Friday, November 25, 2011

Satu langkah ke hadapan, tiga langkah ke belakang.

WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA
Pernyataan Sikap

RANG UNDANG-UNDANG PERHIMPUNAN AMAN 2011
Satu langkah ke hadapan, tiga langkah ke belakang.

Hasrat untuk melihat Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang bergerak menerima ciri-ciri masyarakat madani (civil society) dengan menjunjung hak-hak asasi dan prinsip-prinsip demokrasi, tampaknya tidak kesampaian - sekurang-kurangnya buat masa ini. Pengumuman kandungan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011, yang dibentangkan di parlimen baru-baru ini dan bakal dibahaskan pada hari Selasa akan datang (29 november 2011) membuktikan bahawa apa yang disebut sebagai satu langkah bersejarah itu, mungkin berakhir dengan bertambahnya kekecewaan rakyat terhadap sikap represif pemerintah. Langkah yang diwar-war sebagai tanda sikap terbuka pemerintah ke arah perluasan ruang demokrasi, ternyata hanyalah satu helah untuk menambah kekangan ke atas hak demokratik rakyat dengan memperketat dan mempersulitkan hak untuk berhimpun secara aman.

Kebebasan berhimpun secara aman (freedom of assembly) adalah hak rakyat untuk berkumpul. Kebebasan ini berkait rapat dengan hak kebebasan bersuara bagi membolehkan rakyat menyatakan keprihatinan mereka terhadap sesuatu isu yang mempunyai kepentingan bersama. Kebebasan berkumpul secara aman diperakui sebagai salah satu asas kebebasan (fundamental rights) yang mencirikan masyarakat demokratik yang sebenar.

Islam menjadikan tanggungjawab menyuarakan pandangan dan membantah sesuatu yang nyata munkar sebagai tanggungjawab keagamaan. Agama mempertanggungjawabkan mereka yang sadar dan mempunyai kuasa untuk menggunakan kuasanya bagi membenteras kemunkaran dan menukarnya kepada kemakrufan. Namun bagi mereka yang tidak mempunyai wibawa dan kuasa, kuasa lisan mestilah digunakan bagi memberi kesan kepada perubahan yang diharapkan. Al-taghyir bi al-lisan (mengubah kemunkaran dengan ekspresi lisan) akan lebih berkesan sekiranya dibuat secara kolektif melalui perhimpunan dan perkumpulan. Dengan demikian hak berkumpul secara aman bagi menyatakan bantahan, pendirian dan pandangan atau membuat tuntutan adalah juga hak yang mempunyai nilai dan justifikasi keagamaan. Oleh itu hak berhimpun dan hak bersuara tidak sepatutnya dibatasi dan disekat sebaliknya kemahuan seperti ini perlu dirai dan digalakkan serta wajar diberi penghargaan.

Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibentang di parlimen bagi mengganti Syeksen 27 akta Polis 1967, telah mencadangkan antara lain keperluan memberi notis 30 hari lebih awal, syarat tiada bantahan dari polis, tiada perhimpunan atau bantahan jalanan, tidak dibuat berdekatan premis-premis tertentu, syarat-syarat tentang usia penganjur dan peserta perhimpunan dan denda-denda yang lebih berat, menjadi rang undang-undang tersebut dibantah bukan sahaja oleh parti-parti politik, tetapi juga oleh Suhakam, Majlis Peguam Malaysia dan beberapa NGO.

Meneliti kandungan rang undang-undang tersebut ternyata cadangan dan pindaan yang dibuat menggambarkan kehendak pemerintah yang ingin terus mengongkong rakyat menerusi beberapa kekangan baru yang dikenakan ke atas hak-hak berhimpun rakyat. Ini juga menggambarkan sikap pemerintah yang memandang rakyat dengan pandangan yang penuh negatif; sebagai kelompok yang jahil, tidak bertamadun, mempunyai tendensi keganasan dan tidak boleh dipercayai (cannot be trusted), sehingga ‘bahasa yang sesuai untuk mereka’ ialah peraturan yang lebih ketat dan hukuman yang lebih berat. Selagi pemerintah tidak memiliki sense of humility dan enggan menganggap rakyat sebagai rakan dalam pembinaan negara (partner in nation building), selagi itulah hubungan pemerintah-rakyat sentiasa tegang, mengakibatkan terbantutnya sebarang usaha membina negara dan membawa kesejahteraan kepada rakyat.
Tidak ada maknanya kita memanggil pindaan ini sebagai ‘revolutionary’ dan ‘a giant leap’ kalau pindaan yang dibuat menjadikannya lebih represif dengan kongkongan yang meningkat, kawalan yang lebih ketat dan dengan prosedur yang lebih sulit dan menyusahkan, apatah lagi apabila pindaan ini berlawanan dengan maksud kebebasan dasar (fundamental liberties) dan bertentangan pula dengan semangat perlembagaan.

