Bertahun-tahun saya mengikuti amanat kemerdekaan dan tema
kemerdekaan yang berselang seli. Bertahun-tahun juga saya dungu mengikut
laungan merdeka tanpa menyedari apa yg dimerdekakan? Seiring dengan kedewasaan
saya, makin kuat persoalan di benak,apa merdeka ini hanya ada tema dan
perbarisan?
Mengisi kemerdekaan bukan dengan tema, logo dan perarakan.
Islam telah lama memerdekakan ummatnya dengan kalimah tauhid. Tidak sedikit
sejarah perjuangan Musa AS yang berdakwah untuk mengeluarkan kaumnya dari jiwa
hamba setelah ditindas oleh Firaun berdekad lamanya.Bilal Bin Rabah menjadi
manusia terhormat dan mencapai tahap kemuliaan insan dengan syahadah. UmarAl
Khattab dan Saidina Hamzah RA mengetuai demonstrasi pertama dalam Islam ketika
meingiklankan pengislaman mereka. Luar biasa kalimah tawhid ini dengan makna
memerdekaan manusia dari sifat kehambaan manusia kepada manusia reformis yang
melalui proses transformasi aqidah sehingga punya keberanian untuk hidup dengan
lebih bermaruah dan keyakinan sebagai manusia yang dijanjikan segala karamah
insaniyyah.
Bicara kemerdekaan tidak tertumpu kepada laungannya tetapi
pengisian maknanya yang membawa mesej liberatif-emansipasif~tahriry dan
tanwiriy. Tahriry yang membawa maksud pembebasan dan tanwiriy yang hadir dengan
semangat pencerahan. Aspirasi pembebasan dan pencerahan ini sangat terkait
rapat dengan proses pendidikan dan hanya akan terlaksana di kala ummat
benar-benar memiliki citra tentang harga diri, maruah dan kehormatan. Maka
sekali lagi yang memaknai karamah insaniyyah itu apabila citra maqasid
syariyyahnya ditunjangi dengan penuh adab dan hormat.
Ada rasa cemas yang menikam di balik kibaran Jalur Gemilang
andai ummat yang kita lahirkan pasca kemerdekaan hanya bermentaliti Labu dan
Labi. Hidup dalam ketakutan kerana ugutan dan hukuman. Mereka hanya berani
menentang Haji Bakhil yang zalim di dalam mimpi! Dikerjakannya Haji Bakhil
cukup-cukup di dalam mimpi! Setakat itu sahajalah keberanian yang ada kepada
mereka, sekadar mampu bermimpi.Amat malang sekali andai kita terus membiarkan
manusia yang sisinya terpancar sebaik-baik kejadian Tuhan terus dihina dan
diperkuli ibarat nasib sepatu yang malang, “dari atas diinjak kaki, dari bawah
ditusuk duri, sudah usang dibuang orang”.
Mengapa saya begitu kritikal dengan pengisian kemerdekaan?
Kerana saya belum benar-benar memaknai kemerdekaannya. Saya mahu ia diisi
dengan objektif yang jelas bukan dengan pesta iklan serta lagu patriotik dan
konsert para artis. Atau diulang tayang filem Bukit Kepong, Leftenan Adnan dan
Hati Malaya sebagai hidangan kemerdekaan. Pendita Zaaba pernah dengan kritis
merumuskan kemelut ummat Melayu dengan perkataan “miskin”. Kemiskinan yang
bukan sedikit tetapi kemiskinan yang mencakupi kemiskinan moral, ilmu,
material, intelektual dan spiritual. Menurut Zaaba, kemelut ini hanya akan reda
dengan reformasi pendidikan, pemurnian dan penyegaran agama serta pembinaan
budaya dan watak bangsa yang sihat. Inilah jiwa merdeka yang dimaknai dalam
sentuhan keramat Dr Burhanuddin Al Helmi lewat seruannya,” Di atas runtuhan
Kota Melaka, Kita bangunkan jiwa merdeka”
Mutakhir ini, kisah korupsi, kezaliman, pembunuhan,
pemerkosaan, pencabulan hak dan penindasan kian menjadi-jadi. Indeks jenayah
dan gejala sosial tidak pernah gagal mendatangkan rasa tidak tenteram dan kebimbangan
hilang nyawa. Paling kurang kita hanya mampu bersimpati, paling tidak kita
berdoa mengikut tahap iman masing-masing, paling kerdil pun kita hanya
mengikuti bicaranya di layar kaca atau media cetak. Nah,selepas kita jelas
dengan pengisian kemerdekaan, maka kemuncaknya adalah pemberdayaan!
