Keadilan dan Mematuhi Syara’
Apa yang kita ketengahkan adalah
isu pemenjaraan sahabat kita bukan tentang pensabitan kesalahannya. Kita
mengenali sahabat kita sejak awal 60-an. Selama itulah dia telah ditekan ke penjara
atas idealisme perjuangannya sehinggalah sekarang. Sosok sahabat kita sebenarnya
telah lama cuba dipenjarakan oleh kezaliman sejak zaman perjuangannya di kampus
lagi. Jadi setiap percubaan memenjarakannya adalah rantaian episod perjuangan
sejak awal hinggalah sekarang. Cuma sekarang dia tidak lagi segagah dahulu.
Sakit belakangnya sudah mula terasa. Sebab itu keluarganya memohon layanan sebagai
seorang saingan politik bukan seperti seorang penjenayah tetapi tidak
diendahkan.
Ramai kenalan-kenalannya telah mengkisahkan
hubungan mereka dengannya sebagai sahabat, pengikut-pemimpin, murid-guru,
staf-majikan – mereka menyatakan bahawa sahabat kita dikenali konsisten sebagai
pejuang kebenaran dan keadilan sejak 1960-70an. Dia dikenali sebagai pemimpin
yang diterima oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama, faktur pemersatu politik
baru dengan prinsip dan idealisme, mempunyai pegangan prinsip moral dan akhlak
yang tinggj, menjadi ikon dan harapan masa depan generasi muda, disegani,
dihormati dan ditakuti oleh kawan dan lawan. Semoga penyaksian mereka sebagai
murid, sahabat, pengikut dan staf dapat membantu meredakan tohmah dan fitnah
yang melanda.
Jika ditanya mengapa kita tidak
menerima hukumannya, kita katakan tidak mungkin atas kredibilitinya untuk
sanggup melakukan nya, sedang kita sendiri yang jauh lebih rendah nilai
perjuangan pun tidak sanggup melakukan perbuatan tersebut. Rakan karib
seperjuangan mengulangi dengan tegas sebagai seorang Muslim, “Usah ditanya
bila, dimana dan bagaimana dia melakukannya selagi tidak ada dakwaan secara
syarie. Jika ditanya kepada saya, adakah saya percaya sahabat kita
melakukannya? Jawapannya adalah tidak, kerana dia jauh lebih baik daripada
saya..jauh lebih baik...sangat baik kerana kami telah lama bersahabat sehingga
kini.”
Tidak ada keadilan undang-undang pada
tuduhan berkenaan melainkan dengan kaedah hukum syarak, mendatangkan saksi yang
dipercayai. Selagi tidak dibuktikan bersalah secara syarak, maka dia tidak
bersalah. Mereka telah sanggup mendatangkan saksi-saksi palsu, maka layaklah
bagi mereka gelaran fasik dan kesaksian mereka tidak diterima selama-lamanya. Prinsip
perundangan adalah beban pembuktian kepada penuduh, bukan kepada yang dituduh.
Sesungguhnya ini adalah
konspirasi golongan pengecut. Kebaculan dan kepengecutan mereka adalah kerana
mereka tidak mampu menyaingi sahabat kita secara berdepan.
Inilah golongan al sufahaa’ السفهاء (orang-orang bodoh).
Yang mereka pestakan itu ialah kebodohan mereka sendiri, meraikan keruntuhan
sistem kehakiman. Sahabat kita berdepan dengan golongan al sufahaa’ yang berpesta
dengan kehancuran semua institusi dan prinsip keadilan - iaitu prinsip
perjuangan teras para rasul a.s.
Ketahuilah bahawa teras ajaran
para Rasul a.s. adalah keadilan. Seperti firman Allah Surah Al-Hadid, 25:
"Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa
bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan
bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan,
supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi
dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi
bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia
menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya
ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya
itu untuk) menegak dan mempertahankan ugama Allah serta menolong Rasul-rasulNya,
padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha
Kuat, lagi Maha Kuasa"
Ada golongan السفهاء yang memutlakkan
keputusan mahkamah. Padahal keputusan yang mutlak hanyalah mahkamah Allah
s.w.t. di mahsyar nanti. Nabi s.a.w. sendiri tidak memutlakkan penghakimannya kerana
kebimbangan tersilap dan masuk neraka.
Antaranya Nabi s.a.w. bersabda
(mahfumnya) :
Aku mungkin sahaja tersilap dalam menentukan keputusan mengadili di antara
kamu. Kerana mungkin yang seorang lebih bijak berkata-kata sehingga aku
memberikan dia yang bukan haknya. Tetapi ingatlah sesiapa yang mengambil yang
bukan haknya, maka kelak baginya azab yang pedih dihari pembalasan..."
Kepetahan hujah boleh menghalang
keadilan seseorang dan inilah peringatan
Rasulullah SAW ketika baginda diminta untuk menghakimi pertikaian umatnya.
Rasulullah s.a.w. mengingatkan dengan tegas bahawa, "Aku manusia biasa
seperti kalian (innama ana basyar..).”
