Model politik lain adalah model
Nabi Musa a.s. Pendekatannya bukan partisipatif tetapi berkonfrontasi. Dia
berlawan dengan Fir’aun. Memang Musa a.s. diperintahkan untuk berdakwah kepada
Fir’aun agar menerima tawhid.
Fira’aun telah keterlaluan dalam
politik kekuasaannya – dia lupa diri. Dia tidak anggap dirinya sebagai pemegang
amanah memerintah tetapi menggelar dirinya Tuhan. Dia menguasai ekonomi dan
rakyat jelata. Bukankah perbendaraan dan
seluruh jentera Mesir kepunyaanku? Bukankah Sungai Nil yang mnegalir di bawah
kekuasaanku. Aku kuasai ekononi dan pertanian semuanya.
Rakyat jelata Mesir pula
diperbodohkan oleh Fir'aun. Rakyat yang tolol-tolol ini pula patuh kepadanya. Rakyat yang
telah rosak dan parah– kauman fasiqin sehingga tiada kebaikan
pun tersisa. Kerana itu Musa dengan pertolongan Harun a.s. diperintah pergi
berdakwah kepada Fir’aun. Musa a.s. mempunyai kelemahan mengungkap kata-kata, lalu
inginkan Harun bersamanya kerana dia lebih petah, lebih artikulatif.
Jadi pemimpin harus diberi hak
memilih siapa yang dikehendakinya menjadi pembantunya. Permohonan Musa a.s. kepada
Allah swt diizinkan. Oleh itu, hormatilah pemimpin dalam kemahuannya untuk menentukan
siapa yang didampinginya.
Memang Rasul a.s. mengajak kepada
tawhid. Tetapi mengajak kepada tawhid saja tanpa gerakan pembebasan belum
cukup. Fir’aun dituntut bertaubat, takut kepada Allah swt dan membebaskan Bani
Isra’il. Itulah tuntutan Musa a.s. ke atas Fir’aun.
Fir’aun menyembelih anak-anak
lelaki Bani Isra’il. Dia sembelih semua orang yang bersikap jantan. Sehingga
tidak ada lagi anak jantan di kalangan Bani Isra’il.
Anak jantan
mati di gelanggang
Tidurnya di
puncak gelombang
Makannya di
tebing panjang
Ertinya orang ini mati melawan,
tidur pun tak menentu akibat gelora perjuangan dan makan pun tidak menentu apa
dan bilanya.
Musa ditakdirkan berada pada
waktu akta zalim Fir’aun berkuatkuasa iaitu pembunuhan semua anak lelaki Bani
Isra’il. Tetapi dia melawan akta itu. Bukan senang untuk melahirkan Musa a.s.
Pengkisahan ibunya menghanyutkannya sehinggalah Musa a.s. membesar di istana.
Segagah-gagah Fir’aun masih mendengar cakap isterinya yang mengendung anak yang
dipungut dari Sungai Nil itu. Kalau orang lain, semuanya hancur tanpa ampun
tetapi isterinya dikecualikan daripada akta.
Apa hikmah Musa a.s. hidup di istana – untuk mengenali dan
mengetahui selok belok, lembah dan lurah Fir’aun dan mereka sekelilingnya.
Tetapi Musa tidak tenggelam dalam kemewahan Fir’aun. Dia tidak terpisah dengan
Bani Isra’il. Apabila dilihatnya seorang Qibti membuli seorang Bani Isra’il,
dia campur tangan. Biarpun dia di istana – tembok istana Fir’aun tidak
memisahkannya daripada rakyat kecil yang tertindas. Dia tidak “out of touch” . Musa a.s. tahu kekuatan dan kelemahan
pemerintahan Fir’aun kerana sekian lama dia berada di istana yang nanti akan sangat
bermakna.
Pengajarannya adalah gerakan Islam akan ambil manfaat jika ada
orang yang pernah berada di situasi seperti itu, mengetahui gelagat, perangai
dan kelemahan sehingga dia tidak takut menghadapi mereka kerana dia sekian lama
berada dalam suasana itu.
Misi Musa a.s. adalah shahadah dan pembebasan Mesir
daripada cengkaman Fir’aun dan budaya kefir’aunan.
Untuk membebaskan diri, mereka perlu berpindah – berhijrah. Dakwah menyeru
kepada tawhid sebagai dakwah rasul diganding dengan gerakan pembebasan rakyat
daripada taghut – kepalsuan. Merdeka
rakyat adalah sebahagian daripada perjuangan tawhid.
Fir’aun memecahbelah rakyat. Polisi dan dasar Fira’uan
adalah pecah belah di bawah slogan – kaum ini jangan berbaik dengan kaum lain.
Dia menindas satu kaum selumat-lumatnya – kaum ni tidak langsung ditoleransi, iaitu
Bani Isra’il yang ramai bilangannya. Dengan sebab itu kaum ini ditindas begitu
rupa. Inilah kaum yang paling berpotensi untuk mecabar Firaun. Yang kecil-kecil
dimanja-manjakan – yang tak jadi cabaran diberi segala macam bantuan.
Model-model politik yang dibentangkan ini bukanlah suatu
ijtihad. Ia hanya pembacaan buku-buku yang ada yang diungkap, dirumus dan
diolah apa yang dibaca. Pembacaan terdiri daripada bahan-bahan fiqh klasik dan
fiqh kontemporari.