa diri mereka yang
sebenarnya – tidak lagi mengetahui apa yang sewajarnya mereka ketahui dan
dahului; mereka gagal mengetahui siapakah rujukan mereka yang sebenarnya dalam
kehidupan, lalu mengambil yang bukan autoriti sebagai ikut-ikutan. Jiwa umat
dibiarkan miskin agar mudah disudutkan. Kebangkitan umat dibiarkan ditunjangi
oleh mereka yang dangkal ilmu, lalu tenggelam dalam pesta pora sloganan dan jeritan
silam. Umat yang bersemangat dibiarkan terlorong ke dalam kancah kejahilan yang
tidak bertepi. Kepimpinan umat yang muncul satu demi satu gagal menangani
kemelut berpanjangan ini – sibuk meremajakan semula (rejuvenating)
kelompok demi kelompok kepimpinan keliru sesama mereka. Kesemua ini membuahkan
dilema umat yang berpanjangan (al-Attas, 1978).
Tiada dilema tanpa jalan penyelesaian. Umat tidak boleh terus dibiarkan
berada di dalam dilema. Mereka perlu diberikan harapan dan jaminan bahawa jalan
penyelesaian – wawasan dan strateginya, pendokong dan pimpinannya, dasar,
perancangan dan programnya – sudah siap tersedia, hanya menanti ketikanya
sahaja untuk dijelmakan. Sekiranya umat tidak dijelaskan dengan jalan penyelesaian,
kita khuatir akan berlaku the reversal of expectations – satu penolakan
setelah diberikan harapan yang menggunung selama ini, lalu mengembalikan umat
kepada kesedihan dan kemurungan, menangisi kegemilangan silam dan terus terbuai
dengan nostalgia lampau. Entah berapa lama pula “the reversal of expectations”
ini akan terubat.
4.3 Harkat Dakwah dan Cabaran Politik:
Dakwah dan tarbiah kini menempuh fasa-fasa yang lebih mencabar. Ruang-ruang
yang terbuka dalam bidang politik telah mendorong para aktivis dakwah untuk
terlibat secara langsung atau tidak dalam aktivisme yang terkait dengan parti
politik. Dengan dana dan kuasa serta kemudahan-kemudahan yang tersedia,
berbagai program telah berjaya digerakkan dan berjaya memberi impak tertentu ke
atas masyarakat. Keadaan ini memberi tanggapan bahawa partisipasi dalam politik
lebih berkesan dalam usaha membawa perubahan masyarakat, berbanding dengan apa
yang mampu dibuat oleh dakwah. Implikasinya, tugas-tugas dakwah seakan
‘dipandang rendah’ dan ‘kurang bermakna’ kerana kesannya yang perlahan dan
mengambil masa.
Harus disedari bahawa politik adalah amat dinamik terutama dalam sebuah
negara demokrasi yang ditandai dengan perlawanan mendapat kuasa ‘at all
cost’. Kuasa politik boleh berubah dan bertukar dalam jangka waktu yang
pendek melalui proses pilihan raya biasa atau menerusi manipulasi yang
seringkali tidak beretika.
Mereka yang mengambilalih kuasa pula cenderung ‘memadamkan’ apa jua program
yang dilaksanakan (termasuk usaha-usaha dakwah) dan berusaha membina legasi
yang baru. Bagi membolehkan perancangan dan pelaksanaan program yang berterusan,
kuasa mesti dipertahan terus menerus. Kegagalan berbuat demikian akan turut
menjejaskan apa yang dibuat selama ini termasuk ‘kerja-kerja dakwah di jalur
politik’.
