Sunday, March 31, 2013

DR SIDDIQ FADIL: HADITHAT AL-IFK: FITNAH BESAR PENCEMARAN MARUAH



TM64 : Kuliah Tafsir Maudu'iy
HADITHAT AL-IFK: FITNAH BESAR PENCEMARAN MARUAH
(Menghayati Pesan-pesan Ilahi dalam surah al-Nur: 11-21)





11. Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan Dengan kesalahan Yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar Dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di Akhirat).

12. sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".

13. sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang Yang dusta.

14. dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa Yang besar disebabkan kamu turut campur Dalam berita palsu itu; -

15. Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan Dengan mulut kamu akan sesuatu Yang kamu tidak mempunyai pengetahuan Yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara Yang besar dosanya.

16. dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi Kami memperkatakan hal ini! Maha suci Engkau (Ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli Rumah Rasulullah)! ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan".

17. Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.
18. dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

19. Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan Yang buruk Dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa Yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).

20. dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (Kalaulah tidak kerana) Bahawa Allah amat melimpah belas kasihanNya, (tentulah kamu akan ditimpa azab Dengan serta-merta).

21. Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa Yang menurut jejak langkah Syaitan, maka Sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan Yang mungkar. dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha mengetahui


Latar Penurunan Ayat:

Ayat-ayat tersebut merujuk peristiwa yang menimpa `Aishah r.`a. apabila difitnah oleh kaum munafiqin konon beliau telah melakukan perbuatan keji dengan Safwan ibn al-Mu`attal r.`a., seorang sahabiy yang menemukannya sendirian kerana ditinggalkan oleh rombongan ekspedisi ketenteraan yang telah selesai menindak Bani al-Mustaliq pada tahun 5-6H. Ketika memberangkatkan kenderaan berkhemah yang dinaiki `Aishah r.`a., para petugas menyangka beliau sudah berada di dalamnya. Mereka tidak menyedari bahawa ketika itu `Aishah r.`a. berada di luar khemahnya kerana mencari kalungnya yang tercicir. Setelah menjumpainya, didapati rombongan telah berangkat, lalu `Aishah r.`a. menunggu di tempatnya dengan harapan para petugas akan menyedari ketiadaannya dan kembali mengambilnya. Malam semakin larut lalu `Aishah tertidur hinggalah pada pagi keesokan harinya beliau ditemukan oleh Safwan, orang terakhir pulang yang ditugaskan meninjau lapangan andainya ada sesuatu yang ketinggalan. Menemukan `Aishah dalam keadaan seperti itu, Safwan mempersilakan `Aishah r.`a. menaiki haiwan tunggangannya, sementara beliau sendiri menuntun haiwan kenderaan tersebut dengan berjalan kaki. Peristiwa itulah yang dilihat oleh Abdullah ibn Ubay sebagai kesempatan untuk dieksploitasi sedemikian rupa sehingga merebaknya fitnah skandal yang menggemparkan masyarakat Madinah.

Huraian Maksud Ayat:

Al-Qur'an mendedahkan fakta bahawa pelaku angkara al-ifk (fitnah dan pembohongan besar) itu, bukan seorang atau dua orang individu, tetapi sekumpulan (`usbah) yang berkongsi matlamat dan cita-cita jahat. Memang yang menjadi ringleadernya adalah ketua munafiqin, tetapi dari segi hukum ia dianggap warga masyarakat Islam berdasarkan sikap zahirnya, kerana itu mereka disebut minkum (dari kalangan kamu). Bilangan mereka sebenarnya tidak ramai, tetapi bahayanya cukup besar. Ia adalah sebahagian daripada usaha memerangi Islam oleh musuh-musuh yang tidak mampu berhadapan secara jantan, lalu berkomplot mereka-reka fitnah character assassination, mengaib dan menyerang peribadi. Fitnah yang direkayasa oleh Abdullah ibn Ubay, pemuka kaum munafiqin Madinah itu disambut oleh sekumpulan warga masyarakat Islam yang naif dan lemah, lalu tersebar luas sehingga menggegarkan masyarakat madinah selama hampir sebulan.

Pada zahirnya memang peristiwa tersebut begitu mendera dan menyakitkan, terutama bagi keluarga Rasulullah s.`a.w. dan keluarga Abu Bakr al-Siddiq r.`a., juga Safwan ibn al-Mu`attal, seorang sahabiy muhajir, mujahid yang terkenal dengan kebaikannya. Bagaimana tidak sakit, mereka adalah orang-orang terhormat, pemimpin yang kekuatannya terletak pada keluhuran peribadi dan integriti moral. Tetapi al-Qur'an segera mengingatkan hakikat bahawa di sebalik derita yang menyakitkan itu ada hikmah kebaikannya (Jangan kalian sangka ia semata-mata keburukan, sebaliknya ada kebaikannya bagi kalian). Yang tersirat di balik ayat tersebut adalah jaminan Tuhan, "Kamu mendapat pahala besar dari kejahatan mereka itu, terserlahnya kasih dan pemeliharaan Allah terhadap `Aishah r.`a. dengan membersihkannya dari fitnah lewat ayat-ayat Ilahi yang akan terus-menerus dibaca hingga kiamat, dan ketegasan ancaman Tuhan terhadap sesiapa yang mencemarkan maruah kamu". Memang fitnah yang dibongkar dan didedahkan biang keladinya lebih baik daripada fitnah yang tersebar dalam senyap tanpa diserlahkan hakikatnya. Pendedahan fitnah seperti yang terungkap dalam ayat-ayar al-Nur ini menyerlahkan kejahatan pelakunya dan membuktikan kebersihan mangsanya. Yang beruntung dalam isu ini adalah mangsa yang terbukti bersihnya, dan yang rugi adalah pelaku fitnah yang terbongkar konspirasinya. Keadaan seperti inilah yang diekspresikan dalam ungkapan Melayu, "senjata makan tuan!".

