Wednesday, September 12, 2018

MENANGANI PERUBAHAN DAN MENGISI KEMENANGAN




TEKAD PERUBAHAN POLITIK

Pada pilihanraya yang lalu, majoriti rakyat  telah membuat keputusan, mencapai kesepakatan membulatkan tekad dan menyokong secara terbuka perubahan politik yang dibawa oleh Pakatan Harapan. Bagi gerakan Islam pula harapan kita adalah agar berlaku reformasi-islahiy.

Kita menyokong dan mendokong sistem demokrasi dalam pemerintahan negara dan ingin memastikan pelaksanaan sebenar demokrasi merakyat dengan politik luhur diamalkan serta terlaksana pilihanraya bersih demi maslahah umat dan negara.

Seperti dinukilkan oleh Dr Siddiq Fadzil, demokrasi memerlukan peranserta rakyat secara aktif dan bertanggungjawab, termasuk komitmen pemantauan, pengawalan, teguran dan koreksi (muraqabah dan muhasabah) terhadap dasar dan tindakan para penguasa, sesuai dengan kewajipan amar ma’ruf nahi munkar.

Kita mendokong gagasan sistem dua parti kerana ia memastikan check and balance – ‘saling semak dan imbang’ agar kuasa tidak diboloti dan tidak hanya berlegar di kalangan satu kelompok elit penguasa. Rakyat mempunyai pilihan yang terbaik, daripada pelbagai parti yang berlawanan menampilkan visi, idea dan strategi, kompetensi serta  imej bersih berintegriti. Sistem dua parti yang kuat akan sentiasa menentang salahguna kuasa dan memastikan keadilan sosial diutamakan.

Kita bergerak atas premis ini  untuk mengorak langkah maju ke hadapan agar politik perubahan menjadi realiti demi masa depan negara.

Parti pemerintah yang lalu juga ada kelemahan dan ada kelebihannya. Namun secara zahir Pakatan Harapan memiliki kesungguhan untuk memulih dan membina semula negara manakala Barisan Nasional pula mempunyai pelbagai rekod kefasadan yang nyata serta tidak berdaya untuk berubah. Malaysia amat memerlukan perubahan politik.

Isu kleptokrasi dan rasuah bertaraf mega serta global 1MDB dan skandal-skandal lain telah mengheret rakyat menjadi derita berpanjangan bakal meninggalkan malapetaka kewangan kepada  beberapa generasi akan datang sedangkan elit pemerintah dan kuncu-kuncunya hidup mewah penuh pembaziran yang melampau-lampau. Petanda jelas ditunjukkan bahawa rata-rata rakyat menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa. 
   
Rakyat telah keluar mengundi beramai-ramai pada 9 Mei 2018 yang bersejarah dan merubah kerajaan melalui tindakan demokratik serta aman sehingga menggegarkan dunia.

Itulah rentetan hasil perjuangan dan citra gerakan reformasi Dato Seri Anwar Ibrahim. Pembebasan Dato Seri Anwar Ibrahim sejurus kemenangan sangat simbolik dan melambangkan keadilan itu sesuatu yang pasti. Pengorbanan Dato Seri Anwar Ibrahim telah ditebus dengan pembebasan dan pembersihan nama serta maruahnya. Ini hanya mungkin dengan kemenangan PH dalam PRU14.

Perubahan politik ini juga menunjukkan bahawa tuntutan keadilan merentas kepentingan ras dan agama. Rakyat majoriti tanpa mengira kaum memilih untuk menyokong kompak janjisetia moral – bai’ah moral yang dibawa dan dijanjikan oleh Pakatan Harapan. Kepelbagaian dalam bingkai kesatuan dapat disatukan dengan matlamat moral yang tinggi, harapan masa depan serta cinta kepada tanah air.

Kita telah menyumbang menurut nisbah penglibatan kita kepada kemenangan dan pembaharuan landskap politik yang bersejarah.

Namun pada waktu getir ketika pertarungan politik dan sesudah mencapai kejayaan wajar diingatkan agar semua insaf, bergantung harap dan bersyukur atas pertolongan dan kemenangan yang dikurniakan Allah swt. Maka diantaranya disarankan membaca dan mentadabbur surah Al Fath.


PENGAJARAN SURAH AL FATH

Surah Al-Fat-h - سورة الفتح

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata,
Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).
Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepunuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya).
 (Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
 (Allah melakukan yang demikian) supaya ia memasukkan orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan - ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dengan keadaan kekal mereka di dalamnya, serta menghapuskan dosa-dosa mereka; dan adalah yang demikian itu pada sisi Allah merupakan kejayaan yang besar (untuk mereka);

Menurut tafsir fi zilalil Qur’an Sayyid Qutb, pada waktu surah ini diturunkan perubahan-perubahan penting telah berlaku kepada masyarakat Islam Madinah, perubahan sikap mereka; perubahan sikap para penentang. Paling penting adalah perubahan jiwa dan corak keimanan para sahabat umat Muslimin, tingkatan keikhlasan, iltizam padu dipandu kefahaman matang dan mendalam mereka.

Rasulullah mendapat mimpi memasuki kota Makkah menunai ibadah haji. Sahabat-sahabat Ansar dan Muhajirin gembira menerima perintah rombongan bersama Rasulullah ke Baytul Haram. Arahan kepada suku Arab dan Badawi hanya disambut sebahagian orang Arab tetapi dilengahkan oleh Arab Badawi.

Rombongan Rasulullah dengan bilangan 1400 orang, membawa unta-unta korban dan pakaian berihram bagi menunjukkan bahawa tujuan mereka datang untuk beribadat ke Baytullah bukannya berperang dengan Quraysh Makkah. Di Hudaybiyah rombongan disekat Quraysh yang telah mengerahkan semua warga kota keluar bagi menghalang kedatangannya. Menurut riwayat, 4 orang utusan daripada kabilah-kabilah Arab dikirim oleh Quraysh bertemu Rasulullah s.a.w. dan kesemua mengesahkan rombongan itu hanya datang bertujuan menunaikan ibadah.

Rasulullah mengutus Uthman bin Affan r.a. dan setelah disampai mesej Rasulullah , Uthman ditawarkan untuk tawaf tetapi dia enggan selagi tidak bersama rombongan. Uthman pula ditahan oleh Quraysh.

Berita sampai kepada Rasulullah dan para sahabat bahawa Uthman r.a. telah dibunuh. Rasulullah dan rombongannya mengadakan Bai’atur Ridwan, berjanji di bawah sepohon pokok, untuk setia dan tidak lari daripada perjuangan. Berita sebenar kemudian sampai bahawa Uthman tidak dibunuh.

Quraysh kemudiannya mengutus Suhayl ibn ‘Amr berunding panjang dan bertolak ansur dengan Rasulullah akhirnya tercapai persetujuan damai.

Para sahabat terlalu berdukacita dan tidak berpuashati dengan syarat-syarat perjanjian yang nampak berat sebelah dan menyulitkan Rasulullah Mereka pada mulanya tidak akur perintah untuk menyembelih unta dan bercukur. Sehinggalah Rasulullah mengikut saranan isterinya Ummu Salamah r.a. agar baginda sendiri memulakannya dan barulah turut diikuti oleh semua para sahabat.

Dalam perjalanan pulang ke Madinah turunlah surah al Fath. Surah yang Rasulullah bersabda ‘lebih dicintai daripada dunia dan seluruh isinya.’

Jiwa Rasulullah tenteram dan tenang menerima ilham Allah swt walaupun digugat cabaran Musyrikin Quraysh dan sikap para sahabatnya yang pada mulanya sangat gusar dan resah.

Allah turunkan ketenteraman sakinah pada hati para sahabat lalu mereka kembali ridha, yakin, patuh, ikhlas menerima perintah dan menunjukkan keinsafan mendalam.

Perjanjian dan perdamaian Hudaybiyah merupakan kemenangan da’wah. Dulu berperang, kini berdamai, da’wah tersebar luas tanpa sekatan, manusia berbondong-bondong memeluk Islam. Umat Islam dapat memberi tumpuan dan mengalahkan ancaman Yahudi Madinah.

Surah ini membayangkan kemenangan-kemenangan yang bakal datang, betapa kekuatan umat Islam mengatasi Musyrikin dan kelemahan ketara Munafiqin. Ini berlaku di dalam jangka masa 2 tahun sahaja.

