Bicara Ramadhan dan Pelancaran Wacana Al Hikmah
oleh Prof. Dato' Dr. Ust. Siddiq
Fadzil, 12 Jun 2017, Kolej Dar al Hikmah
Adakah ianya satu kebetulan
melancarkan Wacana Al-Hikmah pada malam ini, malam sambutan Nuzul Al Quran,
kerana Al Quran itu sendiri sarat dengan hikmah, sangat tinggi kedudukannya dan
mengungguli kitab-kitab yang sebelumnya. Segala sesuatu yang termuat di dalam
Al Quran adalah hikmah.
Untuk memetik, menimba hikmah,
cara terbaik adalah dengan merenung al Quran, di samping menekuni al Sunnah. Ia
boleh dipelajari, boleh diambil dengan usaha gigih, maka salah satu misi
Rasulullah s.aw. ialah mengajar al Kitab dan al hikmah.
Seorang profesor dari Sudan pernah
bertanya, jika sepenting itulah Al Quran dan al hikmah, mengapa di dalam kurikulum pendidikan kita tidak diajar al hikmah.
Sebenarnya hikmah ada di
mana-mana, ada dalam segenap sudut hidup kita.
Hikmah ialah sifat Allah. Al
Hakim ialah nama Allah, yang memilik hikmah. 'Al Hakim' disebut sekitar 90 kali
di dalam Al Quran. Hikmah juga dibekalkan kepada semua nabi-nabi a.s.
Maka seharusnya kita berusaha untuk
meraih hikmah ini sebanyak mungkin kerana sesiapa yang diberi hikmah ini
sesungguhnya dia mendapat kebaikan yang sangat banyak. Sebab itu para
ulama yg merasakan mereka mendapat hikmah dan kebaikan yang banyak, mereka
begitu menjaga peribadi diri mereka.
Hikmah bermaksud kedalaman dan
ketepatan kefahaman tentang sesuatu. Hikmah meliputi percakapan pertuturan yang
tepat, tindakan yang tepat sesuai dengan realiti dan keperluan keadaan.
Hikmah ada di mana-mana, dalam
kehidupan, dalam syariat. Hakikat itu disebut oleh Ibn Qayyim – bahawa ‘syariat
itu dibina di atas al hikam’ (hikam jamak bg hikmah). Hukum hakam
adalah hikmah, yang telah ditetapkan di dalam Al Quran dan al Sunnah, yang
ditetapkan oleh nass.
Kita amati kisah seorang qadi di
Andalusia, Yahya ibn Yahya Al-Laith yang menjatuhkan hukum ke atas kesalahan
amir. Qadi Yahya memutuskan untuk melangkau dua hukuman iaitu memerdekakan
hamba, atau jika tidak mampu, memberi makan 60 orang miskin, lalu dia menghukum
amir tersebut dikenakan berpuasa selama 2 bulan berturut-turut, kerana menurut
ijtihadnya kedua-dua hukuman sebelum itu tidak berkesan ke atas seorang amir yang
kaya raya.
Namun hukuman ini disangkal para
ulama lain berdasarkan hujah bahawa maslahat umat (membebaskan seorang hamba)
lebih penting daripada mendidik seorang amir. Kebebasan itu sangat penting bagi
seorang manusia, kebebasan mengatasi segala-galanya.
Sebab itulah Shaykh Rashid
Ghanouchi mengatakan keutamaan "kebebasan sebelum syariat".
Kita renungi kisah bagaimana
Rasullullah s.a.w. melayani, menegur dan mengajar seorang ‘Arab badwi yang
kencing di dalam masjid disebabkan kejahilannya. Sahabat-sahabat mahu melarang
malah ingin bertindak keras, tetapi ditegah oleh Rasulullah s.a.w. Inilah
hikmah.
Kita fikirkan kisah bagaimana
Rasullullah sa.w. melayani penyair Arab Abu al 'izzah al Jumahi yang syairnya
mengutuk dan mempersenda Rasulullah s.a.w. dan agama Islam. Abu al ‘Izzah
tertangkap pada Perang Badar, lalu dia merayu-rayu untuk dilepaskan dan
Rasulullah s.a.w. telah membebaskannya. Tetapi kemudiannya Abu al ‘Izzah
mendabik dada, terus mempersenda Rasulullah s.a.w. Beberapa tahun selepas itu
dia ikut serta pada Perang Uhud, dan ditakdirkan tertangkap lagi. Kali ini dia
merayu-rayu lagi untuk dibebaskan, tetapi tidak dilepaskan oleh Rasulullah
sa.w.
Sabda Rasulullah s.a.w., "Orang
Mu’min tidak akan dipatuk dua kali pada
satu lubang." Hikmahnya, orang mukmin mesti belajar daripada kesilapan
lalu, jangan ditipu lagi oleh musuh.
Banyak yang tidak menyedari
bahawa separuh daripada al Quran itu ialah berbentuk dialog. Hanya separuh
adalah hukum hakam perintah daripada Allah swt. Pendidikan berasaskan
dialog yang menyedarkan, merangsang berfikir.
Maka, untuk mendapatkan hikmah,
cubalah teliti al Quran daripada aspek dialog-dialognya, berbanding sebahagian yang berorientasikan hukum dalam meneliti
al Quran.
(disunting daripada catatan Dr Nur
Izura Udzir, WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA)