PENDIDIKAN
KEINSANAN: MENYOROT WAWASAN
KEPENDIDIKAN ANWAR IBRAHIM
Siddiq Fadzil
Mukadimah
Dalam era kekuasaan media, kita selalu tertipu dengan propaganda. Media sebagai image maker banyak melakukan pemalsuan citra, yang kecil diperbesar dan yang besar
diperkecil. Antara yang cuba
dimangsakan adalah Anwar Ibrahim, tokoh
yang sumbangannya selalu dinafikan, dan kebesarannya selalu diperkecilkan. Mudah-mudahan kita masih memiliki kejujuran nurani, daya fikir kritis dan keberanian bersikap objektif dalam menilai
seseorang. Anwar Ibrahim adalah tokoh
multi-dimensi dalam pengertian memiliki kemampuan yang pelbagai. Umum mengenalinya sebagai pemimpin karismatik,
ahli politik berkaliber dan strategis
yang cemerlang. Tetapi selain itu beliau
juga sebenarnya adalah seorang pemikir serius dan ilmuwan berwawasan luas. Banyak wawasan dan gagasannya yang segar dan
menginspirasikan: wawasan kebangkitan Islam, wawasan kebangkitan
Asia, wawasan ekonomi kemanusian, wawasan pendidikan keinsanan, wawasan masyarakat madani, dan yang terkini
gagasan World Forum for Muslim Democrats.
Wawasan
Kependidikan
Anwar Ibrahim adalah pemimpin-pendidik yang gigih memperjuangkan pendidikan sebagai birth right, hak yang lahir
bersama kelahiran setiap anak manusia. Sejak
muda beliau sangat memprihatinkan nasib anak-anak yang tidak mendapat peluang
dan kemudahan belajar, terutama kanak-kanak di luar bandar. Mereka
adalah antara korban kepincangan dasar urban
biased development, dasar pembangunan yang lebih memusat di kawasan
bandar. Sementara itu mereka yang
berpeluang mendapat pendidikan pula, banyak dirosakkan oleh sistem pendidikan
yang terlalu bersifat pragmatik dan utilitarian
sehingga mengabaikan objektif utama islah al-insan (pembaikan insan). Akibatnya berleluasalah gejala moral
decadence, kebejatan moral dalam pelbagai
bentuknya. Yang paling menyolok adalah hypocrisy elit kepimpinan sebagaimana yang dirumuskan oleh Anwar sendiri ketika diwawancarai oleh
Zainah Anwar,
The leaders were condemning
corruption, but they were
enriching
themselves. They talked
about Malay nationalism but they were
alienated
from the Malay masses. They were obsessed
with the
west. They were too accommodating to non-Malay
sentiments. They
were extremely slow in
implementing national policies in education
and language. We were impatient and angry about the
plight of the
Malays,
their education, rural
development, rural health. There
was
this huge University
Hospital, but no
clinics in the rural areas. There
were schools with no
laboratories, no libraries and no qualified
teachers. We were very angry, disgusted and critical of the government.
There seemed to be no moral foundation and no
spiritual guidance. We
turned to Islam to fill this vacuum
and to look for solutions. (Zainah
Anwar, 1987:12-13)
Ketempangan sedemikian itulah
yang membibitkan kesedaran reformatif-islahi yang kemudiannya mengorientasikan gerakan kesiswaan
PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia) yang dipimpinnya. Dalam wawasan reformasi-islahinya, agenda pendidikan menempati posisi teras
sebagaimana terserlah dalam orientasi gerakan kepemudaan yang muncul menyusul pada
tahun 1971 iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Sebaik sahaja menamatkan
pengajiannya di Universiti Malaya, Anwar
Ibrahim terus terjun ke dunia pendidikan kerakyatan dengan menubuhkan Yayasan Anda,
sebuah sekolah menengah kerakyatan
di Kampung Baru, Kuala Lumpur, yang menampung pelajar-pelajar yang tidak
mendapat tempat di sekolah-sekolah kerajaan.
