Showing posts with label demokrasi. Show all posts
Showing posts with label demokrasi. Show all posts

Sunday, April 7, 2013

Dr Siddiq Fadil: Pencerahan dan Pencerdasan Rakyat – Ini Kali Lah.



Kali ini kita memberikan perhatian paling serious. Paling ramai sahabat-sahabat akan turun ke medan pertarungan. Seperti kata-kata dialek Sabah, “Ini kali lah”. Mereka yang turun itu bukan calang-calang alang kepalang. Kali ini kita tidak bermain-main – kita bersungguh-sunggguh.

Ramai kehadirannya ini memberikan kita harapan. Sehingga disangkakan jangan-jangan ini kali saja peluang seperti ini akan tiba. It is now or never. Kita tidak akan tahu bagaimana di masa depan. Now is the best time. Sudah tentu kita mengharap masa depan yang lebih baik tetapi kita tidak tahu dan mungkin tidak akan berlaku keadaan sebegini lagi pada waktu itu.

Kita tampil pada saat kita diperhitongkan oleh orang. Kalau tidak, tidak mungkin bekas pimpinan kita akan digunakan diakhbar dan diikuti pula dengan seorang lagi. Ini bermakna kita tidak boleh diremehkan kerana bekas pimpinan ini tidak akan selaku itu dan seorang lagi tidak akan selaris itu.

Kita tampil pada saat kekuatan dipandang orang. Peranan kita adalah pembentukan pemikiran – tugas seorang da’i – pendakwah. Peranan yang sesuai dengan nama kita iaitu cerdas dan kritis. Kerana tiada erti demokrasi jika ia berlaku dalam siri kebodohan rakyat. Regim korup mengekalkan kuasa dengan memperalatkan dan mendapatkan sokongan golongan lemah berfikir dan orang yang lemah ekonomi. Secara langsungnya, ini bermakna yang memanjangkan usia regim adalah kemiskinan dan kejahilan. Regim begini amat takut kepada kecerdasan dan pemikiran kritis.

Begitulah propaganda, penyebaran maklumatnya diisi. Itulah balasannya bagi orang-orang yang bertahun-tahun membaca akhbar dan utusan media perdana. Berdosa kita jika kita mengarusperdanakan akhbar dan media ini kerana dada akhbar-akhbar ini menyebarkan fitnah dan melemahkan pemikiran.

Bagaimana mungkin berlakunya regime survival dengan mengekalkan kebodohan dan kemiskinan?

Mereka cukup takut dengan rakyat yang mandiri, orang yang bebas, kritis dan bebas menilai. Mereka tidak dapat buat apa-apa kepada orang Melayu kelas menengah kerana orang ini tidak bergantung lagi kepada pemerintah. Orang Melayu begini tidak hairan dengan pemberian BR1M atau dihulur beberapa ringgit pun.

Inilah tugas kita sebagai gerakan pencerdasan umat, pencerahan rakyat agar menjadi kritis dan mampu menilai sendiri.

Kita inginkan persaingan politik yang seimbang. Satu sistem dwi parti yang boleh bertukar ganti. Dengan sistem ini nasib rakyat akan lebih baik, lebih terbela jika ada pilihan tukar menukar. Bukan 50 tahun lagi dengan yang sama dan diterima sebagai taken for granted. Jangan sampai tidak ada langsung pillihan alternatif – “sudahnya rakyat akan memilih kita juga, kerana tidak ada alternatif”. Politik keseimbangan ini adalah maslahah umat dan ini akan memastikan rakyat sentiasa terbela.

Pembangkang hari ini boleh menjadi pemerintah esok dan begitulah sebaliknya. Itulah demokrasi yang ideal kerana sebenarnya tiada istilah pembangkang/ pemerintah. Istilah pembangkang sudah tidak relevan pada perkembangan politik masakini. Pembangkang di Pusat mungkin saja menjadi pemerintah di negeri dan begitulah pula ada yang di sebaliknya. Pemikiran sempit dan pandangan dangkal yang suka memomok dan memandang serong pembangkang serta penyokong mereka wajar dihentikan.

Begitulah juga dengan penjelasan cetek seorang Timbalan Menteri semasa membahaskan takrif kafir harbi dan kafir dhimmy dengan membayangkan parti tertentu di negeri tertentu di dalam persekutuan yang sama ada yang harbi dan ada yang dhimmy menurut di mana lokasi orang itu berada – suatu pandangan yang tidak masuk akal.

Sebenarnya, itu adalah fikiran semalam – yesterday’s politics dan politik lama bukan politik baru. Politik lama sangat suka membayangkan non-Muslim sebagai adversary – seteru atau disangsi. Pendokong politik lama tetapi bernama Arus Baru cenderung untuk menyamakan lantikan wakil rakyat seperti larangan awliya’ padahal melantik wakil rakyat bukan serupa melantik imam atau amir. Kita perlu kepada kefahaman fiqh yang jitu, mendalami fiqh al mu’asir seperti dianjurkan Profesor Yusuf al Qaradawi– fiqh kontemporari mengenal kaedah siasah dengan perkembangan zamannya.

Wakil rakyat adalah wakil untuk kawasan-kawasan tertentu dan orang yang terpilih yang akan menjadi jurubicara umat. Sekiranya dilantik menteri Non Muslim pun, kerajaan Abbasiyah telah melantik mereka sebagai menteri padahal pada masa itu umat Islam kuat dan ramai.

Pada hakikatnya, Malaysia tidak boleh diperintah bersendirian tanpa sokongan kedua-dua Muslim dan Non Muslim. Itulah kebijaksanaan pelaksanaan tahaluf siasiy (Pakatan Politik).

Kita lihat kepada hujah berikut sebagai contoh:-
Sekiranya kaum bukan Muslim di dalam pakatan politik menepati janji mereka seperti mengibar bendera Parti Islam, mengundi calon Parti Islam – bolehkah kita pula tidak menepati janji kita kepada mereka kerana mereka telah tunaikan janji mereka dan tidak mengkhianati kita?

Begitulah hujah Tok Guru bahawa selama ini rakan kita dalam Pakatan tidak pernah khianati kita, kenapa kita tidak setia dalam Pakatan kita? Setia kepada janji itu adalah etika dan pegangan utuh dalam Islam.

Tahaluf siasiy adalah berasaskan persefahaman dan perjanjian dengan Non Muslim secara terhormat. Sepertimana dilihat pada seerah Rasulullah s.a.w., pakatan Hilf al Fudul adalah pakatan di kalangan orang-orang Musyrikin Makkah sebelum datangnya Islam, pakatan bagi membela dan melindungi  golongan lemah – mustadhafin dan menegakkan keadilan dan memelihara keamanan. Rasulullah s.a.w. mengatakan seandainya dipanggil untuk menyertai pakatan seperti Hilf al Fudul, baginda s.a.w. akan menyahut tujuan itu.

Pada konteks Malaysia, kalau bersama-sama dalam satu kesefahaman berasaskan prinsip ,moral dan keadilan, kita layanilah dengan baik. Kita seharusnya tidak lagi melihat Non-Muslim di Malaysia sebagai dhimmiyun. Mereka adalah muwatinun – warganegara dan tidak patut jika mereka tidak diwakilkan pada badan-badan perwakilan di dalam sistem demokrasi. Prinsip yang di rujuk adalah mabda al usul – sebagai sesama warganegara, hak dan tanggungjawab -- Muslim dan bukan Muslim - - pada asasnya adalah sama. 

Demikianlah ketetapan yang berasaskan prinsip: lahum ma lana, wa `alayhim ma `alayna (mereka berhak mendapat apa yang kita dapat, dan mereka memikul tanggungjawab yang sama kita pikul). Agama memang tidak menghalang memberikan pelayanan yang baik dan adil kepada warga bukan Muslim, andainya mereka tidak memperlihatkan sikap permusuhan dan penentangan terhadap kaum Muslimin.



Friday, March 8, 2013

SIDDIQ FADIL: DEMOKRASI, PLURALITI DAN PRU-13


DEMOKRASI, PLURALITI DAN PRU-13
Siddiq Fadzil
Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH)
(Teks ucapan di Konvensyen Pencerdasan Rakyat, di Dewan Kompleks Belia dan  Kebudayaan, Shah Alam, pada 9 Mac 2013).


Pilihanraya dalam sistem demokrasi adalah hari kebesaran kuasa rakyat. Ia harus disambut dengan semangat hormat terhadap suara rakyat, yang bukan lagi “suara anjing menyalak bukit”, tetapi suara berdaulat yang membawa kata putus, sebagai aktualisasi prinsip al-sha`b masdar al-sultah (rakyat adalah sumber kekuasaan). Tetapi pilihan raya hanya akan benar-benar menjadi hari kuasa rakyat, apabila rakyat dapat menggunakan hak demokratiknya dengan bebas dan cerdas, bijaksana dan penuh rasa tanggungjawab.

Dalam kaitan inilah relevannya gerakan pencerdasan rakyat untuk memungkinkan mereka membuat pertimbangan yang adil dan rasional, dan seterusnya menentukan pendirian dan pilihan yang tepat. Dengan demikian barulah pilihan raya dapat menjadi mekanisme demokrasi yang menghasilkan pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat.

Demokrasi dan Media

Dalam era kekuasaan media, rakyat seringkali tidak dapat melihat sesuatu dalam realiti seadanya. Banyak negara yang masih mengamalkan pilihan raya, tetapi tidak mengamalkan kebebasan media (freedom of the press), yang diamalkan adalah kebebasan daripada media (freedom from the press) dalam pengertian pemerintah yang bebas daripada kritik dan sorotan media. Media yang telah kehilangan kebebasan dan diperburuk dengan kehilangan etika tidak lagi mampu memaparkan kebenaran, tetapi lebih banyak bertindak sebagai alat propaganda politik, termasuk menghitamkan yang putih dan memutihkan yang hitam.

Demikianlah orientasi sebahagian media masa kini sehingga kita harus mengajak rakyat lebih tekun berdo`a: Rabbana arina ‘l-haqqa haqqan wa ‘rzuqna ‘ttiba`ah, wa arina ‘l-batila batilan wa ‘rzuqna ‘jtinabah (Ya Tuhan, perlihatkan kami kebenaran itu nyata benarnya dan kurniakan kami keupayaan mengikutinya, dan perlihatkan kami kebatilan itu nyata batilnya dan kurniakan kami keupayaan menghindarinya). Kebebasan media adalah bahagian integral daripada demokrasi. Kerana itu pilihan raya tanpa kebebasan media hanya akan menghasilkan pemerintahan yang kehilangan legitimasi demokratik (democratic legitimacy).

