IDEALISME PERJUANGAN
"Saya dibesarkan pada zaman
transformasi sosial hebat di mana berlaku cetusan ledakan idea-idea dan
peristiwa-peristiwa berbetulan serta bertindan dengan aktivisme mahasiswa,
kebangkitan agama dan pergolakan politik. Saya tidak rela berada selaku
pemerhati sahaja, bahkan saya memilih untuk menjadi ahli yang berpartisipasi
aktif. Saya muncul daripada semua ini dengan berkeyakinan bahawa sementara
pilihan hidup secara bertafakur, berfikir dan bertapa menyendiri boleh
menyegarkan dan melazatkan minda dan jiwa, tetapi hidup bertafakur digandingkan
pula dengan gerak tindakan dan pupuk persaudaraan lebih memugarkan aktualisasi
diri. Saya tidak menyesali jalan yang ditempohi kerana jejak laluan ini telah membawa
saya mengalami dan menghayati kehidupan cukup mencabar dan penuh bermakna bagi
saya. Dan di ruang lingkup inilah saya
akan terus berperanan secara aktif dan menyertai dengan seutuhnya bagi
merealisasikan cita-cita dan matlamat hidup yang lebih tinggi."
1. ASAS PAKSI PERJUANGAN
“Kita harus mengingatkan diri
kita supaya kembali kepada kepada asas - asas paksi perjuangan - latihan
intensif, pendidikan dan pengisian serba mencakupi dan galakkan untuk berwacana
dan berbahas - membicarakan isu-isu kontemporari. Berilah ruang seluas dan
secukupnya untuk percambahan fikiran, pemekaran dan penghasilan idea, pemikiran
dan maklumat. Kita tekankan sekali lagi, Nahdah Islamiyyah tidak bererti tanpa
intisari pendidikan, tanpa tarbiyyah. “
2. PRINSIP NAHDAH ISLAMIYYAH
“Nahdah Islamiyyah memerlukan
tajdid (pembaharuan) and islah (reform). Sebelum kita berbicara tentang
perubahan, inilah hakikatnya dan intisarinya, kesedaran dimeratakan, usaha
menyampaikan kefahaman. Jika tidak mempunyai intisari ini, kita tidak akan
mampu membawa perubahan - dan kita tidak akan berjaya merubah atau mengnyahkan
diktator-diktator. Perlu ada seruan dan anjuran kepada kebaiikan dan pencegahan
kemungkaran. Berpegang teguh dan mematuhi arkan
al Islam (rukun Islam) and arkan al
iman (rukun iman) semestinya dengan istiqamah dan tidak goyah. Inilah
tradisi intelektual.”
3. PEMIMPIN MUNCUL DARI TRADISI
ILMU DAN PENDIDIKAN
“Nahdah Islamiyyah memerlukan
dipupuk dan dibina pendidikan Islam yang kuat. Sepertimana kita sebut tentang Salahuddin dalam
pertarungannya dengan Eropah di bawah naungan tentera Richard the Lionheart.
Sultan Salahuddin al Ayyubi yang hebat itu adalah suatu contoh teladan terbaik
kepimpinan umat. Perubahan tidak akan berlaku jika tiada usaha-usaha persediaan
dilakukan melalui pemerataan pendidikan, kesedaran awam dan disiplin tinggi.
Pengalaman Salahuddin melakarkan riwayat bersejarah - kecenderungan dan trend
untuk perubahan - untuk islah dan tajdid. Kekuatan Salahuddin al Ayyubi datang
daripada tradisi ilmu yang subur berkembang di rantau itu. Salahudin tidak akan
muncul sekiranya tidak ada tradisi keilmuwan,
da’wah and tarbiyyah di seluruh negeri
Iraq pada era itu. Kesedaran dan kebangkitan itu datang daripada
pendidikan yang mantap.”
4. ILMU DAN TAWADU’
“Kita ingin untuk menawarkan
wacana intelektual yang mendalam, untuk bersikap lebih toleransi dan lebih
berpandangan terbuka. Kita tidak boleh mengekang pengajian kita sebab kita
hidup di dalam dunia yang majmuk budaya. Para pengkritik saya menuduh saya
terlalu liberal dan plural. Tetapi intipati, hakikat dan rujukan masih Qur’an
dan Sunnah. Jika sesuatu itu jelas bercanggah dengan rujukan pedoman asasi ini,
kita akur dan menerima tegurannya.”
5. NAHDAH DAN TRADISI AKLIAH
“Nahdah Islamiyyah mengandungi
intelektualisme yang gigih dan rancak, merangsang komitmen untuk kembali
merujuk prinsip-prinsip asas Qur’an and
Sunnah. Kita mengalaminya dan merujuk kepada ini dalam usrah-usrah dan
tamrin-tamrin - bukan dogmatik dan bukan macam Taliban.
Taliban dulu adalah
pelajar-pelajar yang terdidik di madrasah-madrasah – pengalaman madrasah yang
khusus dan tersendiri itu bererti pematuhan ketat dan berpandangan tegar.
Mereka berada di dalam keadaan terlalu eksklusif dan selalu terbiasa melihat
kepada musuh - dan kurang memperkemaskan tatakelola dan keadilan.
Itulah sebabnya tradisi akliah
juga mustahak (seperti disarankan Naqib al Attas dan lain-lain) – kerana
tanpanya, tidak akan menjadi unsur cerapan Nahdah Islamiyyah.”
6. PRASYARAT PERUBAHAN
“Kita perlu pergi kepada
asas-asas kefahaman da’wah dan menimba ilmu, bagaimana berubah, dalam pembina
peribadi atau syakhsiah. Kita perlu
menganjurkan peri pentingnya tatakelola baik - good governance, bagi membawa negara-negara supaya menjauhi korupsi
dan despotisme - kediktatoran. Perubahan bukan semata-mata semudah menurunkan
pemimpin, ketua negara, PM atau diktator tetapi perubahan adalah dengan reform
total – keadilan dan aturan menurut maqasid
syariah – keutamaan sistem keadilan.”