Mengenai sekolah ini Nagata menyebutnya sebagai gabungan pola pendidikan
agama dan sekular:
Religious and secular education patterns in such a way that pupils can
both sit for
the national promotional examinations which open
the
doors of occupational
opportunity to government and private sector
and receive a solid
religious and moral
foundation for life as good
Muslims. (Nagata, J., 1984:92).
Persekolahan model Yayasan Anda
segera berkembang dengan memakai nama yang berbeza-beza di Ipoh, Taiping, Sungai
Petani, Alor Star dan Kota Kinabalu. Yang
menjadi ciri khas persekolahan model ini ialah pengajaran subjek Prinsip Islam yang
memperkenalkan shumuliyyat al-Islam, iaitu Islam sebagai cara hidup yang utuh dan
menyeluruh. Selain itu ialah orientasi
keislamannya yang kental sebagai jelmaan semangat kebangkitan Islam yang
menggelora ketika itu. Sekolah-sekolah
tersebut rata-rata dikendalikan oleh aktivis-aktivis gerakan Islam ABIM. Majoriti besar aktivis ABIM ketika itu adalah
guru-guru, dan mereka memang sangat instrumental dalam gerakan pemerataan
kesedaran Islamiah yang berteraskan pendidikan.
Gerakan kependidikan ini juga
didukung kekuatan idea demokratisasi pendidikan, bahawa pendidikan tidak
seharusnya menjadi hak eksklusif golongan istimewa, sebaliknya harus dapat dinikmati secara
kolektif oleh seluruh rakyat, tanpa mengira kaum dan agama atau status
sosialnya. Komitmen terhadap semangat democratization of education yang
dikobarkan oleh Anwar Ibrahim telah membangkitkan
kesedaran pemerataan pendidikan, di samping pemerataan kesedaran tentang hak
mendapat pendidikan berkualiti.
Pendidikan
Keinsanan
Komitmen kependidikan Anwar
Ibrahim juga terbina hasil penjelajahannya yang luas dalam dunia keintelektualan. Pelbagai aliran pemikiran, Timur dan Barat dipelajari dengan tekun, untuk kemudiannya diadun
menjadi suatu gagasan yang segar.
Demikianlah beliau mengadun pemikiran Paolo Freire dari Brazil dengan
pemikiran ‘Abd al-Rahman al-Kawakibiy dari Syria untuk menggagaskan pendidikan
pembebasan dan pemberdayaan. Paolo
Freire (1921-1997) adalah tokoh pemikir yang menggagaskan pendidikan untuk kaum tertindas. Antara bukunya yang banyak dibicarakan dalam
kalangan masyarakat pendidik ialah Pedagogy
of the Oppressed dan Education as the
Practice of Freedom. Paolo Freire menggunakan pendidikan sebagai
wahana membangkitkan kaum tertindas yang buta huruf dan terbenam dalam budaya
bisu. Freire berkeyakinan bahawa manusia betapa pun
jahilnya, dan berapa pun lamanya terbenam dalam budaya bisu (submerged in the culture of silence), ia tetap berpotensi untuk mampu melihat
dunianya secara kritis. Pendidikan yang
tepat akan membangkitkan kesedaran tentang hakikat dirinya sebagai manusia yang
bermartabat. Pendidikan yang tepat juga akan
membebaskannya dari budaya bisu, dan
seterusnya memberinya keberanian tampil di pentas dialog kritis. Dengan kata lain, pendidikan liberatif mampu menciptakan transformasi radikal, merubah manusia buta huruf yang pasif dan bisu,
menjadi manusia baru yang berani bangkit
menggugat budaya dan order masyarakat yang menindasnya selama ini.
