Saturday, May 8, 2010

Idealisme Perjuangan

Pagi tadi, kita telah dijemput untuk memberi kata-kata aluan oleh pengelola TASKI Surau Sungai Nibong Tengah pada Sukaneka TASKI di Padang Sukan PDC. Kawan-kawan berkata mereka telah lama tidak berjumpa dan ingin kita ada bersama bagi mewakili ABIM. Mereka berhasrat supaya pengasas TASKI hadir bersama. Kg. Sungai Nibong Tengah adalah kampung yang unik di Bayan Baru kerana penduduknya merupakan majoriti Melayu yang telah datang meneroka kawasan tersebut untuk dijadikan tempat tinggal sejak awal tahun 80'an. Mereka adalah penduduk setinggan walaupun telah berada dan menetap di sana selama 3 dekad.

Pada pertengahan 80'an, ada percubaan pihak berkuasa ketika itu untuk merobohkan kampung berkenaan. Pada waktu itu, keadaan amat cemas dengan penduduk berkawal sedia bersiap siaga untuk mempertahankan tempat tinggal mereka daripada sebarang rempuhan. Menurut cerita Abang Non, penduduk telah membuat rencana dan mereka pergi dengan satu rombongan bagi bertemu Anwar Ibrahim yang sewaktu memegang jawatan Timbalan Menteri dan mereka berjumpa dengannya tanpa membuat temujanji. Anwar memberitahu bahwa dia akan mengambil perhatian terhadap tuntutan mereka. Sekembali daripada pertemuan itu, mereka tidak pasti samada mereka akan dibela apatah lagi dengan melihat kesibukan seorang ahli politik. Keesokan harinya mereka merasa lega kerana pekerja penguatkuasa berundur dan meninggalkan kawasan. Rupa-rupanya pada malam sebelumnya, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan pimpinan negeri bagi menyelesaikan isu itu. Memang tanah tersebut merupakan milik swasta tetapi di dalam keadaan apa yang dinamakan sebagai kesamaran hakmilik.

Berita terkini pula melaporkan sudah ada pemaju yang akan bangunkan tanah itu yang sangat strategik yang berada di tengah-tengah bandar Bayan Baru. Bandar yang pesat membangun dengan nilai hartanah yang begitu melonjak tinggi. Apakah pula nasib penduduk kampung ini sekarang?

Anak-anak murid TASKI bersemangat membuat perbarisan dengan pakaian senaman yang berwarna-warni dan dengan wajah sungguh ceria. Ikrar dilafazkan dengan cukup kuat dan yakin sehingga nyanyian lagu Negaraku begitu deras bermula sehinggakan menyebabkan kami bangun tanda hormat lagu kebangsaan secara mengejut.

Sukaneka dirasmikan oleh YB Sim Tze Tsin, ADUN Pantai Jerejak, wakil PKR dalam Pakatan Rakyat. Pada kata-kata aluan, kita menyingkap sejarah TASKI yang berusia 25 tahun yang telah mengasuh dan mendidik ramai anak-anak. TASKI pertama didirikan di bangunan surau yang sangat daif yang dibina oleh penduduk kampung sendiri tanpa bantuan luar. Sekarang keadaan bangunan surau lebih baik dan selesa. Masa telah berlalu sehingga ada rakan yang mengatakan bahawa telah ada anak murid lepasan TASKI yang menghantar anak mereka pula ke TASKI. Tujuan Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam diwujudkan adalah supaya ia menjadi prasekolah alternatif bagi membolehkan rakyat mendapat akses kepada pendidikan prasekolah yang Islamik. Usaha ini merupakan penghayatan idealisme perjuangan sahabat-sahabat sewaktu itu, pemuda-pemuda Islam yang giat aktif dalam da'wah dan kerja masyarakat. Kita membuat pembetulan tentang pengasas TASKI Surau Sg Nibong Tengah dengan menamakan sekurang-kurangnya tiga orang aktivis ABIM sewaktu itu yang sebenarnya telah mengasas dan menggerakkan TASKI berkenaan iaitu saudara Norakmal Wahab, Ahmad Shadzli Abd Wahab dan Abd Malik Shukor. Mereka merintis jalan, mengadakan perhubungan dan perbincangan dengan pemimpin kampung, jawatankuasa surau dan menjalankan kajiselidik bagi mendapat respons serta mengukur sambutan. Menerusi persahabatan dan dialog, jawatankuasa surau telah memberikan sepenuh kepercayaan dan bermulalah satu institusi pencerahan dan pencerdasan umat secara kecil-kecilan tetapi sangat bermakna.

