Thursday, January 5, 2017

KEBANGKITAN ISLAM JILID 2.O



KEBANGKITAN ISLAM JILID 2.O:     Satu Rumusan Awal


Gagasan Kebangkitan Islam Jilid 2.0 bermakna melakar khittah-  strategi perjuangan – charting our own course of action in an active and affirmative manner, not just being reactive or responsive to events. Adalah difahamkan idea ini dimajukan bagi memugar semula dan memperbaharui iltizam dakwah dan islah  gerakan Islam sesuai dengan perkembangan dan perubahan zaman berpandukan kepada mengakar pada tradisi dan sekaligus merai perubahan realiti zaman dan lingkungan - al asala wal mu’asara. Mengakar pada tradisi bermakna ada asas al Qur’an dan al Sunnah. Memahami realiti dengan fiqh al-waqi'.



Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar ; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Q.S. Ali Imran [3]: 104)



Dakwah dan islah yang dibawa adalah berlandaskan khayra ummah (umat terbaik) dan bertujuan menyebarkan rahmah. Menekuni dakwah dengan penuh hikmah kebijaksanaan serta kefahaman dan pengertian – bil hikmah dan ‘ala basirah berpandukan firman Allah swt:-


  “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (An-Nahl [16]:125)



 “Katakanlah: “Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik”.” (Yusuf [12]: 108)


Misi dakwah dengan secara  ringkas tetapi penuh erti adalah mengajak manusia seluruhnya mengabdikan diri menyembah Allah swt seutuh dan setulusnya – ta’bidunnas li rabbihim. Ini bermakna menyeru, menyampaikan dan menganjurkan agar  semua menuju ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.



Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa. (Al-Baqarah 2:21)



Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa). (Al-Baqarah 2:22)



Menekuni Islah pula adalah agar tercapai matlamat perjuangan iaitu mencapai mardatillah - redha Illahi menerusi amal perjuangan, membangun umat, mendaulatkan syariat tanpa ada niat lain. Inilah keikhlasan dan ikrar tulus perjuangan Islah.

 


“Nabi Syuaib berkata: "Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, dan Ia pula mengurniakan daku pangkat Nabi sebagai pemberian daripadaNya, (patutkah aku berdiam diri dari melarang kamu) sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.” (Hud 11:88)


Umat Islam hendaklah melaksana amanat umat terbaik (khayra ummah) yang ditampilkan kepada manusia, untuk bermanfaat kepada manusia dan untuk beri khidmat kepada manusia. Membawa manfaat, maslahat, khidmat untuk menyumbang kepada kemanusiaan sejagat - li naf'in naas, li maslahatin naas, li khidmatin naas.



“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Q.S. Ali Imran [3]: 110)


Khairunnaas man yanfa'unnaas – ‘sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat bagi yang lain’. (al Bukhari)



Anjurannya adalah supaya kita menyeru kepada semua manusia dengan risalah (mesej)  rahmatan lil alamin – dengan rahmah dan kasih sayang. Ini kerana kita amat menyedari bahawa menyimpang dan melencong daripada kebangkitan Islam, muncul dokongan kuat pencemaran citra Islam melalui paparan imej samseng dan budaya gangsterisme  atas nama maruah bangsa,  nasionalisme palsu dan memelihara Islam. Islam tidak sama sekali membenarkan ‘asabiyyah dalam erti melindungi kemungkaran dan mempertahankan kezaliman atas nama perkauman.




Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (Al-Anbiyaa' 21:107)




Dakwah dan islah hendaklah menuju kepada keberagamaan syumul, sempurna dan utuh. Hasrat adalah supaya berlaku perubahan dari  al-tadayyun al-manqus (incomplete religiousity) kepada al-tadayyun al-shamil (keberagamaan yang utuh dan sempurna). Ini bererti beribadat dan memperbaiki ibadat serta sensitif terhadap kepedulian sosial, keprihatinan umat, derita kemanusiaan dan menentang gejala kemungkaran. Tokoh Indonesia mengungkapkan kata ‘salih spiritual dan salih sosial’. Kita akur nasihat dan pesanan bermakna Shaykh Mustafa Masyhur, seorang tokoh Ikhwan al Muslimin, aslih nafsaka wad’u ghayraka – ‘perbaiki dirimu dan ajaklah orang lain’. Titipan Ahmad Azam Abd Rahman adalah supaya menjadi hamba Allah terbaik dan sekaligus khalifah Allah bertanggungjawab memimpin perubahan. Ini adalah mesej utama.