`Abd al-Rahman al-Kawakibiy
(1854-1902) adalah ilmuwan-pejuang yang
termasuk dalam rangkaian tokoh-tokoh gerakan islah akhir abad ke-19 dan
awal abad ke-20 yang dipelopori oleh
Jamal al-din al-Afghaniy, Muhammad
`Abduh dan Rashid Rida. Kekuatan
al-Kawakibiy adalah analisisnya tentang gejala penindasan sebagaimana yang tertuang dalam bukunya Taba’i`
al-Istibdad wa Masari` al-Isti`bad.
Bagi al-Kawakibiy, ibu segala
bentuk penindasan adalah penindasan politik.
Rakyat diindoktrinasi untuk menerima hakikat bahawa golongan penguasa memang diciptakan untuk memerintah semahu mereka, sementara rakyat pula memang dicipta untuk mengabdi kepada penguasa, adil atau zalim. Al-Kawakibiy
mengatakan bahawa rakyat yang tertindas dalam pemerintahan despotik dilayani
bagaikan anjing yang dihina tetapi tetap setia,
rela mengabdi walaupun hanya diberi tulang. Rakyat Muslimin di pelbagai rantau dunia
terbelenggu dalam kezaliman para penguasa yang dibantu oleh fuqaha’ al-istibdad (ulama
penindasan). Umat diindoktrinasi dengan
fiqh al-istibdad (fiqh penindasan) yang
berintikan ajaran syukur kalau penguasa adil,
sabar kalau mereka zalim. Satu-satunya cara melawan penindasan bagi
Al-Kawakibiy adalah pendidikan pembebasan, ilmu yang dapat menyedarkan umat
tentang betapa buruknya kehidupan yang sedang mereka alami, dan sekali gus memberikan harapan bahawa
mereka boleh memperbaikinya. Dengan kesedaran
sedemikian, mereka akan mulai merasakan sakitnya ditindas dan diperas.
Wacana penindasan dan pentingnya
pendidikan pembebasan memang sangat
relevan dalam konteks masyarakat pasca-kolonial yang masih terbelenggu dalam sikap
jiwa hamba warisan penjajahan, dan
dilanjutkan oleh penguasa pasca-kemerdekaan.
Anwar dan rakan-rakannya menyedari bahawa kemerdekaan telah tidak diisi
dengan pembinaan jiwa merdeka, malah
telah berlaku proses dehumanisasi (penghakisan ciri dan nilai keinsanan). Manusia yang kehilangan hak dan martabatnya
adalah manusia yang telah kehilangan kemanusiaannya. Kerana itu isu insaniyyat al-insan menjadi keprihatinan utama, dan seterusnya
membangkitkan kesedaran tentang pendidikan keinsanan.
Pendidikan yang berorientasi keinsanan
inilah yang menjadi tumpuan utama ketika Anwar Ibrahim menjadi Menteri
Pendidikan. Antara sumbangan besar
beliau sebagai Menteri Pendidikan ialah perumusan Falsafah Pendidikan Negara yang
berintikan idea keinsanan, “...memperkembangkan lagi potensi individu
secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan
dan kepatuhan kepada Tuhan.” Bagi
Anwar human development adalah paksi pembangunan di segala sektor dan
bidang, termasuk pembangunan ekonomi
yang harus menjadi bahagian integral daripada keseluruhan falsafah pembangunan
insan. Beliau mengingatkan bahawa
manusia yang dimaksudkan dalam konteks pembangunan ekonomi yang
digagaskannya, bukan manusia menurut
definisi humanisme sekular yang sentiasa haus dan rakus, tetapi manusia unggul seperti yang dikonsepsikan dalam
tamadun-tamadun besar dunia, iaitu seperti chun tzu (manusia sempurna) dalam Konfusianisme, dan insan
salih (manusia baik) dalam Islam. Pembangunan
ekonomi tidak dilihat dari perspektif homo
economicus yang materialistik,
tetapi dari perspektif homo
islamicus yang mampu menciptakan keseimbangan material-spiritual.
