MAQASID
AL-SHARI`AH: REALISASI MASLAHAH
DALAM MASYARAKAT PLURAL-DEMOKRATIK
Siddiq
Fadzil
Mukadimah
Malaysia ditakdirkan menjadi sebuah masyarakat plural. Ia berpotensi menjadi masyarakat misali yang progresif dan damai dalam kesalingan dan
kebersamaan. Andainya pluraliti
kemalaysiaan ini ditangani dengan waras dan bijaksanaan, dunia boleh belajar dari model masyarakat plural ala Malaysia yang dibangun berasaskan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan
sesuai dengan semangat Sahifah Madinah. Tetapi pluraliti juga berpotensi menjadi lahan silang-sengketa
yang berhujung dengan tragedi
kehancuran. Malaysia juga ditakdirkan menjadi
sebuah negara demokratik yang menjanjikan kehidupan bernegara berasaskan kuasa dan
daulat rakyat yang tersalur menerusi sistem pilihan raya yang bersih, bebas dan
jurdil (jujur dan adil). Tetapi demokrasi tidak sentiasa setia kepada aspirasi
aslinya, sehingga demokrasi tidak lagi menjadi alternatif ideal kepada
kediktatoran otoriter. Justeru, manusia
yang tidak berjiwa demokrat selalu mencurangi prinsip dan nilai demokrasi. Pilihan raya yang menjadi ciri penting
demokrasi seringkali dicemari penipuan, rasuah dan pelbagai permainan politik
kotor lainnya.
Fungsi Maqasid
al-Shari`ah
Syari`at
Islamiah selalu disebut sesuai untuk
sepanjang zaman dan di semua tempat.
Kenyataan tersebut memang benar andainya syari`at dilaksanakan dengan
mengambilkira realiti (tempat dan zaman)
untuk mempastikan pelaksanaannya membawa maslahah kepada masyarakat.
Kata maslahah memang merupakan
kata kunci yang menjadi bahagian integral daripada syari`at sehingga disebut bahawa syari`at adalah maslahah, dan maslahah adalah syari`at.
Justeru, syari`at
bermatlamat demi maslahah manusia (li masalih
al-`ibad). Matlamat syari`at sedemikian itulah yang disebut maqasid al-shari`ah (objektif tertinggi
syari`at) yang terumus pada daruriyat yang lima
(pemeliharaan agama, jiwa, akal, zuriat
dan harta).
Untuk
mempastikan realisasi maslahah dalam
kehidupan masyarakat, termasuk
masyarakat plural-demokratik, maqasid al-shari`ah tersebut harus diertikan dan difungsikan sesuai dengan realiti zaman dan
lingkungan. Pemeliharaan agama (hifz al-din) harus diertikan tidak hanya mengawalnya
daripada penyimpangan, tetapi juga
pembinaan masyarakat yang religius (mutadayyin). Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs) harus diertikan tidak hanya sebagai larangan
membunuh, tetapi juga pencapaian kualiti
hidup (terhormat, berdaulat dan bermartabat) sesuai dengan darjat kemuliaan
insaninya. Pemeliharaan akal (hifz al-`aql) harus diertikan tidak hanya pengharaman
minuman yang memabukkan atau yang merosakkan akal, tetapi juga pembinaan daya fikir
masyarakat, pembangunan budaya
keintelektualan, perlawanan terhadap
pembodohan dan apa sahaja yang meracuni
pemikiran masyarakat. Pemeliharaan zuriat (hifz
al-nasl) harus diertikan tidak hanya sebagai pengharaman zina dan
pensyari`atan nikah, tetapi juga
sebagai penguatan institusi keluarga dan
pembinaan generasi berkualiti. Pemeliharaan
harta (hifz al-mal) pula tidak harus
diertikan hanya sebagai pengawalan harta agar tidak hilang atau penggantiannya
jika hilang, tetapi juga sebagai pembangunan ekonomi manusiawi-maslahi (kerakyatan)
dan pemerataan kemakmuran.