Peringatan juga tentang ada golongan yang ingin harta rampasan ghanimah tetapi tidak mahu turut serta berperang.

Perkembangan ini juga menunjukkan kesan asuhan Al Qur’an dan didikan Rasulullah s.a.w. ke atas kelompok Mu’min yang unik dan bersejarah.

Saranan agar pemimpin-pemimpin da’wah memimpin manusia tidak jenuh, lalai dan bosan dengan karenah kekurangan dan kelemahan manusia; keladak zaman silam dan warisan-warisannya; tarikan duniawi. Pemimpin da’wah melihat dengan kejernihan, pandangan hati yang tinggi dan melihat nur hidayah yang gemilang.


REALITI POLITIK DAN MEWARISI JEJAK KEFASADAN

Menurut Shaykh Yusuf al Qaradawi, fenomena yang berlaku adalah suatu kebangkitan rakyat. Kebangkitan - sahwah bersifat umum mengandungi arus pelbagai aliran, warna, kumpulan, individu samada terarah, berencana ataupun tidak. Gerakan Islam pula pergerakan berorganisasi yang bermatlamat jelas serta terarah khusus. Setiap gerakan adalah kebangkitan tetapi bukan semua kebangkitan adalah gerakan. Sahwah lebih besar dan sepatutnya menjadi pembekal dan pengukuh kepada gerakan dan gerakan berperanan memandu arah kebangkitan itu ke jalan yang benar dan lurus agar memberikan maslahah kepada ummah. Itulah cabarannya.

Dr. Sali Berisha pemimpin pertama dipilih secara demokratik di Albania memberitahu Aliya Izetbegovic  bahawa dia mewarisi pemerintahan yang korup, parah dan jejak-jejak gersang sehingga dia sendiri terpalit. 45 tahun pemerintahan kuku besi dan komunis Enver Hoxha meninggalkan kerosakan parah kepada manusia, sistem dan budaya Albania. Kebangkitan rakyat dan pembebasan tidak menghasilkan perubahan serta pembaharuan yang dihasratkan rakyat sehingga mereka luahkan keinginan untuk balik kembali kepada zaman diktator korup yang lama.
 
Begitulah nasib Dr Morsi di Mesir bertarung bagi mengisi kemenangan thawrah sy’ab yang telah dikecapi dengan harga yang mahal nyawa, darah dan air mata pengorbanan. Rakyat mahukan penyampaian segera penyelesaian kesempitan hidup mereka. Regim fasad dan korup terutama di kalangan tentera dan pegawai-pegawai kerajaan serta kaum elit telah bertapak berakar tunjang selama 60 tahun lama menzalimi negara dan merompak laba rakyat masih menjadi barah deep state – filoof  kembali mengambil kesempatan merampas negara apabila sebahagian rakyat Mesir sendiri masih sarat dengan pemikiran mentaliti rendah, mudah dihasut dan  berfikiran al fikri al mumit bersifat abdan mamlukan.

Kita ambil iktibar pengalaman Indonesia sejurus Reformasi menghadapi ketiadaan ketokohan kepimpinan yang dapat menyatukan, kesenjangan ketara di antara kaya dan miskin, gejala rasuah yang masih parah walaupun nampak ditangani berhadapan pula dengan kelemahan kepimpinan. Keadaan ini semacam sama dengan negara-negara Eropah Timor pasca kejatuhan regim-regim Komunis sehinggakan rakyat di sana mengeluh penderitaan mereka dengan ungkapan, “biar regim korup asalkan ada makanan” – seolah mereka rela kembalinya regim komunis autokrat.

Dalam bahasa Urdu - roti, kapla, makan.. ‘makanan, pakaian, tempat tinggal’ – itu yang rakyat Pakistan marhaen dambakan setelah mencapai perubahan dan pembebasan. Imran Khan dan partinya Pakistan Tehreek e Insaf yang baru saja memenangi pilihanraya membawa imej bersih dan agenda reform, pasti akan diuji oleh rakyat tentang perihal asasi ini.

Itulah nasib negara-negara Islam yang mewarisi 40 tahun atau lebih pemerintahan diktator seperti Libya, Iraq, Afghanistan, Yaman, Tunisia, Syria dan lain-lain yang mewarisi jejak-jejak kefasadan.

Begitulah juga nasib negara warisan kleptokrasi seperti negara kita yang dahulu dipimpin dengan rakus tanpa malu, merompak, bermewah-mewahan dan mengagihkan wang rakyat kepada akaun peribadi, kerabat, kroni dan parti. Memulihkan negara daripada wabak kleptokrasi mengambil masa yang lama dan usaha mengesan wang dicuri, menjejaki leretan wang haram – laundered money trails akan melalui proses yang panjang dan rumit walaupun bertimbun-timbun selundupan telah dtemui di beberapa kediaman.

Kini kleptokrat yang sama kembali menghasut rakyat dengan menyemai kebencian kaum, menyebar ketakutan agama dan menabur fitnah merata-rata. Itulah disebut oleh Bridget Welsh sebagai the same “old” playbook of the ex PM – denial and defensiveness, cash-and-carry politics, ratcheting up race and religious rhetoric and the use of underhanded undemocratic tactics.

Kleptokrat lama kini gigih mencari rakan-rakan bagi menubuh gagasan bagi mencabar PH serta mengembalikan kemaruknya ingin berkuasa semula.


MENANGANI CABARAN KESENJANGAN POLITIK

Menurut Anwar Ibrahim, kesejengangan – political disconnect  berlaku kerana apa yang diandaikan oleh ahli politik tidak semestinya menjadi hakikat di bawah, bukan menjadi realiti di lapangan. Ia tidak mencerminkan hasrat dan aspirasi rakyat. Ini memerlukan satu perubahan, satu kebangkitan lebih bermakna dan lebih bererti. Rakyat resah apabila melihat kebebasan belum boleh menjamin keadilan. Kedua-dua perlu disejajarkan nilai dan polisinya. Bagaimana kebebasan dan keadilan itu diterjemahkan ke dalam kepedulian pasaran dan menginsafi derita rakyat?

Menangani kesenjangan juga adalah  bagaimana untuk mempertahankan prinsip berwacana dalam keadaan pertembungan perbedaan – a serious discourse in a coalition of contentious forces. Wacana perbedaan pandangan di kalangan ahli politik dan masyarakat lebih tajam lagi dengan ledakan maklumat pintar sentuhan jari.

Selepas perubahan, it cannot be business as usual – bukan urusan cara lazim seperti dulu lagi. Kita perlu berwaspada tentang persekongkolan elit ekonomi – politik. Pakatan Harapan akan hanya relevan jika ada pembaharuan nilai dan polisi kepada sistem – supaya tiada lagi berlaku pembaziran dan ketirisan.  Setakat perbandingan dengan UMNO/BN sudah tidak cukup kerana BN/UMNO mewakili sistem yang bobrok dan rosak. PH tidak tertegak kerana ia hanya lebih baik daripada BN tetapi tertegak kerana menjanjikan, mengikrarkan pembaharuan dan reformasi.

Jika masih bergelut dengan pertembungan sengit politik dalaman maka bagaimana dengan kepentingan perjuangan nasib rakyat. Perubahan mestilah bermula dengan mengenepikan persoalan politik kepartaian dari segi pergelutan biasa. PH perlu melihat kerangka besar idealisme perjuangan. Ribut politik singgung negeri, cabang dan ranting seolah-olah memadamkan isu besar yang dihadapi rakyat – kemiskinan, kepapaan, harga barang yang meningkat dan tahap kefahaman yang remeh di kalangan rakyat.

Apa sebenarnya yang dipertahankan dan dijadikan ciri sahsiah kepimpinan yang boleh ditonjolkan? Oleh itu, kita harus mempertahankan tradisi keilmuan dan tarbiyyah bagi mengisi kemenangan. Ini kerana, hendak memimpin ini menuntut kepada sikap yang lebih tegas dan berani. Idealisme yang lebih baik. Ilmu yang lebih mendalam. Perlu menggarap, menanggapi, menilai dan menangkap maksud kerangka perjuangan yang lebih besar agar tidak akan terbawa-bawa dan terheret dengan tuntutan semasa. Jika isu besarnya ekonomi maka isu sebenarnya adalah tentang keadilan, pemerataan, isu keadilan ekonomi atau ekonomi teragih.