Sehubungan dengan itu, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) berpandangan bahawa tiada pilihan yang boleh dibuat oleh kerajaan, kecuali menarik balik rang undang-undang tersebut atau menggugur semua fasal-fasal yang nyata bertentangan dengan semangat demokrasi dan perlembagaan negara dan memindanya supaya lebih realistik, demokratis, prihatin terhadap kebebasan rakyat serta menggambarkan sebuah masyarakat madani dan negara yang bertamaddun.


Ab Halim Ismail
Setiausaha Agung 
WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA 

30 Zul-HijjH 1433
26 November 2011.

Thursday, November 24, 2011

Satu Keyakinan, Satu Perjuangan


Multaqa Masyayikh al Harakah: Satu Keyakinan, Satu Perjuangan

Berikut adalah sedikit catatan ringkas program yang julung kali diadakan. Alhamdulillah. Multaqa Masyayikh al Harakah ABIM atau Perjumpaan Senior-Senior Gerakan ABIM telah berjalan lancar pada 20 November 2011 di SERI Madrasah Ad Diniah Sg Bakap dengan hampir semua tetamu jemputan utama hadir. Pertemuan ini dapat mengumpulkan sahabat-sahabat senior merentasi negeri-negeri Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Kelantan. Kehadiran pula sekitar 80 orang termasuk anggota WADAH, ABIM dan HELWA.

Di antara yang hadir : Dato Ustaz Abd Majid Zainal Abidin, Dato Ustaz Mohd Yusuf Abd Latif, Ustaz Shoib Mohd Amin, Ustaz Abdullah Che Teh, Ustaz Abd Wahab, Cikgu Shuib Jaafar ( datang dari Sg Petani), YB Ustaz Makhtar Shafie,  Cikgu Ismail Othman, Hj Mohammad Din, Prof Zhari Ismail, Cikgu Mustafa Shafie, Ustazah Jau Zaharah,  serta sahabat-sahabat pimpinan WADAH, ABIM dan para tetamu.

Program bermula pada 11.00 pagi dengan pembacaan Doa Rabitah sebagai pembukaan oleh Ustaz Shoib Mohd Amin (mantan NYDP pada 80'an). Tayangan video Selamat Berjuang yang merakamkan perjalanan awal dakwah dan perjuangan ABIM dipertontonkan.

Tuan rumah Cikgu Hj Mustafa Shafie yang mewakili Madrasah Ad Diniah telah mengalu-alukan kedatangan para hadirin. Madrasah Ad Diniah adalah tapak dan pengkalan bagi pembangunan pendidikan SERI dan SEMI. Madrasah ini juga adalah warisan dan waqaf pejuang agama yang setia dan kekal sentiasa menjadi pusat da’wah dan markaz gerakan ABIM bagi meneruskan kebangkitan dan pengisian kesedaran Islam. Cikgu Mustafa menceritakan bahawa beliau mengaturkan Multaqa ini bersama rakan-rakan lain bagi memenuhi hasrat dan hajat Ustaz Abd Majid untuk bertemu semula dengan sahabat-sahabat seangkatan.

Tuan Hj Zainon berucap sebagai NYDP mewakili WADAH Pulau Pinang melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dapat bertemu dengan wajah-wajah sahabat lama. Kenangan manis nostalgia semasa berpengkalan di Masjid An Nur, Jalan Pintal Tali, Georgetown dinukilkannya. Masjid An Nur Pintal Tali adalah masjid terbiar di tengah-tengah Pusat Bandar dan di sini ABIM cuba mengimarah menghidupkannya kembali dengan penuh keiltizaman.

Ucapan Ustazah Jau Jaharah (mantan Ketua HELWA 80'an-90'an) mewakili HELWA telah merasakan terpanggil untuk menggerakkan bersama  wadah gerakan Islam ini. HELWA berganding bahu aktif berjuang bersama mencapai cita-cita gerakan tanpa mengabaikan keluarga dan akhlak tatasulia. Sesungguhnya perjuangan yang dipikul ini ada keberkatannya. Beliau mengingatkan bahawa Istiqamah  dalam perjuangan ini adalah satu tuntutan.