Sementara dakwah dan tarbiyyah pula adalah agenda jangka panjang yang tidak
terikat dengan kuasa politik dan pilihan raya. Dakwah dan tarbiyyah ber umat dan generasi akan datang. Berdakwah ke
jalan Allah adalah dekri rasmi (official decree) dari Allah dengan
anjuran melaksanakannya dengan cara dan kaedah terbaik iaitu al-hikmah,
maw’izah hasanah dan husn al-mujadalah. Maka kerananya, Allah s.w.t.
menyediakan jawapan yang pasti kepada pertanyaan-Nya sendiri, “Siapakah yang
lebih baik? Bahawa mereka yang berdakwahlah yang lebih baik”,
Siapakah yang lebih baik kata-katanya dari mereka yang memanggil
(berdakwah) kepada jalan Allah dan berkata sesungguhnya kami dari kalangan
mereka yang menyerah diri (Fussilat, 33).
Para pendokong dakwah mestilah tegak berdiri dengan keyakinan bahawa tugas
dakwah adalah tugas mulia, perintah ilahi dan warisan para nabi dan mursalin.
4.4 Pendirian Gerakan Dakwah Menjelang Pilihanraya
Pilihanraya ialah satu proses penting dalam sebuah sistem demokrasi. Namun
yang lebih penting untuk difahami ialah sebuah sistem demokrasi mempunyai
beberapa komponen penting lain yang melayakkannya menjadi sebuah sistem
demokrasi yang berfungsi (functioning). Sebagai satu sistem, demokrasi
boleh saja dimanipulasi sebagaimana terbukti di banyak negara termasuklah di
negara-negara yang sudah matang sistem demokrasinya. Anehnya, ada manipulasi
yang dilakukan menerusi saluran perundangan dan dilihat sebagai menuruti
kehendak perlembagaan (constitutional).
Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) yang dinantikan ini merupakan satu lagi
medan bagi rakyat memilih corak kerajaan. Soalnya bagaimana rakyat membuat
keputusan untuk memberi undi kepada parti-parti politik yang bertanding dan
apakah yang mempengaruhi keputusan rakyat ini? Berlatarbelakangkan inilah maka
sesebuah gerakan dakwah perlu memahami bahawa meskipun tujuan menghadapi PRU-14
ini adalah untuk menasihati rakyat pengundi tentang pilihan yang tepat, ia juga
perlu terus setia dengan matlamat akhir proses pilihanraya ini iaitu pelaksanaan
Islam secara total dan bertahap sesuai dan seiring dengan penerimaan rakyat.
Bagi memenuhi matlamat ini, bagaimanakah pula model penyertaan gerakan dan
aktivis-ilmuwan dakwah dalam medan politik negara menjelang PRU-14 ini? Kita
berpijak pada premis awal bahawa rakyat kita kini sedang mengalami pembelahan
yang parah mengikut jalur politik masing-masing. Hampir tiada yang tidak
terpalit – hatta mereka yang baik-baik. Setiap kenyataan kita akan diteliti
sama ada mendokong jalur itu atau jalur ini – seakan-akan tiada lagi mereka
yang cuba menegakkan kebenaran tanpa memihak, seakan-akan pendirian non-partisan
itu hanyalah kehendak naluri ideologi politik semata-mata tanpa wujud pertimbangan
ilmu dan asas kebenaran. Polemik demi polemik dibiarkan berlanjutan melelahkan
tumpuan rakyat kepada perkara yang langsung tidak membawa sebarang faedah.
Kehadiran pelbagai parti politik ditanggapi sebagai ancaman sehingga memunculkan
sikap holier-than-thou – “aku lebih suci dan engkau kurang mulia”. Kita
sudah semacam kehilangan punca bahawa tiada pemonopoli jalan pengislahan di
dalam medan politik kita – berbeza kaedah tidak bermakna berbeza agama atau
kebenaran. Inilah kepelbagaian yang perlu dirai. Sudahnya kita telah terlepas banyak
saat-saat strategik untuk bertindak secara bijaksana dan menggunakan peluang
yang mungkin akan timbul sekali dalam sejarah hidup kita.