Sebagai image maker media selalu melakukan pencitraan palsu sehingga yang tampak bukan citra hakiki sebuah parti, dan bukan wajah asli seseorang calon. Pemalsuan citra yang begitu berleluasa, pasti akan mencederai demokrasi, kerana ia bererti menafikan hak rakyat mendapatkan maklumat yang benar, lengkap dan seimbang tentang calon dan parti yang bertanding. Bagaimana mungkin rakyat akan membuat pilihan yang tepat jika sudah tertipu dengan pencitraan kosmetik media propaganda.

Mengundi Sebagai Kesaksian

Dilihat dari perspektif agama, mengundi dalam pilihan raya bukan sekadar hak, yang boleh diterima dan boleh pula ditolak. Lebih daripada itu sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Shaykah Yusuf al-Qaradawiy, ia adalah kewajiban pelaksanaan kesaksian (shahadah) yang tidak boleh ditolak apabila dipanggil, “…Dan janganlah saksi-saksi itu menolak apabila dipanggil. …” -- al-Baqarah:282. Tidak keluar mengundi bererti menyembunyikan kesaksian (katm al-shahadah), suatu kesalahan berat yang dicela dalam al-Qur’an, “…Dan janganlah kamu menyembunyikan kesaksian, kerana barangsiapa menyembunyikannya, sungguh, hatinya kotor (berdosa)…” --- al- Baqarah: 283.

Kesaksian dalam konteks pilihan raya bererti pernyataan sikap dan penilaian yang jujur terhadap kelayakan seseorang calon dan partinya, berdasarkan kriteria asas: qawiyyun amin (kuat dan dapat dipercaya) dan hafizun `alim (berintegriti moral dan berkompetensi intelektual). Kerana itu yang harus layak bukan hanya calon dan parti, tetapi juga pengundi-pengundinya yang harus memenuhi syarat kesaksian yang terumus pada kata al-`adl (keadilan), “…dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu…” -- al-Talaq:2. Kesaksian adalah amanah. Mengundi parti atau calon yang tidak layak adalah penghkhianatan terhadap amanah yang menepati istilah qawla ‘zur (kesaksian palsu) dalam al-Qur’an. Memberikan kesaksian palsu adalah dosa berat yang digandingkan dengan syirik sebagaimana yang firmankan oleh Allah s.w.t., “…,maka jauhilah (penyembahan) berhala-berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan dusta.” -- al-Hajj:30.

Ternyata mengundi dalam pilihan raya tidak hanya memerlukan kefahaman serba-serbi tentang demokrasi, tetapi juga kesedaran tanggungjawab moral. Justeru, kesaksian harus dilaksanakan dengan jujur, semata-mata kerana Allah, bukan kerana kepentingan diri, kaum kerabat dan suku-sakat, “…dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah.” --. al-Talaq:2. Untuk memungkinkan rakyat melaksanakan tanggungjawab kesaksiannya dalam pilihan raya, mereka tidak boleh naïf -- tidak mengerti bahasa politik, tidak mampu memahami sepak teranjang serta simpang-siur politik, dan tidak dapat mengenal mana wajah asli dan mana wajah hiasan citra kosmetik. Ranah politik memang banyak jebakan dan jerangkap samarnya, ada angguk yang bererti tidak, ada geleng yang bermakna ia, dan banyak sumpah yang mengandung fitnah.

Demokrasi hanya akan sihat dan subur di tengah rakyat yang sedar, cerdas, jujur dan enlightened. Demokrasi akan mati dalam orientasi politik ke-fir`aun-an yang mengekalkan kekuasaan dengan strategi pembodohan rakyat, “(Dengan yang demikian) maka Fir`aun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasiq – derhaka..” -- al-Zukhruf:54. Rakyat yang telah lama diperbodoh tidak lagi mampu membezakan keadilan daripada kezaliman, mereka tidak tahu bahawa hak-hak asasinya dirampas, dan tidak sedar kekayaannya dirompak. Yang mereka tahu siapa yang memberikan wang adalah orang baik yang wajar disokong, tanpa menyedari bahawa si pemberi sebenarnya adalah penyamun yang telah merompak habis harta-bendanya. Jadilah mereka rakyat yang senasib dengan kaum Nabi Hud `a.s. yang setia menyokong kezaliman, “…dan (mereka) menuruti perintah semua penguasa yang sewenang-wenang lagi durhaka.’ -- Hud:59; atau menjadi rakyat yang bodoh sombong seperti kaum Nabi Nuh `a.s., “…dan mereka mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya hanya menambah kerugian baginya.” -- Nuh:21.

Perubahan Politik dan Politik Perubahan

Bagi warga gerakan Islam, yang penting bukan sekadar perubahan politik dalam erti pertukaran parti pemerintah semata-mata. Yang diperjuangkan oleh gerakan Islam adalah politik perubahan dalam pengertian berlakunya perubahan hakiki ke arah aktualisasi cita-cita Islamiah -- prinsip dan nilainya, hukum dan maqasidnya. Aspirasi politik gerakan Islam adalah tegaknya prinsip kebebasan dan keadilan, suburnya nilai- nilai moral amanah, ketelusan dan kesederhanaan; terjaminnya keselamatan dan ketertiban, dan terlaksananya pemerintahan rule of law yang religius dan berintegriti.

Politik perubahan yang kita perjuangkan meliputi realisasi maqasid al-shari`ah dalam erti yang setepat dan selengkapnya, bukan sekadar slogan-sloganan dan pidato-pidatoan. Objektif memelihara jiwa (hifz al-nafs) harus dilaksanakan dalam pengertian bukan sekadar melindungi nyawa, tetapi juga jaminan kualiti hidup yang selayaknya sebagai manusia bermaruah dan bermartabat. Objektif memelihara agama (hifz al-din) harus dilaksanakan dalam pengertian pendaulatan dan penghayatan ajaran-ajarannya di segala ranah kehidupan. Objektif memelihara akal (hifz al-`aql) harus dilaksanakan dalam pengertian membangun daya fikir dan membina rakyat yang cerdas dan enlightened. Objektif memelihara harta (hifz al-mal) harus dilaksanakan dalam pengertian pembangunan ekonomi dan pengawalan kekayaan negara dari pembaziran, pembolotan dan segala bentuk penyelewengan. Objektif memelihara keturunan (hifz al-nasl) pula harus dilaksanakan dalam pengertian pembinaan generasi yang bersih, kuat dan terdidik dengan sempurna.

Sistem Dua Parti

Yang harus menjadi perhitungan utama dalam demokrasi elektoral adalah khidmat yang lebih baik untuk rakyat. Untuk itu parti pemerintah perlu disaingi dan ditandingi oleh parti alternatif yang kuat, a formidable force yang sewaktu-waktu boleh menggantikannya sebagai pemerintah. Kehadiran dua kekuatan politik yang seimbang adalah penting untuk memacu persaingan memberikan khidmat yang lebih baik untuk rakyat. Tanpa saingan dan tandingan yang bererti, parti yang berkuasa akan berasa terlalu selesa dan seterusnya akan mengalami penurunan komitmen dalam memberikan khidmat yang lebih baik. Keadaan seperti itu akan menumbuhkan sikap taken for granted, “sudahnya rakyat akan memilih kita juga, kerana tidak ada alternatif.”. Dengan kata lain, dalam konteks masa kini, sistem dua parti adalah suatu keperluan bagi menjamin wujudnya persaingan yang real dan bererti. Rakyat akan mendapat khidmat yang lebih baik dalam politik yang memungkinkan berlakunya pertukaran kuasa pemerintahan dari semasa ke semasa.

Politik Baru dan Tahaluf Siyasiy

Setelah lebih setengah abad merdeka, rakyat Malaysia mulai memperlihatkan tanda-tanda keinginan menerokai politik baru. Politik kapitalisme kroni dan perkauman sempit tidak lagi dapat dipertahankan dalam arus kebangkitan politik moral dan idealisme keadilan dan kebersamaan. Tahaluf siyasiy (pakatan politik) Muslim-bukan Muslim dalam ranah politik plural adalah suatu eksperimen yang wajar diberi ruang dalam konteks politik baru yang realistik berasaskan nilai-nilai luhur yang disepakati bersama. PRU-12 telah memperlihatkan isyarat bermulanya politik pembebasan dari kepompong politik perkauman. Rakyat membuat pilihan tidak lagi berasaskan kaum, tetapi berasaskan idealisme -- keadilan dan kebebasan, maruah dan martabat keinsanan, integriti moral dan pelayanan yang lebih baik.

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, kehadiran warga bukan Muslim harus diakui sebagai realiti yang diambilkira dalam penggagasan sebarang formula politik. Umat Islam yang semakin terdedah kepada wacana-wacana politik Islam kontemporari, semakin bersikap terbuka dan bersedia untuk menjalin kerjasama politik dengan warga bukan Muslim. Ternyata antara impak terbesar fenomena kebangkitan Islam adalah kefahaman yang lebih mendalam terhadap ajaran Islam, termasuk dasar-dasar politiknya. Sikap mejauhi golongan bukan Muslim semata-mata kerana ketidak-Islaman mereka telah berubah setelah memahami hakikat konsep ukhuwwah (persaudaraan) yang luas, meliputi persaudaraan seagama, persaudaraan sebangsa, persaudaraan setanahair dan persaudaraan kemanusiaan sejagat.

Al-Qur’an tidak hanya menyebut persaudaraan keagamaan (Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara) – al-Hujurat:10, tetapi menyebut juga persaudaraan kebangsaan lewat pengkisahan tentang hubungan antara para anbiya’ dan mursalin (Nuh, Lut, Hud dan Salih `a.s.) dengan kaum masing-masing yang menolak dakwah, (tetap dalam kekafiran kesyirikan) tetapi masih dianggap saudara, (…akhuhum Nuh…) – al-Shu`ara’: 105, 106, (…akhuhum Lut…) -- al- Shu`ara’: 160,161, (…akhuhum Hud) -- al-Shu`ara’:124, dan ( …akhuhum Salih ) -- al-Shu`ara’:142. Kata akhuhum dalam ayat-ayat tersebut bererti saudara. Memang tidak semua orang bukan Muslim itu musuh, malah tidak sedikit yang memperlihatkan semangat setiakawan sehingga kaum Muslimin berasa terharu dengan kebaikannya. Ketika Rasulullah s.`a.w. menderita kelaparan dalam kepungan dan pemulauan oleh Quraysh di Shi`b Abi Talib selama tiga tahun tanpa bekalan makanan, seorang bukan Muslim, Hisham ibn `Amr al-`Amiriy tidak sampai hati menyaksikan kezaliman yang ditimpakan ke atas saudara-saudara sebangsanya. Beliau nekad melanggar larangan Quraysh demi simpatinya terhadap umat Islam yang kelaparan. Setiap malam, setelah semua orang tidur nyenyak Hisham menghantarkan bekalan makanan sebanyak yang terdaya dibawa oleh seekor himarnya. Nama Hisham ibn `Amr al-`Amiriy abadi dalam sejarah sebagai orang bukan Muslim yang berjasa besar meringankan derita umat Islam ketika tidak ada orang yang sanggup melakukannya. (Khalid, `Amr, 2006:70)

Tahaluf siyasiy dalam konteks masyarakat majmuk yang mengamalkan demokrasi elektoral tentunya akan membawa kepada pembahasan isu pengangkatan calon bukan Islam sebagai wakil rakyat. Dalam kaitan ini al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawiy mengatakan bahawa isu pengangkatan wakil rakyat tidak sampai dan tidak termasuk dalam bab imarah atau wilayah. Wakil rakyat bukan amir, bukan wazir dan bukan juga wali. Ia hanya mewakili sejumlah warga di kawasan tertentu. Tugasnya hanya menyuarakan kepentingan rakyat yang diwakilinya, kalau pun ikut menggubal undang-undang, ia tidak melibatkan hukum-hakam agama yang dinaskan secara muhkam. (Al- Qaradawiy, Yusuf, 1999: 194-195).