Tidak siapa pun akan terlepas daripada balasan Tuhan. Setiap orang yang bercakap tentang isu ini dan menuduh Umm al-Mu'minin `Aishah r.`a. melakukan perbuatan scandalous yang mengaibkan, akan ditimpa azab, masing-masing mengikut kadar keterlibatan mereka dalam isu fitnah tersebut. Azab yang paling besar akan ditimpakan ke atas ringleader yang mendalangi konspirasi jahat itu. Dialah (Abdullah ibn Ubay) yang menjadi punca sebahagaian besar bencana fitnah tersebut. Dalang konspirator itu ditimpa azab berat (`adhabun `azim) duniawi-ukhrawi. Di dunia terdera dengan pendedahan belang kemunafikannya, di samping pengusirannya dari masyarakat umat; dan di akhirat terlempar ke gaung neraka lapisan terbawah.

Bertolak dari premis tersebut Allah s.w.t. mendidik umat yang sebahagiannya telah terlibat dalam isu fitnah tersebut lewat sembilan pesan peringatan keras:

1. Ketika mendengar cerita karut kelompok konspirator fitnah tentang `Aishah r.`a. seharusnya mereka bersangka baik terhadapnya sebagaimana yang dituntut oleh iman. Justeru, iman selamanya menuntut sikap bersangka baik terhadap sesama kaum mukminin sebagaimana yang diisyaratkan lewat kata al-mu'minun wa al-mu'minat dalam ayat 12 tersebut. Sebagai kaum beriman seharusnya mereka spontan menolak fitnah ke atas Sayyidatina `Aishah r.`a. itu dengan berkata, "Ini dusta nyata!" (hadha ifkun mubin!), rekaan tukang fitnah tentang peristiwa terbuka yang sebenarnya tidak diragukan oleh siapa juga yang menyaksikannya. `Aishah r.`a. dibawa dengan kenderaan Safwan ibn al-Mu`attal r.`a. di tengah benderang siang, dilihat oleh seluruh angkatan tentera Islam dan disaksikan sendiri oleh Rasulullah s.`a.w.. Andainya perbuatan aib telah berlaku, tentunya ia dilakukan secara sulit dan tersembunyi. Demikianlah cara terbaik menyikapi isu seperti itu, iaitu dengan merujuk suara hati yang beriman. Jika seorang mukmin awam pun tidak tergamak melakukan perbuatan sekeji itu, maka lebih tidak masuk akal ia dilakukan oleh isteri Rasulullah s.`a.w. dan sahabatnya yang terkenal baiknya.

2. Setelah langkah pertama bertanyakan hati nurani sendiri, barulah masuk ke langkah kedua menuntut bukti nyata yang kuat. Orang yang membuat tuduhan seberat itu seharusnya mengemukakan empat orang saksi sebagai pembuktian kebenaran tuduhan mereka. Apabila ternyata tidak ada saksi, di sisi hukum Allah para pelakunya dianggap pendusta yang jahat. Sekali Tuhan mengatakannya pendusta (hum al-kadhibun), ia tidak akan berubah dan tidak akan ditarik balik selamanya.

3. Fitnah sedemikian itu adalah suatu kejahatan serius yang membawa padah yang fatal andainya tidak kerana kurnia rahmat Allah di dunia dan akhirat. Kurnia rahmat Allah di dunia berupa kesempatan bertaubat, sementara kurnia rahmat-Nya di akhirat berupa pengampunan terhadap dosa-dosa manusia. Kalau tidak kerana kurnia rahmat tersebut, nescaya ditimpakan-Nya azab serta-merta. Kata lawla dalam ayat tersebut bererti terhindarnya sesuatu (azab) kerana adanya sesuatu yang lain (kurnia rahmat Allah). Demikianlah umat generasi tersebut mendapat pengajaran pahit untuk mengerti betapa besarnya rahmat Tuhan yang meliputi semua, termasuk mereka yang telah telanjur melakukan kesalahan.

4. Lewat ayat 15 al-Qur'an memberikan gambaran suatu masyarakat yang sedang ditimpa krisis nilai dan etika, ketika lidah tidak terkawal dan akal sihat tidak berfungsi. Kalaulah tidak kerana kurnia rahmat Allah nescaya mereka sudah ditimpa azab pada saat mereka melafazkan kata-kata fitnah, ketika bertanya tentangnya, ketika memanjang-manjangkan berita bohong yang mereka tidak mengetahui hakikatnya, dan ketika menyangka bahawa ia adalah soal kecil dan remeh, walhal di sisi hukum Allah ia adalah kesalahan serius dan dosa besar kerana telah mencemarkan kemuliaan rumah-tangga Rasulullah s.`a.w dengan fitnah skandal yang sedemikian keji. Ayat 15 tersebut menyenaraikan tiga kesalahan (dosa) yang telah mewajarkan para pelakunya ditimpakan azab: a. mulut dan lidah yang menyebut (bertanya dan menyampaikan) fitnah jahat itu kepada orang lain, b. bercakap tentang sesuatu yang tidak diketahui (tanpa bukti), dan c. menganggap kecil (tahsabunahu hayyinan) suatu yang hakikatnya besar dan serius di sisi Allah (wa huwa `inda 'Llahi `azim). Ternyata qadhaf (menuduh orang melakukan zina) adalah termasuk dosa besar. Hakikat besarnya dosa perbuatan tersebut tidak berubah (menjadi kecil) semata-mata kerana kejahilan pelakunya yang menyangka ia soal kecil. Kerana itu setiap yang haram harus disikapi dengan serius kerana berkemungkinan ia termasuk dosa besar (al-kaba'ir). Dalam peristiwa Hadithat al-Ifk, hukum hudud qadhaf telah dilaksanakan ke atas pelaku-pelakunya: Hamnah bint Jahsh, Hassan ibn Thabit dan Mastah ibn Athathah.

