Intipati Perjuangan -
Ucapan Penutup Muzakarah Qiyadah ke 5 – Dr Siddiq Fadil
Idealisme Perjuangan
Kita berada untuk membina kekuatan rijal melalui kaedah tarbiyyah dan perkaderan. Kekuatan itu datang
daripada pertolongan Allah s.w.t. dan kualiti umat Islam – kualiti mu’minin. Dia (Allah) memperkuatkan engkau dengan
pertolongan-Nya (pertolongan Allah) dan dengan orang yang beriman. (surah
:8, ayat: 62) Inilah dua factor kejayaan… bi
nasrihi wa bil mu’minin.
Golongan al mu’minin seperti mereka yang berada di
sekeliling Rasulullah s.a.w. Gelaran seperti al qawiyul amin (merujuk kepada Nabi Musa a.s.) dan hafizun alim (merujuk kepada Nabi Yusuf
a.s.) serta banyak lagi.
Perjuangan kita bertitik tolak daripada satu idealisme.
Dalam keadaan mana pun idealism ini tidak boleh mati. Komitmen kepada idealisme
itu menjadi sebab kita ingin membawa perubahan – menjadi agen perubahan. Kita
ingin berubah bagi melaksana idealisme perjuangan.
Sejauh mana kita guna idealisme ini untuk didokongi orang-orang
muda dan para pelajar kerana pada usia inilah mereka mempunyai idealisme yang
cukup tinggi. Kerana idealisme itulah kita membuat perubahan. Tanpa idealisme
buat apa kita inginkan perubahan?
Ada kematian idealism pada sebuah pertubuhan. Mereka ini
menjadi alat bagi mempertahankan kebobrokan. Persatuan itu melakukan kesilapan
strategi besar kerana menyokong regim yang korup. Mereka mengkompromi idealisme
dan mengkhianati perjuangan.
Kesempatan ini harus diambil supaya gerakan Islam yang tulen
memenangi persaingan. Kesempatan ini perlu diambil demi menyelamatkan generasi
muda bagi mengekalkan idealism perjuangan.
Kenapa dikatakan mereka mengkhianati perjuangan? Sebabnya
adalah mereka bukan saja menyokong parti
korup tetapi parti itu merupakan budaya yang merosakkan umat – budaya
kezaliman, budaya fitnah, budaya rasuah, budaya diskriminasi…
Nama parti itupun telah dijadikan dan dimomokan sebagai
sesuatu yang jelek. Mana mungkin gerakan muda Islam mendokong budaya buruk
seperti ini. Apa telah jadi kepada idealism perjuangan mereka? Sebenarnya,
persatuan ini telah melakukan satu kesalahan yang fatal.
Gerakan Massa
Ada pergerakan Islam yang mempunyai dilemma di antara samada
menjadi gerakan eksklusif atau gerakan massa ( lebih terbuka dan inklusif).
Kita tidak pernah ada dilemma seperti ini. Kita mesti bersifat massa – jamahiriyyah. Pergerakan massa terbuka,
inklusif dan mempunyai golongan teras – safwatul
mukhtarah.
Perkaderan itu penting. Dana juga cukup penting. Tetapi
kekuatan kita adalah komitmen kepada perjuangan – ikhlas dalam perjuangan – itu
yang membawa keberkatan.
Harus diingat babak bersejarah dan terpenting pada abad ke
20 adalah kebangkitan Islam dan perubahan yang dibawa. Siapa yang mendanainya,
siapa yang membiayainya? Tidak ada kekuatan dana atau tokoh korporat. Kerana
yang bangkit dan berjuang hanyalah anak-anak muda yang tidak ada apa-apa –
namun itulah yang mencipta sejarah.
Betapa banyak badan-badan yang kaya raya tetapi tidak ada
usaha dan tidak ada pencapaiannya. Oleh itu, jangan tunggu dana semata-mata,
buat sebaik mungkin kerana yang ikhlas itulah yang membawa keberkatan.
Berpuluhan tahun gerakan ini disaingi, disabotaj, dihijack dan menghadapi pelbagai karenah
serta gangguan. Kita masih mempunyai keyakinan bahawa sesiapa yang ikhlas dalam
perjuangan, itulah yang diterima oleh Allah swt sebagai amal yang ikhlas – mujahidin dan mukhlasin.
Ada sekolah-sekolah kita didiskriminasi sedangkan lain-lain
memperolehi bantuan. Gerakan ini pun sudah didiskriminasi. Namun dengan
semangat juang, ini tidak akan memberikan kesan apa-apa pun. Bantuan kewangan
kalau ada bagus, kalau tidak ada pun tidak mengapa. Gerakan kita berjaya bukan
dari bantuan penguasa.
Kita ingin katakan begini:-
Andai yang ditahan itu memang hak kita, maka itu satu
kezaliman.
