Sunday, December 19, 2010

Friday, October 15, 2010

UPSR, PMR

12 Syawal 1431H

21 September 2010

YAB Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin,

Timbalan Perdana Menteri

dan Menteri Pelajaran Malaysia

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PEMANSUHAN UPSR-PMR: PERNYATAAN KEPRIHATINAN

TERHADAP ORIENTASI PENDIDIKAN NEGARA

Mukadimah

Terlepas dari soal setuju atau tidak, cetusan idea pemansuhan UPSR-PMR kami tanggapi sebagai isyarat positif bahawa pada tahap pembuat dasar telah ada kesediaan untuk melakukan rethinking, menilai dan memikirkan semula kerelevanan sistem pelajaran kita secara menyeluruh dan mendasar. Cadangan pemansuhan peperiksaan (UPSR-PMR) tentunya tidak hanya sekadar memansuh semata-mata untuk memansuh, tetapi dilatari kesedaran tentang wujudnya masalah, bukan hanya masalah-masalah yang berbangkit dari peperiksaan dan isu-isu yang terkait dengannya, tetapi masalah yang lebihfundamental dan mendasar.


Pendidikan di Malaysia: Penilaian Umum

Memang sistem pendidikan kita terkesan amat berorientasi peperiksaan, dan seterusnya (hampir) memutlakkan prestasi dalam peperiksaan sebagai satu-satunya ukuran kualiti dan penentu masa depan seseorang pelajar. Orientasi dan persepsi sedemikian jelas membawa pelbagai implikasi negatif terhadap misi dan esensi pendidikan sebagai proses pembinaan insan secara utuh, bersepadu dan seimbang. Justeru, antara implikasi yang sangat memprihatinkan termasuklah:


  • Misi besar pendidikan telah direduksi menjadi sekadar suatu siri peperiksaan yang mendera dan menegangkan. Di situlah tercurah dan terperahnya seluruh kekuatan pendidikan sehingga mengabaikan dimensi-dimensi penting kependidikan lainnya. Dalam konteks realiti seperti itu memang ada kebenarannya apabila dikatakan bahawa sistem kita lebih banyak menguji daripada mendidik (more testing than educating).
  • Akibat tumpuan semata-mata pada pencapaian prestasi dalam peperiksaan, maka lahirlah generasi yang berprestasi (akademik) cemerlang, tetapi gagal menjadi manusia berakhlak dan berwatak mulia.
  • Demikian jadinya kepada mereka yang dianggap "berjaya", betapa pula nasib mereka yang menjadi "korban" peperiksaan? Tidak sedikit jumlah anak bangsa yang dihukum sabagai "gagal" dalam usia yang sedemikian muda. Keputusan peperiksaan dianggap keputusan nasib hidup mereka. Demikianlah, persekolahan kita telah melahirkan generasi yang mengalami kekosongan erti hidup, pesimis dan tidak percaya diri. Keleluasaan gejala penyakit sosial ketika ini mungkin salah satu jelmaannya.
  • Dalam orientasi yang terlalu menumpu dan mementingkan prestasi dalam peperiksaan anak didik dibebani harapan yang seringkali tidak tertanggung, dan dipaksa bersaing meskipun tidak mampu. Akibatnya persekolahan kita telah mencipta generasi yang mengalami ketegangan (stress) dan sentiasa berasa terancam (rasa tidak selamat kerana sentiasa disaingi).
  • Sistem yang menjadikan keputusan peperiksaan sebagai ukuran mutlak, sesungguhnya hanya menghargai hasil terakhir suatu proses pendidikan yang panjang. Yang berharga hanya jumlah A yang terkumpul pada peperiksaan akhir, sedang susah payah guru mengasuh dan mengasah dari hari ke hari seolah-olah tidak ada harganya.
  • Menjadikan prestasi dalam peperiksaan sebagai penentu persaingan merebut peluang pekerjaan, selalu memacu persaingan mencapai prestasi tanpa memperhitungkan cara, etika dan aturannya. Akibatnya peperiksaan, di mana-mana, selalu diwarnai penipuan, manipulasi dan pelbagai kecurangan lainnya.
  • Mereka yang kalah dalam persaingan, atau yang tidak mampu bersaing, tetapi terus-menerus dipaksa bersaing rata-rata merasakan persekolahan suatu penderaan. Mereka selalu merasa didiskriminasikan dan tidak dihargai. Mereka tidak senang ke sekolah, kerana sekolah memang tidak menyenangkan.

Hakikat tersebut tidak menafikan perlunya peperiksaan pada tahap-tahap tertentu sebagai salah satu cara penilaian dalam proses pendidikan. Yang dipermasalahkan adalah kadar pemberatannya sehingga menjadi terlalu berorientasi peperiksaan, dan terlalu dimutlakkan sebagai ukuran kemampuan, walhal peperiksaan mempunyai pelbagai keterbatasan di samping selalu mengandungi unsur kemujuran. Kerana itu kertas ini tidak bermaksud menolak peperiksaan, tetapi menyarankan peninjauan semula dan mengemukakan modifikasi-modifikasi seperlunya dengan semangat korektif-reformatif -- pembaikan sistem pendidikan secara menyeluruh, sesuai dengan keperluan kita sebagai insan, umat dan bangsa.