Kalau kita tidak faham kerangka ini kita akan terbawa-bawa,  contohnya, kepada isu bagaimana mempertahankan kepentingan kelompok – seolah-olah terseret kepada kancah perkauman bukan lagi kepada kerangka besar keadilan sosial.

Pakatan Harapan mesti mendahului, menerajui dan meletakkan agenda dominan dengan mempamerkan kejayaannya, program dan perlaksanaan, agar menunjukkan dengan cara paling berkesan apa kerjabuatnya serta  melakar naratif tersendiri ‘Malaysia Baharu’. PH tidak boleh membiarkan UMNO serta rakan-rakan barunya serta kepentingan politik sempit menyampuk dan menentukan halatuju.

PH harus mendepani dengan menggembleng semangat patriotisme dan kenegaraan, mengukuhkan kesepakatan moral rakyat dan aspirasi keadilan sosial, menangani dan menjambatani perhubungan kaum agar saling memahami serta hidup bersama berharmoni, melakukan reformasi institusi-institusi dan melaksana transformasi sosial. PH harus tetap dengan agenda besar reform, mengembalikan maruah dan integriti, memulihkan ekonomi dan membawa penjenayah kleptorasi ke muka keadilan bukan melayani setiap angkara picisan serta onar sensasi.


TRADISI ILMU, IBRAH DAN KEPIMPINAN

Nahdah Islamiyyah memerlukan dipupuk dan dibina atas pendidikan Islam yang kuat. Sultan Salahuddin al Ayyubi yang hebat itu adalah suatu contoh teladan terbaik kepimpinan umat. Perubahan tidak akan berlaku jika tiada usaha-usaha persediaan dilakukan melalui pemerataan pendidikan, kesedaran awam dan disiplin tinggi. Pengalaman Salahuddin melakarkan riwayat bersejarah - kecenderungan dan trend untuk melakukan perubahan - untuk islah dan tajdid. Kekuatan Salahuddin al Ayyubi datang daripada tradisi ilmu di nizamiyah, universiti-universiti yang subur berkembang di rantau itu. Salahudin tidak akan muncul sekiranya tidak ada tradisi keilmuwan,  da’wah and tarbiyyah di seluruh negeri  Iraq pada era itu. Kesedaran dan kebangkitan itu datang daripada pendidikan yang mantap.

Bagi memastikan kelestarian dan kemampanan kuasa rakyat dan keupayaan membawa reformasi serta transformasi bermakna, Dr Siddiq Fadil menawarkan formula dengan menyingkap qisasul anbiya’ kisah Rasul-Rasul a.s. dalam al Qur’an dan model Dhul Qarnayn di dalam surah al Kahfi.

Bani Israil berada berkurun lama berhamba dibawah naungan memukau Firaun. Mereka hilang maruah insan, tandus harga diri, menjadi penakut bacul dan tak punya jiwa pejuang maka mereka warisi dan terima perhambaan hina turun temurun. Keadaan ini hasil kefasadan iman menjadikan alpa dan lupa  hingga sorang insan menjadi angkuh dan bongkak mengagongkan diri dan brutal. Manusia yang meletakkan nafsunya sebagai pujaan. Daripada tahap fasad al nufus – kefasadan jiwa kepada fasad sosial - fasad al mujtama. Hubungan  kemanusiaan retak berkecai. Hilang saling hormat menghormati, persaudaraan, kebersamaan, kerjasama dan sifat ingin melakukan kebaikan. Sebaliknya dipupuk saling benci membenci, mementingkan diri sendiri dan permusuhan sepanjang zaman menjadi resam. Mereka yang melampau batas kemanusiaan menjadi dewa bermaharajalela dan mereka yang lemah menjadi hamba diperas dan dipergunakan dewenang-wenangnya.

Nabi Musa a.s. berdepan dengan kedegilan Bani Israil. Musa disifatkan dengan qawiyyul amin – kompeten dan beramanah. Selama 40 tahun Bani Israil merayau dalam buangan di tengah-tengah padang pasir panas dan gersang bagi melangsungkan hidup. Jiwa perjuangan sebahagian watak sesebuah bangsa. Jiwa pejuang tidak dibina secara serta merta setelah teruk luntur dan reput. Tanpa kesedaran sejati, kepekaan dan ruh perjuangan, bangsa jatuh disebabkan fasad dan menjadi pengecut (al jubn) dijangkiti cinta dunia dan takut mati (al wahn). Bayangkan situasi generasi Islam yang terpaksa menerima agama tanpa dimensi jihad.

Menurut Mawlana Abul Hasan Ali an Nadwi, Yusuf a.s. mengetahui bahawa tidak ramai orang pada masa itu yang beramanah serta mereka sering menipu. Mesir memiliki banyak gudang-gudang simpanan jelapang biji-bijian tetapi di dalamnya kosong melompong. Yusuf a.s. menyedari bahawa ada yang mengkhianati rakyat jelata. Yusuf a.s. memerhati orang yang curang dan mencuri khazanah negara yang dikurniakan Allah s.w.t.  Dia melihat betapa banyak, jenuh dan melimpah ruahnya kekayaan negara tetapi ia kian hilang lesap.

Harta kekayaan negara habis lesap di tangan-tangan pemimpin-pemimpin dan para pengelola yang mengurus khazanah itu. Mereka tidak takut kepada Allah s.w.t. Mereka menghidang makanan kepada anjing-anjing mereka tetapi rakyat biasa tidak mempunyai apa pun untuk dimakan. Mereka menghiasi rumah-rumah mahligai kediaman mereka dengan boros dan berlebihan tetapi rakyat biasa tidak mempunyai  sehelai pakaian pun.

Rakyat biasa tidak akan menikmati apa-apa manfaat daripada perbendaharaan negara Mesir kecuali jika seorang Bendahara yang jujur dan berpengetahuan dilantik. Bendahara yang jujur tetapi tanpa berpengetahuan tidak akan tahu bagaimana untuk mengurus dengan bijaksana. Sebaliknya, seorang bendahara yang berpengetahuan tetapi tanpa kejujuran akan menipu rakyat dan menggunakan perbendaharaan untuk tujuan kepentingan diri sendiri.

Yusuf a.s. seorang yang beramanah dan berpengetahuan – hafizun ‘alim. Dia tidak boleh terima atau bertoleransi dengan pemimpin, pengelola dan mereka yang diamanahkan tetapi membohongi rakyat serta mereka merampas menggeledah harta kekayaan milik rakyat jelata.  Yusuf a.s. tidak dapat menerima lagi melihat pihak berkuasa dan autoriti yang menginjak-injak hak rakyat. Yusuf a.s. tidak rela melihat rakyat kelaparan dan mati  kebuluran.

Yusuf a.s. tidak malu kerana memperjuangkan kebenaran dan menegakkan keadilan. Dia memberitahu raja Mesir:
"Berkata Yusuf: "Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan (hafizun ‘alim)." (Surah Yusuf 12:55)

Begitulah Yusuf a.s. diberikan amanah menjaga dan mentadbir harta kekayaan dan khazanah negara Mesir. Rakyat jelata berasa lega dan sangat gembira, lalu mereka memuji Allah s.w.t.

Al Qur’an ditanzilkan dan menyampaikan kepada Nabi Muhammad – sebuah cerita terindah, kisah terbaik, ibrah yang manis – ahsan al qasas, pada Surah Yusuf. Pengajaran besar kisah ini adalah jika seorang Mu’min beriman mempunyai sahsiah Islamiyyah dan dikurniakan hikmah kebijaksanaan, dia mampu menawan seluruh negara hanya dengan kekuatan keperibadiannya. Ibrah kehebatan Nabi Yusuf a.s. mengajar kita bahawa seorang yang memiliki sahsiah yang tinggi dan mulia akan berjaya walaupun terpaksa mengharungi dugaan berat, mehnah dan fitnah dengan hidayah petunjuk Allah serta pertolonganNya.