7. MENGHORMATI ULAMA
“Ulama yang tulen dan sejati
mendapat penghormatan tertinggi kita kerana mereka berbakti dengan jiwa raga
mereka di jalan perjuangan Islam dan keadilan. Mereka tidak takut kecuali
kepada Allah s.w.t. Kita sebutkan ulama tulen kerana ada yang digelar ‘ulama’
atau menganggap diri mereka sebagai ‘ulama’
tetapi apabila diuji, ternyata bahawa mereka ini lebih takut kepada
manusia daripada takut kepada Allah s.w.t.
Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan
bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang
sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat
serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian)
tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana. (Qur’an ‘ali Imran 3:18)
Mereka yang disebutkan sebagai
orang-orang berilmu adalah ulama sejati kerana mereka bukan sahaja ‘ulul ‘ilmi’ malah ‘qaa-imambilqisti’."
8. PESANAN KEPADA ANAK ANAK MUDA
“Kita harus berpesan kepada
anak-anak muda supaya merenungi dan meneliti firman Allah swt dalam surah
al-Kahfi, ayat 13-14. Mereka anak muda
punya tenaga, punya semangat membara. Mereka tidak rela melihat kerosakan dan
kebobrokan yang tidak bertanggungjawab oleh para penguasa.
“Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan
sebenar-benarnya. sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada
Rabb mereka, dan kami tambahkan lagi hidayah (petunjuk) kepada mereka. Dan kami
teguhkan hati mereka tatkala mereka berdiri (menghadap raja yang zalim), ‘Rabb kami
ialah Rabb pentadbir langit dan bumi, dan kami tidak memohon kepada selain Dia.
Sesungguhnya, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan
perkataan yang sangat jauh daripada kebenaran’””
9. TRADISI ILMU
“Generasi 70an dan 80an sungguh
luar biasa. Budaya ilmu digarap dan dihidupkan melalui usrah-usrah. Teks dan reference yang digunakan lebih daripada
biasa dikendalikan oleh organisasi lain. Keilmuan inilah yang memperkuatkan
gerakan.
Kita bukan sahaja bina generasi
tetapi membina asas pemikiran akliah, rasional bertunjangkan aqidah Islamiyyah
bagi melahirkan syakhsiah ma’nawiyah. Tradisi ilmu dipupuk dengan mendalami
kitab-kitab klasik berbahasa Arab, karya-karya agong, tulisan ulama-ulama
besar.
Kita biasakan diri dengan
pelbagai karya tafsir Fi Zilal, Ibn Kathir, al Qurtubi. Kita adakan
kupasan-kupasan baik kitab-kitab bahasa Arab ataupun bahasa Inggeris. Contohnya
karya Hasan al Banna, Sayyid Qutb, Mawlana Maududi, juga pemikiran semasa
seperti Sayyid Hosein Nasr, Abu Bakar Sirajuddin, Sayyid Naqib al Attas dan
Freire.”
10. TRADISI ILMU DAN AKTIVISME
ANAK MUDA
“Kepimpinan sewaktu (70’an) itu
memulai tradisi ilmu, berfikir terbuka dan terlepas daripada kerangka pemikiran
yang jumud. Pimpinan-pimpinan muda mampu dan berupaya menggugat gagasan semasa
itu contohnya isu pendidikan, sosial dan perubahan. Nyata walaupun kekuatan dan
penguasaan tidak secanggih hari ini tetapi pada konteks ketika itu ia bermakna
dan ia masih ampuh hasil cetusan generasi muda berusia 20’an.
Pada waktu itu, kita sudah
menunjukkan, mempunyai sikap tuntas, coherent
untuk menghimbau, memberi idea, boleh mempengaruhi pemikiran semasa dan
pemikiran masa depan. Penubuhan UIA, UKM, dasar-dasar pendidikan, kurikulum
bersepadu KBSM, sistem kewangan Islam adalah pengaruh dan kesan generasi muda
zaman itu.”
11. ISLAH
“Apabila ditanya kenapa kita
masih sanggup menjejaki jalan ranjau penuh penderitaan ini dengan segala mehnah
dan fitnah, kita kata, dengan merujuk kepada ungkapan Islah mastata'tu - surah Hud:88 - “Tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami.””
12. MENCARI KEKUATAN
“Apabila ditanya bagaimana
mencari kekuatan dengan dugaan besar yang dihadapinya, kita merujuk kepada
pesanan tok guru dan alim ulama – Tok Guru Nik Aziz, Tuan Guru Hj Salleh, Shaykh
Wahbah al Zuhaili semua berpesan yang sama - supaya berpaut kepada ungkapan Innalladzina qalu rabbunallah (sesungguhnya
orang-orang yang mengatakan, “Tuhan kami ialah Allah”) sebagai pengakuan atas
ketuhanan-Nya dan keesaan-Nya - thummas taqamu (kemudian mereka meneguhkan
pendirian mereka) (Surah al Fushshilat: 30)”
13. PENJARA 1998-2004
“Pada tahun 1974, pertama kalinya
pada September 1974, kerana memperjuangkan masalah kemiskinan Baling, saya
dipenjarakan tetapi keadaan waktu itu tidaklah seteruk. Tetapi kali ini, ia
amat berat bagi saya secara peribadi, merasai kepayahan, penghinaan, sukar
kerana usia dan kedudukan. Saya telah dipukul, ditelangjangkan, dibiarkan
bagaikan se ekor haiwan, dinafikan rawatan. Bagaimana untuk menceritakan
layanan buruk ini? Sukar juga untuk memahami bagaimana boleh sampai begini
jadinya. Saya terpaksa mengharunginya, Azizah dan anak-anak juga terpaksa
mengharunginya. Waktu itu amat mencabar dan sangat getir. Di situlah ABIM
membantu dan menolong, memberikan keyakinan bagi saya.” (Ucapan sempena Muktamar Sanawi ABIM 2005)
14. HIKMAH PENJARA
“Jika ditanya apa erti atau
hikmah ini semua? Alhamdulillah, saya lebih dewasa dan lebih matang. Saya lebih
bertekad untuk berjuang untuk kebebasan, kebenaran dan keadilan, dengan lebih
teguh lagi. Daripada bersantapan di istana, dicampakkan ke kamar, berlumuran
darah, dilayan seperti se ekor anjing, dan saya keluar daripada itu semua
dengan tidak berdendam kerana kita harus terus tetap berbuat sesuatu untuk
membela umat, mengangkat martabat umat di sini atau di mana-mana sahaja.
