UCAPAN DASAR MUKTAMAR SANAWI ABIM KE-47
MALAYSIA BAHARU: ‘MENGANGKAT ASPIRASI RAKYAT,
MEMARTABATKAN AMANAH UMAT’
MOHAMAD RAIMI AB.RAHIM
PRESIDEN ABIM
Yang
Dihormati Profesor Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman,
Pengerusi
Majlis Syura Kebangsaan
Yang
Dikasihi Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil,
Ketua
Majlis Istisyari Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
Yang
Berbahagia Tuan Haji Abdul Halim Ismail,
Pengerusi
Majlis Perundingan Kebangsaan ABIM
Yang
Berbahagia Tuan Haji Ahmad Azam Ab. Rahman,
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
Yang
Berusaha Saudara Muhammad Nur Iman Abdul Khudus,
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Yang
Amat Berhormat, Tuan Haji Aminuddin bin Harun,
Dato’
Menteri Besar Negeri Sembilan
Yang
Berhormat, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim,
Ahli
Parlimen Port Dickson merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat
Yang
dimuliakan tetamu-tetamu kehormat
Teman-teman
seperjuangan; Saf Pimpinan dan Ahli Jawatankuasa Kerja ABIM
peringkat
Pusat, Negeri dan Daerah,
Ketua-ketua
Agensi ABIM dan kaum kerabat besar pendukung Wadah-ABIMPKPIM,
Muktamirin
dan Muktamirat, perserta Seminar Kebangsaan: Visi Islam Dalam Aspirasi Malaysia
Baharu yang dirahmati Allah sekalian,
Assalamu’alaykum
Warahmatul’Lahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Mewakili
seluruh Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (AJKP), saya mengalu-alukan dengan penuh
takzim kehadiran para muktamirin-muktamirat dan para hadirin yang dimuliakan ke
Muktamar Sanawi kali ke-47 Angkatan Belia Islam Malaysia dan Seminar Visi Islam
dalam Aspirasi Malaysia Baharu.
Al-hamdulil’Lah,
setinggi-tinggi puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat
Ilahi atas limpah kurnia-Nya, dapat kita meneruskan tradisi harakah
tercinta untuk berhimpun, bermuktamar dan berseminar buat
kesekian kalinya. Selawat dan salam buat junjungan tercinta, penghulu para
Anbiya dan sekalian para mujaddidin;
baginda Ar Rasul Nabi Muhammad SAW, para sahabat ridhwanullahi
álaihim ajma’in serta seluruh para pelanjut risalah nubuwwah,
pewaris amanatu’d dakwah yang
telah pergi mendahului kita.
Baru
semalam rasanya, sebahagian dari kita hadir menyaksikan majlis penuh bersejarah
Muktamar Sanawi ABIM ke-46 dan Ijtimak Harakiy WADAH-ABIMPKPIM ke-5 yang telah
berlangsung dengan jayanya di Bandaraya Shah Alam, Selangor Darul Ehsan pada
2017.
Pada hari
yang penuh gemilang ini, seluruh warga besar ABIM kembali sekali untuk berhimpun
menyatukan tekad di bumi Negeri Sembilan Darul Khusus setelah genap satu dekad
kita melaksanakan Muktamar Sanawi ABIM ke-37 di Pusat Dakwah Islamiyyah, Paroi
pada tahun 2008. Pemilihan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai
bukanlah dibuat secara kebetulan, tetapi sebagai satu pengiktirafan terhadap
reputasi USIM sebagai institusi pendidikan tinggi Islam yang selayaknya dijulang.
ABIM ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggitinggi penghargaan
kepada Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus di bawah teraju pimpinan Y.A.B
Dato’ Menteri Besar Negeri Sembilan, Y.A.B Tuan Hj Aminuddin Harun di atas
sokongan penuh beliau bagi menjayakan Muktamar dan Seminar ini, pihak Majlis
Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) serta penghargaan khusus buat Prof Dato’ Dr
Musa Ahmad, Naib Canselor USIM dan seluruh warga USIM atas segala kerjasama
yang diberikan.
TEGUH
MELAKAR HARAPAN
“Demi
sesungguhnya, Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menerangkan (hakikat
kebenaran dengan berbagai dalil dan bukti); dan Allah memberi hidayah petunjuk
kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.”
(Al-Nur:
46)
Pada
Muktamar yang lalu, kami telah menggariskan halatuju penting pergerakan ABIM
seperti yang termaktub dalam Ucapan Dasar bertajuk ‘Memperteguh
Tekad Perjuangan, Melakar Harapan Masa Depan’.
Bertepatan dengan tema Seminar Politik Islam dan Demokrasi pada tahun lalu,
kami telah menegaskan peri pentingnya pengukuhan elemen spiritual dan
pemantapan tarbiyyah ruhaniyyah
dalam
membulatkan tekad perjuangan meniti detik-detik getir kemelut politik yang
membelenggu tanahair menjelang Piliharaya Umum ke-14. Pembongkaran keserakahan
dan kecurangan pimpinan kleptokratik dan lingkaran skandal yang menconteng
arang ke muka rakyat dan menjatuhkan maruah negara di mata dunia telah
menyaksikan kita bersama-sama arus kebangkitan rakyat menuntut perubahan kepimpinan
politik tanahair.
Tanpa
mengenal jemu, ABIM terus istiqamah melaksanakan misi pencerahan, pendidikan
dan pemberdayaan umat di tengah-tengah kekeliruan dan keresahan rakyat yang
berpanjangan, setia mengabdikan diri menjayakan misi profetis mengeluarkan umat
dari kegelapan kepada terang benderang cahaya – an
akhrij qaumaka min al Zulumat ila an Nur. Tanpa
ragu, bahkan dengan penuh optimisme, ABIM
bingkas melaksanakan amanat dakwah amar ma’ruf nahi mungkar sebagai
jurubicara umat – Menegakkan
Kebenaran dan Keadilan yang menjadi motto perjuangan ABIM.
Obor
keyakinan kita dinyalakan oleh idealisme, keberanian zaman dan harapan generasi
muda pewaris negara yang mendambakan era masa hadapan yang lebih gemilang buat
Malaysia yang merupakan tanahair, tempat tumpah darah tercinta.
Pada
tanggal 9 Mei 2018, fajar Malaysia Baharu telah terbit, membawa bersamanya sinar
harapan yang menggunung tinggi dan cita-cita yang melangit luas. Justeru bersempena
perubahan politik negara yang berlaku pasca Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu,
ucapan dasar kali ini akan membawakan bertajuk ‘Malaysia
Baharu: Mengangkat Aspirasi Rakyat, Memartabatkan Amanah Umat’ bagi
menggariskan haluan
dan halatuju gerakan ABIM dalam era Malaysia Baharu.
ABIM
DAN PERJUANGAN RAKYAT
Sejak
dari awal penubuhannya, ABIM sentiasa meletakkan perjuangan membela nasib
rakyat dan sebagai landasan pergerakannya. Dari peristiwa bersejarah pembelaan
nasib para petani dan fakir miskin di Baling 1972 sehinggalah membawa kepada
perjuangan meledakkan arus Reformasi di penghujung abad lalu, ABIM tidak pernah
absent atau sekali-kali berundur menjauhkan
diri dari bergelumang bersama keringat rakyat marhen yang membasahi medan
perjuangan. ABIM tidak akan membisu, bahkan sentiasa berusaha menyuarakan dhamir,
suara hati dan keluhan rakyat akar umbi – the voice
from below – yang tersemat di nurani MEREKA namun
tidak mampu dizahirkan dengan kalimat atau kudrat dek kerana dipasung belenggu
ketakutan dan hambatan kebendaan. ABIM lahir dari rahim umat, maka kepada
umatlah ABIM akan kembali berkhidmat!
Di
sebalik pelbagai dinamika yang dicorakkan menurut keperluan dan tuntutan zaman,
ABIM sentiasa konsisten menggalas amanah dan tanggung jawabnya menjadi jurubicara
dan pembela umat. Kenyataan ini jelas telah diperakui secara akademik lewat
kajian oleh John N. Funston, John L Esposito, Gordon P. Means, Saliha Hassan,
Dr Syed Khairudin Al-Junied, dan pelbagai kajian akademik berkaitan. Fakta
sejarah tidak dapat menafikan peranan gerakan ABIM sebagai pelopor terawal sejarah
tercetusnya gelombang kebangkitan perjuangan reformasi sejurus pemecatan Dato’
Seri Anwar Ibrahim pada 1998. Hakikat ini tambah diperkukuhkan dengan penangkapan
barisan pimpinan utama ABIM ketika itu yang diterajui oleh Ahmad Azam Ab.
Rahman.
Di
gelanggang keramat perjuangan, Pusat Latihan ABIM (PLA) telah menyaksikan lahirnya
GERAK – sebuah gerakan kerakyatan yang diterajui ABIM bersama beberapa
pertubuhan seperjuangan, yang kemudiannya membidani kelahiran Parti Keadilan
Nasional (KEADILAN).
Peranan
utama ABIM selaku pendukung utama gelombang reformasi diperakui antara lain
oleh Meredith Leigh Weiss yang mengabsahkan dalam tulisan berikut:-
“…Anwar
and followers organized a massive socio political reform movement under the
name reformasi. ABIM assumed a key role in the movement, resuming its
traditional oppositional stance. ABIM members generally allied with PAS or with
newcomer Keadilan, a political party centered around Anwar and the social justice
concern of the Reformasi movement. This time, along with the other NGOs as well
as opposition parties, ABIM called for justice, civil liberties, and a change of
government. (Meredith L. Weiss, 2005)
Dua
dekad berikutnya menyaksikan pelbagai onak dan duri terpaksa diharungi ABIM dan
para penggeraknya untuk meneruskan kesinambungan dakwah. Tidak sedikit yang
menjauhkan diri dan mencurigai gerakan ini sepanjang tempoh tersebut. Atas nama
kebenaran dan keadilan banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan untuk
memelihara kelestarian perjuangan ini.
Sepanjang
20 tahun – dari Reformasi ke Malaysia Baharu – gerakan besar ABIM telah
mengangkat dan mengarusperdanakan seperangkat gagasan fiqh Islam kontemporari
seperti Fiqh al-Dawlah (Fiqh
Kenegaraan), Fiqh al-Muwatanah (Fikih
Kewarganegaraan), Fiqh al Taghyir (Fikih
Perubahan), Fiqh al-Ta’ayush al-Silmi (Fikih
Kerukunan Hidup Bersama) dan mengarusperdanakan gagasan pemikiran Islam dengan
tafsiran baharu seperti konsep Islam Rahmatun lil ‘Alamin selain
mempelopori as-Sahwah al-Maqasidiy –
kebangkitan wacana Maqasid Syariah di Malaysia. Manhaj
Maliziy pula telah sememangnya sinonim
dengan manhaj pergerakan dakwah ABIM sejak sekian lama terus diterjemahkan
dalam menangani pelbagai isu umat.
Karya-karya
ulama’-ulama’ muktabar kontemporari seperti Thaurah
Sya’ab (Kebangkitan Rakyat) oleh Sheikh Dr
Yusuf Al-Qaradhawi, Al-Ummah Hiya al-Asl (Kuasa
Rakyat) Dr Ahmad Al-Raysuni (2014), Tiba’i al Istibdad (Abdul
Rahman Al-Kawakibi) dan pelbagai karya-karya berkaitan fikih siyasah telah
dijadikan rujukan asas para aktivis ABIM sepanjang menjunjung amanat pencerahan
ke arah politik perubahan sebelum ini. Fikrah yang terhasil melalui karya-karya
ini jelas bermatlamat mendidik dan seterusnya memperkasakan rakyat agar tampil
berani di hadapan penguasa dan aparatnya yang menindas, sebagaimana mereka
harus berani keluar dari cengkaman agamawan yang menjadi pendukung setia aliran
kediktatoran yang disebut Al-Kawakibiy sebagai fuqaha
al- Istibdad.
Faham
kedaulatan rakyat yang bersumberkan prinsip Quranik seperti karamah
insaniyyah dan al-hurriyah
yang disebarluaskan kepada rakyat ternyata telah mengisi makna
dan pengertian laungan ‘suara rakyat suara keramat’ –
bahawa people’s power itu
bukan sekadar retorika kosong atau selamanya terkait dengan revolusi berdarah sepertimana
yang ditakut-takutkan oleh gerombolan elit penguasa yang sebenarnya diselubungi
ketakutan. Ternyata ungkapan keramat Syakh Wahbah Zuhayli –
as-Sha’b Masdar al-Sultah – bahawa rakyatlah sumber kekuasaan
pemerintah telah benar-benar terzahir dengan jayanya dalam proses peralihan
kepimpinan negara pada 9 Mei.
Menyongsong
ke arah pembentukan Malaysia baharu, tidak keterlaluan untuk kita menyatakan
ABIM telah membuat sumbangannya yang tersendiri dalam mencorak tasawwur dan
mempersiapkan pemikiran rakyat (conditioning the mind of people)
untuk mencetuskan arus perubahan. Peranan signifikan ABIM dalam mencorakkan dinamika
persaingan politik berasaskan Islam di Malaysia turut dinukilkan oleh N.J Funston
tatkala menyentuh peranan NGOs sebagai determinants – faktor
penentu – kepada
sebarang perubahan politik di Malaysia,
“Islamic
NGOs have played an important role in highlighting Islamic affairs in
particular ABIM, both as pressure group in its own right and in providing party
leadership.” (Funston, N.J, The Rise of
Political Islam in Malaysia: From Kaum Muda to Islamic State, 2017)
ABIM
DAN GERAKAN MASYARAKAT MADANI
Dalam
temubual baru-baru ini sejurus PRU Ke-14; Meredith L. Weiss sekali lagi tidak
mengkesampingkan peranan ABIM dalam menggembleng potensi massa ke arah
merealisasikan politik perubahan menerusi sektor masyarakat sivil & madani:
“The
other aspect that tends to be overlooked in Malaysia in critiques of the urban bias
of civil society is the extent to which religious organizations, particularly Islamist
organizations but also Christian and others, have really mobilized… These
organizations have helped to mobilize electorally, in both urban and rural areas,
and sometimes in really functional ways… There are organizations such as the
Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM) that will train people who want to run
in office and give them the skills they need to contest - both men and women,
and whatever party they might want to run for. I see them as part of a larger
enterprise of gearing up civil society and activists to make people care about participating
politically and to think about coming up with better measures for evaluating
electoral politics.” (Weiss, ML, 2018)
Di
sebalik optimisme yang terjelma dalam era Malaysia Baharu, ABIM serta para penggeraknya
tidak seharusnya culas, apatah lagi absent daripada
terus mempelopori agenda pencerdasan dan pendemokrasian rakyat. Ruang yang
terbuka di lapangan masyarakat sivil (Civil Society)
perlu dimanfaatkan untuk memperjuangkan agenda pendidikan demokrasi,
kewarganegaraan, kebebasan, keadilan, hak asasi, dan
kedaulatan undang-undang. Walaupun selalunya pendirian yang diutarakan tidak
disenangi sesetengah pihak, ABIM tetap teguh berpegang pada idealisme Reformasi-Islahiy
serta telah cuba berperanan sebaik mungkin sebagai jurubicara bagi
memperjuangkan isu-isu rakyat di lapangan masyarakat madani.
“Dan
di antara orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada satu umat yang memberi
petunjuk dengan kebenaran, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.” (Al-A’raf:
181)
1.
Skandal Kewangan 1MDB
Seakan
semalam rakyat Malaysia telah terpalit dengan lembah kleptokrasi setelah pendedahan
mengenai skandal membabitkan 1MDB didedahkan oleh Jabatan Keadilan Amerika
Syarikat (DOJ). Umum mengetahui bahawa kemelut 1MDB mempunyai kesan yang sangat
mendalam terhadap ekonomi negara sehingga ke hari ini. Atas dasar tersebut ABIM
telah konsisten menyatakan secara lantang mendesak skandal
tersebut disiasat secara tuntas. ABIM juga mendesak dokumen-dokumen berkaitan
1MDB didedahkan secara terbuka untuk siasatan secara telus. Skandal kewangan
tersebut telah menjejaskan tatakelola institusi-institusi lain termasuk Tabung
Haji.
Pada
Mei 2015, negara telah dikejutkan dengan dakwaan yang dimuatkan dalam blog The
Benchmark, bahawa Tabung Haji telah membeli
dua bidang tanah projek Tun Razak Exchange (TRX). Blog tersebut mendakwa, ia
masing-masing dibeli dengan harga RM194 juta (RM2,860 sekaki persegi) dan RM578
juta (RM3,900 sekaki persegi) sedangkan 1MDB didakwa mendapatkannya hanya
dengan kos hanya RM90 sekaki persegi.
ABIM
serta para aktivisnya telah mengemukakan laporan polis di seluruh negara dan menggesa
agar siasatan serta tindakan diambil ke atas perkara tersebut. ABIM juga telah
menyerahkan memorandum mendesak perletakan jawatan pihak yang terlibat di
sebalik skandal tersebut. Namun, pada ketika itu bantahan ABIM dipandang “sepi”
oleh pihak berwajib, sebaliknya mereka lebih berminat untuk mengambil tindakan
menerusi siasatan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Perkembangan
mutakhir menyaksikan bahawa siasatan terhadap kedua-dua skandal telah
dimulakan. ABIM amat mengalu-alukan siasatan tersebut dan mengharapkan pihak
yang terlibat akan diadili setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Siasatan dan
pendakwaan tersebut amat penting bagi memulihkan semula integriti tatakelola kewangan
negara yang tercalar sebelum ini.
2.
BERSIH & Amalan Politik Berintegriti
Berpegang
kepada fatwa Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi bahawa mengundi adalah sebuah
kesaksian, ABIM atas kapasitinya sebagai salah satu NGO Gabungan Pilihanraya
Bersih & Adil (BERSIH), telah menolak secara keras sebarang usaha untuk
memanipulasi sistem politik yang menafikan amalan demokrasi berasaskan pilihanraya
secara tulen dilaksanakan di negara ini. ABIM telah menyuarakan sokongan
terbuka serta menggesa seluruh rakyat berpartisipasi dalam semua perhimpunan-perhimpunan
aman anjuran BERSIH sejak awal penubuhannya.
Sebelum
menjelang PRU Ke-14, bertarikh 25 Mei 2017, ABIM bersama BERSIH telah
melancarkan inisiatif filem pendek bertajuk ‘Buang’ untuk menarik minat generasi
muda tampil mendaftar sebagai pengundi. Mesej jelas dari filem pendek tersebut
adalah risiko besar yang bakal dihadapi rakyat iaitu terpaksa menerima si
penindas sebagai pemimpin sekiranya mereka berterusan mengabaikan
tanggungjawab
untuk membuang undi. Hasil kerjasama ABIM, Bersih dan HAS Academy Film, filem
pendek tersebut telah menjadi satu fenomena dalam kalangan pengguna media
sosial dan seterusnya telah berjaya merangsang minat generasi muda tampil
mendaftar sebagai pengundi.
Komitmen
ABIM terhadap amalan politik berintegriti tidak hanya terfokus pada
pengendalian pilihanraya semata-mata. ABIM berusaha mengketengahkan pandangan
yang dikemukakan oleh Prof Edmund Terence Gomez untuk merealisasikan model
pendanaan politik awam di negara ini menerusi penganjuran siri wacana dengan
kerjasama BERSIH. Dalam hal yang berkaitan juga ABIM telah
bersama-sama
rakan NGO yang lain seperti Engage dan G25 telah mengemukakan pandangan ke arah
pelaksanaan perundangan dan peraturan berkaitan dana awam untuk parti politik
kepada pihak berwajib.
Di
kesempatan ini, ABIM ingin terus menggesa agar kerajaan Pakatan Harapan yang
telah mengambil alih Putrajaya menyatakan komitmen untuk mengusulkan di
Parlimen cadangan ABIM untuk menggubal
undang-undang bagi mengawal selia political funding dan
dana awam bagi tujuan pilihanraya dalam PRU akan datang.
3.
Mempertahankan Kesejahteraan Ekonomi Rakyat.
Pada 4
November 2015, ABIM bersama dua rakan NGO lain telah memfailkan semakan
kehakiman untuk menghalang perlaksanaan Perjanjian Perdagangan TransPasifk
(TPPA) di antara Malaysia, Amerika Syarikat dan 11 negara lain (Mohamad Raimi
& 2 Others v Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak & 2 Others). Tindakan ini
didorong atas rasa keperihatinan akan kedaulatan ekonomi negara yang menaungi
kesejahteraan kehidupan rakyat yang ternyata dikesampingkan melihat kepada
keseluruhan proses kelulusan TPPA yang secara semberono dipaksakan ke atas
rakyat tanpa konsultasi dalam erti kata sebenar. Melalui jaringan luas NGO
antarabangsa merentasi 12 negara yang terkesan dengan cadangan pelaksanaan
TPPA, tindakan ABIM membuat semakan kehakiman melalui saluran undang-undang
telah memberikan impak penting yang mendorong kerancakan kempen global secara
berterusan menentang TPPA di seluruh dunia, yang akhirnya menyaksikan TPPA
dibatalkan.
Menerusi
siri jelajah Forum Kemiskinan Bandar: Fakta Atau Auta? yang dilancarkan pada 5
April 2018, ABIM telah bekerjasama dengan pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul
Khalid bagi menyuarakan fakta serta hakikat di sebalik situasi sebenar ekonomi
rakyat Malaysia. Ulasan fakta-fakta yang dikemukakan oleh penulis buku Antara
Dua Darjat tersebut telah mendorong ABIM untuk
mengembangkan program
penerangan mengenai kemiskinan di beberapa negeri. Usaha ini merupakan sebahagian
daripada komitmen berterusan ABIM untuk membela nasib golongan miskin,
khususnya fenomena miskin bandar dan kedudukan ekonomi Bumiputera bagi
mencetuskan kesedaran dalam kalangan rakyat terhadap kedudukan rakyat dalam
kerapuhan ekonomi negara.
“Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya
(Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang,
maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat
(Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang
musafir (yang
keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di
antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa
oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua
yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah
kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi
orang-orang yang melanggar perintahNya).” (Al-Hasyr:
7)
REFORMASI
INSTITUSI
Era
Malaysia Baharu menandakan pelbagai reformasi sedang diusahakan antaranya menerusi
Institutional Reform Committee (IRC). ABIM telah bergandingan bersama
badan-badan Civil Society Organization (CSO) yang lain telah berperanan sebagai
badan pendesak untuk memastikan kerajaan baharu menunaikan janji untuk membawa
reformasi sistem dan institusi.
ABIM
secara khususnya telah mengemukakan cadangan untuk beberapa kementerian
khususnya Kementerian Pendidikan, Kementerian di Jabatan Perdana Menteri
(Agama) serta Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga berhubung reformasi
yang dibuat sejajar dengan aspirasi rakyat. ABIM akan memanfaatkan pelbagai
saluran baik secara rasmi mahupun dalam bentuk advokasi untuk merealisasikan
semangat reformasi dalam tata urus serta tata kelola kerajaan dalam era
Malaysia Baharu.
Kemampuan
ABIM berperanan serta menerajui gerakan reformasi dua dekad lalu secara
langsung telah menatijahkan pengembangan dan pemberdayaan gerakan aksi massa
sivil ataupun masyarakat madani di Malaysia. Penglibatan dan partisipasi aktif
ABIM dalam sektor ketiga masyarakat sivil ini adalah interpretasi kepada kepercayaan
dan komitmen terhadap gagasan masyarakat madani yang diwacanakan secara
rancak dalam proses pembinaan negara dan ketamadunan. Ingin ditegaskan bahawa
apapun nama dan gelanggangnya – baik civil
society organisations, nonprofit
organisations, pertubuhan bukan kerajaan atau
pertubuhan sukarela – ABIM terus komited untuk memastikan bahawa gagasan dan
aplikasi model Masyarakat Madani tetap menjadi ruh yang melandasi perjuangan
ABIM di dalam sektor yang amat berpengaruh ini.
