DAKWAH DAN POLITIK:
IBRAH DARIPADA MODEL MADINAH AL-NABI
“Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia
meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain beberapa darjat untuk
mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Dia Maha
Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-An’am
6:165).
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, marilah
kita melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT atas segala nikmat dan rahmat-Nya,
atas limpahan kurnia-Nya, yang mengikat hati-hati ini dalam suatu ikatan kental
ukhuwwah Islamiyyah dalam sebuah Gerakan tercinta bagi memperjuangkan cita-cita
Islamiyyah, serta menegakkan kebenaran dan keadilan.
Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad ﷺ, pembawa cahaya dan petunjuk kebenaran untuk panduan hidup bagi
seluruh manusia sarwa alam.
1.0
PENGENALAN
AlhamduliLlah, Muktamar Nasional ke-12 kali ini amat bersejarah bagi
kita semua. Buat pertama kali setelah mempelopori 20 tahun perjuangan Dakwah
dan Reformasi, mengharungi ranjau dan duri, dihempas badai dan ombak demi
sebuah perjuangan, kita dapat menghirup udara segar kebebasan. Bebas daripada ketakutan
dan kongkongan. Bebas dari tekanan fizikal serta gangguan psikologikal sebuah
pemerintahan kleptokrasi yang menindas.
Namun, cabaran di hadapan kita amat besar. Menukar kerajaan yang
bobrok tidaklah sesukar membina dan mencipta sesuatu yang baru. Apatah lagi dengan
pelbagai kerosakan yang telah dibuat termasuk beban hutang, ketirisan yang
berskala mega dan kegagalan serta kecurangan institusi-institusi penting
pemerintah. Justeru itu, sempena Muktamar Nasional kali ini, WADAH menganjurkan
Seminar Gerakan Islam dan Perubahan Politik dengan mengangkat tema “Dari
Reformasi ke Malaysia Baharu: Rahmat untuk semua”.
Apakah perubahan-perubahan yang kita harapkan? Bagaimanakah kita
harus menangani perubahan-perubahan itu? Melakukan ‘perubahan politik’ tidaklah
sesukar merancang sebuah ‘politik perubahan’. Suatu hakikat yang harus ada
dalam minda kita bahawa sebarang usaha perubahan yang hendak dilakukan mestilah
menerima hakikat kemajmukan kaum dan kepelbagaian agama dan budaya penduduknya.
Ciri demikian merupakan satu keistimewaan dan sumber kekuatan. Allah SWT, dalam
ayat al-Quran berikut, mengisytihar kepelbagaian sebagai satu ketetapan
dari-Nya dan menjelaskan antara hikmah di sebalik ketentuan-Nya itu:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada
lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan
bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi
Allah ialah orang yang lebih taqwanya antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.” (Al-Hujuraat 49:13).
2.0
NARATIF REFORMASI
Dalam euphoria meraikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) menumbangkan
Kerajaan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 yang
lalu, banyak yang ingin ‘mengambil kredit’ dari peristiwa tersebut dan menyorong
naratif yang mengangkat diri masing-masing. Walau apa pun, kejayaan ini
bukanlah milik orang perseorangan, tetapi perjuangan yang didorong oleh
kesedaran rakyat. Perjuangan menukar kerajaan yang bertapak lebih 61 tahun
bukan sesuatu yang mudah. Perjuangan seperti ini bukan sahaja memerlukan
semangat yang tinggi tetapi juga menuntut gemblengan tenaga yang tidak sedikit
dan pengorbanan yang luar biasa.
Maka wajar sekali setiap peranan dan sumbangan yang diberi; tanpa
mengira besar dan kecil dikenang dan dihargai. Sejarah Reformasi dan kemenangan
PH adalah sejarah besar negara selepas sejarah kemerdekaan. Mengiktirafnya
sebagai ‘kemerdekaan kedua’ untuk Malaysia adalah sesuatu yang mempunyai
justifikasinya.
2.1 Pelopor Kebangkitan
Rakyat: Tidak dapat dinafikan bahawa sejarah
Reformasi diawali dengan sokongan tidak berbelah dan komitmen besar Angkatan
Belia Islam Malaysia (ABIM). Sepanjang 20 tahun perjuangan Reformasi, gerakan
kita tidak pernah ‘absent’ dalam
setiap proses dan perkembangan yang berlaku sekalipun dengan berbuat demikian
ABIM berhadapan dengan ‘ranjau dan duri’. Keputusan untuk ABIM tampil mempelopori
gerakan Reformasi bukanlah sesuatu yang mudah. Selama 16 tahun ABIM mengambil pendekatan
lunak sebagai ‘Rakan dalam Pembinaan Negara’ (Partner in Nation Building), membantu pemerintah terutama dalam
membangunkan kesedaran rakyat. Namun apabila ABIM mengambil sikap lebih
kritikal, ketika kerajaan berubah menjadi intoleran dan tidak prihatin, ABIM
menerima berbagai tekanan dan tindakan dari pemerintah dengan risiko
pengharaman, dakwaan dan tangkapan.
Sebagai sebuah gerakan yang bertanggungjawab, ABIM tidak mempunyai
pilihan kecuali tetap memperjuangkan keadilan dan mempertahankan prinsip kebenaran.
Seawal 6 September 1998, setelah pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan
Perdana Menteri pada 2 September 1998,
ABIM bersama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Jamaah
Islah Malaysia (JIM) dan Angkatan Sains Islam Malaysia (ASASI) telah
melancarkan Gerakan Reformasi Rakyat (GERAK) di Pusat Latihan ABIM, Sg Ramal
Dalam. Bermulalah selepas itu protes dan demonstrasi, himpunan dan bantahan
meluas ke pelbagai pelusuk negara hingga menimbulkan kebimbangan dan menggugat
mereka yang berkuasa.
2.2 Penangkapan
dan Penahanan: Dari situ juga
bermulalah perjuangan dengan onak dan duri yang menguji kesetiaan ahli dan mencabar
integriti gerakan. Dengannya terserlah ‘yang mana kaca yang mana intan’, ‘siapa
setia, siapa berkepentingan’ dalam kalangan mereka yang memanggil diri sebagai
pejuang dan pendakwah. Dukungan ABIM dengan kekuatan jentera setiap negeri dan
daerah telah menyemarakkan roh Reformasi dan berjaya melebarkannya ke seluruh negara.
Tindakan-tindakan keras untuk melumpuhkan pengaruh ABIM dilakukan dengan pelbagai
cara oleh kerajaan termasuklah penangkapan dan penahanan di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tindakan, tidak hanya diambil terhadap pimpinan
yang sedia ada, bahkan juga terhadap mantan-mantan pimpinan yang berada dalam posisi
strategik dalam kerajaan dan Parti UMNO. Namun semua tindakan itu tidak dapat
melenturkan semangat perjuangan pimpinan dan ahli-ahli ABIM.
2.3 Menolak Fitnah: Salah
satu sumbangan terbesar ABIMdan dianggap paling berkesan ialah mempertahankan
maruah Anwar Ibrahim daripada tercemar dengan tuduhan keji salah laku moral. ABIM
menggerakkan kempen penerangan dan penjelasan melalui siri ceramah, penerbitan
makalah dan forum. ABIM juga bekerja keras bagi mendapatkan pandangan ulama
muktabar seluruh dunia bagi mengukuhkan keyakinan dan pendirian yang telah diambil.
Mereka yang dirujuk termasuk Sheikh Yusuf al-Qaradawi, Al-marhum Sheikh Wahbah
al Zuhaili dan Sheikh Rached Ghanoushi.
2.4 Wan Azizah Sebagai Ikon Reformasi: Satu
lagi peranan ABIM yang signifikan ialah mengangkat Dr. Wan Azizah sebagai Ikon
Reformasi dengan memperkenalkan beliau melalui rangkaian ABIM ke seluruh negara.
Langkah ini menempatkan Dr. Wan Azizah sebagai tokoh penting gerakan reformasi
dan sekaligus mematikan polemik: boleh atau tidak wanita menjadi pemimpin.
3.0 MENANGANI PERUBAHAN
Pada PRU14, majoriti rakyat telah membuat keputusan dan mencapai
kesepakatan menyokong secara terbuka politik perubahan yang dibawa oleh Pakatan
Harapan. Kita mengharapkan hasrat murni
rakyat yang ingin melihat perubahan bermakna berlaku dalam negara ini, akan
menjadi kenyataan termasuk tertegaknya demokrasi yang benar-benar merakyat, amalan
nilai-nilai politik yang luhur dan proses proses pilihanraya yang adil dan bersih.
Seperti yang dinukilkan Dr Siddiq Fadzil, demokrasi memerlukan
peranserta rakyat secara aktif dan bertanggungjawab, termasuk komitmen pemantauan,
pengawalan, teguran dan koreksi (muraqabah dan muhasabah)
terhadap dasar dan tindakan para penguasa, sesuai dengan kewajipan amar
ma’ruf nahi munkar. Dalam hal ini, gagasan sistem dua parti diperlukan kerana
ia memastikan adanya “semak dan imbang” atau ‘check and balance’ yang
berkesan agar kuasa tidak dibolot oleh satu kelompok elit penguasa. Rakyat
mempunyai pilihan yang terbaik daripada kumpulan yang berlainan visi, idea dan
strategi, kompetensi, imej dan integriti. Sistem dua parti yang kuat berupaya
menghalang salahguna kuasa dan memastikan terlaksananya keadilan sosial. Tujuan-tujuan
inilah yang mendorong kita mengangkat agenda ‘politik perubahan’ agar menjadi
realiti demi masa depan negara.
Perubahan dan kemajuan yang kita ingini daripada
kebangkitan memerlukan asas ilmu, adab, moral dan etika. Pemikiran dan
pengalaman tamadun Islam di rantau ini dan proses Islamisasi yang telah
tergendala dan terkeliru sejak ratusan tahun yang lampau perlu dijadikan
iktibar. Menurut Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas (Muhammad Naquib al-Attas, 1978: 41: lihat dalam Wan
Mohd Nor Wan Daud (1991: 97): “Islamisasi adalah pembebasan manusia, pertama
daripada tradisi tahyul, mitos, animis, kebangsaan dan kebudayaan, dan selepas
itu (pembebasan) akal dan bahasa daripada pengaruh sekularisme.”
Islamisasi dalam konteks ini, merujuk kepada
perubahan yang perlu berlaku di dalam pemikiran diri peribadi setiap Muslim. Hanya
menerusi perubahan sedemikian iaitu bermula di peringkat peribadi barulah akan
berlaku gelombang perubahan yang bermakna dalam masyarakat (Syed Muhammad
Naquib al-Attas, 2001).
4.0 BELAJAR DARIPADA KEBANGKITAN LAIN
Syaikh Yusuf Al-Qardhawi banyak menulis
tentang kebangkitan Islam dan beliau telah memberi gagasan-gagasan
penting demi meluruskan halatuju gerakan kebangkitan Islam.
4.1 Kebangkitan
Pengukuh Gerakan: Kebangkitan
atau sahwah mengandungi arus pelbagai aliran, warna, kumpulan atau
individu sama ada terarah, berencana ataupun tidak. Gerakan Islam pula
merupakan pergerakan berorganisasi dengan matlamat yang jelas dan terarah.
Setiap kebangkitan adalah gerakan tetapi bukan semua gerakan membawa
kebangkitan. Kebangkitan atau sahwah adalah lebih besar dan gerakan
berperanan mendorong kebangkitan ke arah dan matlamat yang benar-benar
mendatangkan maslahah kepada ummah. Inilah cabaran besar yang perlu dihadapi.
Dr. Sali
Berisha pemimpin pertama yang dipilih secara demokratik di Albania memberitahu
Aliya Izetbegovic bahawa dia mewarisi pemerintahan yang korup, parah dan
jejak-jejak gersang sehingga dia sendiri terpalit. Empat puluh lima tahun
pemerintahan kuku besi dan komunis Enver Hoxha telah meninggalkan kerosakan
parah kepada sistem dan budaya Albania. Kebangkitan rakyat dan pembebasan tidak
menghasilkan perubahan serta pembaharuan yang dihasratkan apabila mereka
kembali kepada zaman diktator korup yang lama.
Begitulah juga nasib Dr Morsi di Mesir yang bertarung bagi mengisi
kemenangan thawrah sy’ab yang telah dikecapi dengan harga yang mahal melalui
pengorbanan nyawa dan darah. Namun, regim fasad dan korup terutama di kalangan
tentera dan pegawai-pegawai kerajaan serta kaum elit yang berakar tunjang
selama 60 tahun masih lagi kekal. Mereka kembali mengambil kesempatan merampas
negara apabila sebahagian rakyat Mesir sendiri masih lemah dan mudah dihasut serta
masih dibelenggu oleh ‘fikiran yang mati’ (al-fikri al mumit) dan jatidiri ‘seorang hamba’ (abdan
mamluk).
Negara-negara Eropah Timur menghadapi dilemma yang sama pasca
kejatuhan regim-regim Komunis. Selepas suku abad berlalu, rakyat kecewa dengan
tiadanya perubahan yang diimpikan. Dengan sedikit kekecualian, negara-negara
pascakomunis dilihat sebagai negara yang gagal dan masih tidak berjaya keluar
daripada kemelut ekonomi, sosial dan politik dengan kemunculan diktator dan
autokrat baharu. Perang dan keganasan yang meletus dari Nagorno-Karabakh,
Chechnya dan Ukraine Timur telah merobek 40 tahun “cold peace” di benua Eropah.
4.2 Model Rekonstruksi Jerman dan Jepun: Usaha
mendesak untuk mencari model pembangunan memerlukan proses merenung semula
tentang kekuatan dan kegemilangan silam; bagaimana kita perlu bangkit daripada
kemelut kleptokrasi dan plutokrasi (negara yang ditadbir oleh golongan kaya).
