AHMAD AZAM ABD RAHMAH: ISLAM DAN
KEAMANAN SEJAGAT: IDEAL DAN REALITI, MODEL AL ANDALUS DAN AL UTHMANIYYAH
LATAR SEJARAH
Sepintas lalu, ada tiga tarikh
bersejarah era moden yang besar impak kepada nasib umat Islam. Mei 19, 1916 termeterai
perjanjian Sykes Picot Agreement oleh
Inggeris dan Perancis dengan dokongan Rusia yang menyaksikan kejatuhan dan
pembahagian khilafah Uthmaniyah serta percambahan kelahiran negara-negara
nasionalis kecil. Pengiystiharan Balfour
Declaration pada November 2, 1917 adalah pernyataan sokongan Inggeris kepada
projek Zionis dan mereka memperakukan tanah air Yahudi di bumi Palestin, yang membawa era dominasi Zionis yang gemar
berperang dan bencana keganasan Israel, sengketa dan kesengsaraan yang tidak
berkesudahan di dunia Arab. Mac 3, 1924 tarikh rasmi pemansuhan khilafah Uthmaniyah
menandakan kebangkitan sekularisme dan hegemoni penguasaan Barat ke atas dunia
Islam.
Ringkasnya, dengan kejatuhan khilafah, hegemoni Zionis memerintah
dengan memenuhi hasrat idamannya, ketuanan Barat bermaharajalela tanpa sebarang
cabaran atau penentangan daripada sebarang kuasa di dunia Islam. Negara-negara Islam ditakluk, ditundukkan dan dijajah.
Begitulah imperialisme Barat yang wewenang tanpa sekatan dibantu pula oleh
rempuhan Zionis yang agresif terus mengancam keamanan dunia zaman ke zaman.
KINI
Itulah sejarah dan sejarah
mempunyai banyak pengajaran. Bagaimana pula keadaan kita masakini?
Ada 1.7 bilion penduduk Muslim, menyamai
23.4 % populasi dunia. Terdapat 25 juta penduduk Muslim di negara-negara Barat.
Namun, naratif dan wacana tentang Islam dan orang Islam dirujuk kepada
asas-asas yang palsu dan berprasangka buruk.
Prejudis ini menjadi bertambah
teruk selepas September 11, 2001 apabila menurut laporan media, sekumpulan
kecil orang yang beragama Is;am, menyerang World Trade Centre di New York yang menatijahkan
serta mencipta “Terorisme Islam” sehingga tertonjol ke seluruh pelusuk.
MEMERANGI TEROR
Dengan apa yang disifatkan oleh
ramai masa ini sebagai alasan berperang, War
on Terror - “Memerangi Teror” telah diiystiharkan sendiri oleh Amerika Syarikat
dengan melepaskan ‘jentera-jentera pembunuhan’ mereka ke atas negara-negara
berdaulat bermula dengan serangan dan
penaklukan ke atas Afghanistan (7 October 2001), Iraq (20 Mac 2003) dan kehancuran
Libya (19 Mac 2011). Dengan sokongan NATO, peperangan diiystiharkan dan
negara-negara Islam ini diserang dan ditewaskan. Saddam Hussein dihukum bunuh
di taligantung di depan khalayak rakyatnya. Muammar Gaddafi pula dibunuh secara
kejam dalam keadaan penuh kontroversi.
Anehnya, “Memerangi Teror” telah
menghasilkan dan mensasarkan banyak kumpulan-kumpulan yang kabur dan tidak
pernah dikenali sebelum ini, kumpulan-kumpulan Jihadi yang muncul, bergerak dan berselindung di bawah pelbagai
nama-nama licik. Al Qaeda dilaporkan dipimpin oleh Usama bin Laden. Taliban di Afghanistan. Kemudian
tampil Shabab, Boko Haram, Abu Sayyaf dan beberapa variasi nama-nama gerombolan
teroris. Paling jahat adalah ISIL atau adakah namanya ISIS – Islamic State of Iraq and Syria, lalu berubah
namanya menjadi IS atau Dawlah Islam. Apabila umat Islam membantah salahguna
istilah “Dawlah Islam” kerana mengelirukan, maka Barack Obama dan John Kerry memilih
slanga Arab “Daesh” yang masih merujuk
kepada Dawlah Islamiyyah fi ‘l Iraq was
sh Sham.
Orang yang serious menekuni dan
aktif secara akrab dengan aktivis Islamis seluruh dunia amat terkejut dan
hairan dengan pertumbuhan pesat pelampau-pelampau militan dan teroris tidak
berhati perut yang tidak dikenali langsung sebelum ini. Perkembangan kelam dan
jahat ini pasti bertujuan membunuh psikologi Islamis sejati dan menumpaskan semangat
tulen jihad. Pameran durjana dan gambaran menyayatkan tentang ungkapan Shahadah, La ila ha illal Lah Muhammad
ur Rasulullah oleh teroris mengguris fikiran dan jiwa Muslim dan Non Muslim.
Distorsi jelek mengibarkan lambang khataman
nabiyyin pada bendera-bendera hitam sewaktu melakukan aksi ganas dan brutal
meninggalkan bekas mendalam ke atas sanubari dan memberi kesan psikologi parah
serta parut yang buruk kepada ingatan dan minda banyak golongan muda.
Kuasa Keras dan Kuasa Halus
Banyak di kalangan penganalisis
politik, cendekiawan dan pemerhati beranggapan “Memerangi Teror” hanya sebagai
“Peperangan ke atas Islam” tanpa memerlukan pengisytiharan perang. Islam diperhatikan
diserang daripada segenap sudut melalui penggunaan strategi kuasa keras dan
kuasa halus. Kuasa keras melalui perang dan serangan fizikal semata-mata untuk
menumpaskan orang Islam supaya tunduk dan menyerah kalah. Sementara kuasa halus
menggunakan taktik senyap-senyap, psikologi dan kawalan minda melalui propaganda agresif perang saraf dan diplomasi gigih.
Joseph Nye daripada Harvard
University menulis dalam bukunya, Soft
Power: The Means to Success in World Politics merakamkan kata-kata Robert
Gates, Setiausaha Pertahanan US waktu itu, membayangkan penggunaan kuasa halus
dalam diplomasi dunia dengan ungkapan, a
dramatic increase in spending on civilian instruments of national security –
diplomacy; strategic communications, foreign assistance, civic action, and
economic reconstruction and development – pertambahan mendadak perbelanjaan
ke atas instrumen-instrumen awam keselamatan negara – iaitu diplomasi;
komunikasi strategik, bantuan kepada negara asing, tindakan sivik, dan
pembangunan ekonomi serta pembangunan.
Kuasa halus mensasarkan minda dan
psikolgi golongan muda. Bagi menambat hati dan menawan minda golongan muda
Arab, TV satelit sangat berkesan. Carnes Lord di dalam buku “Public Diplomacy and Soft Power” menulis
Satellite TV is actively promoting
American soft power in the Arab world in ways that the United States had been
incapable of doing. The launch of the Arabic language al Hurra channel in early
2004 to provide news in more ways beneficial to the US marked an important
turning point in US public policy development – "TV satelit sedang aktif
mempromosi kuasa halus Amerika kepada dunia Arab dengan cara-cara yang Amerika
tidak mampu melakukannya sebelum ini. Pelancaran saluran bahasa Arab al Hurra
awal 2004 bagi menyiarkan berita-berita
memihak dan bermanfaat kepada Amerika menandakan titik perubahan penting
dalam dasar pembangunan awam US."