Seandainya pengangkatan mereka sebagai wakil rakyat akan berhujung dengan pelantikan mereka sebagai menteri sekalipun, ia tidak menjadi isu, kerana pada zaman tamadun Islam dahulu pun, para ulama mengharuskan pelantikan orang bukan Islam (ahl al-dhimmah) sebagai menteri pelaksana (wazir al-tanfidh). Sejarah mencatatkan ramai orang bukan Islam yang menjadi menteri dalam kerajaan Abbasiyah, dan tidak ada bantahan ulama terhadap mereka. Memberikan kepercayaan dengan tanggungjawab tertentu kepada orang bukan Islam yang memang boleh dipercaya tidak perlu dipermasalahkan. Jika lelaki Muslim boleh mengahwini wanita bukan Muslim kitabiyyah, bukankah itu juga bererti mempercayakan tugas pengurusan rumahtangga dan tanggungjawab keibuan kepada orang bukan Islam?

Sebagai sesama warganegara, hak dan tanggungjawab -- Muslim dan bukan Muslim - - pada asasnya adalah sama. Demikianlah ketetapan yang berasaskan prinsip: lahum ma lana, wa `alayhim ma `alayna (mereka berhak mendapat apa yang kita dapat, dan mereka memikul tanggungjawab yang sama kita pikul). Agama memang tidak menghalang memberikan pelayanan yang baik dan adil kepada warga bukan Muslim, andainya mereka tidak memperlihatkan sikap permusuhan dan penentangan terhadap kaum Muslimin.

Demikianlah yang difirmankan oleh Allah:
Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah Mencintai orang-orang yang berlaku adil. -- al-Mumtahanah:8.

Merujuk ayat tersebut al-Shaykh Yusuf al-Qaradawiy menyebut bahawa berbuat baik dan berlaku adil terhadap warga bukan Islam sedemikian itu termasuklah pemberian ruang untuk mereka menganggotai majlis-majlis perwakilan. (Al-Qaradawiy, Yusuf, 1999: 195). Dengan semangat ayat tersebut juga kita boleh membuat rumusan bahawa berbuat baik dan berlaku adil terhadap warga bukan Muslim termasuk juga menepati janji untuk saling mendukung dalam kerjasama politik, khususnya dalam pilihan raya. Justeru, menepati janji adalah bahagian daripada tuntutan syara`.

Mengadakan tahaluf siyasiy dengan golongan bukan Muslim bukanlah suatu bid`ah politik yang tidak berdasar. Sebelum diutus membawa risalah Islam Nabi s.`a.w. sudah berpartisipasi dalam Hilf al-fudul, sebuah pakatan di kalangan orang-orang musyrikin Arab untuk menghadang pencerobohan dan melindungi kaum mustad`afin. Sesudah diangkat menjadi Rasul, Junjungan s.`a.w. mengenang peristiwa tersebut dengan penuh rasa penghargaan terhadap pakatan yang bermotif kebaikan itu dengan bersabda, “Andainya sesudah Islam (sekarang ini) aku dipanggil untuk menyertai (pakatan) seperti itu lagi, nescaya aku akan menyahutnya.

Dalam amalan demokrasi di negara ini, ketua kerajaan tidak dipilih secara langsung oleh rakyat menerusi pilihan raya. Pengangkatannya dilakukan menerusi wakil-wakil rakyat di parlimen. Kerana itu pilihan raya umum menjadi sangat penting kerana ia juga terkait dengan pengangkatan orang no.1 negara yang banyak menentukan untung nasib rakyat dan negara. Rakyat tentunya menginginkan negara ini dipimpin oleh tokoh yang bersih, berwibawa dan berkompetensi, bukan sekadar tokoh selebriti politik. Untuk mencapai keinginan tersebut, mengundi dalam pilihan raya umum harus juga didasarkan pada perhitungan memilih wakil yang dapat menjadi saluran terpilihnya ketua kerajaan yang menepati atau yang lebih menghampiri kualiti qawiyyun amin dan hafizun `alim.

Mekanisme Pilihan Raya dan Budaya Politik

Untuk menjayakan demokrasi elektoral kita memerlukan mekanisme pilihan raya yang bersih, cekap dan berkecuali. Mekanisme pilihan raya harus benar-benar mampu menghasilkan pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat untuk rakyat; mekanisme yang dapat menjamin bahawa yang naik adalah yang terbaik. Dengan demikian kemenangan yang diraih oleh seseorang calon atau sesebuah parti, benar-benar jelmaan kemenangan rakyat. Pilihan raya yang bersih akan menggembirakan semua pihak kerana yang menang bukan wang, bukan rasuah, bukan kecurangan dan bukan penipuan, tetapi yang menang adalah demokrasi yang memang diperjuangkan oleh semua.

Dalam kaitan ini kita harus menyuarakan keprihatinan terhadap biaya pilihan raya yang terlalu mahal, sehingga yang selalu menjadi masalah ketika menghadapi pilihan raya adalah soal dana. Pilihan raya yang mahal akan membuka pintu rasuah seluas-luasnya. Ia akan mengundang pelaburan para pemilik dana (kapitalis/korporat/cukong), dan apabila berlaku persekongkolan politik dengan bisnes, bererti kiamatlah moral politik. Justeru, moral politik tidak akan laku di tengah kemeriahan pasar jual-beli undi.

Ketika ini wang seolah-olah sudah menjadi bahasa politik. (tidak ada wang, tidak ada politik!). Wanglah yang menjadi tonggak kekuatan politik, wanglah penentu elektibiliti parti dan akhirnya wang jugalah yang menentukan pemenangnya. Dalam budaya politik korup seperti itu wang dapat membeli segala-gala: suara rakyat, lawan politik, jentera, media dan segalanya. Pilihan raya adalah kesempatan terbaik merebut peluang melabur dalam politik (pilihan raya) untuk mendapat pulangan dalam bentuk projek dan kontrak kerajaan selepas pilihan raya. Budaya politik wang akhirnya akan berakibat terbentuknya kerajaan yang korup. Untuk melindungi kuasa yang korup institusi-institusi penegak undang-undang dilemah dan dilumpuhkan. Itulah yang akan berlaku kepada institusi-institusi seperti kepolisan, kehakiman, jabatan peguam negara, SPRM, SPR dan lain-lainnya. Demikianlah transformasi yang akan terjadi, dari agen penegak keadilan dan ketertiban menjadi alat melindungi korupsi. Justeru, kekuatan institusi-institusi ini akan mengancam kelangsungan kuasa yang korup.

Apabila politik sudah menjadi sejenis bisnes orang berduit, tertutuplah peluang untuk mendapatkan pemimpin yang baik, bermoral dan berintegriti. Para pelabur tidak akan mendanai pemimpin yang kuat dan pro-rakyat, sebaliknya mereka akan membiayai “pemimpin” tajaan mereka sendiri yang nanti akan dapat mereka kuasai. Ini bukan mimpi, tetapi realiti yang telahpun terjadi. Fenomena penguasaan orang bisnes ke atas ahli-ahli politik inilah yang diungkapkan oleh Noreena Hertz dalam bukunya, The Silent Takeover: Global Capitalism and the Death of Democracy. Beliau mengatakan, Politicians are increasingly seen as impotent, irrelevant, and dishonest. People see their government as unable to deliver what they promise, obsessed with unimportant issues and internal politicking, riddled with corruption, clinging to outmoded notions of authority, and increasingly in the pockets of business people. The distinction between incompetence and dishonesty is becoming blurred as, in country after country, senior politicians are discovered to have engaged in corrupt practices. (Hertz, Noreena, 2003: 121)

Dalam budaya politik yang dikuasai oleh duit, mereka yang tidak mahu menjadi calon tajaan kaum berduit harus menyingkir meskipun berkualiti dan berpotensi menjadi pemimpin yang baik. Tidak kurang memprihatinkan adalah gejala politik kekerasan. Demokrasi seharusnya menjadi pentas adu kekuatan idea, bukan otot dan lengan. Politik samseng adalah pengkhianatan terhadap prinsip dan nilai demokrasi elektoral. Politik adu kekuatan fizikal adalah amalan masyarakat yang tidak bertamadun. Parti-parti politik yang menjunjung prinsip dan nilai demokratik seharusnya mampu membina massa demokrat yang menghormati aturan main yang bersih dan beradab. Yang pertama dan utama adalah memenangkan demokrasi itu sendiri. Manusia demokrat tulen tidak akan sanggup mencederai demokrasi atau melukai warga pengamal demokrasi, semata-mata kerana ingin memenangkan diri dan kelompok sendiri. Rakyat yang setia kepada nilai dan norma demokrasi harus tegas menolak politik kekerasan, termasuk politik mengancam, mengugut, menakut-nakutkan dan lain-lainnya.

Perjuangan menegakkan demokrasi tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan pencerdasan dan pemberdayaan rakyat. Justeru, demokrasi hanya akan punya erti jika rakyat memiliki kekuatan daya fikir dan keberanian bersikap. Para pendukung demokrasi harus siap melawan pembodohan dan pemiskinan. Politik yang didukung golongan yang bodoh dan miskin akan mengekalkan kebodohan dan kemiskinan. Bagi mereka warganegara yang efektif, cerdas, kritis dan tidak bergantung adalah bahaya yang akan menggugat kekuasaan yang sewenang-wenang. Memang survival penguasa yang zalim selamanya bergantung pada kebodohan dan kemiskinan rakyat. Rakyat yang miskin dan yang bodoh selalu mengundi atas pertimbangan kepentingan peribadi dan habuan jangka pendek yang bersifat kebendaan, bukan atas pertimbangan jangka panjang yang bersifat public virtues, kebaikan bersama atau maslahah `ammah.