Model-model pemulihan dan pembangunan semula
negara Jepun dan Jerman boleh dijadikan contoh. Kedua-dua negara ini mengalami economic miracles dalam dekad-dekad awal
selepas Perang Dunia Kedua (1940-an hingga 1970-an) selepas mereka hancur
musnah di ranah peperangan. Kedua-dua negara ini adalah antara empat ekonomi terbesar di dunia ketika ini, selain
Amerika Syarikat dan China. Meskipun evolusi pembangunan ekonomi mereka wajar
ditelaah, kajian tersebut perlu juga meneliti impak kebajikan dan sosio-ekonomi
ke atas perkembangan budaya dan pemikiran rakyat mereka.
Setelah pimpinan Nazi dibicarakan di Nuremberg
dan dijatuhi hukuman, pentadbiran Jerman dipimpin oleh Konrad Adenauer selaku Canselor
Jerman – negarawan tertua yang berusia 73 tahun dilantik sebagai pemimpin
negara. Tiada seorang pun pimpinan Nazi yang tersisa yang boleh diharap untuk
menerajui Jerman ketika itu kecuali beliau. Selama 14 tahun (1949-1963), Konrad
Adenauer memulihkan negara Jerman, menjuarai proses perindustrian di Eropah dan
akhirnya menatijahkan fenomena keajaiban ekonomi (wirtschaftswunder).
Jepun pula musnah ranah dengan tragedi Hiroshima
dan Nagasaki dan psyche bangsanya dikatakan
hancur luluh. Namun mereka mengumpul segala kekuatan untuk bermula daripada
sifar. Bangsa Jepun menerima hakikat keadaan mereka seadanya – tidak apologetik
dengan masa lalu, lalu melakar masa depan yang lebih pasti dan gemilang di
bawah pimpinan Shigeru Yoshida (1946-1954) yang mula dilantik sebagai Perdana
Menteri ketika berusia 68 tahun. Melaluinya, muncul generasi baru yang lebih
terbuka, dengan corak pembangunan yang bernuansa baru – meninggalkan corak pembangunan
a la Pembaharuan Meiji (Meiji Restoration) yang telah
mengilhamkan sebuah kerajaan empayar yang kuat dan bersifat expansionary melampaui batas sempadan
negara sendiri. Keajaiban Ekonomi Jepun selepas Perang Dunia Kedua menghasilkan
syarikat-syarikat seperti Hitachi, Toyota, Sony, Mitsubishi, dan Honda – yang
kini dikenali sebagai syarikat-syarikat gergasi dunia yang berteknologi tinggi.
Peranan Kerajaan Jepun khususnya Kementerian Industri dan Perdagangan
Antarabangsa (MITI) diteliti rapi, lebih-lebih lagi berkenaan model pembangunan
yang penuh campurtangan pemerintah (interventionism)
yang dikenali sebagai developmental state
atau negara kepembangunan (Johnson,
Chalmers. 1982). Pengalaman
pembangunan semula Jepun merumuskan bahawa kepimpinan yang berbeza diperlukan
bagi menekankan pelaksanaan fokus yang berbeza. Dalam kesempatan itu juga
mereka belajar untuk memaafkan dan melepaskan masa silam.
5.0 MALAYSIA BAHARU ACUAN MODEL MADINAH AL-NABI
Kejayaan Rasulullah ﷺ memimpin masyarakat Arab amat disanjung tinggi oleh kawan dan
lawan. Piagam Madinah yang menjadi sumber dan dasar dalam pentadbiran Islam
mengetengahkan model terbaik dalam mengurus kepelbagaian masyarakat dalam
konteks kenegaraan. Menurut Sai’d Hawwa, Sahifah al-Madinah atau
Piagam Madinah adalah perlembagaan bertulis yang pertama diiktiraf di dunia. Dokumen
yang disusun oleh Nabi Muhammad ﷺ ini mengikat
perjanjian formal antara dirinya dengan semua suku dan kaum penting di Yathrib
(Madinah) pada tahun 622 Masihi. Antara tujuan utama Sahifah ini
adalah untuk menyatukan Bani ʹAus dan Bani Khazraj dan menetapkan sejumlah hak
dan kewajiban bagi kaum Muslim (Muhajirin dan Ansar), Musyrikin Arab dan kaum
Yahudi, dalam komuniti ummah yang merdeka dan berdaulat serta bertanggungjawab
memelihara keamanan negara Madinah.
5.1 Hikmah Sahifah
al-Madinah: Apakah hikmah
daripada Sahifah al-Madinah? Kita lihat melalui sejarah penduduk Madinah
yang berbilang bangsa dan agama hidup bersatu padu. Saling menghormati dan
menerima perjanjian yang ditandatangani. Selain itu, ajaran Islam yang murni
dan akhlak Nabi Muhammad ﷺ yang terpuji menarik
minat golongan musyrikin untuk memeluk agama Islam. Maka syiar Islam pun
berkembang. Bilangan umat Islam pula semakin bertambah sekaligus memperkukuh
negara Islam Madinah di persada Tanah Arab setanding kerajaan dunia semasa
ketika itu seperti Rom dan Parsi. Bukankah kejayaan model Sahifah Madinah ini
telah menempatkan Islam sebagai sebuah kerajaan yang berjaya menyatukan umat daripada pelbagai
agama dan bangsa di bawah bumbung Islam?
Tidakkah kita mahu sebagai sebuah negara majoriti umat Islam
mempersiapkan diri mengambil ibrah daripada perjanjian Sahifah al-Madinah
untuk meneroka kaedah bagaimana Islam mampu memimpin masyarakat dalam suasana
kepelbagaian? Pengiktirafan Islam kepada hubungan dan ikatan anggota masyarakat
berasaskan ukhuwwah imaniyyah (persaudaraan seiman) dan ukhuwwah
wataniyyah (persaudaran setanah air) adalah pendekatan yang amat praktis
dalam mewujudkan keharmonian masyarakat. Umat Islam tidak boleh terlalu
eksklusif dengan takrifan persaudaraan yang rigid sebaliknya perlu
inklusif sesuai dengan ajaran Islam yang luas dan penuh rahmat.
5.2 Masjid
sebagai Pusat Pemerintahan dan Penyatuan: Perkembangan Islam bermula di masjid dan rumah-rumah Allah SWT yang
dibina oleh Rasulullah ﷺ dan para sahabat. Masjid
pada zaman Nabi ﷺ bukan sahaja sebagai
tempat ibadat namun juga sebagai pusat sosial dan pentadbiran kerajaan. Di sinilah
Rasulullah ﷺ mencorakkan sistem perpolitikan yang terpimpin
di bawah pentadbiran yang berteraskan tauhid dan aqidah yang murni. Masjid yang
dibina menjadi medan menyebarkan elemen salam (kesejahteraan) dan
melebarkan kefahaman Islam kepada Muslim dan bukan Muslim serta mengangkat
martabat kemurnian Islam.