5. Pendidikan adab dan disiplin seterusnya (selepas bersangka baik terhadap sesama kaum mukminin) ialah bersikap tegas dengan lafaz tasbih (subhanak)ketika mendengar berita bohong itu, lalu berkata, "Tidak sewajarnya kami mengucapkan kata-kata kotor yang mencemarkan maruah dan kehormatan Rasulullah s.`a.w., mustahil isteri Nabi s.`a.w. melakukan perbuatan keji seperti itu, dan ini jelas suatu pembohongan besar dan suatu kejahatan menyakiti Nabi s.`a.w.!". Memang hati yang beriman seharusnya spontan melenting dan memprotes pada saat mendengar fitnah jahat sedemikian, lidah yang beriman tidak sanggup mengucapkan kata-kata tentang hal seperti itu dan tidak rela menjadikannya bahan perbincangan. Mukmin tulen akan bergegas menghadap Allah s.w.t. menyucikan-Nya dari kemungkinan membiarkan Rasul-Nya ditimpa aib sedemikian rupa. Masyarakat mukmin sejati akan serta-merta melemparkan fitnah jahat itu jauh-jauh dari kedamaian, kemurnian dan keluhuran iklim iman dan taqwa.

6. Satu lagi peringatan dari Allah s.w.t., yang disampaikan dalam nada mendidik dan mentarbiyah yang sangat mengesankan, ya`izukum (menasihati kamu), jangan sekali-kali mengulangi apa yang terjadi dalam peristiwa hadithat al-ifk sepanjang hayat dan selama-lamanya, andainya kamu benar-benar manusia mukmin yang beriman kepada Allah, beriman dengan syari`at-Nya, memuliakan Rasul-Nya s.`a.w., melaksanakan pertintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Sikap mematuhi nasihat Ilahi dalam ayat ini dikaitkan langsung dengan iman (in kuntum mu'minin). Justeru, orang beriman tidak akan mengulangi kesalahan yang telah jelas akibatnya seburuk itu. Lewat ayat-ayat firman-Nya, Allah s.w.t. telah menjelaskan hukum-hakam syari`at-Nya, adab dan disiplin keagamaan dan kemasyarakatan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang baik untuk hamba-hamba-Nya, Maha Mengetahui segala yang berlaku di kalangan mereka, lalu membalas setiap orang berdasarkan apa yang telah dilakukannya. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana dalam menentukan hukum-hakam syari`at-Nya, Maha Bijaksana dalam mengurus kehidupan makhluk-Nya, dan Maha Bijaksana dalam mewajibkan apa yang membawa kebahagian mereka di dunia dan akhirat.

7. Disiplin atau adab ketiga yang dipesankan oleh Allah s.w.t. ketika mendengar cerita fitnah seperti itu agar jangan menyebarkannya, dan malah jangan menginginkan ia tersebar. Mereka yang terlibat dalam penyebaran dan penyiaran berita zina di kalangan kaum mukminin akan menerima azab yang pedih di dunia dan akhirat (lahum `adhabun alimun fi al-dunya wa al-akhirah). Di dunia mereka merasakan kepedihan hukuman qadhaf (lapan puluh kali sebatan), dan di akhirat nanti mereka akan dibakar dalam api neraka. Manusia jangan berlagak tahu tentang hakikat sesuatu, sumbernya hanyak maklumat yang serba terbatas, berita yang tidak jelas hujung pangkalnya atau hanya dakwaan orang-orang yang sakit hati. Malulah kepada Allah yang Maha Tahu tentang hakikat segala sesuatu (wa 'Llahu ya`lamu wa antum la ta`lamun). Kalau mahu selamat, kembalikan dan serahkan segalanya kepada Allah Yang Maha Tahu. Dalam kaitan ini Prof. Dr. Wahbah al-Zuhayliy mencatatkan ayat 19 surah ini menyebut bahawa adanya keinginan (sekadar keinginan) tersebarnya berita zina (al-fahishah) sudah cukup untuk mewajarkannya ditimpa azab, apa lagi jika benar-benar telah bertindak menyebarkannya. Sudah pasti lebih besar dosanya dan lebih dahsyat hukumannya. Menurut al-Zuhayliy lagi, punca keinginan keji agar fitnah zina tersebar luas adalah dendam, kebencian dan nafsu meninggi diri. kedengkianlah yang mendorong pendendam seperti  Abdullah ibn Ubay melakukan pencemaran maruah dan pencabulan kehormatan dengan sangkaan perbuatan itu akan menjadikannya tampak hebat, mulia dan berwibawa. Ibn Ubay dan mereka yang sejenisnya boleh bermimpi semahunya, tetapi Allah tetap dengan hukum dan hukuman-Nya: menimpakan azab duniawi-ukhrawi ke atas para pelaku qadhaf.

8. Allah s.w.t. mengulangi peringatan-Nya, kalaulah tidak kerana kurnia rahmat-Nya (wa lawla fadlu 'Llahi `alaykum wa rahmatuhu), nescaya kamu sudah binasa ditimpa azab-Nya, tetapi Tuhan Maha Pengasih, Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya. Tuhan masih bersedia menerima taubat mereka yang ingin kembali kepada Allah setelah telanjur dalam isu al-ifk ini. Tuhan masih berkenan menunjukkan jalan pulang dan jalan kebaikan, dengan memperingatkan bahaya sikap berterusan melakukan perbuatan terkutuk mencemarkan kehormatan keluarga dan rumah-tangga Nabi s.`a.w.

9. Dengan kurnia rahmat-Nya, Tuhan menunjukkan jalan selamat bagi kaum mukminin seluruhnya iaitu dengan menjauhi jalan dan laluan syaitan, juga jangan mendengar bisikan dan saranannya kerana syaitan hanya membawa satu motif: menyuruh melakukan kekejian dan kemungkaran. Demikianlah ketika syaitan merangsang mereka mendengar dan mempercayai fitnah al-ifk dan seterusnya mendorong mereka menyebarkannya. Sekali lagi pada ayat 21 Tuhan mengulangi peringatan-Nya, kalaulah tidak kerana kurnia rahmat-Nya (wa lawla fadlu 'Llahi `alaykum wa rahmatuhu) dengan membuka pintu taubat dan pengampunan-Nya, nescaya tidak akan ada orang yang dapat membersihkan diri daripada dosa, tidak akan ada orang yang dapat melepaskan diri dari belenggu syirik, budaya keji dan kebejatan moral. Dan andainya itu terjadi, akibatnya tidak lain adalah kebinasaan ditimpa azab. Berkat kurnia rahmat-Nya manusia bejat yang bergelumang dosa boleh berubah menjadi manusia zakiy, manusia yang mencapai kebaikan yang diredhai Allah. Demikianlah Maha Penyayangnya Tuhan yang berkenan membersihkan sesiapa yang dikehendakai-Nya kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar suara hati mereka yang ikhlas ingin bertaubat dari perbuatan keji yang telah mereka lakukan selama ini.