“Masyarakat
Madani yang kita bayangkan diasaskan di atas prinsip akhlak dan pemerintahan
berasaskan hukum, bukan oleh nafsu manusia yang tidak menentu. Masyarakat di
mana pertumbuhan institusi kemasyarakatan –lembaga yang menjadi pengantara
antara keluarga dan negara – dipupuk dan bukannya dicantas, di mana
kecemerlangan serta cita rasa harus pula menggantikan kelaihan dan kepicisan.
Justeru itu, kita perlu menghidupkan semangat kebebasan, menyuburkan
kemerdekaan diri, mengembalikan nilai
keperimanusiaan
dan menyegarkan sikap berlapang dada. Lantaran itu, prinsip musyawarah dan
demokrasi didukung, ia tidak pula disogokkan dan dipaksakan, terutama menurut
acuan dan pengalaman Barat.” (Anwar Ibrahim, 1997)
Pemerkasaan
institusi kerakyatan, reformasi institusi, perdebatan polisi dan wacana di ruang
awam yang sememangnya menjadi antara medan gerak kerja masyarakat madani
haruslah sentiasa berpaksikan prinsip, nilai, etika dan moral yang bukan sahaja
universal, bahkan harus adil dan seimbang dengan turut mengambil kira faktor
agama, budaya dan sensitiviti kemasyarakatan yang relatif sifatnya.
Arakian
bukan hanya kerajaan atau konglomerat pasaran yang tertakluk dan dipertanggungjawabkan
dalam segala tindak tanduknya kepada masyarakat, pergerakan civil
society sebagai suara yang mewakili pelbagai
kelompok rakyat terbanyak harus dengan penuh sedar bertanggungjawab dan
memainkan peranan yang positif dalam agenda menjunjung nilai, moral, akhlak dan
etika. Gerakan masyarakat madani, atas nama kesejagatan dan kemodenan tidak
harus membiarkan dirinya terjebak dan terperangkap dalam faham dan pejuangan
yang berasaskan kenisbian nilai moral dan akhlak yang jelas bertentangan dengan
ajaran agama, tatabudaya dan norma seperti aktiviti Lesbian Gay Bisexual dan
Transgender (LGBT). ABIM tidak rela membiarkan Malaysia era baharu berubah
menjadi masyarakat permisif yang merelakan kebejatan menerobos sempadan agama
dan menjungkirbalikkan norma masyarakat berwenangan tanpa kawalan.
Pada
masa yang sama, kita menolak sama sekali pendekatan yang radikal, ganas dan
diskriminatif dalam menangani gejala yang telah mewabak dan membarah ke seantero
dunia ini. Di sinilah dakwah dan hikmah kebijaksanaan dituntut, bukan sahaja
dari pihak pemerintah yang mendepani isu ini, tetapi juga oleh gerakan dakwah
dan kemasyarakatan seperti ABIM yang terlibat langsung berdepan dengan sasaran
segmen dakwah sebegini. Sesungguhnya kewajipan kita para dai’e lebih banyak
dari masa yang kita punyai – al-wajibat akthar min al-awqat.
Ruang dakwah yang terbuka lebih luas menuntut peranan dan tanggungjawab yang
lebih berat buat ABIM untuk dikerjakan. Atas kesedaran terhadap amanah inilah,
maka ABIM bertekad untuk memainkan peranan yang lebih instrusmental dan aktif
dalam mencorakkan
agenda, orientasi dan masa depan pergerakan masyarakat madani di era Malaysia
Baharu.
“Aku
hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan
beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada
Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.” (Surah
Hud: 88)
MENGANGKAT
ASPIRASI RAKYAT
Bukanlah
hasrat kita untuk bernostalgia tentang peranan kita dalam mencetuskan perubahan
yang berlaku menjelang Malaysia Baharu. Ianya kemenangan rakyat Malaysia.
Sesungguhnya kemenangan yang tercipta ketika PRU Ke-14 yang lalu merupakan
kemenangan kita bersama. Dalam Malaysia Baharu, persoalannya bukan lagi seputar
derita perjuangan semata-mata. “Bukan dulu pernah derita atau tidak, bukannya
telah lama atau baru ikuti perjuangan” seperti yang diungkapkan sendiri oleh
Bapa Reformasi, Anwar Bin Ibrahim sewaktu majlis Pidato Mengisi Harapan Rakyat
anjuran WADAH pada 15 September 2018. Melangkah ke hadapan, pertimbangan yang
paling penting ialah komitmen yang jitu terhadap nilai, kesetiaan kepada
prinsip perjuangan serta nawaitu yang tinggi untuk menjayakan reformasi
setulusnya – in uriidu illa al-Islah mastato’tu.
ABIM
ingin mengambil kesempatan bersempena himpunan bersejarah ini utk mengucapkan
setinggi-tinggi ucapan tahniah atas kembalinya Dato Seri Anwar Ibrahim, mantan
Presiden ABIM ke Parlimen lewat kemenangan beliau dalam Pilihanraya Kecil Port
Dickson pada 13 Oktober yang lalu. Sesungguhnya peranan beliau apa penting
dalam menjayakan agenda Reformasi menyeluruh yang
diimpikan
oleh rakyat Malaysia.
Namun
bagi maksud persejarahan, sumbangan kita yang seadanya ini penting untuk
didokumentasi dan dikongsikan dalam himpunan sebesar Muktamar Sanawi. Bukannya
untuk sekadar bernostalgia, namun sebagai inspirasi sekaligus peringatan buat
kita semua – bahawa
Reformasi belum berakhir, bahawa perjuangan belum selesai!
Sebagaimana
kita bertanggungjawab mempelopori dan menjayakan perubahan, begitulah juga kita
semua turut bertanggungjawab memastikan bahawa halatuju dan pengisian pasca
peralihan kuasa ini tidak tersasar dari aspirasi perubahan berlandaskan
Reformasi-Islahiy yang kita laungkan dulu.
Kita
jelas, bahawa menyorot ke hadapan, perjuangan dan tanggungjawab kita pada hari
ini dan hari muka ialah untuk meneruskan kesinambungan agenda pemerkasaan rakyat,
mengukuhkan institusi kerakyatan dan memastikan bahawa aspirasi rakyat akan
dimartabatkan dalam Malaysia Baharu. Untuk itu, ABIM akan terus setia memainkan
peranannya – without fear or favour – sebagai
instrumen semak dan imbang terhadap kerajaan Pakatan Harapan bagi menjamin
amanah, harapan dan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan baharu negara tidak
dikhianati, agar jangan sampai pemimpin sekali lagi memijak rakyat yang pernah
mengangkatnya.
Tunaikanlah
amanah kepada sesiapa yang memberi amanah kepadamu. (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
MALAYSIA
BAHARU: CITRA DAN ASPIRASI
‘Malaysia’s
Big Win for Democracy: The country’s surprise election result has shown that
the rise of authoritarianism is not inevitable’.
Begitulah tajuk rencana Yaroslav Trofimov yang tertera di Wall Street Journal
pada 11 Mei 2018. Dalam dunia sedang menuju democalypse,
Malaysia telah membuktikan bahawa demokrasi belum mati, bahawa amalan demokrasi
yang aman, transisi melalui plihanraya merupakan sesuatu yang masih hidup
subur.
Detik
keramat 9 Mei 2018 akan terus tersemat dalam memori rakyat Malaysia, tercatat
dalam lipatan sejarah sebagai kemuncak kepada gelombang kebangkitan dan
kedaulatan rakyat pada alaf ke-21. Tatkala tata kelola dan orde baru dunia terus
menerus diwarnai dengan merudumnya demokrasi, peperangan dan konflik geopolitik,
krisis pelarian, serta kesenjangan ekonomi, peralihan kerajaan di Malaysia
berlaku secara aman menerusi pilihan raya umum memberikan satu sinar harapan
baru kepada dunia bahawa demokrasi masih tetap subur, khususnya dalam konteks
dunia Islam.
Natijahnya,
imej Malaysia yang suatu ketika dahulunya cukup harum dan masyhur seantero
dunia, kini kembali menjadi sandaran bagi memimpin suara umat Islam menerajui
gelombang kebangkitan ummah. Namun sebelum melangkah jauh, Malaysia perlu
melihat ke dalam, membersihkan tata kelola negara daripada skandal besar yang
menconteng arang ke muka setiap rakyat Malaysia, sementelahan membina semula
sekaligus memperkukuhkan asas-asas kebangkitan sebuah negara berdaulat dan
bermaruah.
Malaysia
Baharu bukan sekadar ungkapan biasa. Istilah Malaysia Baharu mempunyai konotasi
makna yang amat mendalam beserta agenda penting yang wajib dilaksanakan.
Barangkali tiada perkataan yang lebih tepat untuk menggambarkan anjakan
penghijrahan ke era Malaysia Baharu daripada yang dinukilkan sendiri oleh Tokoh
Ma’al Hijrah 1440H, Dato’ Dr Siddiq Fadzil:
“Di
balik kata Malaysia Baharu tersirat makna sebunung harapan terangkatnya martabat
insan, tegaknya keadilan, berdaulatnya kebenaran, meratanya kemakmuran dan
terjamin keselamatan. Segala harapan tersebut hanya akan dapat direalisasikan
dengan menegakkan moral bangsa berasaskan nilai-nilai agama
dan budaya. Malaysia Baharu harus benar-benar suatu departure, suatu anjakan
mendasar dari era sebelumnya, era yang tercedera dengan rasuah, penyalahgunaan
kuasam pelanggaran hak asasi manusia dan keruntuhan nilai-nilai moral.”
Dalam
syarahan pentingnya terhadap makna dan esensi Malaysia Baharu (Siddiq, 2018),
idealog gerakan Islam tersebut telah turut melontarkan agenda-agenda besar transformatif-reformatif
berikut untuk dilaksanakan:
• Transformasi kemanusiaan dan
kebudayaan (human and cultural transformation)
• Penegakan Moral Politik yang
bermatlamat membina semula moraliti bangsa dan komited terhadap misi
pendaulatan nilai kebenaran dan kejujuran.
• Merealisasikan pentadbiran maslahi,
iaitu pelayanan pemerintahan terhadap rakyat menerusi dasar-dasar yang sejalan
dengan maslahah.
• Penegakan Moral Ekonomi yang
berasaskan perjuangan menangani segala faktor penyebab utama di sebalik
kemiskinan dengan membuka kesempatan untuk kaum dhu’afa’ merubah nasib.
• Islam dalam era ini harus berfungsi
sepenuhnya sebagai agama rahmat ke arah pembebasan daripada segala belenggu,
termasuk belenggu penjajahan ekonomi.
• Malaysia Baharu bererti era baru
bagi demokrasi dengan memperhebat proses demokratisasi yang beresensikan
partisipasi dan emansipasi.
• Malaysia baru yang berkeadilan
sosial dengan agenda pendemokrasian ekonomi berasaskan pemerataan keadilan (distributive
justice).
Demikianlah
garis-garis besar agenda penghijrahan ke Malaysia Baharu dalam merealisasikan
impian kita membina semula martabat dan maruah Malaysia ke arah yang lebih
gemilang. Tanggungjawab kepimpinan baru negara bukanlah sekadar menukar orde
kepimpinan kerajaan lama sementelahan mengekalkan budaya pentadbiran lama yang
korup. Mandat yang diberikan oleh rakyat juga bukan setakat mengheret mereka
yang bertanggungjawab ke muka pengadilan seperti yang sering
disalahtanggapi
oleh sekelompok pihak. Rakyat memberikan mandat penuh untuk melakukan real
change – perubahan tulen yang mengangkat
semangat reformasi menyeluruh berpaksikan ketinggian martabat manusia, keadilan
untuk semua, pendaulatan kuasa rakyat, keadilan ekonomi, pembanterasan rasuah,
pengukuhan jati diri budaya dan pembinaan bangsa yang bertamadun seperti yang
dilaungkan dalam Deklarasi Permatang Pauh 1998.
Jelas
bahawa agenda Malaysia Baharu tidak bermula dari sifar. Sebagai kesinambungan
agenda Islamisasi dan gelombang kebangkitan Islam kedua yang kita pelopori di ambang
Malaysia Baharu, ABIM menggariskan kesinambungan 5 agenda utama gerakan yang
berikut untuk terus direalisasikan dengan jayanya dalam ruang perubahan yang
lebih kondusif dan reseptif era Malaysia Baharu.