Tanpa ragu, kami menyimpulkan bahawa sistem pendidikan kita harus dibebaskan dari dominasi orientasi peperiksaan yang keterlaluan. Untuk itu kekerapannya harus dikurangi, di samping peranannya sebagai ukuran kejayaan proses pendidikan harus diimbangi dengan penilaian dimensi-dimensi kependidikan lainnya - rohani, jasmani, intelek dan emosi. Perlu dicatat bahawa peperiksaan tidak dapat mengukur seluruh aspek yang terliput dalam proses pendidikan. Secara pedagogis, peperiksaan mempunyai keterbatasaan yang sangat jelas. Ia hanya mencakup aspek kognitif, tidak mencakup aspek psikomotorik, dan tidak juga aspek afektif. Selain itu peperiksaan juga hanya dapat mengukur kompetensi pelajar dalam subjek-subjek tertentu yang diambil, dan ini jelas mereduksi kompetensi pelajar , mengabaikan kompentensinya dalam bidang-bidang lain yang tidak termasuk dalam subjek-subjek peperiksaan.


Untuk menjadikan peperiksaan sebagai kayu ukur yang dapat dipercaya, ia tidak harus bersifat sekadar bubble test yang dangkal dan tidak substantif. Bentuk dan pola soalan peperiksaan harus dianjak ke arah soalan yang bersifat high order thinking questions, soalan yang mencabar pemikiran, menguji kemampuan berfikir, dan merangsang pemikiran analitikal, kreatif dan kritis. Anjakan ini bererti bahawa soalan peperiksaan tidak lagi bersifat menguji hafalan dan ingatan semata-mata, di samping ia juga tidak dapat diteka-teka atau diramal-ramal berdasarkan soalan-soalan peperiksaan yang lalu. Untuk melakukan anjakan ini, corak pengajaran dan pembelajaran perlu diorientasikan semula sesuai dengan pola dan format soalan yang sedemikian.


Orientasi peperiksaan memang memerlukan modifikasi untuk menjadikannya lebih bererti, tetapi ia tetap tidak boleh dimutlakkan sebagai satu-satunya ukuran yang sah dan muktamad. Kerana itu modifikasi peperiksaan harus beriringan dengan sejumlah modifikasi lain yang melibatkan kandungan dan orientasi kurikulum keseluruhannya. Dalam kaitan ini pencapaian matlamat pendidikan sebagai humanizing process harus dinilai semula. Untuk mempastikan tercapainya objektif pengutuhan manusia, subjek-subjek yang dapat memanusiakan manusia harus diberikan penekanan semula. Tanpa menafikan kepentingan sains dan matematik, obsesi yang berlebihan terhadap subjek-subjek tersebut ternyata telah mengakibatkan peminggiran dan peremehan terhadap bidang-bidang lain yang sarat dan padat dengan nilai-nilai murni kemanusiaan seperti pendidikan Islam, sejarah dan kesusasteraan. Penyelesaian kepada persoalan ini bukan dengan mengunggulkan yang satu dan memperlekeh yang lain, tetapi dengan pendekatan integratif -- penyepaduan disiplin-disiplin tersebut dan perapatan jurang antara sains dengan disiplin-disiplin yang dikategorikan sebagai subjek-subjek arts itu.


Sesuai dengan tuntutan zaman kini sebagai zaman kreasi dan inovasi, sistem pendidikan kita (termasuk orientasi peperiksaannya) harus memberikan penekanan pada usaha pengembangan daya kreatif-inovatif anak didik. Tanpa menafikan bidang sains juga dapat merangsang daya kreatif, tetapi dasar meremehkan bidang ilmu kemanusiaan yang sangat kaya dengan unsur kreativiti adalah suatu kesilapan fatal. Dalam kaitan ini perlu dicatat bahawa kreativiti adalah faktor penting daya maju bangsa, khususnya dalam bidang ekonomi. Kerana itu negara-negara maju umumnya sangat prihatin terhadap gejala kemorosotan daya kreativiti anak bangsa. Dan apabila gejala ini timbul, yang pertama dilihat adalah sistem persekolahannya. Apakah sekolah mampu menjadi lahan yang subur bagi kegiatan-kegiatan kreatif-inovatif?


Di samping banyak mencipta kejayaan di pelbagai bidang, harus pula diakui bahawa sistem persekolahan kita dari satu sisi dapat dinilai kurang berhasil membina generasi yang kuat dan berdikari. Yang terhasil rata-rata adalah generasi yang lemah, generasi yang meminta-minta, generasi yang mengharap belas kasihan agar diberikan pekerjaan. Pendidikan yang komited terhadap misi pemberdayaan (empowerment) seharusnya mampu melahirkan generasi yang berkompetensi tinggi. Untuk itu kita memerlukan sistem persekolahan yang berorientasi pengupayaan pelajar mencipta pekerjaan, bukan menunggu peluang pekerjaan.


Tidak semua subjek dapat dinilai prestasinya melalui peperiksaan formal oleh sebuah lembaga rasmi. Harus diakui hakikat bahawa tidak siapa pun yang tahu tentang kemampuan seorang pelajar lebih daripada gurunya yang saban hari mendampinginya. Kerana itu ruang penilaian guru (sekolah) perlu diperluas dan diberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Dalam kaitan inilah relevannya sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dipertimbangkan. Amalan pengijazahan oleh guru dalam sistem pengajian (Islam) tradisional sebenarnya sangat beralasan. Bagaimanapun untuk melaksanakan kaedah penilaian ini diperlukan tingkat kejujuran dan integriti moral yang cukup tinggi. Untuk itu diperlukan pula suatu program intensif latihan pembinaan integriti keguruan. Dengan demikian segala penilaian dan pentaksiran akan dapat dilaksanakan berlandaskan nilai amanah dan ketaqwaan yang setinggi-tingginya.


Untuk membina generasi yang religious, berwatak dan berakhlak mulia, pendidikan Islam memainkan peranan yang sangat menentukan. Kerana itu ia harus ditempatkan sebagai subjek istimewa, bukan sekadar subjek pengetahuan, tetapi sebagai disiplin penghayatan. Sesuai dengan posisi dan fungsinya yang sedemikian, ia memerlukan cara penilaian tersendiri. Tidak cukup dinilai dari segi kefahamannya, tetapi juga dari segi internalisasi dan penghayatannya.