Kita mengerti makna kebebasan dan
karamah insan. Keazaman lebih gigih. Perjuangan dan prinsip lebih jelas dan
terang. Kita bercakap tentang demokrasi dan kebebasan. Kita bercakap sedangkan
hidup senang dan selesa. Tetapi jika kita bercakap tentang demokrasi dan
kebebasan daripada kehidupan dalam penjara – sudah tentu kita hargai nilai
keluhuran undang-undang.
Prinsip perjuangannya tetap sama
tetapi kita lebih memahami dan menggarap isu-isu. Dan tanpa dendam ke atas
sesiapa. Namun, lebih bersemangat memastikan keadilan tertegak dan dinikmati
oleh semua.”
15. IMAN
“Waktu saya terpenjara itu memang
masa yang susah. Saya tidak pernah membayangkan bahawa sebagai seorang Timbalan
Perdana Menteri sebuah negara demokratik, saya akan dipukul dan disumbat ke
dalam penjara seperti mana penjenayah lain di negara ini. Saya dipisahkan
daripada keluarga dan anak-anak yang
masih sedang membesar tanpa seorang bapa di sisi mereka.
Pada saat-saat kelam itu, iman
yang sentiasa membekalkan sumber harapan dan pasrah bahawa segala kejadian yang
berlaku adalah sebahagian daripada perancangan Allah swt, di mana kita sebagai
manusia kerdil tidak akan mampu mengerti dan kepadaNya kita mesti berserah.
Saya berasa tenang hati apabila menerima surat-surat mendoakan saya dari orang
daripada pelbagai kepercayaan. Sehingga sekarang, saya masih terharu apabila
berjumpa dengan orang-orang dan kumpulan-kumpulan yang menunjukkan belasan
kasihan dan prihatin mereka ke atas diri saya dan keluarga.
Ada hikmah kelebihannya, walaupun
saya tidaklah menyarankan kepada orang lain untuk ke penjara juga, hikmah
membolehkan saya menumpukan masa yang panjang berdhikir mengingati Allah dan
kebesaranNya, kepada bacaan dan hafalan al Qurán serta mengerjakan
ibadat-ibadat sunat di dalam kamar kecil, berbanding jika berada di tampuk
kerajaan. Saya lihat ada sinar harapan, kelebihan yang daripadanya saya
mengambil kekuatan spiritual.”
16. INTEGRITI
“Saya telah menyatakan perihal
ini dengan jelas kepada ahli keluarga saya bahawa tiada seorang pun boleh ada
apa-apa kepentingan, kontrak, saham atau urusan dengan Perbendaharaan, kerana
saya Menteri Kewangan.
Oleh itu, seluruh keluarga
berhimpun pada cuti Eid al Fitr di kampung, bersama dengan ayah saya, sedangkan
abang sulung saya menjadi jurucakap. Dia berkata. “Takkanlah hanya kerana Anwar Menteri Kewangan, kami semua tak boleh
cari sara hidup?” Ini suatu pengalaman yang sungguh berat kerana saya
terpaksa melawan. Azizah pun hadir masa itu. Saya terpaksa berkata, “Maaf banyak-banyak, tetapi keluarga semua
perlu mencari alternatif-alternatif lain. Kalau pun telus, saya tidak bersedia
berhadapan dengan orang ramai kerana mereka akan kata, ‘kamu pun sama korup
macam yang lain’.” Saya tidak bersedia untuk itu dan arahan saya kepada
Bank Negara, kepada Perbendaharaan adalah mereka tidak boleh mendapat apa-apa
pun.
Itulah sebab apabila ada
tuduhan-tuduhan liar berkenaannya, saya katakan, “Wallahul-adhîm,
jika saya dapat satu saham daripada kerajaan selama 8 tahun sebagai Menteri
Kewangan, atau se bidang tanah yang saya ambil untuk diri atau keluarga, ia
adalah haram, dan saya akan dikutuk jika sesiapa mempunyai bukti yang sahih.”
Tetapi alhamdu-lillah, kita bersabar menanganinya.”
17. MASALAH KITA
“Masalah kita adalah apabila kita
bercakap tentang Islam, tentang kerajaan, tentang demokrasi, kita tidak
mengamalkannya. Ini adalah masalah kita
selama ini.”
“Saya di serang dan dipukul di
dalam penjara. Saya dipukul di pusat tahanan Kuala Lumpur semasa Mahathir Menteri Dalam Negeri. Pakar forensik
kerajaan memberi keterangan bahawa pukulan itu bertujuan melumpuh atau
menyebabkan kematian. Adakah sebarang
pendakwaan? Tidak, sehinggalah tekanan media antarabangsa dan kebangkitan
rakyat memaksa ketua polis negara didakwa dan dihukum penjara 1 bulan. Saya
pula dikenakan 6 tahun!
Bukanlah saya ingin berdendam...sudahlah..
kita tinggalkanlah ini. Bukanlah memuaskan hati saya untuk melihat bekas ketua
polis ini menjalani 6 tahun penjara. Saya harap dia bertaubat dan memperbaiki
dirinya. Itu saja. Saya mahu teruskan kehidupan saya tetapi kezaliman ini tidak
boleh berulang. Jikalau saya selaku mantan Timbalan Perdana Menteri boleh
diperlakukan sebegini, bagaimana pula orang miskin gelandangan? Bagaimana
dengan orang kampung? Siapa yang ambil peduli tentang mereka? Inilah hakikat
yang perlu ditegaskan, dititikberatkan.”