YB Ustaz Makhtar Shafie telah mengakui bahawa penyertaan di dalam gerakan ABIM dan pembentukan watak serta peningkatan kesedaran melalui usrah memberikan kesan bermakna yang membawa kepada kebaikan dalam diri dan untuk masyarakat.  Begitulah dinamakan iltizam bil jamaah iaitu walaupun berasa penat berkhidmat  tetapi apabila tetap berminat  maka hilang rasa kekecewaan. Hasil tarbiyyah dan didikan yang diperolehi daripada usrah itulah yang cuba di terjemahkan dalam tindakan dan perlaksanaan.

Ustaz Dr Wan Salim Mohd Noor YDP WADAH Pulau Pinang menyampaikan bahawa ikatan yang mengeratkan hubungan kita semua ialah ukhuwwah Islamiah - persaudaraan Islam. Ikrar perjuangan ditautkan dengan ikatan ukhuwwah, pertemuan atas pesanan kebenaran dan kesabaran, hati-hati disatukan dengan kalimah tinggi dan mulia meneruskan risalah. Perjuangan kita memang realistik dan praktikal. Pendirian pendekatan kita adalah wasotiyyah - pertengahan. Kita memanfaatkan cetusan pelbagai idea kreatif menyampaikan da’wah dan risalah dengan pendekatan bil hikmah, kebijaksanaan, bil hal,  model contoh teladan, bil lisan, dengan ucapan yg bernas, kesederhanaan berprinsip sebagai rahmat kepada seluruh alam. Menyentuh dengan agak panjang lebar berkenaan hal semasa dan  isu hak asasi manusia -human rights - Ustaz Wan Salim menyatakan bahawa Islam menerima dan menyaring. Islam memang menganjurkan kebebasan sebagai satu hak asasi manusia yang mesti dijamin dan dilindungi. Ini merangkumi hak kebebasan beragama - menganut mana-mana agama yang diyakini dan cara mendirikan ritual menurut agama masing-masing, hak mengungkapkan pandangan, hak memilih pekerjaan, hak berpolitik - menganggotai dan menyokong mana-mana parti politik yang disukai, malah hak menjatuhkan pemerintahan yang tidak disukai dengan memakai-cara-cara yang diizinkan oleh undang-undang sesebuah negara.

Tetapi dari sudut lain, kebebasan sebagai salah satu hak asasi manusia mestilah bersandar kepada ciri-ciri dan nilai-nilai kemanusiaan, mesti berprinsip dan berperaturan; bukan kebebasan melulu. Hak mestilah diimbangi dengan kewajipan, mesti akur kepada shariah dan perundangan.  Agama, amat bergantung kepada kawalan dari dalam diri manusia itu sendiri (iman, takwa, khashyatillah). Tetapi jika daya kawalan batin ini lemah maka terpaksalah dipakai undang-undang dan yang pentingnya undang-undang mestilah adil demi memelihara hak orang lain dan memelihara kesejahteraan hidup bermasyarakat.

Sdr Rezal Abd Majid NYDP ABIM Pulau Pinang berpandangan bahawa cabaran semasa cukup berbeza antara dahulu dan sekarang. Ada keterbatasan pergerakan dalam isu Akta Belia. Apabila Parlimen Belia bermula pada 2013, pencalonan wakil parlimen belia akan di undi secara online untuk memenangi kerusi. Kita perlu bersama dan besepakat  membantu anak-anak, jiran dan semua yang berada di wilayah pengaruh kita semua untuk suburkan ABIM sebagai gerakan masyarakat.

Cikgu Hj Abd Karim Ismail (mantan Setiausaha ABIM Pulau Pinang paling lama berkhidmat bersama 3 orang YDP ABIM Pulau Pinang bermula dengani Dato Ustaz Mohd Yusuf, Dato Ustaz Abd Majid dan Ustaz Dr Wan Salim) sekarang menetap di Baling. Menurutnya, Gerakan ABIM adalah satu rahmat kerana menyertainya bermakna melalui skima Dakwah dan Tarbiyyah. Inilah dua elemen yang penting yang boleh di bawa ke mana-mana. Malah selama 2 penggal menjadi YDP PAS Baling -Cikgu Abd Karim membawa budaya ini, ada yang terima dan ada juga segelintir yang berasa rimas. Sebab itu perlu juga dikerahkan jihad di minda bukan daripada semangat berkobar saja tanpa disertai bersama roh dalaman. Ingatan dan perjuangan Gerakan masih fresh...segar bugar bagaikan bayu pagi yang meniup dari gunung Baling.

