Bakhtiar Appandi bin Yahya meninggal dunia dan kembali ke Rahmatullah akibat terlibat dalam satu kemalangan di Pokok Sena, Kepala Batas. Al marhum seorang aktivis masyarakat, aktif dengan Yayasan Pembangunan Ummah, bergiat dalam PKR, councillor - ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai, ahli usrah WADAH dan sahabat seperjuangan. Dia meninggalkan isteri dan dua orang anak pada petang Khamis 29 Mac 2012 dan selamat disolat di Masjid Kg Banggol dan dikebumikan buat selama-lamanya pada malam Jumaat. Dari Allah swt kita datang dan kepadaNya jualah kita pasti kembali.
Al marhum Bakhtiar berhenti berkhidmat dengan Jabatan Marin untuk aktif bersama Yayasan Bina Ilmu. Yayasan ini dengan agensi dan program lain seperti AIM, TEKUN dan YAPEIM digerakkan oleh Anwar Ibrahim sewaktu beliau dalam kerajaan bagi membangunkan dan memperbaiki nasib umat yang daif dan miskin di Pulau Pinang. Al marhum Bakhtiar dengan semangat kesukarelaannya, pengalaman aktvismenya dalam NGO amat sesuai dan cocok sekali dengan kegiatan yang tidak kenal penat lelah dan masa tanpa mengira upah dan batas waktu.
Al marhum juga amat rapat dan dikenali masyarakat dan pada malam jenazahnya disemadikan, ribuan orang telah hadir memberikan penghormatan terakhir.
Apabila peristiwa pemecatan dan penyingkiran Anwar Ibrahim daripada parti dan kerajaan berlaku, al marhum terus menyertai Gerakan Reformasi sesuai dengan jiwanya yang ingin menegakkan kebenaran dan mencari keadilan. Al marhum mengambil langkah berani dan tegas tanpa menghirau nasibnya dengan tiada lagi tempat bergantung saraan dan sebagainya.
Pada 1999, di ambang pilihanraya, pada detik getir penamaan calon, Ketua Bahagian Parti KeAdilan Tasek Gelugor ketika itu membubarkan jawatankuasanya dan menarik balik semua sokongan bersama sebilangan besar pengikutnya. Jentera dan tenaga pilihanraya bakal lumpuh. Tindakan ini difahamkan akibat perasaan tidak puas hati terhadap pemilihan calon parlimen oleh pucuk pimpinan KeAdilan. Maka, al marhum Bakhtiar diminta tampil memangku jawatan Ketua Bahagian dan menguruskan satu senario pertarungan politik di medan pilihanraya dengan keadaan amat mencabar dan mempunyai waktu yang sangat suntuk.
Dengan bantuan sahabat-sahabat yang setia dan komited, jentera pilihanraya digerakkan, urusan penting pentadbiran diselesaikan, pekerja-pekerja petugas-petugas diaturkan, kursus pantas pengendalian pilihanraya diberikan, dana dikumpul, program ketat calon-calon disusun, markas-markas, pondok-pondok panas didirikan, kempen diaktifkan dan siang malam dihidupkan demi memastikan peluang calon bagi menentukan masa depan Malaysia yang baru.
Walaupun suasana begitu menekan dan suram, penyokong-penyokong, orang ramai dan rakyat jelata berduyun-duyun datang memberikan dokongan, menghulurkan sumbangan dan tidak jemu-jemu menunjukkan simpati dan harapan untuk perubahan. Pusat-pusat pergerakan yang merupakan khemah-khemah kontang saja di tepi-tepi jalan penuh sesak dengan para pengunjung termasuk pemuda-pemuda yang penuh bersemangat.
Pada masa ini nyata al marhum tidak mempunyai apa-apa dan tidak mengaharapkan apa-apa. Al marhum bukanlah calon pun tetapi berusaha gigih untuk mereka. Sahabat-sahabat yang menyedari keadaannya membantunya dalam kesempitannya.
Namun, calon-calon KeAdilan kalah tetapi dengan perbedaan undi yang tipis secara relatifnya menunjukkan satu anjakan - swing tinggi pada masyarakat yang selama ini hanya kekal bersama pemerintah tanpa melihat buruk baiknya.
Selepas 1999, aktivis-aktivis reformasi telah menghadapi pelbagai tekanan hidup dan bertubi-tubi dugaan. Ramai aktivis yang tidak mempunyai pekerjaan ataupun sumber pendapatan kekal padahal keluarga mereka mengharapkan pembelaan. Pimpinan tertinggi Parti KeAdilan pun dilihat menaiki bas apabila menghadiri mesyuarat-mesyuarat penting. Ada pimpinan yang terpaksa menjual barangan jualan langsung termasuk membuka bonet kereta selepas berceramah. Semakin ramai juga mula berpaling tadah. Suara lantang dan berderau mula terlentuk ditundukkan oleh keinginan untuk menyelamatkan diri dan kembali kepada zon selesa. Sumpah keramat pemuda mula dikhianati sendiri oleh ahlinya.
Al marhum juga mengalami semua ini. Namun, al marhum tetap istiqamah berpegang kepada prinsipnya walaupun pedih dan perit diharunginya. Pihak lawan menghantar utusan-utusan bagi memujuknya sehingga al marhum menceritakan sendiri beberapa orang anggota risekan datang menawarkan projek lumayan supaya dia berpaling tadah. Tidak ramai orang yang ditimpa kesusahan yang akan mudah menolak umpan seperti yang dilakukan oleh al marhum. Dia tetap berpendirian seorang Reformis tegar.
Beberapa tahun yang lalu, al marhum menghadapi masalah kesihatan fizikal, kelihatan kurus dan tidak bermaya. Al marhum memang diketahui seorang diabetik. Namun, dia berjaya memulihkan keadaannya sendiri dan kembali cergas dan bertenaga. Al marhum juga berjaya pula dalam usaha perniagaan dan memperolehi kontrak kerja-kerja perkhidmatan penyenggaraan. Allah swt telah mengurnianya keafiatan dan melapangkan rezekinya. Al marhum mula kembali lebih aktif dan menyertai usrah-usrah.
Selepas Pakatan Rakyat memenangi kerajaan Pulau Pinang, al marhum dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai, suatu pengiktirafan kepada sosoknya yang ingin membela rakyat. Al marhum terus aktif dan lantang bersuara samada di forum majlis atau di hadapan kepimpinan partinya.
Pada usrah WADAH bulan lalu, al marhum telah mengemukakan soalan kepada naqib, Ustaz Dr Wan Salim tentang apa hukumnya jika kita tidak berani menegakkan kebenaran. Begitulah sifat dan ciri-cirinya yang ingin terus berjuang untuk masyarakat.
Semoga Allah swt menerima amal baktinya sebagai amal salih dan semoga Allah swt mencucuri rahmatNya ke atas ruh al marhum, saudara dan sahabat kita seperjuangan.