Islamophobia
Impak terbesar “Memerangi Teror”
adalah terhadap imej Islam. Islam digambarkan dengan penuh ketakutan dan
ancaman. Islam sering dipamerkan sebagai misogynistic
- pembenci perempuan – menindas wanita, menganggap wanita sebagai manusia lebih
rendah untuk diperhambakan kepada lelaki dan cerita resam khitan mencacatkan
wanita berulangkali dicanang. Islam dituduh sebagai pembenci agama dan
kepercayaan lain, berhasrat memajukan undang-undang shariah yang lapok, gasar
dan tidak berperikemanusiaan. Islam dikutuk sebagai penganjur keganasan dan
terorisme atas nama Jihad. Mitos menjadi realiti maya di dalam dunia para
pembenci Islam - the world of
Islamophobes.
Sebagai bandingan, Barat
dipamerkan sebagai bertamaddun tinggi, moden, ditabdir menurut hukum, menikmati
kesaksamaan, kebebasan dan keadilan. Barat diterjahkan sebagai model umat Islam
mesti turuti. Namun dunia dengan mudah melupakan dan mengabaikan berjuta orang
pelarian yang sengsara dan terlantar
tanpa pertolongan di merata dunia akibat langsung agenda “Memerangi Keganasan”.
Mereka adalah orang yang tidak berdosa merempat mencari perlindungan,
mendambakan maruah dihormati dan kehidupan yang baik. Barat memberikan respon dingin
dengan menutup sempadan dan menaikkan pagar-pagar berduri berceracak.
Bilangan mereka yang terkorban
kian bertambah dibunuh melalui bom-bom sembarangan dan dron kawalan jauh tanpa
fikir. Kehilangan nyawa, kemusnahan dan malapetaka ini semua dipersalahkan ke
atas pejuang jihad, mujahidin dan
Islam. Manakala Barat adalah penyelamat manusia yang gagah perkasa dan
pelindung kemanusiaan.
Jika kita ambil peduli dan
mengkaji secara objektif sejarah dunia apabila umat Islam memerintah sebelum
kedatangan dan era penjajahan Barat,
kita akan merasa kagum dengan agama Islam yang telah berperanan besar memastikan
keamanan dan kestabilan, memekarkan tamadun segar bugar serta dinamik
berabad-abad lamanya. Tamadun Andalusia yang hebat, pengalaman Islam Sepanyol telah
membidankan dan melahirkan Zaman Pencerahan Eropah pada abad ke 17.
La Convivencia (Kehidupan
Bersama) di Al Andalusia (711 – 1492)
Beberapa abad apabila Sepanyol
Zaman Pertengahan diperintah oleh Moors (orang Islam), penganut Judaisme, Kristianiti dan Islam hidup bersama
dengan aman damai. La Convivencia merujuk
kepada kehidupan bersama ini dan inklusiviti. Selama 400 tahun, ilmu
pengetahuan dan amalan kerohanian subur berkembang di bandar-bandar Toledo,
Cordoba and Granada menyaksikan para pelajar dan guru-guru pelbagai disiplin
berinteraksi, menolong satu sama lain mempelajari, menterjemah, menelaah dan
memahami ajaran-ajaran lama.
Dihujahkan bahawa faktor-faktor
politik paling mempengaruhi dan memudahkan proses Convivencia. Terdapat dua
orang tokoh politik penting berada di kalangan pemerintah tertinggi kerajaan
Islam Al Andalus abad ke 10 yang memberikan impak besar kepada kelahiran
kehidupan bersama yang cukup bermakna. Abd al Rahman III (912-961) melaksanakan
dasarnya mendamaikan dan menyatupadukan Barbar, Arab, Yahudi dan Kristian yang
ada dalam populasi Ibero-Hispanic. Dia bekerjasama rapat dengan kaum Mozarab, orang
Kristian yang tinggal di bawah pemerintahan Islam. Yahudi dan Kristian bebas mengamalkan
agama mereka tanpa merasa takut kepada gangguan atau penindasan. Abd al Rahman
III menggilirkan jawatan-jawatan di dalam kerajaan dan meletakkan bekas-bekas
hamba Yahudi dan Kristian pada posisi-posisi berkuasa.