Masjid merupakan institusi sosial yang penting sebagaimana yang berlaku
pada zaman Nabi SAW. Ini selaras dengan ayat al-Quran berikut,
“Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama
sekali di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan
keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga
dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang. Ibadah
dikerjakan oleh orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan
atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan solat
serta mengeluarkan zakat, mereka takut hari kiamat yang padanya berbalik-balik
hati dan pandangan”. (Al-Nuur 24:36-37).
Dalam sejarah Islam Masjid adalah instrumen negara yang diberi
perhatian serius dan dibangunkan bagi
memastikan keupayaan dan kecekapannya dipertingkat bagi membantu untuk merangka
dasar, menyusun program serta melaksanakan projek, terutama yang ditujukan
kepada umat Muslimin. Selain peranan masjid memperkukuhkan agenda pembangunan
sosial, institusi masjid juga bertindak membantu meningkatkan kesejahteraan
masyarakat melalui bantuan-bantuan kebajikan, menjadi institusi pelengkap untuk
membantu fakir miskin, tempat perlindungan dan pemulihan kanak-kanak, remaja
dan golongan kurang berkemampuan yang meliputi anak yatim, orang cacat, uzur
atau tua dan ibu atau bapa tunggal. Keutamaan masjid sebagai benteng pertahanan
moral dan keutuhan masyarakat perlu terus diperkukuh untuk memberi pengarahan
dalam pembangunan masyarakat dan pendorong kepada keadilan dan kestabilan.
Inilah peranan penting yang harus dimainkan agar tempat pengibadatan Islam
lebih terbuka dan termasuk menyantuni masyarakat bukan Islam. Pemerintah
Malaysia Baharu perlu mengambil kesempatan dari perubahan politik yang terjadi
bagi mengupaya peranan masjid supaya benar-benar menjadi institusi sosial yang
berkesan sesuai dengan model yang ditunjukkan oleh Rasulullah ﷺ.
Tidak dapat
dinafikan bahawa kesatuan, keharmonian and konsensus amat penting dalam
pembinaan negara. Masalah kesatuan dan keharmonian di kalangan masyarakat majmuk
melibatkan Islam dan bukan Islam memang merupakan cabaran besar yang perlu dihadapi dam membina
masyarakat yang harmonis, seterusnya dalam membina negara bangsa; Bangsa
Malaysia.
5.3.1 Polarisasi Kaum Makin Melebar: Kebimbangan
masyarakat makin bertambah ekoran insiden-insiden yang memaparkan meningkatnya
prasangka dan saling ketidakpercayaan antara kaum di negara ini termasuk
kenyataan-kenyataan rasis yang mengundang kebencian, amalan diskriminatif serta
pengunggulan kaum (race supremacy) yang melampau. Malaysia Racial
Discrimination Report 2017 (MRDR 2017) menyebut, “there was an
increase of incidences of racial discrimination in Malaysia in 2017.” Menurut Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi
Nasional, “Based on general observation and election trend at the time,
indicators of racial polarisation began to surface”. Polarisasi kaum dan
diskriminasi termasuk pernyataan dan
ucapan kebencian (hate speeches), kelihatan semakin meningkat dan tidak
menunjukkan tanda-tanda akan berkurangan.
5.3.2 Konflik Akibat Sentimen Kebencian Agama: Di Malaysia,
keadaan menjadi lebih buruk kerana kebencian tidak hanya atas sebab-sebab
perkauman tetapi diperkuat dengan sentimen keagamaan. MRDR 2017 menegaskan
bahawa, “the intersectionality between religious and racial discrimination
is apparent…” Kita dapat melihat
pertentangan antara kaum Melayu-Islam di satu pihak, dengan mereka yang bukan
Islam di pihak yang lain. Bagi mempertahankan hak dan kebebasan, golongan bukan
Islam membentuk MCCBCHT (Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian,
Hindu dan Taoism) untuk membela agama dan penganut mereka daripada menjadi
mangsa diskriminasi. Pendekatan konfrontasional antara komuniti Islam dengan
bukan Islam tentulah tidak sihat bagi sebuah negara berbilang kaum dan agama
seperti Malaysia. Keadaan demikian jelas tidak akan membantu usaha mewujudkan
persefahaman dan integrasi nasional. Pendekatan terbaik bagi menghasilkan
penyelesaian yang lebih kekal bukan dengan cara berkonfrontasi tetapi melalui
pembabitan positif (positive engagement) pihak-pihak terlibat melalui
dialog yang lebih ramah dan bertanggungjawab.
5.3.3 Konsep Muwatanah Bukan Kafir Dhimmy/Harbi: Istilah-istilah
kafir harbi (orang kafir yang diperangi) dan kafir dhimmiy (orang
kafir yang dilindungi) diakui oleh ramai pemikir Islam kontemporari sebagai
tidak lagi releven dengan konsep negara moden. Mereka yang bukan Islam kini,
termasuk dalam negara kita Malaysia, adalah rakan senegara yang terlibat secara
langsung dalam membangunkan negara dan mempertahankan kedaulatannya dan
memperjuangkan kemerdekaan. Mereka adalah warga negara dan bukan lagi rakyat
jajahan takluk dengan status warganegara kelas dua. Mereka memperolehi
kedudukan muwatanah kamilah (full citizenship), memiliki hak-hak
seperti warga negara yang, mereka ada hak dan kebebasan untuk mengamalkan
ajaran agama dan mereka bebas untuk berpartisipasi dalam bidang-bidang ekonomi,
politik, sosial dan pembangunan negara.
5.3.4 Hak Kebebasan Agama: Sekali lagi kami ingin menyentuh
tentang Sahifah al-Madinah (Piagam Madinah). Kedudukan orang bukan Islam
sebagai warga negara dengan hak-hak yang sama seperti orang-orang Islam,
mempunyai tunjangan sejarah yang kukuh seperti yang terkandung dalam Sahifah
al-Madinah. Hak dan
tanggungjawab yang sama diberi kepada orang-orang Yahudi dan penganut agama
lain untuk hidup bebas dan berpartisipasi dalam masyarakat tanpa diskriminasi
dan penindasan. Sahifah
menyebut wa-annal Yahud Bani Auf ummatun ma`al mu’minin ( وأن
اليهود بنى عوف أمة مع الؤمنين) ‘bahawa Yahudi Bani Auf adalah satu umat bersama orang-orang
yang beriman’. Ikrar demikian mengukuhkan pernyataan dalam Mukadimah Sahifah
yang menegaskan rupa bentuk masyarakat Madinah sebagai ummatun waa-hidah min
duu-nin-nas ( أمة واحدة من دون الناس ) ‘satu umat yang berbeza dari orang yang lain’. Mereka bebas
mengamalkan ajaran agama Yahudi sebagaimana kaum muslimin bebas mengamalkan
ajaran Islam. Sahifah menyebut lil yahuud dii-nuhum wa lil muslimin
dii-nuhum ( لليهود دينهم وللمسلمين دينهم ) ‘bagi orang-orang Yahudi agama mereka dan bagi
kaum Muslimin agama mereka”. Seimbang dengan hak-hak yang mereka perolehi,
mereka juga memikul tanggungjawab yang sama sebagaimana kaum muslimin yang lain
seperti kaedah yang masyhur ‘lahum ma lana wa `alayhim ma `alayna’ ( لهم
ما لنا وعليهم ما علينا ) ‘bagi mereka hak seperti kita dan tanggungjawab juga seperti
kita’. Mereka perlu mempertahankan kedaulatan negara, memelihara keamanan dan
menjaga keharmonian hubungan dengan kaum muslimin.