1.
Pengukuhan Jati Diri Bangsa Malaysia
Anjakan
Malaysia Baharu menuntut rakyat membasmi dan menghapuskan ke akar umbi sebarang
prasangka yang cuba mencarik dan mencemari keharmonian hubungan antara kaum dan
agama sebelum ini. Sudah sampai masanya konsepnya kewarganegaraan (Muwathanah)
bersandarkan kepada kesaksamaan (equality)
dimartabatkan. Model kewarganegaraan Sahifah al-Madinah yang
dibina berdasarkan
‘nasrah wata’awun’ (bantu-membantu dan berkerjasama)
harus dijadikan sebagai kerangka rujukan utama. Pembentukan Bangsa Malaysia
dengan ikatan persaudaraan kemanusiaan – ukhuwwah insaniyyah –
merentas perbedaan antara bangsa dan agama harus diformulasikan dalam era
Malaysia Baharu.
2.
Reformasi Ke arah Kefahaman Islam Yang Sempurna Dengan Membugar Al-Fikr
al-Maqasidy
Saatnya
sudah tiba untuk para penggerak dakwah mencetuskan satu gelombang baru bagi
menganjak tahap keberagamaan umat yang mengarah apa yang kepada kesempurnaan (al-Tadayyun
al-Shamil) seperti yang dihuraikan oleh
pemikir Mesir Muhammad Imarah. Ini amat penting kerana umat Islam memerlukan
kefahaman baru yang lebih segar dalam aspek beragama dengan sebuah proses
pembelajaran berterusan
yang inklusif sifatnya. Banyak persoalan kontemporari serta futuristik memerlukan
interaksi keilmuan secara intensif antara teks dan konteks. Untuk itu kita
tidak seharusnya ketinggalan dalam mengikuti fenomena al-sahwah
almaqasidiyyah – yakni satu kesedaran baharu yang
dipelopori oleh para ilmuwan maqasidiyyun kontemporari yang mewacanakan peri
pentingnya untuk memahami maqasid
al-syari’ah, tanpa sama sekali mengabaikan dan meremehkan kekayaan khazanah dan
tradisi keilmuwan dan pemikiran Islam.
3.
Mengarusperdanakan Aliran Wasatiyyah
Umat
Islam sebagai pengemban misi ‘rahmatan lil ‘alamin’,
mempunyai amanah yang sangat besar untuk menampilkan keaslian wajah Islam – ‘taqdim
al-Islam bi surah al-Asliyyah’ – untuk
menyikapi fenomena kemajmukan yang tampak semakin berkecamuk dan pencitraan
Islam yang dicemari radikalisme-terrorisme. Tambahan pula sejarah fenomena
kebangkitan atau pembaharuan Islam sering dibayangi dengan ekstremisme terutama
sekali taktala kita perlu mendepani kerencaman cabaran era Malaysia Baharu.
Prof Syeikh Dr Yusuf Qaradhawi lewat karya pentingnya Fiqh
al-Jihad mengatakan penyelesaian kepada
gejala irhab dan
ghuluw ialah dengan menumpukan usaha
memperkukuh dan mengarusperdanakan manhaj dan amalan Wasathiyyah yang tulen,
bukan sekadar tempel-tempelan. Sementelahan,
tafsiran yang terlalu longgar dan liberal terhadap nas yang qat’ie dan muhkamat
dalam agama sehingga membawa kepada penolakan taklif dan perlecehan juga harus diperbetulkan.
4.
Menjunjung Kedaulatan Rakyat, Memberdayakan Kekuatan Umat
Esensi
penting daripada amalan demokrasi ialah kebebasan. Umat perlu diberdayakan agar
mereka bebas dari belenggu kejahilan, kemiskinan dan kebergantungan (istito’ah
al-Ummah). Bersempena era Malaysia Baharu,
keyakinan umat perlu dibangunkan untuk mandiri di atas kaki sendiri. Kedaulatan
rakyat harus dijelmakan mulai daripada kemandirian ekonomi dan pembangunan
institusi kerakyatan sebagai agen transformasi sosial untuk memenuhi keperluan
rakyat di akar umbi. Gerakan pencerahan umat turut meliputi perjuangan
membebaskan rakyat dari mentaliti subsidi dan misi pencerdasan akal budi dari
belenggu material dan kejumudan. Pembudayaan ilmu yang merata di kalangan
rakyat hanya akan bercambah subur andai rakyat dibebaskan dari budaya takut dan
diberikan ruang yang secukupnya untuk
berfikir, bersuara, mewacana dan berkarya dalam ruang awam yang kondusif dan
harmoni.
5.
Mengupayakan Generasi Muda Memimpin Perubahan
Generasi
muda adalah pelakar masa hadapan umat. Generasi muda yang membawa perubahan
menurut Buya Hamka adalah generasi yang mempunyai keberanian mendepani zaman,
iaitu mereka yang memulakan suatu inisiatif yang belum pernah diusahakan; Sang
Pencetus (The Initiator).
Kepercayaan harus diberikan kepada generasi muda untuk ke hadapan dan melakar
perubahan yang seiring dengan anjakan
zaman. Dengan unjuran statistik populasi belia yang mencecah hampir 50%
daripada 32.4 juta rakyat Malaysia pada tahun 2018, golongan ini pasti akan memberikan
impak yang sangat besar terhadap pembangunan negara merentas pelbagai lapangan,
pada hari ini dan masa hadapan.
ABIM
penuh optimis bahawa anjakan-anjakan perubahan ini mampu direalisasikan dengan
syarat ianya didukung oleh tekad politik yang tinggi dari pemerintah dan penglibatan
aktif pertubuhan masyarakat madani dan rakyat untuk menyemak dan mengimbang
tindak-tanduk pemerintah dan aparatusnya. Meskipun pelaksanaan Manifesto
Pilihanraya peri penting untuk dilaksanakan, namun ia bukanlah Segala-galanya
sehingga seluruh jentera pentadbiran kerajaan dikerah dan rakyat pula disibukkan
untuk semata-mata menjayakan sekelumit janji politik yang terbukti pula kemudiannya
bertentangan dengan semangat reform dan
keluhuran perlembagaan.
Optimisme
perlu diseimbangkan dengan kewaspadaan. Kegagalan melaksanakan harapan yang
dijanjikan berimplikasi keputusasaan – hopelessness – yang
kemudian secara tabi’i akan membunuh segala saki-baki benih harapan yang masih
tinggal untuk menyaksikan perubahan yang sebenar.
MENGISI
HARAPAN RAKYAT: REFORMASI DARI DALAM
“Allah
tidak akan merubah sesuatu kaum sehingga mereka merubah nasib mereka sendiri.”
(Ar-rad:11)
1.
Generasi Muda dan Azam Perubahan
Dalam
perbahasan berhubung budaya pembaharuan, tidak dapat tidak, ia turut membawa
perkembangan kepercayaan terhadap anak muda. Malaysia baharu telah merekodkan
kejayaan pemimpin usia muda menempa nama dalam posisi tinggi ekoran dari
kepercayaan yang tinggi diberikan kepada mereka.
Pelantikan
Menteri Belia dan Sukan, YB. Tuan Syed Sadiq Syed Abdul Rahman adalah merupakan
Menteri termuda dalam sejarah Malaysia apabila menganggotai senarai Jemaah
Menteri Kabinet Malaysia pada usia 26 tahun. Begitu juga dengan pelantikan
Menteri Besar Selangor YAB. Tuan Amirudin Shari pada usia 38 tahun yang
merupakan antara Menteri Besar termuda dalam landskap politik Malaysia. Tidak
ketinggalan, kemenangan ahli Parlimen Batu P115, YB. P. Prabakaran menewaskan
calon PAS dan Barisan Nasional dengan majoriti 24,438 undi yang masih berusia
22 tahun.
Secara
keseluruhan dalam kerajaan Malaysia Baharu, Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri
kali ini mempunyai paling ramai Menteri dan Timbalan Menteri yang berumur bawah
40 tahun dalam sejarah iaitu di dalam lingkungan usia belia iaitu YB. Syed
Sadiq Syed Abdul Rahman (Menteri Belia dan Sukan) dan YB. Yeo Bee Yin (Menteri
Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar), dan untuk
Timbalan Menteri pula, iaitu, YB. Hannah Yeoh (Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat), YB. Steven Sim (Belia dan Sukan), YB. Teo Nie Ching (Pendidikan),
dan YB. Isnaraissah Munirah Majilis (Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim
dan Alam Sekitar).
Secara
tidak langsung, Malaysia Baharu telah memberi pesanan jelas bahawa era kepimpinan
kini adalah era kepimpinan anak muda; Satu era yang keyakinan diberikan
sepenuhnya kepada anak muda untuk kehadapan. Dalam kerancakan pembaharuan ini,
persoalan lanjutan adalah di mana garis landasan kita sebagai Jamaah kini
sedang berada? Trend kerancakan anak muda mengisi ruang kepimpinan ini telah
berkembang malah akan menjadi kayu ukur kepada relevensi sesebuah organisasi.
Organisasi
yang berterusan selesa di takuk lama akan berterusan merudum dalam kancah
kelesuan dan kesepian, manakala badan yang memalu gendang tarian kerancakan
tren ini akan terus berkembang ke hadapan dengan tenaga dan pemikiran yang
segar.
Maka,
Jamaah dan agensi perlu bersedia menghadami budaya baharu ini sebagai tuntutan
masyarakat yang diletakkan sebagai pra-syarat sebelum organisasi bersedia mendaki
puncak yang lebih tinggi.
2.
Pembaharuan Budaya Kerja
Malaysia
Baharu sudah pasti menuntut kita untuk bersedia dengan budaya baharu iaitu satu
budaya yang senantiasa bersedia dengan perubahan. Renungan yang lebih utama
bukan sekadar melihat landskap yang besar seperti politik semata-mata, tetapi jauh
lebih mendalam berhubung peningkatan kualiti cara kerja, professionalism yang dinamik
yang selanjutnya membawa kepada reformasi dalaman iaitu pembaharuan ke arah
penambahbaikan Jamaah dan agensi-agensi meliputi bidang perniagaan, pendidikan,
kemanusiaan, dan sebagainya.
Dalam
dunia yang amat rancak dengan persaingan, peningkatan kualiti, disiplin serta
profesionalisme gerakan dakwah menjadi sandaran utama bagi mengekalkan kekuatan
kita dalam masyarakat. Gerakan dakwah juga perlu celik serta sedia melaksanakan
pembaharuan-pembaharuan yang pantas hadir seiring dengan perubahan zaman. Kita
juga perlu memupuk mentaliti baharu ke arah keterbukaan untuk meraikan
kepelbagaian dan perbezaan terutama sekali ketika menghadapi inovasi-inovasi
yang bersifat kontemporari.
3.
Menerobos Medan Dakwah
Kegagalan
kita meraikan perbezaan dan kepelbagaian hanya akan membantutkan usaha dakwah
yang dijalankan. Semangat keterbukaan yang dibawa sempena era Malaysia Baharu
memerlukan gerakan dakwah seperti ABIM meningkatkan kapasiti dakwahnya. Setiap
agensi serta institusi dakwah di bawah rangkaian ABIM perlu responsif serta
inklusif terhadap permintaan masyarakat. Pendekatan ini sangat penting
untuk memastikan keberadaan ABIM (termasuk agensi dan institusi) mampu
dimanfaatkan sebaik-baiknya dalam masyarakat.
Dalam
era Malaysia Baharu, kita juga perlu mencermati menyaksikan perubahan dalam
aspek interaksi sosial antara manusia. Keadaan semakin rencam ekoran daripada
kerancakan perkembangan teknologi dalam media sosial. Mahu tidak mahu
perkembangan tersebut perlu dimanfaatkan dengan semaksimum mungkin. Peranan
serta kekuatan ABIM sebagai juru bicara yang berpengaruh dalam membentuk
persepsi umum (public opinion)
perlu dianjakkan ke lapangan dunia maya dan media sosial. ABIM tidak punya
pilihan selain memanfaatkan segala sumber, meningkatkan kapasiti dan melebarkan
pengaruhnya menerobos ke dunia alam maya agar keberadaan ABIM semakin dirasai.