Kita sebutkan bahawa kita ingin anak-anak kita diasuh menjadi anak yang salih, taat dan cinta kepada Allah s.w.t., taat dan sayang kepada Rasulullah s.a.w dan mencontohi baginda, taat dan sayang kepada ibu bapa, hormat dan sayang kepada guru-guru, berbuat baik kepada rakan-rakan, berbuat baik kepada manusia, masyarakat dan alam. Kita seru ibu bapa dan rakan-rakan TASKI supaya teruskan menanam nilai-nilai yang mulia ini terutama pada zaman yang penuh dugaan dan cabaran. Kita berpesan supaya bersama-sama menjaga akhlak, menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak, bersolat bersama keluarga, membawa anak lelaki bersolat jemaah di surau, memerhati anak-anak terutama di peringkat transisi tahap dua sekolah rendah, mengawasi siapa rakan-rakan anak-anak, jangan memberikan motorsikal kepada anak-anak, jangan menghisap rokok dan unsur seumpamanya yang bakal meninggalkan contoh dan kesan yang negatif. Kita menasihati sesama kita supaya sentiasa memberikan harapan, dorongan dan doakan bersungguh-sungguh untuk kejayaan anak-anak kita.

Memang kita akui perubahan telah berlaku dengan pertumbuhan banyak Tadika lain terutama kepesatan penubuhan Tadika swasta yang Islamik dan juga prasekolah di sekolah rendah tetapi kita tahu bahawa content, kandungan masih mengambil asas pengisian TASKI. Dengan idealisme kita sekurang-kurangnya telah menetapkan satu standard prasekolah Islam. Perjuangannya sekarang adalah bagi mengekalkan standard ini dan menambahbaik.

Kepada YB Sim, kita meminta pimpinan negeri mengambil berat dan prihatin nasib rakyat di kampung berkenaan apabila tanah tersebut bakal dimajukan kelak. Kita seru supaya kepentingan rakyat jelata diutamakan dan tidak diketepikan oleh kehendak tokoh-tokoh korporat. Kita perlu memperjuangkan hak rakyat.

Apabila YB Sim berucap, dia menyentuh tentang pentingnya pendidikan bagi membela rakyat dan dia akan pastikan setiap usaha pendidikan dibantu. Dia juga menyebut tentang idealisme dan dia akan melaporkan kepada Dato Seri Anwar Ibrahim bahawa rakan-rakannya dalam ABIM telah meneruskan idealisme ini dan masih giat dengan usaha ini. Dia juga berkata bahawa dia sendiri akan mengambil berat tentang projek pembangunan yang akan melibatkan kampung berkenaan.

Semasa perbualan bersama YB Sim dan rakan-rakan, kita bersama melahirkan kebimbangan tentang sistem pendidikan yang nampaknya kurang berkesan bagi melahirkan mereka yang trampil dan mempunyai kesedaran. Kita sepakat bahawa perlunya kepada perubahan. Kita bersetuju NGO yang bergerak di lapangan masyarakat perlu diberikan bantuan dan kemudahan kerajaan. Dia menyatakan akan memberikan sumbangan kepada TASKI. Dia juga memberikan komitmen akan berusaha menangani pembangunan kawasan berkenaan supaya sekurang-kurangnya penduduk diberikan rumah gantian yang melebihi standard rumah kos rendah yang biasa. Kita mengingatkan bahawa keuntungan yang diperolehi oleh pemaju adalah jauh melebihi apa yang boleh disumbangkan kepada penduduk asal. Oleh itu, pemaju tidak akan mengalami kerugian jika mereka memajukan juga nasib penduduk kampung.

Setelah YB Sim meninggalkan majlis, rakan jawatankuasa memberitahu bahawa Majlis Agama telah memberi jaminan bahawa Surau Sg Nibong Tengah akan dikekalkan, dinaiktaraf dengan pembinaan satu bangunan baru walaupun kampung berkenaan dimajukan.

Begitulah secebis bingkisan dalam menegakkan idealisme perjuangan.