Dato' Ustaz Mohd Yusof Abd Latif (mantan YDP ABIM Pulau Pinang ke 2) menyatakan kesyukuran atas kesihatannya, alhamdulillah. Beliau berucap bertongkat dan duduk di atas kerusi. Pengalamannya selama 5 tahun belajar di Universiti AL Azhar tetapi tidak bertemu dengan perjuangan berbentuk Haraki dan Jamaah. Apabila kembali ke  Malaysia barulah berjumpa dan setelah mendengar tadhkirah-kuliah Anwar Ibrahim , maka kenal,  cinta dan bersama Gerakan ABIM. Beliau merasakan keindahannya sehingga sampai nak dibawa ke mana-mana. Nukilannya pengalaman bersama politik dan menjadi MP dan wakil rakyat -adalah hasil pengalaman bersama ABIM. Rakyat bukan Islam cukup respect - sangat menghormati kerana wakil rakyat yang... clean - yang bersih,  yang amanah - tak mau dan tak makan duit.

Dato Ustaz Abd Majid Zainal Abidin (mantan YDP ABIM Pulau Pinang ke 3)  berasa teramat yakin bahawa perjuangan kita bertunjangkan keikhlasan pada Allah swt. Sebab itulah kita boleh Istiqamah dengan perjuangan. ABIM berusaha sebagai Gerakan Islam untuk ummah, menyeru manusia mengabdikan diri kepada Allah s.w.t., menegakkan cita-cita Islamiyyah demi mencapai keridhaanNya. Kita menimba ilmu, memantapkan iman, memperbaiki amal, gerakerja berjamaah, membentuk kesabaran, istiqamah dalam perjuangan. Memang tribulasi bermacam-macam tetapi kita masih yakin dengan perjuangan. Banyak kenangan manis perjuangan dan peristiwa bersejarah bagi tokoh dan akitivis gerakan. Beliau menceritakan bahawa Allahyarham Ustaz Ibrahim Mahmud (mantan pimpinan ABIM Pulau Pinang) - telah berwasiat kepada isterinya berbunyi ...... kalau aku mati - talipon Ust Majid........ itulah antara sahabat sehati sejiwa dengan perjuangan, gerakan dan Islam. Sahabat dunia dan akhirat.

ALLAHU AKBAR. Para hadirin merasa sebak melihat keyakinan yang seyakin-yakinnya dengan perjuangan Islam melalui wadah ABIM ini.

Program di akhiri dengan Tahlil yang di ketuai Ustaz Abdullah Che Teh yang sentiasa bersemangat, ceria dan terkenal dengan ungkapan selorohnya......the first and the last.


(Adaptasi daripada catatan asal oleh sdr Hj Muhamad Zaki Bin Hj Rafiee)

Friday, November 4, 2011

Tafsir Mauduiy siri 60 - Dr Siddiq Fadil


TIPs PENGURUSAN DARI PROPHET YUSUF A.S.
SCHOOL OF MANAGEMENT”:  MENANGKAP MESEJ
AYAT-AYAT 46-57 SURAH YUSUF

Siddiq Fadzil

Mukadimah

Pengkisahan sejarah para rasul dalam al-Qur’an bukan dengan maksud  lipur lara,  tetapi membawa mesej edukatif  penguatan hati,  pemantapan jiwa dan pengentalan semangat  sebagaimana yang diungkapkan dalam al-Qur’an dengan kata  “… ma nuthabbitu bihi fu`adak”.   Demikianlah hakikatnya,   bahawa kisah-kisah tersebut  adalah inspirator kesedaran dan sekaligus penyuntik kekuatan mental-spiritual yang sangat menakjubkan.    Yang terasa paling mengesankan  adalah surah Yusuf,   pengkisahan sejarah dan liku-liku hidup Nabi Yusuf  `a.s. yang  disifatkan oleh al-Qur’an sendiri sebagai ahsana ‘l-qasas  (kisah terindah).   Memang surah ini sangat istimewa:   ahsana ‘l-qasas dalam ahsana ‘l-hadith,  kisah terindah dalam kitab terindah  (al-Qur’an).   Surah ini memang padat dengan mesej  kependidikan  dan sarat dengan pesan-pesan kepengurusan.   Nabi Yusuf `a.s. ditampilkan sebagai   da`i  dan  murabbi,  pemimpin dan pengurus  pada era  krisis ekonomi yang mengancam  survival seluruh warga  serantau (Mesir dan sekitarnya).    Ayat-ayat  46-57 surah ini memaparkan pakej penyelamatan ekonomi,  atau model pengurusan krisis gaya Nabi Yusuf `a.s.