Dhul Qarnayn mempamerkan kepimpinan transformasional merubah watak sebuah bangsa yang hidup diancam teroris Yajuj Majuj.  Dhul Qarnayn pemimpin global ulung dan hebat mengurustadbir. Dalam pengembaraannya, dia menemui satu bangsa yang jahil, lemah dan malas diambang ditimpa bahaya. Bangsa ini menawarkan habuan dan upah tetapi Dhul Qarnayn menolak kerana tidak mahu mengeksploitasi orang yang lemah dan terkebawah.  Dhul Qarnayn tidak meminta ganjaran atau ghanimah untuk berkhidmat. Sebaliknya, dia memberdayakan bangsa itu, melibatsertakan mereka dalam projek pertahanan raksaksa. Dengan demikian, mereka menjalani proses perkongsian pendidikan dan menggembling potensi mereka sendiri untuk berjaya. Bersama-sama mereka membina penyelesaian kejuruteraan, tembok menghalang kemaraan Yajuj Majuj, mengatasi kelemahan dalaman mereka sekaligus menangani ancaman luar.  

Shaykh al Qaradawi menegaskan panduan ilmu yang mantap, keperluan fiqh mencapai kefahaman mendalam bagi menangani cabaran-cabaran zaman. Kita amat mengharapkan pimpinan ulama dan zu’ama menekuni saranan ini dalam mencerahkan, mencerdaskan dan memajukan maqasid al shariah, siyasah syar’iyyah dan fiqh al mu’asir. Antaranya fiqh al dawlah, fiqh al awlawiyat, fiqh al muwazanat, fiqh al taghyir, fiqh al sunan, fiqh al aqlanah, fiqh al tahrir dan fiqh al tamkin. Politik kezaliman, al istibdaad al siyasi dan  fiqh al istibdaad hendaklah dibenteras.


ISTIQAMAH DAN IDEALISME PERJUANGAN

Kebijaksanaan Rasulullah dan Harta Ghanimah:

Selepas peperangan  Hunayn harta ghanimah yang banyak dibahagi-bahagikan kepada Muhajirin dan lain-lain tetapi bukan kepada Ansar sehingga mereka berasa tidak berpuashati.

Rasulullah memanggil semua kaum Ansar berkumpul bertemu dengannya. Setiap butir bicara Rasulullah yang tenang dan teratur telah mencetuskan suasana keharuan di lubuk hati para Ansar.

Sabda Rasulullah ,
Kamu marah, saudara-saudara Ansar, hanya karena sekelumit harta dunia yang hendak aku berikan kepada orang-orang yang perlu dijinak hatinya agar mereka sudi masuk Islam, sedang keIslamanmu sudah sedia kukuh.

Tidakkah kamu rela saudara-saudara Ansar, apabila orang-orang itu pergi membawa kambing, membawa unta, sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah ke tempat kamu?

Maka demi jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, apa yang mereka perolehi tidaklah lebih baik daripada apa yang kamu perolehi!

Kalau tidak kerana hijrah, tentu aku termasuk orang Ansar. Jika orang ramai melalui suatu jalan di celah-celah gunung, dan Ansar melalui jalan yang lain, nescaya aku akan melalui jalan orang Ansar.
Golongan Ansar ini seperti pakaian dalamanku, dan orang lain seperti di pakaian luaran. (Menunjukkan betapa dekatnya Rasulullah saw dengan golongan Ansar)

Allahumma ya Allah, rahmatilah orang-orang Ansar, anak-anak Ansar dan cucu-cicit Ansar.”

Jawapan yang diberikan Rasulullah telah membuatkan jiwa mereka remuk redam. Mereka menangis sehingga air mata mereka membasahi janggut mereka. Seorang tua daripada Ansar berkata,

Kami telah meredhai Rasulullah sebagai bahagian dan pemberian kepada kami.”


Dr Razali Nawawi pernah berseloroh bertanya kepada kepada sahabat-sahabatnya  samada kita memilih ‘tokoh idealisme perjuangan atau kambing’ setelah kemenangan pilihanraya dan pembebasan.

Satu rahsia kelangsungan Ikhwan al Muslimin terletak pada suatu dimensi aktif organisasi Ikhwan iaitu organisasinya berfungsi bukan sahaja sebagai hiraki tetapi bertindak melenyapkan cita-cita aspirasi peribadi serta ego individu. Perangai mementingkan diri sendiri yang lazim terdapat di dalam masyarakat kita dan masyarakat umum hampir tidak wujud di kalangan anggota Ikhwan al Muslimun. Organisasi ini tidak mengendahkan atau melayani golongan elit. Setiap anggota diseru agar hanya berkhidmat untuk Islam. Ini bermakna berjuang dan berkhidmat bersama Ikhwan tanpa mengharapkan langsung kepada ganjaran atau keuntungan peribadi.


KESATUAN BANGSA MALAYSIA

Dr Siddiq Fadzil merupakan tokoh terulung mempelopori gagasan Fiqh Kewarganeraan dan anjuran citra kesatuan Bangsa Malaysia. Kemenangan PRU 14 menandakan dan mengiktiraf realiti kemajmukan negara adalah sebagai aset negara bukan beban masalah.    Menurut Dr Siddiq Fadzil, Malaysia sebuah negara demokratik dan politik Islam menerima demokrasi yang berintikan prinsip hak rakyat memilih pemerintah, hak rakyat berpartisipasi dalam melaksanakan pemerintahan dan hak rakyat menentukan sistem pemerintahan yang mereka inginkan sejauh yang tidak bertentangan dengan prinsip dan nilai Islam.

Malaysia adalah negara bermasyarakat majmuk di mana Muslim dan bukan-Muslim mendapat taraf kewarganegaraan penuh (muwatinun). Semua kaum dan golongan berhak memelihara dan mempertahankan jati diri keagamaan dan kebudayaan masing-masing dan kepelbagaian ini wujud sebagai ciri khas masyarakat Malaysia.

Dr Siddiq menekankan bahawa kepelbagaian tidak seharusnya menjadi punca silang sengketa. Islam menjadikan damai (salam) sebagai prinsip pelayanan terhadap orang lain. Selama berabad-abad umat Islam telah membuktikan semangat salam dalam interaksi mereka dengan kaum-kaum lain dan ini harus dilestarikan.

Semua golongan dengan jati diri keagamaan dan kebudayaan yang pelbagai itu harus bergabung membentuk satu ummah siyasiyyah yang inklusif dengan memakai acuan Perlembagaan Madinah. Dari perlembagaan tersebutlah terumusnya formula pembentukan bangsa Malaysia, kepelbagaian dalam bingkai kesatuan. Bingkai kesatuan yang berupa persaudaraan kemanusiaan, persaudaraan kenegaraan, kesepakatan komitmen terhadap dasar-dasar kenegaraan seperti rukun negara, bahasa kebangsaan dan lain-lain di samping perkongsian nilai-nilai kemanusiaan sejagat seperti patriotisme, integriti moral, kebebasan, keadilan, persamaan, hak asasi manusia dan sebagainya.


KHATIMAH

Seringkali kita diingatkan bahawa penglibatan dalam politik ini hanya menurut garis panduan umum sahaja dan bersifat ijtihadiy. Kita berpegang kepada prinsip-prinsip asasi Islam dan maslahah ummah. Itulah erti non-partisan. Umat Islam cukup dan padu dengan nilai kukuh dan penghayatan agama berdasarkan prinsip-prinsip murni yang boleh maju berkembang dalam segenap suasana. Penyesuaian kepada keperluan-keperluan konteks semasa tidak bermakna orang Islam menggugur dan meleraikan nilai dan prinsipnya.  Penyuaipadanan bermakna orang Islam boleh menghayati agamanya dengan harmoni bersama masyarakat.

Mafhum hadith “dan jangan jadi seperti orang yang menuruti orang ramai, mengatakan ‘pendapat aku bergantung kepada apa kata orang ramai. Jika semua baik, aku akan baik. Kalau sebaliknya, aku turuti juga.’ Tetapi pegang kepada kebenaran. Jika orang ramai baik, kamu baik. Dan  jika mereka tidak baik, kamu jadikan mereka baik.” (al Tirmidhi)

Demikianlah secebis permasalahan dan cabaran yang muncul bersama perubahan baharu. Warisan regim lama terlalu rosak dan binasa sehingga para reformis yang menempuh jejaknya juga berisiko terjebak dengan padah yang lalu.