Perumusan lima maqasid tersebut
dianggap memadai untuk zaman mula-mula ia diungkapkan. Memang ia sudah cukup inklusif dalam
pengertian telah meliputi segala daruriyat. Bagaimanapun ia bukan suatu pembatasan yang
mutlak. Tidak ada halangan untuk
menambahnya sesuai dengan perkembangan zaman.
Kerana itu ulama masa kini menyarankan
beberapa maqasid tambahan, yang meskipun sudah terangkum secara tersirat
dalam maqasid yang lima
tersebut, tetapi dirasakan perlu disebut
berasingan sebagai penyerlahan dan penegasan untuk menjadikannya lebih relevan
dengan keperluan semasa. Dalam konteks
sedemikian itulah terungkapnya maqasid
seperti akhlak, kebebasan, keadilan,
persamaan dan hak asasi manusia.
Maqasid al-shari`ah yang
berpaksi pada realisasi maslahah harus
difungsikan sebagai faktor pemersatu masyarakat plural. Justeru, melalui formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan, maqasid
al-shari`ah dapat dijadikan salah satu bingkai kesatuan apabila ia
diungkapkan sebagai nilai-nilai sejagat yang dikongsi bersama oleh seluruh
warga. Memang hakikat kesejagatan
nilai-nilai maqasid tersebut sudah
dinyatakan dengan jelas dan tegas oleh Shaykh al-Maqasid Abu Ishaq al-Shatibiy
dalam mukadimah ketiga al-Muwafaqat-nya.
(Al-Shatibiy, Abu Ishaq, 2014:20). Masyarakat
plural-demokratik memang memerlukan suatu set nilai hidup sebagaimana yang
terkandung dalam maqasid al-shari`ah, iaitu daruriyat
yang lima
di samping nilai akhlak (integriti moral),
kebebasan, keadilan, persamaan
dan hak asasi kemanusiaan.
Pluraliti: Perspektif
Maqasidi
Maslahah yang menjadi
paksi maqasid al-shari`ah hanya akan
dapat direalisasikan apabila pluraliti dipersepsi dan disikapi secara positif
berasaskan prinsip-prinsip berikut:
1.
Kepelbagaian
terwujud dengan kehendak Allah. Sebagai
perwujudan dari iradah Ilahiyyah, kepelbagaian pastinya mengandungi hikmah rahmat dan manfaat bagi warga kemanusiaan
seluruhnya. Tuhan sendiri yang mencipta
manusia berbangsa-bangsa, dan Tuhan
sendiri yang menghendaki manusia berbeza agama.
Dasar tidak ada paksaan dalam agama memberikan kebebasan kepada manusia
memilih sendiri agama yang diyakininya;
dan seterusnya ini melahirkan kepelbagaian agama, budaya dan pemikiran.
2.
Kemuliaan
manusia kerana kemanusiaannya, tanpa mengira apa pun bangsa,
agama, bahasa dan budayanya.
Kemuliaan mutlak kemanusiaan adalah anugerah Tuhan (al-takrim al-Ilahiy) kepada seluruh anak manusia. Kerana itu manusia tidak berhak menghina atau
merendahkan manusia lain. Semua harus
dilayani dan dihormati sebagaimana layaknya makhluk yang dimuliakan Tuhan.
3.
Kepelbagaian
diciptakan Tuhan dengan tujuan untuk saling mengenal (al-ta`aruf) yang menghasilkan maslahah
saling memanfaatkan, saling menghargai dan saling menyayangi. Semangat kesalingan yang tumbuh dari ta`aruf akan menghasilkan kekayaan ilmu
dan budaya yang menjadi asas pembinaan tamadun kemanusiaan.
4.