Gerakan Islam dan Misi Demokratisasi

Gerakan Islam yang setia pada misi taghyir al-munkar, merubah kemungkaran (rasuah, fitnah, kezaliman, penindasan, pemborosan dan yang sejenisnya), harus menggunakan hak demokratiknya mengundi dalam pilihan raya dengan niat suci melaksanakan amanat  Nabi s.`a.w., “Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia merubahnya…” Gerakan Islam tidak seharusnya menjadi alat mempertahankan kebobrokan. Merelakan diri diperalat untuk motif sedemikian itu adalah suatu penodaan terhadap kemurnian risalah dan sekaligus pengkhianatan terhadap idealisme perjuangan kader-kader Islamis.

Gerakan Islam juga turut memikul tanggungjawab meratakan pendidikan demokrasi. Rakyat harus disedarkan bahawa demokrasi adalah prinsip, nilai dan mekanisme yang perlu di pelajari, difahami dan dihayati secara murni dan konsisten. Demokrasi bukan sekadar pilihan raya, yang dilaksanakan asal jadi, atau asal ada. Yang dituntut bukan pilihan raya asal-asalan, tetapi pilihan raya yang bersih, adil dan efisien. Rakyat perlu lebih kritis terhadap SPR agar institusi tersebut menjadi lebih berwibawa, berintegriti dan bermaruah sebagai badan pelaksana yang berkecuali dan adil. Rakyat perlu dididik dengan budaya politik yang sihat menerusi semangat persaingan fa ‘stabiqu ‘l-khayrat, penegakan moral politik dan seterusnya penolakan terhadap politik fitnah, politik wang dan politik curang.

KAU INI BAGAIMANA
ATAU
AKU HARUS BAGAIMANA

Kau ini bagaimana?

Kau bilang aku merdeka, kau pilihkan untukku segalanya
Kau suruh aku berpikir, aku berpikir kau tuduh aku kapir

Aku harus bagaimana?

Kau bilang bergeraklah, aku bergerak kau curigai
Kau bilang jangan banyak tingkah, aku diam saja kau waspadai

Kau ini bagaimana?
Kau suruh aku pegang prinsip, aku memegang prinsip kau tuduh aku kaku
Kau suruh aku toleran, kau bilang aku plin-plan

Aku harus bagaimana?
Kau suruh aku maju, aku maju kau srimpung kakiku
Kau suruh aku bekerja, aku bekerja kau ganggu aku

Kau ini bagaimana?
Kau suruh aku taqwa, khutbah keagamaanmu membuat aku sakit jiwa
Kau suruh aku mengikutimu, langkahmu tak jelas arahnya

Aku harus bagaimana?
Kau suruh aku menghormati hukum, kebijaksanaanmu menyepelekannya
Kau suruh aku berdisiplin, kau menyontohkan yang lain

Aku harus bagaimana?
Kau bilang Tuhan sangat dekat, kau sendiri memanggilnya dengan pengeras suara tiap saat
Kau bilang kau suka damai, kau ajak aku setiap hari bertikai

Aku harus bagaimana?
Kau suruh aku membangun, aku membangun kau merusaknya
kau suruh aku menabung, aku menabung kau menghabiskannya

Kau ini bagaimana?
Kau suruh aku menggarap sawah, sawahku kau tanami rumah-rumah
Kau bilang aku harus punya rumah, aku punya rumah kau meratakannya dengan tanah

Kau ini bagaimana?
Aku kau larang berjudi, permainan spekulasimu menjadi-jadi
Aku kau suruh bertanggungjawab, kau sendiri terus berucap wallahu a`lam bissawab

Kau ini bagaimana?
Kau suruh aku jujur, aku jujur kau tipu aku
Kau suruh aku sabar, aku sabar kau injak tengkukku

Aku harus bagaimana?
Kau suruh aku memilihmu sebagai wakilku, sudah kupilih kau bertindak semaumu
Kau bilang kau selalu memikirkanku, aku sapa saja kau merasa terganggu

Kau ini bagaimana?
Kau bilang bicaralah, aku bicara kau bilang aku ceriwis
Kau bilang jangan banyak bicara, aku bungkam kau tuduh aku apatis

Aku harus bagaimana?
Kau bilang kritiklah, aku kritik kau marah
Kau bilang cari alternatifnya, aku kasih alternatif kau bilang jangan mendikte saja

Kau ini bagaimana?
Aku bilang terserah kau, kau tidak mahu
Aku bilang terserah kita, kau tak suka
Aku bilang terserah aku, kau memakiku

Kau ini bagaimana?

(K.H.A.Mustofa Bisri, 1987)

Rujukan:

Al-Mawardiy, Abu al-Hasan `Aliy ibn Muhammad ibn Habib. t. t. Al-Ahkam al- Sultaniyyah wa al-Wilayat al-Diniyyah. Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah.
Al-Mu`askariy, Abu Ahmad Muhammad Balqard ibn Ahmad. 2005. Mafhum al- Hizbiyyat al-Siyasiyyah wa hukmuha fi al-Islam. Al-Jaza’ir: Dar al- Khalduniyyah.
Al-Qaradawiy, Yusuf. 1999. Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam. Kaherah: Dar al-Shuruq.
George, Cherian. 2012. Freedom from the Press: Journalism and State Power in Singapore. Singapore: NUS Press
Hertz, Noreena. 2003. The Silent Takeover: Global Capitalism and the Death of Democracy. New York: Harper Business.
Khalid, Amr. 2006. `Ala Khuta ‘l-Habib S.`A.W. Beirut: Al-Dar al-`Arabiyyah li al- `Ulum.

Monday, September 17, 2012

PEMBINAAN BANGSA: DR SIDDIQ FADIL


MUKNAS-6

PEMBINAAN BANGSA: 
KEPELBAGAIAN DALAM BINGKAI KESATUAN

Siddiq Fadzil

(Amanat Pimpinan 2012,  Muktamar Nasional Keenam,
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia –WADAH,
15 September 2012/ 28 Syawal 1433)

Kali ini kita bermuktamar di tengah kehangatan iklim politik menjelang PRU13. Aturan main dalam sistem demokrasi berpilihan raya memang membolehkan kehadiran pelbagai parti dan persaingan antara parti dalam menawarkan khidmat yang lebih baik untuk rakyat.   Parti memang pelbagai, programnya juga beragam,  tetapi  semuanya bersatu dalam komitmen menjayakan prinsip dan nilai demokrasi yang bertunjang pada kuasa dan daulat rakyat.  Dalam masyarakat majmuk yang masih rapuh,   rakyat harus cukup cerdas, dewasa dan bijaksana menyikapi pelbagai kerenah perpolitikan antara parti agar tidak terseret ke  dalam silang sengketa yang memecah integrasi nasional atau keharmonian antara kaum.  Gejala pengeksploitasian sentimen perkauman harus diwaspadai demi memelihara  kerukunan hidup yang telah kita bina dengan susah payah.  Sikap dan tindakan racist  akan merosak  segala  yang telah kita usahakan selama ini.  Sikap  tidak waras seperti itulah yang secara metaforik diungkapkan dalam al-Qur'an:

                                       ولاتكونوا كالّتى نقضت غزلها من بعد قوّة أنكاثا،...

                      Janganlah kamu seperti  perempuan yang  mengurai kembali
                      tenunannya yang sudah siap menjadi terurai,  …(al-Nahl:92)  


Bangsa Malaysia:  Aspirasi dan Wawasan

Setelah 55 tahun merdeka,   kita masih bertanya apakah "bangsa Malaysia"  dalam erti yang sebenarnya sudah wujud secara nyata dan tuntas?    Memang ironis,  tetapi demikianlah kenyataannya,  selama berdekad-dekad kita hanya dapat berbicara tentang  warga negara Malaysia dan tentang perpaduan kebangsaan atau integrasi  nasional,  tetapi masih belum dapat dengan yakin dan pasti berbicara tentang  "bangsa Malaysia" sebagai suatu realiti.   Tentu ada alasannya apabila Rustam A.Sani,  seorang intelektual rakyat  menulis pada tahun 2006,  "Political events in Malaysia during the last few years have convinced me that Malaysia is just a state without nation  -or at least,  a state with several competing nations".  (Rustam A.Sani, 2008: 59).    Wawasan 2020  yang diungkapkan pada tahun 1991 meletakkan pembentukan bangsa Malaysia  di puncak urutan sembilan cabaran yang harus ditangani.   Hanya tinggal lapan tahun sahaja lagi untuk kita menyaksikan terlaksana atau tidaknya wawasan pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu,  "…sejahtera,  terintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompok etniknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan,  membentuk sebuah Bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut".

Harus diakui, membentuk bangsa memang tidak mudah, apa lagi dalam konteks Malaysia  dengan kemajmukan masyarakatnya yang berpangkal dari dasar "pecah-perintah"  era penjajahan Inggeris.     Latar sejarah yang sedemikian menjadikan integrasi nasional  yang dipupuk selepas kemerdekaan suatu yang sangat rapuh.  Hubungan antara kaum banyak diasaskan pada politik akomodasi dan kompromi.  Bagaimanapun pendekatan ini tidak selamanya dapat dilaksanakan dengan lancar kerana  politik tawar-menawar antara kaum itu selalu dilatari prasangka dan kecemburuan ras yang tebal.

Kesedaran tentang keperluan penggagasan faham berbangsa dan bernegara dalam konteks kemajmukan sebenarnya telahpun tumbuh seawal tahun-tahun 1940'an lagi.  Gabungan PUTERA-AMCJA dapat dirujuk sebagai wadah gerakan politik pelbagai kaum yang dengan serius menangani isu bangsa dan negara Malaya.  Gerakan   kerakyatan tersebut telah menghasilkan  Perlembagaan Rakyat (1947),  sebuah gagasan bersama yang mencerminkan  kesepakatan rakyat pelbagai kaum tentang  kehidupan berbangsa dan bernegara pada masa hadapan,  dan sekaligus penolakan kolektif terhadap perlembagaan Malayan Union tajaan penjajah.  Antara yang perlu dicatat sebagai pencapaian penting era tersebut ialah penggagasan nation of intent,  bangsa Malaya seluruhnya disebut Melayu.