5.3.5 Sahifah al-Madinah Jaminan Keadilan Semua: Konsep-konsep
utama yang terkandung dalam Sahifah, tidak berbeza dari konsep
kewarganegaraan atau citizenship dalam masyarakat moden yang secara umum
dimengertikan ‘sebagai seseorang yang menjadi anggota sebuah komuniti politik
atau negara, memiliki hak-hak dan tanggungjawab-tanggungjawab tertentu dan
baginya kebebasan untuk berpartisipasi secara penuh dalam proses politik dan
pembangunan sosial-ekonomi negaranya’.
Deklarasi
Al-Azhar hasil daripada sidang ‘Al-Muwatanah wal `Aish al-Mushtarak’
yang diadakan di Universiti al-Azhar al-Sharif, pada Februari 2017 menegaskan,
“this declaration states with conviction that citizenship is not an imported
solution, but the recovery of the early Islamic system of government applied by
the Prophet of God – prayer and peace be upon him – in the first Islamic
society founded by him: the State of Madina”.
Deklarasi ini juga menganjur agar semua pihak berhati-hati dengan
istilah ‘minoriti’ kerana seringkali istilah ini membawa bersamanya nada
diskriminasi dan pengasingan. Kita perlu secara berani mengangkat dasar-dasar
penting seperti yang terkandung dalam Sahifah, khususnya konsep muwatanah
agar difahami dan dihayati oleh masyarakat. Kefahaman konsep ini akan membantu
membentuk sikap masyarakat yang lebih positif dan terbuka dalam meraikan
kepelbagaian kaum dan agama di negara ini.
5.3.6
Kemajmukan Suatu Rahmat: Islam adalah
agama al-salam yang memberi penegasan luar biasa tentang cita-cita
mewujudkan kasih sayang, perdamaian dan kesejahteraan hidup manusia. Risalah
Islam hakikatnya adalah risalah keselamatan yang didatangkan dengan tujuan
menyantuni manusia dalam mendepani kepelbagaian manusia dari segi jantina,
bangsa, warna kulit, bahasa dan budaya. Dalam konteks Islam, kepelbagaian (al-ta`ddudiyyah,
al-tanawwu’) itu sendiri adalah bersifat tabi`i iaitu ketetapan dari Allah
SWT sejak azali, termasuk di dalamnya kepelbagaian agama dan kepercayaan. Allah
SWT menegaskan bahawa Dia dengan sengaja menjadikan manusia dengan sifatnya
berbagai bahasa dan warna kulit (al-Ruum 30:22). Al-Quran juga menjelaskan
bahawa penciptaan manusia, lelaki dan perempuan, kepelbagaian kaum dan bangsa
adalah untuk mereka saling mengenali; kenal mengenal yang membawa kepada
persefahaman, kasih sayang dan saling membantu (al-Hujurat 49:13). Islam
menyedari bahawa dalam situasi aman dan damai yang disertai persefahaman dan
kasih sayang sahaja manusia dapat bekerjasama bagi mengembangkan potensi diri
dan memanfaatkan sumber-sumber yang ada bagi kesejahteraan hidup. Pentingnya al-salam
(keselamatan, keamanan dan kedamaian) sehingga Islam menganjurkan supaya mereka
yang bertanggungjawab dengan misi-misi perdamaian dan keamanan tidak memandang
remeh setipis manapun peluang damai yang tinggal.
5.3.7 Fiqh
al-Taayush al-Silmi: Berasaskan
intipati al-salam ini, para
cerdik pandai Islam membangunkan ‘fiqh hidup bersama secara harmonis’ (fiqh al-taayush
al-silmi) yang membahaskan prinsip-prinsip Islam tentang keperluan hidup
bersama secara harmonis di tengah kepelbagaian ciptaan Allah SWT. Perbezaan
bangsa dan kaum, bahasa dan budaya, bahkan perbezaan agama adalah tanda-tanda
kekuasaan Allah SWT dan menjadi ujian kehambaan manusia. Perbezaan dan
kepelbagaian yang terdapat di tengah-tengah manusia tidak seharusnya menjadi
sebab timbulnya sangka buruk dan kebencian yang akhirnya membawa kepada
diskriminasi, sikap rasis serta ketidakadilan.
Kepelbagaian adalah ciptaan Allah SWT, dan manusia tidak berhak
mempersoalkan kebijaksanaan Allah SWT. Sebaliknya kita harus menerimanya secara
terbuka dengan sangkaan yang baik. Kepelbagaian harus dilihat sebagai ujian
Allah SWT bagi menentukan ketinggian akhlak dan ketaatan kita terhadap-Nya.
Berasaskan prinsip-prinsip hidup al-taayush al-silmi, sebuah masyarakat
harmonis dapat dibangunkan atas dasar kemuliaan insan (karamah insaniah), persaudaraan
senegara (uhuwwah wataniah) dengan sikap hormat menghormati, bertolak
ansur (tasaamuh) dan bekerjasama dalam kebajikan dan taqwa (taawun
`alal-birr wat taqwa). Asas-asas ini cukup kuat untuk membentuk kehidupan
yang harmonis dalam masyarakat.
5.3.8
Membendung Api Fitnah dan Kebencian: Perbezaan dan kepelbagaian mudah mencetuskan kebencian antara kaum
dan agama yang membawa kepada tersebarnya budaya fitnah dan kebencian.
Sekiranya hal ini diapi-apikan, tidak mustahil ketegangan akan bertukar menjadi
kekacauan dan tragedi seperti yang pernah berlaku di negara ini pada tahun
1969. Namun kenyataannya, hari ini di Malaysia, hubungan antara kaum tidak
menjadi lebih baik. Ada tanda-tanda yang jelas bahawa kebencian antara kaum
serta prejudis antara agama Islam dan agama-agama lain semakin meningkat ekoran
bertambahnya kenyataan-kenyataan rasis dan provokatif berbagai pihak. Pemimpin
dan parti-parti politik dan NGO-NGO tertentu mengambil kesempatan menangguk
sokongan dengan cara ‘menyerang kaum’ yang lain dan memainkan emosi dan
sentimen kaumnya sendiri. Mereka yang masih melaung-laung label-label
‘pendatang’ dan ‘penceroboh’, ‘balik Tongsan’ atau ‘balik benua’, ‘Cina babi’,
‘Hindu Paria’ terhadap kaum-kaum Cina dan India di negara ini adalah mereka
yang tidak memiliki ‘akal yang sejahtera’, fanatik dan berfikiran sempit. Tindakan
demikian akhirnya akan membawa kemusnahan (disaster) kepada negara.