Pimpinan negara hendaklah beristiqamah, berkompetensi tinggi dan mengekalkan kewibawaan. Rakyat mesti terus meyakini dan meletakkan harapan mendokong penuh gerakan Islam dan kebangkitan rakyat agar mencapai matlamat tinggi perubahan. Transformasi manusia adalah suatu yang boleh dicapai dan ini mesti diyakini dengan teguh.

Trend dan kuasa-kuasa radikal akan menangguk di air keruh dan berusaha gigih mengucar-kacirkan keadaan.  Musuh luar dan dalam bertungkus lumus bekerja kuat mahu kegagalan dan kemusnahan pembaharuan negara. Pihak yang hilang kuasa tidak akan berhenti menyemai kekeliruan dan mengapi-apikan huru hara. Tidak ada ruang untuk bersikap lalai dan leka.

Ekonomi manusiawi, baru dan adil bagi hendaklah diutamakan dan ditegakkan bagi memastikan kecukupan dan kebebasan daripada rakyat meminta-meminta dan ternanti-nanti. Di antara kritikan ke atas Freedom and Justice Party di Mesir  adalah semacam ketiadaan program ekonomi yang mantap dan begitulah jika dinilai program parti-parti berlandaskan politikal Islam.

Tarbiyyah, pengisian dalaman, pengsucian jiwa, pembaikan watak dan kekuatan kerohanian tidak boleh terpisah daripada landasan dan mesti menjadi pengkalan serta bekalan wajib pimpinan serta aktivis.

Bagi meraih hasil terbaik demokrasi, gerakan Islam hendaklah berupaya mengolah dan mengartikulasi posisi Islam dengan tepat dan penuh bererti. Demokrasi mesti memastikan keadilan untuk semua dan menjamin kualiti hidup rakyat sejahtera.

Seperti pesanan Dr Daud Bakar, sekarang bukan lagi masa slogan “Islam adalah Penyelesaian” tetapi hendaklah “Bagaimana Islam menyelesaikan masalah manusia.”

Perlu juga direnungkan hikmah bidalan seloroh Dr Siddiq Fadzil tentang ‘bagaimana untuk menangkap ikan tanpa mengeruhkan air kerana dengan cara kita sekarang memang berselerakan keruh air seperigi namun semua ikan lepas lari’.




Friday, September 7, 2018

DR SIDDIQ FADZIL: FIQH KEWARGANEGARAAN




FIQH KEWARGANEGARAAN : APLIKASINYA DALAM KONTEKS MALAYSIA BAHARU
Siddiq Fadzil
(Nota Ucaptama Muhadharah Pentadbiran Islam “Siyasah Shar`iyyah: Aplikasi Fiqh Kewarganegaraan (Fiqh al-Muwatanah) Dalam Era Malaysia Baharu”)


Fiqh Kewarganegaraan termasuk dalam liputan al-Siyasah al-Shar`iyyah, disiplin ilmu yang menangani perubahan dan perbezaan realiti politik. Ungkapan “Syari`at Islam sesuai untuk semua tempat dan setiap zaman” dapat direalisasikan apabila perubahan dan perbezaan realiti yang berlaku kerana peredaran zaman dan perbezaan tempat ditangani dengan baik menerusi dinamika al-siyasah al-shar`iyyah yang berpaksikan ijtihad demi maslahah.

Al-Siyasah al-Shar`iyyah telah membeku selama berabad-abad, dan ini telah mengakibatkan perkembangan dan perubahan politik dalam masyarakat Islam terlepas dari kendali siyasah shar’iyyah. Kerana itu dinamika siyasah shar`iyyah harus dipulihkan bagi memungkinkannya berperanan semula menangani realiti-realiti baru di ranah politik berasaskan prinsip dan nilai politik Islam. Selari dengan itu fiqh al-siyasah atau fiqh al-dawlah kita juga harus dibaharui sesuai dengan realiti politik hari ini. Warisan turath fiqh politik abad ke-5 hingga abad ke-8H memang sesuai dengan realiti politik zaman tersebut, tetapi realiti politik abad ke-15H jelas sudah banyak berubah. Kerana itu kita memerlukan fiqh politik baru.

Terkait dengan itu diperlukan pula usaha penyegaran fiqh al-waqi` (fiqh realiti) yang merujuk realiti perubahan zaman di samping realiti khas tempatan. Dalam konteks Malaysia, realiti yang harus diperhitungkan termasuklah sistem politik, komposisi penduduk, budaya dan sejarahnya. Ciri-ciri khas kemalaysiaan inilah pula yang menjustifikasikan penggagasan fiqh Malaysia.

Malaysia adalah sebuah negara demokratik. Politik Islam boleh menerima demokrasi yang berintikan prinsip hak rakyat memilih pemerintah, hak rakyat berpartisipasi dalam melaksanakan pemerintahan dan hak rakyat menentukan sistem pemerintahan yang mereka inginkan sejauh yang tidak bertentangan dengan prinsip dan nilai Islam. Demokrasi yang berpaksikan kuasa rakyat dapat diserasikan dengan hakikat bahawa menurut Islam umat adalah tonggak (al-ummah hiya al-asl) seperti yang ditegaskan oleh al-Raysuniy. Dengan demikian al-ummah (rakyat) harus lebih besar daripada al-dawlah (kerajaan). Justeru, kerajaan pada hakikatnya adalah alat pelaksana kemahuan rakyat.

Demokrasi yang disemangati prinsip dan nilai Islam harus menjunjung tinggi kedaulatan rakyat. Demokrasi hanya akan mempunyai erti jika rakyat menyedari kedaulatan dirinya. Daulat rakyat dalam erti siyadat al-sha`b membawa implikasi bahawa rakyat adalah sumber kekuasaan (al-sha`b masdar al-sultah). Daulat rakyat dalam konteks umat Islam tidak mengatasi daulat syari`at. Daulat syari`at mengatasi semua. Dalam konteks Malaysia, ada pula daulat raja di samping daulat rakyat. Kedua-duanya mempunyai erti dan konteks sendiri-sendiri. Daulat rakyat diertikan sebagai sumber kekuasaan dalam konteks sistem demokrasi. Daulat raja pula diertikan sebagai kuasa tertinggi dalam konteks raja berperlembagaan. Daulat raja juga dapat diertikan sebagai wibawa peribadi dan institusi, sehingga selain memiliki kuasa yang diperuntukkan oleh perlembagaan, raja juga memiliki moral authority yang tinggi dan dihormati. Yang harus dipastikan ialah adanya maslahah yang real dalam pelestarian institusi raja. Mungkin ini dapat dilihat dari segi fungsinya sebagai pelindung rakyat yang mengatasi politik dan non-partisan. Kedudukannya sebagai ketua agama pula dapat ditafsirkan sebagai institusi pengawal daulat syari`at.

Demokrasi selalu dipertentangkan dengan shura. Memang demokrasi tidak mesti sama dan tidak mesti tidak sama dengan shura. Menurut Islam, pemerintahan negara harus berdasarkan shura (dawlah shuriyyah) dalam pengertian peranserta rakyat dalam pengurusan kehidupan mereka. Demokrasi seharusnya menjiwai semangat tersebut dengan menepati makna peranserta rakyat di semua peringkat baik secara langsung atau menerusi sistem perwakilan. Yang lebih penting lagi ialah pembudayaan shura dalam kehidupan sehari-hari.

Malaysia adalah negara bermasyarakat majmuk. Muslim dan bukan-Muslim mendapat taraf kewarganegaraan penuh. Semuanya disebut warganegara (muwatinun). Pengkategorian kafir harbiy atau kafir dhimmiy bagi warga bukan-Muslim tidak lagi relevan dalam realiti politik hari ini. Semua kaum dan golongan berhak memelihara dan mempertahankan jati diri keagamaan dan kebudayaan masing-masing. Dengan demikian kepelbagaian akan terus wujud sebagai ciri khas masyarakat Malaysia.

Fenomena kepelbagaian harus disikapi secara positif. Ia wujud dengan kehendak Allah sendiri kerana hikmah dan maslahah tertentu. Manusia yang diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku adalah untuk tujuan saling mengenal (lita`arafu). Berlakunya proses saling mengenal tentunya akan berkelanjutan dengan saling memahami, saling menghormati, saling memberi dan menerima, saling memperkaya, saling bekerjasama dan saling memperkuat. Demikian andainya kepelbagaikan dimanfaatkan dengan bijaksana.