Hasdai ibn Shapmut merupakan
wazir berbangsa Yahudi kepada Abd al Rahman III. Dia dan Abd al Rahman III mempunyai
matlamat yang seiring iaitu menganjak masyarakat Yahudi dan Muslim daripada
pemusatan Timur dan memajukan ketrampilan intelektual dan keagamaan. Ini
membawa mereka mencipta struktur pendidikan yang menggalakkan pengajian
filosofi Yunani, terutama karya-karya Aristotle yang diterjemahkan kepada
pelbagai bahasa. Pengolahan politik ini membawa manifestasi sosial – orang
Yahudi berkongsi bahasa vernakular Arab dan Romawi bersama Muslim dan Kristian.
Lantaran permulaan ini membawa kepada penyatuan sosial ketiga-tiga komuniti di
semenanjung itu. (Sarah Mac Thomas, The
Convivencia in Islamic Spain)
Akbar S Ahmed menulis, “We need to put Muslim Spain in the
perspective of medieval Europe. At the time London and Paris were small towns.
There was no notable art or literature or libraries or debate anywhere in
Europe. Here, in contrast, was a sophisticated and powerful civilization with
clear notions of harmony involving race and religion. Ideas of debate, love of
poetry, cleanliness and baths were pervasive. Plato and Aristotle were
discussed here.
The intermingling of race and religion in Muslim Spain produced a rich
and dynamic culture. Intermarriage between Jews, Christians and Muslims
produced many Muslim rulers with fair hair and blue eyes, according to
literature. There were alliances between Muslim and Christian rulers and a
great deal of give and take on all levels.” - "Kita perlu meletakkan Islam
Sepanyol pada kacamata Eropah Zaman Pertengahan. Pada waktu London dan Paris
cuma pekan-pekan kecil. Tidak ada seni kebudayaan atau kesusasteraan atau
perpustakaan ataupun perbahasan di mana-mana pun di Eropah zaman itu. Di sini
(Andalusia) pula terdiri satu peradaban canggih dan tamadun tinggi dengan wawasan jelas tentang kedamaian serta
harmoni di kalangan bangsa dan agama. Idea-idea perdebatan, kecintaan kepada
puisi, kebersihan dan tempat permandian meratai . Wacana Plato dan Aristotle
ada di sini.
Percampuran dan pergaulan di
antara bangsa dan agama di Islam Sepanyol melahirkan budaya yang kaya dan
dinamik. Perkahwinan silang di antara Yahudi, Kristian dan Muslim melahirkan
banyak pemimpin yang berambut perang dan bermata biru, menurut pembacaan.
Termeterai pakatan di antara pimpinan Muslim dan Kristian serta banyak berlaku berlapang
dada dan tolak ansur di segenap peringkat." (Akbar S Ahmed, Islam Today, A Short Introduction to the Muslim World)
Kejatuhan Al Andalus, Umat Islam dan Yahudi mencari suaka perlindungan
di Khilafah Uthmaniyyah (Empayar Uthmaniyyah)
Kegemilangan Islam Sepanyol tamat
pada tanggal 2 Januari 1492, apabila raja Muslim terakhir Granada, Sultan
Muhammad XII atau dikenali sebagai Boabdilla menyerah kalah kepada Queen
Isabella I Castille dan Ferdinand II Aragon. Semangat Reconquista memacu dan merasuk Ferdinand dan
Isabella. Hukuman paksaan menganut agama Katolik dikerah ke atas orang Islam
dan Yahudi dengan memberikan mereka pilihan murtad atau dibuang daripada
Sepanyol. Dengan itu semangat La
Convivencia yang telah membawa kegemilangan Sepanyol selama 800 tahun telah
tamat. Sepanyol menjadi negara Katolik secara total.
Orang Islam dan Yahudi yang
enggan murtad memilih untuk berhijrah, menariknya ke Empayar Muslim lain, iaitu
khilafah Uthmaniyyah yang berpusat di Turki.
Rajanya Sultan Bayezid II (1481-1512) sebaik sahaja mendengar tentang
kata putus yang diberi kepada orang Islam dan Yahudi di Sepanyol, mengirim
perutusan diraja atau Ferman dalam
bahasa Uthmaniyyah ke seluruh pelusuk wilayahnya supaya menyambut dan menerima
pelarian-pelarian itu. Pada perutusannya itu, Sultan Bayezid II mengumumkan
kepada pelarian Yahudi bahawa Allah telah memerintahkan supaya menjaga anak
keturunan Nabi Ibrahim dan Nabi Ya’kub a.s., agar memastikan mereka mempunyai
makanan yang cukup dan memberi mereka perlindungan. Mereka dipelawa ke Istanbul
agar hidup dengan aman “di bawah naungan pohon tin” dan mereka bebas untuk
berniaga serta memiliki harta. 250,000 orang
Yahudi berhijrah ke wilayah Uthmaniyyah, kebanyakannya menuju ke Istanbul dan Salonika. Hari ini, negara Turki sekarang
telah menerima 3 juta orang pelarian Syria seperti apa yang disebutkan oleh
Presiden Erdogan sebagai “tetamu”.
Model Al Andalus dan Uthmaniyyah untuk Keamanan Sejagat: Iltizam
Spiritual mematuhi Perintah al Quran
Ini adalah suatu nilai terpenting
dimiliki para pemimpin pengasas al Andalus dan Uthmaniyyah. Al Qur’an membekalkan
kepada mereka petunjuk, pedoman, inspirasi dan motivasi bagi tadbir urus,
keadilan sejagat, keamanan, tasamuh dan harmoni. Keamanan sejagat dan kedamaian
akan hanya di capai apabila nilai-nilai al Quran dipatuhi secara zahir dan
batin. Apabila nilai-nilai ini diabaikan atas apapun alasannya, maka datanglah
keadaan huru-hara, permusuhan dan kacau bilau, menyelinap masuk menjadi barah
kepada empayar sehingga menyebabkan kejatuhannya dan kekalahannya.
Sepintas lalu, jika kita meneliti
ayat-ayat al Qur’an, kita akan dapati:-
Surah al Fatiha mengingatkan
bahawa Allah itu Satu dan Tuhan segala manusia dan alam serta kepada Allah jua
kita sembah, kita memohon pertolongan dan memohon hidayah sepanjang perjalanan
kehidupan ini.
Al Isra: 70 mengingatkan manusia
bahawa kita semua keturunan Nabi Adam a.s. dan manusia dikurniakan Allah dengan
karamah, maruah dan kehormatan.
Al Hujurat: 13 menegaskan bahawa
manusia dijadikan majmuk dan pelbagai supaya saling mengenali satu sama lain
dan bahawa darjat paling tinggi adalah bagi orang yang paling bertaqwa di sisi
Allah.
An Anbiya’: 106-107 membawa mesej
bahawa Rasulullah s.a.w. adalah rahmat kepada seluruh alam.
Al Baqarah: 85 menegaskan agar
kita mematuhi al Qur’an keseluruhannya dan komprehensif.
Ulama’ al Andalus
Suatu faktor penting memajukan
keadilan sejagat dan keamanan global adalah peranan yang dimainkan oleh
pemimpin Islam dan hubungan akrab mereka dengan ulama’. Sultan-sultan terutama pada era pengasas sangat berminat
dalam memupuk budaya ilmu dan pelajaran. Mereka menggalakkan ulama dan
cendekiawan daripada segala ceruk rantau untuk datang mendampingi dan mendiami istana-istana,
kediaman-kediaman atau madrasah-madrasah di persekitaran istana mereka.
Sultan-sultan menghargai hubungan mereka bersama ulama’ dalam mencari petunjuk dan pedoman rohani sementara para ulama’ menyeru kepada ajaran al Qurán
tanpa takut dan tanpa menagih upah.