19. PESANAN SAHABAT 1982
“Saya kagum dengan sosok
keperibadian, kepimpinan serta ketokohan yang ditonjolkan oleh al marhum Ustaz
Fadzil Noor dan teringat kata-kata kebimbangan yang diucapkan dalam satu
pertemuan panjang.
“’Ya,
ana doakan sebaiknya kerana ana tidak pernah pertikai niat anta dan keupayaan
Anwar. Cuma ana bimbang satu perkara, mereka akan khianati anta.’ kata al
marhum Ustaz Fadzil Noor.””
20. PESANAN SAHABAT 1997
“Sahabat saya, al marhum Ustaz
Fadzil Noor, rakan di sebelah parti pembangkang waktu itu, juga ketua Parti
Islam, apabila saya membawa rang undang-undang anti rasuah ke sidang Parlimen,
dia berbisik kepada saya, “Anwar,
berjaga-jaga, anta melakukan sesuatu yang sangat berani, untuk bawa rang
undang-undang ini.” Dia berkata, “Anta
tentu tahu mereka ini tidak bersedia untuk memperagakan harta kekayaan mereka
kepada peraturan undang-undang.”
Kemudiannya, saya pula yang
didakwa dan dihukum 6 tahun di bawah ordinan darurat atas tuduhan salahguna
kuasa.”
21. PESANAN TOK GURU 1
“Anwar, kamu boleh memaafkan orang yang menzalimi kamu dan orang yang
memukul kamu. Tetapi kamu kena ingat ini jadi pengajaran.
Besok kalau Allah takdirkan kamu perintah, kamu kena ingat apa erti
kezaliman.
Apa erti kezaliman? Apa erti sakit dipukul walaupun kamu tidak
bersalah?
Apa erti kamu dizalimi dan dipenjara, padahal kamu difitnah.
Apa sengsara Azizah dan anak-anak?
Apa erti rasa kamu derita dizalimi bertahun-tahun?
Apa ertinya kezaliman ini?
Apa pengajarannya?
Kamu kena ingat. Ini bukan soal Anwar.”
“Tidak banyak orang lalui macam kamu. Pemangku Perdana Menteri sudah.
Bintang pun sudah penuh. Tetapi ada hikmahnya.”
22. PESANAN TOK GURU 2
"Anwar kamu dah rasa apa itu kemisknan, kamu dah rasa penderitaan, kamu
juga dan rasa betapa sakitnya dipukul. Satu hari nanti, jika Allah takdirkan
kamu berkuasa dan memerintah negara, jangan sekali-kali buat rakyat derita.”
“Kalau ditakdirkan pemimpin maka Anwar kena pastikan jangan ada seorang
pun rakyat Malaysia, Melayu, Cina , India, Dayak, Kadazan yang hadapi dan rasa
sakit derita seperti yang kamu rasa.
Kamu mesti pastikan bila kamu ada kuasa, kamu kenang nasib mereka,
setiap rakyat ini kerana tidak ramai orang yang rasa macam kamu rasa. Rasa
susah derita macam mereka rasa.
Jaga mereka seperti anak-anak kamu sendiri maka inshaa Allah, kamu akan
menjadi pemimpin yang baik.”
23. BICARA SEPANJANG HAYAT
“Ya, saya pernah memikirkan
kesengsaraan jika dipenjara lagi, mengenangkan dulu kena pukul, merasakan
cukuplah, bersara dan lepaskan diri. Bahkan, kita pun menempah hotel-hotel
terbaik di dunia dan asyik menikmati juadah paling enak. Apa lagi yang kita mahu? Adakah ini menjadi
ragam hidup kita sepanjang hayat?
Tetapi bagaimana komitmen kita
kepada rakyat kita? Bagaimana dengan demokrasi di Malaysia dan keluhuran
undang-undang, kehakiman adil, media bebas, semua yang kita pernah bicarakan
sepanjang hidup kita ini?”
24. UNTUK RAKYAT
“Saya ingin memulakan ucapan saya
dengan menegaskan bahawa saya dan rakan-rakan bersedia melakukan apa sahaja
demi untuk membela rakyat. Kami menyokong sebarang inisiatif untuk membantu
rakyat. Ada di antara kami telah masuk penjara, dipukul dan disembur dengan gas
pemedih mata demi memperjuangkan nasib rakyat.”
25. PERPADUAN BUKAN PERKAUMAN
“Prinsip karamah insaniah (kemuliaan insan) dan litaarafu (saling berkenalan) inilah yang menggembeling keyakinan
baru di kalangan umat Melayu dan bumiputera untuk membanteras sikap perkauman
dan membantah sebarang dasar yang meminggirkan golongan lain atas pertimbangan
ras. Justeru itu jangan ada yang mahu menggantikan satu bentuk rasisme dengan
rasisme yang baru, dengan membidas perkauman Umno semata-mata dari perspektif
kepentingan kaum tertentu. Kepada kaum Cina, India, Kadazan, Iban dan Melayu,
ingin saya jelaskan di sini perkauman sempit tidak boleh ditewaskan dengan
perjuangan serta tuntutan perkauman sempit juga.
Jika ini berlaku, maka tidak akan
ada kemajuan dalam perjuangan melawan perkauman. Perjuangan melawan perkauman
hanya akan berjaya jika didorong oleh keadilan sejagat dan kesederhanaan sikap.”