Akhir-akhir ini kita mendengar kenyataan-kenyataan yang dibuat
dengan mengaitkan kaum Cina dengan DAP dan komunis. Cina, khususnya DAP dituduh
berusaha menempatkan pimpinan utama negara yang berbangsa Cina, mengubah negara
menjadi negara republik dan menukar status agama rasmi dari Islam kepada
Kristian. Dalam masa yang sama ada pemimpin Melayu bertindak menyemarakkan rasa
marah terhadap kaum yang lain dengan menggambarkan bahawa bangsa Melayu dan
agama Islam sedang diancam. ‘Himpunan Melayu Bangkit’ di Kampung Gajah
pada 1 September 2018 menjadi contoh. Seperti yang ditanggap oleh Presiden
Patriot, Brig-Gen Datuk Mohamed Arshad Raji, “ the rally does not add value
to the wellbeing and betterment of the nation and its people. Rather, it is a
hindrance and a setback to our nation's current strive for a united,
progressive and prosperous Malaysian society.”
5.3.9 Banyakkan
Interaksi, Bina Kefahaman: Kita
mengalu-alukan hasrat kerajaan untuk membentangkan RUU atau Akta Anti Kebencian
Agama dan Kaum, Akta Anti Diskriminasi dan Akta Suruhanjaya Harmoni dan
Perdamaian pada tahun 2019. Bagaimanapun
WADAH melihat perlunya engagement diperluas dengan melibatkan seramai
mungkin pihak yang berkepentingan termasuk badan-badan agama, NGO, tokoh-tokoh
agama dan para intelektual. Dialog dan sesi sumbangsaran dengan
kelompok-kelompok ini perlu untuk memastikan kandungan akta tersebut tepat,
adil dan saksama serta sedia didokong oleh majoriti masyarakat Islam dan bukan
Islam apabila dikuatkuasakan nanti.
Bagaimanapun kita meyakini bahawa keutamaan (awlawiyyat)
ialah menyebarluas kefahaman tentang prinsip-prinsip yang telah ditunjukkan
oleh Islam tentang hidup bersama secara harmonis. Hal ini harus bermula dengan
orang-orang Islam sendiri sebelum kita meminta orang lain memahami dan
menerimanya. Kita percaya sikap yang tepat serta contoh terbaik yang
ditunjukkan oleh pemimpin Islam dan penganut-penganut Islam sendiri akan
memberi impak besar mengubah sikap negatif dan prejudis mereka yang bukan Islam
terhadap agama Islam dan umatnya dan akan banyak membantu membina Bangsa
Malaysia yang kita dihasratkan. Kalau kita bersikap keras dan bengis terhadap
bangsa lain, janganlah kita mengharap mereka akan mendekati, memahami dan
berlemah lembut serta bertolak ansur dengan kita.
“Dan berkat rahmat Allah,
engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau
bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari
sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka
dalam urusan itu”. (Aali-Imran 3:159).
6.0 CABARAN
PENGISIAN
Cabaran mengisi kemenangan amatlah besar sekali. Cabaran datang
daripada pelbagai sudut, luar dan dalam sedangkan harapan umat menggunung
tinggi untuk melihat perubahan yang dijanjikan. Kegagalan untuk menggotakan
janji-janji pilihanraya bakal mengundang krisis kepercayaan yang pastinya akan
dieksploit semaksimumnya oleh golongan pembangkang.
Malaysia Baharu harus menunjukkan contoh yang terbaik dari segi
pelaksanaan Demokrasi, konsep pemisahan kuasa Legislatif, Eksekutif dan
Kehakiman, Keadilan Sosial, Hak Asasi dan Kebebasan. Malaysia bukan Turki,
Malaysia bukan Pakistan, Malaysia bukan Amerika Syarikat. Demokrasi yang ingin
dilaksanakan harus mengikut acuan keunikan negara ini yang sarat dengan realiti
kamajmukannya.
Cabaran yang mungkin saja boleh menjerumuskan negara ini ke lembah
perpecahan dan kehancuran ialah soal pelaksanaan Islam dalam sistem kenegaraan
yang melibatkan isu perundangan Islam dan undang-undang negara sedia ada yang
sebahagiannya bersifat sekularistik. Persiapan minda masyarakat bukan Islam adalah
diperlukan supaya mereka memahami hasrat murni umat Islam untuk melaksanakan syariat
agamanya. Ini memerlukan engagement yang berterusan dengan mereka bagi
mengurangkan prasangka negatif dan tentangan yang tajam. Isu kemajmukan
bukanlah suatu beban, tetapi ia suatu keistimewaan dan kekuatan bagi negara
ini. Kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya bukan ‘satu kesialan’ tetapi
‘anugerah rahmat’ dari Allah SWT. Tidakkah boleh kita melihatnya sebagai
cabaran Allah SWT terhadap kita untuk mengemukakan sebuah model untuk dunia:
model hidup bersama secara aman, saling
memahami, berkerjasama dan bertolak ansur bagi kesejahteraan bersama?
Satu lagi
cabaran yang berterusan kita hadapi adalah daripada gerakan Islamophobia yang
terancang. Deepa Kumar dalam bukunya
bertajuk Islamophobia and the Politics of
Empire dan Nathan Lean dalam The
Islamophobia Industry: How the Right Manufactures Hatred of Muslims
menerangkan bahawa fenomena Islamophobia adalah gerakan terancang melalui
rangkaian para akademia, badan pemikir, ahli politik berkepentingan, pihak
keselamatan, industri filem, media arus perdana dan media sosial serta pelbagai
badan bukan kerajaan yang ditaja dengan dana yang banyak.
Para pemimpin negara Islam yang bercita-cita untuk membebaskan diri
daripada perhambaan dan penjajahan Barat dihitamkan citranya, dihina dan
dicemuh secara terancang oleh rangkaian gerakan Islamophobia ini. Inilah yang
berlaku kepada Presiden Recep Tayyib Erdogan, pemimpin Turki yang kini matawang
negaranya diserang teruk supaya ekonomi Turki merudum jatuh dengan matlamat
akhirnya untuk menjatuhkan beliau sebagai pemimpin dan digantikan dengan
pemimpin boneka.
