Showing posts with label ABIM. Show all posts
Showing posts with label ABIM. Show all posts

Sunday, April 7, 2013

Dr Siddiq Fadil: Pencerahan dan Pencerdasan Rakyat – Ini Kali Lah.



Kali ini kita memberikan perhatian paling serious. Paling ramai sahabat-sahabat akan turun ke medan pertarungan. Seperti kata-kata dialek Sabah, “Ini kali lah”. Mereka yang turun itu bukan calang-calang alang kepalang. Kali ini kita tidak bermain-main – kita bersungguh-sunggguh.

Ramai kehadirannya ini memberikan kita harapan. Sehingga disangkakan jangan-jangan ini kali saja peluang seperti ini akan tiba. It is now or never. Kita tidak akan tahu bagaimana di masa depan. Now is the best time. Sudah tentu kita mengharap masa depan yang lebih baik tetapi kita tidak tahu dan mungkin tidak akan berlaku keadaan sebegini lagi pada waktu itu.

Kita tampil pada saat kita diperhitongkan oleh orang. Kalau tidak, tidak mungkin bekas pimpinan kita akan digunakan diakhbar dan diikuti pula dengan seorang lagi. Ini bermakna kita tidak boleh diremehkan kerana bekas pimpinan ini tidak akan selaku itu dan seorang lagi tidak akan selaris itu.

Kita tampil pada saat kekuatan dipandang orang. Peranan kita adalah pembentukan pemikiran – tugas seorang da’i – pendakwah. Peranan yang sesuai dengan nama kita iaitu cerdas dan kritis. Kerana tiada erti demokrasi jika ia berlaku dalam siri kebodohan rakyat. Regim korup mengekalkan kuasa dengan memperalatkan dan mendapatkan sokongan golongan lemah berfikir dan orang yang lemah ekonomi. Secara langsungnya, ini bermakna yang memanjangkan usia regim adalah kemiskinan dan kejahilan. Regim begini amat takut kepada kecerdasan dan pemikiran kritis.

Begitulah propaganda, penyebaran maklumatnya diisi. Itulah balasannya bagi orang-orang yang bertahun-tahun membaca akhbar dan utusan media perdana. Berdosa kita jika kita mengarusperdanakan akhbar dan media ini kerana dada akhbar-akhbar ini menyebarkan fitnah dan melemahkan pemikiran.

Bagaimana mungkin berlakunya regime survival dengan mengekalkan kebodohan dan kemiskinan?

Mereka cukup takut dengan rakyat yang mandiri, orang yang bebas, kritis dan bebas menilai. Mereka tidak dapat buat apa-apa kepada orang Melayu kelas menengah kerana orang ini tidak bergantung lagi kepada pemerintah. Orang Melayu begini tidak hairan dengan pemberian BR1M atau dihulur beberapa ringgit pun.

Inilah tugas kita sebagai gerakan pencerdasan umat, pencerahan rakyat agar menjadi kritis dan mampu menilai sendiri.

Kita inginkan persaingan politik yang seimbang. Satu sistem dwi parti yang boleh bertukar ganti. Dengan sistem ini nasib rakyat akan lebih baik, lebih terbela jika ada pilihan tukar menukar. Bukan 50 tahun lagi dengan yang sama dan diterima sebagai taken for granted. Jangan sampai tidak ada langsung pillihan alternatif – “sudahnya rakyat akan memilih kita juga, kerana tidak ada alternatif”. Politik keseimbangan ini adalah maslahah umat dan ini akan memastikan rakyat sentiasa terbela.

Pembangkang hari ini boleh menjadi pemerintah esok dan begitulah sebaliknya. Itulah demokrasi yang ideal kerana sebenarnya tiada istilah pembangkang/ pemerintah. Istilah pembangkang sudah tidak relevan pada perkembangan politik masakini. Pembangkang di Pusat mungkin saja menjadi pemerintah di negeri dan begitulah pula ada yang di sebaliknya. Pemikiran sempit dan pandangan dangkal yang suka memomok dan memandang serong pembangkang serta penyokong mereka wajar dihentikan.

Begitulah juga dengan penjelasan cetek seorang Timbalan Menteri semasa membahaskan takrif kafir harbi dan kafir dhimmy dengan membayangkan parti tertentu di negeri tertentu di dalam persekutuan yang sama ada yang harbi dan ada yang dhimmy menurut di mana lokasi orang itu berada – suatu pandangan yang tidak masuk akal.

Sebenarnya, itu adalah fikiran semalam – yesterday’s politics dan politik lama bukan politik baru. Politik lama sangat suka membayangkan non-Muslim sebagai adversary – seteru atau disangsi. Pendokong politik lama tetapi bernama Arus Baru cenderung untuk menyamakan lantikan wakil rakyat seperti larangan awliya’ padahal melantik wakil rakyat bukan serupa melantik imam atau amir. Kita perlu kepada kefahaman fiqh yang jitu, mendalami fiqh al mu’asir seperti dianjurkan Profesor Yusuf al Qaradawi– fiqh kontemporari mengenal kaedah siasah dengan perkembangan zamannya.