Kepelbagaian tidak seharusnya menjadi punca silang sengketa. Islam menjadikan damai (salam) sebagai prinsip pelayanan terhadap orang lain. Nilai salam diinternalisasikan menerusi pelbagai cara. Justeru, salam adalah nama Tuhan, nama syurga, lafaz hormat orang Islam, kata penutup sembahyang dan lain-lain lagi. Selama berabad-abad umat Islam telah membuktikan semangat salam dalam interaksi mereka dengan kaum-kaum lain. Semangat ini harus dilestarikan.

Semua golongan dengan jati diri keagamaan dan kebudayaan yang pelbagai itu harus bergabung membentuk satu ummah siyasiyyah yang inklusif dengan memakai acuan Perlembagaan Madinah. Dari perlembagaan tersebutlah terumusnya formula pembentukan bangsa Malaysia, kepelbagaian dalam bungkai kesatuan. Kepelbagaian tetap wujud, tetapi semuanya terpadu dalam lingkaran bingkai kesatuan yang berupa persaudaraan kemanusiaan, persaudaraan kenegaraan, kesepakatan komitmen terhadap dasar-dasar kenegaraan seperti rukun negara, bahasa kebangsaan dan lain-lain di samping perkongsian nilai-nilai kemanusiaan sejagat seperti patriotisme, integriti moral, kebebasan, keadilan, persamaan, hak asasi manusia dan sebagainya.

Keadilan sebagai nilai teras ajaran Islam harus dilaksanakan baik sesama Muslim mahupun terhadap yang bukan-Muslim. Dasar Islam dalam melayani warga bukan Islam yang komited terhadap aspirasi hidup berdampingan secara damai ialah melakukan kebaikan (al-birr) dan menegakkan keadilan (al-qist).



KDH/IDE/UNISEL
ILIM: 06092018.

Saturday, August 4, 2018

Dr Siddiq Fadzil: Pendidikan Al Hikmah Mendepani Cabaran Era Baru



Dato' Dr Siddiq Fadzil: Pendidikan Al Hikmah Mendepani Cabaran Era Baru.


Yang ditinggikan seranting
Yang didahulukan selangkah
Yang dilebihkan sekuku


1. Pendidikan Al Hikmah mesti responsif pada perkembangan zaman, sesuai dengan semangat Malaysia baharu.  Bagaimana Islam dalam Malaysia Baharu? Apa yang perlu baharu dalam Malaysia Baharu? Yang utama, ialah membina manusia baharu. Maka pendidikan Islam dalam konteks ini perlu diperbaharui. Iaitu nilai fikir, budaya kerja, mind set baharu dan jiwa baharu.

Pendidikan sangat penting untuk menjadi katalis kepada perubahan. Kekhuatiran saya, kita hanya bertukar orang tetapi budaya dan jiwanya tidak. It means inventing a new soul.  Siapa yang hendak membina jiwa baru jika bukan para pendidik? 

2. Perkara yang diberikan fokus dalam Pendidikan Al-hikmah ialah pembinaan karakter dan watak. Ini kerana sebelum ini telah diberi fokus keterlaluan kepada pencapaian akademik dan perolehan gred sebagai kebanggaan diri dan masyarakat. Anjakan paradigma pemikiran masyarakat dari minda peperiksaan ke minda pembinaan karakter perlu berlaku.

3. Usaha menghapuskan idea Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah dilakukan dengan tersusun. Ia bermula dengan perubahan nama Kementerian Pendidikan kepada Kementerian Pelajaran.

4. Tan Sri Muhyidin Yassin adalah Menteri Pendidikan kedua selepas Dato Seri  Anwar Ibrahim yang menekankan tentang nilai dan karakter dalam pendidikan melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Hanya mereka berdua sahaja yang menyedari kepentingan kemenjadian manusia melalui pembangunan watak.

5. Pada multaqa Majlis Perundingan Islam, pembentang dilantik sebagai ketua kluster Pemikiran Islam. Pada majlis itu resolusi yang pembentang bacakan dihadapan para Menteri termasuk Menteri Pendidikan, adalah kepentingan 'Maqasid al Maqaid'; bagaimana nilai dan karakter itu perlu menjadi asas kepada pendidikan dan bukannya peperiksaan.

6. Pembinaan Karakter dan watak wajib berasaskan kepada nilai. Suatu set nilai yang tepat dan mesti mencukupi! Ini dirumuskan dalam surah Luqman (telah dibentang pada konvensyen yang lalu).  Ia  relevan sepanjang zaman.

7. Biasanya nilai dan watak dibicarakan dalam konteks budaya. Untuk memahami nilai dalam watak Melayu, kita perlu membaca karya Sutan Takdir Alisyahbana, seorang pemikir dari Indonesia.

8. Selama ini orientasi Pendidikan Islam terlalu menjurus kepada hukum berbanding dengan nilai. Ini menjadi susah apabila orientasi nilai seolah diketepikan dan hukum lebih diangkat contohnya hudud.  Hudud perlu dilihat tujuannya untuk menegakkan nilai keadilan. Mithalnya, hukum solat adalah untuk mengangkat nilai penghalangan daripada membuat mungkar. Selama ini kita mementingkan hukum hakam solat itu tetapi bukan nilai didalamnya.

9. Persoalan fundamental dalam pembinaan karakter ialah ia tidak sekadar untuk dikhutbahkan tetapi keteladanan daripada para pendidik iaitu pendidik yang berwibawa. Kita ambil iktibar tentang bagaimana Imam Abu Hanifah memilih gurunya kerana nilai. Pada zaman dahulu murid memilih gurunya. Sekarang pula murid memilih sekolah. Guru adalah sentral. Guru yang baik boleh menghasilkan murid yang baik walau kurikulumnya buruk. Begitu juga sebaiknya.  Muzakkarah pengetua-pengetua perlu dibuat untuk menilai.

10. Ketika bangsa Asia berwacana tentang kebangkitan Asia, antara lain yang dibicarakan ialah tentang nilai-nilai Asia. Ini kerana nilai itu yang menentukan bangsa Asia bangkit dalam acuan Asia dan tidak meniru barat.

11. Bagaimana Pendidikan Islam berperanan dalam masyarakat kita yang majmuk? Selama ini seolah-olah kita tidak mempedulikan realiti kemajmukan masyarakat. Fiqh apa yang masyarakat kita selama ini menggunakan?  Hukum mencuri itu berdosa tetapi mencuri di kedai Cina itu adakah dibolehkan? 

12. Anjakan paradigma sekolah-sekolah agama di dalam masyarakat majmuk perlu dibuat. Pendidikan Al Hikmah harus mempelopori sekolah yang berwibawa di dalam masyarakat majmuk. Ketika YB Menteri Pendidikan, Dr Maszlee datang ke Balai Rakyat, persoalan ini diangkat. Rupa-rupanya, pada masa yang sama,  hal yang sama juga berlaku dalam sekolah Cina. Maka kita kena bekerjasama antara sekolah Islam dan Cina contohnya dalam isu kemasyrakatan,  isu alam sekitar dan lain-lain. 

13. Fiqh masyarakat majmuk perlu mengangkat nilai budaya setempat. Pendidikan yang mengambilkira realiti. Pendidikan Al Hikmah perlu ada dua fiqh tambahan, iaitu Fiqh Taayush as Silmi (fiqh hidup saling berdampingan) dan Fiqh Wataniah (fiqh kewarganegaraan). Bagaimana kita menyikapi orang bukan Islam sebenarnya? Sekarang ini sememangnya tidak jelas.

14. Dalam konteks Malaysia, berbuat baik itu suatu yang waqi’iah – satu realiti.  Bagaimana kita harus menyikapi non-muslim? Kita melayani mereka dengan Al Birr - kebaikan dan Al Qist - keadilan. Kita berbuat baik mengikut pertimbangan kita dengan melihat maslahah umum dalam konteks masyarakat majmuk. Tiada yang tetap.