26. PERSAUDARAAN INSAN
“Rakyat Malaysia dari pelbagai
kaum mempunyai moral resources -
khazanah akhlak, yang kaya untuk memerangi fikiran sempit dan perkauman, dan
menggantikannya dengan keadilan sejagat untuk semua, menghapuskan prasangka dan
menyemai benih persaudaraan insaniah. Inilah yang dituntut oleh Saidina Ali Karamallahu Wajhah apabila ditanya
mengenai persaudaraan sesama insan:
Akhukum fil Insaniah (Persaudaraan sesama insan) yang mana turut
bergema dalam tradisi Tamil: ontre kulam
oruvane thevan ( satu jiwa kerana kemanusiaan) dan juga dalam tradisi Cina yang diungkapkan oleh
mahaguru Kung dalam kitab Lun Yu,“si hai
zhi nie jie xiong di” (empat lautan terbentang luas, semua manusia
bersaudara).”
27. BTN
“Kita perlu fokus kepada usaha
memupuk kefahaman, kesedaran awam melalui pendidikan, pengupayaan ekonomi dan
keadilan sosial. Adakalanya, kita semacam terkeliru di antara agenda rasis
Melayu dengan program keadilan Islam. Pada tahun-tahun 70'an PKPIM dan ABIM
diserang oleh BTN khususnya kerana didakwa mesej universal Islam kita bukan
secocok mesej ‘Melayu’. Sebenarnya,
mereka gagal memahami watak Melayu itu sendiri adalah watak Islam. Memadam
Islam daripada watak Melayu akan merendahkan martabatnya kepada watak yang
kontang budaya, bahasa dan keimanan. BTN juga gagal memahami apa itu keadilan
sosial.”
28. PERTUMBUHAN EKONOMI DAN
AKAUNTABILITI
“Saya berhujah, “Tanpa pertumbuhan, kita tidak akan jana
pendapatan. Natijahnya kita hanya mengagihkan kepapaan!”
Jadi, kita sedar kita perlu ada
dan memperkenalkan preskripsi ekonomi dan dasar yang mejanakan kekayaan negara.
Ini bermakna membawa polisi-polisi yang tidak semestinya kita selesa dengannya-
apa lagi dengan banyak kemiskinan dan kesusahan, kita pula memajukan
pertumbuhan, mempromosi bisnes dan pembangunan.
Oleh kerana kita ada perasaan, kita mempunyai masalah yang dirasai,
bagaimana hendak menyelesaikan keruncingan perumahan dan miskin tegar di
tengah-tengah kita?
Kita laksana dasar-dasar yang
menggalakkan pertumbuhan. Tidak ada jalan lain. Untuk laksana polisi
pertumbuhan, kita mesti ada kedaulatan undang-undang. Kedaulatan undang-undang
perlu ditempatkan, berada di posisinya, peraturan-peraturan berjalan, semuanya
telus dan semuanya dipertanggungjawabkan – ada akauntabiliti.”
29. MENGURUS EKONOMI NEGARA
“Bagaimana kita hendak mengajak
berwaspada mengurus pertumbuhan ekonomi yang pesat? Kita gunakan pengkisahan
Sayyidina Yusuf (as) tentang perencanaan 7 tahun menangani kedatangan
kemelesetan tahun-tahun berikutnya. Kita masih ingat, ada rakan-rakan di
Parlimen menyoal dan menyindir tentang apa relevannya ayat Qur’an kepada ekonomi
moden dan pasaran bebas. Kita jawab bahawa tiada jaminan pertumbuhan pesat itu
akan terus berlaku sampai bila-bila, tak kira betapa hebat, bijak atau
bertanggungjawabnya kita ini. Kita perlu bersifat penuh tawadu’ untuk bersedia
menerima peristiwa-peristiwa yang di luar dugaan atau kawalan.
Oleh itu, panduan terbaik adalah
berdasarkan pengalaman Nabi Yusuf a.s. di dalam al Qur’an untuk merancang dan
bersedia. Kita pun menyalurkan
sebahagian lebihan ke dana akaun amanah khas untuk masa depan.
Itulah sebab apabila kita hadapi
ekonomi merudum pada 1997 dan 1998, oleh kerana kita mempunyai surplus, rizab
besar dan dana-dana khas kita mampu
bertahan.”
30. CABARAN MERUBAH PARADIGMA
“Apabila membincangkan
pengurangan cukai, kita merujuk kepada thesis Abd ar-Rahman Ibn Khaldun. Ibn
Khaldun berkata apabila cukai diturunkan orang akan bekerja lebih bersungguh
dan pendidikan akan lebih maju, akhirnya kerajaan menjana pendapatan yang
lebih. Apabila kita selaku Menteri Kewangan sekitar tahun 1993-1994 bercakap
tentang Ibn Khaldun dari abad ke 14 kepada audien, ada loyar-loyar buruk di
kalangan banker dan juruanalisa menyampuk, “Menteri
ini Wahabbi ke apa?” Dengan menyedari kesinisan itu, kita bawa pula
pandangan seorang pujangga Cina kurun lalu yang juga menganjurkan thesis
penurunan cukai yang seumpama. Begitulah betapa sukar untuk lebih terbuka
menampilkan model dan pengajaran di luar kerangka sistem sedia ada untuk
digarap dan difahami.”
“Dengan pertumbuhan 9%, kita
jalankan rancangan perumahan rakyat besar-besaran. Program besar-besaran
pembasmian kemiskinan. Bukan seperti inisiatif kerajaan British yang merupakan
pemberian terus tetapi dasar-dasar yang digubal supaya rakyat bekerja dan
beroleh pendapatan kecualilah mereka warga tua, OKU atau miskin tegar. Kalau
tidak, sentiasa mereka miskin dan memerlukan pemberian.
Waktu itu, keadaan ekonomi dunia
nampak baik. Bermula dengan defisit kecil, kita capai belanjawan berimbang
dalam tempoh 2 tahun. Tahun berikutnya, kita capai lebihan – surplus
belanjawan. Saya terpaksa berurusan dengan pemimpin saya yang ingin berbelanja
besar dengan pembinaan menara-menara tinggi,
projek-projek mega dan pembelian-pembelian mahal, maka saya harus bijak
meletakkan sebahagian dana peruntukan dalam kontingensi bagi masa depan. Kita
namakan akaun amanah untuk generasi masa depan.