Mengenai isu kebangsaan Melayu tersebut Dr.Burhanuddin al-Helmiy,  pemikir dan pejuang politik yang serius,  telah mengemukakan faham kebangsaan Melayu sebagai ideologi nasional,  ideologi pemersatu rakyat pelbagai kaum.   Sebagai ideologi nasional, faham kebangsaan Melayu dalam konteks ini tidak  bersifat eksklusif,  terbatas hanya untuk kelompok baka Melayu sahaja.  Sebaliknya, ia bersifat inklusif,  meliputi  golongan bukan dari baka Melayu yang telah putus hubungan dengan kebangsaan asal.        Ideologi nasional pembentuk kesatuan bangsa sebagaimana yang diungkapkan oleh Dr. Burhanuddin al-Helmiy itu ternyata memiliki kekuatan idea dan kekentalan semangat yang terumus dalam lima "rukun jiwa kebangsaan":  i. Ketuhanan Yang Maha Esa,  ii.  Kebangsaan,  iii.  Kedaulatan Rakyat,  iv.  Persaudaraan Sejagat, dan v.  Keadilan Masyarakat. (Kamaruddin Jaffar, 1980:113-121).

Sayang sekali,  pemikiran tentang gagasan bangsa yang terhasil dari perahan otak, kerjasama, toleransi  dan tentunya juga pengorbanan pelbagai golongan rakyat pejuang kemerdekaan itu tidak sempat teraktualisasi akibat tindakan supresif penjajah yang mempunyai agenda sendiri,  kepada siapa kemerdekaan akan diserahkan, dan bagaimana rupa masyarakat yang akan mereka tinggalkan.       Memang demikianlah kenyataannya,   Inggeris mewariskan masyarakat pelbagai kaum korban dasar pecah-perintah yang sangat  fragile, rapuh,  terpisah-pisah dan terkurung dalam kepompong budaya kaum masing-masing.   Pembentukan satu bangsa terasa suatu yang masih terlalu jauh.   Yang dapat dilakukan hanya sebatas mewujudkan perpaduan antara kaum yang disebut integrasi nasional  melalui beberapa dasar integratif seperti Bahasa Kebangsaan, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan kemudiannya Rukun Negara.     Dasar-dasar tersebut pada umumnya memang memiliki kekuatan integratif  yang boleh menjadi landasan proses pembinaan satu bangsa,  tetapi ketegasan  pelaksanaannya yang musim-musiman menjadikannya kurang  berkesan.  Dari semasa ke semasa  sikap dan perilaku racist atau perkauman sempit terus menggejala dan akhirnya memuncak pada peristiwa  tragik 13 Mei 1969.


Dasar-dasar Integratif:  Rukun Negara dan DEB

Tragedi berdarah konfik perkauman  tersebut  telah membangkitkan komitmen baru  untuk melakukan suatu societal engineering  menerusi mekanisme Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang disemangati Rukun Negara.        Perumusan Rukun Negara adalah untuk memberikan  set nilai dan  prinsip (Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, Kesopanan dan Kesusilaan)   sebagai landasan usaha mencapai perpaduan masyarakat,  memelihara cara hidup demokratik,  mencipta masyarakat adil dalam erti kemakmuran negara dinikmati bersama secara adil dan saksama,  menjamin sikap liberal terhadap tradisi budaya masyarakat yang kaya dan pelbagai,  dan membina masyarakat progresif berasaskan sains dan teknologi moden.

DEB adalah dasar  ekonomi  yang digubah untuk mencapai objektif integrasi nasional menerusi pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, dan penyusunan semula masyarakat untuk menghapuskan pengenalan kaum dengan peranan ekonomi.     Objektif sedemikian memang memiliki justifikasi faktual dan rasionalnya sendiri,  tetapi pelaksanaannya telah semakin mangaburkan objektif integrasi nasional apabila tindakan-tindakan affirmative DEB dipersepsikan sebagai dasar diskriminatif yang meng"anak emas"kan Melayu, dan sebaliknya  meng"anak tiri"kan kaum bukan Melayu.  Untuk mencapai sasaran peningkatan saham modal Melayu dari 2.5%  pada tahun 1970 kepada 30% pada tahun 1990, pemerintah telah mencipta kelompok kapitalis Melayu yang kaya raya.  Segelintir Melayu kroni mengaut kekayaan negara hingga menjadi kelompok super-kaya  atas nama masyarakat Melayu keseluruhannya yang rata-rata hanya menerima apa yang tersisa.  Kontroversi di sekitar DEB sebenarnya sudah timbul sejak  mula ia dilancarkan.   Seawal tahun 70'an,  kita yang ketika itu aktif dalam ABIM  sudah mengkritik pendekatan perkauman dan kapitalistik DEB.  Dalam mengakui keperluan membantu masyarakat Melayu,  bagi kita keutamaan harus diberikan kepada agenda membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum,  bukan mencipta kelas kapitalis Melayu.  Yang miskin bukan cuma Melayu,  di kalangan kaum Cina juga ada yang miskin, dan demikian juga kaum India.     Kritik dan protes  berterusan hingga ke hujung  tempoh DEB  yang  berakhir pada tahun 1990.   Pada era pasca DEB kita dapat menyaksikan kesan dan implikasi dasar tersebut  terutama terhadap matlamat perpaduan kaum.  Yang jelas DEB yang menyasarkan peningkatan  pemilikan saham modal Melayu menjadi 30%, hanya mampu mencapai 19%  (atau 22% menurut satu taksiran lain).    Sebahagian masyarakat Melayu memang begitu terobsesi dengan DEB sehingga beranggapan bahawa apa pun yang mereka capai adalah kerana DEB,  lalu mereka menuntut  penerusan dasar yang pro-Melayu itu.  Di pihak lain, timbul tuntutan dari kaum-kaum bukan Melayu agar kepentingan mereka yang selama ini diabaikan diberi perhatian khusus.  Sementara itu apa jua ketidakpuasan kaum bukan Melayu yang berkaitan dengan DEB  ditanggapi oleh sebahagian masyarakat Melayu sebagai gugatan terhadap  kepentingan mereka.  Ternyata DEB tidak membantu peningkatan perpaduan nasional.

Salah satu kesan menyolok dari DEB ialah peningkatan tahap ketidaksamaan (inequality) ekonomi  baik di kalangan sesama kaum Melayu mahupun di kalangan kaum-kaum lain.  Jurang di antara golongan the have – the have not – the have a lot  semakin luas.   Kemiskinan tidak terbasmi,  sementara yang  kaya, termasuk kelompok orang kaya baru tajaan DEB terus menimbun kekayaan tanpa memperhitungkan caranya,  bermoral atau tidak, dan tanpa kepedulian terhadap masyarakat awam bangsanya.   Sementara itu dasar ekonomi ini juga dilihat sebagai biang keladi mewabaknya pelbagai  gejala  fasad   -   kronisme, nepotisme,  rasuah, politik wang, pembaziran dan sebagainya.   Gejala  yang tampaknya  sudah tidak terkawal inilah yang menimbulkan protes   pelbagai pihak,  Melayu dan bukan Melayu.

Demikianlah realiti pasca-DEB yang meninggalkan tanda tanya besar tentang   sejauh mana  dasar ekonomi tersebut dapat merealisasikan matlamat Rukun Negara,  "Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya,  memelihara satu cara hidup demokratik,  mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama,  …"    Perumusan Rukun Negara adalah usaha penting  ke arah pembinaan bangsa yang terintegrasi dalam perkongsian prinsip dan nilai hidup.   Penghayatan prinsip Kepercayaan kepada Tuhan seharusnya dapat menjelmakan bangsa yang religius  dan tamadun  berketuhanan yang segala aspeknya  -  politik, ekonomi dan sosial  -  adalah faith based.  Prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara  seharusnya dapat membina bangsa yang terpadu di bawah naungan  raja dalam pengertian al-Imam al-`adil,  dan bersatu dalam baldatun tayyibah dengan  pengertian negara yang berkeadilan  dan berkebajikan.   Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang pula seharusnya dapat membina  bangsa yang tertib, berdisiplin dan bersatu dalam menegakkan keadilan rule of law;  sementara prinsip Kesopanan dan Kesusilaan seharusnya dapat membina bangsa beretika, berakhlak mulia,  terpadu dalam semangat saling hormat dan saling menyayangi.

Rukun Negara dengan semangat integratifnya yang sedemikian bukan sahaja tidak dimasyarakatkan secara berkesan, malah seringkali pula dilanggar dan diselewengkan.   Prinsip Kepercayaan kepada Tuhan   tidak diterjemahkan secara konsisten ke dalam dasar dan amalan hidup berbangsa dan bernegara. Kita belum benar-benar bebas dari pesona model pembangunan sekular Barat yang membina tamadun tanpa Tuhan (a civilization without God).   Program-program berunsur maksiat dan amalan yang bertentangan dengan nilai-nilai ketuhanan terus berleluasa tanpa kawalan yang bererti.   Prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara seringkali diselewengkan menjadi kesetiaan kepada parti pemerintah.   Prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang   kehilangan erti hakikinya akibat keruntuhan institusi kehakiman dan kepolisan.   Prinsip kesopanan dan kesusilaan pula semakin sering dicabul oleh amalan fitnah, caci-maki, politik samseng dan pelbagai bentuk kebiadaban lainnya.


Perpaduan Ummah dan isu Mentaati Uli 'l-Amri

Akhir-akhir ini telah timbul wacana di sekitar isu kepatuhan kepada uli 'l-amri.  Ramai yang melihat adanya motif tersirat dan agenda terselubung di sebalik  tema yang pada zahirnya ingin membawa umat bersatu dengan mematuhi uli 'l-amri.    Terlepas dari persoalan motif apa  dan untuk kepentingan siapa,  kita perlu menyikapi isu ta`at al-umara' secara ilmiah dan jujur.  Tidak siapa pun yang dapat menafikan perlunya kepatuhan kepada pemerintah demi menghindari disintegrasi bangsa.  Namun kepatuhan dalam konteks ini harus diletakkan dalam satu pakej bersama komponen-komponen lainnya,  terutama  keadilan pemerintah dan syura antara pemerintah dan rakyat.   Apabila segala persyaratan telah dipenuhi,  agama pun mewajibkan ta`at al-umara'   (mentaati pemerintah)  seperti yang di-nass-kan dalam ayat 59 surah al-Nisa':

                          يآأيّهاالذين آمنوا أطيعواالله وأطيعواالرسول وأولى الأمرمنكم

                                 Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah,
                                 taatilah  Rasul  dan  uli 'l-amri  (penguasa)   dari
                                 kalangan kamu.

Dalam kaitan ini perlu ditegaskan bahawa ketaatan kepada pemerintah bukan ketaatan yang mutlak.  Ia adalah taat yang bersyarat:  i.  Pemerintah melaksanakan syari`at, ii.  Pemerintah menegakkan keadilan terhadap rakyat, dan iii.  Pemerintah tidak menganjurkan  rakyat melakukan maksiat.