NARATIF
DUNIA BAHARU DAN ORIENTASI MASA DEPAN
Era
Pasca Normal (Al-Fikru’l mustaqbaliy),
atau pemikiran yang berorientasi ke masa hadapan sememangnya menjadi ciri dan
watak bangsa berdaya maju yang ingin mencipta keunggulan di masa depannya.
Dekad kedua Abad-21 menyaksikan banyak tulisan-tulisan yang bersifat futuristik
dan antisipatif. Suhail Inayatullah (2018) misalnya telahpun membincangkan 10
tren utama rantau Asia
lewat
karyanya ASIA 2038: Ten Disruptions That
Change Everything (Metafuture). Namun seperti yang diperingatkan
oleh Ziauddin Sardar (2016), sebarang kajian ke arah masa hadapan yang lebih
baik mestilah bermula dari analisis yang tepat terhadap realiti dunia
kontemporari, bermula dengan apa yang beliau istilahkan sebagai extended
present, diikuti oleh familiar
futures dan diakhiri dengan unthought futures.
Hal yang demikian, wacana Malaysia Baharu harus bermula
dari extended present yang melingkari realiti semasa.
Secara
umumnya, naratif dunia moden seperti yang diwacanakan oleh para pengkaji menyatakan
bahawa dunia sedang meniti babak akhir era moderniti yang seringkali diistilahkan
sebagai pasca kebenaran (post-truth),
pasca normal, pasca sekularisme atau pasca moderniti. Dalam wacana pemikiran
Islam sendiri, terma pasca Islamisme sebagai anjakan daripada aliran Islamisme
atau politikal Islam telah diperdebatkan dengan
rancaknya. Tesis End of History (1992)
oleh Francis Fukuyama yang mengandaikan bahawa faham liberal demokrasi acuan
Barat sebagai titik akhir kepada evolusi sosiobudaya manusiawi dan bentuk akhir
kerajaan telah dikritik sebegitu hebat melihat kepada perkembagan mutakhir
evolusi global menjelang
tibanya
dekad ketiga abad-21.
Bidang
kajian futuristik yang antara lain dipelopori oleh pemikir Islam seperti Ziauddin
Sardar (2015) dan Suhail Inayatullah (2018) mengistilahkan babak pensejarahan
dunia hari ini sebagai era pasca-normal (post-normal
time). Zaman pasca normal ialah zaman di
mana tidak banyak perkara yang boleh dipercayai atau menambah keyakinan kita. Espiritu
del tiempo, semangat zaman ini mempunyai karakter
yang tidak menentu, perubahan yang pantas, penyelarasan semula kuasa, pergolakan
dan tingkah laku yang ribut serta huru-hara. Kita hidup dalam era penggantian,
di mana ortodoks lama kian pupus, sementara yang baharu belum lahir, dan banyak
perkara ternyata sukar difahami. Era pasca normal dicirikan oleh tiga elemen
utama iaitu Complexity,
Chaos dan Contradictions:
kerumitan, huru-hara dan percanggahan. Dalam era pasca normal,
sesuatu fenomena bukan lagi ditanggapi hanya sebagai
abnormal atau diluar kebiasaan, tetapi ia telah dianggap sebagai suatu ciri
tetap di mana “uncertainty and ignorance will
increase rapidly”. Transisi dalam era pasca normal
sentiasa diselimuti ketidayakinan dan ketidakpastiaan sebagaimana yang
digambarkan secara tuntas oleh Sardar (2010):
“Ours
is a transitional age, a time without the confidence that we can return to any
past we have known and with no confidence in any path to a desirable, attainable
or sustainable future. It is a time when all choices seem perilous, likely to
lead to ruin, if not entirely over the edge of the abyss. In our time it is
possible to dream all dreams of visionary futures but almost impossible to
believe we have the capability or commitment to make any of them a reality. We
live in a state of flux beset by indecision: what is for the best, which is
worse? We are disempowered by the risks, cowed into timidity by fear of the
choices we might be inclined or persuaded to contemplate.”
Persoalan
penting ialah bagaimana perlu kita berurusan dengan era postnormal dalam keadaan
di mana kemajuan, pertumbuhan, kawalan, efisiensi, dan pengurusan macro menjadi
semakin tidak relevan? Jawapan kepada persoalan-persoalan ini, harus bermula
dengan kesedaran mendalam bahawa tren perubahan yang berlaku amat kompleks dan
memerlukan kaedah penyelesaian yang turut kompleks, bukannya simplistik,
ala-kadar dan semberono. Paling awla,
penyelesaian kepada persoalan global dan kemanusiaan hari ini tidak boleh hanya
tertumpu kepada persoalan superficial dan
lari dalam dari jawapan kepada persoalan hakiki yang paling asas. Penyelesaian
sebenar terhadap kerencaman persoalan peradaban dalam era pasca normal tidak
dapat tidak harus kembali kepada akar umbi esensi keinsanan sendiri iaitu
dimensi moral dan etika yang mendalam – a deep ethical connotations.
Dalam kata lain, segala kreativiti dan imaginasi yang ingin dicurahkan terhadap
agenda perubahan dan penyelesaian dalam era pasca normal yang penuh mehnah dan tribulasi
ini akhirnya wajib kembali kepada persoalan akhlak dan etika yang disebut sebagai
Postnormal Ethics.
Di
sinilah kita pertegaskan bahawa naratif agung yang ditolak oleh pendukung pasca
modernism itu masih relevan, bahkan naratif agama, nilai manusiawi, akhlak dan
etika menjadi semakin penting di saat tamadun manusia berdepan dengan gejala
besar post-truth yang
menafikan sama sekali kebenaran sebagai
satu hakikat. Ironinya, yang dibenarkan ialah pembohongan, penipuan dan
kecurangan yang direkayasa melalui propaganda media sosial lalu ditampilkan sebagai
realiti dan kebenaran ala-Donald Trump.
Wabak post-truth
ini ternyata tidak hanya menggejala di Amerika Syarikat. Manufactured
truth pernah berleluasa dalam orde
Malaysia lama, dan nampaknya akan terus menggejala dalam era Malaysia Baharu
seandainya tidak dicantas ke akar umbi. Solusi kita terhadap gejala ini ialah
kewajipan mendidik rakyat agar kembali meletakkan kebenaran sebagai nilai utama
dalam memulakan agenda perubahan. Rakyat perlu dididik untuk menghayati prinsip
menegakkan kebenaran dan keadilan. Rakyat perlu diyakinkan bahawa fitnah dan
pembohongan itu merosakkan tiang seri Malaysia Baharu dan harus dibanteras
sehabisnya. Rakyat, dan pemerintah sekaligus perlu disedarkan bahawa tanpa
kebenaran, keadilan tidak akan
terlaksana. Negara berkeadilan yang diimpikan akan mustahil akan terlaksana andai
dibina atas dasar pembohongan dan kepalsuan.
Bila
kebenaran sudah terkubur
Di
sanalah orang menjadi kufur
Halal
dan haram sudah bercampur
Rakyat
sengsara negeri pun hancur
Bila
kebenaran tersia-sia
Keadilan
lesap hukum pun cedera
Banyaklah
tumbuh silang sengketa
Tuah
bertukar aib dan nista
MENANGANI
POLITIK IDENTITI
“We
cannot get away from identity or identity politics. Identity is the powerful moral
idea that has come down to us…The moral idea tells us that we have authentic
inner selves that are nor being recognized and suggest that the whole of
external society may be false and repressive. It focuses our natural demand for
recognition of our dignity and gives us a language for expressing resentments that
arise when such recognition is not forthcoming…Identity politics thus engenders
its own dynamic, by which societies devide themselves into smaller and smaller
groups by virtue of their particular “lived experience” of victimization”
Fukuyama,F.(2018)
163-164.
Dunia
hari ini dicorakkan oleh politik identiti. Dalam buku terbarunya Identity
: The Demand for Dignity and the Politics for Resentment ,
Francis Fukuyama menghujahkan bahawa dalam era dunia moden yang selama ini
dijana oleh aliran politik-ekonomi ‘demokrasi liberal’, ganjaran materialistik
yang semata-mata bersifat ekonomi utilitarian tidak lagi menjadi ukuran
kejayaan sebuah ekonomi atau demokrasi.
Kebangkitan
rakyat yang berlaku dalam rentetan revolusi Arab Spring menurut Fukuyama adalah
sebenarnya didorong oleh perkongsian rasa kecewa –
resentment akibat dimalukan dan diabaikan oleh
pemerintah mereka – “What was shared among all of these
protestors was resentment that they had been humiliated and disregard by their
governments.” Politik identiti didasari oleh
sifat dan tuntutan dalaman setiap insan yang inginkan pengiktirafan dalam masyarakat. Kegagalan mendapatkan pengiktirafan
identiti, atau penafian terhadap hak berasaskan identiti yang menurut kacamata
mereka selayaknya diterima seringkali mengkibatkan keresahan dan tindak balas
yang ekstrim dan radikal.
Dasawarsa
ini, sindrom dan ikon politik berasaskan identiti semakin ketara dan mewabak
merentas benua hasil kebangkitan aliran ‘nasionalisme-populis’: Donald Trump di
AS, Brexit di United Kingdom, ledakan anti imigran di Eropah, Viktor Orban di
Hungary, Vladmir Putin di Russia dan Xi Jinping di China.
Politik
berasaskan identiti jelas semakin ketara dan sedang berleluasa, termasuk di
Malaysia. Bagi meraih sokongan dan dukungan pengundi, politik berasaskan perkauman
dan agama telah dimainkan dengan begitu hebat sekali. Seperti juga di
negara-negara lain, naratif politik identiti di Malaysia memberikan gambaran bahawa
wujudnya ancaman-ancaman yang mencemaskan terhadap hak dan kedaulatan kaum
majoriti umat Melayu Islam. Di sisi yang lain, politik identiti juga telah
menampilkan naratif ‘warga kelas kedua’ dari sekian banyak pecahan kelompok minoriti
yang merasakan hak dan identiti mereka dinafikan. Kelompok ini boleh terdiri
daripada segenap segmen, dari komuniti orang Asli di Gua Musang sehinggalah kepada kelompok LGBT yang menagih
pengiktirafan identiti. Pengalaman politik identiti merentas negara
mengisyaratkan bahawa seandainya persaingan politik yang berbahaya ini tidak
dibendung, jurang perbedaan antara pelbagai kelompok akan semakin melebar dari
titik temu permuafakatan. Ketegangan yang wujud ini pula berpotensi diparahkan
oleh faktor ketangkasan penyebaran berita melalui media sosial di alam maya.
Penawar
kepada sindrom politik identiti yang semakin membahaya ini menurut Fukuyama,
haruslah kembali kepada pengiktirafan identiti berasaskan penghormatan terhadap
dignity – maruah kemanusiaan. “While
we will never get away from identity politics in the modern world, we can steer
it back to broader forms of mutual respect for dignity that will make democracy
more functional.” Prinsip asasnya, tidak ada insan yang
harus dinafikan hak asasinya sebagai manusia. Persoalannya rumit dan tidak mudah
dirungkaikan. Tiada satu formula baku yang terpakai untuk menyelesaikan semua
percanggahan tuntutan dalam masyarakat. Dalam hubungan ini, kita yakin dan
percaya bahawa konsep karamah insaniyyah yang
dijelaskan dalam al-Quran dan model Sahifah al-Madinah merupakan
sandaran yang kukuh dalam mencari formula terbaik menangani ancaman politik
identiti menelusuri era Malaysia Baharu.
“Hai orang-orang yang beriman hendaklah
kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi
saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum,
mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih
dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui
apa yang kamu kerjakan.” (Al-Maidah: 8)
AWLAWIYYAT
GERAKAN
Harapan
serta cabaran untuk merealisasikan aspirasi Islam dalam Malaysia Baharu menuntut
pengupayaan sepenuhnya potensi serta kekuatan yang ada pada penggerak ABIM.
Untuk itu kita perlu mengenal pasti aspek serta niche
yang perlu diberikan perhatian khusus. Berikut adalah
tujuh fokus utama meliputi sektor-sektor kritikal yang perlu diupayakan pada
masa akan datang.