Penting diperhatikan juga bahawa seorang
‘alim zaman al Andalus adalah juga
seorang ahli filosauf, saintis, ahli shariah, faqih dan guru tasawuf. Para ulama’nya
menguasai kepelbagaian disiplin ilmu merentasi bidang-bidang pengetahuan. Al
Andalus terkenal kerana menghasilkan ramai ulama’ yang dihormati seperti Ibn
Rushd, Ibn Arabi, Ibn Bajjah and Ibn Tufail.
Asas Spiritual Empayar Uthmaniyyah
Asas Empayar Uthmaniyyah berakar
di dalam kerohanian. Telah menjadi resam bahawa semua Sultan-Sultan terdiri
daripada orang yang wara’, tegas mematuhi ajaran al Qur’an. Semua Sultan-
Sultan mempunyai penasihat spiritual dan mereka ini terdiri daripada guru-guru
tasawuf yang hanya takut kepada Allah. Zaman
awal pemerintahan Uthmaniyyah dikurniakan Sultan-Sultan yang takut kepada Allah
dan mereka menghormati alim ulama’, mendampingi serta mempelajari daripada
ulama lalu menuruti nasihat penasihat-penasihat spiritual mereka. Pengasas
Empayar, Osman Ghazi (1299-1326) dikurniakan dengan Shaykh Edebali, seorang
alim yang telah menafsirkan mimpi masyhur Osman Ghazi.
Pada suatu malam, Osman menjadi
tetamu di dergah Edebali. Osman bermimpi. Tiba pagi, dia pergi bertemu Edebali
dan memberitahunya, “Wahai Shaykh, aku
lihat kamu di dalam mimpi aku. Bulan muncul di dada kamu. Ia naik dan naik ke
atas dan kemudiannya turun ke dada aku. Daripada
pusat aku tumbuh sepohon pokok. Pokok ini tumbuh dan bercambah lebat hinggakan
bayang ranting-rantingnya melitupi seluruh bumi. Apa maksud mimpi aku ini?”
Setelah berdiam diri sejenak, Edebali
menafsirkan: “Tahniah Osman! Allah Azza wa Jalla mengurniakan kerajaan kepada
kamu dan keturunan kamu. Anak perempuan aku akan menjadi isterimu, dan seluruh
dunia akan nerada di bawah naungan pelrindungan anak-anakmu.”
Mimpi Osman tegar mencerminkan
penubuhan Empayar Uthmaniyyah. Mimpi Osman menjadi bahan sastera penting bagi
ulama’ Uthmaniyyah.
Keturunan Osman Ghazi mengikuti
jejak langkahnya dengan Sultan Murad II mempunyai Haci Bayram Veli sebagai
penasihat dan Sultan Mehmet II – al Fatih, pembuka Constantinople mempunyai Ak
Semsettin Hoca membimbingnya secara spiritual.
Keperibadian Spiritual Sultan-Sultan Uthmaniyyah dan Tentera mereka
menawan hati Kristian
Kejayaan dan pengembangan pantas
Empayar Uthmaniyyah melebar ke dalam wilayah Kristian Eropah bukanlah
semata-mata dengan pedang seperti yang sering disebut. Sebaliknya, kejayaan ini
datang daripada contoh teladan terserlah kepasrahan dan kepatuhan padu kepada
ajaran al Qur’an. Orang rela menerima pemerintahan Uthmaniyyah dan
sebahagiannya memeluk Islam kerana sahsiah Islamiah yang terpancar daripada
budi pekerti Sultan-Sultan Uthmaniyyah dan tentera-tentera mereka.