Ayat al-Nisa' di atas  menyebut kata taat dua kali, pertama pada Allah dan diulang pada Rasul.  Ini menunjukkan ketaatan kepada Rasul adalah mutlak, semutlak ketaatan kepada Allah.  Tetapi kata taat (ati`u) tidak diulangi ketika menyebut uli 'l-amri.  Ini mengisyaratkan ada di antara mereka yang tidak wajib dipatuhi sebagaimana yang dijelaskan pada ayat pelengkapnya,

                                          فإن تنازعتم فى شيء فردوه إلى الله والرسول

                          Jika kamu berselisih tentang sesuatu, rujukkanlah
                          kepada Allah (al-Qur'an)  dan Rasul  (al-Sunnah).

Mengenai ayat tersebut al-Tayyibiy mengatakan bahawa ia bermasud, "… jika mereka (pemerintah) tidak melaksanakan kebenaran (al-haqq) jangan patuhi mereka,  dan rujukkan apa yang kamu perselisihkan itu kepada hukum Allah dan Rasul-Nya".  Penjelasan sedemikian selaras dengan kenyataan Ibn Hajar dalam Fath al-Bari tentang jawapan sebahagian tabiin kepada sebilangan para penguasa (umara') Bani Umayyah yang menuntut ketaatan dengan berkata, "Bukankah Allah telah memerintahkan kalian mentaati kami dalam firman-Nya  wa uli 'l-amri minkum? Lalu dijawabnya, "Bukankah ia (ketaatan) telah dicabut diripada kamu?  Ia itu apabila kamu menyimpang daripada kebenaran dengan firman-Nya,  fa'in tanaza`tum fi shay'in farudduhu ila 'Llahi wa r-rasul…". (Abu Faris, Muhammad `Abd al-Qadir, 1984:67-73).   

Tidak sedikit ulama pendukung ketaatan mutlak (kepada pemerintah) yang berhujah dengan hadith dari Abu Hurayrah r.`a.,

                                من أطاعنى  فقد أطاع  الله،     ومن يعصنى  فقدعصى  الله.
                                ومن يطع الأمير فقد أطاعنى، ومن يعص الأمير فقدعصانى  
                              
                      Sesiapa yang taat kepadaku,  sesungguhnya  ia telah patuh
                      kepada Allah,  sesiapa yang mengingkariku sesungguhnya
                       ia  telah  mengingkari Allah.    Dan sesiapa yang  mentaati
                       amir (penguasa) sesungguhnya ia telah mentaati aku,  dan
                       sesiapa  yang  mengingkari amir,   sesungguhnya  ia  telah
                       mengingkari aku.      

Mereka menafsirkan hadith riwayat Muslim tersebut berdasarkan  zahir lafaznya yang seolah-olah membawa maksud kewajipan taat tanpa syarat kepada  amir,  semua amir, asal amir,  tidak kira baik atau jahat, adil atau zalim.  Mentaati amir betapa pun sifatnya bererti mentaati Rasul dan seterusnya bererti juga mentaati Allah.    Zahir lafaz hadith tersebut memang membawa pengertian taat mutlak seperti itu,  tetapi ia bukan satu-satunya hadith tentang isu taat al-umara'.   Sebenarnya orang yang sama (Abu Hurayrah r.`a.)  juga telah meriwayatkan hadith yang sama tetapi dengan perbezaan  lafaz yang mengkhusus dan membatasi  kemutlakan taat kepada amir,

                                 من أطاعنى فقد  أطاع الله،      ومن عصانى  فقد عصى   الله،
                                 ومن أطاع أميرى فقد أطاعنى، ومن عصى أميرى فقدعصانى.

                     Sesiapa yang mentaati aku,   sesungguhnya ia  telah  mentaati
                     Allah;   dan sesiapa  yang mengingkari aku,  sesungguhnya ia
                     telah mengingkari Allah.  Dan sesiapa yang mentaati  amirku
                     sesungguhnya  ia   telah   mentaati aku;    dan   sesiapa   yang
                     mengingkari  amirku, sesungguhnya ia telah mengingkari aku.

Hadith kedua yang juga diriwayatkan oleh Muslim itu jelas mengkhususkan ketaatan kepada amir tertentu,  iaitu amir yang dilantik oleh al-Rasul s.`a.w. sendiri (amiri), dan bukannya asal amir, adil atau zalim.    Andainya kedua-dua riwayat hadith ini dibaca serentak dengan kesimpulan riwayat kedua membatasi kemutlakan riwayat pertama,  isu ta`at al-umara'  dapat difahami dan diselesaikan dengan benar.

Sebagai penjelasan lanjut perlu dicatat bahawa latar pengungkapan hadith tersebut terkait  dengan peristiwa tertentu,  iaitu pengangkatan ketua tentera yang dilakukan oleh al-Rasul s.`a.w. sendiri  untuk memimpin  suatu peperangan.   Memang jelas yang dimaksudkan adalah amir lantikan Rasulullah s.`a.w. dalam konteks peperangan yang memerlukan tahap kepatuhan yang setinggi-tingginya.   Demikian juga dengan ayat ta`at al-umara'  (al-Nisa':59)  seperti yang diriwayatkan oleh Ibn `Abbas r.`a. bahawa latar penurunannya (sabab al-nuzul)  terkait dengan `Abd 'Llah  ibn hudhafah ibn Qays ibn `Adiy al-Sihamiy yang diutus oleh al-Rasul s.`a.w. dalam satu ekspedisi ketenteraan.

Hujah lain yang selalu dijadikan sandaran para pendukung ketaatan mutlak dan sekaligus pengharaman protes, demonstrasi dan pembangkangan ialah perintah bersabar dalam hadith yang diriwayatkan dari Ibn `Abbas,

                  من رأى من أميره شيئا يكرهه فليصبر،  فإنّه من فارق الجماعة شبرا، فمات،
                  فميتته جاهلية  ــ  رواه مسلم.

                   Sesiapa yang mendapati ada sesuatu yang tidak disenangi pada
                   amirnya hendaklah ia bersabar,   kerana sesungguhnya sesiapa
                   memisahkan diri dari jamaah walau seinci,  lalu ia mati,  maka
                   matinya adalah mati jahiliah. 


Yang menjadi persoalan adalah ungkapan "hendaklah ia bersabar"  (falyasbir),  sabar terhadap apa?   Sabar menerima  kezaliman pemerintah dengan tetap taat kepadanya?  Menurut para pendukung ketaatan mutlak memang demikianlah maksudnya.  Dalam kaitan ini Dr. Muhammad `Imarah memberikan penjelasan bahawa  perintah bersabar dalam hadith tersebut sebenarnya merujuk hal-hal yang tidak disukai oleh manusia seperti perang dan infaq,  bukan hal-hal yang bersifat pelanggaran syari`at.  Mungkin ada ketikanya pemerintah  meminta rakyat tampil  menyertai perang,  atau meminta mereka menyumbangkan harta  untuk dana pembiayaan sesuatu keperluan.  Hal-hal seperti itulah (yang umumnya tidak disenangi oleh manusia)  yang harus disikapi dengan sabar, patuh dan taat melaksanakan perintah. Mengingkari perintah dalam  situasi seperti itu bererti terkeluar dari jamaah,  dan pemerintah dalam konteks ini adalah bersama jamaah rakyat.   Demikianlah maksud sebenar  sabar  dalam hadith tersebut, yang ternyata  jauh dari erti menerima kezaliman dan mentaati pemerintah zalim.     Al-makruh (hal yang tidak disengangi) dalam hadith tersebut adalah sejenis dengan al-makruh yang disebut dalam ayat 216 surah al-Baqarah:

                          كتب عليكم القتال وهو كره لكم وعسى أن تكرهوا شيئاوهوخيرلكم،

                          وعسى أن تحبّوا شيئا وهو شرلكم،  والله يعلم  وأنتم  لاتعلمون.

                       Diwajibkan ke atasmu berperang,   meskipun ia suatu yang
                       kamu benci.  Mungkin kamu membenci sesuatu,  walhal ia
                       baik untuk kamu;   dan  mungkin  kamu  menyukai sesuatu
                       walhal  ia buruk untuk  kamu.   Hanya  Allah  sendiri yang
                       Tahu,  sedang kamu sebenarnya tidak tahu.

Al-makruh dalam ayat tersebut adalah peperangan (al-qital)  yang memang tidak disenangi oleh manusia umumnya (`Imarah, Muhammad, 2004:146-149). 

Mengenai pemerintah zalim, Dr.Muhammad `Abd al-Qadir Abu Faris dalam  bukunya al-Nizam al-Siyasiy fi al-Islam menyatakan bahawa apabila pemerintah melakukan kezaliman dan penindasan maka ia tidak lagi wajib ditaati.  Dengan demikian tidak wajib mentaati  al-umara' al-ja'irin (pemerintah zalim) kerana kezaliman adalah maksiat, dan orang zalim adalah orang yang mengingkari Allah dan Rasul-Nya.  Beliau lalu memetik hadith nabawi  riwayat Imam Ahmad dari Anas,

                                                     لاطاعة لمن لم يطع الله
                                 
                                Tidak boleh taat kepada orang yang tidak taat
                                 kepada Allah.
                                             
Ternyata ketaatan rakyat terkait erat dengan keadilan pemerintah.  Demikianlah kaitan yang cuba diserlahkan oleh al-Fakhr al-Raziy dalam penafsirannya terhadap ayat ta`at al-umara' (al-Nisa':59)  yang tidak seharusnya dipisahkan dari ayat sebelumnya (al-Nisa':58)  yang dengan tegas mewajibkan pemerintah memberikan hak kepada yang berhak dan melaksanakan keadilan terhadap rakyat. (Abu Faris, Muhammad `Abd al-Qadir, 1984:72-73).

Penafsiran sabar sebagai  penyerahan dan kerelaan terhadap kezaliman pemerintah berlanjut kepada penyifatan kritik, protes dan aksi pembangkangan sebagai penderhakaan,  dan seterusnya pelabelan para pelakunya sebagai bughah.   Persoalan tentang  al-baghy tidak seharusnya dibawa-bawa ke dalam wacana tentang perpolitikan antara parti dalam ystem demokrasi.   Al-Baghiy dalam istilah fiqh didefinisikan sebagai:

               المخالف للإمام العادل، الخارج عن طاعته بلامتناع عن أداء ما وجب عليه

                     Orang yang menentang imam yang adil, dan enggan mentaatinya
                     dengan tidak melaksanakan kewajipannya.