Friday, March 8, 2013

SIDDIQ FADIL: DEMOKRASI, PLURALITI DAN PRU-13


DEMOKRASI, PLURALITI DAN PRU-13
Siddiq Fadzil
Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH)
(Teks ucapan di Konvensyen Pencerdasan Rakyat, di Dewan Kompleks Belia dan  Kebudayaan, Shah Alam, pada 9 Mac 2013).


Pilihanraya dalam sistem demokrasi adalah hari kebesaran kuasa rakyat. Ia harus disambut dengan semangat hormat terhadap suara rakyat, yang bukan lagi “suara anjing menyalak bukit”, tetapi suara berdaulat yang membawa kata putus, sebagai aktualisasi prinsip al-sha`b masdar al-sultah (rakyat adalah sumber kekuasaan). Tetapi pilihan raya hanya akan benar-benar menjadi hari kuasa rakyat, apabila rakyat dapat menggunakan hak demokratiknya dengan bebas dan cerdas, bijaksana dan penuh rasa tanggungjawab.

Dalam kaitan inilah relevannya gerakan pencerdasan rakyat untuk memungkinkan mereka membuat pertimbangan yang adil dan rasional, dan seterusnya menentukan pendirian dan pilihan yang tepat. Dengan demikian barulah pilihan raya dapat menjadi mekanisme demokrasi yang menghasilkan pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat.

Demokrasi dan Media

Dalam era kekuasaan media, rakyat seringkali tidak dapat melihat sesuatu dalam realiti seadanya. Banyak negara yang masih mengamalkan pilihan raya, tetapi tidak mengamalkan kebebasan media (freedom of the press), yang diamalkan adalah kebebasan daripada media (freedom from the press) dalam pengertian pemerintah yang bebas daripada kritik dan sorotan media. Media yang telah kehilangan kebebasan dan diperburuk dengan kehilangan etika tidak lagi mampu memaparkan kebenaran, tetapi lebih banyak bertindak sebagai alat propaganda politik, termasuk menghitamkan yang putih dan memutihkan yang hitam.

Demikianlah orientasi sebahagian media masa kini sehingga kita harus mengajak rakyat lebih tekun berdo`a: Rabbana arina ‘l-haqqa haqqan wa ‘rzuqna ‘ttiba`ah, wa arina ‘l-batila batilan wa ‘rzuqna ‘jtinabah (Ya Tuhan, perlihatkan kami kebenaran itu nyata benarnya dan kurniakan kami keupayaan mengikutinya, dan perlihatkan kami kebatilan itu nyata batilnya dan kurniakan kami keupayaan menghindarinya). Kebebasan media adalah bahagian integral daripada demokrasi. Kerana itu pilihan raya tanpa kebebasan media hanya akan menghasilkan pemerintahan yang kehilangan legitimasi demokratik (democratic legitimacy).

Sebagai image maker media selalu melakukan pencitraan palsu sehingga yang tampak bukan citra hakiki sebuah parti, dan bukan wajah asli seseorang calon. Pemalsuan citra yang begitu berleluasa, pasti akan mencederai demokrasi, kerana ia bererti menafikan hak rakyat mendapatkan maklumat yang benar, lengkap dan seimbang tentang calon dan parti yang bertanding. Bagaimana mungkin rakyat akan membuat pilihan yang tepat jika sudah tertipu dengan pencitraan kosmetik media propaganda.

Mengundi Sebagai Kesaksian

Dilihat dari perspektif agama, mengundi dalam pilihan raya bukan sekadar hak, yang boleh diterima dan boleh pula ditolak. Lebih daripada itu sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Shaykah Yusuf al-Qaradawiy, ia adalah kewajiban pelaksanaan kesaksian (shahadah) yang tidak boleh ditolak apabila dipanggil, “…Dan janganlah saksi-saksi itu menolak apabila dipanggil. …” -- al-Baqarah:282. Tidak keluar mengundi bererti menyembunyikan kesaksian (katm al-shahadah), suatu kesalahan berat yang dicela dalam al-Qur’an, “…Dan janganlah kamu menyembunyikan kesaksian, kerana barangsiapa menyembunyikannya, sungguh, hatinya kotor (berdosa)…” --- al- Baqarah: 283.

Kesaksian dalam konteks pilihan raya bererti pernyataan sikap dan penilaian yang jujur terhadap kelayakan seseorang calon dan partinya, berdasarkan kriteria asas: qawiyyun amin (kuat dan dapat dipercaya) dan hafizun `alim (berintegriti moral dan berkompetensi intelektual). Kerana itu yang harus layak bukan hanya calon dan parti, tetapi juga pengundi-pengundinya yang harus memenuhi syarat kesaksian yang terumus pada kata al-`adl (keadilan), “…dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu…” -- al-Talaq:2. Kesaksian adalah amanah. Mengundi parti atau calon yang tidak layak adalah penghkhianatan terhadap amanah yang menepati istilah qawla ‘zur (kesaksian palsu) dalam al-Qur’an. Memberikan kesaksian palsu adalah dosa berat yang digandingkan dengan syirik sebagaimana yang firmankan oleh Allah s.w.t., “…,maka jauhilah (penyembahan) berhala-berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan dusta.” -- al-Hajj:30.

Ternyata mengundi dalam pilihan raya tidak hanya memerlukan kefahaman serba-serbi tentang demokrasi, tetapi juga kesedaran tanggungjawab moral. Justeru, kesaksian harus dilaksanakan dengan jujur, semata-mata kerana Allah, bukan kerana kepentingan diri, kaum kerabat dan suku-sakat, “…dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah.” --. al-Talaq:2. Untuk memungkinkan rakyat melaksanakan tanggungjawab kesaksiannya dalam pilihan raya, mereka tidak boleh naïf -- tidak mengerti bahasa politik, tidak mampu memahami sepak teranjang serta simpang-siur politik, dan tidak dapat mengenal mana wajah asli dan mana wajah hiasan citra kosmetik. Ranah politik memang banyak jebakan dan jerangkap samarnya, ada angguk yang bererti tidak, ada geleng yang bermakna ia, dan banyak sumpah yang mengandung fitnah.