Institusi-institsi rakyat mesti dipulangkan pemilikannya kepada rakyat. Rakyat
hampir tidak punya apa-apa di saat haknya boleh diambil, dikurangi, dihapus dan
dicabul sesuka hati.
Melahirkan masyarakat madani adalah sebahagian pakej
pemberdayaan selain pendidikan demokrasi dan pelestarian ekonomi yang adil bagi
menghapuskan kesenjangan ekonomi rakyat. Rakyat mesti didik dengan kesedaran
hak agar suara rakyat disampaikan dengan lebih efektif dan diambil perhatian.Penting
untuk mendidik rakyat agar mengurangkan kebergantungan kepada pimpinan mereka
kerana sikap terlalu bergantung adalah penyakit orang lemah dan kerdil. Jauh
sekali dari citra jiwa merdeka!
Sejarah kemerdekaan akan terus diulang cetak sehingga adakalanya
ia hanya terfokus kepada Tunku Abdul Rahman dan laungannya. Sedang wira
kemerdekaan itu bukan hanya Tunku seorang, moga-moga dengan pengisian
kemerdekaan yang lebih bertanggungjawab akan mendamaikan seluruh wira bangsa
yang sedang dalam peristirehatan mereka apabila pengorbanan dan perjuangan
mereka telah menghasilkan ummat yang benar-benar merdeka. Selamat menyambut
kemerdekaan dengan citra jiwa merdeka, moga-moga kita akan memaknai kemerdekaan
kali ini dengan komitmen untuk mengangkat karamah insaniyyah, memberdaya ummah!
BICARA MERDEKA SEORANG GURU TUA
Lima dasawarsa yang lalu
Aku, anak desa yang dungu serba tak tahu
Hanya ikut-ikutan melulu
Memekik “Merdeka!Hidup Tunku!” bertalu-talu.
Hingga tiba ketika aku berani bertanya
Ruh dan makna sepatah kata,
Meminta bukti nyata sebuah cerita
“Merdeka”
Kutadah segala madah
Kuperah khazanah hikmah
Kutemukan daulat karamah insaniyyah
Mulia perkasa dengan al-izzah
Merdeka siapa Cuma mengenyah penjajah
Merdekaku meraih izzah
Deklarasi syahadah la ilaha illa Llah
Menyanggah berhala seribu wajah
Mengenyah segala bedebah penjajah, penjarah, penjenayah
Kubongkar pendaman fakta
Kubuka kitab pusaka
Terserlah deretan nama
Wira Merdeka bukan Tunku sahaja
Ramai yang mendahuluinya
Mendadak aku bertanya
Sejarah bikinan siapa?
Merdekakah kita
Julinkah mata sarjana
Apabila tidak bersuara
Tentang pahlawan tak dikenang
Wira tak didendang
Lima dasawarsa lamanya
Banyak kata belum terkota
Banyak lagi rupa tak seindah berita
Bagi generasi yang semakin tak mengerti
Kata merdeka bak mantra yang hilang sakti
Dan mereka semakin tak peduli.
Jiwa merdeka sirna ditelan pesta
Matilah rasa hilanglah peka
Betapapun gegak gempitanya
Pekikan Merdeka!Merdeka!Merdeka!
Tetapi semerta terbelalak mata
Bila setan korupsi menggoda,
Mau duit ka? Mau duit ka? Mau duit Ka?
Gejala pesona yang kian menggila
Menginjak taqwa menganjak jiwa
Merdeka dengan Ketuhanan Yang Maha esa
Menjadi hamba kewangan yang maha berkuasa
Pada hari merdeka yang ceria
Kusimpan tangis di balik tawa
Kupendam cemas di tengah pesta
Akan terjualkah merdeka kita?
(Fadhlina Sidek 2012)