Al-Bughah dengan pengertian  pemberontak yang melawan pemerintah yang adil sebagaimana definisi tersebut memang golongan pelaku kemungkaran dan pencerobohan berbahaya yang harus diperangi. (Sandaqjiy: 1987:57).   Tetapi  golongan penderhaka seperti itu jelas tidak sama dengan pembangkang dalam politik demokrasi pelbagai parti.  Kehadiran pembangkang dan peranannya dalam sistem demokrasi  adalah sah,  baik dari segi undang-undang mahupun dari segi syara'.     Tidak hanya sah, malah menjadi suatu kewajipan keagamaan jika pembangkangan itu dilaksanakan dalam kerangka al-amr bi al-ma'ruf wa al-nahy `an al-munkar sebagaimana yang disebut dalam ayat 104,  surah Ali `Imran.   Dalam ulasannya tentang ayat tersebut  Zafir al-Qasimiy menyatakan,  "Jika mengkritik pemerintah tidak dapat dilakukan oleh semua orang, maka harus ada segolongan daripada mereka yang memberikan perhatian berat kepada perkara yang penting  ini dalam kehidupan umat,  kerana sesungguhnya lafaz minkum membawa makna sebahagian.  Atas dasar ini pembangkangan (al-mu`aradah) adalah wajib dalam Islam.  Dan kerana itu para fuqaha' Muslim berpendirian bahawa menyuruh kemakrufan dan mencegah kemungkaran atau pembangkangan adalah fardhu kifayah…" (Balqarad,  Abu Ahmad Muhammad,  2007: 35).

Dalam sistem demokrasi dengan segala aturan mainnya yang disepakati tidak timbul isu al-baghy dengan pengertian merampas kuasa secara tidak sah.  Semua peserta persaingan dalam sistem demokrasi sepakat menerima konsep penggiliran kuasa berdasarkan mekanisme pilihan raya.  Semua harus menerima hakikat bahawa pembangkang hari ini boleh menjadi pemerintah esok,  dan demikian pula sebaliknya parti pemerintah hari ini  boleh menjadi  pembangkang esok.   Mereka juga sepakat bahawa mandat pemerintahan adalah terbatas (lima tahun) dan harus dikembalikan kepada rakyat dalam tempoh tersebut.  Mereka harus menghormati hak rakyat memberikan mandat kepada mana-mana parti,   sama ada membaharui mandat kepada parti yang telah memerintah atau memberikannya kepada parti yang lain.  Perpolitikan antara parti harus dilihat sebagai persaingan menawarkan khidmat yang lebih baik dalam semangat fa 'stabiqu 'l-khayrat.

Dalam pilihan raya umum semua parti  harus sama-sama tampil sebagai parti yang menawarkan khidmat untuk dipilih oleh rakyat.  Dalam kaitan ini parti yang sebelumnya memegang tampuk pemerintahan harus tampil sebagai sebuah parti,  sama seperti parti-parti yang lain,  dan tidak boleh tampil sebagai kerajaan,  kerana mandat sebagai kerajaan telah tamat.  Andainya rakyat menolak parti yang telah memerintah sebelumnya,  mereka  bukan bughah atau penderhaka.  Justeru yang mereka tolak bukan sebuah kerajaan yang sah,  tetapi parti yang telah tamat mandatnya.  Mengekal atau mengganti kerajaan dalam sistem demokrasi  berpilihan raya adalah  suatu penterjemahan   hak rakyat untuk memilih pemerintah yang mereka redhai.  Kerana itu pilihan raya harus  bersih demi mempastikan keputusannya benar-benar jelmaan  hasrat dan kerelaan rakyat.  Justeru,  keredhaan rakyat adalah syarat legitimasi pemerintahan.  Demikianlah realisasi makna al-sha`b masdar al-sultah (rakyat sebagai sumber kuasa)  dalam pengertian rakyat yang berkuasa mengangkat, dan rakyat jugalah  yang berkuasa menurunkan.          

Andainya kita ingin komited dalam merealisasikan aspirasi Rukun Negara untuk "Memelihara satu cara hidup demokratik",   maka kita harus sanggup menjadi manusia demokrat yang jujur,  menghormati kepelbagaian, termasuk kepelbagaian parti politik dengan segala ragam aliran pemikirannya.    Parti-parti politik harus sanggup  kalah dalam pilihan raya demi memenangkan  prinsip dan idealisme demokrasi.  Cara hidup demokratik  aspirasi Rukun Negara jangan dikhianati dengan sikap dan perilaku yang tidak demokratik,  sanggup melakukan apa sahaja, yang penting menang!  Walaupun  dengan menginjak-injak  nilai, norma dan aturan main demokrasi yang sihat.   Sikap dan perilaku curang dan tidak demokratik itulah yang akan mengakibatkan disintegrasi bangsa.


Pembinaan Bangsa:  Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan

Pembinaan bangsa dalam konteks Malaysia harus berasaskan formula kepelbagaian dalam kesatuan.  Kita harus dapat bersikap positif, melihat dan menerima kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan sebagai sumber konflik,  sebaliknya sebagai aset kekuatan, kekayaan, kreativiti dan dinamika kemajuan.   Bangsa tidak dapat dibina menerusi formula melting pot atau kawah besar peleburan.  Tidak ada golongan yang rela jati dirinya dilebur.   Kebinekaan  atau keragaman budaya tidak menjadi masalah,  andainya ia diletakkan dalam bingkai keekaan atau kesatuan.   Formula kepelbagaian dalam kesatuan adalah selaras dan serasi dengan fitrah dan sunnatu 'Lah.  Tema inilah yang dihuraikan dengan cukup menarik oleh Dr.Muhammad `Imarah dalam bukunya, al-Islam wa al-Ta`addudiyyah:  al-Ikhtilaf wa al-Tanawwu` fi Itar al-Wihdah (Islam dan Pluralisme:  Perbezaan dan Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan).  Segala kewujudan yang kita saksikan pada alam dan kehidupan semuanya memancarkan hakikat kepelbagaian dalam kesatuan    --  keesaan Pencipta dengan kepelbagaian makhluk ciptaan-Nya;  kesatuan keinsanan dengan kepelbagaian bangsa, warna dan bahasanya;  kesatuan agama Allah dengan kepelbagaian syari`atnya;  kesatuan syari`at dengan kepelbagaian  fiqh, mazhab dan ijtihadnya. 

Fitrah sunnatu 'Llah berupa kepelbagaian  dalam bingkai kesatuan itulah yang diaplikasikan oleh Rasulullah s.`a.w. dalam pembinaan ummah negara Madinah sebagaimana yang tercermin dalam perlembagaan ulung Sahifah Madinah,  sebuah perlembagaan yang dilatari kepelbagaian kabilah, agama dan budaya warganya.   Lewat Sahifah tersebut  Rasulullah s.`a.w.  telah membentuk ummah:  ummah diniyyah (umat keagamaan)  dan ummah siyasiyyah (umat politik).   Ummah diniyyah bersifat  eksklusif  dan terbatas hanya untuk kaum Muslimin (annahum ummatun wahidatun min duni 'n-nas), sementara ummah siyasiyyah bersifat inklusif meliputi kaum Muslimin dan orang Yahudi  (wa anna Yahuda Bani `Awf ummatun ma`a 'l-Mu'minin).   Kata kunci dalam ungkapan pembentukan  ummah politik ini ialah kata ma`a (bersama) iaitu orang Yahudi bersama kaum Muslimin membentuk satu umat (umat Madinah).  Ungkapan ma`a  al-Muslimin (bersama kaum Muslimin), bukan min al-Muslimin (sebahagian daripada kaum Muslimin),  bererti bahawa masyarakat Yahudi tidak menjadi bahagian daripada umat (keagamaan) Islam,  tetapi  menjadi bahagian daripada umat (politik) Madinah  bersama dengan umat Islam. 

Peruntukan dalam Sahifah tersebut  jelas memberikan status kewarganegaraan penuh  (al-muwatanah al-kamilah)  kepada masyarakat Yahudi.   Sebagai warga umat dan negara Madinah status, hak dan tanggungjawab mereka sama dengan umat Islam.  Mereka bukan warganegara kelas dua.    Persamaan  hak dan tanggungjawab tersebut dicatat dengan ungkapan  li al-Yahud dinuhum wa li al-Muslimin dinuhum (Yahudi dengan agama mereka, dan kaum Mukminin dengan agama mereka).  Ertinyanya perlembagaan ini memberikan hak kebebasan beragama dan membenarkan para penganut pelabagai agama mengamalkan agama masing-masing dan mengekalkan jati diri keagamaan masing-masing.  Persamaan tanggungjawab pula dicatat dengan ungkapan wa anna al-Yahuda yunfiquna ma`a al-Mu'minin madamu muharibin (masyarakat Yahudi dan kaum Mukminin sama-sama membiayai  peperangan apabila negara Madinah diserang).  Hak dan tanggungjawab yang sama juga diberikan kepada kabilah-kabilah Arab yang ikut menjadi warga Sahifah Madinah.   Persamaan hak dan tanggungjawab kewarganegaraan antara Muslim dan bukan-Muslim itulah yang kemudiannya terumus dalam prinsip lahum ma lana, wa `alayhim ma `alayna (mereka berhak mendapat apa yang kita dapat,   dan memikul tanggungjawab yang sama kita pikul)   Demikianlah antara yang tercermin dalam Sahifah Madinah,  sebuah perlembagaan Islami yang disemangati kepelbagaian dalam bingkai kesatuan (al-tanawwu` fi itar al-wihdah).


Dhimmiy atau Warganegara?