Demokrasi hanya akan sihat dan subur di tengah rakyat yang sedar, cerdas, jujur dan enlightened. Demokrasi akan mati dalam orientasi politik ke-fir`aun-an yang mengekalkan kekuasaan dengan strategi pembodohan rakyat, “(Dengan yang demikian) maka Fir`aun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasiq – derhaka..” -- al-Zukhruf:54. Rakyat yang telah lama diperbodoh tidak lagi mampu membezakan keadilan daripada kezaliman, mereka tidak tahu bahawa hak-hak asasinya dirampas, dan tidak sedar kekayaannya dirompak. Yang mereka tahu siapa yang memberikan wang adalah orang baik yang wajar disokong, tanpa menyedari bahawa si pemberi sebenarnya adalah penyamun yang telah merompak habis harta-bendanya. Jadilah mereka rakyat yang senasib dengan kaum Nabi Hud `a.s. yang setia menyokong kezaliman, “…dan (mereka) menuruti perintah semua penguasa yang sewenang-wenang lagi durhaka.’ -- Hud:59; atau menjadi rakyat yang bodoh sombong seperti kaum Nabi Nuh `a.s., “…dan mereka mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya hanya menambah kerugian baginya.” -- Nuh:21.

Perubahan Politik dan Politik Perubahan

Bagi warga gerakan Islam, yang penting bukan sekadar perubahan politik dalam erti pertukaran parti pemerintah semata-mata. Yang diperjuangkan oleh gerakan Islam adalah politik perubahan dalam pengertian berlakunya perubahan hakiki ke arah aktualisasi cita-cita Islamiah -- prinsip dan nilainya, hukum dan maqasidnya. Aspirasi politik gerakan Islam adalah tegaknya prinsip kebebasan dan keadilan, suburnya nilai- nilai moral amanah, ketelusan dan kesederhanaan; terjaminnya keselamatan dan ketertiban, dan terlaksananya pemerintahan rule of law yang religius dan berintegriti.

Politik perubahan yang kita perjuangkan meliputi realisasi maqasid al-shari`ah dalam erti yang setepat dan selengkapnya, bukan sekadar slogan-sloganan dan pidato-pidatoan. Objektif memelihara jiwa (hifz al-nafs) harus dilaksanakan dalam pengertian bukan sekadar melindungi nyawa, tetapi juga jaminan kualiti hidup yang selayaknya sebagai manusia bermaruah dan bermartabat. Objektif memelihara agama (hifz al-din) harus dilaksanakan dalam pengertian pendaulatan dan penghayatan ajaran-ajarannya di segala ranah kehidupan. Objektif memelihara akal (hifz al-`aql) harus dilaksanakan dalam pengertian membangun daya fikir dan membina rakyat yang cerdas dan enlightened. Objektif memelihara harta (hifz al-mal) harus dilaksanakan dalam pengertian pembangunan ekonomi dan pengawalan kekayaan negara dari pembaziran, pembolotan dan segala bentuk penyelewengan. Objektif memelihara keturunan (hifz al-nasl) pula harus dilaksanakan dalam pengertian pembinaan generasi yang bersih, kuat dan terdidik dengan sempurna.

Sistem Dua Parti

Yang harus menjadi perhitungan utama dalam demokrasi elektoral adalah khidmat yang lebih baik untuk rakyat. Untuk itu parti pemerintah perlu disaingi dan ditandingi oleh parti alternatif yang kuat, a formidable force yang sewaktu-waktu boleh menggantikannya sebagai pemerintah. Kehadiran dua kekuatan politik yang seimbang adalah penting untuk memacu persaingan memberikan khidmat yang lebih baik untuk rakyat. Tanpa saingan dan tandingan yang bererti, parti yang berkuasa akan berasa terlalu selesa dan seterusnya akan mengalami penurunan komitmen dalam memberikan khidmat yang lebih baik. Keadaan seperti itu akan menumbuhkan sikap taken for granted, “sudahnya rakyat akan memilih kita juga, kerana tidak ada alternatif.”. Dengan kata lain, dalam konteks masa kini, sistem dua parti adalah suatu keperluan bagi menjamin wujudnya persaingan yang real dan bererti. Rakyat akan mendapat khidmat yang lebih baik dalam politik yang memungkinkan berlakunya pertukaran kuasa pemerintahan dari semasa ke semasa.

Politik Baru dan Tahaluf Siyasiy

Setelah lebih setengah abad merdeka, rakyat Malaysia mulai memperlihatkan tanda-tanda keinginan menerokai politik baru. Politik kapitalisme kroni dan perkauman sempit tidak lagi dapat dipertahankan dalam arus kebangkitan politik moral dan idealisme keadilan dan kebersamaan. Tahaluf siyasiy (pakatan politik) Muslim-bukan Muslim dalam ranah politik plural adalah suatu eksperimen yang wajar diberi ruang dalam konteks politik baru yang realistik berasaskan nilai-nilai luhur yang disepakati bersama. PRU-12 telah memperlihatkan isyarat bermulanya politik pembebasan dari kepompong politik perkauman. Rakyat membuat pilihan tidak lagi berasaskan kaum, tetapi berasaskan idealisme -- keadilan dan kebebasan, maruah dan martabat keinsanan, integriti moral dan pelayanan yang lebih baik.

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, kehadiran warga bukan Muslim harus diakui sebagai realiti yang diambilkira dalam penggagasan sebarang formula politik. Umat Islam yang semakin terdedah kepada wacana-wacana politik Islam kontemporari, semakin bersikap terbuka dan bersedia untuk menjalin kerjasama politik dengan warga bukan Muslim. Ternyata antara impak terbesar fenomena kebangkitan Islam adalah kefahaman yang lebih mendalam terhadap ajaran Islam, termasuk dasar-dasar politiknya. Sikap mejauhi golongan bukan Muslim semata-mata kerana ketidak-Islaman mereka telah berubah setelah memahami hakikat konsep ukhuwwah (persaudaraan) yang luas, meliputi persaudaraan seagama, persaudaraan sebangsa, persaudaraan setanahair dan persaudaraan kemanusiaan sejagat.