Apabila kita ada surplus –
lebihan - kita tambah peruntukan untuk kesihatan dan pendidikan. Jika ada
lebihan, kita simpan untuk generasi masa depan.
Sekarang, setelah saya dipecat, semua dana ini telah lesap digunakan.
Tiada apa pun dalam belanjawan. Sekarang kita hadapi defisit serious melebihi
4% (pada tahun 2005).
Ya, memang saya gusar, kerana
kita telah bekerja keras untuk itu. Dengan pengurusan berhemah, kita boleh ada
simpanan tanpa mengurangkan belanjawan pendidikan dan kesihatan.”
32. INILAH PAKATAN RAKYAT, BUKAN
KADUK NAIK JUNJUNG
“Maka rakyat memberikan dokongan
kepada gagasan Keadilan, DAP dan Pas. Jika kita lihat persiapan jentera
pilihanraya, kerjasama antara parti-parti kita yang masih longgar, dan kita
melihat pula juggernaut – raksasa pilihanraya Umno-BN, dengan propaganda licik
dan penuh fitnah, semua merasa mustahil kita mampu memperoleh kemenangan yang
begitu besar.
Tetapi rakyat memberikan kita
kepercayaan. Maka kita harus insaf dan bersifat tawadhu. Kita memperoleh
kemenangan tersebut bukan kerana kekuatan kita atau jentera parti. Kita di
Dewan Rakyat, di tampuk pemerintahan negeri kerana rakyat memberikan kita
sedikit keyakinan. Kita jangan sekali jadi seperti kaduk naik junjung.
Maka kita jangan mengkhianati
kepercayaan tersebut. Kita perlu yakin
dengan kebijaksanaan rakyat. Meskipun mereka dihujani dengan propaganda
murahan, dan mereka disekat dengan pelbagai instrumen pemerintahan, tetapi bila
tiba saatnya, rakyat akan membuat pilihan dan penentuan yang benar dan adil.”
“Pakatan Rakyat, bukan sekadar
sebagai gabungan parti-parti politik, tetapi juga sebagai gerakan politik. Pakatan Rakyat is not merely a political
alliance, it is first and foremost a political movement.
Perjuangan yang kita bawa ini
bukan milik parti-parti politik semata-mata. Agenda perubahan, agenda reformasi
yang kita bawa turut menjadi milik lembaga swadaya masyarakat (NGO), blogger,
pemikir, penyair dan seniman.
Dengan kepercayaan rakyat yang kita perolehi kita kini berada di
persimpangan zaman. Kita tidak berjuang sekadar untuk mengganti satu kekuasaan
dengan kekuasaan yang lain. Kita tidak berjuang untuk membuat perubahan
runcit-runcitan. Kita berjuang untuk membuat perubahan besar, big change, fundamental change. Semangat
dan hati nurani rakyat menuntut ini dan mendorong kita membuat lompatan yang
jauh. Maka kita perlu ada keberanian kebenaran, the courage of truth, keyakinan terhadap semangat rakyat, faith in the power of the spirit of the
people.”
34. DASAR PAKATAN
“Dasar Pakatan adalah garis besar
perjuangan rakyat. Dasar-dasar ini adalah moral
compass dalam perjuangan politik kita. Pakatan Rakyat akan berlayar jauh,
maka kita perlu ada kesatuan fikrah, kesatuan pemikiran dan sentiasa berada di
garis tengah. Kita perlu mematuhi ethics
of coalition, Etika Pakatan.
Setiap kumpulan punya tuntutannya
sendiri dan mempunyai legitimasi dan keabsahannya. Tetapi kita juga perlu
melihat urutan keutamaan kerana tidak semua tuntutan boleh ditangani dengan
sekaligus. Maka kita tidak boleh melihat tuntutan political constituency
masing-masing tanpa melihat dan mempertimbangkan political constituency rakan-rakan kita. Perlu ada sikap empathy,
keprihatinan terhadap pelbagai sektor dan constituency
rakan –rakan kita.”
35. IDEALISME KEADILAN DAN
PAKATAN RAKYAT
“Perbandingan dengan UMNO/BN
tidak cukup kerana BN/UNMO mewakili sistem yang bobrok dan rosak. Maka sistem
kita, kalau kita ingin katakan kita lebih baik daripada BN, tidak mencukupi.
Kita tidak tertegak kerana kita lebih baik daripada BN. Kita tertegak kerana kita
menjanji, mengikrarkan pembaharuan dan reformasi.”
36. PR: MENANGANI PERBEDAAN DAN
MENGUTAMAKAN INSAN
“Bagaimana untuk mempertahankan
prinsip dalam keadaan perbedaan – a
serious discourse in a coalition of contentious forces. Perbincangan wajar
berlegar bagaimana kebebasan dan keadilan itu diterjemahkan ke dalam kepedulian
ekonomi pasaran - market economy dan
menginsafi derita rakyat. Prinsip kebebasan, pemerkasaan, kemuliaan insan dan
keadilan mesti dipertahankan. Pakatan Rakyat akan hanya relevan jika ada
pembaharuan nilai dan polisi kepada sistem – supaya tiada lagi pembaziran dan
ketirisan – supaya rakyat terbela.
Selepas perubahan, it cannot be
business as usual – bukan urusan cara lazim lagi. Kita memberi peringatan bahawa perjuangan
tidak selesai hanya dengan PR menang.”
37. KESENJANGAN POLITIK
“Kritikan terhadap mana-mana
parti politik adalah tentang kesenjangan – disconnect kerana apa yang diandaikan oleh ahli politik
tidak semestinya menjadi hakikat di bawah, bukan menjadi realiti di lapangan.
Ia tidak mencerminkan hasrat dan aspirasi rakyat. Ini memerlukan satu
perubahan, satu kebangkitan.
Oleh itu, kita harus mempertahankan
tradisi keilmuan dan tarbiyyah.”