Andainya kita tidak berhak ke atas pemberian itu, kita
ridha, kerana itu memang bukan hak kita.
Tetapi kalau itu hak kita dan ia disekat, diselewengkan,
maka setiap sen akan melaknat mereka yang menghalangnya daripada sampai kepada
yang berhak.
Intipati Gerakan
Substance kita
adalah ilmu, fikrah dan komitmen perjuangan. Dengan pertolongan Allah swt, kita
akan survive selama mana kita
mempunyai substance – keilmuwan, pemikiran
dan komitmen – keazaman perjuangan. Sunnatullah……Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala
benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi.
Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan. (Surah : 13, Ayat :
17)
Jika bangkit semata-mata berdasarkan emosi, ia akan lekas
lenyap.
Inshallah, gerakan
ini akan survive – mempunyai
kelangsungan selagi mana memberikan manfaat kepada manusia…wa amma ma yan fa unnas. Di tengah-tengah gelanggang ini mampukah
kita terus memberikan manfaat kepada manusia, manfaat kepada Islam dan umat?
Kita selamat selagi kita menjadi aset dan bukan liabiliti kepada umat.
Namun, Islam mengajarkan kita bahawa bukan sahaja kita harus
mempunyai substance tetapi perlu
tampil dengan meyakinkan. Bekas atau packaging
yang tidak menarik akan tidak terjual. Oleh itu bukan cuma substance tetapi juga penampilan – presentation.
Pencitraan wadah kita – imej – harus meyakinkan, memikat dan
memukau. Lihat hadith kedua dari matan
arba’in karya Imam al Nawawi. Selama ini kita menangkap tiga mesej utama
iaitu Islam, Iman dan Ihsan tetapi mukadimah hadith ini pun perlu kita
perhatikan iaitu penampilan Jibril a.s. - ….tiba-tiba
muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih,
berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda
musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya….
Inilah yang dinamakan penampilan iaitu bukan semata-mata
penyampaian mesej tetapi penampilan penyampaian yang impresif. Tidak wajar lagi
penampilan yang lekeh dan tidak bermaya.
Kualiti Kepimpinan
Pada akhirnya, kita ingin membina kepimpinan yang
berkualiti. Adakah kita telah meletakkan set standard yang tinggi yang tidak
mampu untuk dicapai, dipertahankan dan menyusahkan orang yang terkemudian? Standard
ini adalah boleh dicapai – achievable
– dengan melebarkan dan memperluaskan ilmu supaya tidak berkisar dan berbicara
disiplin khusus masing-masing sahaja tetapi meliputi syariah dan pemikiran
Islam bagi aliran yang bukan berasal pendidikan agama.
Musalahah
Kita menyokong usaha-usaha konsolidasi dalaman gerakan
tetapi di samping konsolidasi itu harus ada musalahah
– reconciliation. Musalahah dengan kawan-kawan dan rakan-rakan yang
terpisah akibat sesuatu yang telah berlalu pada masa dahulu. Masa telah berlalu
dan harapannya telah timbul ketenangan dan kedamaian. Kita harus berusaha
supaya gerakan kita terus membesar bukan mengecil.
Carilah jalan kemungkinan untuk musalahah – perpaduan – setelah berlalunya masa kecuali mereka yang
telah melakukan kesalahan jenayah syariah yang tidak terampun seperti qazaf.
Sejarah
Adalah sangat perlu supaya samada ahli, kader dan pimpinan
mengetahui dan memahami sejarah perjuangan gerakan. Sejarah dianggap sebagai
alat penting oleh tokoh-tokoh pengurusan – history
as a leadership tool – bagaimana mengetahui sejarah dan mengetahui
bagaimana untuk memanfaatkan sejarah.
Sejarah bukan remeh atau mudah dipandang enteng oleh
setengah orang – apa erti sejarah – nostalgia
of irrelevant details – mengingati peperangan yang telah berlalu.
Apabila timbul isu pertikaian dan ada yang tidak menghormati
pandangan syura, maka kita tidak hairan dan tidak terkesan kerana kita
mempunyai sejarah dan pengalaman dalam perkara yang sama sebelum ini. Kita
mampu menghadapinya.
Sejarah kita penting dan kita perlu hasilkan karya atau
memoir yang dapat merekodkan catatan perjalan perjuangan gerakan. Baru-baru ini
ada kuliah seorang professor Barat tentang sejarah tanah air yang terperinci
tetapi bab kebangkitan Islam hanya sekadar kisah Kaum Muda sahaja. Babak
terpenting kebangkitan Islam dan pemuda serta pelajar sekitar 60’an-80’an tidak
dinyatakan olehnya dan ini menimbulkan reaksi hangat audien termasuk pengerusi
forum tersebut.
No comments:
Post a Comment