Al-Qur’an tidak hanya menyebut persaudaraan keagamaan (Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara) – al-Hujurat:10, tetapi menyebut juga persaudaraan kebangsaan lewat pengkisahan tentang hubungan antara para anbiya’ dan mursalin (Nuh, Lut, Hud dan Salih `a.s.) dengan kaum masing-masing yang menolak dakwah, (tetap dalam kekafiran kesyirikan) tetapi masih dianggap saudara, (…akhuhum Nuh…) – al-Shu`ara’: 105, 106, (…akhuhum Lut…) -- al- Shu`ara’: 160,161, (…akhuhum Hud) -- al-Shu`ara’:124, dan ( …akhuhum Salih ) -- al-Shu`ara’:142. Kata akhuhum dalam ayat-ayat tersebut bererti saudara. Memang tidak semua orang bukan Muslim itu musuh, malah tidak sedikit yang memperlihatkan semangat setiakawan sehingga kaum Muslimin berasa terharu dengan kebaikannya. Ketika Rasulullah s.`a.w. menderita kelaparan dalam kepungan dan pemulauan oleh Quraysh di Shi`b Abi Talib selama tiga tahun tanpa bekalan makanan, seorang bukan Muslim, Hisham ibn `Amr al-`Amiriy tidak sampai hati menyaksikan kezaliman yang ditimpakan ke atas saudara-saudara sebangsanya. Beliau nekad melanggar larangan Quraysh demi simpatinya terhadap umat Islam yang kelaparan. Setiap malam, setelah semua orang tidur nyenyak Hisham menghantarkan bekalan makanan sebanyak yang terdaya dibawa oleh seekor himarnya. Nama Hisham ibn `Amr al-`Amiriy abadi dalam sejarah sebagai orang bukan Muslim yang berjasa besar meringankan derita umat Islam ketika tidak ada orang yang sanggup melakukannya. (Khalid, `Amr, 2006:70)

Tahaluf siyasiy dalam konteks masyarakat majmuk yang mengamalkan demokrasi elektoral tentunya akan membawa kepada pembahasan isu pengangkatan calon bukan Islam sebagai wakil rakyat. Dalam kaitan ini al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawiy mengatakan bahawa isu pengangkatan wakil rakyat tidak sampai dan tidak termasuk dalam bab imarah atau wilayah. Wakil rakyat bukan amir, bukan wazir dan bukan juga wali. Ia hanya mewakili sejumlah warga di kawasan tertentu. Tugasnya hanya menyuarakan kepentingan rakyat yang diwakilinya, kalau pun ikut menggubal undang-undang, ia tidak melibatkan hukum-hakam agama yang dinaskan secara muhkam. (Al- Qaradawiy, Yusuf, 1999: 194-195).

Seandainya pengangkatan mereka sebagai wakil rakyat akan berhujung dengan pelantikan mereka sebagai menteri sekalipun, ia tidak menjadi isu, kerana pada zaman tamadun Islam dahulu pun, para ulama mengharuskan pelantikan orang bukan Islam (ahl al-dhimmah) sebagai menteri pelaksana (wazir al-tanfidh). Sejarah mencatatkan ramai orang bukan Islam yang menjadi menteri dalam kerajaan Abbasiyah, dan tidak ada bantahan ulama terhadap mereka. Memberikan kepercayaan dengan tanggungjawab tertentu kepada orang bukan Islam yang memang boleh dipercaya tidak perlu dipermasalahkan. Jika lelaki Muslim boleh mengahwini wanita bukan Muslim kitabiyyah, bukankah itu juga bererti mempercayakan tugas pengurusan rumahtangga dan tanggungjawab keibuan kepada orang bukan Islam?

Sebagai sesama warganegara, hak dan tanggungjawab -- Muslim dan bukan Muslim - - pada asasnya adalah sama. Demikianlah ketetapan yang berasaskan prinsip: lahum ma lana, wa `alayhim ma `alayna (mereka berhak mendapat apa yang kita dapat, dan mereka memikul tanggungjawab yang sama kita pikul). Agama memang tidak menghalang memberikan pelayanan yang baik dan adil kepada warga bukan Muslim, andainya mereka tidak memperlihatkan sikap permusuhan dan penentangan terhadap kaum Muslimin.

Demikianlah yang difirmankan oleh Allah:
Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah Mencintai orang-orang yang berlaku adil. -- al-Mumtahanah:8.

Merujuk ayat tersebut al-Shaykh Yusuf al-Qaradawiy menyebut bahawa berbuat baik dan berlaku adil terhadap warga bukan Islam sedemikian itu termasuklah pemberian ruang untuk mereka menganggotai majlis-majlis perwakilan. (Al-Qaradawiy, Yusuf, 1999: 195). Dengan semangat ayat tersebut juga kita boleh membuat rumusan bahawa berbuat baik dan berlaku adil terhadap warga bukan Muslim termasuk juga menepati janji untuk saling mendukung dalam kerjasama politik, khususnya dalam pilihan raya. Justeru, menepati janji adalah bahagian daripada tuntutan syara`.

Mengadakan tahaluf siyasiy dengan golongan bukan Muslim bukanlah suatu bid`ah politik yang tidak berdasar. Sebelum diutus membawa risalah Islam Nabi s.`a.w. sudah berpartisipasi dalam Hilf al-fudul, sebuah pakatan di kalangan orang-orang musyrikin Arab untuk menghadang pencerobohan dan melindungi kaum mustad`afin. Sesudah diangkat menjadi Rasul, Junjungan s.`a.w. mengenang peristiwa tersebut dengan penuh rasa penghargaan terhadap pakatan yang bermotif kebaikan itu dengan bersabda, “Andainya sesudah Islam (sekarang ini) aku dipanggil untuk menyertai (pakatan) seperti itu lagi, nescaya aku akan menyahutnya.