Di tengah-tengah kecamuk dan keserabutan inilah, maka kita telah dan akan
terus mengetengahkan kaedah fiqh taghyiriy dan fiqh tanwiriy
dalam misi perubahan dan pencerahan. Sebagai pendokong gerakan dakwah,
penyertaan kita boleh saja menekuni model penyertaan politik perubahan yang
dipelopori oleh Nabi Yusuf, gandingan Nabi Musa dan Nabi Harun, serta gandingan
Nabi Daud dan Nabi Sulaiman ‘alayhimu ‘s-salati wa ‘s-salam (Siddiq Fadzil,
2013). Masing-masing mempunyai kelebihannya yang sesuai dengan cabaran yang
dihadapi ketika itu. Di zaman ini, kita dihadapkan pula dengan model politik
perubahan yang sedang dieksperimenkan di Turki sebagai sebuah negara moden (modern
sovereignty), atau model yang ditampilkan menerusi personafikasi Shaykh
Yusuf al-Qaradawi atau model gerakan Muhammadiyyah dan Nahdatul Ulama. Turki
memilih pendekatan al-tadarruj – kaedah bertahap dan beransur-ansur dalam melaksanakan
perubahan berdasarkan realiti yang wujud di dalam masyarakat. Kehadiran Shaykh
Yusuf al-Qaradawiy tidak pernah diambil mudah (taken for granted);
nasihatnya akan diperhalusi, tegurannya akan dituruti. Al-Qaradawiy akan tampil
memberi penjelasan terhadap isu-isu penting yang menjadi belenggu ke atas umat
– lalu menggagaskan perubahan-perubahan yang perlu dilaksanakan. Dari gerakan
dakwah Muhammadiyyah dan Nahdatul Ulama, kita boleh pelajari bagaimana
kemandirian (independence) dipertahankan ketika berhadapan dengan pemerintah.
Satu sisi dari gerakan taghyiriy dan tanwiriy ialah anjuran
berjihad membina dan mengukuh ketahanan umat dan ini bukanlah satu agenda
sementara. Sesungguhnya sejarah manusia adalah sejarah pertentangan antara yang
batil dan yang benar. Umat Islam adalah umat yang seluruh hidupnya sentiasa
berjihad – sentiasa membuat keputusan untuk membenarkan yang benar (Surah
al-Haj: 78). Umat juga diberi peringatan agar tidak pecah amanah untuk berjihad
(Surah at-Tawbah: 39) dan ini disusuli dengan Janji Allah SWT bagi mereka yang
meneruskan kelangsungan hidup berjihad (Surah at-Tawbah: 111) dengan ungkapan
kalimah al-fawzu ‘l-‘azim – kejayaan yang benar-benar cemerlang, bukan
apa yang disifatkan sebagai pyrrhic victory – satu kejayaan yang tampaknya
semacam satu kemenangan tetapi sebenarnya tidak ubah seperti sebuah kegagalan.
Gerakan dakwah sebeginilah yang perlu terus mengukuhkan budaya ilmu sebagai
jawapan kepada gerakan pembodohan yang meremehkan pemikiran (insulting the intelligence)
rakyat. Yang kita turut maksudkan dengan politik perubahan ini (politics of
change) ialah pengukuhan nilai-nilai universal (kulliy) dengan
penyertaan yang bukan elitis kerana yang diimpikan ialah perubahan yang lebih
menyeluruh, bukan tempelan atau picisan. Pembinaan dan pengukuhan benteng ketahanan
umat ini dianjurkan di atas kesedaran bahawa umat tidak dapat selamanya diberi
dan dijamin perlindungan. Kerana itulah umat mesti sentiasa diberi pencerahan,
pendidikan, penjelasan dan keberanian agar pemikiran umat tidak lagi dapat dipermainkan.
Kerana itulah kita tidak dapat membayangkan bagaimana pihak-pihak tertentu
cuba mempertahankan apa yang tidak lagi boleh dipertahankan (defending the
indefensibles); umpamanya mempertahankan gejala pelanggaran etika dalam
berpolitik, keghairahan menjaja fiqh istibdaad – menjustifikasikan
kemahuan pemerintah, menyebarluaskan jangkauan budaya politik takut dan politik
penindasan (politics of fear and suppression), kegelojohan gerimander dalam persempadanan kawasan
pilihanraya (gerrymandering) dan percambahan politik tohmah dan fitnah.