15. Dalam era global dan era persaingan kita perlu kepada pendidikan kesukarelawan. Persekolahan agama sepatutnya membina jiwa kesukarelawan yang sangat kuat, bagi memaknakan amar makruf nahi mungkar. The death of volunteerism berlaku dengan menganjak-naiknya nilai-nilai materialisme. Di Malaysia fenomena kesukarelawanan ini dan semangatnya semakin subur. Justeru, kita perlu memberikannya kemahiran.



(Disunting daripada catatan sdr Radin Imaduddin, Sekretariat Pendidikan ABIM 4 Ogos 2018 pada Konvensyen Pendidikan Al Hikmah ke 3)

Friday, July 27, 2018

DR SIDDIQ FADZIL: AGAMA PUPUK INTEGRITI DAN PERPADUAN





AGAMA SEBAGAI MEDIUM
MEMUPUK INTEGRITI DAN PERPADUAN NASIONAL
Siddiq Fadzil

Mukadimah
Ada tiga kata kunci yang menjadi fokus perbincangan kertas ini: agama, integriti dan perpaduan (nasional). Tetapi yang akan diberi sorotan utama adalah agama, dengan penekanan pada aspek nilai-nilainya, terutama nilai-nilai yang dapat difungsikan sebagai kekuatan pendukung usaha pengukuhan integriti dan perpaduan nasional. Integriti seperti yang dihuraikan dalam kamus-kamus besar terkait erat dengan persoalan nilai, khususnya nilai akhlak atau moral seperti kejujuran, ketelusan dan ketulusan. Integriti dalam pengertian tersebut tentunya akan menjadi lebih kuat andainya ia mengakar pada nilai-nilai agama. Seterusnya agama juga harus berfungsi sebagai kekuatan pemersatu, bukan faktor pemecah. Malaysia boleh menjadi contoh negara pelbagai kaum, agama dan budaya yang berjaya membina bangsa (Malaysia) yang bersatu dengan memanfaatkan kekuatan nilai-nilai pelbagai agama.

Agama dan Integriti

Dalam masyarakat yang sedang mengalami masalah moral deficit, tema integriti memang wajar diangkat menjadi wacana nasional. Malah lebih daripada itu, menyaksikan kenyataan mewabaknya pelbagai jenayah seperti rasuah, penipuan, penyalahgunaan kuasa dan segala bentuk moral decadence atau kebejatan moral lainnya, diperlukan suatu gerakan moral atau moral movement oleh rakyat pelbagai kaum dan agama. Integriti bukan suatu pilihan, tetapi suatu kemestian jika negara ini hendak diselamatkan. Partisipasi massa rakyat dalam perjuangan integriti akan menjadi lebih berkesan.

Masyarakat madani dan rakyat keseluruhannya akan lebih merasa terpanggil jika perjuangan menegakkan integriti dipersepsikan sebagai perjuangan keagamaan. Dalam konteks agama Islam, membina akhlak mulia adalah maqasid al-bi`thah (objektif pengutusan Rasul) dan sekali gus dapat pula dianggap komponen maqasid al-shari`ah (objektif tertinggi syari`at). Demikian yang dapat disimpulkan dari sabda nabawi bahawa Junjungan s.`a.w. diutus adalah untuk menyempurnakan akhlak mulia. Kerana itu semua hukum ibadat, munakahat dan jinayat mempunyai asas pijakan akhlak/moral. Masalahnya, pendidikan Islam ketika ini terlalu berorientasi hukum, dengan mengabaikan dimensi moralnya.

Antara nilai akhlak yang sangat dipentingkan dalam Islam ialah nilai malu. Nabi s.`a.w. bersabda bahawa setiap agama mempunyai akhlak sendiri-sendiri, dan akhlak Islam adalah malu (al-haya’). Justeru, sifat tahu malu itulah yang mengawal seseorang daripada melakukan sesuatu yang tidak bermoral. Itulah yang dimaksudkan apabila Nabi s.`a.w. bersabda, “Jika kamu tidak malu, buatlah apa yang kamu mahu!”. Sifat tahu malu (sense of shame) itulah juga yang menjadikan seseorang itu manusia yang bermaruah (mempunyai dignity). Mungkin ini antara yang harus kita usahakan bersama, iaitu membina bangsa yang bermaruah dengan menghidupkan sense of shame atau sifat tahu malu dalam kalangan rakyat. Apabila setiap orang berasa malu menjadi koruptor, malu menjadi penipu, malu diperbodoh dan seterusnya, akan banyak masalah dapat diselesaikan. Tidak akan ada lagi organisasi atau institusi yang korup apabila orang malu menganggotainya.

Suatu ketika orang Melayu memiliki kesedaran yang tinggi tentang sifat malu seperti yang mereka ekspresikan dalam ungkapan tradisional, “sehina semalu”. Ungkapan tersebut mengisyaratkan makna bahawa malu tidak hanya menjadi sifat individu, tetapi telah menjadi sifat kolektif suatu bangsa. “Sehina semalu” bererti sama-sama hina dan sama-sama malu. Apabila negara ini disebut negara yang korup, atau disebut mengamalkan kleptocracy at its worst, yang seharusnya malu bukan hanya orang tertentu, tetapi semua rakyat dari segala kaum dan agama. Semua mereka berkongsi rasa “sehina semalu”.

Ternyata membina integriti tidak terlepas dari agenda besar membina watak atau karakter bangsa. Untuk itu pendidikan dan pembudayaan nilai-nilai murni, khususnya nilai-nilai agama merupakan suatu keperluan. Dalam konteks umat Islam, sumber nilai utamanya ialah Sifat-Sifat dan Nama-Nama Indah Allah s.w.t. (al-Asma’ al-Husna). Manusia Muslim memang dituntut untuk menghayati Nama-Nama Allah al-Rahman, al-Rahim, al-Qadir, al-Qawiy, al-Matin, al-Haqq, al-Salam, al-Mu’min, al-Hafiz, al-Hakim, al-`Alim, al-Halim dan seterusnya, sejauh yang terdaya oleh kudrat keinsanannya. Penghayatan Sifat-Sifat dan Nama-Nama Allah itulah yang dinamakan berakhlak dengan akhlak Allah (al-takhalluq bi akhladi ‘Llah).

Ajaran berakhlak dengan akhlak Tuhan tidak hanya wujud dalam Islam. Ada juga agama-agama lain yang membawa ajaran yang sama. Rabbi Levi Brackman dan Sam Jaffe dalam buku mereka Jewish Wisdom for Business Success: Lessons from the Torah and Other Ancient Texts menyebut isu ini dalam bab 9 (The Way of the Wise: Finding the Right Balance of Character Traits to Succeed in Business). Di bawah tajuk kecil, Learning How to Balance by Emulating God, mereka mengatakan, “...that humans are commanded to emulate God to the best of their abilities. This means that we are obliged to imitate the good deeds and lofty attributes by which God is metaphorically described. We must learn from the beautiful, merciful, and kind ways of God, and we are commanded to imitate them. Inherent in this commandment is useful wisdom for business and management.” (hlm. 193 – 195). Karakter yang terbentuk hasil penghayatan akhlak Tuhan seperti yang diisyaratkan dalam petikan di atas memiliki dua ciri utama, iaitu keseimbangan (balance) dan hikmah kebijaksanaan (wisdom). Dengan karakter yang dibangun di atas nilai-nilai akhlak ketuhanan yang seimbang dan bijaksana kita akan dapat membina integriti dan sekali gus perpaduan nasional.

Agama dan Perpaduan Bangsa

Telah berdekad-dekad lamanya kita berbicara tentang perpaduan nasional, persefahaman antara kaum, keharmonian antara agama dan lain-lain yang semakna. Bilakah akan tiba masanya kita berbicara tentang bangsa Malaysia? Hingga ke saat ini ramai yang masih meragukan adanya bangsa Malaysia. Yang ada hanya warganegara Malaysia. Malah ada yang menyebut Malaysia sebagai a state without nation atau a state with several competing nations. Kegagalan membina satu bangsa Malaysia setelah lebih enam puluh tahun merdeka adalah suatu aib nasional yang harus segera ditangani.