Selama ini sistem peperiksaan kita telah melahirkan golongan yang dianggap berprestasi akademik. Bagaimanapun yang lebih penting dan lebih bererti daripada prestasi ialah semangat cintakan ilmu. Tetapi isu inilah pula yang masih menjadi tanda tanya besar. Untuk menepati makna pendidikan sebagai proses sosialisasi dan internalisasi nilai, sistem pendidikan kita harus lebih memberikan penekanan pada usaha pemartabatan nilai ilmu, pembinaan sikap menyintai ilmu, dan membangkitkan semangat ingin tahu (intellectual curiousity).


Pemansuhan jenis-jenis peperiksaan tertentu dalam sistem pendidikan kita memang ada justifikasinya. Bagaimanapun ada kemungkinan langkah tersebut disalaherti dan disalahgunakan untuk mengurangi komitmen sekolah terhadap tanggungjawab pencapaian prestasi akademik. Pemansuhan dalam konteks ini bukan tanpa alternatif. Sistem pentaksiran alternatif PBS itulah yang harus dilaksanakan sejaya-jayanya, tanpa mengurangi komitmen terhadap kecemerlangan akademik. Semangat tersirat di sebalik langkah tersebut ialah untuk kembali ke falsafah pendidikan bersepadu dan seimbang dengan matlamat membina insan seutuhnya sebagaimana yang diungkapkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


Keunggulan sistem pendidikan tidak hanya pada tahap dasar dan falsafahnya, tetapi juga harus cukup berkesan dari segi operasi dan pelaksanaannya di semua peringkat. Dalam kaitan ini peranan sekolah sebagai "hujung tombak" sistem pendidikan negara dalam erti sebagai institusi akar rumput yang sentuhannya sampai dan langsung kepada sasaran terakhir (anak didik) harus mencapai tahap kompetensi yang memungkinkannya melaksanakan misi kependidikan holistik, menyeluruh, seimbang dan sekaligus bersepadu.


Pendirian Terhadap Cadangan Pemansuhan UPSR-PMR

Mengambil kira perkara-perkara di atas, kami berpendapat bahawa UPSR perlu diteruskan, sementara PMR boleh dimansuhkan dengan catatan-catatan berikut:


  • Pengekalan UPSR atas rasional kepentingan fungsinya sebagai penilaian penamat bagi persekolahan peringkat rendah.
  • Peperiksaan UPSR tidak seharusnya digunakan sebagai sorting machine untuk pemilihan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Menggunakan peperiksaan sebagai asas pemilihan akan menjadikannya tumpuan seluruh kekuatan kependidikan sehingga mengabaikan dimensi-dimensi pendidikan lainnya. Untuk tujuan pemilihan ke SBP harus diwujudkan mekanisme alternatif dengan mengambil kira penilaian-penilain selain prestasi akademik.
  • UPSR harus berorientasi penilaian diagnostic dalam erti mengenalpasti titik-titik kelemahan untuk seterusnya dicari jalan mengatasinya.
  • Murid-murid yang gagal menguasai 3M/LINUS harus "ditahan" di tahap satu selama setahun untuk tujuan korektif dan pemulihan.
  • Pemansuhan PMR pula didasarkan pada rasional bahawa penilaian persekolahan pada tahap menengah sudah memadai dengan peperiksaan SPM.
  • Dengan pemansuhan PMR harus diwujudkan pula mekanisme alternatif untuk tujuan penjurusan dengan penekanan pada potensi dan keupayaan (aptitude test).
  • Pemansuhan PMR memerlukan cara penilaian alternatif yang dalam hal ini Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dirasakan paling sesuai. Untuk memastikan keberkesanannya PBS perlu dilaksanakan dengan prosedur yang kemas berpandukan set aturan yang terperinci dan baku. Oleh kerana PBS akan banyak melibatkan peranan guru, maka perlu dipastikan mereka (guru-guru) mencapai tahap profesionalisme dan integriti yang setinggi-tingginya. Dengan demikian penilaian mereka akan diterima umum sebagai penilaian yang berkredibiliti, berautoriti dan tidak dipertikai.

Cadangan

Menyedari hakikat masalah-masalah fundamental yang tersirat di sebalik persoalan UPSR-PMR, kami ingin mengemukakan cadangan-cadangan umum seperti berikut:


  • Untuk mempastikan pendidikan tidak akan kehilangan esensi hakikinya sebagai proses pengutuhan manusia dan proses sosialisasi nilai Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu difungsikan sepenuhnya sebagai landasan penggubalan kurikulum, proses pengajaran dan pembelajaran, dan seluruh kegiatan persekolahan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu dimartabatkan semula dan dihayati secara yang lebih bererti dalam penggubalan kurikulum dan proses pengajaran dengan menekankan dimensi-dimensi penerapan nilai-nilai murni, pengembangan potensi, kesepaduan, keseimbangan dan keharmonian.
  • Untuk mengembalikan pendidikan kepada esensi, fungsi dan misi hakikinya, istilah pendidikan harus digunakan semula menggantikan istilah pelajaran yang dipakai sekarang. Sesungguhnya istilah pendidikan jelas lebih kental, lebih padat, dan lebih tepat dari segi erti, isi dan substancenya.
  • Pendidikan sebagai proses pembinaan generasi memang memerlukan masa yang panjang, tidak boleh diringkas-ringkas atau disingkat-singkatkan. Kenyataannya hari ini "tidak cukup masa" selalu dijadikan alasan untuk menjelaskan pelbagai kelemahan dan ketidakberkesanan dalam pengajaran dan aspek-aspek pendidikan lainnya. Besar kemungkinan alasan tersebut benar. Untuk mengatasinya kami sarankan agar kementerian mempertimbangkan semula idea persekolahan satu sesi yang pada suatu ketika dahulu pernah dibincangkan. Persekolahan satu sesi akan membolehkan penambahan masa untuk pengajaran dan pembelajaran, proses pengukuhan dan interaksi guru-murid.
  • Untuk meningkatkan keberkesanan pendidikan keseluruhannya, telah sampai masanya kementerian mempertimbangkan secara serius pelaksanaan sistem semester dan seterusnya pemakaian sistem penilaian CGPA dalam sistem persekolahan negara.
  • Untuk menambah keberkesanan juga langkah segera perlu diambil untuk memperbaiki kadar nisbah guru-murid. Jumlah murid yang terlalu ramai di bawah seorang guru seperti yang berlaku ketika ini mengakibatkan kegagalan memberikan perhatian yang secukupnya kepada murid-murid, dan seterusnya ini membawa pelbagai masalah yang sukar diatasi.
  • Tujuan pemansuhan peperiksaan tertentu untuk mengurangi orientasi peperiksaan tidak akan tercapai sepenuhnya jika sistem pengkelasan (grading) sekolah-sekolah yang diamalkan ketika ini tidak dirubah. Pengkelasan sekolah berasaskan prestasi akademik/SKPM akan menjadikan orientasi peperiksaan terus menguat.
  • Antara yang sangat memprihatinkan ketika ini ialah tahap penguasaan tulisan jawi dalam sistem persekolahan kita. Kelemahan penguasaan tulisan jawi akan mengakibatkan pendangkalan agama, di samping kehilangan khazanah persuratan warisan, ilmu dan wisdom kepujanggaan bangsa yang bertulisan jawi. Kerana itu kami menyarankan agar di samping meneruskan pengajaran jawi dalam subjek bahasa Melayu, tulisan jawi juga hendaklah digunakan seluas mungkin dalam pengajaran dan pembelajaran subjek pendidikan Islam. Pengajaran agama Islam menerusi tulisan rumi dikhuatiri akan mengakibatkan pendangkalan dan penyimpangan. Yang jelas ia adalah suatu keganjilan yang sangat menyolok.

  • Agama seharusnya dilihat sebagai sumber kekuatan dan faktor kunci survival umat. oleh itu pendidikan keagamaan harus menekankan keberkesanannya dari segi pemberdayaan dan impak transformatifnya terhadap murid. Sesuai dengan tuntutan zaman the age of wisdom pendidikan Islam harus mengakar pada falsafah dan prinsip pendidikan berhikmah sebagaimana yang terumus dalam pesan-pesan kependidikan Luqman al-Hakim.

  • Untuk penambahbaikan sistem pendidkan arus perdana mungkin ada kebijaksanaannya pihak kementerian melihat pelbagai eksperimen pendidikan alternatif yang dilaksanakan oleh badan-badan NGO, termasuk sistem persekolahan ABIM yang berasaskan agama, menggunakan pendekatan bersepadu dan mengamalkan sistem persekolahan satu sesi. Berdasarkan sambutan hangat masyarakat mungkin ada kekuatan-kekuatan tertentu pada persekolahan alternatif tersebut yang dapat dipelajari dan dimanfaatkan.

Demikianlah pernyataan sikap dan catatan keprihatinan kami tentang beberapa aspek pendidikan negara ketika ini. Semoga mendapat perhatian YAB Menteri. Terima kasih.


Dato' Dr. Siddiq Fadzil Presiden Wadah
Muhd Razak Idris Presiden ABIM
Muhammad Faisal Abd Aziz Presiden PKPIM

Tuesday, September 21, 2010

Bahaya Judi





Pada suatu ketika di sebuah institusi yang masyhur, acara perasmian gilang gemilang telah diadakan. Tokoh pembesar dijemput dengan penuh adat istiadat. Dewan yang indah berseri dipenuhi dengan hadirin berpakaian segak dan rasmi. Si imam dijemput khas bagi membaca doa penyeri bagaikan adunan pembuka majlis. Maka si imam pasrah membaca dengan ungkapan dan bahasa yang lunak serta penuh erti dipohon restu dan ridha illahi ke atas majlis yang bermakna bagi institusi menandakan kesyukuran kejayaan aspirasinya. Para hadirin tekun mengaminkan memohon dikabulkan hajat institusi.

Kemudian si pengerusi lembaga pengarahnya naik ke pentas dengan izin tokoh pembesar perasmi. Dia menuturkan kata-kata syukur dan dalam ucapannya menyatakan kebanggaannya mencapai pendapatan khidmat rundingan yang tinggi. Dia menerangkan bahawa hasil pendapatan lumayan ini diperolehi ekoran kejayaan mengendalikan ujian bertauliah melalui lantikan oleh perusahaan lumba kuda. Ujian yang dilakukan adalah ke atas contoh-contoh air kencing kuda lumba. Kebanyakan audien mendengar semua ini dengan bersahaja tanpa apa-apa perasaan resah atau hairan. Tidak kelihatan pun memek muka menunjukkan wajah jijik ataupun keji. Institusi telah anggap bahawa ia telah meraih kejayaan melalui pendapatan secara bersyubhat dengan industri judi. Rupa-rupanya perlumbaan kuda penuh dengan masalah simpang siur ketelusan dan integriti iaitu sering berlaku penyelewengan aksi kuda dan amalan aib si jockey. Pelbagai madat dan dadah cuba disuntik secara sembunyi ke dalam badan kuda. Bermacam-macam helah berada di ruang legar pemikiran jockey. Korupsi angkara pertaruhan beginilah yang memerlukan pula pelbagai bentuk alat kawalan dan di antaranya adalah ujian madat ke atas haiwan kuda ini.