Universiti dan Kualiti Keintelektualan
Berbicara tentang kebangkitan
Asia, Anwar Ibrahim mengingatkan peri
pentingnya kecemerlangan intelektual dan pengayaan budaya (intellectual excellence and cultural enrichment). Mediokriti harus segera digantikan dengan kecemerlangan
(intelektual). Justeru, kemajuan dan
kebangkitan tidak mungkin berlaku di tengah kebekuan dan kegersangan intelektual.
Mengenai kepentingan iklim keintelektualan
yang segar sebagai prasyarat perubahan, beliau mengatakan, “The
reengineering of society, to make it more open, transparent and tolerant, is also contingent upon a vibrant
intellectual climate.” (Anwar Ibrahim, 1997:30).
Ternyata Anwar Ibrahim sangat
memprihatinkan kualiti keintelektualan
di negara ini, dan seterusnya kepiawaian para graduan yang ditampilkan oleh universiti-universiti
tempatan. Dilatari keprihatinan
tersebut, ketika menjadi Menteri Pendidikan,
beliau telah mengarahkan semua Naib Canselor membaca sebuah laporan
tentang kemerosotan pengajian tinggi di Amerika Syarikat. Laporan berjudul A Nation at Risk (1983) itu mengungkapkan keprihatinan terhadap
tahap kekuatan intelektual, moral dan spiritual bangsa Amerika, “Our
concern, however, goes well beyond
matters such as industry and commerce.
It also includes the intellectual, moral and spiritual strength of our
people which knit together the very fabric of our society.”
Perhatiannya terhadap mutu pengajian tinggi
tidak terbatas hanya ketika menjadi Menteri Pendidikan, tetapi berterusan hingga sekarang. Dalam pesanan khasnya kepada penulis, beliau menyarankan agar diteliti juga laporan
selepas A Nation at Risk di atas, iaitu A
Test of Leadership (2006) yang memprihatinkan pelbagai gejala kemorosotan dalam
pendidikan tinggi Amerika Syarikat. Kesimpulan
laporan tersebut menyatakan:
The future of our country’s colleges and universities is threatened by
global competitive pressures, powerful technological development,
restraints on public finance,
and serious structural limitations that
cry out for reform.
Our report has recommended
strategic actions designed to make
higher education more accessible, more affordable, and more
accountable, while
maintaining world-class quality. Our Colleges
and universities must become
more transparent, faster to respond
to rapidly changing circumstances
and increasingly productive in
order to deal effectively with the powerful forces of change they
now face.
Laporan-laporan sedemikian
menarik perhatian Anwar, kerana beliau
sendiri memang mengaspirasikan universiti berkualiti tinggi yang dapat menjadi pusat pengembangan minda
kreatif dan adventurous. Beliau menerima pentingnya pengkhususan, tetapi tidak harus terkurung dalam
kepompong pengkhususan. Sebaliknya harus ada pendedahan secukupnya kepada
idea-idea penting dari disiplin lain dan
perkembangan pemikiran umum semasa. Di samping cemerlang dalam bidang masing-masing,
para graduan juga harus memiliki cita rasa seni, sastera, musik dan karya-karya
yang tinggi nilai estetikanya. Para graduan universiti yang menguasai bidang
yang pelbagai itulah yang beliau sebut sebagai multidimensional men.
Beliau juga menginginkan agar
institusi-institusi pengajian tinggi memiliki kesanggupan dan keberanian melakukan penerokaan baru
dalam pelbagai bidang falsafah, agama, perundangan,
ekonomi, seni dan sains. Pelajar-pelajar
universiti pula tidak harus hanya terpaku pada buku-buku teks semata-mata, tetapi harus dibimbing untuk meneroka idea-idea
dari karya sarjana-sarjana besar, dan
mengikuti polemik intelektual
dari pelbagai aliran. Di samping membangkitkan
ghairah keintelektualan, beliau juga mengingatkan
pentingnya nilai-nilai murni kerohanian seperti keihlasan, kerendahan dan kemurahan hati, serta kecintaan
pada kebenaran dan keadilan. Tanpa didasari
nilai-nilai tersebut, ilmu setinggi
mana pun tidak akan membawa kebaikan. (Anwar
Ibrahim, 1997: 106-107).