Baginda juga mengingatkan bahawa akan ada kelak satu pihak yang lebih petah
berbicara daripada pihak satu yang lain, dan jika kepetahan itu membuatkan hak
seorang lagi dirampas secara tidak adil dan dizalimi, baginda telah
mengingatkan bahawa orang itu telah mendapat qit'ah minan naar (sepotong api neraka).
Apa mesej baginda sebenarnya?
Bahawa baginda tidak pernah memutlaqkan penghakiman yang dibuat dan
mengingatkan dengan tegas bahawa baginda juga seorang manusia dan isu menzalimi
orang lain ini memang neraka tempatnya.
Siapalah hakim mahkamah dunia
berbanding Rasulullah saw?
Pada kes pertikaian seorang Yahudi
vs Saidina Ali, oleh kerana tak dapat dibuktikan dengan jelas, maka perisai tersebut
diputuskan menjadi milik Yahudi. Hukumannya bukan disebabkan saksi yang “credible”.
Dalam sejarah telah pernah
berlaku kesalahan dalam menjatuhkan hukuman. Seorang Amir dihukum berpuasa
berturut-turut. Padahal sepatutnya hukuman mengikut urutan pertama membebaskan
hamba, kemudian bagi makan 60 orang miskin dan akhirnya barulah berpuasa dua
bulan berturut-turut. Keputusan hukum ini dikritik dan disanggah oleh ramai
ulama’ selepas itu.
Kebebasan sebelum Syariah (الحُرِّية
قبل الشريعة ) menunjukkan kebebasan
adalah sangat penting dalam Islam. Dalam Islam kebebasan adalah segala-galanya;
adalah berdosa besar kalau disekat kebebasan. Solat pun mesti di dalam keadaan
bebas.
Siapa yang kalah dalam episod ini?
Dalam peristiwa Al-Ifk, adakah Sayidatina Aisyah r.a.
yang kalah?
Turun ayat Quran, surah An-Nur,
Ayat 11:
"Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah
segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu
buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka
akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang
yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan
beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat)"
Surah Al Nur mengingatkan tentang
peristiwa Aishah RA yang difitnah dalam peristiwa fitnah paling dahsyat dalam
sejarah Islam.
Barangkali kita akan bertanya
siapakah yang menang dalam kes ini? Apakah Aisyah r.a. merasa kalah apabila
difitnah. Adakah keluarga Rasulullah SAW menjadi kalah apabila menjadi sasaran
fitnah? Tidak, Aisyah tidak pernah kalah malah seluruh keluarga khususnya
Aisyah r.a. telah menuai pahala melalui peristiwa ini.
Ulama membahaskan apakah
faedahnya bagi keluarga Rasulullah apabila lebih sebulan Aisyah r.a. terpaksa
berhadapan dengan fitnah oleh golongan munafiq. Kesimpulannya, Aisyah r.a. sedang
menanam benih-benih pahala dan ganjaran daripada Allah s.w.t. Itulah selayaknya
kemuliaan dan darjat Sayidatina Áísyah r.a. di sisi Allah.
Para Ulama’ mengatakan bahawa di antara
kebaikan peristiwa ini adalah:-
i) Sayidatina Aisyah r.a. sedang dan
telah menuai pahala
ii) Telah terdedahnya belang
mereka sendiri (membongkar muslihat munafiqin dan para konspirator) kepada
seluruh dunia
Kisah ini juga mengajak kita
sebagai mukmin untuk terus bersangka baik dengan seorang mukmin yang lain
sebagaimana panduan Surah Al Nur. Dalam Surah tersebut kita sudah diajar untuk
terus bersangka baik dengan bersikap " Zannal
mu'minin wal mu'minaat bianfusihim khayra" (orang-orang yang beriman -
lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka
sendiri) dan apabila sampai berita bohong itu hendaklah kita mengatakan" hadha ifkun mubin" (ini adalah
tuduhan dusta yang nyata).
Semasa peristiwa tersebut,
seluruh Madinah telah bergossip dan
mengata tentang peribadi Aishah r.a. Ada suatu kisah perbualan suami isteri
yang masyhur dan memperlihatkan bagaimana mereka menyikapi peristiwa ini.
Ketika suaminya pulang ke rumah, suami telah bertanya kepada isterinya:-
S: Adakah kamu percaya Safwan Bin Mu'attal melakukannya?
I: Tidak, aku tidak percaya kerana Safwan lebih baik daripada kamu!
S: Bagaimana pula Aisyah, adakah kamu percaya dia melakukannya?
I: Tidak, kerana aku yakin Aisyah lebih baik daripada aku.
Oleh itu kita mesti bersangka
baik bahawa sahabat kita tidak melakukan perbuatan yang keji itu. Itulah yang
diajarkan kepada kita seperti diterangkan di dalam Surah An-Nur.
Mudah-mudahan sahabat kita sedang
menuai pahala.