Belum tamat ucapan pengerusi, si imam terus bangun secara pantas dan bergegas keluar dewan dan di pintu keluar terus menanggalkan sampinnya yang formal tanda bantahannya tersendiri. Tetapi hanya dia dan beberapa orang sahaja yang memerhatikan gelagat protesnya tadi. Kasihan juga kepadanya, penat lelahnya menyusun rangkap dan bait doa yang suci telah dinodai angkara institusi yang tidak sedar diri.

Si perasmi pun Muslim, si pengerusi pun Muslim dan insitusi pun anak syarikat milik majoriti Muslim sejati. Demikianlah penangan jika tidak prihatin bahaya judi!

Saturday, May 8, 2010

Idealisme Perjuangan

Pagi tadi, kita telah dijemput untuk memberi kata-kata aluan oleh pengelola TASKI Surau Sungai Nibong Tengah pada Sukaneka TASKI di Padang Sukan PDC. Kawan-kawan berkata mereka telah lama tidak berjumpa dan ingin kita ada bersama bagi mewakili ABIM. Mereka berhasrat supaya pengasas TASKI hadir bersama. Kg. Sungai Nibong Tengah adalah kampung yang unik di Bayan Baru kerana penduduknya merupakan majoriti Melayu yang telah datang meneroka kawasan tersebut untuk dijadikan tempat tinggal sejak awal tahun 80'an. Mereka adalah penduduk setinggan walaupun telah berada dan menetap di sana selama 3 dekad.

Pada pertengahan 80'an, ada percubaan pihak berkuasa ketika itu untuk merobohkan kampung berkenaan. Pada waktu itu, keadaan amat cemas dengan penduduk berkawal sedia bersiap siaga untuk mempertahankan tempat tinggal mereka daripada sebarang rempuhan. Menurut cerita Abang Non, penduduk telah membuat rencana dan mereka pergi dengan satu rombongan bagi bertemu Anwar Ibrahim yang sewaktu memegang jawatan Timbalan Menteri dan mereka berjumpa dengannya tanpa membuat temujanji. Anwar memberitahu bahwa dia akan mengambil perhatian terhadap tuntutan mereka. Sekembali daripada pertemuan itu, mereka tidak pasti samada mereka akan dibela apatah lagi dengan melihat kesibukan seorang ahli politik. Keesokan harinya mereka merasa lega kerana pekerja penguatkuasa berundur dan meninggalkan kawasan. Rupa-rupanya pada malam sebelumnya, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan pimpinan negeri bagi menyelesaikan isu itu. Memang tanah tersebut merupakan milik swasta tetapi di dalam keadaan apa yang dinamakan sebagai kesamaran hakmilik.

Berita terkini pula melaporkan sudah ada pemaju yang akan bangunkan tanah itu yang sangat strategik yang berada di tengah-tengah bandar Bayan Baru. Bandar yang pesat membangun dengan nilai hartanah yang begitu melonjak tinggi. Apakah pula nasib penduduk kampung ini sekarang?

Anak-anak murid TASKI bersemangat membuat perbarisan dengan pakaian senaman yang berwarna-warni dan dengan wajah sungguh ceria. Ikrar dilafazkan dengan cukup kuat dan yakin sehingga nyanyian lagu Negaraku begitu deras bermula sehinggakan menyebabkan kami bangun tanda hormat lagu kebangsaan secara mengejut.

Sukaneka dirasmikan oleh YB Sim Tze Tsin, ADUN Pantai Jerejak, wakil PKR dalam Pakatan Rakyat. Pada kata-kata aluan, kita menyingkap sejarah TASKI yang berusia 25 tahun yang telah mengasuh dan mendidik ramai anak-anak. TASKI pertama didirikan di bangunan surau yang sangat daif yang dibina oleh penduduk kampung sendiri tanpa bantuan luar. Sekarang keadaan bangunan surau lebih baik dan selesa. Masa telah berlalu sehingga ada rakan yang mengatakan bahawa telah ada anak murid lepasan TASKI yang menghantar anak mereka pula ke TASKI. Tujuan Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam diwujudkan adalah supaya ia menjadi prasekolah alternatif bagi membolehkan rakyat mendapat akses kepada pendidikan prasekolah yang Islamik. Usaha ini merupakan penghayatan idealisme perjuangan sahabat-sahabat sewaktu itu, pemuda-pemuda Islam yang giat aktif dalam da'wah dan kerja masyarakat. Kita membuat pembetulan tentang pengasas TASKI Surau Sg Nibong Tengah dengan menamakan sekurang-kurangnya tiga orang aktivis ABIM sewaktu itu yang sebenarnya telah mengasas dan menggerakkan TASKI berkenaan iaitu saudara Norakmal Wahab, Ahmad Shadzli Abd Wahab dan Abd Malik Shukor. Mereka merintis jalan, mengadakan perhubungan dan perbincangan dengan pemimpin kampung, jawatankuasa surau dan menjalankan kajiselidik bagi mendapat respons serta mengukur sambutan. Menerusi persahabatan dan dialog, jawatankuasa surau telah memberikan sepenuh kepercayaan dan bermulalah satu institusi pencerahan dan pencerdasan umat secara kecil-kecilan tetapi sangat bermakna.

