WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA
Pernyataan Sikap
RANG UNDANG-UNDANG PERHIMPUNAN AMAN 2011
Satu langkah ke hadapan, tiga langkah ke belakang.
Hasrat untuk melihat Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang bergerak menerima ciri-ciri masyarakat madani (civil society) dengan menjunjung hak-hak asasi dan prinsip-prinsip demokrasi, tampaknya tidak kesampaian - sekurang-kurangnya buat masa ini. Pengumuman kandungan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011, yang dibentangkan di parlimen baru-baru ini dan bakal dibahaskan pada hari Selasa akan datang (29 november 2011) membuktikan bahawa apa yang disebut sebagai satu langkah bersejarah itu, mungkin berakhir dengan bertambahnya kekecewaan rakyat terhadap sikap represif pemerintah. Langkah yang diwar-war sebagai tanda sikap terbuka pemerintah ke arah perluasan ruang demokrasi, ternyata hanyalah satu helah untuk menambah kekangan ke atas hak demokratik rakyat dengan memperketat dan mempersulitkan hak untuk berhimpun secara aman.
Kebebasan berhimpun secara aman (freedom of assembly) adalah hak rakyat untuk berkumpul. Kebebasan ini berkait rapat dengan hak kebebasan bersuara bagi membolehkan rakyat menyatakan keprihatinan mereka terhadap sesuatu isu yang mempunyai kepentingan bersama. Kebebasan berkumpul secara aman diperakui sebagai salah satu asas kebebasan (fundamental rights) yang mencirikan masyarakat demokratik yang sebenar.
Islam menjadikan tanggungjawab menyuarakan pandangan dan membantah sesuatu yang nyata munkar sebagai tanggungjawab keagamaan. Agama mempertanggungjawabkan mereka yang sadar dan mempunyai kuasa untuk menggunakan kuasanya bagi membenteras kemunkaran dan menukarnya kepada kemakrufan. Namun bagi mereka yang tidak mempunyai wibawa dan kuasa, kuasa lisan mestilah digunakan bagi memberi kesan kepada perubahan yang diharapkan. Al-taghyir bi al-lisan (mengubah kemunkaran dengan ekspresi lisan) akan lebih berkesan sekiranya dibuat secara kolektif melalui perhimpunan dan perkumpulan. Dengan demikian hak berkumpul secara aman bagi menyatakan bantahan, pendirian dan pandangan atau membuat tuntutan adalah juga hak yang mempunyai nilai dan justifikasi keagamaan. Oleh itu hak berhimpun dan hak bersuara tidak sepatutnya dibatasi dan disekat sebaliknya kemahuan seperti ini perlu dirai dan digalakkan serta wajar diberi penghargaan.
Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibentang di parlimen bagi mengganti Syeksen 27 akta Polis 1967, telah mencadangkan antara lain keperluan memberi notis 30 hari lebih awal, syarat tiada bantahan dari polis, tiada perhimpunan atau bantahan jalanan, tidak dibuat berdekatan premis-premis tertentu, syarat-syarat tentang usia penganjur dan peserta perhimpunan dan denda-denda yang lebih berat, menjadi rang undang-undang tersebut dibantah bukan sahaja oleh parti-parti politik, tetapi juga oleh Suhakam, Majlis Peguam Malaysia dan beberapa NGO.
Meneliti kandungan rang undang-undang tersebut ternyata cadangan dan pindaan yang dibuat menggambarkan kehendak pemerintah yang ingin terus mengongkong rakyat menerusi beberapa kekangan baru yang dikenakan ke atas hak-hak berhimpun rakyat. Ini juga menggambarkan sikap pemerintah yang memandang rakyat dengan pandangan yang penuh negatif; sebagai kelompok yang jahil, tidak bertamadun, mempunyai tendensi keganasan dan tidak boleh dipercayai (cannot be trusted), sehingga ‘bahasa yang sesuai untuk mereka’ ialah peraturan yang lebih ketat dan hukuman yang lebih berat. Selagi pemerintah tidak memiliki sense of humility dan enggan menganggap rakyat sebagai rakan dalam pembinaan negara (partner in nation building), selagi itulah hubungan pemerintah-rakyat sentiasa tegang, mengakibatkan terbantutnya sebarang usaha membina negara dan membawa kesejahteraan kepada rakyat.
Tidak ada maknanya kita memanggil pindaan ini sebagai ‘revolutionary’ dan ‘a giant leap’ kalau pindaan yang dibuat menjadikannya lebih represif dengan kongkongan yang meningkat, kawalan yang lebih ketat dan dengan prosedur yang lebih sulit dan menyusahkan, apatah lagi apabila pindaan ini berlawanan dengan maksud kebebasan dasar (fundamental liberties) dan bertentangan pula dengan semangat perlembagaan.
Sehubungan dengan itu, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) berpandangan bahawa tiada pilihan yang boleh dibuat oleh kerajaan, kecuali menarik balik rang undang-undang tersebut atau menggugur semua fasal-fasal yang nyata bertentangan dengan semangat demokrasi dan perlembagaan negara dan memindanya supaya lebih realistik, demokratis, prihatin terhadap kebebasan rakyat serta menggambarkan sebuah masyarakat madani dan negara yang bertamaddun.
Ab Halim Ismail
Setiausaha Agung
WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA
30 Zul-HijjH 1433
26 November 2011.
No comments:
Post a Comment