Jauhi Qazaf
Ini pula amaran bagi mereka yang terikut-ikut
sama menuduh. Orang lain yang turut menuduh, maka mereka perlu membawa 4 orang saksi.
Jika tidak, mereka terlibat dalam jenayah qazaf. Mereka ini pasti - confirmed fasiq menurut Al-Quran. Kesaksian mereka tidak
boleh diterima buat selama-lamanya.
Mereka yang suka benda buruk
tersebar sepertimana digambarkan pada Surah An-Nur ayat 19:-
"Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk
dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang
tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui
(segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)"
Al Quran mengingatkan lagi
tentang masyarakat yang turut meragui dan terus terusan percaya kepada fitnah
itu kerana menyangka bahawa perkara itu kecil, padahal Allah s.w.t. telah beri
amaran bahawa perkara itu adalah sangat besar dosanya. Sikap yang sepatutnya
apabila mendengar berita sebegitu, segeralah berkata "tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini, Maha suci Engkau (Ya
Allah) ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan" (Al Nur : 15)
Ambillah iktibar daripada Surah Al
Nur dan bagaimana Allah s.w.t. mengingatkan kita sikap apabila berdepan dengan
berita bohong. Allah s.w.t. mengingatkan supaya jangan kita sangka berita buruk
itu buruk untuk kita, tetapi Allah s.w.t. telah berjanji, "bal hua kahyrul lakum" (bahkan ia
baik untuk kamu).
Allah s.w.t. juga mengajar kita
apabila mendengar berita bohong hendaklah kita mengucapkan " Ma yakunu lanaan natakallam bihaza,
subhanaka haza buhtanun 'azim" (Tidak pantas bagi kita
membicarakannya, Maha Suci Allah, ini adalah kebohongan yang besar).
Sumpah
Kenapa sahabat kita tidak
bersumpah. Di dalam surah An-Nur, tidak disebut pun keperluan bersumpah. Sayidatina
Aisyah r.a. juga tidak bersumpah dengan al-Quran pada peristiwa "Hadith Al-Ifk". Ini menunjukkan di dalam sejarah Islam, pada peristiwa
ifk, peristiwa fitnah terbesar di
alami keluarga Nabi s.a.w., apabila Sayidatina Aishah r.a. difitnah membuat hubungan
dengan Safwan r.a., dia tidak pernah bersumpah laknat.
Sahabat kita pernah bertanya kepada
mufti samada perlu bersumpah atau tidak. Mufti menasihatkannya semasa itu
bahawa sahabat kita adalah seorang pemimpin dan dia tidak sepatutnya mengikut
orang jahil. Di dalam kes jenayah (melainkan kes tuduhan zina antara suami
isteri...di dalam kes begini pun sumpah untuk fasakh dan bukannya utk
menjatuhkan hukuman), sumpah bukanlah cara pembuktian yang diterima syarak. Begitulah
pandangan ulama’ yang dihormati.
Apa pilihan kita?
Apa saja pilihan yang ada
berusahalah. Jika pengampunan pemerintah sekalipun, boleh diusahakan dengan
syarat tidak menjejaskan maruahnya kerana dia bukan orang yang bersalah.
Kita buatlah apa saja yang boleh
membahagiakan sahabat kita kerana dia sudah lama menderita.
Perjuangan menegakkan keadilan
dan kebenaran harus diteruskan, pencerahan dan pencerahan umat digiatkan agar rakyat lebih faham.
Takdir dan Tangisan
Ada golongan yang khianati amanat al da’wah dan mereka yang
berpemikiran serong menyeru dengan seolah-olah meraikan supaya diterima saja hukuman
sebagai takdir keburukan. Apakah mereka semuanya telah menganut faham
jabbariyah? Bukankan kita bergerak daripada qadr Allah kepada qadr Allah
seperti disantuni oleh Úmar al Khattab r.a. sewaktu menangani wabak di Sham.
Ambillah iktibar kisah Nabi Yusuf
a.s. memilih penjara daripada berada bebas di luar walaupun di tuduh dan di
dakwa secara hina demi menjaga keimanan dan kehormatannya. Bacaannya adalah
bukan kerana Tuhan menghinanya maka dihumban ke penjara kerana jika ini
telahannya, sesungguhnya ini adalah bacaan yang dangkal.
Kita marah pun kerana menentang
kezaliman dan inginkan keadilan. Kita sedih pun bukan tanda kecewa tetapi
sebahagian rahmah kerana tangisan untuk sahabat adalah doa. Mesej bertulis
seorang ‘alim yang juga sahabat karibnya kepada sahabat kita yang berada dalam
penjara pada tahun-tahun terdahulu:
"Jangan dikesali qadr (takdir) Ilahi. Tangisan sahabatmu adalah doa."
Sekali lagi kita amati pesanan pimpinan
bahawa dalam usia sahabat kita yang lanjut dan terpenjara, buatlah apa saja yang
boleh dilakukan oleh para sahabat supaya membahagiakannya dalam apa cara
sekalipun.
Semoga Allah s.w.t. memberikan petunjuk dan pertolongannya.