FOKUS
1: BELIA DAN GENERASI MUDA
Mengambil
kesempatan kali ini, seluruh warga ABIM ingin merakamkan ucapan tahniah kepada
saudara Jufitri Joha dan Hasnul Haniff Harun yang dipilih sebagai Presiden dan
Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM) baru-baru ini. Semoga kepimpinan
baru MBM akan tampil dengan lebih kehadapan mengangkat suara generasi muda atas
dasar kebenaran & keadilan. Dalam masa yang sama juga kita ingin
memanjatkan kesyukuran di atas pengiktirafan ABIM sebagai organisasi bertaraf
lima bintang untuk tahun 2018 oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).
Semoga kedua-kedua berita gembira ini dapat memacu gerakan ini serta para
aktivisnya untuk merancakkan pelaksanaan agenda dakwah khususnya dalam kalangan
generasi muda.
Dua
ucapan dasar yang terdahulu pada 2016 serta 2017; ABIM telah menyatakan keprihatinan
terhadap kesejahteraan ekonomi dalam kalangan generasi muda. Umum mengetahui
terutama sebelum PRU Ke-14 yang lalu; isu-isu seperti peluang pekerjaan, kos
sara hidup, perumahan, dan akses kepada pendidikan berkualiti serta percuma,
banyak dibicarakan dalam kalangan generasi muda. Lima bulan sudah berlalu
semenjak kita melewati era Malaysia Baharu; sudahkah persoalan-persoalan mengenai
kesejahteraan ekonomi dalam kalangan generasi muda telah ditangani? Apakah
bibit-bibit untuk menanganinya sudah timbul? Adakah era ini telah menjelmakan
formula khusus untuk menjawab persoalan ini?
Pertanyaan-pertanyaan
ini tampak remeh dan tidak popular. Namun sayugia harus kita ingat;
keprihatinan kepada ekonomi secara langsung mempunyai pengaruh yang sangat
besar terhadap perkembangan sosio-politik sesebuah negara secara menyeluruh.
Sebagai contoh ABIM secara positif memandang serius keperluan pemberdayaan TVET
untuk mengimbangi arus modenisasi serta tribulasi dalam menongkah gelombang
Revolusi Industri 4.0. Keseriusan perlaksanaan TVET sangat penting kerana ia
juga dapat merangsang pertumbuhan ekonomi secara saksama, inklusif dan mampan.
Pembangunan
Belia Positif (PYD) yang menjadi teras di dalam Dasar Belia Malaysia 2015 boleh
dijadikan rujukan untuk menggerakkan organisasi masyarakat madani (CSO) di
negara kita, khususnya untuk membentuk generasi muda supaya lebih mandiri dan
siaga apabila saat ketika memerlukan. ABIM
menyokong penjenamaan secara serius aktivis sepenuh masa CSO belia di Malaysia
sebagai pekerja belia antaranya yang cuba diusahakan oleh Federasi Kebangsaan
Pekerja Belia (FPKB).
Justeru,
ABIM harus kekal berperanan sebagai learning institution kepada
generasi muda. ABIM perlu terus mengupayakan potensi yang ada dalam kalangan
generasi muda supaya lebih ramai dapat tampil serta berperanan sebagai change
maker. Pembentukan kapasiti dalam bentuk
latihan secara formal serta pendedahan berterusan harus perlu digerakkan secara
komprehensif. Detiknya sudah tiba untuk para aktivis ABIM pada masa kini secara
aktif mengenal pasti dan mendidik generasi muda dengan mengenal pasti potensi
serta bakat kepimpinan yang ada di kampus serta di sekolah.
Bidang
sastera, seni dan kebudayaan merupakan tiga entiti yang saling berikat rapat dan
bergantungan antara satu sama lain. Cakupan ketiga-tiga bidang ini sangat luas dan
kompleks, selain sinonim dengan ketulenan jati diri sesebuah tamadun dan pembangunan
sesebuah masyarakat. ABIM sentiasa prihatin terhadap keperluan untuk menyantuni
dan membangunkan kesedaran anak muda terhadap seni, bahasa,
kebudayaan dan sukan. Pendekatan ini didasari untuk memulihara dan mengekalkan
warisan seni budaya serta sastera negara, di samping menjadikan ABIM sebagai
gerakan yang mesra dengan penggiat seni, budaya dan sastera.
FOKUS
2: KESUKARELAWANAN & KEMANUSIAAN
Polemik-polemik
antarabangsa menjadi semakin ruwet. Saudara-saudara seagama kita dalam kalangan
etnik Rohingya serta Uyghur semakin ditekan dan terus menderita di tanah
kelahiran mereka sendiri. Krisis kemanusiaan yang tercetus akibat konflik yang
berlaku di Syria, Kashmir, Gaza-Palestine dan seluruh dunia belum menampakkan
tanda-tanda ia akan berakhir.
Data
akhir tahun 2017 oleh UNHCR iaitu agensi dunia yang menguruskan hal ehwal
pelarian di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyebutkan bahawa
terdapat 68.5 juta orang yang menjadi pelarian akibat daripada peperangan, pencari
suaka dan individu yang diperdagangkan, dinafikan hak asasi kemanusiaan dan
sebagainya. Jumlah ini hampir tiga juta lebih ramai berbanding tahun 2016 dan mencatatkan
peningkatan 50% daripada 42.7 juta orang yang melarikan diri sejak 10 tahun
lalu.
Menyonsongnya
fajar Malaysia Baharu turut menyegarkan semula harapan kita agar Malaysia dapat
berperanan dengan lebih proaktif mendepani polemik-polemik yang berlaku di
pentas antarabangsa. Kita amat merindui ketegasan negara kita bersuara menentang
sebarang bentuk kezaliman yang melangkaui batas hak asasi manusia. Kita juga
mengharapkan Malaysia akan berperanan secara proaktif menangani krisis-krisis kemanusiaan
sejagat seperti mana yang pernah ditampilkan ketika membantu umat Islam Bosnia
Herzegovina yang mana ABIM turut berperanan secara aktif dalam menjayakannya.
Dengan
krisis kemanusiaan serta polemik antarabangsa yang dijangka semakin meruncing,
ABIM perlu meningkatkan kapasitinya untuk berperanan dengan lebih berkesan di
pentas global. Dalam aspek advokasi, ABIM akan terus menyuarakan agar hak asasi
etnik Rohingya serta Uyghur dihormati dan mendapat pembelaan yang sewajarnya
daripada masyarakat antarabangsa. ABIM juga akan terus mendesak agar konflik
yang berlaku di Syria, Palestine serta Kashmir, diselesaikan secara tuntas untuk
menamatkan segera krisis kemanusiaan yang berlaku akibat daripada konflik tersebut.
ABIM
melalui agensi kemanusiaannya, Global Peace Mission (GPM) Malaysia perlu
meningkatkan kapasiti dalam setiap inisiatif-inisiatif kemanusiaan yang digerakkan.
Selain daripada inisiatif-inisiatif ketika Ramadhan (Iftar
For The Needy) dan Eid Adha (Qurban
For The Needy), usaha pembangunan membabitkan muhajirin
Rohingya serta Syria menerusi Sekolah Pendidikan Alternatif Jashmine Ash
Sham di Setiawangsa serta Jaringan Rohingya Education Centre (JREC) perlu dikembangkan.
Komitmen-komitmen
antarabangsa ini memerlukan sumbangan ramai relawan yang berjiwa ummatik untuk
dilatih. Adalah menjadi harapan dengan penglibatan ramai generasi muda dalam
aspek advokasi serta inisiatif-inisiatif kemanusiaan, lebih ramai ‘pemimpin
sukarelawan’ yang dapat diketengahkan. Sebagai contoh menerusi inisiatif
Relawan Malaysia, generasi muda akan dilatih secara intensif melalui GPM untuk
menjadi pencetus dan pencipta (volunteerism creator) ke arah mewujudkan gelombang
kebaikan di dalam masyarakat seperti mana yang diungkapkan dalam buku Learning
Service “an
extraordinary contribution. A manifesto for doing good well.”
FOKUS
3: AGENDA INTELEKTUAL, PEMBUDAYAAN ILMU DAN
PENERBITAN
ILMIAH ABIM
Ilmu
pengetahuan adalah teras utama di sebalik kekuatan ABIM semenjak awal penubuhannya.
Kekuatan tersebut membolehkan ABIM mencetuskan perubahan lewat era kebangkitan
Islam yang fenomenal sehingga ke era politik perubahan yang cuba dirintis
menerusi gagasan Malaysia Baharu. Kita menginsafi kemenangan yang tercipta
bukan hanya untuk dirai. Sebalik ini menandakan sudah bermulanya amanat untuk
kita mengisi makna di sebalik gagasan Malaysia Baharu melalui penerbitan. ABIM
menerusi agensi penerbitannya iaitu ABIM Press telah mengusahakan penerbitan
puluhan bahan ilmiah.
Antaranya
pada 23 September yang lalu, sebanyak 25 judul buku ABIM diluncurkan oleh
Menteri Agama, YB. Dato’ Dr. Mujahid Yusuf Rawa ketika merasmikan Seminar Fiqh
Kewarganegaraan, bersempena dengan ijtima’ haraki WAP Negeri Sembilan. Alhamdulillah
terdahulu ABIM Press telah berjaya mengusahakan penerbitan khas antara ABIM dan
IIIT, iaitu buku berjudul “Hubungan Ibu Bapa dan Anak: Panduan Membesarkan
Anak-Anak” (terjemahan daripada Parent-Child
Relations: A Guide to Raising
Children). yang diluncurkan oleh YAB.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah, pada 7 September 2018.
Sesungguhnya penerbitan buku ini sangat penting dan diharapkan dapat merangsang
penerbitan bahan-bahan ilmiah yang boleh dijadikan sebagai rujukan serta modul
dalam kalangan masyarakat. Insya’Allah sebanyak lapan lagi judul akan
dilancarkan bersempena muktamar dan seminar
pada kali ini. Keseluruhannya ABIM Press telah menerbitkan 33 judul yang meliputi
pelbagai genre, seperti siri al-Quran, tarbiyah, falsafah, sejarah, tasawuf, biografi,
psikologi, kekeluargaan, politik dan demokrasi, turath usul al-fiqh dan akidah.
Untuk mengisi cabaran masa mendatang, ABIM Press sedang mengemas kini
operasinya agar kapasiti penerbitan dapat ditingkatkan.
Penumpuan
kepada aspek ilmu, melalui agenda penerbitan ilmiah yang digerakkan oleh ABIM,
diharapkan dapat memberikan impak dalam pembentukan landskap Malaysia Baharu.
Melalui projek-projek penerbitan ini juga, ABIM berhasil dapat mengumpulkan
para intelektual untuk sama-sama memberi sumbang saran dalam bentuk gagasan
idea yang bersifat kontemporari. Usaha penerbitan ini secara langsung ini
diharap dapat merangsang kelahiran para intelektual dalam kalangan generasi baharu,
yang akan menyumbang kepada perkembangan kegiatan ilmiah. Sejarah membuktikan
bahawa setiap gagasan dan idea yang diterjemahkan melalui projek penerbitan
akan berakar lebih kukuh serta lestari sifatnya seperti mana yang terbukti
ketika era kebangkitan Islam Jilid pertama yang diterajui ABIM.
FOKUS
4: PENDIDIKAN MASA HADAPAN
Untuk
mendepani cabaran pendidikan pada masa hadapan, elemen penting dalam pendidikan
abad ke-21 (PAK-21), seperti yang dilaporkan oleh World Economic Forum 2016,
memerlukan warga pendidik di negara diberi ruang untuk memfokuskan pada aspek
pembelajaran sosial dan emosional (SEL). Laporan yang sama turut menyenaraikan
penekanan kepada kepentingan pada subjek penyelesaian masalah kemahiran penting
menjelang tahun 2020.