46. (setelah ia berjumpa Dengan Yusuf, berkatalah ia): "Yusuf, Wahai orang Yang benar (pada segala-galanya)! tafsirkanlah kepada Kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu Yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu Yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) Yang hijau serta tujuh tangkai lagi Yang kering; (tafsirkanlah) supaya Aku kembali kepada orang-orang Yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya".
47. Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa Yang kamu ketam biarkanlah Dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian Yang kamu jadikan untuk makan.
48. kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemaraun Yang besar, Yang akan menghabiskan makanan Yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa Yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).
49. "Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun Yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)".
50. dan (apabila mendengar tafsiran itu) berkatalah raja Mesir:" bawalah Dia kepadaku! "Maka tatkata utusan raja datang kepada Yusuf (menjemputnya mengadap raja), Yusuf berkata kepadanya: kembalilah kepada tuanmu kemudian Bertanyalah kepadanya: "Apa halnya perempuan-perempuan Yang melukakan tangan mereka ? Sesungguhnya Tuhanku Maha mengetahui tipu daya mereka".
51. setelah perempuan-perempuan itu dipanggil), raja bertanya kepada mereka: "Apahal kamu, semasa kamu memujuk Yusuf mengenai dirinya?" mereka menjawab: JauhNya Allah dari Segala cacat cela, Kami tidak mengetahui sesuatu kejahatan terhadap Yusuf". isteri Al-Aziz pun berkata: "Sekarang ternyatalah kebenaran (yang selama ini tersembunyi), Akulah Yang memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya (tetapi ia telah menolak); dan Sesungguhnya adalah ia dari orang-orang Yang benar.
52. "(Pengakuanku) Yang demikian supaya ia Mengetahui, Bahawa Aku tidak mengkhianatinya semasa ia tidak hadir (bersama di sini); dan Bahawa Allah tidak menjayakan tipu daya orang-orang Yang khianat.
53. "Dan tiadalah Aku berani membersihkan diriku; Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang Yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
54. dan (setelah mendengar pengakuan perempuan-perempuan itu), raja berkata: "Bawalah Yusuf kepadaku, Aku hendak menjadikan Dia orang Yang khas untuk Aku bermesyuarat dengannya. setelah (Yusuf dibawa mengadap, dan raja) berkata-kata dengannya (serta mengetahui kebijaksanaannya) berkatalah raja kepadanya: "Sesungguhnya Engkau pada hari ini (Wahai Yusuf), seorang Yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai di kalangan Kami ".
55. Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); Sesungguhnya Aku sedia menjaganya Dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya".
56. dan Demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang Kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja Yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja Yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang Yang berbuat kebaikan.
57. dan Sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang Yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.


Huraian  maksud ayat:


Ayat 46 menampilkan Yusuf `a.s. dengan citra unggul al-siddiq,  peribadi berintegriti tinggi, watak terpadu,  manusia  serba benar:  pemikiran, percakapan dan perbuatannya.  Peribadi sedemikian  adalah jelmaan makna integriti paling tepat dan sempurna,  iaitu  kesepaduan dan keutuhan watak,  peribadi tauhidik   yang integrated.    Justeru,  integriti pada hakikatnya lebih merujuk  persoalan siapa kita (who we are),  daripada persoalan apa yang harus kita lakukan (what we should do).    Dari peribadi yang baik akan lahir perilaku dan tindak- tanduk yang baik.      Kekuatan integriti dalam pengertian tersebut  adalah faktor kunci dalam pengurusan,   khususnya untuk mendapatkan kepercayaan (trust) dari semua pihak.  Tanpa  kepercayaan tidak akan ada sokongan,  dan tanpa sokongan tidak akan ada kejayaan.    Tahap integriti  adalah juga tahap kebolehpercayaan.    Panggilan  al-siddiq yang terangkai dengan namanya adalah indikasi jelas pengiktirafan masyarakat terhadap ketinggian tahap integritinya, yang tentunya   telah teruji dan terbukti dalam rekod masa lalunya.

Kurnia ilmu (mentakbir mimpi)  tidak digunakan untuk kepentingan diri,  tetapi dimanfaatkan demi kepentingan umat.   Kalau  mahu, Nabi Yusuf `a.s. boleh menjadikan khidmat kepakarannya itu sebagai syarat pembebasan dirinya yang sudah bertahun-tahun merengkuk dalam penjara.   Pada saat kehidupan rakyat terancam bahaya kemarau panjang yang bererti malapetaka kebuluran,   yang difikirkan bukan kepentingan diri,  tetapi survival umat.   Tanpa menuntut sebarang imbalan,  Nabi Yusuf `a.s. memberikan khidmatnya lebih daripada yang diminta,   bukan sekadar memaknai  mimpi sebagai petanda  bencana yang akan berlaku, tetapi juga merumuskan sebuah pakej penyelamat  ekonomi Mesir.    