Thomas W Arnold menulis di dalam The Spread of Islam in the World – A History
of Peaceful Preaching (1896), “Even
in the dirt of alcoran you shall find jewels of Christian virtues; and indeed
if Christians will but diligently read and observe the Laws and Histories of
the Mahometans (followers of Muhammad), they may blush to see how zealous they
are in the works of devotion, piety and charity, how devout, cleanly, and reverend
in their Mosques, how obedient to their Priest (Imam), that even the great Turk
(Sultan) himself will attempt nothing without consulting his Mufti; how careful
are they to observe their hours of prayer five times a day wherever they are,
or however employed? How constant do they observe their fasting from morning
till night a whole month together; how loving and charitable the Muslemans
(Muslims) are to each other, and how careful of strangers may be seen by their
Hospitals, both for the Poor and for Travellers; if we observe their Justice,
Temperance, and other moral Virtues, we may truly blush at our own coldness,
both in devotion and charity, at our injustice, intemperance, and oppression;
doubtless these Men (Muslims) will rise up in judgement against us; surely
their devotion, piety and works of mercy are main causes of the growth of
Mahometism (Islam).”
- "Hatta pada debu al Qur’an, kamu
akan menemui permata-permata bernilai budi Kristian; dan sesungguhnya jika
orang Kristian membaca dengan tekun dan memerhatikan undang-undang dan kisah sejarah
umat Islam, mereka akan berasa malu kerana melihat betapa tekunnya umat Islam
di dalam menjalankan ibadah, ketaqwaan dan bersadaqah, betapa salih, bersih dan
tertibnya mereka di dalam masjid-masjid, betapa mereka mentaati imam-imam
mereka, sehingga Sultan pun tidak akan bertindak melainkan setelah merujuk
kepada muftinya; betapa cermat mereka menjaga waktu-waktu solat fardu lima kali
sehari walau di mana mereka berada, atau ketika mana mereka melakukan sebarang
kerja; betapa teguh mereka menunaikan ibadah puasa dari subuh sehingga ke malam
selama satu bulan bersama-sama; betapa belas kasih mengasihani dan bermurah
hati mereka bersadaqah sesama Muslim, betapa baik tetamu dilayani di
hospital-hospital, tempat-tempat persinggahan bagi orang miskin dan si musafir;
jika kita menyaksikan keadilan, kesederhanaan dan nilai-nilai akhlak lain
mereka, kita akan berasa malu dengan kedinginan kita, pada ibadah dan sadaqah
kita, pada kezaliman kita, sikap keterlaluan kita dan penindasan kita; tidak
syak lagi mereka (umat Islam) akan bangkit menghukum kita; sesungguhnya kepasrahan
mereka, ketaqwaan dan amalan menyebarkan rahmah adalah penyebab utama
kebangkitan Islam."
PENUTUP
Bagi menggarap dan memahami
peristiwa-peristiwa yang berlaku di dunia hari ini, kita perlu menoleh ke
belakang menyelami latar sejarah dengan penuh objektiviti dan perspektif yang
berimbang. Ini merupkan cabaran ke atas kita semua. Jatuh bangun sesebuah tamadun
bergantung besar kepada nilai budi tadbir urus, keadilan, keamanan dan harmoni
tanpa mengira bangsa atau agama. Kegemilangan sejarah Islam sering bercirikan
komitmen spiritual umat islam kepada ajaran al Qur’an manakala keruntuhannya
berkait dengan kegagalan mematuhi ajaran al Qur’an. Sejarah sentiasa berulang.
Masalah dunia Islam hari ini
adalah kurangnya kualiti pada pemimpinnya dan pada alim ulama’nya. Umat kita
akan lebih cerdas dan cerah berpedoman jika pemimpin-pemimpin kita adil dan
berkebolehan dengan dokongan penuh alim ulama’ yang layak dan kompeten. Ulama’ yang
tidak takut dan tidak menagih upah, ulama yang berkemampuan menegakkan agama dan
menghuraikan Islam sebagai neraca piawai tertinggi – al
Islam ya’lu wa la yu’la álaih.
(Terjemahan pembentangan yang
telah disunting dan diadaptasi yang telah disampaikan oleh Ahmad Azam Abd
Rahman pada International Seminar on Islam and Global Peace Mei 2016)
(Ahmad Azam adalah Presiden Wadah
Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Timbalan Setiausaha Agong Union of NGOs in the Islamic World (UNIW)
serta mantan Presiden ABIM)