Atas
semangat Malaysia Baharu, ABIM merasakan sudah tiba masanya reformasi pendidikan
kebangsaan dilaksanakan sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Reformasi pendidikan ini sangat penting terutama dalam menjadikan persekolahan
kebangsaan sebagai pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia. ABIM menggesa gerakan
reformasi pendidikan kebangsaan perlu didokong dengan polisi dasar berasaskan
kajian ilmiah, bersistematik, dan bersifat jangka panjang. ABIM berpandangan
reformasi sistem yang berkesan ialah dengan meletakkan komitmen dan sumber yang
penuh bagi memartabatkan profesyen keguruan dengan membenarkan mereka
menumpukan perhatian pada tugasan hakiki kependidikan; iaitu pendidikan yang
merangsang kepada pembentukan karakter kemanusiaan.
Justeru,
pendidikan nilai, budi pekerti dan pembangunan karakter perlu menjadi antara
teras utama reformasi pendidikan ini, yang mana wacana berkaitan Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 masih lagi relevan untuk dijadikan
rujukan, dan ditambah baik bagi memenuhi citra baharu pendidikan dalam Malaysia
Baharu.
ABIM
juga mengharapkan KPM dapat mengolah sistem pendidikan menjadi wadah perpaduan
pendidikan bersepadu dengan ciri bahasa, budaya, dan amalan pendidikan
berformatkan aspirasi citra bangsa Malaysia; Bukan sistem pendidikan yang
berkecamuk dan mengasing-asingkan standard dalam berwarganegara. Ini penting
dalam merangsang pembangunan sekolah-sekolah yang berprestasi rendah.
Reformasi pendidikan kebangsaan perlu relevan dengan persekolahan masa hadapan;
yang meliputi kebebasan akademik, dan ruang mengembangkan bakat. Lensa baharu
jenis persekolahan perlu diteroka dengan serius dalam mendefinisikan tawaran
sekolah kebangsaan.
Untuk
mengisi visi aspirasi Islam dalam Malaysia Baharu, mahu tidak mahu semua institusi-institusi
pendidikan yang membawa nama ABIM juga memerlukan penerapan idea yang segar
untuk memastikan keluwesan pada masa akan datang. Perbincangan serta
penglibatan secara holistik ke arah mereformasikan dinamika pendidikan jemaah
perlu disegerakan dengan mengambil kira pelbagai input pendidikan kontemporari.
Generasi baru para pendidik ABIM perlu diraikan kemampuan mereka untuk
sama-sama melestarikan relevansi rangkaian pendidikan TASKI, SERI, SEMI, Tahfiz
dan KAFA dalam kalangan masyarakat. Untuk itu perbincangan dan perlaksanaan
secara serius konsep Sekolah Masa Hadapan, serta pembumian
Pendidikan Al-Hikmah untuk memberi makna kepada jati diri amalan sistem
pendidikan jamaah.
FOKUS
5: AGENDA KELUARGA MAWADDAH WA RAHMAH
Statistik
dari Laporan Survey Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2017 amat membimbangkan
kita. Laporan tersebut mendedahkan bahawa semua golongan terdedah kepada
masalah kesihatan mental seawal Tingkatan 1. Dalam pada itu, laporan yang
dikemukakan UNICEF 2018, menyatakan di sebalik menurunnya kadar kemiskinan yang
ketara daripada 50 peratus (pada tahun 1970) kepada 0.4
peratus
(pada tahun 2016), laporan yang sama juga menunjukkan ramai kanak-kanak (22%)
yang mendiami kawasan flat kos rendah sekitar Kuala Lumpur mengalami masalah
tumbesaran ataupun bantut. Keadaan ini berlaku disebabkan akses yang terhad
kepada makanan berkhasiat akibat daripada tekanan kos sara hidup yang sangat
tinggi.
Fakta-fakta
yang diutarakan di atas menyedarkan HELWA ABIM untuk merencanakan agenda untuk
mendepani cabaran sosio-ekonomi masyarakat yang semakin getir secara tuntas.
Agenda pemberdayaan keluarga menjadi keutamaan HELWA ABIM dalam merencana
pengisian Visi Islam Malaysia Baharu. Ia direncanakan
sesuai dengan situasi dan keadaan semasa dengan mengambil kira faktor
sosio-ekonomi masyarakat dalam mendepani cabaran yang semakin genting abad ini.
Justeru
HELWA ABIM ingin mengutarakan agenda pemberdayaan Keluarga Mawaddah wa Rahmah
(KAMAR) sebagai kerangka utama gerak kerja HELWA ABIM ke arah mengisi Visi Islam
Dalam Aspirasi Malaysia Baharu. Agenda KAMAR kali ini telah direncanakan
antaranya meliputi aspek Keilmuan dan Keintelektualan, Aktivisme dan Advokasi,
Pengurusan Rumah Perlindungan, Pengurusan Keluarga Muda –
Konflik Rumah Tangga, dan penglibatan dalam aktiviti
antarabangsa.
Dalam
aspek keilmuan, HELWA ABIM berhasrat untuk sama-sama mengukuhkan peranan ABIM
dalam masyarakat sebagai gerakan keilmuan dan gerakan intelektualisme menjadi
sangat signifikan. Fokus HELWA 2018-2022 mensasarkan untuk kembali menjadi source
of authority yang dapat dimanfaatkan oleh
masyarakat. Komitmen terhadap pemberdayaan ilmu akan membolehkan advokasi
mengenai, Literasi
Hak dan Perlindungan Kanak-kanak, Literasi Undang-undang Keluarga Islam,
Literasi Kesihatan Mental dan Literasi Kesihatan Seksual dan Reproduktif, dapat
digerakkan secara berkesan oleh para aktivis HELWA ABIM.
HELWA
ABIM juga mensasarkan untuk memantapkan pengurusan rumah perlindungan, Bayt Ar
Rahmah yang juga merupakan kesinambungan kepada agenda pemberdayaan keluarga
semenjak digagaskan beberapa tahun yang lalu. Cabaran yang sedang dihadapi
masyarakat memerlukan pengukuhan institusi keluarga. HELWA ABIM komited ke arah
membentuk sistem sokongan sosial yang mampan
bagi membentuk persekitaran yang kondusif dalam sesebuah keluarga. HELWA ABIM
menegaskan bahawa masyarakat yang sejahtera asasnya bermula apabila sesebuah
keluarga mampu berperanan mendidik sebuah generasi.
FOKUS
6: INOVASI DALAM AMAL KEMASYARAKATAN
Pencapaian
ABIM sebagai gerakan Islam banyak tercatat dalam mencetuskan pelbagai inovasi
dalam aspek amal kemasyarakatan. Malaysia Baharu tetap menghadirkan cabaran
kepada gerakan dakwah seperti ABIM untuk merungkai pelbagai persoalan yang
meliputi sosio-ekonomi umat. Antaranya sempena Ramadhan 1439H yang lalu, untuk
sekian kalinya ABIM telah menganjurkan Kempen Seorang Sekampit
Beras
(KSSB). Kita amat menghargai kepercayaan yang diberikan Persatuan Institusi Perbankan
Islam (AIBIM) dan para penyumbang yang membolehkan ABIM menjadi perantara di
antara mereka dan golongan du’afa serta kelompok fuqara’
wa al-masakin tanpa mengira latar belakang kaum
serta agama. Kepercayaan ini jelas menunjukkan gerakan dan kempen semenjak dua
belas tahun yang lalu masih relevan
untuk menyantuni permintaan golongan yang memerlukan.
Inisiatif
ADAB Youth Garage (AYG) yang
dimulakan para aktivis ABIM Daerah Bangi telah mula mendapat sambutan di
beberapa tempat di Lembah Klang. Inisiatif pusat pembangunan remaja ini
merupakan sebahagian daripada inovasi yang dicetuskan menerusi ABIM untuk
memenuhi amanat dakwah di lapangan amal kemasyarakatan. Inovasi-inovasi ini
digerakkan untuk memenuhi keperluan
dakwah
dalam bidang serta niche tertentu.
Sebagai
contoh untuk menangani gejala sosial; ABIM telah menawarkan inisiatif DERMAGA
(Diriku Permata Berharga) untuk menangani permasalahan sosial melibatkan
golongan remaja untuk menjauhi sebarang tingkah laku berisiko. Dalam aspek
kesihatan; Biro Kesihatan ABIM (BKA) secara proaktif menawarkan khidmat
pemeriksaan serta rawatan kesihatan percuma di samping batu asas kepada pembentukan
Hospital Pakar al-Islam (dahulu lebih dikenali KBMC). ABIM juga tidak
ketinggalan berusaha menawarkan khidmat bantuan guaman menerusi inisiatif Grup
Peguam ABIM (GPA).
Di
sebalik sambutan yang menggalakkan terhadap inisiatif-inisiatif tersebut, ABIM
serta para penggeraknya tidak boleh berhenti daripada terus menggerakkan inovasi
baharu dalam lapangan amal kemasyarakatan. Banyak lagi lapangan amal kemasyarakatan
yang perlu diterokai. Antaranya ialah lapangan amal kemasyarakatan dalam aspek
kelestarian alam sekitar seperti mana yang sedang diterokai oleh Pertubuhan
Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS Malaysia). Adalah menjadi harapan agar
kapasiti serta daya saing inisiatif-inisiatif yang telah ataupun dibentuk pada
masa akan datang ini dapat dikembangkan agar ia kekal lestari dengan tuntutan dakwah.
FOKUS
7: DAKWAH & KEFAHAMAN ISLAM
“Wahai
Nabi! Sesungguhnya Kami mengutusmu untuk menjadi saksi, pembawa khabar gembira,
dan pemberi peringatan. Dan untuk menjadi penyeru kepada Allah dengan izin-Nya
dan sebagai cahaya yang menerangi.” (Al-Ahzab: 45-46)
Saban
tahun, ABIM bersama dengan rakan-rakan NGO berorientasikan agama dalam
Friendship Group For Inter-Faith Services (FGIS) bertemu dalam program berbuka
puasa Muhibbah yang dianjurkan di masjid-masjid sempena bulan Ramadhan. Pada
Ramadhan 14439H, majlis tahunan tersebut di kembangkan pula dengan kerjasama
Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS), Community Action Network
(CAN) dan Church of Assumption di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Petaling
Jaya. Alhamdulillah inisiatif sebegini telah mula berkembang dan disambut dengan
positif. Banyak masjid dan surau telah meraikan kehadiran komuniti bukan Islam
yang seharusnya dimanfaatkan sebagai wadah untuk memberikan penjelasan mengenai
Islam. Dalam era Malaysia Baharu, model permuafakatan gerak kerja antara
penganut agama di bawah FGIS ini merupakan suatu kebitaraan ABIM. ABIM akan
memanfaatkan sepenuhnya potensinya dalam FGIS dan turut terlibat aktif dalam
inisiatif yang lain untuk menampilkan model dakwah Islam sebagai agama rahmat
yang bertindak sebagai problem solver terhadap
pelbagai kemelut masyarakat.
Inisiatif
Mosque Tour Guide di
bawah seliaan Islamic Outreach ABIM (IOA) masih mendapat sambutan sehingga ke
hari ini. Jika dahulu tumpuan program-program sedemikian adalah untuk
mengetepikan gejala Islamophobia yang menafikan kesucian citra sebenar Al-Islam
Rahmatun Lil Alamin. Inisiatif-inisiatif seperti ini
tidak akan terhasil sekiranya kita kekal dalam zon selesa yang hanya akan mengasingkan
kita sebagai kelompok elitis yang mampu menghukum. Komitmen ABIM dalam
meratakan dakwah agar keberadaan Islam tidak ditakuti dalammasyarakat majmuk
telah dinyatakan semenjak tahun 1970-an lewat ucapan dasar “Islam Sebagai
Penyelesaian Kepada Masyarakat Majmuk”.
Tidak
lupa kita ingin merakamkan penghargaan yang tidak ternilai harganya kepada para
aktivis kita yang bertungkus lumus di pelbagai lapangan dakwah yang berbeza.
Keberadaan aktivis ABIM mengisi program pemandu pelancong masjid, menyantuni
serta mendidik masyarakat orang asli, membimbing saudara seagama
kita yang ingin mendalami Islam di kepulauan Cocos, dan memberikan penerangan
mengenai keindahan Islam dalam program-program dialog antara agama. Mengambil
kesempatan ini mari sama-sama kita mengucapkan selamat maju jaya kepada
pendakwah-pendakwah wanita ABIM yang ingin memanfaatkan masa mereka bersama
umat Islam di kepulauan Cocos.