Pakej penyelamat tersebut mengandungi pemerincian tentang senario ekonomi negara dalam jangka masa 15 tahun,  termasuk  krisis (kemarau panjang)  yang akan berlaku dan formula mengatasinya.   Pakej  sedemikian  mencerminkan kualiti pemimpin-pengurus yang memiliki visi yang jelas (clear vision).  Dengan wawasan dan daya renung yang futuristic  seperti itu  seorang pemimpin-pengurus dapat bersiap  menghadapi segala kemungkinan dengan langkah dan sterategi  proaktif-antisipatif.  Memang,  clear vision  adalah keperluan asasi  dalam pengurusan krisis  (crisis management).

Dalam pakej penyelamat seperti yang dinyatakan dalam ayat 47, Nabi Yusuf `a.s. menyarankan  kerja kuat bercucuk-tanam selama tujuh tahun.   Kata da’aban dalam ayat tersebut  yang diterjemahkan oleh A.Yusuf `Ali dengan kata diligently sow membawa  makna penguatan etos kerja.  Untuk menambah penghasilan budaya kerja kuat perlu dipertahan dan ditingkatkan.  Strategi tujuh tahun pertama bukan sekadar menanam seperti biasa,  tetapi memaksimumkan guna tenaga rakyat,   di samping memaksimumkan pengusahaan tanah dengan objektif yang terfokus untuk memaksimumkan kadar penghasilan.   Pembangunan ekonomi  tidak hanya bergantung kepada sumber asli, modal dan infrastruktur;   tetapi tidak kurang pentingnya adalah  nilai-nilai budaya, terutama budaya kerja kuat.   Tanpa  dukungan the right culture atau budaya yang tepat pembangunan ekonomi tidak akan mencapai prestasi yang tinggi.     Idea besar yang mendasari perancangan ekonomi gaya Nabi Yusuf `a.s. ialah prinsip keseimbangan  antara  penghasilan, penggunaan (konsumsi) dan penabungan.   Dasar pengurusan ekonomi berhemat dan berimbang  seperti itu  memang  menepati orientasi proaktif-antisipatif,  juga  selaras dengan  semangat  menolak pemborosan dan pembaziran.     Selain itu  dasar ekonomi  Yusuf `a.s. juga  memanfaatkan kaedah-kaedah saintifik sebagaimana yang diindikasikan  lewat  cara menyimpan  hasil tuaian  dengan mengekalkan biji-biji gandum di tangkainya.   Cara tersebut  menjadikannya  tahan lebih lama,  dan ini penting  kerana simpanan itulah yang akan dimakan selama tujuh tahun kemarau panjang, di samping  dijadikan benih untuk ditanam apabila kemarau berakhir dan tanah kembali subur.     Memang  dasar ekonomi  tersebut  terkesan amat menekankan kewaspadaan menghadapi bahaya (kebuluran),   namun ia tetap memberikan harapan masa depan yang cerah.   Tahun ke-15 adalah tahun harapan pulihnya kemakmuran ekonomi.      

Ketika didatangi utusan raja  membawa perintah pembebasan,   Nabi Yusuf `a.s. enggan meninggalkan penjara,  sebaliknya meminta  utusan tersebut kembali  kepada rajanya untuk menyampaikan tuntutan  Nabi Yusuf `a.s. agar namanya dibersihkan lebih dahulu.  Baginya,  tidak ada ertinya kebebasan tanpa maruah dan kehormatan diri.  Justeru,  Yusuf `a.s, tidak hanya ingin bebas untuk bersuka-ria pesta-pestaan,  tetapi  akan tampil sebagai da`i,  pendidik dan pemimpin.    Untuk menjayakan misi suci tersebut yang diperlukan  bukan hanya  kebebasan, tetapi juga wibawa dan integriti moral yang tinggi.