Sebahagian dari kebobrokan inilah yang dinamakan sebagai politik toksik –
meracuni kemerdekaan fikiran umat. Malah, dalam sejarah silam umat Islam, Imam
ash-Shafi’e pun tidak terlepas dari tohmah dan fitnah sehingga ditahan di bawah
tuduhan pengkhianatan negara (state treason) ketika bertugas di Najran,
Yemen yang berada di bawah kerajaan Bani Abbasiah pada era Khalifah Harun
al-Rashid. (Mahmood Zuhdi Haji Abdul Majid, 2014; Muhammad Abu Zahrah, 2010).
Kerana itu jugalah kita tidak perlu alergik dengan usaha untuk mengembalikan
semak dan timbang (check and balance) dalam pentadbiran negara, serta
pemusatan kuasa politik yang sungguh membimbangkan umat.
5.0 MEMIMPIN ARUS KEBANGKITAN BARU
Gerakan dakwah hari ini memerlukan pemimpin dan kepemimpinan seperti
tokoh-tokoh terdahulu yang berilmu, inovatif, gigih dan mampu membangunkan
semangat serta kebijaksanaan.
5.1 Misi Kerahmatan: Antara faktor keagungan Tamadun
Andalusia (711/1492M) ialah semangat yang disebut sebagai La Convivencia
iaitu semangat hidup bersama, tolong menolong, saling memanfaatkan kelebihan
masing-masing antara penganut agama besar dunia iaitu Islam, Kristian dan
Yahudi. Walaupun bumi Andalusia di segi politik sentiasa bergolak dan ada
pasang surutnya, namun Tamadun Ilmu mencapai kemuncaknya di abad ke-10 hingga
ke 12 dengan kelahiran tokoh ilmuan sepanjang zaman saperti Ibn Bajjah
(1106-1138M), Ibn Tufail (1105-1185), Ibn Rusyd (1126-1198). Mereka adalah
ilmuan bertaraf ‘polymath’ dan ‘encyclopedic’ yang bermaksud
mampu menguasai pelbagai bidang ilmu secara mendalam. Zaman Renaisans Barat
banyak berhutang budi kepada ilmuan Andalusia ini. Malah tokoh yang terkenal
sebagai Sheikhul Maqasid, Abu Ishak al Shatibi (1320/1388) adalah ilmuan asli Granada.
Sehubungan dengan ini, Negara ini amat berpotensi untuk mencipta sebuah tamadun
agung sekiranya semangat La Convivencia ini dapat disemarakkan dan
secara langsung mengenepikan aliran cauvinisme dan rasisme yang mulai menular akibat
manipulasi kepentingan politik sempit.
5.2 Wacana Kekhalifahan dan Ketamadunan:
Menjelang tahun 2024, tujuh tahun yang akan datang, maka Dunia Islam akan memperingati
100 tahun tanpa Khalifah. Sejak kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924,
nasib umat Islam semakin hari semakin menderita akibat kejahilan, kemiskinan
dan perpecahan yang dirancang secara halus dan nyata. Kesannya, umat Islam
semakin lesu dan mudah menyerah kalah serta mati semangat juangnya. Inilah umat
yang kehilangan jatidiri, malah berbangga dengan penjajahan dan perhambaan
terhadap bangsanya. Wacana kekhalifahan dan ketamadunan hampir tiada di
masjid-masjid. Minda umat masih berlegar dengan soal dakwah ritual
dengan penekanan kepada persoalan pemantapan ‘aqidah dan tahsinul ibadah
serta persiapan untuk mati. Perlu ada keseimbangan antara kedua wacana ini
didalam komponen pengisian ceramah dan kuliah di Masjid-masjid seluruh Negara.