Menjadi amanah gerakan untuk menampilkan Islam dalam wajahnya yang tulen – taqdim al-Islam bi surah al-asliyyah­-dalam menyikapi fenomena kemajmukan yang semakin berkecamuk dan pencitraan Islam yang dicemari radikalisme. Kebangkitan Islam Jilid 2.0 adalah detik penting gerakan dakwah melancarkan gelombang kebangkitan baharu secara intensif untuk menganjak tahap keberagamaan umat menuju kesempurnaan - al-tadayyun al shamil.


Gerakan kebangkitan mesti berusaha membebaskan dan memberdaya umat, mencerahkan dan mencerdaskan pemikiran rakyat – dinamakan gerakan tanwir, reformasi-islahiy dan tamkin. Gerakan hendaklah memahami fiqh al taghyir (fiqh perubahan), menganjur fiqh al-taharrur (fiqh pembebasan) dan fiqh al tamkin (fiqh pemberdayaan), serta bangun menentang fiqh al-istibdad (fiqh penindasan) serta menolak al istibdad al siyasiy (politik tirani). Menurut Abd Rahman al Kawakibi, membiarkan berleluasa al istibdad adalah merelakan penindasan dan kezaliman sehinggakan orang-orang baik mempunyai agama dan memiliki nilai tetapi tanpa kebenaran. Sementara penjahat dan penyangak berwenang-wenang melakukan pelanggaran dan kebatilan.


Gerakan mesti mempunyai keberanian berdiri di atas prinsip yang diyakini – moral strength and courage of conviction.      شجاعة الشجعان


Gerakan kebangkitan hendaklah menampilkan Islam dengan wajahnya sebenar sebagai agama rahmah bukan dengan wajah yang menakutkan, bukan agama yang marah-marah, bukan agama rasis perkauman sempit, tidak merelai rasuah serta kezaliman dan bukan cenderung bersifat menghukum.


Kita mendokong prinsip rakyat sebagai sumber kekuasaan (al-sha`b masdar al-sultah), pengiktirafan terhadap karamah insaniyyah dalam sistem demokrasi yang Islami serta mengangkat martabat rakyat sebagai insan yang dimuliakan. Kita mesti bersama rakyat memperjuangkan kebebasan, keadilan, hak asasi dan maruah rakyat. Semua ini terkandung di dalam maqasid al shariah memenuhi daruriyyat al khamsah, keutamaan objektif terpenting bagi menegak dan mengekalkan serta menjamin survival agama demi kesejahteraan umat manusia berserta tujuan kewujudannya, supaya kehidupan di dunia tidak menjadi porak-peranda dan rosak hingga merugikan kita di akhirat nanti.



Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
(Al-Mujaadalah 58:1)

Peristiwa yang dirakam dalam surah Al Mujadilah menunjukkan suara rayuan dan hujah seorang wanita di hadapan Rasulullah s.a.w., diangkat dan didengari Allah swt, dan wahyu diturunkan memutuskan perkara yang dibawa olehnya. Wanita tersebut adalah Khawla binti Tha’labah r.a. Pada zaman Khaifah Umar al Khattab r.a., Khawla telah menahannya di tengah jalan dan bersyarah memberikan teguran dan nasihat kepada Umar, Amirul Mu’minin. Apabila sahabat menegur perbuatan itu, Umar menyangkal dan mengatakan wanita ini telah didengari oleh Allah di langit ketujuh. Oleh itu Umar menyatakan  dia akan tetap berdiri menunggu mendengar kata-kata wanita ini sehingga dia pergi. Begitulah sikap pemerintah al rashidin wal mahdiyin mendengar suara dan rintihan rakyat jelatanya.


Gerakan dakwah mesti hadir dengan penuh wibawa bagi menampilkan kembali citra Islam sebagai agama rahmat dan kasih sayang sekaligus menjelmakannya dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, membangunkan agenda pembinaan Bangsa Malaysia yang inklusif didasari oleh semangat persaudaraan tanahair dan ukhuwwah insaniyyah (persaudaraan insan) bebas dari chauvinisme, rasisme, kecurigaan dan kecemburuan sosial.