Sempena era Malaysia baharu, kita harus buktikan bahawa agama bukan penghalang, tetapi sebaliknya pendorong kepada pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu. Dengan kata lain, agama bukan pemecah, tetapi sebaliknya sebagai kekuatan pemersatu. Telah sekian lama tamadun-tamadun besar dunia (Islam, Barat dan Timur) bertemu di sini, berinteraksi dan berdialog sehingga kita boleh berbangga bahawa daerah ini adalah yang paling kaya dengan pengalaman dialog ketamadunan. Dialog ini seharusnya diteruskan ke tahap pelaksanaan eksperimen besar social engineering membina bangsa Malaysia berasaskan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.

Kepelbagaian harus diterima seadanya sebagai ciptaan, kurnia dan takdir Tuhan yang mengandungi hikmah tersendiri. Kerana itu ia harus disikapi secara positif dan ditangani dengan optimistik. Menurut perspektif Islam kepelbagaian (bangsa dan agama) wujud dengan kehendak Tuhan yang bertujuan untuk membina kesalingan, bermula dengan saling mengenal (lita`arafu) dan seterusnya saling menghormati, saling bertukar manfaat, saling memperkaya dan saling bekerjasama. Kepelbagaian yang dipersepsi dengan benar dan diurus dengan matang dan bijaksana akan menghasilkan kesatuan yang kompak dan membuahkan tamadun yang kaya. Justeru, sebuah pasukan yang baik adalah pasukan yang terdiri daripada anggota yang beragam dan pelbagai keahlian. Ini bererti kepelbagaian adalah kekuatan.

Islam adalah agama rahmat dan kemanusiaan sejagat. Itulah yang dimaksudkan dengan rahmatan li al-`alamin. Apabila al-Qur’an menyebut umat Islam sebagai umat terunggul (khayra ummah), mereka diberikan beberapa ciri, termasuk sumbangan khidmat manfaat kepada kemanusiaan sejagat (ukhrijat li al-nas) - Muslim dan bukan Muslim; di samping komitmen menegakkan nilai-nilai murni kemakrufan dan melawan nilai-nilai buruk kemungkaran. Sebenarnya perintah bekerjasama atau tolong-menolong demi kebaikan dan ketaqwaan (wata`awanu `ala al-birr wa al-taqwa) dalam al-Qur’an tidak hanya sesama umat Islam. Konteks ayat tersebut jelas mengisyaratkan kerjasama dan tolong-menolong dengan orang bukan Islam.

Prinsip dasar Islam dalam menyikapi kepelbagaian adalah salam (damai). Kata salam begitu banyak digunakan dalam pelbagai konteks. Salam adalah Nama Tuhan, salam adalah nama syurga, salam adalah ucapan hormat orang Islam, dan salam adalah kata penutup sembahyang. Kata salam diungkapkan dalam bahasa Melayu dengan kata selamat sebagai penyesuaian dari kata salamah. Bahasa Melayu adalah bahasa yang paling banyak menggunakan kata selamat, terutama sebagai kata alu-aluan, doa dan kesyukuran: doa selamat, telah selamat sampai, selamat datang, selamat jalan, selamat hari raya, selamat pengantin baharu, selamat bertugas dan sebagainya lagi. Banyaknya kata selamat yang dipakai dalam pelbagai konteks mengisyaratkan kekentalan semangat damai dalam jiwa dan budaya Melayu. Semangat damai yang sedemikian telah banyak membantu pembinaan budaya hidup berdampingan dengan kaum dan penganut pelbagai agama dengan damai dan harmonis (peaceful coexistence).

Semangat damai diperkuat pula dengan semangat persaudaraan yang tidak hanya terbatas dalam kalangan sesama Islam, tetapi meliputi persaudaraan setanahair dan persaudaraan warga kemanusiaan. Persaudaraan sesama umat Islam memang ada, dan itulah yang dinamakan ukhuwwah diniyyah (persaudaraan keagamaan). Tetapi lingkaran persaudaraan boleh meluas meliputi sesama warga negara yang dinamakan ukhuwwah wataniyyah (persaudaraan setanahair). Seterusnya lingkaran tersebut meluas lagi meliputi seluruh warga kemanusiaan yang dinamakan ukhuwwah insaniyyah/bashariyyah (persaudaraan sewarga kemanusiaan).

Yang meluas meliputi seluruh warga kemanusiaan tidak hanya lingkaran persaudaraan (ukhuwwah), tetapi juga lingkaran ummah yang secara literal merujuk makna kumpulan yang berkongsi ciri-ciri persamaan tertentu. Kata ummah selalu dipakai dalam pengertian keagamaan seperti ummah Islamiyyah (umat Islam). Ummah dalam pengertian tersebut dinamakan ummah diniyyah (umat keagamaan). Tetapi kata ummah boleh juga dipakai dalam pengertian politik yang meliputi seluruh warganegara tanpa mengira kaum dan agama. Ummah dalam pengertian sedemikian itulah yang dinamakan ummah siyasiyyah (umat politik) sebagaimana yang dipakai dalam Piagam Madinah. Piagam tersebut memakai kata ummah dalam kedua-dua pengertian di atas dengan menyebut kaum Muslimin adalah satu ummah, dan kaum Yahudi juga satu ummah. Kata ummah dalam konteks ini bererti ummah diniyyah (umat keagamaan) dengan implikasi bahawa kedua-dua kaum Muslimin dan Yahudi kekal dengan agama dan jati diri masing-masing. Tetapi kedua-duanya bergabung membentuk satu ummah dalam pengertian ummah siyasiyyah (umat politik) dalam satu negara, Madinah.

Konsep ummah siyasiyyah dalam Piagam Madinah tersebut dapat dijadikan acuan pembentukan bangsa di Malaysia. Kepelbagaian (kaum, agama dan budaya) boleh terus kekal dengan jati diri masing-masing, tetapi mereka semuanya terpadu dalam ikatan kemalaysiaan (Rukun Negara, Bahasa Kebangsaan, Kebudayaan Kebangsaan, Lagu Kebangsaan, sistem demokrasi berparlimen, Raja berperlembagaan, dasar ekonomi kerakyatan-kemanusiaan dan kesepakatan-kesepakatan nasional lainnya lagi). Pembinaan bangsa dengan formula sedemikian itulah yang kita namakan “kepelbagaian dalam bingkai kesatuan”. Leluhur rantau ini memiliki hikmah kebijaksanaan atau wisdom tersendiri ketika mengungkapkan aspirasi pembinaan satu bangsa yang berlatar kepelbagaian dengan slogan Bineka Tunggal Eka (pelbagai tetapi tetap bersatu).  

Khatimah

Agama memang berbeza-beza, dan tidak perlu memaksa-maksa untuk menyamakan perbezaan. Yang perlu ialah memanfaatkan kekuatan nilai-nilai agama masing-masing secara maksimum untuk mendukung penegakan integriti dan pembinaan bangsa. Untuk itu Malaysia memerlukan peningkatan tahap religiosity rakyat. Rukun Negara yang pertama, Kepercayaan Kepada Tuhan, harus ditafsirkan sebagai pembinaan bangsa Malaysia yang religius, tetapi terkawal dalam orientasi yang moderat, sihat dan selamat daripada sebarang gejala ekstremisme keagamaan.

Yang pertama harus baharu dalam Malaysia baharu ialah manusianya. Tidak akan ada pembaharuan atau reformasi yang bererti, tanpa pembaharuan manusia Malaysia. Kerana itu memang sudah sewajarnya diutamakan agenda membina karakter manusia Malaysia baharu dengan nilai-nilai keagamaan. Mengisi dan memaknai era baharu bukan hanya dengan mengganti orang lama dengan orang baharu, tetapi dengan membina jiwa dan minda baharu, inventing a new soul.

Rujukan
Al-Ghazaliy, Abu Hamid. 2003. Al-Maqsad al-Asna fi Sharh Ma`ani Asma’i ‘Llah al-Husna.
Beirut: Dar Ibn Hazm.
Al-Qaradawiy, Yusuf. 2010. Al-Watan wa al-Muwatanah. Kaherah: Dar al-Shuruq.
Brackman, Rabbi Levi & Sam Jaffe. 2008. Jewish Wisdom for Business Success. New York:
Amacom.
Rustam A.Sani. 2008. Failed Nations? Concerns of a Malaysian Nationalist. Petaling Jaya:
SIRD.
Siddiq Fadzil. 2016. Pembinaan Bangsa: Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan. Shah
Alam: Institut Darul Ehsan (IDE).