5.3 Kematian Idealisme Perjuangan:
Antara faktor terpenting dalam mana-mana perjuangan sebuah kebangkitan,
ialah kepeloporan anak muda dengan idealisme perjuangan yang membara. Anak muda
yang tampil dengan kesediaan untuk ‘berkorban apa saja’, adalah orang-orang
yang menjadi penggerak dan pendokong kepada kejayaan sebuah perjuangan.
Idealisme perjuangan seperti inilah yang mencetuskan kebangkitan Islam di
negara ini. Ketika ketiadaan dana yang mencukupi, tiada pangkat dan jawatan,
tiada pengaruh dalam masyarakat dan hanya berbekalkan semangat jihad dan ilmu
yang sedikit, seluruh pelosok negara dijelajahi untuk mengajak umat kembali
kepada Islam yang syumul dan Islam sebagai Ad Din. Walau diremehkan oleh golongan
agamawan dan pihak berkuasa, anak muda tidak mudah patah semangat.
Islam bukan sekadar melahirkan umat yang rajin ke masjid, bertaubat menunggu
mati, tetapi umat yang mampu melaksanakan misi Kalimat Tauhid, misi pembebasan
dari semua illah dan berhala termasuk sistem yang menindas, kezaliman,kemiskinan,
rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah atau siapa saja. Perjuangan Tawhidik
adalah perjuangan pembebasan, menafikan segala illah dan mengitsbatkan
Allah dalam segala aspek kehidupan. Namun, musuh kepada mana-mana perjuangan
kebangkitan ialah kematian idealisme. Apabila idealisme perjuangan mati dan digantikan
dengan perjuangan kepentingan diri, pangkat dan harta, pejuang itu sebenarnya
sudah mati sebelum mati. Kehidupan akhiratnya telah digadaikan dengan kemewahan
hidup duniawi yang amat sementara ini.
5.4 Kualiti Umara’ dan Ulama’:
Sejarah telah membuktikan bahawa kesalingan Umara’ dan Ulama’ adalah resepi
terpenting bagi kekuatan sesuatu pemerintahan. Sultan Murad II berganding dengan
Haci Bayram Veli, Sultan Muhammad Al-Fatih berganding dengan Ak Shamsuddin.
Masing-masing menghormati peranan tersendiri. Mengambil kira akan perubahan
dunia kesan dari Revolusi Industri Keempat, maka usaha untuk meningkatkan kualiti
ilmu kepemimpinan para pemimpin Negara termasuk para Sultan dan para ulama’
harus dipertingkatkan. Perancangan membina generasi pemimpin masa depan yang
berkualiti adalah suatu yang sangat penting.
Sultan Murad II telah mempersiapkan anaknya, Sultan Muhammad Al-Fatih
dengan tujuh formula pendidikan sejak kecil sehingga berjaya membebaskan Kota
Konstantinopel pada 29 Mei 1453M. Formula tersebut ialah
1) Menanam wawasan Ummatik
2) Menamakan anak sesuai cita-cita
3) Penekanan kepada Adab dan akhlak
4) Mewajibkan penguasaan Al-Quran
5) Mewajibkan solat Tahajjud
6) Menguasai ilmu strategik pemerintahan
7) Menguasai pelbagai Bahasa besar dunia.
Sultan Suleiman Kanuni (1520/1566) pula telah meletakkan syarat yang
penting di dalam pemilihan Imam Besar Masjid Suleiman yang baru siap dibina
pada tahun 1558. Syaratnya seperti berikut:
1) Menguasai Bahasa Arab, Latin, Turki dan Parsi
2) Menguasai ilmu Al-Quran, Injil dan Taurat
3) Mempunyai kepakaran ilmu Syariah dan perundangan
4) Menguasai ilmu Fizik dan Matematik tahap mengajar
5) Berkemahiran dalam memanah, berlawan pedang dan ilmu peperangan
6) Seorang yang berperawakan menarik
7) Mempunyai suara yang kuat dan merdu.
Mari kita bermuhasabah! Apakah kualiti para pemimpin dan ulama’ yang ada
hari ini mampu untuk mencipta kebangunan abad baru, mampu untuk merealisasikan Al
Islam ya’lu, wala yu’la ‘alayh?