Dalam hal yang berkaitan, sebarang usaha untuk melaksanakan undang-undang
syariah di negara ini bakal mengundang kontroversi dan menjadi polemik bukan
sahaja di dalam Negara, tetapi juga di luar Negara. Dengan ini, kita harus
memahami Fiqh al- Waqi’ atau Faham Realiti semasa, Fiqh al-Awlawiyyat
atau Faham Keutamaan. Kita memerlukan para ulama dan intelektual Islam untuk
mengambil tanggungjawab meneroka dan mendalami isu-isu seperti ini dan
memberikan jalan penyelesaian yang penuh dengan kebijaksanaan (al-hikmah)
dengan mengambil kira realiti yang sebahagiannya tidak wujud dalam sejarah
Islam masa lalu
7.0 SERUAN
DAKWAH DENGAN RUH AL-JIHAD
Sebagai sebuah Gerakan Islam, dakwah adalah asas bagi segala
pergerakan kita. Dalam keadaan apa pun walau senario sosio-politik-ekonomi
berubah atau geopolitik mencabar kemandirian kita, rekayasa dakwah dan amanah
dakwah perlu tetap sebati dalam perjuangan kita - walau berat untuk dipikul.
“Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat”
(al-Muzammil 73:5)
Dakwah dan politik tidak boleh dipisahkan kerana ia adalah kerangka
quranik yang merupakan tuntutan perlaksanaan dan penghayatan prinsip Amar
Ma’ruf Nahi Mungkar.
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia,
menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada
Allah” (Ali ‘Imran 3:110)
7.1 Dakwah di Jalur
Politik, Politik di Jalur Dakwah: Sejarah
perjuangan dakwah dan politik kekuasaan sejak zaman Kerasulan disusuli dengan Khulafa’
Al-Rasyidin, Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah, Kerajaan Andalusia (Sepanyol), Kesultanan
Seljuk, Kesultanan Mughal dan Khilafah Uthmaniyyah ternyata sarat dengan
konflik dalaman dan peperangan menentang musuh dalaman dan luaran.
Sebahagiannya disertai tragedi ‘bermandikan darah’. Justeru itu, pemimpin gerakan
dakwah yang diamanahkan untuk menangani politik kekuasaan harus mempunyai daya
mental, kekuatan rohani, kejituan fizikal dan ketahanan dalaman serta luaran.
Sejarah mungkin sahaja berulang. Menelaah dan mengambil ibrah sejarah masa lalu
akan membantu kita untuk membaca perancangan musuh dan lebih bersedia untuk
berdepan dengan ‘serangan’ mereka.
Politik adalah sebahagian daripada cabang dakwah yang wajib
disantuni oleh Gerakan Islam. Muhammad Natsir, tokoh pemersatu bangsa Indonesia,
pemikir dan da’i unggulan menyarankan formula “berdakwah di jalur politik, berpolitik dijalur dakwah” sebagai kerangka
dalam menangani persoalan Islam dan kenegaraan. Politik tanpa dakwah akan
menghancurkan umat, tegas beliau.
7.2 Ibrah
daripada Gerakan Islam Antarabangsa: Sebagai Gerakan Islam yang relatif baru, kita bersyukur kerana berpeluang
untuk menimba banyak pengalaman gerakan lain. Kita sentiasa bersikap terbuka
dan ingin belajar dari mana-mana pengalaman berharga, baik atau buruk sebagai ibrah yang sangat berguna.
Pengalaman dakwah dan politik mutakhir Gerakan Islam di Mesir,
Sudan, Tunisia, Pakistan, Turki, dan Indonesia banyak mengajar kita bahawa
apabila kuasa mendatangi kita, maka ujian keimanan dan keikhlasan perjuangan selalunya
menjadi taruhan. Seringkali Gerakan Islam menemui kegagalan kerana menderita
sindrom ketagihan kuasa. Apabila mendapat kuasa, maka kuasa berubah menjadi
matlamat bukan lagi wasilah seperti pegangan asal. Mereka yang sudah mendapat
kuasa sanggup melakukan apa saja termasuk menjual maruah dan harga diri demi
memburu dan mempertahankan kuasa. “Power
at all cost” adalah politik-tanpa-prinsip yang menghalalkan segala cara.
7.3 Pendekatan
Nonpartisan: Gerakan kita
kekal dengan pendekatan non-partisan. Ia adalah dengan pengertian bahawa
gerakan tidak terikat dan bebas daripada tertakluk dengan mana-mana parti
politik, bebas menyokong pada waktu tertentu atau menentang pada waktu yang
lain, mengikut maslahah dakwah. Ini adalah suatu hikmah atau kebijaksanaan yang
mesti dipertahankan. Atas dasar yang sama ahli-ahli adalah individu-individu
yang tidak dihalang untuk menyertai mana-mana parti politik mengikut kehendaknya
selaras dengan hak demokratik yang dijamin Perlembagaan.
Gerakan kita akan terus memainkan peranannya sebagai Gerakan Dakwah
yang syumul, menyantuni pelbagai dimensi kehidupan. Politik adalah persoalan umur
janibiyyah, urusan yang perlu digarap apabila tiba waktu yang diperlukan.
Namun dimensi dakwah begitu luas lebih dari sekedar dimensi politik. Pendidikan,
kebudayaan, media, sosial, sains dan teknologi adalah dimensi-dimensi yang juga
amat mencabar. Kerja-kerja dakwah dalam bidang ini perlu digarap secara menyeluruh
dan bersungguh-sungguh demi memenuhi cita-cita islah dalam pengertiannya
yang sebenar.
7.4 Tumpuan
kepada Gerakan Kaderisasi: Perkara yang perlu
diberi perhatian segera ialah persoalan kaderisasi sebagai usaha berterusan
untuk menyiapkan barisan pelapis berkualiti yang mampu memimpin cabaran
zamannya. Gerakan Muhammadiyyah (1912) berjaya bertahan dan terus relevan
hingga kini dengan adanya Madrasah Muallimin dan Muallimat yang diasaskan pada
tahun 1918 yang bertujuan untuk mempersiapkan para pemimpin, bukan sahaja untuk
menguruskan pelbagai agensi pendidikan, kesihatan dan khidmat sosial
Muhammadiyyah yang mempunyai 50 juta ahli, tetapi juga menjadi pemimpin bagi
memimpin bangsa dan membangunkan negara. Dalam hal ini, WADAH dan
gerakan-gerakan Islam yang lain perlu saling mengongsi pengalaman dan kejayaan
gerakan-gerakan yang lain – sama ada gerakan Islam dan bukan – demi membina
model yang lebih berkesan dan mampu menghadapi cabaran-cabaran baru yang
mendatang.
7.5 Permulaan
yang Menggembirakan: Tahun 2018
adalah tahun yang bersejarah buat Gerakan tercinta. Selain dari kejayaan
bersejarah menukar kerajaan secara aman dalam PRU ke 14 yang lalu, ada lagi tiga
peristiwa penting yang menggembirakan kita.
Sebagai anggota gerakan Islam dan gerakan reformasi, kita harus
bersyukur dapat menyaksikannya kejayaan dan peristiwa-peristiwa ini berlaku di
hadapan mata kita Tidak semua mereka yang berjuang berkesempatan melihat dan
menikmati hasil dari perjuangan mereka. Kita percaya kejayaan yang menyeluruh
belum tercapai, namun peristiwa-peristiwa ini memberi kesan yang positif ke
arah perubahan dan kejayaan yang lebih bermakna pada masa hadapan.