Kita sebutkan bahawa kita ingin anak-anak kita diasuh menjadi anak yang salih, taat dan cinta kepada Allah s.w.t., taat dan sayang kepada Rasulullah s.a.w dan mencontohi baginda, taat dan sayang kepada ibu bapa, hormat dan sayang kepada guru-guru, berbuat baik kepada rakan-rakan, berbuat baik kepada manusia, masyarakat dan alam. Kita seru ibu bapa dan rakan-rakan TASKI supaya teruskan menanam nilai-nilai yang mulia ini terutama pada zaman yang penuh dugaan dan cabaran. Kita berpesan supaya bersama-sama menjaga akhlak, menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak, bersolat bersama keluarga, membawa anak lelaki bersolat jemaah di surau, memerhati anak-anak terutama di peringkat transisi tahap dua sekolah rendah, mengawasi siapa rakan-rakan anak-anak, jangan memberikan motorsikal kepada anak-anak, jangan menghisap rokok dan unsur seumpamanya yang bakal meninggalkan contoh dan kesan yang negatif. Kita menasihati sesama kita supaya sentiasa memberikan harapan, dorongan dan doakan bersungguh-sungguh untuk kejayaan anak-anak kita.

Memang kita akui perubahan telah berlaku dengan pertumbuhan banyak Tadika lain terutama kepesatan penubuhan Tadika swasta yang Islamik dan juga prasekolah di sekolah rendah tetapi kita tahu bahawa content, kandungan masih mengambil asas pengisian TASKI. Dengan idealisme kita sekurang-kurangnya telah menetapkan satu standard prasekolah Islam. Perjuangannya sekarang adalah bagi mengekalkan standard ini dan menambahbaik.

Kepada YB Sim, kita meminta pimpinan negeri mengambil berat dan prihatin nasib rakyat di kampung berkenaan apabila tanah tersebut bakal dimajukan kelak. Kita seru supaya kepentingan rakyat jelata diutamakan dan tidak diketepikan oleh kehendak tokoh-tokoh korporat. Kita perlu memperjuangkan hak rakyat.

Apabila YB Sim berucap, dia menyentuh tentang pentingnya pendidikan bagi membela rakyat dan dia akan pastikan setiap usaha pendidikan dibantu. Dia juga menyebut tentang idealisme dan dia akan melaporkan kepada Dato Seri Anwar Ibrahim bahawa rakan-rakannya dalam ABIM telah meneruskan idealisme ini dan masih giat dengan usaha ini. Dia juga berkata bahawa dia sendiri akan mengambil berat tentang projek pembangunan yang akan melibatkan kampung berkenaan.

Semasa perbualan bersama YB Sim dan rakan-rakan, kita bersama melahirkan kebimbangan tentang sistem pendidikan yang nampaknya kurang berkesan bagi melahirkan mereka yang trampil dan mempunyai kesedaran. Kita sepakat bahawa perlunya kepada perubahan. Kita bersetuju NGO yang bergerak di lapangan masyarakat perlu diberikan bantuan dan kemudahan kerajaan. Dia menyatakan akan memberikan sumbangan kepada TASKI. Dia juga memberikan komitmen akan berusaha menangani pembangunan kawasan berkenaan supaya sekurang-kurangnya penduduk diberikan rumah gantian yang melebihi standard rumah kos rendah yang biasa. Kita mengingatkan bahawa keuntungan yang diperolehi oleh pemaju adalah jauh melebihi apa yang boleh disumbangkan kepada penduduk asal. Oleh itu, pemaju tidak akan mengalami kerugian jika mereka memajukan juga nasib penduduk kampung.

Setelah YB Sim meninggalkan majlis, rakan jawatankuasa memberitahu bahawa Majlis Agama telah memberi jaminan bahawa Surau Sg Nibong Tengah akan dikekalkan, dinaiktaraf dengan pembinaan satu bangunan baru walaupun kampung berkenaan dimajukan.

Begitulah secebis bingkisan dalam menegakkan idealisme perjuangan.

(gambar-gambar lama TASKI ABIM Sg Nibong Tengah)

Wednesday, April 14, 2010

ISU JENAYAH QADHAF


PERNYATAAN SIKAP TERHADAP ISU JENAYAH QADHAF


بسم الله الرحمن الرحيم

لقد أرسلنا رسلنا بالبيّنات وأنزلنا معهم الكتاب والميزان ليقوم الناس بالقسط

وأنزلنا الحديد فيه بأس شديد ومنافع للناس وليعلم الله من ينصره ورسله بالغيب إن الله قوى عزيز


Sungguh, Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan bukti-bukti yangnyata dan Kami turunkan bersama mereka kitab dan neraca (keadilan) agar manusia dapat berlaku adil. Dan Kami menciptakan besi yang mempunyai kekuatan hebat dan banyak manfaat bagi manusia, dan agar Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)-Nya dan rasul-rasul-Nyawalaupun (Allah) tidak dilihatnya. Sesunggguhnya Allah Maha Kuat, Maha Perkasa.

Al-Hadid:25


Petikan ayat 25 surah al-Hadid di atas seharusnya menyedarkan kita bahawa sesungguhnya keadilan (al-qist) adalah rumusan misi seluruh agama samawi. Demikianlah, Islam yang memang terumpun dalam warga agama-agama wahyu meletakkan keadilan di puncak hiraki sistem nilainya dan sekaligus menjadikannya salah satu maqasid (matlamat) utamanya. Selaras dengan itu umat Islam dituntut menegakkan keadilan (iqamat al-`adl) sebagaimana yang tersurat dan tersirat dalam syari`at. Justeru, keadilan yang hakiki dan mutlak hanya ada dalam syari`at, hukum-hakam Ilahi yang merupakan penjelmaan keadilan-Nya (`adlu 'Llah).


Komitmen keislaman hanya dapat menepati erti hakikinya apabila maqasidnya terlaksana. Maqasid al-shari`ah dalam erti objektif, tujuan dan matlamat syari`at yang menjadi tema besar wacana usuli meliputi keperluan dan hak asasi yang mesti dipelihara dan dijamin demi martabat, maslahah dan survival kemanusiaan. Antara yang terliput dalam cakupanmaqasid tersebut ialah jaminan perlindungan terhadap maruah dan kehormatan diri. Dalam pidato haji perpisahan yang merumuskan sari utama misi kerasulanya, Rasulullah s.`a.w. menyebut maruah (al-a`rad) sebagai suatu yang suci, suatu yang mesti dihormati tanpa kompromi. Memang demikianlah hakikatnya, Islam melindungi maruah dan kehormatan diri umat menerusi hukum-hakamnya yang jelas dan tegas, cukup untuk mencegah kesewenang-wenangan mencemarkan maruah seseorang. Dalam kaitan inilah motif hukum qadhaf dalam syari`at Islam itu harus difahami. Mereka yang berleluasa menabur fitnah, melemparkan tuduhan keji (zina/liwat) tanpa pembuktian secara syar`i (menghadirkan empat orang saksi yang adil dan berwibawa) seharusnya menginsafi betapa buruknya perilaku mereka, dan betapa beratnya kesalahan jenayah qadhaf yang membawa hukuman deraan fizikal lapan puluh kali sebatan (ثمانين جلدة), di samping sanksi sosial dan moral: hilang kelayakan menjadi saksi (tentang apa pun dan sampai bila pun), dan seterusnya terlempar ke dalam kelompok orang-orang fasiq (الفاسقون) sebagaimana yang disebut dalam surah al-Nur:4-5. Demikianlah ketetapan hukum syari`at yang tidak boleh ditawar-tawar lagi. Cara pembuktiannya hanya satu: hadirkan empat saksi, dan tidak lain daripada itu. Dalam kes seperti ini pembuktian dengan cara bersumpah sama sekali tidak relevan.


Kedaulatan syari`at adalah asas pembangunan umat dan masyarakat yang murni, bermaruah dan berintegriti. Masyarakat Islam dengan ciri-cirinya yang sedemikian itu tidak dapat menerima budaya fitnah, ghibah dan gosip yang membawa akibat fatal: keruntuhan martabat dan maruah umat keseluruhannya. Para pelaku dan penabur fitnah sebenarnya tidak layak hidup di tengah umat yang bermaruah dan berbudaya saling hormat. Selaras dengan itu seluruh umat Islam yang setia kepada idealisme masyarakat bersyari`at harus menolak gejalafusuq (kefasikan) yang menjelma dalam bentuk fitnah terhadap seseorang yang berintegriti moral. Dalam kaitan ini YB. Dato' Seri Anwar Ibrahim, atau siapa sahaja yang dilempari tuduhan (qadhaf) tanpa pembuktian secara syar`i berhak membela diri dan menuntut keadilan berasaskan hukum syara`: penuduh yang gagal menghadirkan empat orang saksi harus didakwa di bawah hukum qadhaf. Demi menghormati kedaulatan Islam, tuduhan yang tidak memenuhi persyaratan syara` seharusnya digugurkan. Dalam hubungan ini fatwa para ulama dunia yang berautoriti besar mengenai isu ini seperti al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan al-Shaykh Dr. Wahbah al-Zuhayli (kedua-duanya adalah penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah dari kerajaan Malaysia) serta yang lain-lainnya harus dihormati dan didukung tanpa ragu. Fatwa-fatwa mereka cukup jelas, tegas, kuat, berwibawa dan meyakinkan.


Sesungguhnya kembali kepada syari`at adalah satu-satunya jalan keluar yang adil dan selamat. Demikianlah petunjuk Ilahi yang terungkap dalam kitab suci-Nya, "… Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Al-Nisa':59). Apakah yang sebenarnya dicari oleh pendakwa dan penuduh? Andainya yang dicari adalah keadilan, bukankah ia wujud dalam hukum syari`at? Apakah ada hukum lain yang lebih adil daripada hukum Allah? Apabila seseorang mengatakan "Aku ridha dengan Allah sebagai Tuhan……." (رضيت بالله رباً...) bererti ia rela menerima hukum-hakam-Nya. Jika benar demikian, mereka harus membuktikan kejujuran menepati ikrar dan pengakuan tersebut. Ternyata kesediaan rujuk (kembali) kepada Allah (hukum-hakam-Nya) adalah ujian iman. Hanya yang benar-benar beriman (kepada Allah dan Hari Akhirat) sahaja yang akan dengan senang dan rela menerima hukum Allah. Demikianlah makna tersirat di balik kalimat-kalimat,"…, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian." (إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر)


Terlepas dari maksud mencampuri konflik politik antara parti, dengan niat murni semata-mata demi amanatu 'l-balagh serta tanggungjawab dakwah dan tazkirah, kita menyeru seluruh umat dan rakyat agar berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, yang dalam hal ini pembuktiannya harus berdasarkan hukum syara`. Pembuktian yang tidak dilakukan secara syara` adalah tidak sah. Dalam kaitan ini seluruh rakyat yang menginsafi hakikat kesucian maruah dan ketinggian nilai kehormatan diri harus sedia memberikan sokongan dan dukungan kepada perjuangan suci mempertahankan maruah, kehormatan dan nama baik dari pencemaran fitnah. Sementara itu kita juga ingin mengingatkan bahawa dalam melaksanakan proses perundangan secara Islam, yang seharusnya dicari adalah kebenaran, keadilan dan keredhaan Tuhan, bukan loophole dalam teks undang-undang untuk dieksploitasi membela kezaliman.