Yusuf `a,s.  keluar dari penjara dengan kepala tegak.   Maruah dan kehormatan dirinya pulih setelah tuntutan pembersihan namanya dipenuhi oleh raja.  Wanita-wanita yang dahulu terpesona dengan ketampanan Yusuf `a.s. hingga terhiris tangan sendiri tanpa sedar, kini telah membuat kenyataan bersama memberikan kesaksian bahawa Nabi Allah itu tidak pernah melakukan sebarang perbuatan yang tidak bermoral (ma `alimna `alayhi min su’).   Malah imra’at al-`Aziz  (isteri menteri al-Aziz) sendiri yang dahulu memfitnahnya sehingga Yusuf `a.s. dilemparkan ke penjara, kini membuat pengakuan bahawa dialah yang sebenarnya telah menggodanya,  lalu membuat penegasan terbuka bahawa sesungguhnya  Yusuf `a.s. adalah orang yang  benar dan bersih.   Sekali lagi  sifat  sidq dihubungkan dengan Nabi Yusuf `a.s. (wa innahu lamina ‘s-sadiqin) yang meneguhkan reputasinya sebagai orang yang berintegriti tinggi.      Memang  confession isteri menteri al-aziz itu terasa begitu dramatik.   Mungkin  selama bertahun-tahun wanita bangsawan itu mengalami tekanan jiwa yang berat akibat merasa bersalah  menganiaya seorang manusia yang tidak berdosa.  

Ayat 54 mencatatkan peristiwa pertemuan Yusuf `a.s. dengan raja Mesir.  Ia adalah pertemuan  penting yang merubah  kehidupan  Nabi Allah yang selama ini terdera dengan pelbagai rupa penganiayaan.   Fokus pertemuan tersebut adalah presentasi Nabi Yusuf `a.s. tentang  pakej  penyelamatan ekonomi Mesir:  visi dan strategi menangani bahaya krisis (kemarau panjang) yang akan berlaku tujuh tahun mendatang.    Kata falamma kallamahu… (maka ketika Yusuf `a.s. berbicara kepada raja…) membayangkan kemampuan Yusuf `a.s. mengartikulasikan perancangan ekonominya dengan cukup meyakinkan,  sehingga raja membuat komitmen tegas untuk menempatkannya dalam posisi yang kuat sebagai orang kepercayaan.   Demikianlah ciri penting pemimpin-pengurus  cemerlang yang mampu mengkomunikasikan visi, misi dan perancangan strategiknya dengan berkesan.   Komunikasi yang berkesan memang  sangat penting untuk mendapatkan  dukungan semua pihak,   atasan dan  bawahan, raja dan rakyat massa.

Hari pertemuan itu adalah hari bersejarah yang membuka babak baru dalam kehidupan Nabi Yusuf `a.s.,   babak yang  cukup kontras dengan babak sebelumnya:  dari penjara ke puncak kuasa.   Demikianlah yang diindikasikan dengan kata innaka ‘l-yawma… (sesungguhnya engkau pada hari ini…),  hari ini  adalah hari bermulanya kehidupan baru.

Ayat 55  mengisyaratkan kesediaan Nabi Yusuf `a.s.  memikul tanggungjawab melaksanakan pelan tindakan menyelamatkan  Mesir dan rakyatnya dari bahaya kebuluran,  dan untuk mempastikan kebekesanan peranannya, beliau mengusulkan agar raja meletakkannya pada posisi yang strategik:   …`ala khaza’in al-ard  (penanggungjawab khazanah bumi Mesir).     Memang,  tanpa  menduduki posisi yang kuat, tepat dan strategik tanggungjawab  seberat itu tidak akan terlaksana dengan sempurna.    Sebenarnya  kedudukan sebagai pendamping raja dan orang kepercayaannya cukup untuk menjadikannya tokoh yang berglamour.    Tugas melaksanakan dasar ekonomi boleh dibebankan ke atas bahu orang lain.   Tetapi Yusuf `a.s. mahu memikul sendiri tanggungjawab tersebut,  termasuk risiko menjadi tidak popular kerana harus menguatkuasakan dasar berjimat-cermat ketika mewah selama tujuh tahun pertama.  Yusuf `a.s. ingin mempastikan  dasar berhemat tersebut terlaksana dengan beliau sendiri tampil  sebagai  pemimpin teladan,  sebagai al-`Aziz  (Perdana  Menteri) yang mengamalkan gaya hidup sederhana dan berhemat.   