Pertama ialah pengampunan penuh oleh Yang Di-Pertuan Agong terhadap
segala tuduhan yang didakwa ke atas Anwar Ibrahim pada 10 Mei 2018. Sekaligus itu
membebas dan membersih beliau daripada segala rekod jenayah. Ini bermakna, 20
tahun perjuangan dan usaha membersihkan nama beliau dari segala fitnah dan
mehnah berakhir dengan kemenangan berganda; bebas dari fitnah dan tuduhan
jenayah seksual serta menang Pilihanraya ke-14. Insya-Allah seterusnya beliau
diharap menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8.
Kedua, Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik menjadi Timbalan Perdana
Menteri pada 22 Mei 2018. Dengan demikian beliau menjadi wanita pertama menjawat
jawatan tersebut buat negara ini. Beliau memimpin Parti Keadilan Rakyat dengan
tabah dan sabar, menghadapi segala rintangan dan suasana jerih perit perjuangan
tanpa suami di sisi. Beliau menjadi ikon
seorang pemimpin wanita Islam yang lemah lembut tetapi berjiwa waja. Gerakan
kita menyokong sepenuhnya kepemimpinan Dr Wan Azizah dan mengharapkan
pemerkasaan peranan wanita akan lebih menyerlah dalam pembinaan negara.
Ketiga, Ustaz Dr Siddiq Fadzil telah ditabalkan sebagai Tokoh Ma’al
Hijrah 1440H oleh Yang Di-Pertuan Agong pada 10 September 2018. Anugerah ini
bagi kita ialah pengiktirafan terhadap perjuangan Gerakan tercinta, melalui
fasa bangun dan jatuh mengharungi ranjau dan duri dengan penuh kesabaran sejak
tahun penubuhan ABIM pada tahun 1971.
Tiada kalimah yang mampu diungkapkan selain ucapan syukur
Alhamdulillah atas segala rahmah dan barakah berkat keikhlasan perjuangan kita
semua.
8.0 KESIMPULAN:
DARI DAKWAH KE DAWLAH
Tugas dan perjuangan dakwah kita kini telah memasuki fasa baru.
Hijrah al-Rasul SAW dari Mekah ke Madinah adalah titik menandakan meningkatnya marhalah
dakwah ke marhalah dawlah. Begitulah takdir menentukan buat kita
semua. Kemenangan Pakatan Harapan pada 9 Mei 2018 dan Anugerah Tokoh Ma’al
Hijrah kepada Ustaz Dr Siddiq Fadzil dapat kita lihat sebagai titik bertambahnya
peranan dan tanggungjawab dari sekedar Dakwah kepada menguruskan Dawlah. Medan
dakwah semakin luas terbentang, semakin kompleks dan mencabar.
Misi kita ialah misi
pembebasan daripada kejahilan pelbagai bentuk; misi pembebasan daripada kemiskinan
jiwa, minda dan harta; misi pembebasan daripada perpecahan sesama umat. Dalam
memikul tugas-tugas besar ini kita tidak boleh mempunyai sebarang alasan untuk
gagal. Di hadapan kita ialah ruang dan peluang dakwah yang luas terbentang.
Tiada lagi igauan ketakutan dan kebimbangan tindakan-tindakan keras dan
intoleran kerajaan masa lalu yang bergelumang dengan penyelewengan, penyalahgunaan
kuasa dan rasuah.
Di samping itu, kita terus menyatakan rasa solidariti tidak
berbelah bagi dengan perjuangan pembebasan yang belum berakhir oleh rakyat
Palestin dan Kashmir serta seluruh pejuang-pejuang kebebasan di seluruh dunia
tanpa mengira bangsa dan agama. Kita juga ingin menyatakan rasa simpati yang
mendalam terhadap saudara-saudara seagama di Yaman, Syria, Rohingya serta Uighur
yang menjadi mangsa perang, penindasan, penyiksaan dan mangsa pembunuhan kejam.
Kami menyeru agar Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Organization of Islamic Countries
(OIC) dan pemimpin-pemimpin dunia segera mengambil tindakan menghentikan perang
dan kezaliman yang memangsakan ramai yang tidak berdosa. Sudah banyak persidangan dan rundingan yang
dibuat, namun tidak ada tindakan berkesan diambil, walk the talk! Kerajaan
Malaysia yang baharu perlu tampil memainkan peranan aktif menggerakkan
usaha-usaha yang berkesan di peringkat antarabangsa bagi menghentikan
kezaliman-kezaliman yang terjadi.
Ayuh, kita satukan saf, ikhlaskan nawaitu perjuangan, tingkatkan
dakwah dengan ruh al-jihad demi mendapat mardhatiLlah dengan
ganjaran syurgawi menanti, insya-Allah.
Allahu Akbar! Allahu
Akbar! Allahu Akbar!
RUJUKAN
Allawi, Ali A. 2009. The Crisis of
Islamic Civilisation. New Haven: Yale University Press.
Johnson, Chalmers. 1982. MITI and the
Japanese Miracle: The Growth of Industrial Policy, 1925-1975. California:
Stanford University Press.
Kumar, Deepa. 2012. Islamophobia and
the Politics of Empire. Chicago: Haymarket Books.
Lean, Nathan. 2017. The Islamophobia
Industry: How The Right Manufactures Hatred of Muslims, London: Pluto Press
Muhammad Hamidullah. 1997. The Life
and Work of The Prophet of Islam. Islamabad: Islamic Research Institute’s
Press
Hofmann, Murad. 1992. Islam: The
Alternative. Beltsville: Amana
Publications
M. Natsir. 2001 Agama dan Negara
Dalam Perspektif Islam. Jakarta: Media Da’wah
Siddiq Fadzil. 2012. Islam dan
Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat. Kajang: Akademi Kajian
Ketamadunan.
Sundaram, Jomo Kwame. 2009. “What Can the Developing World Learn from
Post-Colonial Malaysia’s Development Experience?” dalam Nungsari Ahmad Radhi
and Suryani Senja Alias (penyunting). 2009. Readings
on Development: Malaysia 2057 – Uncommon Voices, Common Aspirations. Kuala Lumpur: Khazanah
Nasional Berhad.
Syed Muhammad Naquib al-Attas. 1978. Islam
and Secularism. Kuala Lumpur: Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM).
Syed Muhammad Naquib al-Attas. 2001. Risalah
Untuk Kaum Muslimin. Kuala Lumpur: Institut Antarabangsa Pemikiran dan
Tamadun Islam (ISTAC).
Tarek Osman. 2016. Islamism: A History of Political Islam From The Fall of
Ottoman Empire To The Rise of ISIS. New Haven: Yale University Press.
Wan Mohd Nor Wan Daud. 1991. Penjelasan
Budaya Ilmu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.