Prinsip persaudaraan
kemanusiaan sejagat (ukhuwwah insaniyyah)
yang merentasi perbezaan agama dan
bangsa. Persaudaraan seagama tidak
menjadi penghalang kepada persaudaraan yang lebih luas dan inklusif meliputi
seluruh warga kemanusiaan yang pada hakikatnya berasal dari baka yang
sama.
5.
Perdamaian
(al-salam) sebagai dasar hubungan
antara manusia yang akan memberikan rasa selamat kepada semua dan seterusnya
menciptakan kehidupan yang aman, sentosa
dan sejahtera. Kekuatan warga tidak
terbuang sia-sia dalam silang-sengketa,
sebaliknya tercurah sepenuhnya dalam perjuangan kolektif merealisasikan
cita-cita bersama.
6.
Tuntutan melayani
orang lain dengan kebaikan dan keadilan (al-birr
wa al-qist) sesuai dengan misi umat terunggul (khayra ummah) untuk menyumbang amal bakti kepada warga kemanusian sejagat (ukhrijat li al-nas). Perintah bekerjasama dalam melakukan amal
kebajikan (al-ta`awun `ala al-birr) tidak dibataskan hanya dalam kalangan kaum
Muslimin sahaja. Konteks ayat 2 surah al-Ma’idah tersebut
jelas dalam rangka hubungan dengan
kaum bukan Muslim. Demikian juga
dengan keadilan (al-qist) yang menjadi asas pelayanan terhadap
semua, Muslim dan bukan Muslim.
7.
Pengamalan
etika debat dan dialog dengan memilih cara terbaik (ahsan), terutama jika
berhadapan dengan kaum bukan Muslim (ahl
al-kitab). Cara “yang baik” sahaja tidak cukup, tetapi
harus “yang terbaik” dari segala segi
- adab, hujah dan gaya penyampaiannya. Yang penting dapat meyakinkan tanpa menyakiti
pihak lain.
8.
Penguatan
semangat kebersamaan yang meliputi
penyegaran nilai-nilai sejagat, kerjasama
dalam kegiatan kemasyarakatan dan amal
bakti kemanusiaan. Ketika ini telah
wujud pelbagai institusi dan organisasi
amal sosial yang menangani
pelbagai masalah bersama seperti bencana
alam, pencemaran alam sekitar, gejala penyimpangan sosial, keruntuhan moral dan lain-lainnya.
Untuk
merealisasikan maslahah bersama, prinsip-prinsip tersebut harus mendasari
segala bentuk kepelbagaian yang wujud dan tumbuh dari masa ke masa seperti kepelbagaian kaum, kepelbagaian agama, kepelbagaian parti politik dan
seterusnya. Dalam kaitan inilah relevannya saranan
al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawiy dalam tulisannya Khitabuna al-Islamiy fi `Asr al-`Awlamah, tentang pelunakan bahasa dalam masyarakat
global. Istilah kafirun
(orang-orang kafir) seharusnya
digantikan dengan kata ghayr al-muslimin (bukan
Islam/non-Muslim) dan istilah dhimmiyyun (kafir dhimmi) digantikan
dengan kata muwatinun (warganegara). Untuk mencapai maslahah kerukunan hidup berdampingan (al-ta`ayush al-silmiy) dalam kalangan umat pelbagai bangsa dan
agama, ada pula saranan agar umat bukan
Muslim disebut ummat al-da`wah (umat
yang harus didakwah), sedang umat Muslim disebut ummat al-ijabah (umat yang telah menerima dakwah).
Maqasid
al-Shari`ah dan Masyarakat Demokratik
Inti demokrasi
adalah daulat rakyat (siyadat al-sha`b)
dalam pengertian rakyat sebagai sumber kekuasaan (al-sha`b masdar al-sultah).