Wakil rakyat adalah wakil untuk kawasan-kawasan tertentu dan orang yang terpilih yang akan menjadi jurubicara umat. Sekiranya dilantik menteri Non Muslim pun, kerajaan Abbasiyah telah melantik mereka sebagai menteri padahal pada masa itu umat Islam kuat dan ramai.

Pada hakikatnya, Malaysia tidak boleh diperintah bersendirian tanpa sokongan kedua-dua Muslim dan Non Muslim. Itulah kebijaksanaan pelaksanaan tahaluf siasiy (Pakatan Politik).

Kita lihat kepada hujah berikut sebagai contoh:-
Sekiranya kaum bukan Muslim di dalam pakatan politik menepati janji mereka seperti mengibar bendera Parti Islam, mengundi calon Parti Islam – bolehkah kita pula tidak menepati janji kita kepada mereka kerana mereka telah tunaikan janji mereka dan tidak mengkhianati kita?

Begitulah hujah Tok Guru bahawa selama ini rakan kita dalam Pakatan tidak pernah khianati kita, kenapa kita tidak setia dalam Pakatan kita? Setia kepada janji itu adalah etika dan pegangan utuh dalam Islam.

Tahaluf siasiy adalah berasaskan persefahaman dan perjanjian dengan Non Muslim secara terhormat. Sepertimana dilihat pada seerah Rasulullah s.a.w., pakatan Hilf al Fudul adalah pakatan di kalangan orang-orang Musyrikin Makkah sebelum datangnya Islam, pakatan bagi membela dan melindungi  golongan lemah – mustadhafin dan menegakkan keadilan dan memelihara keamanan. Rasulullah s.a.w. mengatakan seandainya dipanggil untuk menyertai pakatan seperti Hilf al Fudul, baginda s.a.w. akan menyahut tujuan itu.

Pada konteks Malaysia, kalau bersama-sama dalam satu kesefahaman berasaskan prinsip ,moral dan keadilan, kita layanilah dengan baik. Kita seharusnya tidak lagi melihat Non-Muslim di Malaysia sebagai dhimmiyun. Mereka adalah muwatinun – warganegara dan tidak patut jika mereka tidak diwakilkan pada badan-badan perwakilan di dalam sistem demokrasi. Prinsip yang di rujuk adalah mabda al usul – sebagai sesama warganegara, hak dan tanggungjawab -- Muslim dan bukan Muslim - - pada asasnya adalah sama. 

Demikianlah ketetapan yang berasaskan prinsip: lahum ma lana, wa `alayhim ma `alayna (mereka berhak mendapat apa yang kita dapat, dan mereka memikul tanggungjawab yang sama kita pikul). Agama memang tidak menghalang memberikan pelayanan yang baik dan adil kepada warga bukan Muslim, andainya mereka tidak memperlihatkan sikap permusuhan dan penentangan terhadap kaum Muslimin.



Thursday, April 4, 2013

SAHABAT SEJATI




ku sudah merasa
sakit dan kesukarannya
terjatuh kubangkit jua
terus melangkah
ku tidak mengambil endah
walaupun ada yang menghina
keringat kucurah
demi harapan rakyatnya
(Pasti Kau Ingin, EXIST)



Tuduhan oleh seorang tokoh yang mengaku pernah menjadi sahabat Anwar Ibrahim, pada satu forum yang disiarkan akhbar Utusan berlegar tentang salahlaku moral (yang disangkal sebagai Qadhaf – jenayah menuduh tanpa bukti), menganuti pluralisme (tuduhan penyamaan agama berdasarkan satu ucapan) dan menjadi penyokong Yahudi serta mengutamakan agenda Barat. Tuduhan-tuduhan liar yang basi dan lama yang masih diputar terus menerus.

Satu perkara yang mungkin terlepas daripada pandangan ex –sahabat ini adalah dia sendiri yang membuat keputusan memutuskan persahabatan itu. Tidak ada rekod di mana-mana bahawa Anwar Ibrahim memutuskan persahabatan dan mengkhianati kawan-kawannya.

Kenapa agaknya media regim dan agen-agennya mereka tergamak dan terdorong berkempen besar-besaran untuk menonjolkan dan menggembar-gemburkan pengakuan bekas sahabat ini meninggalkan Anwar?  Satu kelebihan Anwar Ibrahim adalah kelebaran jaringan persahabatannya yang unik, akrab dan lingkaran jejak kenalannya boleh dikesan di serata dunia. Kekuatan karisma inilah yang  ingin dieksploit secara songsang - reverse psychosis dan dengan kaedah yang amat jelek bagi menjatuhkan  pula karakternya melalui pengakuan sahabatnya sendiri.

Kedua, tuduhan salahlaku moral yang sungguh mengaibkan bagi Anwar Ibrahim yang juga merupakan kekuatannya terkenal kerana Anwar dengan sahsiah unggul, kedudukan pendirian moralnya, kehormatan keluarganya dan pegangan prinsipnya. Ketegasan Al Qur’an dan al Sunnah tentang kewaspadaan menuduh orang baik-baik, kedudukan Shariah menentang fitnah dan kejelasan hukum serta ancaman hadd terhadap jenayah qadhaf juga ingin dicabar atau diketepikan saja melalui acara pendedahan seorang  bekas sahabat.

Ketiga, tuduhan terhadap iltizam agamanya, pengetahuan mendalam, komitmen tinggi dan identiti diri peribadi Anwar dengan perjuangan Islam, gerakan kebangkitan Islam, pemikiran Islam dan kemampuannya mentadbir negara majmuk dan plural. Seluruh usaha Islamisasi, pembangunan institusi, membangunkan falsafah pendidikan sepadu. iktikad dan kewibawaannya memimpin umat ingin dipadamkan semata-mata dengan kata-kata nista seorang bekas sahabat.

Keempat, tuduhan terhadap Anwar yang memang terkenal dan konsisten berjuang menentang kezaliman Israel bahkan menentang kezaliman mana-mana pihak terhadap rakyat yang ditindas, diceroboh samada Bosnia, Afghanistan, Iraq, Patani, Mindanao dan Rohingya atau lain-lain. Persahabatan rapatnya dengan pemimpin pejuang Palestin terdiri daripada semua faction – kumpulan baik Hamas atau Fatah dan komitmen tegar selama ini kepada perjuangan Palestin ingin dipadamkan dengan hanya dengan percakapan seorang bekas sahabat.

Kelima, tuduhan perhubungan sulit dengan Barat, kerana keupayaannya mengadakan perhubungan, talian diplomatik dan mendapat pengiktirafan antarabangsa samada di bidang agama, sosial, ekonomi, kewangan dan politik. Padahal kekuatannya adalah keterbukaannya, kemampuannya membina rangkaian kenalan merentas nasionaliti, kekuatan hujah, kepetahan berbahasa, kepandaian sastera, menggarap filosofi, keupayaan pengolahan dan mengartikulasi pelbagai isu serta cakna permasalahan semasa. Pendekatan pertengahan - wasatiyyah dan berprinsip yang bukan ala Taliban dan juga bukan Pak Turut Barat, yang membawa wajah Islam dengan pendekatan yang bermaruah dan mampu berdialog melibatserta secara konstruktif – constructive engagement, ingin dilenyapkan oleh tuduhan bekas sahabat.

Semua tuduhan-tuduhan ini dianjurkan semata-mata untuk meragukan dan mengelirukan umat serta rakyat daripada mempercayai tentang keikhlasan, kejujuran dan ketulusan seorang pemimpin masakini yang dikatakan sahabat seperjuangan dan seangkatan selama 30 tahun lamanya. Semuanya menggunakan psikologi songsang - memalingkan kebaikan dengan menyerang ciri-ciri kebaikan itu.

Daripada zaman persekolahannya, di peringkat remaja, diceritakan menaiki skooter ke Sekolah Izuddin Shah mencari dan menemu rakan-rakan demi perjuangan- sebagai contoh - semasa memimpin pelajar, rakan-rakan MC Old Boys, mahasiswa dan Alumni UM, persatuan, belia, gerakan, WAMY, IIFSO, FOSIS, ISNA, sesama tahanan ISA pelbagai bangsa, ulama dan tok-tok guru, seperti Baba Salleh, Sheikh al Zuhaily, al Faruqi, al Attas, menyertai inter faith dialogue, bishop-bishop, pemikir-pemikir luar seperti Esposito, ahli strategi, pelbagai aliran pemikiran, tokoh-tokoh politik, UMNO, PAS, DAP, social democrat, korporat, ada yang berbangsa Yahudi, ahli bisnes, ahli kabinet Indonesia, orang Melayu , Cina, India, Iban, Kadazan - semuanya dijadikannya rakan.

Bayangkan pada awal 80’an Raja Qatar memesan kepada Dr Yusuf Al Qaradawi supaya datang ke sini bagi menemuinya sebagai seorang pemimpin muda gerakan syabab Islam di Malaysia. Persahabatan di antara mereka berdua cukup bermakna dan berkekalan sehingga hari ini dan telah banyak mempengaruhi dan menjayakan gerak kerja kebangkitan umat, mempertautkan ukhuwwah, mengukuhkan pendekatan wasatiy, hubungan Islam peringkat antarabangsa dan usaha islah kontemporari. Inilah contoh persahabatan sejati. Begitulah juga dengan al marhum Ustaz Fadzil Noor yang istiqamah mempertahankan dan membela Anwar sejak tahanan ISA tahun 70’an, kena fitnah dan tahanannya pula di Sg Buloh sehingglah dia pulang ke rahmatullah. Itulah sahabat yang terpuji. Semoga Allah swt sentiasa merahmati.

Memang boleh saja muncul seorang bekas sahabat datang menuduh skandal yang berat tanpa bukti tetapi akan ada lebih banyak lagi sahabat-sahabat  di sisi Anwar Ibrahim samada seorang tokoh, orang awam atau orang kampung, baik Muslim atau Non Muslim yang akan membela dan lebih setia kepada persahabatan dan prinsip.

Ex sahabat itu pada satu ketika pada tahun 1995 pernah berbisik di satu program kem bina negara bahawa dia mengetahui komplot dan konspirasi untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim yang pada waktu itu sedang menaiki tangga TPM bersama Team Wawasannya. Dia mendedahkan maklumat tentang surat-surat beracun yang sengaja disebarkan bagi menjatuhkan sahabatnya.

Tentu ex-sahabat ini ingat kata-katanya sendiri berupa perumpamaan dan  bidalan seperti “Jangan kencing berdiri atas papan, nanti terpercik” – supaya tidak gopoh gapah dalam politik. Juga, andaiannya bagaimana untuk menakhoda bahtera apabila dialun ombak dan dilanda badai, “Kita berlayar ketepian pantai, kemudian kita undur semula bagi mengelak badai, menelusuri alunan ombak supaya nanti selamat berlabuh.”

Begitulah nasihat dan kata perangsangnya sebelum datangnya ribut sebenar yang melanda. Ujian sebenar yang tiba pula bukan calang manusia mampu menghadapinya dengan penuh keberanian dan kesabaran walaupun setinggi mana keilmuannya.

Apabila pada suatu ceramah awal era Reformasi, Anwar melaungkan kata-kata masyhur “lawan tetap lawan” dan “ kalau takut risiko, jangan bicara perjuangan”, banyak penyokong-penyokong terkenal seperti Zahid, Ezam, Roslan, Lokman, Ghani dan pemuda-pemuda ketika itu bertempek, bersorak dan bertakbir bersemangat. Ketika itu Anwar mengingatkan hadirin bahawa apabila melangkah ke medan perjuangan, perlu benar-benar melangkah mengharungi onar dengan  sepenuh iltizam kerana melangkah itu nyata bukan lagi hanya hasrat di hati sahaja.

Ini terbukti apabila tidak semua sanggup bertahan di dalam tahanan ISA walaupun selama 10 hari sahaja. Ada ketua pemuda kecundang dan patah semangat tersungkur mengaku kalah dalam tempoh yang begitu singkat. Ada ahli intelek yang dihina begitu rupa sehingga apabila bebas keluar mengecut memencilkan diri dan berpaling tadah. Ramai yang menjadi serik untuk menyertai perjuangan kerana baru tersedar bahawa itulah jalan yang ditempuhi dan dibayar pula harga yang mahal mencalar maruah, menggangu jiwa serta mencelarukan pemikiran. Pengalaman ngeri dan menakutkan sedemikian meninggalkan memori pahit yang bakal menghantui diri kecuali pada jiwa kental diri seorang pejuang.

Ada yang pada awalnya berdegar-degar tetapi tewas akibat tekanan sempit hilang kemewahan dan habis keselesaan. Siapa sangka bekas tokoh korporat terpaksa berniaga direct selling jual agar-agar di bonet kereta selepas ceramah untuk sara hidupnya. Ada yang kecundang disebabkan umpanan, termakan budi dan janji sehingga terikat kepada agenda menyalak dan acara tibai-menibai apabila diarah. Ada yang rebah kerana dendam dan dengki. Ada yang tertiarap apabila menjangkakan tiada lagi laluan mudah bagi kemenangan. Mereka ini semuanya pernah menjadi sahabat tetapi tidak dapat mengerti atau mengisi erti persahabatan bersama seorang pejuang.

Bagaimana mungkin ketokohan dan keilmuwan tidak menghalang bekas sahabat ini terjerumus ke lembah kejahilan dan permusuhan tetapi itulah yang berlaku depan mata kita sekarang?

Bekas sahabat ini barangkali boleh berbangga mengisytihar kepada media massa dengan dia meninggalkan dan mencemuh nama baik sahabat lamanya. Tetapi lebih banyak lagi sahabat-sahabat setia dari segenap pelusuk dunia dan rakyat jelata yang rela bersama pejuang yang sejati tak kira apa tohmahan dan label yang digunakan bagi memburukkan watak yang pada mereka lebih mereka kenali.

Kita yakini orang-orang benar bersama kita. Kita yakini Allah swt bersama orang-orang benar.

Sunday, March 31, 2013

DR SIDDIQ FADIL: HADITHAT AL-IFK: FITNAH BESAR PENCEMARAN MARUAH



TM64 : Kuliah Tafsir Maudu'iy
HADITHAT AL-IFK: FITNAH BESAR PENCEMARAN MARUAH
(Menghayati Pesan-pesan Ilahi dalam surah al-Nur: 11-21)





11. Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan Dengan kesalahan Yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar Dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di Akhirat).

12. sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".

13. sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang Yang dusta.

14. dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa Yang besar disebabkan kamu turut campur Dalam berita palsu itu; -

15. Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan Dengan mulut kamu akan sesuatu Yang kamu tidak mempunyai pengetahuan Yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara Yang besar dosanya.

16. dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi Kami memperkatakan hal ini! Maha suci Engkau (Ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli Rumah Rasulullah)! ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan".

17. Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.
18. dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

19. Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan Yang buruk Dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa Yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).

20. dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (Kalaulah tidak kerana) Bahawa Allah amat melimpah belas kasihanNya, (tentulah kamu akan ditimpa azab Dengan serta-merta).

21. Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa Yang menurut jejak langkah Syaitan, maka Sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan Yang mungkar. dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha mengetahui


Latar Penurunan Ayat:

Ayat-ayat tersebut merujuk peristiwa yang menimpa `Aishah r.`a. apabila difitnah oleh kaum munafiqin konon beliau telah melakukan perbuatan keji dengan Safwan ibn al-Mu`attal r.`a., seorang sahabiy yang menemukannya sendirian kerana ditinggalkan oleh rombongan ekspedisi ketenteraan yang telah selesai menindak Bani al-Mustaliq pada tahun 5-6H. Ketika memberangkatkan kenderaan berkhemah yang dinaiki `Aishah r.`a., para petugas menyangka beliau sudah berada di dalamnya. Mereka tidak menyedari bahawa ketika itu `Aishah r.`a. berada di luar khemahnya kerana mencari kalungnya yang tercicir. Setelah menjumpainya, didapati rombongan telah berangkat, lalu `Aishah r.`a. menunggu di tempatnya dengan harapan para petugas akan menyedari ketiadaannya dan kembali mengambilnya. Malam semakin larut lalu `Aishah tertidur hinggalah pada pagi keesokan harinya beliau ditemukan oleh Safwan, orang terakhir pulang yang ditugaskan meninjau lapangan andainya ada sesuatu yang ketinggalan. Menemukan `Aishah dalam keadaan seperti itu, Safwan mempersilakan `Aishah r.`a. menaiki haiwan tunggangannya, sementara beliau sendiri menuntun haiwan kenderaan tersebut dengan berjalan kaki. Peristiwa itulah yang dilihat oleh Abdullah ibn Ubay sebagai kesempatan untuk dieksploitasi sedemikian rupa sehingga merebaknya fitnah skandal yang menggemparkan masyarakat Madinah.

Huraian Maksud Ayat:

Al-Qur'an mendedahkan fakta bahawa pelaku angkara al-ifk (fitnah dan pembohongan besar) itu, bukan seorang atau dua orang individu, tetapi sekumpulan (`usbah) yang berkongsi matlamat dan cita-cita jahat. Memang yang menjadi ringleadernya adalah ketua munafiqin, tetapi dari segi hukum ia dianggap warga masyarakat Islam berdasarkan sikap zahirnya, kerana itu mereka disebut minkum (dari kalangan kamu). Bilangan mereka sebenarnya tidak ramai, tetapi bahayanya cukup besar. Ia adalah sebahagian daripada usaha memerangi Islam oleh musuh-musuh yang tidak mampu berhadapan secara jantan, lalu berkomplot mereka-reka fitnah character assassination, mengaib dan menyerang peribadi. Fitnah yang direkayasa oleh Abdullah ibn Ubay, pemuka kaum munafiqin Madinah itu disambut oleh sekumpulan warga masyarakat Islam yang naif dan lemah, lalu tersebar luas sehingga menggegarkan masyarakat madinah selama hampir sebulan.

Pada zahirnya memang peristiwa tersebut begitu mendera dan menyakitkan, terutama bagi keluarga Rasulullah s.`a.w. dan keluarga Abu Bakr al-Siddiq r.`a., juga Safwan ibn al-Mu`attal, seorang sahabiy muhajir, mujahid yang terkenal dengan kebaikannya. Bagaimana tidak sakit, mereka adalah orang-orang terhormat, pemimpin yang kekuatannya terletak pada keluhuran peribadi dan integriti moral. Tetapi al-Qur'an segera mengingatkan hakikat bahawa di sebalik derita yang menyakitkan itu ada hikmah kebaikannya (Jangan kalian sangka ia semata-mata keburukan, sebaliknya ada kebaikannya bagi kalian). Yang tersirat di balik ayat tersebut adalah jaminan Tuhan, "Kamu mendapat pahala besar dari kejahatan mereka itu, terserlahnya kasih dan pemeliharaan Allah terhadap `Aishah r.`a. dengan membersihkannya dari fitnah lewat ayat-ayat Ilahi yang akan terus-menerus dibaca hingga kiamat, dan ketegasan ancaman Tuhan terhadap sesiapa yang mencemarkan maruah kamu". Memang fitnah yang dibongkar dan didedahkan biang keladinya lebih baik daripada fitnah yang tersebar dalam senyap tanpa diserlahkan hakikatnya. Pendedahan fitnah seperti yang terungkap dalam ayat-ayar al-Nur ini menyerlahkan kejahatan pelakunya dan membuktikan kebersihan mangsanya. Yang beruntung dalam isu ini adalah mangsa yang terbukti bersihnya, dan yang rugi adalah pelaku fitnah yang terbongkar konspirasinya. Keadaan seperti inilah yang diekspresikan dalam ungkapan Melayu, "senjata makan tuan!".

Tidak siapa pun akan terlepas daripada balasan Tuhan. Setiap orang yang bercakap tentang isu ini dan menuduh Umm al-Mu'minin `Aishah r.`a. melakukan perbuatan scandalous yang mengaibkan, akan ditimpa azab, masing-masing mengikut kadar keterlibatan mereka dalam isu fitnah tersebut. Azab yang paling besar akan ditimpakan ke atas ringleader yang mendalangi konspirasi jahat itu. Dialah (Abdullah ibn Ubay) yang menjadi punca sebahagaian besar bencana fitnah tersebut. Dalang konspirator itu ditimpa azab berat (`adhabun `azim) duniawi-ukhrawi. Di dunia terdera dengan pendedahan belang kemunafikannya, di samping pengusirannya dari masyarakat umat; dan di akhirat terlempar ke gaung neraka lapisan terbawah.

Bertolak dari premis tersebut Allah s.w.t. mendidik umat yang sebahagiannya telah terlibat dalam isu fitnah tersebut lewat sembilan pesan peringatan keras:

1. Ketika mendengar cerita karut kelompok konspirator fitnah tentang `Aishah r.`a. seharusnya mereka bersangka baik terhadapnya sebagaimana yang dituntut oleh iman. Justeru, iman selamanya menuntut sikap bersangka baik terhadap sesama kaum mukminin sebagaimana yang diisyaratkan lewat kata al-mu'minun wa al-mu'minat dalam ayat 12 tersebut. Sebagai kaum beriman seharusnya mereka spontan menolak fitnah ke atas Sayyidatina `Aishah r.`a. itu dengan berkata, "Ini dusta nyata!" (hadha ifkun mubin!), rekaan tukang fitnah tentang peristiwa terbuka yang sebenarnya tidak diragukan oleh siapa juga yang menyaksikannya. `Aishah r.`a. dibawa dengan kenderaan Safwan ibn al-Mu`attal r.`a. di tengah benderang siang, dilihat oleh seluruh angkatan tentera Islam dan disaksikan sendiri oleh Rasulullah s.`a.w.. Andainya perbuatan aib telah berlaku, tentunya ia dilakukan secara sulit dan tersembunyi. Demikianlah cara terbaik menyikapi isu seperti itu, iaitu dengan merujuk suara hati yang beriman. Jika seorang mukmin awam pun tidak tergamak melakukan perbuatan sekeji itu, maka lebih tidak masuk akal ia dilakukan oleh isteri Rasulullah s.`a.w. dan sahabatnya yang terkenal baiknya.

2. Setelah langkah pertama bertanyakan hati nurani sendiri, barulah masuk ke langkah kedua menuntut bukti nyata yang kuat. Orang yang membuat tuduhan seberat itu seharusnya mengemukakan empat orang saksi sebagai pembuktian kebenaran tuduhan mereka. Apabila ternyata tidak ada saksi, di sisi hukum Allah para pelakunya dianggap pendusta yang jahat. Sekali Tuhan mengatakannya pendusta (hum al-kadhibun), ia tidak akan berubah dan tidak akan ditarik balik selamanya.

3. Fitnah sedemikian itu adalah suatu kejahatan serius yang membawa padah yang fatal andainya tidak kerana kurnia rahmat Allah di dunia dan akhirat. Kurnia rahmat Allah di dunia berupa kesempatan bertaubat, sementara kurnia rahmat-Nya di akhirat berupa pengampunan terhadap dosa-dosa manusia. Kalau tidak kerana kurnia rahmat tersebut, nescaya ditimpakan-Nya azab serta-merta. Kata lawla dalam ayat tersebut bererti terhindarnya sesuatu (azab) kerana adanya sesuatu yang lain (kurnia rahmat Allah). Demikianlah umat generasi tersebut mendapat pengajaran pahit untuk mengerti betapa besarnya rahmat Tuhan yang meliputi semua, termasuk mereka yang telah telanjur melakukan kesalahan.

4. Lewat ayat 15 al-Qur'an memberikan gambaran suatu masyarakat yang sedang ditimpa krisis nilai dan etika, ketika lidah tidak terkawal dan akal sihat tidak berfungsi. Kalaulah tidak kerana kurnia rahmat Allah nescaya mereka sudah ditimpa azab pada saat mereka melafazkan kata-kata fitnah, ketika bertanya tentangnya, ketika memanjang-manjangkan berita bohong yang mereka tidak mengetahui hakikatnya, dan ketika menyangka bahawa ia adalah soal kecil dan remeh, walhal di sisi hukum Allah ia adalah kesalahan serius dan dosa besar kerana telah mencemarkan kemuliaan rumah-tangga Rasulullah s.`a.w dengan fitnah skandal yang sedemikian keji. Ayat 15 tersebut menyenaraikan tiga kesalahan (dosa) yang telah mewajarkan para pelakunya ditimpakan azab: a. mulut dan lidah yang menyebut (bertanya dan menyampaikan) fitnah jahat itu kepada orang lain, b. bercakap tentang sesuatu yang tidak diketahui (tanpa bukti), dan c. menganggap kecil (tahsabunahu hayyinan) suatu yang hakikatnya besar dan serius di sisi Allah (wa huwa `inda 'Llahi `azim). Ternyata qadhaf (menuduh orang melakukan zina) adalah termasuk dosa besar. Hakikat besarnya dosa perbuatan tersebut tidak berubah (menjadi kecil) semata-mata kerana kejahilan pelakunya yang menyangka ia soal kecil. Kerana itu setiap yang haram harus disikapi dengan serius kerana berkemungkinan ia termasuk dosa besar (al-kaba'ir). Dalam peristiwa Hadithat al-Ifk, hukum hudud qadhaf telah dilaksanakan ke atas pelaku-pelakunya: Hamnah bint Jahsh, Hassan ibn Thabit dan Mastah ibn Athathah.

5. Pendidikan adab dan disiplin seterusnya (selepas bersangka baik terhadap sesama kaum mukminin) ialah bersikap tegas dengan lafaz tasbih (subhanak)ketika mendengar berita bohong itu, lalu berkata, "Tidak sewajarnya kami mengucapkan kata-kata kotor yang mencemarkan maruah dan kehormatan Rasulullah s.`a.w., mustahil isteri Nabi s.`a.w. melakukan perbuatan keji seperti itu, dan ini jelas suatu pembohongan besar dan suatu kejahatan menyakiti Nabi s.`a.w.!". Memang hati yang beriman seharusnya spontan melenting dan memprotes pada saat mendengar fitnah jahat sedemikian, lidah yang beriman tidak sanggup mengucapkan kata-kata tentang hal seperti itu dan tidak rela menjadikannya bahan perbincangan. Mukmin tulen akan bergegas menghadap Allah s.w.t. menyucikan-Nya dari kemungkinan membiarkan Rasul-Nya ditimpa aib sedemikian rupa. Masyarakat mukmin sejati akan serta-merta melemparkan fitnah jahat itu jauh-jauh dari kedamaian, kemurnian dan keluhuran iklim iman dan taqwa.

6. Satu lagi peringatan dari Allah s.w.t., yang disampaikan dalam nada mendidik dan mentarbiyah yang sangat mengesankan, ya`izukum (menasihati kamu), jangan sekali-kali mengulangi apa yang terjadi dalam peristiwa hadithat al-ifk sepanjang hayat dan selama-lamanya, andainya kamu benar-benar manusia mukmin yang beriman kepada Allah, beriman dengan syari`at-Nya, memuliakan Rasul-Nya s.`a.w., melaksanakan pertintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Sikap mematuhi nasihat Ilahi dalam ayat ini dikaitkan langsung dengan iman (in kuntum mu'minin). Justeru, orang beriman tidak akan mengulangi kesalahan yang telah jelas akibatnya seburuk itu. Lewat ayat-ayat firman-Nya, Allah s.w.t. telah menjelaskan hukum-hakam syari`at-Nya, adab dan disiplin keagamaan dan kemasyarakatan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang baik untuk hamba-hamba-Nya, Maha Mengetahui segala yang berlaku di kalangan mereka, lalu membalas setiap orang berdasarkan apa yang telah dilakukannya. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana dalam menentukan hukum-hakam syari`at-Nya, Maha Bijaksana dalam mengurus kehidupan makhluk-Nya, dan Maha Bijaksana dalam mewajibkan apa yang membawa kebahagian mereka di dunia dan akhirat.