Dalam amalan demokrasi di negara ini, ketua kerajaan tidak dipilih secara langsung oleh rakyat menerusi pilihan raya. Pengangkatannya dilakukan menerusi wakil-wakil rakyat di parlimen. Kerana itu pilihan raya umum menjadi sangat penting kerana ia juga terkait dengan pengangkatan orang no.1 negara yang banyak menentukan untung nasib rakyat dan negara. Rakyat tentunya menginginkan negara ini dipimpin oleh tokoh yang bersih, berwibawa dan berkompetensi, bukan sekadar tokoh selebriti politik. Untuk mencapai keinginan tersebut, mengundi dalam pilihan raya umum harus juga didasarkan pada perhitungan memilih wakil yang dapat menjadi saluran terpilihnya ketua kerajaan yang menepati atau yang lebih menghampiri kualiti qawiyyun amin dan hafizun `alim.

Mekanisme Pilihan Raya dan Budaya Politik

Untuk menjayakan demokrasi elektoral kita memerlukan mekanisme pilihan raya yang bersih, cekap dan berkecuali. Mekanisme pilihan raya harus benar-benar mampu menghasilkan pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat untuk rakyat; mekanisme yang dapat menjamin bahawa yang naik adalah yang terbaik. Dengan demikian kemenangan yang diraih oleh seseorang calon atau sesebuah parti, benar-benar jelmaan kemenangan rakyat. Pilihan raya yang bersih akan menggembirakan semua pihak kerana yang menang bukan wang, bukan rasuah, bukan kecurangan dan bukan penipuan, tetapi yang menang adalah demokrasi yang memang diperjuangkan oleh semua.

Dalam kaitan ini kita harus menyuarakan keprihatinan terhadap biaya pilihan raya yang terlalu mahal, sehingga yang selalu menjadi masalah ketika menghadapi pilihan raya adalah soal dana. Pilihan raya yang mahal akan membuka pintu rasuah seluas-luasnya. Ia akan mengundang pelaburan para pemilik dana (kapitalis/korporat/cukong), dan apabila berlaku persekongkolan politik dengan bisnes, bererti kiamatlah moral politik. Justeru, moral politik tidak akan laku di tengah kemeriahan pasar jual-beli undi.

Ketika ini wang seolah-olah sudah menjadi bahasa politik. (tidak ada wang, tidak ada politik!). Wanglah yang menjadi tonggak kekuatan politik, wanglah penentu elektibiliti parti dan akhirnya wang jugalah yang menentukan pemenangnya. Dalam budaya politik korup seperti itu wang dapat membeli segala-gala: suara rakyat, lawan politik, jentera, media dan segalanya. Pilihan raya adalah kesempatan terbaik merebut peluang melabur dalam politik (pilihan raya) untuk mendapat pulangan dalam bentuk projek dan kontrak kerajaan selepas pilihan raya. Budaya politik wang akhirnya akan berakibat terbentuknya kerajaan yang korup. Untuk melindungi kuasa yang korup institusi-institusi penegak undang-undang dilemah dan dilumpuhkan. Itulah yang akan berlaku kepada institusi-institusi seperti kepolisan, kehakiman, jabatan peguam negara, SPRM, SPR dan lain-lainnya. Demikianlah transformasi yang akan terjadi, dari agen penegak keadilan dan ketertiban menjadi alat melindungi korupsi. Justeru, kekuatan institusi-institusi ini akan mengancam kelangsungan kuasa yang korup.

Apabila politik sudah menjadi sejenis bisnes orang berduit, tertutuplah peluang untuk mendapatkan pemimpin yang baik, bermoral dan berintegriti. Para pelabur tidak akan mendanai pemimpin yang kuat dan pro-rakyat, sebaliknya mereka akan membiayai “pemimpin” tajaan mereka sendiri yang nanti akan dapat mereka kuasai. Ini bukan mimpi, tetapi realiti yang telahpun terjadi. Fenomena penguasaan orang bisnes ke atas ahli-ahli politik inilah yang diungkapkan oleh Noreena Hertz dalam bukunya, The Silent Takeover: Global Capitalism and the Death of Democracy. Beliau mengatakan, Politicians are increasingly seen as impotent, irrelevant, and dishonest. People see their government as unable to deliver what they promise, obsessed with unimportant issues and internal politicking, riddled with corruption, clinging to outmoded notions of authority, and increasingly in the pockets of business people. The distinction between incompetence and dishonesty is becoming blurred as, in country after country, senior politicians are discovered to have engaged in corrupt practices. (Hertz, Noreena, 2003: 121)

Dalam budaya politik yang dikuasai oleh duit, mereka yang tidak mahu menjadi calon tajaan kaum berduit harus menyingkir meskipun berkualiti dan berpotensi menjadi pemimpin yang baik. Tidak kurang memprihatinkan adalah gejala politik kekerasan. Demokrasi seharusnya menjadi pentas adu kekuatan idea, bukan otot dan lengan. Politik samseng adalah pengkhianatan terhadap prinsip dan nilai demokrasi elektoral. Politik adu kekuatan fizikal adalah amalan masyarakat yang tidak bertamadun. Parti-parti politik yang menjunjung prinsip dan nilai demokratik seharusnya mampu membina massa demokrat yang menghormati aturan main yang bersih dan beradab. Yang pertama dan utama adalah memenangkan demokrasi itu sendiri. Manusia demokrat tulen tidak akan sanggup mencederai demokrasi atau melukai warga pengamal demokrasi, semata-mata kerana ingin memenangkan diri dan kelompok sendiri. Rakyat yang setia kepada nilai dan norma demokrasi harus tegas menolak politik kekerasan, termasuk politik mengancam, mengugut, menakut-nakutkan dan lain-lainnya.