Sesebuah kerajaan mendapat legitimasinya dari mandat yang sah dari
rakyat. Dalam era demokrasi, mandat
tersebut diperolehi menerusi pilihan raya yang bersih, jujur dan adil. Rakyat yang berkedaulatan melaksanakan hak
pilihnya dengan bertanggungjawab, bebas dan cerdas. Justeru,
mengundi dalam pilihan raya
seperti yang dinyatakan oleh al-Qaradawiy bererti memberikan kesaksian. Yang namanya saksi, ia wajib hadir apabila
dipanggil, dan seterusnya memberikan kesaksiannya dengan amanah, bebas, jujur
dan adil. Demi menjunjung prinsip
demokrasi berkedaulatan rakyat, maka
kata daulat rakyat dalam erti yang seluas-luasnya harus dihormati oleh semua
pihak, terutama parti-parti yang
bertanding.
Apabila
dikatakan “rakyat memilih” bererti ada pilihan yang berupa sistem pelbagai
parti (ta`addud al-ahzab), bukan sistem satu parti. Kepelbagaian parti seharusnya disikapi secara
positif berasaskan prinsip kebebasan
berfikir yang memang diakui oleh syari`at.
Natijah kebebasan berfikir ialah perbezaan pendapat, sebagaimana terjelma dalam rupa perbezaan
mazhab fiqh. Jika wujudnya kepelbagaian
mazhab fiqh dapat diterima sebagai wajar,
maka demikian pula wujudnya pelbagai parti. Justeru,
mazhab-mazhab pada hakikatnya adalah parti-parti dalam fiqh (al-madhahib
ahzab fi al-fiqh), sementara parti-parti pada hakikatnya adalah
mazhab-mazhab dalam politik (al-ahzab
madhahib fi al-siyasah).
Sesuai dengan
prinsip kebebasan berfikir yang terpancar dari objektif syari`at hifz
al-`aql (memelihara akal) dan prinsip daulat rakyat yang terjelma dari kurnia karamah insaniyyah, rakyat memiliki hak demokrarik menubuhkan
parti, memilih parti, masuk parti dan keluar parti. Seseorang yang keluar meninggalkan sesebuah
parti politik tidak boleh ditafsirkan atau
dikategorikan sebagai al-mufariq li
al-jama`ah dalam hadith tentang murtad.
Ungkapan al-mufariq li al-jama`ah tidak
berdiri sendiri, tetapi sebagai sifat
penguat (sifah mu’akkidah) kepada ungkapan al-tarik li dinihi (yang meninggalkan agamanya, yakni murtad). Meninggalkan jama`ah dalam hadith (r.Abu
Dawud) tersebut bererti meninggalkan jama`at
al-Muslimin seluruhnya. (Hidayat,
Surahman., 2012: 200-201). Ia sama sekali tidak ada kaitannya dengan meninggalkan
parti politik bikinan dan kendalian manusia dengan segala kerenahnya. Dengan kata lain, keluar parti bukan keluar
agama, kerana parti memang bukan
agama.
Kebebasan
berfikir memberikan setiap rakyat hak demokratik menerima atau menolak sesebuah
parti, parti apa pun, termasuk “parti Islam” jika pada pertimbangannya
pendirian politik parti tersebut,
programnya, ijtihad fiqhnya atau
calonnya tidak dapat diterima. Mengenai
isu ini Dr.Ahmad al-Raysuniy mengatakan,
”Apabila orang menolak parti Islam atau calon-calon Islam kerana
prestasi buruk mereka, atau kurang
kelayakan mereka, atau kerana tidak
dapat menerima ijtihad-ijtihad fiqh mereka,
atau program sosial mereka, atau pendirian-pendirian politik
mereka, sesungguhnya ini sama sekali
tidak bererti menolak Islam atau mana-mana bahagian daripada Islam, kerana hakikatnya Islam dan syari`atnya itu suatu
hal, sementara orang-orang Islam,
ijtihad-ijtihad mereka dan peri laku mereka adalah suatu hal yang lain.” (Al-Raysuniy, A. 2014:81).
Parti-parti
politik boleh bersaing secara sihat dari
segi penawaran khidmat dan program, di samping kualiti calon yang dikemukakan,
bukan bertarung hancur-hancuran.
Justeru, hubungan antara parti seharusnya didasarkan pada
persefahaman bahawa semuanya adalah
rakan-rakan peserta yang sama-sama komited untuk menghidupkan demokrasi. Parti-parti yang pelbagai boleh pula
bergabung untuk melawan parti
saingan sebagaimana gabungan
Hilf al-Fudul di Makkah pada
zaman sebelum Islam, sebuah pakatan
untuk melawan kezaliman dan membela para korban kezaliman. Nabi s.`a.w. yang ikut serta dalam pakatan
tersebut mengenangnya semula pada zaman
Islam dengan berkata, “Andainya aku diajak menyertainya lagi pada zaman Islam,
nescaya aku sambut.” Tahaluf dalam konteks demokrasi
berpilihan raya tentunya meliputi juga kesepakatan untuk saling menyokong dan
saling memenangkan. Janji harus
ditepati, dengan siapa pun, termasuk
dengan yang bukan Muslim. Yang menjadi
perkiraan adalah maslahah dengan
segala syarat-syaratnya sebagaimana yang dibahas oleh Sa`id Ramadan al-Butiy
dalam bukunya Dawabit al-Maslahah.
Mewaspadai kecurangan
Di mana-mana
demokrasi menghadapi bahaya pengkhianatan.
Demi kekuasaan orang sanggup menginjak-nginjak prinsip dan nilai
demokrasi. Demikianlah jika hanya
sistemnya sahaja yang demokrasi tetapi manusianya bukan manusia demokrat. Demokrasi hanya dapat hidup subur dalam
masyarakat yang berbudaya demokratik.
Dengan kata lain, hanya
apabila demokrasi telah menjadi budaya
masyarakat dalam pengertian telah
menyebati dalam kehidupan sehari-hari.
Dalam masyarakat seperti itu masyarakat sendiri yang akan menjerit
apabila berlaku sebarang pelanggaran terhadap prinsip dan nilai demokrasi. Budaya demokrasi inilah yang tampaknya belum
wujud secara nyata. Keadaan inilah yang membuka ruang
keleluasaan mencurangi demokrasi dengan pelbagai cara yang tidak demokratik,
tidak beretika dan tidak bermaruah.
Demokrasi
berkedaulatan rakyat telah kehilangan erti apabila rakyat diperbodoh, dirosak, diremehkan dan
dilumpuhkan. Mungkin kenyataan pahit itulah
yang cuba diekspresikan oleh
W.S.Rendra dalam konteks Indonesia
menjelang abad 21 lewat puisi Kesaksian
Akhir Abad:
O, Indonesia!
Ah, Indonesia!
Negara yang kehilangan makna!
Rakyat sudah dirusak asas tatanan
hidupnya
Berarti sudah dirusak dasar peradabannya
dan akibatnya dirusak pula kemanusiaannya
Maka sekarang negara tinggal menjadi peta
Itu pun peta yang lusuh
dan hampir sobek pula.
Pendangkalan kehidupan bangsa
telah terjadi
Tata nilai rancu
Dusta, pencurian, penjarahan
dan kekerasan halal.
Manusia sekadar semak belukar
yang gampang dikacau dan dibakar
Paket-paket pikiran murah dijajakan
Penalaran amarah yang salah
mendorong rakyat terpecah belah.
Demokrasi yang
berkedaulatan rakyat tidak berlaku kerana kedaulatan telah hilang dengan
hilangnya kemerdekaan. Rakyat tidak
lagi berkuasa, sebaliknya menjadi korban pihak berkuasa. Dalam bait-bait seterusnya, Rendra membuat
kesaksian:
Dengan puisi ini aku bersaksi
bahawa rakyat Indonesia
belum merdeka
Rakyat yang tanpa hak hukum
bukanlah rakyat merdeka
Hak hukum yang tidak dilindungi
oleh lembaga pengadilan yang mandiri
adalah hukum yang ditulis di atas air.
Bagaimana rakyat bisa merdeka
bila polisi menjadi aparat pemerintah,
dan tidak menjadi aparat hukum
yang melindungi warganegara.
Bagaimana rakyat bisa merdeka
bila birokrasi negara menjadi
aparat pemerintah
dan tidak menjadi aparat rakyat
yang otonom mandiri
sebagaimana layaknya
di negara yang berdaulat rakyat.
Bagaimana rakyat bisa merdeka
bila hak pilih mereka dipasung
tidak boleh memilih secara langsung
camat mereka, bupati, wali kota, gubernur
dan jaksa tinggi mereka.
…………
Dengan puisi ini aku bersaksi
bahawa sampai saat puisi ini aku tandatangani
para elit politik yang berkedudukan
atau pun yang masih di jalan
tidak pernah memperjuangkan
sarana-sarana kemerdekaan rakyat.
Puisi tersebut
menggambarkan rosaknya trias-politica apabila
pemerintah menjadi terlalu berkuasa sehingga menguasai segalanya termasuk
kehakiman, kepolisan, perkhidmatan awam dan lain-lainnya. Apabila ini sudah terjadi,
tidak ada lagi kebaikan yang dapat diharapkan. Pemerintahan yang hanya mementingkan maslahah
penguasa, tidak lagi memenuhi
persyaratan kaedah fiqh bahawa pelayanan pemerintah terhadap rakyat terikat
dengan maslahah mereka (rakyat). Melanggar kaedah fiqh, tasarruf al-imam `ala al-ra`iyyati manutun bi al-maslahah, bererti juga melanggar maqasid al-shari`ah kerana kaedah-kaedah fiqh pada dasarnya memang
berorientasikan maqasid al-shari`ah. Hakikat inilah yang diungkapkan oleh
Dr.Sa`id al-Shawiy dalam bukunya, Maqasidiyyat
al-Qawa`id al-Fiqhiyyah. Beliau
mengangkat karya al-`Izz ibn `Abd al-Salam, Qawa`id
al-Ahkam fi Islah al-Anam,
sebagai teks kajiannya.
Dalam masyarakat
yang sudah didominasi oleh kuasa dan dana, pilihan raya tidak lagi menjadi
pesta demokrasi, tetapi telah menjadi
pasar jual beli undi, kenduri rasuah duit berkampit-kampit. Dalam
masyarakat yang mengimani “cash is king”, daulat rakyat telah mati dicekik daulat
ringgit. Wang memang memiliki kuasa
yang sangat sakti. Kuasa kesaktian inilah
yang diungkapkan oleh K.H.Mustofa Bisri dalam puisinya Amplop:
Orang bicara bisa bisu
orang mendengar bisa tuli
orang alim bisa nafsu
orang sakti bisa mati.
Di negeri amplop
amplop-amplop mengamplopi
apa saja dan siapa saja.
Demikian yang
kita saksikan dalam politik demokrasi di mana-mana, termasuk di negara-negara yang mendakwa
berjati diri demokrasi. Demokrasi sudah
di”hijack” secara senyap oleh
korporasi-korporasi besar yang mendanai ahli-ahli politik dan parti-parti
politik. Akibatnya ahli-ahli politik dan kerajaan mereka lebih mengutamakan
kepentingan pihak korporasi dan golongan elit ekonomi berbanding kepentingan
rakyat. Nasib demokrasi yang tergadai
itulah yang diserlahkan oleh Noreena Herzt dalam bukunya The Silent Takeover dengan sub-judul Global Capitalism and the Death of Democracy. Tentang betapa dahsyatnya cengkaman korporasi
terhadap politik dunia, Noreena Hertz
menyatakan, “As we enter the new
millennium, arguably the entire world is of
(international) corporations, by (international)
corporations, and for (international)
corporations. The problem is the
same, its geographical extent
significantly worse. Corporations have,
in effect, begun to lay down with force what is and what is not permissible for
politicians all over the world to do.” (Hertz, N., 2003:120).
Korporasi-korporasi
penyumbang dana politik telah menjadikan
ahli-ahli politik semakin tidak berdaya dan semakin kehilangan wibawa. Mengenai gejala ini Noreena Hertz
mengatakan,
Politicians are increasingly seen as impotent, irrelevant, and
dishonest.
People see their government as unable to deliver what they promise,
obsessed with unimportant issues and internal politicking, riddled with
corruption, clinging to outmoded notions of authority, and increasingly
in the pockets of businesspeople.
The distinction between incompetence
and dishonesty is becoming blurred
as, in country after country, senior
politicians are discovered to have engaged in corrupt practices. (Hertz,
N., 2003:121).
Demokrasi,
korporasi dan orang-orang politik seperti yang digambarkan oleh Noreena Hertz
itu tentu sahaja ada pro dan kontaranya.
Demikian juga halnya dengan tulisan-tulisan tentang demokrasi di Malaysia seperti yang termuat dalam majalah The Economist (March 10th-16th 2018) yang
lalu. Terlepas dari kontroversi pro dan
kontranya, semua yang prihatin dengan nasib demokrasi di Malaysia menjadi sangat resah setelah membaca
liputan tentang Malaysia
dalam majalah tersebut. Dalam ruangan Leaders, majalah antarabangsa
tersebut memuatkan tulisan tentang Corruption
in Malaysia dengan judul besar Stop, thief !, yang diikuti dengan sub-judul A
prime minister accused of stealing millions from the state prepares to steal an
election from voters. Tulisan
tersebut tidak hanya memaparkan butir-butir di sekitar isu yang disebut
“…stealing millions from the state”, tetapi
memaparkan juga trick penipuan
dalam pilihan raya yang berlaku di Malaysia di bawah tajuk How
to rig an election. Trick menipu
seperti yang diserlahkan dalam tulisan tersebut
terfokus pada dua cara, iaitu gerrymandering dan malapportionment.
Dua cara
penipuan tersebut dibincangkan lagi dalam liputannya tentang rantau Asia yang menyorot isu Malaysian Politics di bawah judul Tilting the playing field. Sekali lagi trick penipuan dalam pilihan
raya menjadi fokusnya sebagaimana yang tersirat dan tersurat dalam sub-judul Electoral
tricks are afoot even before the election campaign begins. Gerrymandering
berkaitan dengan pensempadanan, ”drawing
constituency boundaries so that lots of opposition voters are packed into a few
seats, while ruling-party supporters form a narrow majority in a larger number.”, sementara malapportionment
pula berkaitan dengan kepadatan penduduk (pengundi), “creating districts of uneven populations, so that those which support
the opposition are much bigger than those that back the government.” Kedua-duanya dianggap sangat tidak adil, malah menyalahi peruntukan perlembagaan yang
menyebut bahawa keluasan kawasan-kawasan
pilihan raya seharusnya “approximately
equal”.
Sama ada gerrymandering atau malapportionment,
kedua-duanya adalah ketidakadilan, dan kedua-duanya adalah tidak
demokratik. Seperti yang disebut oleh
Wong Chin Huat dari Penang Institute, “If
an election is voters choosing politicians, gerrymandering is politicians
choosing voters.” Ada pihak yang dirugikan dan ada pihak lain
yang diuntungkan tanpa justifikasi.
Jelas, ia tidak dapat diterima kerana bertentangan dengan maqsad al-`adl (objektif keadilan) yang
menjadi bahagian daripada maqasid
al-shari`ah.
Khatimah
Dalam situasi
sekarang ini maqasid al-shari`ah sebagai
nilai-nilai sejagat harus difungsikan sepenuhnya untuk memelihara kerukunan
hidup masyarakat plural, dan sekali gus
menyelamatkan demokrasi. Kesedaran
maqasidi dapat membangkitkan rakyat melawan politik racist dan sentimen keagamaan yang salah tempat. Untuk merealisasikan maslahah sesuai dengan matlamat maqasid
al-shari`ah, yang harus dibina bukan
konflik antara kaum atau antara agama,
tetapi kerukunan hidup
berdampingan atau al-ta`ayush al-silmiy. Umat Islam sebagai golongan majoriti harus
memimpin proses pembentukan bangsa Malaysia dalam pengertian ummah siyasiyyah yang inklusif
berasaskan formula dasar kepelbagaian
dalam bingkai kesatuan. Golongan
bukan Islam harus dilayani dengan adil sebagaimana layaknya warganegara penuh berasaskan prinsip: mereka mendapat apa yang kita dapat, dan
memikul (tanggungjawab) yang sama kita pikul (lahum ma lana wa `alayhim ma `alayna).
Nilai-nilai sejagat:
moral dan etika, kebebasan, keadilan,
persamaan dan hak asasi manusia sebagaimana yang terkandung dalam maqasid al-shari`ah harus dijelmakan
menjadi kekuatan massa melawan politik curang yang ingin membunuh
roh demokrasi sehingga demokrasi hanya tinggal raga tanpa jiwa. Apa ertinya raga demokrasi, jika jiwanya diktator-kleptokrat.
Roh demokrasi ialah hak pilih di tangan
rakyat (memilih dan dipilih), yang
bererti hanya yang mendapat mandat dari
rakyat sahaja yang sah menjadi pemerintah.
Dengan demikian demokrasi juga menjamin berlakunya peralihan kuasa (tadawul al-sultah) dengan aman. Manusia demokrat akan menerima peralihan
kuasa sebagai suatu yang normal dan
wajar. Kerajaan hari ini boleh menjadi
pembangkang esok, dan pembangkang hari
ini boleh menjadi kerajaan esok.
Demikianlah proses peralihan dan penggiliran kuasa yang mencirikan
demokrasi yang sihat. Kuasa rakyat harus dihormati dengan memberikan mereka hak memilih dengan
bebas dan cerdas, tanpa ancaman dan
ugutan, tanpa ditakut-takutkan dengan
sebarang tahyul politik yang memperbodoh dan menyesatkan.
Rujukan
Al-Ghadban,
Munir Muhammad. 1988. Al-Tahaluf
al-Siyasiy fi al-Islam. Kaherah: Dar
al-Salam.
Al-Raysuniy,
Ahmad. 2014. Al-Fikr
al-Islamiy wa Qadayana al-Siyasiyyah al-
Mu`asirah.
Kaherah: Dar al-Kalimah.
Al-Shatibiy, Abu
Ishaq. 2014. Al-Muwafaqat fi Usul al-Shari`ah (ed. Muhammad Abd
al-Qadir al-Fadiliy). Beirut: Al-Maktabah al-`Asriyyah.
Al-Shawiy, Sa`id.
2015. Maqasidiyyat al-Qawa`id al-Fiqhiyyah. Kaherah: Dar al-
Kalimah.
Hertz,
Noreena. 2003. The
Silent Takeover. New York: HarperBusiness.
Hidayat,
Surahman. 2012. Al-Ta`ayush
al-Silmiy bayna al-Muslimin wa ghayrihim
Dakhila Dawlatin
Wahidah. Kaherah: Dar al-Salam.
Jabr, Dandal.
2006. Al-Ta`addudiyyat al-Siyasiyyah wa
Tadawul al-Sultah fi al-Siyasat
al-Shar`iyyah. `Amman:
Dar `Imar.
Siddiq
Fadzil. 2012. Islam
dan Melayu. Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan, Kolej
Dar al-Hikmah.
Majalah The
Economist (March 10th
- 16th 2018).
IDE/UNISEL/KDH
31032018