5.5 Seruan Perpaduan:
Seruan untuk umat Islam bersatu dan berpadu merupakan salah satu agenda
penting Gerakan Islam. Namun demikian agenda Perpaduan Umat tidak akan berjaya sekiranya
tiada keazaman poltik untuk melibatkan semua stakeholders dalam masyarakat
negara ini. Realitinya, dunia sudah berubah, masyarakat juga sudah berubah.
Agenda keadilan sosial, hak kebebasan, kebenaran dan keadilan, keluhuran
perlembagaan dan undang-undang, hak bukan Islam sebagai warganegara penuh,
bukan bertaraf dhimmi. Akauntabiliti, transparensi adalah antara isu
besar yang perlu ditangani.
Seruan Perpaduan Umat demi meraih sokongan orang Melayu kelihatannya
memakai strategi menimbulkan ketakutan dan permusuhan terhadap non-Muslim.
Pendekatan cauvinisme dan rasisme ini mungkin boleh berjaya untuk jangka
pendek, tetapi bakal mengundang tindak balas yang parah untuk jangka panjang. Model
Piagam Madinah dengan pendekatan inklusif yang memakai kalimah Ummah bagi semua
kaum, baik Islam maupun bukan Islam dalam hubungan kemasyarakatan di Madinah
wajar menjadi rujukan dan kajian. Islam mengajar umatnya supaya saling belajar
dan tolong-menolong antara bangsa-bangsa dalam pengertian li ta’arafu.
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan
seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya
kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu
ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui lagi Maha Mengenal. (Al Hujuraat 49:13)
5.6 Gerakan menterjemah khazanah ilmu dalam Bahasa Melayu:
Melalui sejarah, kita mengetahui bahawa Islam adalah agama yang amat
mementing ilmu untuk kesejahteraan dan pembangunan kualiti umat. Ilmu yang
dipelajari sudah semakin jauh berkembang meluas merentasi batas geograf, budaya
dan pemikiran. Jika kita melihat pada awalnya bagaimana Islam telah melahirkan
tokoh-tokoh ilmuwan bertaraf dunia. Kebangkitan dan perkembangan Ilmu ini
adalah hasil daripada kekuatan khazanah Ilmu yang berkembang dan diterjemahkan
ke dalam bahasa ibunda masing-masing. Sejarah perkembangan ilmu di Alam Melayu
sendiri telah berkembang dengan pesat hasil daripada usaha-usaha menterjemah
karya-karya agung ke Bahasa Melayu.
Bidang-bidang seperti sejarah, astronomi, bahasa, sastera, undang-undang dan
lain-lain turut berkembang. Pusat intelektual Islam di Alam Melayu melahirkan
institusi-institusi pendidikan dan karya-karya agung seperti kitab Sirat
al-Mustaqim oleh Nur al-Din al-Raniri, Sabil al-Muhtadin oleh Muhammad
Arsyad al-Banjari, Kifayah al-Mubtad oleh Daud al-Fatani, Sejarah
Melayu, Tuhfat al-Nafis, dan sebagainya. Begitu juga bahasa Melayu Jawi
merupakan bahasa komunikasi dan bahasa penulisan kitab-kitab agama yang difahami
oleh seluruh penduduk. Bahasa Melayu Jawi menjadi bahasa dominan dan telah
dijadikan bahan rujukan utama oleh para pengkaji Barat mengenai Melayu Islam
kerana hampir kesemua cabang ilmu agama Islam yang tersebar di rantau ini ditulis
dalam bahasa Melayu Jawi. Kedudukan bahasa Melayu Jawi menjadi lebih terkenal,
khususnya selepas tertubuhnya kerajaan-kerajaan Islam di rantau ini. Pada waktu
itu kegiatan penulisan dan penterjemahan kitab-kitab agama dari bahasa Arab ke
bahasa Melayu Jawi berkembang pesat, terutama mengenai bidang-bidang kajian
yang dinyatakan di atas.
6.0 KHATIMAH
Dalam kesempatan yang berharga ini, kita menyatakan solidariti dan ukhuwwah
setulusnya dengan Anwar Ibrahim yang masih mendekam di dalam penjara kerana
idealisma perjuangannya dan pengorbanan yang sangat menginspirasikan. Kita
menyeru buat kesekian kalinya, Anwar Ibrahim mesti dibebaskan segera. Beliau adalah
sebahagian dari penyelesaian kepada kemelut politik Negara yang sudah
berpanjangan hampir dua dasawarsa. Kita juga menyatakan solidariti dengan umat
Rohingya yang masih terus dinafikan hak kewarganegaraannya, terus dibunuh dan dihalau
dari tanah tempat kelahiran mereka sedangkan dunia membisu dan membutakan mata.
Ini adalah tragedi kemanusiaan dan penghapusan etnik abad ini yang merobek
keinsanan kita semua.
Marilah kita merapatkan saf perjuangan dalam kekentalan Ukhuwwah,
semangat ruhul jihad dengan pengorbanan yang setulusnya bagi
merealisasikan cita-cita pembinaan Tamadun Khayra Ummah yang kita
dambakan sejak lama. Ketika kita memulakan kebangkitan Islam tahun 70an, kita
tiada memiliki apa-apa selain berbekal sebuah idealisme perjuangan. Hanya
dengan semangat ini, kita telah berjaya memikul amanah dakwah dengan begitu
baik sekali. Hari ini sudah 56 tahun kelahiran PKPIM, 46 tahun kelahiran ABIM
dan 12 tahun kelahiran WADAH di persada dakwah. Sudah tentu kita sudah punya
begitu banyak pengalaman, banyak pengaruh, banyak jaringan bisnes dan politik dan
juga harta. Namun, sekiranya kita terkena penyakit kematian idealisme, maka
segala kelebihan ini tidak bermakna apa-apa kepada perjuangan.
Justeru itu, ayuh kita bangun, semboyan perjuangan dan pengorbanan kita
bakar semula. Yang muda belajarlah dari yang tua, yang tua pantas lah berlari
ke garis penamat bertemu Rabbul Jalil. Dunia tempat berjuang, akhirat
tempat berehat buat selama-lamanya menikmati syurgawi Ilahi Rabbi.
Selamat bermuktamar dan berseminar.
RUJUKAN
Al-Attas, Syed Muhammad Naquib (1995) Prolegomena To The Metaphysics of
Islam: An Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islam.
Kuala Lumpur: ISTAC, hal.
Al-Attas, Syed Muhammad Naquib (1978) Islam and Secularism. Kuala Lumpur:
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Al-Attas, Syed Muhammad Naquib (2001) Risalah Untuk Kaum Muslimin. Kuala
Lumpur: ISTAC.
Carlson, Elwood (2008). The Lucky Few: Between the Greatest Generation and
the Baby Boom, New York: Springer.
Chayes, Sarah (2015) Thieves of State: Why Corruption Threatens Global
Security. New York: W.W. Norton & Company, Inc.
Mohammad Abdullah Enan (2007) Ibn Khaldun: His Life and Works. Kuala
Lumpur: The Other Press.
Mahmood Zuhdi Haji Abdul Majid (2014) Biografi Agung Imam Syafi’i: Travelog
Kesarjanaan Imam Mazhab Yang Genius. Selangor: Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd.
Muhammad Abu Zahrah (2010) Pengembaraan Intelektual dan Pemikiran Imam
Syafi’I Dalam Masalah Akidah, Politik dan Fiqih. Selangor: Crescent News (karya
terjemahan).
Siddiq Fadzil (2013) Gerakan Islam dan Politik Perubahan: Optimis Dalam
Waspada. Amanat Pimpinan sempena Muktamar Nasional Ketujuh WADAH, 7 September
2013, Shah Alam, Selangor, hal. 20-23.
No comments:
Post a Comment