Jawatan adalah amanah, dan kerana itu pula untuk mendudukinya diperlukan justifikasi kelayakan yang sesuai.    Yusuf `a.s. memberikan justifikasi dengan credentials sebagai seorang yang hafizun `alim (mampu menjaga dan berilmu).   Demikianlah dua kekuatan yang menjamin kompetensinya mengurus khazanah negara.  Sifat  hafiz yang dapat diertikan sebagai integriti moral  memungkinkannya memelihara harta negara  daripada kemusnahan,  sementara sifat `alimnya pula memungkinkannya mengurus ekonomi dan kehidupan rakyat  dengan bijaksana. Sebagai nabi, sumber utama ilmunya adalah wahyu,  tetapi selain itu mungkin juga  Yusuf `a.s. telah mendapat pendedahan tentang hal-ehwal pengurusan ekonomi selama tinggal di rumah al-`Aziz.    Tentu  ada hikmahnya mengapa Tuhan menempatkannya di rumah menteri al-`Aziz  selama masa yang agak lama,  iaitu untuk mendapatkan pengalaman dan pendedahan tersebut,  sebagaimana  adanya hikmah penempatan Musa `a.s. di istana Fir`aun,  iaitu untuk mengenalkannya dengan serba-serbi tentang Fir`aun dan pembesar-pembesar di sekelilingnya.   Pendedahan tersebut penting agar Musa `a.s. tidak takut menghadapi mereka apabila nanti beliau  memimpin kebangkitan Bani Isra`il.      Dengan menyebut dua kriteria  utama tersebut  (hafiz dan `alim)  Nabi Yusuf `a.s. dapat meyakinkan semua pihak  tentang kredibiliti dirinya untuk melaksanakan amanah  berat  menyelamat dan menyejahterakan umat.  Keyakinan semua pihak yang berkaitan adalah amat penting  bagi seorang pemimpin-pengurus mendapatkan sokongan  dan kerjasama.

Ayat 56   menyebut kurnia Ilahi  kepada Yusuf `a.s.  yang berupa  kedudukan yang teguh, bidang kuasa  yang luas,  dan kebebasan yang secukupnya untuk bergerak dan bertindak  mengikut pertimbangan dan budi bicaranya.  Ketika di penjara segalanya serba sempit dan terbatas,  tetapi dengan rahmat Allah,   setelah bebas segalanya berubah menjadi serba luas.   Kurnia tersebut  dimanfaatkan  sepenuhnya untuk menjayakan  misinya sebagai da`i dan pendidik  umat,  sebagai pemimpin dan pengurus kehidupan rakyat.   Untuk  menjayakan misi besar seperti itu memang diperlukan  ruang gerak dan kuasa bertindak yang secukupnya.  Ayat ini dihujungi dengan komitmen ketuhanan  bahawa  amal dan prestasi terpuji akan  mendapat  ganjaran istimewa dari Allah.  Bagaimana Tuhan melayani  para  muhsinin seharusnya menginspirasikan para pengurus dan pemimpin agar memberikan penghargaan dan ganjaran yang selayaknya kepada mereka yang berprestasi.           

Ayat 57  memberikan insentif  kurnia ukhrawi  bagi  mereka yang beriman dan bertaqwa.  Segala amal  termasuk  khidmat pengurusan hal-ehwal kehidupan umat yang dilaksanakan berasaskan prinsip iman dan nilai taqwa tidak hanya membawa keberuntungan duniawi,  tetapi lebih daripada itu akan mendapat  penghargaan ukhrawi, kurnia Ilahi yang  nilainya jauh  lebih tinggi dan lebih abadi.    Kurnia  ukhrawi inilah yang seharusnya menjadi motivasi utama  bagi orang beriman untuk melaksanakan amal perkhidmatan yang berkualiti dan cemerlang.   Sesungguhnya kurnia ukhrawi itulah  ganjaran yang sebenar dan yang terbaik.

Catatan:   Raja  Mesir pada zaman Nabi Yusuf  `a.s. disebut  dalam al-Qur’an (pada lima tempat dalam surah Yusuf) sebagai al-malik,  bukan  Fir`awn seperti  yang disebut untuk raja Mesir pada zaman Nabi Musa (`a.s.).    Memang kenyataannya raja Mesir pada zaman Nabi Yusuf  `a.s. bukan dari dinasti Fir`aun  yang berbangsa dan berbahasa Qibtiy.    Sejarah mencatatkan bahawa dari tahun  1900 hingga 1525 SM,  Mesir dikuasai oleh kaum badawi dari Kan`an  yang berbahasa  Kan`aniy (dekat  dengan bahasa Arab dan Aram).  Pemerintahan mereka berpusat di hilir Mesir,  manakala   pemerintahan  dinasti Qibtiy (yang  sedang  lemah) berpusat di bahagian hulu Mesir.    Dalam tradisi kaum Qibtiy di Mesir,  istilah Fir`aun hanya dipakai  untuk raja Mesir tulen,  dan tidak dipakai  untuk raja  pendatang dari luar.    Demikianlah terserlahnya salah satu  mukjizat ilmiah  al-Qur’an,   iaitu pemakaian  istilah  yang menepati fakta sejarah.         


Kolej Dar al Hikmah: 29102011.