Perjuangan menegakkan demokrasi tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan pencerdasan dan pemberdayaan rakyat. Justeru, demokrasi hanya akan punya erti jika rakyat memiliki kekuatan daya fikir dan keberanian bersikap. Para pendukung demokrasi harus siap melawan pembodohan dan pemiskinan. Politik yang didukung golongan yang bodoh dan miskin akan mengekalkan kebodohan dan kemiskinan. Bagi mereka warganegara yang efektif, cerdas, kritis dan tidak bergantung adalah bahaya yang akan menggugat kekuasaan yang sewenang-wenang. Memang survival penguasa yang zalim selamanya bergantung pada kebodohan dan kemiskinan rakyat. Rakyat yang miskin dan yang bodoh selalu mengundi atas pertimbangan kepentingan peribadi dan habuan jangka pendek yang bersifat kebendaan, bukan atas pertimbangan jangka panjang yang bersifat public virtues, kebaikan bersama atau maslahah `ammah.

Gerakan Islam dan Misi Demokratisasi

Gerakan Islam yang setia pada misi taghyir al-munkar, merubah kemungkaran (rasuah, fitnah, kezaliman, penindasan, pemborosan dan yang sejenisnya), harus menggunakan hak demokratiknya mengundi dalam pilihan raya dengan niat suci melaksanakan amanat  Nabi s.`a.w., “Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia merubahnya…” Gerakan Islam tidak seharusnya menjadi alat mempertahankan kebobrokan. Merelakan diri diperalat untuk motif sedemikian itu adalah suatu penodaan terhadap kemurnian risalah dan sekaligus pengkhianatan terhadap idealisme perjuangan kader-kader Islamis.

Gerakan Islam juga turut memikul tanggungjawab meratakan pendidikan demokrasi. Rakyat harus disedarkan bahawa demokrasi adalah prinsip, nilai dan mekanisme yang perlu di pelajari, difahami dan dihayati secara murni dan konsisten. Demokrasi bukan sekadar pilihan raya, yang dilaksanakan asal jadi, atau asal ada. Yang dituntut bukan pilihan raya asal-asalan, tetapi pilihan raya yang bersih, adil dan efisien. Rakyat perlu lebih kritis terhadap SPR agar institusi tersebut menjadi lebih berwibawa, berintegriti dan bermaruah sebagai badan pelaksana yang berkecuali dan adil. Rakyat perlu dididik dengan budaya politik yang sihat menerusi semangat persaingan fa ‘stabiqu ‘l-khayrat, penegakan moral politik dan seterusnya penolakan terhadap politik fitnah, politik wang dan politik curang.

KAU INI BAGAIMANA
ATAU
AKU HARUS BAGAIMANA

Kau ini bagaimana?

Kau bilang aku merdeka, kau pilihkan untukku segalanya
Kau suruh aku berpikir, aku berpikir kau tuduh aku kapir

Aku harus bagaimana?

Kau bilang bergeraklah, aku bergerak kau curigai
Kau bilang jangan banyak tingkah, aku diam saja kau waspadai

Kau ini bagaimana?
Kau suruh aku pegang prinsip, aku memegang prinsip kau tuduh aku kaku
Kau suruh aku toleran, kau bilang aku plin-plan

Aku harus bagaimana?
Kau suruh aku maju, aku maju kau srimpung kakiku
Kau suruh aku bekerja, aku bekerja kau ganggu aku

Kau ini bagaimana?
Kau suruh aku taqwa, khutbah keagamaanmu membuat aku sakit jiwa
Kau suruh aku mengikutimu, langkahmu tak jelas arahnya

Aku harus bagaimana?
Kau suruh aku menghormati hukum, kebijaksanaanmu menyepelekannya
Kau suruh aku berdisiplin, kau menyontohkan yang lain

Aku harus bagaimana?
Kau bilang Tuhan sangat dekat, kau sendiri memanggilnya dengan pengeras suara tiap saat
Kau bilang kau suka damai, kau ajak aku setiap hari bertikai

Aku harus bagaimana?
Kau suruh aku membangun, aku membangun kau merusaknya
kau suruh aku menabung, aku menabung kau menghabiskannya

Kau ini bagaimana?
Kau suruh aku menggarap sawah, sawahku kau tanami rumah-rumah
Kau bilang aku harus punya rumah, aku punya rumah kau meratakannya dengan tanah

Kau ini bagaimana?
Aku kau larang berjudi, permainan spekulasimu menjadi-jadi
Aku kau suruh bertanggungjawab, kau sendiri terus berucap wallahu a`lam bissawab

Kau ini bagaimana?
Kau suruh aku jujur, aku jujur kau tipu aku
Kau suruh aku sabar, aku sabar kau injak tengkukku

Aku harus bagaimana?
Kau suruh aku memilihmu sebagai wakilku, sudah kupilih kau bertindak semaumu
Kau bilang kau selalu memikirkanku, aku sapa saja kau merasa terganggu

Kau ini bagaimana?
Kau bilang bicaralah, aku bicara kau bilang aku ceriwis
Kau bilang jangan banyak bicara, aku bungkam kau tuduh aku apatis

Aku harus bagaimana?
Kau bilang kritiklah, aku kritik kau marah
Kau bilang cari alternatifnya, aku kasih alternatif kau bilang jangan mendikte saja

Kau ini bagaimana?
Aku bilang terserah kau, kau tidak mahu
Aku bilang terserah kita, kau tak suka
Aku bilang terserah aku, kau memakiku

Kau ini bagaimana?

(K.H.A.Mustofa Bisri, 1987)

Rujukan:

Al-Mawardiy, Abu al-Hasan `Aliy ibn Muhammad ibn Habib. t. t. Al-Ahkam al- Sultaniyyah wa al-Wilayat al-Diniyyah. Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah.
Al-Mu`askariy, Abu Ahmad Muhammad Balqard ibn Ahmad. 2005. Mafhum al- Hizbiyyat al-Siyasiyyah wa hukmuha fi al-Islam. Al-Jaza’ir: Dar al- Khalduniyyah.
Al-Qaradawiy, Yusuf. 1999. Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam. Kaherah: Dar al-Shuruq.
George, Cherian. 2012. Freedom from the Press: Journalism and State Power in Singapore. Singapore: NUS Press
Hertz, Noreena. 2003. The Silent Takeover: Global Capitalism and the Death of Democracy. New York: Harper Business.
Khalid, Amr. 2006. `Ala Khuta ‘l-Habib S.`A.W. Beirut: Al-Dar al-`Arabiyyah li al- `Ulum.