Terdapat anggapan  bahawa Sahifah Madinah tidak dapat dijadikan model sebuah negara yang moden, lengkap dan terperinci.  Memang perlembagaan nabawi tersebut tidak digubal untuk tujuan itu.  Bagaimanapun ia tetap relevan sebagai contoh penterjemahan prinsip dan nilai kenegaraan al-Qur'an ke dalam bentuk sebuah perlembagaan sesuai dengan realiti zaman dan lingkungan.    Yang perlu dilihat bukan rinciannya,  tetapi prinsip-prinsip dan nilai-nilai dasarnya.  Dengan demikian   Sahifah Madinah tetap relevan sebagai acuan menangani masalah pluralisme  masyarakat,  termasuk isu persamaan status, hak dan tanggungjawab kewarganeraan antara Muslim dan bukan-Muslim.    Perlembagaan nabawi itulah yang menjadi rujukan Dr.Fathi Osman ketika membahaskan isu tanggungjawab warga bukan-Muslim dalam pertahanan negara.  Katanya,  "The military service may have some religious character for Muslims, but it meanwhile signifies national defense for nonMuslims.                      NonMuslims were allowed to share with  Muslims the responsibility of defending Medina in the Prophet's  Constitutional document which he drew up just after his migration  there.   This did not particularly work, but it cannot affect the validity of the principle."  (Fathi Osman, 2002:153).    Tentunya dari semangat Sahifah Madinah jugalah beliau mendapat keberanian mendukung prinsip  persamaan penuh (full equality) Muslim dengan bukan-Muslim dari segi hak dan tanggungjawab,

                      I do not think Muslims have  any legal problem  with regards
                      to full  equality with  non-Muslims  in rights and  obligations.
                      What emerged as the status of "dhimmis" (non-Muslims within
                      the Muslim state) was historically developed rather than built
                      in  the  permanent  laws of  the  Qur'an and  Sunnah.    Many
                      scholars,   including the Westerners,   admit that the status of
                      non-Muslims  in the  Muslim  world  during  the  Middle Ages,
                      was better  than  what the  Jews or other religious  minorities
                      received   in  the  Christian  countries  in  those   ages.      The
                      important   question is:   Are Muslims now ready to go further
                      to secure and sanction  full  equality for  the  non-Muslim with
                      them in a contemporary Islamic state?  When reservations and
                      "ifs"  and  "buts"  are  raised,   how  can Muslims  expect  that
                      non-Muslims   would  be  convinced  of,   or be  loyal  to,   the
                      concept  of  Islamic  state,    while they are offered full equality
                      without reservations in a secular democracy?    (Fathi Osman,
                      2002:152).
    

Perbincangan tentang  kewarganegaraan orang bukan-Islam selalu dikaitkan dengan status dhimmiy yang terkesan tidak disenangi oleh masyarakat bukan-Islam.   Sebenarnya telah ramai ulama dan sarjana Muslim yang menganggap pengkategorian tersebut sudah tidak relevan lagi.   Status  dhimmiy pada hakikatnya tidak membawa pengertian negatif  warganegara kelas dua.  Ia lebih membawa makna jaminan umat Islam untuk melindungi warga bukan-Islam dari sebarang bentuk penindasan.  Bagaimanapun dari segi hukum fiqh tidak ada halangan menggugurkan istilah dhimmiyyun untuk digantikan dengan istilah muwatinun.  Dr. Yusuf al-Qaradawiy mengatakan bahawa para fuqaha' silam  umumnya menganggap kaum dhimmiy sebagai ahl al-dar (warga negara Islam)  yang bererti mereka bukan orang asing.  Jika demikian mereka sebenarnya adalah ahl al-watan dan seharusnya disebut muwatinun sama seperti warga Muslim.     Seterusnya al-Qaradawiy menyarankan agar istilah-istilah tertentu dalam sejarah masa lalu seperti dhimmah dan ahl dhimmah dipadam sahaja dari kamus masa kini kerana tidak lagi dapat diterima oleh masyarakat bukan Islam.  Beliau berhujah bahawa Khalifah `Umar ibn al-Khattab r.`a. telah bersetuju memadam istilah yang lebih penting iaitu jizyah apabila kaum Nasrani Bani Taghlib meminta agar ia digantikan dengan istilah sadaqah. (Al-Qaradawiy, Yusuf, 2010:40-42).   Dari segi realitinya status dhimmiy sudah tidak ada sejak abad 19 (zaman Turki `Uthmani).  Mengenai fakta ini Al Ghunaimi menyebut,  "When sultan Abdel Majid issued the Khatti-Sherif of Gulhane, in 1839, proclaiming the principal of equality between the Muslims and the Christians, the classical legal status of the dhimmis, presumably, was to disappear."    (Al Ghunaimi, Mohammad Talaat, 1968:213).  


Pendidikan Wahana Integrasi Bangsa

Bagi rantau ini kepelbagaian dan kemajmukan sudah menjadi bahagian daripada sejarah dan kebudayaannya.   Hampir semua agama dan tamadun besar dunia  --   Islam, Kristian, Hinduisme, Buddhisme,  Konfusianisme    --   telah hadir dan hidup berdampingan dengan harmonis selama berabad-abad.    Keunikan  rantau ini  sebagai daerah terkaya dengan pengalaman dialog ketamadunan memberikan harapan dan optimisme kemampunan membina  kesatuan bangsa berlandaskan kalimatin sawa' dalam pengertian perkongsian suatu set nilai yang disepakati.

Pembinaan bangsa berasaskan nilai-nilai bersama sudah pasti memerlukan mekanisme yang berkesan.  Untuk itu pendidikan merupakan wahana nation building yang terbaik.  Justeru, esensi pendidikan  tidak lain adalah the transmission of values atau pemindahan nilai dari generasi ke generas.  Nilai-nilai yang diwariskan itulah yang membentuk watak bangsa.  Dalam konteks negara kita,  Falsafah Pendidikan Kebangsaan  adalah  pencitraan watak bangsa yang diaspirasikan,  "…rakyat  Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."    Yang selalu dipermasalahkan ialah soal sejauh mana kepedulian kita terhadap falsafah tersebut?    Apakah seluruh komponen pendidikan  --   kurikum, buku teks, pengajaran dan pembelajarannya mendukung matlamat pembinaan watak bangsa seperti yang dicitrakan?   Yang jelas obsesi pendidikan kita lebih tertumpu pada pencapaian prestasi akademik dan pembinaan kemahiran,  tanpa perhatian yang secukupnya pada aspek pembinaan watak.   Seorang penuntut yang membaca falsafah pendidikan tersebut akan berasa dirinya terkeluar dari kelompok manusia yang bercitra seperti itu.   Baginya manusia yang dicitrakan dalam Falsafah Pendidikan Negara itu adalah sejenis makhluk asing.


Mewaspadai Gejala Disintegrasi

Fenomena  mutakhir dalam sejarah perkembangan masyarakat majmuk di Malaysia mengisyaratkan  tumbuhnya kesedaran tentang  idealisme dan aspirasi bersama yang merentasi persempadanan kaum.   Mereka mulai bersatu memperjuangkan nilai-nilai  kemanusiaan, keadilan,  demokrasi dan integriti.  Mereka bersatu melawan gejala kebejatan:  kezaliman,  diskriminasi,   rasuah, kronisme, pembaziran, penipuan dan kecurangan.   Sebuah parti politik pelbagai kaum muncul  sebagai suatu kekuatan baru yang tidak boleh diremehkan.  Segala perkembangan tersebut memang membawa erti dan implikasi besar terhadap eksperimen menangani pluralisme di negara ini.  Namun cabaran-cabaran yang harus dihadapi  tidak sedikit dan tidak kecil.   Masa depan eksperimen penting ini akan banyak bergantung kepada kebijaksanaan dan kewibawaan para pemimpinnya dalam membina wawasan dan gagasan nasional  yang kuat, realistik dan meyakinkan.   Kegagalan memupuk persefahaman, toleransi dan pendewasaan politik di kalangan warga  parti-parti yang berkaitan akan menjadikan fenomena ini suatu perkongsian rapuh yang hanya didasari perkiraan-perkiraan politik pragmatik semata-mata.

Demikian perkembangan yang berlaku di satu pihak,  sementara di pihak lain kita menyaksikan usaha memperlihatkan komitmen membina kesatuan bangsa.  Di mana-mana ada slogan, simbol  dan retorik serba satu.   Tetapi pada masa yang sama  timbul pula gejala disintegrasi bangsa:  membangkitkan semangat perkauman,  menimbulkan rasa tidak selamat di kalangan masyarakat tertentu,  mengungkit-ungkit tragedi ngeri 13 Mei,  mengusung "fatwa" sembrono  menghukum segolongan rakyat sebagai kafir harbiy, membiarkan, kalaupun tidak menggalakkan,  tindakan-tindakan liar dan provokatif,  kekerasan,  keganasan dan kebiadaban.   Mudah-mudahan rakyat Malaysia cukup cerdas dan bijaksana menafsir dan menyikapi gejala baru:  politik pecah-perintah dan perintah memecah.

Semoga Allah berkenan mengurniakan kita petunjuk dan kekuatan  menjayakan eksperimen besar pembentukan bangsa berasaskan acuan Perlembagaan Madani:  kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.



Rujukan

Abu Faris, Muhammad `Abd al-Qadir. 1984.   Al-Nizam al-Siyasiy fi al-Islam. Beirut:
                    Dar al-Qur'an al-Karim.

Al Ghunaimi, Mohammad Talaat.  1968.  The Muslim Conception of International
                     Law and Western Approach. The Hague:  Martinus Nijhoff.

Al-Qaradawiy, Yusuf.  2010.  Al-Watan wa al-Muwatanah.  Kaherah:  Dar al-Shuruq.

Balqarad, Abu Ahmad Muhammad.  2007.  Mafhum al-Hizbiyyah al-Siyasiyyah wa
                     Hukmuha fi al-Islam.  Al-Mansurah:  Dar al-Kalimah. 

Huwaydiy, Fahmiy.  1999.  Muwatinun la Dhimmiyyun.  Kaherah: Dar al-Shuruq.

`Imarah,  Muhammad.  2004.  Al-Islam wa Huquq al-Insan: Darurat…La Huquq
.                      Kaherah: Dar al-Salam.

---------------------------  2008.  Al-Islam wa al-Ta`addudiyyah:  al-Ikhtilaf wa al-
                        Tanawwu` fi Itar al-Wihdah.

Kamaruddin Jaffar.  1980.  Dr.Burhanuddin al-Helmiy  --  Politik Melayu dan Islam.
                        Kuala Lumpur:  Yayasan Anda.

Osman,  Fathi, 2002.  Human Rights on the Eye of the 21st  Century:  Problem for
                        Muslim and Others. Dlm. ISLAMIC MILLENNIUM  vol.II, no.3-4,
                         special edition .  Jakarta:  IMFO-AMAN.

Rustam A.Sani. 2008. Failed Nations?  Concerns of a Malaysian Nationalist.
                        Petaling Jaya:  SIRD.

Sandaqjiy, Ibrahim ibn `Aliy (ed.).  1987.  Kitab Qatl Ahl al-Baghy min al-Hawi al-
                        Kabir Ta'lif Abi al-Hasan `Aliy ibn Muhammad ibn Habib al-
                        Mawardiy. Kaherah:  Matba`at al-Madaniy.

Sharifah Zaleha Syed Hasan & Ong Puay Liu (ed.).  2012.  Pluralism in Malaysia and
                        Singapore:  Essays on Issues and Challenges.  Bangi:  Institute of
                        Ethnic Studies, Universiti Kebangsaan Malaysia. 

 Siddiq Fadzil, 1995.  Pembinaan Bangsa Malaysia:  Antara Wawasan Nasional dan
                        Aspirasi Islam.  Kertas kerja Kongres Cendekiawan Melayu iv.
                        UKM, Bangi.

KDH:13092012