Anwar Ibrahim memang sangat
komited dengan epistemologi Islam.
Peranan kuncinya dalam penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM) membuktikan kesungguhannya dalam usaha membangun semula tamadun keilmuan
Islam berteraskan epistemologi tawhidik dalam pengertian Islamisasi ilmu. Sebagai ilmuwan Islamis, beliau cukup
menyedari masalah-masalah yang membelit tradisi keilmuan
sekular Barat dengan segala akibatnya. Kritiknya yang konsisten terhadap sekularisme, mengimplikasikan komitmen terhadap de-sekularisasi
ilmu, untuk seterusnya dikembalikan
kepada tawhid sebagai prinsip dan kaedah
integratif menuju kesepaduan ilmu dalam
suluhan wahyu Ilahi.
Khatimah
Anwar Ibrahim adalah contoh
manusia pencinta ilmu yang setulennya. Beliau
benar-benar telah mengecapi ladhdhat
al-ma`rifah (kelazatan ilmu).
Kerana itu beliau selamanya sangat akrab dengan ilmu dan ilmuwan. Apabila berbicara tentang sesuatu, dapat dipastikan beliau memang tahu apa yang
dibicarakannya, bukan pura-pura tahu
seperti sesetengah orang. Pidato-pidatonya yang memukau, bukan hanya kerana gaya retorikanya yang
istimewa, tetapi lebih daripada itu
adalah kekentalan ideanya yang terhasil dari penjelajahannya dalam dunia
keilmuan yang memang cukup luas. Kemanusiaan
seorang manusia, bukan pada raga jasmaninya, tetapi pada akal budinya. Demikianlah keyakinan dan pegangan hidup
Anwar Ibrahim yang ternyata sangat teruja dengan bait-bait puisi Abu al-Fath
al-Busti:
Ya khadima ‘l-jismi, kam tashqa
li khidmatihi,
Litatluba ‘r-ribha mimma fihi khusranu,
Aqbil `ala ‘n-nafsi wa
‘stakmil fada’ilaha,
Fa anta bi ‘n-nafsi, la
bi ‘l-jismi insanu.
Wahai pengabdi jasmani, betapa penat kau merawatnya,
Bak mencari laba, di pasar
ruginya segala niaga
Hadap sajalah jiwa dan
minda, bina hingga sempurna
Dengan akal budi,
bukan raga jasmani, kau jadi manusia.
Rujukan
Allers, Charles.
2013. Anwar Ibrahim: Evolution of a
Muslim Democrat. Singapore:
Monsoon.
Al-Kawakibiy, `Abd al-Rahman. 2009. Taba’i` al-Istibdad wa Masari` al-Isti`bad. Kaherah:
Dar al-Shuruq.
Anwar Ibrahim. 1997. The Asian Renaissance. Singapore: Times Book International.
Freire, Paolo.
1968. Pedagogy of the Oppressed.
New York: The Seabury Press.
Nagata, Judith. 1984. The Reflowering of Malaysian Islam: Modern Religious
Radicals and
Their Roots. Vancouver: University of British Columbia
Press.
Siddiq Fadzil. 2014. Pendidikan al-Hikmah dan Misi
Pencerahan. Kajang:
Akademi
Kajian Ketamadunan.
----------------- 2015. Misi Kecendekiawanan dalam Gerakan Reformasi
Islahi. Bangi:
Wadah Pencerdasan
Umat Malaysia (WADAH)
Zainah Anwar. 1987. Islamic Revivalism in Malaysia: Dakwah Among the Students.
Petaling Jaya: Pelanduk Publication.
KDH/IDE/UNISEL: 28112016.