Kita merujuk Fiqh Islam – fiqh al waqi’ al maliziy yang mengiktiraf  status al-muwatanah al-kamilah (warganegara penuh) yang sah. Maka seterus kita mesti melakar peta jalan ke arah hidup bersama berharmoni - fiqh al-ta`ayush, sama-sama menikmati hak dan sama-sama memikul tanggungjawab atas prinsip lahum ma lana, wa `alayhim ma `alayna. Tidak banyak pihak kini bersungguh dalam menangani dan mendepani cabaran mengurus dan menyelesaikan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan. Yang ada hanyalah lip service – pernyataan-pernyataan tanpa komitmen. Malah ada yang bergiat mengeruhkan lagi hubungan yang ada. Oleh itu, kalau bukan gerakan Islam mendepani cabaran ini, siapa lagi?




Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Al-Hujuraat 49:13)


Kita mesti memobilisasikan anak-anak muda supaya menggabungkan diri bersama gerakan ini kerana mereka pewaris risalah, tenaga penggerak umat dan harapan masa depan kebangkitan. Mereka bakal penyambung amanat al da’wah dan misi perjuangan. Kita harus menyedari persaingan dan tarikan sengit bagi mencorak kecenderungan dan pemikiran anak-anak muda masakini dengan pesatnya keterbukaan, lambakan idea dan ledakan maklumat.


Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. (Al-Kahfi 18:13)


Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran." (Al-Kahfi 18:14)


Inilah kekuatan iman dan daya juang yang ingin kita lihat dimiliki anak-anak muda pada ayat-ayat yang diulangi dan sering dibaca setiap Jumaat yang mulia.


Gerakan komited untuk menegakkan syariat mencakupi nilai, hukum dan maqasidnya. Syariat adalah al Qur'an bermula dengan minal fatihah ila an naas. Matlamat, objektif syariat adalah masalihul ibad -  maslahat hamba-hamba Allah bukan maslahat muslimin semata-mata. Kita wajar mengamalkan pola fikir maqasidi (al-fikr al-maqasidiy), pemikiran yang berorientasikan pencapaian objektif mengetahui wasilah dan mengenali matlamat. Pemikiran yang menurut urutan keutamaan yang tepat (fiqh al-awlawiyyat) dan membuat pertimbangan maslahah yang cermat (fiqh al muwazanat).


Orientasi gerakan adalah penjelmaan kesederhanaan Islam, toleransi, berimbang di antara idealisme dan realisme - wasatiyatul islam, al tasamuh al islamiywaqi’i mithali. Pemikiran kontemporari, futuristik tanpa melupakan pengajaran sejarah agar menyedari realiti masa kini dan bersiap sedia untuk masa depan - mu’asir, mustaqbali, tarikhi.


Gerakan perlu menghormati dan merujuk ulama’ mu’tabar serta berkeupayaan mendalam mengolah  naratif dan melakukan analisis situasi tepat dan jitu. Penilaian tepat dan menghargai pengalaman sejarah penting agar gerakan dakwah tidak terbabas daripada menangani isu menurut prinsip memastikan tertegak kebenaran dan keadilan. Faham post-truth, ‘pasca-kebenaran’ muncul dengan gelagat terang-terangan menolak, meremehkan nilai kebenaran dengan semata-mata mementingkan kemenangan atau kesudahan mencapai tujuan. Faham ini juga menghantui orang beragama.


Sesuai dengan kekuatan tradisi ilmu gerakan Islam, hendaklah dititikberatkan pembinaan budaya ilmu yang kuat berasaskan epistemologi Islam yang komprehensif dan integratif agar terus melakukan pembelajaran semula serta membangun ilmu-ilmu penting yang terabai. Epistemologi Islam didasarkan kepada sumber wahyu, akal sihat, panca indra, intuisi, bersifat tawhidy, sarat dengan nilai, berorientasi dunia dan akhirat.

 


Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. (Al-Mujaadalah 58:11)


Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap Muslim (H.R. Ibn Majah)


"Siapa saja yang Allah kehendaki baginya kebaikan maka ia akan difahamkan dalam masalah agama" [ H.R. Bukhari & Muslim ]


Teras gerakan adalah dakwah dan tarbiyah:  tarbiyah ilmiah yang memberikan kefahaman utuh dan mendalam tentang serba serbi agama Islam serta tarbiyah pembinaan sahsiah  membina kefahaman dan membina watak sepadu serta seimbang menghayati nilai-nilai memperbaiki amal dan akhlak para pendakwah. Kader-kader gerakan ini menjadi masdarul khayr – sumber kebaikan, kebaikan untuk dirinya dan melimpah kebaikan kepada orang di sekitarnya, menjadi  ‘inspiring personality’ – mengilhamkan orang lain agar menjadi baik.


Orang beragama mempunyai moral imperative – kewajipan moral membawa standard akhlak tertinggi dan memastikan manusia berasa selamat dengan lidah, tingkahlaku dan wataknya. Tidak ada kompromi dalam kedudukan dan pendirian moral pendakwah dan ahli agama.



Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, “Sungguh, aku termasuk orang-orang Muslim (yang berserah diri)?” (Fussilat 41: 33)



Gerakan Islam mesti bersifat ummatik senantiasa bersama rakyat, bukan bersifat elitis, bahkan menjadi juara kepada masyarakat madaniy dengan jaringan luas meliputi Non Muslim dan bukan Melayu. Kita mesti hadir memperjuangkan keadilan sosial, menyantuni umat dan menangani kemelaratan, kemiskinan, krisis akhlak serta keruntuhan moral anak muda. Pembelaan dan memperjuangkan isu tidak wajar dibiarkan dan serahkan naratif sosial kepada pihak lain.


"Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa." (Al-Baqarah 2:177)


“Barang siapa yang menunjukkan kepada suatu kebaikan, maka baginya pahala seperti orang yang melaksanakannya” (Muslim)


Ajaklah mereka memeluk Islam dan beritahu mereka apa-apa yang diwajibkan atas mereka yang berupa hak Allah di dalamnya. Demi Allah, Allah memberi petunjuk kepada seseorang lantaran engkau, adalah lebih baik bagimu daripada engkau memiliki unta merah” (Bukhari)



Gerakan mesti bersemangat amal jama’iyy dan budaya kolektif mengembleng tenaga dan potensi yang berbeda-beda bagi mencapai matlamat jamaah, bermula dengan menghargai perbedaan dan kepelbagaian, berkepimpinan jama’iyy dan syura serta tidak berpusat kepada peribadi.


Kita mesti berusaha memahami dan mematuhi adab ul ikhtilaf – adab perbedaan pendapat dan menjadi penyuluh jalan dan contoh teladan bagi menangani permasalahan besar umat masakini di segenap peringkat. Sekali lagi kalau kita tidak mendepani penyelesaian masalah ini, siapa lagi?



Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. (As-Saff 61:4)



Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (An-Nisaa' 4:59)


Rumusan paling penting sekali adalah menterjemah dan memanifestasikan idealisme perjuangan di atas, dijelmakan dan dizahirkan melalui berjihad, bergiat, bertindak, bersungguh, beristiqamah, berdisiplin dan berinfaq di lapangan dalam keadaan berat atau ringan dengan program dan aktiviti semasa serta perancangan baru gerakan dakwah.

  


Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berjuang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (At-Taubah 9:41)



(telah dibentang pada usrah gabungan Wadah-ABIM-Pembimbing Pulau Pinang)


Rujukan:
Siddiq Fadzil.  1983.  Garis- Garis Besar Haluan Perjuangan.    ABIM
Siddiq Fadzil.  2016.  Jati Diri Perjuangan Dakwah.   wadahutara.blogspot.com

Mohamed Raimi Ab. Rahim.  2016.  Mengemudi Gelombang Nahdah, Memartabatkan Khayra Ummah (Kebangkitan Islam Jilid 2.0).    ABIM


Sunday, January 1, 2017

TRIBUTE KEPADA SAHABAT-SAHABAT SEMOGA DIRAHMATI ALLAH SWT


TRIBUTE KEPADA AL MARHUM USTAZ ABD MAJID ZAINAL ABIDIN, USTAZAH HAJAR SAID AHMAD DAN SAHABAT-SAHABAT YANG TELAH KEMBALI KE RAHMATULLAH…. SEMOGA ALLAH SWT MERAHMATI RUH SEKALIAN

Video ringkas ini telah ditayangkan khas pada Multaqa Masyayikh al Harakah ABIM Pulau Pinang, sambutan Perjumpaan Sahabat2 Senior-Senior ABIM pada 20/11/2011 di SERI Ad Diniah Sg Bakap. Bahan daripada tahun 2003 dan sebelumnya dengan sedikit suntingan.





Boleh juga dicapai di 

https://www.facebook.com/mediawappp/videos/1884514385101564/