38. MEREKA TAK PEDULI
“Dasar pendidikan sedang dihumban
tanpa berunding dengan sesiapa. Bahasa Melayu diremehkan. Kita hairan kenapa
tiada kemarahan dan keprihatinan umat kita. Umat kita sudah lembik. Dengan
memaksa anak-anak Melayu belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris akan
menyebabkan 200,000 orang pelajar Melayu jadi parah. Kesan kepada pelajar Cina
pun buruk. Akibatnya, mutu pelajaran Sains dan Matematik merosot. Tidak ada
perbahasan pun di perhimpunan UMNO. Yang ada isu AP dan itupun kerana ia tidak
diagihkan kepada lebih ramai pimpinan UMNO yang ada.
Kata-kata Imam Shafie r.a. “Kalangan yang sibuk dan ghairah dengan perut
mereka sendiri, nilainya tidak lebih dengan apa yang keluar daripada perut
mereka.””
39. PEMIMPIN DAN KERANGKA BESAR
PERJUANGAN
“Ini kerana, hendak memimpin ini
menuntut kepada sikap yang lebih tegas dan berani. Idealisme yang lebih baik.
Ilmu yang lebih mendalam. Kalau ilmu kita itu mendatar. Jika pidato kita
sepertimana menteri biasa, kita tidak akan mampu memimpin. Kalau pengucapan
bahasa kita cukup hambar, kita tidak akan boleh menonjolkan diri kita lebih
daripada yang lain. Kita tidak dapat mengangkat sebagai contoh atau teladan
baik dari segi bahasa, sahsiah atau keperibadian. Apatah lagi konsep ilmu.
Sebab itu, kita pohon kalau pun
bukan kesemuanya tetapi kita cuba menggarap, menanggapi, menilai dan menangkap
maksud kerangka perjuangan yang lebih besar. Apa maksud kerangka yang lebih
besar? Kalau tidak ada kerangka ini, kita akan terbawa dan terheret dengan
tuntutan semasa.”
40. PEMIMPIN TITANIC
“Peringatan kepada peristiwa
malapetaka kapal Titanic - obsesi dan
keangkuhan dengan pemacuan berkuasa besar,
negara dibawa tanpa tanggungjawab; pemimpin – samada presiden atau perdana
menteri menolak pandangan orang-orang pintar tanpa mempedulikan bahaya dan
bencana. Apabila Titanic tenggelam –atau ekonomi merudum, orang-orang kaya dek
atas yang diselamatkan manakala yang papa di dek bawah dibiarkan saja.”
41. SIAPA TANGGUNG
“Siapa sepatutnya menanggung
bebanan hutang negara – orang kaya atau orang miskin?
Kini semakin hilang percaya
dengan kapitalisme dan persekongkolan golongan kaya raya dengan ahli politik
elit. Ia merupakan kekecewaan dengan penyelewengan ekonomi berasaskan pasaran.
Ekonomi pasaran berjaya mencatat pertumbuhan tetapi tiada keadilan. Apabila
berlaku krisis, yang kaya masih terselamat dan yang miskin terus merempat.”
42. PENJARA AUTOKRAT
“Pemimpin diktator sering percaya
bahawa cara paling berkesan untuk menangani pembangkang adalah dengan
memenjarakan mereka. Tetapi sepanjang sejarah menunjukkan bahawa langkah ini
hanya memakan diri.”
43. ORANG TAHU SIAPA CURI
“Saya teringat yang kawan saya
dulu sumbat saya ke dalam penjara dan yang lawan saya dulu tolong bela saya.
Saya tidak ada niat untuk dera mereka (yang menzalimi saya). Saya tidak ada
niat untuk berdendam. Mahathir tangkap
saya, tetapi saya tidak akan tangkap dia. Rahim Noor memukul saya tetapi saya
tidak akan memukul dia. Saya tidak ada niat.
Tetapi saya ingin bagitahu bahawa
duit yang mereka curi dari rakyat berbilion ringgit, saya hendak pastikan
dikembalikan kepada rakyat.
Jadi pemimpin kena berani. Berani
untuk membetulkan. Orang tahu siapa curi, siapa rasuah, siapa ambil harta
negara. Ini kena dihentikan.”
44. MEDIA BARU
“Media baru menjadi landasan
strategi komunikasi pembangkang. Kita perlu aktif online dan mencipta cara-cara
inovatif untuk sampai kepada konstituensi di dalam talian atau di luar talian
bagi mengimbangi ketempangan maklumat
demi menandingi TV dan suratkhabar yang dikontrol kerajaan. Penyampaian kita
kepada generasi baru rakyat Malaysia pada umumnya akan berlaku melalui teknologi.
Tetapi saya tidak percaya bahawa
teknologi adalah penawar - penyelesaian kepada segala-galanya. Memang teknologi
merubah haluan politik dan polisi di seluruh dunia tetapi kumpulan-kumpulan
ektremis juga mengeksploitasinya. Barangsiapa yang bakal meraih keuntungan
daripada teknologi ini bergantung kepada dua perkara – pelakuan strategi yang koheren
dan kualiti mesej yang dibawa. Maklumat akan bergerak pantas dengan apa cara
sekali pun jika ada permintaan untuk kandungan isinya.”
“Permusuhan terhadap Islam dalam
sejarah menunjukkan ia seiring dengan anti
Semitism – permusuhan yang disuburkan di dalam sungai yang sama, kata
intelektual tersohor Edward Said. Islamophobia adalah bahaya yang tersembunyi.
Ia adalah rasisme yang amat mudarat - racism
with steroids - rasisme diransang hormon. Islamophobia adalah percubaan
untuk mengasingkan dan mengnyahkan orang
Islam daripada ruang awam, kehidupan khalayak,
daripada ekonomi, daripada politik.
Tasawur Islam, penyertaan dan konsep ditolak secara bulat-bulat.”