Keterbukaan
yang dijanjikan seiring dengan ketibaan Malaysia Baharu perlu dimanfaatkan
untuk merancakkan lagi agenda dakwah di lapangan. Keterbukaan yang merupakan
asas penting kepada perkembangan aktivisme dakwah perlu dikekalkan sepertimana
yang diperingatkan oleh tokoh pendakwah berpengalaman, Dr Hisham At-Thalib
dalam lawatannya ke Malaysia September 2018 yang lalu.
“Usaha
dakwah menjadi sukar apabila ia tidak lagi dilihat sebagai sebuah misi tetapi
lebih berbentuk domain eksklusif kelompok individu. Kita seharusnya berusaha
untuk mengelakkan dari penampilan diri membatasi pengisian,kelesuan mengatasi
keberhasilan, pengorbanan dibatasi kepentingan peribadi, dan kepura-puraan
menutupi kejujuran. Ketika usaha Da’wah menjadi eksklusif dan sempit, ia
membangkitkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat dan akan membuka
ruang kepada pelbagai pihak untuk mencari kelemahan yang boleh menjatuhkan
usaha murni ini. Sifat sebenar dakwah itu sebenarnya adalah menyeluruh, terbuka
dan meraikan semua. Dakwah merupakan suatu misi, bukan perkumpulan kelompok
eksklusif dan elitis.” (At-Talib: 2014)
Sesuai
peredaran masa dan zaman; ABIM perlu menginsafi keperluan menyantuni dan
membimbing anak muda dari pelbagai kelompok, latar belakang dan bakat untuk
dilatih secara intensif melalui siri usrah, tamrin dan bengkel sebagai daie
yang mampu mengemudi arus perubahan era Malaysia Baharu.
MEMARTABATKAN
AMANAH UMAT
“Sesungguhnya
kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata. Supaya Allah memberikan
pengampunan terhadap dosa-dosa yang lalu dan yang akan datang serta
menyempurnakan ni’matnya atasmu dan memimpin kamu ke jalan yang lurus. Dan
supaya Allah menolongmu dengan pertolongan
yang
kuat. Dialah yang telah menurunkan
ketenangan ke dalam hati orang-orang Mu’min supaya keimanan mereka bertambah di
samping keimanan mereka (yang sedia ada).” (Al-Fath:
1-5)
Menurut
pengarang Tafsir Fi Zilal al Quran,
Rasullullah s.a.w sungguh amat senang sekali dengan Surah Al Fath ini. Jiwa
besarnya bergembira dengan anugerah Ilahi yang melimpahinya dan melimpahi
orang-orang mukmin yang bersamanya. Junjungan bergembira dengan kemenangan yang
nyata, bergembira dengan pengampunan yang sempurna, bergembira dengan nikmat
yang melimpah, bergembira dengan hidayah
– petunjuk ke jalan Allah yang lurus dan terarah, bergembira dengan pertolongan
Tuhan yang Maha Gagah lagi Maha Pemurah, bergembira dengan keredhaan Allah
terhadap orang-orang mukmin dan dengan penggambarannya yang demikian indah.
Jiwa murninya menjadi penuh dengan kesyukuran kepada Tuhannya atas segala
nikmat kurniaannya.
Ternyata
peristiwa Sulh al-Hudaibiyyah yang
melatari penurun surah ini merupakan isyarat awal pembukaan yang lebih besar
dan tersebarluasnya Islam pada masa mendatang. Ianya, menurut Az Zuhriy, merupakan
satu kemenangan dalam bidang dakwah. Peristiwa ini, sepertimana setiap helaian
al-Quran yang lain mencatatkan pengajaran dan tauladan yang besar buat para
daie penerus risalah perjuangan para anbiya’. Di dalamnya terkandung kisah
keimanan, kesabaran dan kesetiaan generasi para sahabat yang wajar dihayati oleh
pendukung harakah dalam menempuh ranjau perjuangan, dan tatkala beroleh
kemenangan
serta kejayaan dalam marhalah dakwah.
Muktamirin
dan Muktamirat yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah,
marilah kita merafa’kan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas limpah
rahmatNya yang mengurniakan kita hidayah, ketenangan dan kesempatan untuk terus
menggalas amanah dakwah yang cukup berat ini di sebalik seribu satu kelemahan
dan kekurangan yang wujud dalam diri dan harakah tercinta ini. Dengan penuh
insaf, ABIM menyedari bahawa ruang dan peluang dakwah yang kini
terbuka lebih luas menuntut komitmen berganda dari seluruh saf pimpinan dan warga
ABIM. Sejak awal penubuhannya, hasrat kita hanya satu. Hasrat dan impian yang
tersemat kukuh di hati sanubari kita tidak lain hanyalah untuk merealisasikan cita-cita
Islamiyyah seperti yang termaktub jelas dalam perlembagaan ABIM.
Setiap
warga ABIM tanpa jemu – dari
dahulu sehinga ke saat ini – dan
Insha Allah sehingga ke ahirnya berusaha sedaya mampu untuk menjadikan negara
Malaysia yang kita cinta ini sebagai watan yang diberkahi Allah Ta’ala –
baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur. Kita diajar selama ini untuk setia
kepada idealisme perjuangan dan istiqamah menegakkan kebenaran dan keadilan
walaupun apa yang datang menimpa,
sampil menyemat kemas pesan Sayyidina Umar al Khattab – man
nasaral haqqa aflaha – barangsiapa yang membantu menegakkan
kebenaran, maka dia akan berjaya!
Muktamirin
dan Muktamirat yang dikasihi,
Amanah
dakwah yang sedia dipikul kian terasa semakin memberat tatkala menyatuni umat
yang bertandang dari seluruh pelusuk benua menyampaikan luahan dan harapan agar
Malaysia tampil kembali memimpin suara dunia Islam di pentas global. Yang kita
usahakan selama hampir separuh abad ini hanyalah untuk melaksanakan
reformasi-Islahiy sedaya dan setulusnya tanpa mengharapkan yang lain selain
keredhaan Allah SWT semata-mata. Sebagai orang dakwah yang mengaku sebagai
pelanjut risalah para anbiya’ wal mursalin, marilah kita kembali menghayati
peringatan Tuhan bahawa yang selayaknya ditakuti dalam perjuangan ini hanya
Allah Rabbul Jalil. Tiada siapa pun, dan apa-apa pun – baik pangkat,
takhta,
kuasa, harta, wang ringgit dan pengaruh yang kita takuti (akan sirna) dalam perjalanan
menyampaikan risalah Allah SWT. Hanya keikhlasan dan ketakutan kepada Allah SWT
yang menjadi bekal di dalam hati dan setiap hela nafas serta denyut nadi
perjuangan menebarkan risalah Ilahi.
“(Nabi-nabi
yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta
mereka takut melanggar perintahNya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun
melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang
dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).”
(Al-Ahzab: 39)
Akhirul
kalam, kami tinggalkan buat bekalan muktamirin dan muktamirat yang dikasihi
Allah sekalian dengan sebuah kisah Junjungan baginda Ar Rasul SAW yang diriwayatkan
oleh Imam Muslim r.a tatkala Abu Ubaidah al Jarrah r.a membawa pulang dari
Bahrain ke Madinah hasil pungutan jizyah yang begitu banyak. Sejurus selepas
solat Subuh berjamaah, kaum Ansar yang kebanyakannya hidup serba susah
telah
bertemu dengan Rasulullah SAW dan mengelilingi baginda dengan penuh pengharapan
agar mereka mendapat bahagian dari jizyah tersebut. Lalu Rasulullah SAW senyum
lantas berkata,
“Aku
rasa kamu semua berjumpa aku kerana Abu Ubaidah telah membawa pulang sesuatu
yang berharga yakni kutipan jizyah”. Lalu mereka menjawab “Benar sekali wahai
Rasulullah”. Lantas Baginda pun bersabda:
“Bergembiralah
dan bercita-citalah dengan apa yang dapat membuat kalian bahagia. Sungguh demi Allah,
bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan atas kalian. Akan tetapi yang aku
khuatirkan atas kalian adalah apabila kalian telah dibukakan (harta) dunia
sebagaimana telah dibukakan kepada orang-orang sebelum kalian, lalu kalian
berlumba-lumba untuk merebutnya sebagaimana mereka berlumba-lumba merebutnya
sehingga harta dunia itu membinasakan kalian sebagaimana telah membinasakan
mereka.” (Hadis
Sahih, Riwayat Imam Muslim)
Muktamirin
dan Muktamirat,
sematkanlah
sunguh-sungguh pesan tokoh pendakwah Dr ‘Ali Jarisyah kepada para daie ila’Llah
lewat kitabnya Dua’tun wala Bughatun;
“Berapa ramai pendakwah tidak tumbang dihadapan orang handalan.
Tetapi
mereka gugur di hadapan harta dan kedudukan!”
Moga-Moga
Allah SWT berkenan melimpahkan rahmat dan inayah-Nya, dan terus mengurniakan
kekuatan, kesabaran dan keikhlasan kepada seluruh pimpinan dan warga besar
Angkatan Belia Islam Malaysia dalam mengangkat aspirasi rakyat dan memartabatkan
amanah umat!
Selamat
bermuktamar. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
BIBLIOGRAFI
Alalwani,
Taha Jabir. 2017. Reviving The Balance: The Authority
of the Qur’an and the Status of the Sunnah. International
Institute of Islamic Thought (IIIT).
Altalib,
Hisham. 2014. Inviting to Islam: Ethics of
Engagement.
Anwar,
Ibrahim. 1997. Gelombang Kebangkitan Asia. Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP).
Azizan
Bahari, Chandra Muzaffar (ed). 1996. Keadilan Sosial. Institut
Kajian Dasar.
Claire
Bennett, Daniela Papi-Thonton. 2018. Learning Service: The Essenttial
Guide to Volunteering Abroad. Red Press Limited.
Francis
Loh, Anil Netto (ed). 2018. Regime Change in Malaysia: GE14 and
the End of UMNO-BN’s 60-year Rule. Petaling Jaya: SIRD.
Fukuyama,
Francis. 2018. Identity: Contemporary Identity
Politics and Struggle for Recognition . Profile
Books Ltd.
Kamali,
Mohammad Hashim. 2002. The Dignity of Man: An Islamic
Perspective. Cambridge: Islamic Texts Society.
Mahbubani,
Kishore. 2018. Has the West Lost it? A Provocation .
Penguin Books.
Muhammad,
Abdul Khalid. 2017. Antara Dua Darjat: Agihan Pendapatan
di Malaysia. Kuala Lumpur: Dubook Press.
Richard
Wilkinson, Kate Pickett. 2018. The Inner Level: How More Equal
Societies Reduce Stress, Restore Sanity and Improve Everyone’s Well-being. Penguin
Books Ltd.
Robinson,
Daron Acemoglu and James A. 2001. “A Theory of Political Transitions.” American
Economic Review Vol. 91(4), September : 938-963.
Sardar,
Ziauddin. 2015. “Welcome to Postnormal Time Revisited.” Futures
67, March: 26-39.
—.
2015. “Postnormal Times Revisited.” March: 26-39.
Siddiq
, Fadzil. 2018. Hijrah ke Malaysia Baharu: Mencari
Makna di Balik Kata. Selangor: Institut Darul Ehsan
(IDE).
Siddiq,
Fadzil. 1992. Minda Melayu Baru. Institut
Kajian Dasar.
Sohail
Inayatullah, Lu Na. 2018. Asia 2038: Ten Disruptions that
Change Everything (Metafuture).
Weiss,
Meredith L. 2004. “The Changing Shape of Islamic Politics in Malaysia.” Journal
of East Asian Studies Vol. 4, No. 1 , 139-173
https://www.jstor.org/stable/23417965.
Weiss,
Meredith L., interview by The Fletcher Forum of World Affairs. 2018. Politics,
Law and Institutions (June 28).
Ziauddin
Sardar, John A. Sweeney. 2016. “The Three Tomorrows of Postnormal Time.”
Futures 75, 1-13.