Demi tanggungjawab membina umat dan masyarakat bermaruah yang saling hormat dan saling percaya, setiap warga harus memiliki keberanian bersikap, menolak budaya fasiq aib mengaib dan fitnah memfitnah. Masyarakat Islam bukan sebuah ladang fitnah, dan bukan juga sebuah pasar gosip. Al-Qur'an telah memberikan petunjuk jelas bagaimana menyikapi gejala fasiq seperti itu, iaitu dengan menolaknya secara jelas, tegas dan tanpa basa-basi, "… ini dusta yang nyata!" ,(...هذا إفك مبين)"…ini pembohongan besar!" .(هذا بهتان عظيم) Komitmen terhadap misi amar makruf nahi munkar menuntut setiap orang bertindak melawan gerakan penyebaran kebejatan (al-fahishah). Mereka yang terlibat dengan kegiatan jahat menabur fitnah dan menyebarkan berita bohong di kalangan umat seharusnya menyedari dan menginsafi amaran keras pembalasan Tuhan sebagaimana ditegaskan dalam kitab suci-Nya:


إنَ الذين جاءوبالإفك عصبة منكم لاتحسبوه شرًا لكم بل هو خيرلكم لكل امرئ منهم

مااكتسب من الإثم والذى تولَى كبره منهم له عذاب عظيم.


Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu (juga). Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu. Setiap orang dari mereka akan mendapat balasan dari dosa yang diperbuatnya. Dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar (dari dosa yang diperbuatnya), dia mendapat azab yang besar (pula).

Al-Nur:11


إنَ الذين يحبّون أن تشيع الفاحشة فى الذين آمنوا لهم عذاب أليم فى الدنيا والأخرة والله يعلم

وأنتم لاتعلمون


Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar di kalangan orang-orang yang Beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

Al-Nur:19


Demikianlah kerasnya amaran pembalasan Tuhan kepada perancang fitnah dan penyebar berita bohong. Malah sekadar "…ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar…" sudah cukup untuk membawa akibat ditimpa azab yang pedih dua kali, di dunia sekarang dan di akhirat nanti. Masing-masing akan merasakan kepedihan azab Tuhan mengikut kadar peranan yang dimainkan dalam kegiatan jahat tersebut.


Masyarakat Melayu-Islam adalah masyarakat yang bersusila dan beradab. Manusia unggul dalam pandangan sarwa (worldview) Melayu diungkapkan dengan kata "orang budiman", ungkapan yang melambangkan kesempurnaan watak manusia cendekia dan berakhlak mulia. Melayu yang hidupnya dikandung adat adalah bangsa yang sentiasa mengawal perilakunya dengan nilai dan norma agama dan budaya. Kesetiaan terhadap nilai-nilai itulah yang membentuk etos bangsa yang tersirat di balik kata "pantang Melayu", ungkapan yang merujuk sikap ketidakrelaan melakukan atau diperlakukan di luar batas nilai-nilai budayanya. Dalam kaitan ini perlu diingat bahawa antara pantang Melayu paling besar ialah mengaib atau diaibkan. Demikianlah sebagaimana yang dinyatakan secara eksplisit dalam dialog Seri Teri Buana - Demang Lebar Daun. Dialog yang disebut "wa`ad" oleh Tun Seri Lanang itu adalah sebuah dokumen budaya yang dimaknai sebagai kontrak sosial Melayu antara penguasa dan rakyat. Seri Teri Buana yang menyimbolkan penguasa Melayu menyetujui tuntutan Demang Lebar Daun yang bertindak sebagai jurubicara rakyat, agar rakyat Melayu walau apa pun kesalahannya, "jangan ia difadhihatkan dan dinista dengan kata yang jahat-jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jikalau patut pada hukum syar`i."


Memang kata-kata tersebut bukan teks suci keagamaan, tetapi ia tetap mempunyai makna dan significance kebudayaan yang istimewa. Justeru ia adalah pernyataan kesedaran Melayu tentang maruah dan karamah insaniah; bahawa manusia (Melayu) sekecil mana pun harus dihormati dan tidak boleh diaibkan. Sejarah Melayu (Sulalat al-Salatin) adalah karya agung yang mengungkapkan hikmah (wisdom) tradisi kepujanggaan bangsa tentang erti keluhuran etika sehingga "…segala raja-raja Melayu tiada pernah memberi `aib pada segala hamba Melayu, …". Dengan gaya dan daya kepengarangannya yang istimewa Tun Seri Lanang menyuarakan ketajaman firasat dan sekaligus amaran, "Jikalau ada seorang raja memberi `aib itu `alamat negeri akan dibinasakan Allah Subhanahu wa Ta`ala." Demikianlah teks sebuah karya dari khazanah kepujanggaan bangsa yang mengabadikan suara hati dan akal budi Melayu sebagai bangsa yang memiliki kehormatan dan harga diri, yang demi maruah sanggup menderhaka apabila di`aibkan. Kontrak sosial Melayu memberikan isyarat jelas bahawa setia Melayu adalah setia bersyarat, sebagaimana derhakanya juga adalah derhaka bersebab. Setia Melayu yang tanpa syarat hanya kepada syari`at, rela menerima sebarang keputusan dan tindakan "…jikalau patut pada hukum syar`i."


Demi menghindari krisis yang diungkapkan oleh Tun Seri Lanang dengan kata "binasa" itu, jangan siapa pun melanggar pantang Melayu, dan jangan siapa pun menolak syari`at. Bangsa ini jangan diajar menjadi liar, tetapi kembalikanlah ke akar - agama dan budayanya.


Sekretariat Bersama

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM),

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).

Kajang: 11 Rabiulakhir 1431H/ 27 Mac 2010