Pagi tadi, kita telah dijemput untuk memberi kata-kata aluan oleh pengelola TASKI Surau Sungai Nibong Tengah pada Sukaneka TASKI di Padang Sukan PDC. Kawan-kawan berkata mereka telah lama tidak berjumpa dan ingin kita ada bersama bagi mewakili ABIM. Mereka berhasrat supaya pengasas TASKI hadir bersama. Kg. Sungai Nibong Tengah adalah kampung yang unik di Bayan Baru kerana penduduknya merupakan majoriti Melayu yang telah datang meneroka kawasan tersebut untuk dijadikan tempat tinggal sejak awal tahun 80'an. Mereka adalah penduduk setinggan walaupun telah berada dan menetap di sana selama 3 dekad.
Pada pertengahan 80'an, ada percubaan pihak berkuasa ketika itu untuk merobohkan kampung berkenaan. Pada waktu itu, keadaan amat cemas dengan penduduk berkawal sedia bersiap siaga untuk mempertahankan tempat tinggal mereka daripada sebarang rempuhan. Menurut cerita Abang Non, penduduk telah membuat rencana dan mereka pergi dengan satu rombongan bagi bertemu Anwar Ibrahim yang sewaktu memegang jawatan Timbalan Menteri dan mereka berjumpa dengannya tanpa membuat temujanji. Anwar memberitahu bahwa dia akan mengambil perhatian terhadap tuntutan mereka. Sekembali daripada pertemuan itu, mereka tidak pasti samada mereka akan dibela apatah lagi dengan melihat kesibukan seorang ahli politik. Keesokan harinya mereka merasa lega kerana pekerja penguatkuasa berundur dan meninggalkan kawasan. Rupa-rupanya pada malam sebelumnya, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan pimpinan negeri bagi menyelesaikan isu itu. Memang tanah tersebut merupakan milik swasta tetapi di dalam keadaan apa yang dinamakan sebagai kesamaran hakmilik.
Berita terkini pula melaporkan sudah ada pemaju yang akan bangunkan tanah itu yang sangat strategik yang berada di tengah-tengah bandar Bayan Baru. Bandar yang pesat membangun dengan nilai hartanah yang begitu melonjak tinggi. Apakah pula nasib penduduk kampung ini sekarang?
Anak-anak murid TASKI bersemangat membuat perbarisan dengan pakaian senaman yang berwarna-warni dan dengan wajah sungguh ceria. Ikrar dilafazkan dengan cukup kuat dan yakin sehingga nyanyian lagu Negaraku begitu deras bermula sehinggakan menyebabkan kami bangun tanda hormat lagu kebangsaan secara mengejut.
Sukaneka dirasmikan oleh YB Sim Tze Tsin, ADUN Pantai Jerejak, wakil PKR dalam Pakatan Rakyat. Pada kata-kata aluan, kita menyingkap sejarah TASKI yang berusia 25 tahun yang telah mengasuh dan mendidik ramai anak-anak. TASKI pertama didirikan di bangunan surau yang sangat daif yang dibina oleh penduduk kampung sendiri tanpa bantuan luar. Sekarang keadaan bangunan surau lebih baik dan selesa. Masa telah berlalu sehingga ada rakan yang mengatakan bahawa telah ada anak murid lepasan TASKI yang menghantar anak mereka pula ke TASKI. Tujuan Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam diwujudkan adalah supaya ia menjadi prasekolah alternatif bagi membolehkan rakyat mendapat akses kepada pendidikan prasekolah yang Islamik. Usaha ini merupakan penghayatan idealisme perjuangan sahabat-sahabat sewaktu itu, pemuda-pemuda Islam yang giat aktif dalam da'wah dan kerja masyarakat. Kita membuat pembetulan tentang pengasas TASKI Surau Sg Nibong Tengah dengan menamakan sekurang-kurangnya tiga orang aktivis ABIM sewaktu itu yang sebenarnya telah mengasas dan menggerakkan TASKI berkenaan iaitu saudara Norakmal Wahab, Ahmad Shadzli Abd Wahab dan Abd Malik Shukor. Mereka merintis jalan, mengadakan perhubungan dan perbincangan dengan pemimpin kampung, jawatankuasa surau dan menjalankan kajiselidik bagi mendapat respons serta mengukur sambutan. Menerusi persahabatan dan dialog, jawatankuasa surau telah memberikan sepenuh kepercayaan dan bermulalah satu institusi pencerahan dan pencerdasan umat secara kecil-kecilan tetapi sangat bermakna.