(gambar-gambar lama TASKI ABIM Sg Nibong Tengah)

Wednesday, April 14, 2010

ISU JENAYAH QADHAF


PERNYATAAN SIKAP TERHADAP ISU JENAYAH QADHAF


بسم الله الرحمن الرحيم

لقد أرسلنا رسلنا بالبيّنات وأنزلنا معهم الكتاب والميزان ليقوم الناس بالقسط

وأنزلنا الحديد فيه بأس شديد ومنافع للناس وليعلم الله من ينصره ورسله بالغيب إن الله قوى عزيز


Sungguh, Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan bukti-bukti yangnyata dan Kami turunkan bersama mereka kitab dan neraca (keadilan) agar manusia dapat berlaku adil. Dan Kami menciptakan besi yang mempunyai kekuatan hebat dan banyak manfaat bagi manusia, dan agar Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)-Nya dan rasul-rasul-Nyawalaupun (Allah) tidak dilihatnya. Sesunggguhnya Allah Maha Kuat, Maha Perkasa.

Al-Hadid:25


Petikan ayat 25 surah al-Hadid di atas seharusnya menyedarkan kita bahawa sesungguhnya keadilan (al-qist) adalah rumusan misi seluruh agama samawi. Demikianlah, Islam yang memang terumpun dalam warga agama-agama wahyu meletakkan keadilan di puncak hiraki sistem nilainya dan sekaligus menjadikannya salah satu maqasid (matlamat) utamanya. Selaras dengan itu umat Islam dituntut menegakkan keadilan (iqamat al-`adl) sebagaimana yang tersurat dan tersirat dalam syari`at. Justeru, keadilan yang hakiki dan mutlak hanya ada dalam syari`at, hukum-hakam Ilahi yang merupakan penjelmaan keadilan-Nya (`adlu 'Llah).


Komitmen keislaman hanya dapat menepati erti hakikinya apabila maqasidnya terlaksana. Maqasid al-shari`ah dalam erti objektif, tujuan dan matlamat syari`at yang menjadi tema besar wacana usuli meliputi keperluan dan hak asasi yang mesti dipelihara dan dijamin demi martabat, maslahah dan survival kemanusiaan. Antara yang terliput dalam cakupanmaqasid tersebut ialah jaminan perlindungan terhadap maruah dan kehormatan diri. Dalam pidato haji perpisahan yang merumuskan sari utama misi kerasulanya, Rasulullah s.`a.w. menyebut maruah (al-a`rad) sebagai suatu yang suci, suatu yang mesti dihormati tanpa kompromi. Memang demikianlah hakikatnya, Islam melindungi maruah dan kehormatan diri umat menerusi hukum-hakamnya yang jelas dan tegas, cukup untuk mencegah kesewenang-wenangan mencemarkan maruah seseorang. Dalam kaitan inilah motif hukum qadhaf dalam syari`at Islam itu harus difahami. Mereka yang berleluasa menabur fitnah, melemparkan tuduhan keji (zina/liwat) tanpa pembuktian secara syar`i (menghadirkan empat orang saksi yang adil dan berwibawa) seharusnya menginsafi betapa buruknya perilaku mereka, dan betapa beratnya kesalahan jenayah qadhaf yang membawa hukuman deraan fizikal lapan puluh kali sebatan (ثمانين جلدة), di samping sanksi sosial dan moral: hilang kelayakan menjadi saksi (tentang apa pun dan sampai bila pun), dan seterusnya terlempar ke dalam kelompok orang-orang fasiq (الفاسقون) sebagaimana yang disebut dalam surah al-Nur:4-5. Demikianlah ketetapan hukum syari`at yang tidak boleh ditawar-tawar lagi. Cara pembuktiannya hanya satu: hadirkan empat saksi, dan tidak lain daripada itu. Dalam kes seperti ini pembuktian dengan cara bersumpah sama sekali tidak relevan.