46. JIKA TANPA PERUBAHAN
‘’Perdebatan demokrasi bukan
teori. Ia lahir daripada hasrat hati kita menginginkan maruah dan kehormatan
serta fitrah naluri yang mengidamkan kemajuan insan dan kelangsungan hidup.
Setiap hari yang berlalu tanpa perubahan, menyaksikan derita semalaman lagi
tahanan politik merengkok di penjara bersendirian; seorang lagi nyawa terkorban
kerana lapar dan wabak akibat terabai dan deprivasi; satu lagi kesempatan orang
korup merompak berjuta dari perbendaharaan negara.
Perdebatannya adalah tentang
baiah rakyat dengan kerajaan, tentang tatakelola tadbir urus dan akauntabiliti.
Kita tolak keangkuhan kuasa, gelagat mainan badan-badan perisikan dan penggantungan
hak asasi kebebasan.”
47. FITRAH UNIVERSAL
“Cahaya yang akan bersinar
menyahkan gelap kezaliman adalah keterlibatan – engagement, apabila dilakukan gigih dengan penuh keberanian dan
keyakinan. Kita mesti tolak meminggir orang semata-mata kerana pegangan politik
mereka. Kita mesti memastikan institusi-institusi demokratik berdiri teguh
mengakomodasi spektrum politik selebar-lebarnya merai pelbagai perspektif dan
kecenderungan.
Barat tidak boleh memandang ulama
tradisional sebagai penentang kebebasan atau demokrasi. Banyak ulama telah
berjuang untuk kebebasan dan keadilan, dan banyak pula di kalangan mereka yang telah
membayar harga yang mahal.
Adalah suatu kesilapan jika hanya
memilih untuk libatserta dengan golongan
liberal manakala mengkesampingkan pemimpin-pemimpin yang mendapat
kepercayaan ramai. Cabaran kita adalah untuk keterlibatan yang
selebar-lebarnya, tanpa mengkompromi komitmen kita kepada kebebasan dan demokrasi.
Kesimpulannya adalah fitrah
manusia itu universal, ingin bebas dan
menjalani hidup bermaruah; sangat gusar terhadap kuku besi dan kezaliman. Ini
adalah keghairahan semangat yang mendorong bukan sahaja umat Islam tetapi umat
manusia semua tamaddun.”
48. PRASYARAT DEMOKRASI
BERPERLEMBAGAAN
“Menurut setengah pihak, tata
politik sekular adalah prasyarat kepada demokrasi berperlembagaan. Tetapi
pengalaman di Mesir di bawah Nasserisme, Iraq di bawah Baathisme dan Indonesia
di bawah Suharto dulu yang terang-terangan sekular namun tidak menjelmakan
demokrasi berperlembagaan, bahkan menjadi ramuan tirani. Adalah lebih tepat jika dikatakan bahawa demokrasi
berperlembagaan tidak akan mengakar di dalam masyarakat, samada sekular atau
Islamik, tanpa komitmen tegas dan mendalam pihak elit politik untuk melindungi
hak-hak asasi semua orang.”
49. PENGALAMAN TURKI
“Usaha yang Turki telah lakukan
dalam mengemudi ke arah “konsensus baru” menyerlahkan negara itu sebagai
demokrasi yang segar dan matang. Ia dilakukan di dalam kerangka demokratik bagi
memenuhi aspirasi mengulangi sejarah gemilang warisan budayanya. Turki ingin mematangkan
lagi amalan demokrasinya di samping mengekalkan identiti Islamnya. Kerajaan Erdogan
mempunyai mandat demokratik daripada rakyatnya.
Tekun dan cekal kepada pegangan
politiknya, sosok Erdogan menunjukkan kualiti yang diperlukan bagi memajukan
reformasi demokratik dan keadilan sosial.
Di bawah kepimpinannya, sekularisme (tebal di Turki) tidak lagi dilihat
sebagai “penentang agama” tetapi dianggap sebagai prinsip asas saksama tanpa berpihak dan toleransi kepada
kemajmukan agama. Pada pemikiran saya, jika sebuah negara demokratik Muslim
ingin meletakkan had kepada kuasa kerajaan ke atas hak individu , ini adalah
seiring dengan keperluan demokrasi berperlembagaan.”
50. KUASA DAN TATAKELOLA
“Pemilik kuasa akan terpedaya
jika menganggap kuasa itu suatu kesucian. Dengan kebijaksanaannya untuk
bermuhasabah, Khalifah Umar Abdul Aziz melantik hisbah bagi mengawasi
tingkahlaku dirinya sendiri. Umar
berhujah kepada pengawas-pengawasnya: “Pemerintah lazimnya melantik orang bagi
mengawasi rakyat jelata. Aku melantik kamu supaya mengawasi aku dan tingkahlaku
aku.”
“Keupayaan
manusia untuk menegakkan keadilan memungkinkan demokrasi, tetapi kecenderungan
manusia untuk melakukan ketidakadilan menjadikan demokrasi wajib” – Ahli
theologi Christian Reinhold Niebuhr.
Selaku menteri kewangan dulu,
saya sebutkan kebijaksanaan menegur sebagai semakan dan kawalan ke atas godaan
kuasa yang mengajak kepada kesombongan, lalai dan berpura-pura. Kritikan terhadap
bermegah-megahan adalah perlu bagi memastikan alat-alat dan institusi-institusi
negara demokratik terhindar daripada godaan menggunakan kaedah-kaedah yang melanggar undang-undang, yang menyebabkan
kezaliman dan menindas pandangan-pandangan
berbeda serta menginjak-injak
pembangkang.
Bukan saja kita perlu menolak
mengaitkan kuasa dengan kesucian tetapi kemasyhuran itu mesti diiringi
kepedulian ke atas mereka yang merana angkara manusia lain yang tidak berperi
kemanusiaan.
Impiannya bukan hanya untuk
pembebasan manusia bahkan supaya tatakelola beretika. Tanpa tatakelola beretika
semua perjuangan sia-sia dan tidak bererti."