Kita sebutkan bahawa kita ingin anak-anak kita diasuh menjadi anak yang salih, taat dan cinta kepada Allah s.w.t., taat dan sayang kepada Rasulullah s.a.w dan mencontohi baginda, taat dan sayang kepada ibu bapa, hormat dan sayang kepada guru-guru, berbuat baik kepada rakan-rakan, berbuat baik kepada manusia, masyarakat dan alam. Kita seru ibu bapa dan rakan-rakan TASKI supaya teruskan menanam nilai-nilai yang mulia ini terutama pada zaman yang penuh dugaan dan cabaran. Kita berpesan supaya bersama-sama menjaga akhlak, menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak, bersolat bersama keluarga, membawa anak lelaki bersolat jemaah di surau, memerhati anak-anak terutama di peringkat transisi tahap dua sekolah rendah, mengawasi siapa rakan-rakan anak-anak, jangan memberikan motorsikal kepada anak-anak, jangan menghisap rokok dan unsur seumpamanya yang bakal meninggalkan contoh dan kesan yang negatif. Kita menasihati sesama kita supaya sentiasa memberikan harapan, dorongan dan doakan bersungguh-sungguh untuk kejayaan anak-anak kita.
Memang kita akui perubahan telah berlaku dengan pertumbuhan banyak Tadika lain terutama kepesatan penubuhan Tadika swasta yang Islamik dan juga prasekolah di sekolah rendah tetapi kita tahu bahawa content, kandungan masih mengambil asas pengisian TASKI. Dengan idealisme kita sekurang-kurangnya telah menetapkan satu standard prasekolah Islam. Perjuangannya sekarang adalah bagi mengekalkan standard ini dan menambahbaik.
Kepada YB Sim, kita meminta pimpinan negeri mengambil berat dan prihatin nasib rakyat di kampung berkenaan apabila tanah tersebut bakal dimajukan kelak. Kita seru supaya kepentingan rakyat jelata diutamakan dan tidak diketepikan oleh kehendak tokoh-tokoh korporat. Kita perlu memperjuangkan hak rakyat.
Apabila YB Sim berucap, dia menyentuh tentang pentingnya pendidikan bagi membela rakyat dan dia akan pastikan setiap usaha pendidikan dibantu. Dia juga menyebut tentang idealisme dan dia akan melaporkan kepada Dato Seri Anwar Ibrahim bahawa rakan-rakannya dalam ABIM telah meneruskan idealisme ini dan masih giat dengan usaha ini. Dia juga berkata bahawa dia sendiri akan mengambil berat tentang projek pembangunan yang akan melibatkan kampung berkenaan.
Semasa perbualan bersama YB Sim dan rakan-rakan, kita bersama melahirkan kebimbangan tentang sistem pendidikan yang nampaknya kurang berkesan bagi melahirkan mereka yang trampil dan mempunyai kesedaran. Kita sepakat bahawa perlunya kepada perubahan. Kita bersetuju NGO yang bergerak di lapangan masyarakat perlu diberikan bantuan dan kemudahan kerajaan. Dia menyatakan akan memberikan sumbangan kepada TASKI. Dia juga memberikan komitmen akan berusaha menangani pembangunan kawasan berkenaan supaya sekurang-kurangnya penduduk diberikan rumah gantian yang melebihi standard rumah kos rendah yang biasa. Kita mengingatkan bahawa keuntungan yang diperolehi oleh pemaju adalah jauh melebihi apa yang boleh disumbangkan kepada penduduk asal. Oleh itu, pemaju tidak akan mengalami kerugian jika mereka memajukan juga nasib penduduk kampung.
Setelah YB Sim meninggalkan majlis, rakan jawatankuasa memberitahu bahawa Majlis Agama telah memberi jaminan bahawa Surau Sg Nibong Tengah akan dikekalkan, dinaiktaraf dengan pembinaan satu bangunan baru walaupun kampung berkenaan dimajukan.
Begitulah secebis bingkisan dalam menegakkan idealisme perjuangan.
(gambar-gambar lama TASKI ABIM Sg Nibong Tengah)