Kedaulatan syari`at adalah asas pembangunan umat dan masyarakat yang murni, bermaruah dan berintegriti. Masyarakat Islam dengan ciri-cirinya yang sedemikian itu tidak dapat menerima budaya fitnah, ghibah dan gosip yang membawa akibat fatal: keruntuhan martabat dan maruah umat keseluruhannya. Para pelaku dan penabur fitnah sebenarnya tidak layak hidup di tengah umat yang bermaruah dan berbudaya saling hormat. Selaras dengan itu seluruh umat Islam yang setia kepada idealisme masyarakat bersyari`at harus menolak gejalafusuq (kefasikan) yang menjelma dalam bentuk fitnah terhadap seseorang yang berintegriti moral. Dalam kaitan ini YB. Dato' Seri Anwar Ibrahim, atau siapa sahaja yang dilempari tuduhan (qadhaf) tanpa pembuktian secara syar`i berhak membela diri dan menuntut keadilan berasaskan hukum syara`: penuduh yang gagal menghadirkan empat orang saksi harus didakwa di bawah hukum qadhaf. Demi menghormati kedaulatan Islam, tuduhan yang tidak memenuhi persyaratan syara` seharusnya digugurkan. Dalam hubungan ini fatwa para ulama dunia yang berautoriti besar mengenai isu ini seperti al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan al-Shaykh Dr. Wahbah al-Zuhayli (kedua-duanya adalah penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah dari kerajaan Malaysia) serta yang lain-lainnya harus dihormati dan didukung tanpa ragu. Fatwa-fatwa mereka cukup jelas, tegas, kuat, berwibawa dan meyakinkan.


Sesungguhnya kembali kepada syari`at adalah satu-satunya jalan keluar yang adil dan selamat. Demikianlah petunjuk Ilahi yang terungkap dalam kitab suci-Nya, "… Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Al-Nisa':59). Apakah yang sebenarnya dicari oleh pendakwa dan penuduh? Andainya yang dicari adalah keadilan, bukankah ia wujud dalam hukum syari`at? Apakah ada hukum lain yang lebih adil daripada hukum Allah? Apabila seseorang mengatakan "Aku ridha dengan Allah sebagai Tuhan……." (رضيت بالله رباً...) bererti ia rela menerima hukum-hakam-Nya. Jika benar demikian, mereka harus membuktikan kejujuran menepati ikrar dan pengakuan tersebut. Ternyata kesediaan rujuk (kembali) kepada Allah (hukum-hakam-Nya) adalah ujian iman. Hanya yang benar-benar beriman (kepada Allah dan Hari Akhirat) sahaja yang akan dengan senang dan rela menerima hukum Allah. Demikianlah makna tersirat di balik kalimat-kalimat,"…, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian." (إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر)


Terlepas dari maksud mencampuri konflik politik antara parti, dengan niat murni semata-mata demi amanatu 'l-balagh serta tanggungjawab dakwah dan tazkirah, kita menyeru seluruh umat dan rakyat agar berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, yang dalam hal ini pembuktiannya harus berdasarkan hukum syara`. Pembuktian yang tidak dilakukan secara syara` adalah tidak sah. Dalam kaitan ini seluruh rakyat yang menginsafi hakikat kesucian maruah dan ketinggian nilai kehormatan diri harus sedia memberikan sokongan dan dukungan kepada perjuangan suci mempertahankan maruah, kehormatan dan nama baik dari pencemaran fitnah. Sementara itu kita juga ingin mengingatkan bahawa dalam melaksanakan proses perundangan secara Islam, yang seharusnya dicari adalah kebenaran, keadilan dan keredhaan Tuhan, bukan loophole dalam teks undang-undang untuk dieksploitasi membela kezaliman.


Demi tanggungjawab membina umat dan masyarakat bermaruah yang saling hormat dan saling percaya, setiap warga harus memiliki keberanian bersikap, menolak budaya fasiq aib mengaib dan fitnah memfitnah. Masyarakat Islam bukan sebuah ladang fitnah, dan bukan juga sebuah pasar gosip. Al-Qur'an telah memberikan petunjuk jelas bagaimana menyikapi gejala fasiq seperti itu, iaitu dengan menolaknya secara jelas, tegas dan tanpa basa-basi, "… ini dusta yang nyata!" ,(...هذا إفك مبين)"…ini pembohongan besar!" .(هذا بهتان عظيم) Komitmen terhadap misi amar makruf nahi munkar menuntut setiap orang bertindak melawan gerakan penyebaran kebejatan (al-fahishah). Mereka yang terlibat dengan kegiatan jahat menabur fitnah dan menyebarkan berita bohong di kalangan umat seharusnya menyedari dan menginsafi amaran keras pembalasan Tuhan sebagaimana ditegaskan dalam kitab suci-Nya:


إنَ الذين جاءوبالإفك عصبة منكم لاتحسبوه شرًا لكم بل هو خيرلكم لكل امرئ منهم

مااكتسب من الإثم والذى تولَى كبره منهم له عذاب عظيم.


Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu (juga). Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu. Setiap orang dari mereka akan mendapat balasan dari dosa yang diperbuatnya. Dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar (dari dosa yang diperbuatnya), dia mendapat azab yang besar (pula).

Al-Nur:11


إنَ الذين يحبّون أن تشيع الفاحشة فى الذين آمنوا لهم عذاب أليم فى الدنيا والأخرة والله يعلم

وأنتم لاتعلمون


Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar di kalangan orang-orang yang Beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

Al-Nur:19


Demikianlah kerasnya amaran pembalasan Tuhan kepada perancang fitnah dan penyebar berita bohong. Malah sekadar "…ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar…" sudah cukup untuk membawa akibat ditimpa azab yang pedih dua kali, di dunia sekarang dan di akhirat nanti. Masing-masing akan merasakan kepedihan azab Tuhan mengikut kadar peranan yang dimainkan dalam kegiatan jahat tersebut.


Masyarakat Melayu-Islam adalah masyarakat yang bersusila dan beradab. Manusia unggul dalam pandangan sarwa (worldview) Melayu diungkapkan dengan kata "orang budiman", ungkapan yang melambangkan kesempurnaan watak manusia cendekia dan berakhlak mulia. Melayu yang hidupnya dikandung adat adalah bangsa yang sentiasa mengawal perilakunya dengan nilai dan norma agama dan budaya. Kesetiaan terhadap nilai-nilai itulah yang membentuk etos bangsa yang tersirat di balik kata "pantang Melayu", ungkapan yang merujuk sikap ketidakrelaan melakukan atau diperlakukan di luar batas nilai-nilai budayanya. Dalam kaitan ini perlu diingat bahawa antara pantang Melayu paling besar ialah mengaib atau diaibkan. Demikianlah sebagaimana yang dinyatakan secara eksplisit dalam dialog Seri Teri Buana - Demang Lebar Daun. Dialog yang disebut "wa`ad" oleh Tun Seri Lanang itu adalah sebuah dokumen budaya yang dimaknai sebagai kontrak sosial Melayu antara penguasa dan rakyat. Seri Teri Buana yang menyimbolkan penguasa Melayu menyetujui tuntutan Demang Lebar Daun yang bertindak sebagai jurubicara rakyat, agar rakyat Melayu walau apa pun kesalahannya, "jangan ia difadhihatkan dan dinista dengan kata yang jahat-jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jikalau patut pada hukum syar`i."


Memang kata-kata tersebut bukan teks suci keagamaan, tetapi ia tetap mempunyai makna dan significance kebudayaan yang istimewa. Justeru ia adalah pernyataan kesedaran Melayu tentang maruah dan karamah insaniah; bahawa manusia (Melayu) sekecil mana pun harus dihormati dan tidak boleh diaibkan. Sejarah Melayu (Sulalat al-Salatin) adalah karya agung yang mengungkapkan hikmah (wisdom) tradisi kepujanggaan bangsa tentang erti keluhuran etika sehingga "…segala raja-raja Melayu tiada pernah memberi `aib pada segala hamba Melayu, …". Dengan gaya dan daya kepengarangannya yang istimewa Tun Seri Lanang menyuarakan ketajaman firasat dan sekaligus amaran, "Jikalau ada seorang raja memberi `aib itu `alamat negeri akan dibinasakan Allah Subhanahu wa Ta`ala." Demikianlah teks sebuah karya dari khazanah kepujanggaan bangsa yang mengabadikan suara hati dan akal budi Melayu sebagai bangsa yang memiliki kehormatan dan harga diri, yang demi maruah sanggup menderhaka apabila di`aibkan. Kontrak sosial Melayu memberikan isyarat jelas bahawa setia Melayu adalah setia bersyarat, sebagaimana derhakanya juga adalah derhaka bersebab. Setia Melayu yang tanpa syarat hanya kepada syari`at, rela menerima sebarang keputusan dan tindakan "…jikalau patut pada hukum syar`i."


Demi menghindari krisis yang diungkapkan oleh Tun Seri Lanang dengan kata "binasa" itu, jangan siapa pun melanggar pantang Melayu, dan jangan siapa pun menolak syari`at. Bangsa ini jangan diajar menjadi liar, tetapi kembalikanlah ke akar - agama dan budayanya.


Sekretariat Bersama

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM),

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).

Kajang: 11 Rabiulakhir 1431H/ 27 Mac 2010