7. Disiplin atau adab ketiga yang dipesankan oleh Allah s.w.t. ketika mendengar cerita fitnah seperti itu agar jangan menyebarkannya, dan malah jangan menginginkan ia tersebar. Mereka yang terlibat dalam penyebaran dan penyiaran berita zina di kalangan kaum mukminin akan menerima azab yang pedih di dunia dan akhirat (lahum `adhabun alimun fi al-dunya wa al-akhirah). Di dunia mereka merasakan kepedihan hukuman qadhaf (lapan puluh kali sebatan), dan di akhirat nanti mereka akan dibakar dalam api neraka. Manusia jangan berlagak tahu tentang hakikat sesuatu, sumbernya hanyak maklumat yang serba terbatas, berita yang tidak jelas hujung pangkalnya atau hanya dakwaan orang-orang yang sakit hati. Malulah kepada Allah yang Maha Tahu tentang hakikat segala sesuatu (wa 'Llahu ya`lamu wa antum la ta`lamun). Kalau mahu selamat, kembalikan dan serahkan segalanya kepada Allah Yang Maha Tahu. Dalam kaitan ini Prof. Dr. Wahbah al-Zuhayliy mencatatkan ayat 19 surah ini menyebut bahawa adanya keinginan (sekadar keinginan) tersebarnya berita zina (al-fahishah) sudah cukup untuk mewajarkannya ditimpa azab, apa lagi jika benar-benar telah bertindak menyebarkannya. Sudah pasti lebih besar dosanya dan lebih dahsyat hukumannya. Menurut al-Zuhayliy lagi, punca keinginan keji agar fitnah zina tersebar luas adalah dendam, kebencian dan nafsu meninggi diri. kedengkianlah yang mendorong pendendam seperti  Abdullah ibn Ubay melakukan pencemaran maruah dan pencabulan kehormatan dengan sangkaan perbuatan itu akan menjadikannya tampak hebat, mulia dan berwibawa. Ibn Ubay dan mereka yang sejenisnya boleh bermimpi semahunya, tetapi Allah tetap dengan hukum dan hukuman-Nya: menimpakan azab duniawi-ukhrawi ke atas para pelaku qadhaf.

8. Allah s.w.t. mengulangi peringatan-Nya, kalaulah tidak kerana kurnia rahmat-Nya (wa lawla fadlu 'Llahi `alaykum wa rahmatuhu), nescaya kamu sudah binasa ditimpa azab-Nya, tetapi Tuhan Maha Pengasih, Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya. Tuhan masih bersedia menerima taubat mereka yang ingin kembali kepada Allah setelah telanjur dalam isu al-ifk ini. Tuhan masih berkenan menunjukkan jalan pulang dan jalan kebaikan, dengan memperingatkan bahaya sikap berterusan melakukan perbuatan terkutuk mencemarkan kehormatan keluarga dan rumah-tangga Nabi s.`a.w.

9. Dengan kurnia rahmat-Nya, Tuhan menunjukkan jalan selamat bagi kaum mukminin seluruhnya iaitu dengan menjauhi jalan dan laluan syaitan, juga jangan mendengar bisikan dan saranannya kerana syaitan hanya membawa satu motif: menyuruh melakukan kekejian dan kemungkaran. Demikianlah ketika syaitan merangsang mereka mendengar dan mempercayai fitnah al-ifk dan seterusnya mendorong mereka menyebarkannya. Sekali lagi pada ayat 21 Tuhan mengulangi peringatan-Nya, kalaulah tidak kerana kurnia rahmat-Nya (wa lawla fadlu 'Llahi `alaykum wa rahmatuhu) dengan membuka pintu taubat dan pengampunan-Nya, nescaya tidak akan ada orang yang dapat membersihkan diri daripada dosa, tidak akan ada orang yang dapat melepaskan diri dari belenggu syirik, budaya keji dan kebejatan moral. Dan andainya itu terjadi, akibatnya tidak lain adalah kebinasaan ditimpa azab. Berkat kurnia rahmat-Nya manusia bejat yang bergelumang dosa boleh berubah menjadi manusia zakiy, manusia yang mencapai kebaikan yang diredhai Allah. Demikianlah Maha Penyayangnya Tuhan yang berkenan membersihkan sesiapa yang dikehendakai-Nya kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar suara hati mereka yang ikhlas ingin bertaubat dari perbuatan keji yang telah mereka lakukan selama ini.



Monday, December 31, 2012

Dr Siddiq Fadzil: Intipati Perjuangan

Intipati Perjuangan - Ucapan Penutup Muzakarah Qiyadah ke 5 – Dr Siddiq Fadil

Idealisme Perjuangan

Kita berada untuk membina kekuatan rijal melalui kaedah tarbiyyah dan perkaderan. Kekuatan itu datang daripada pertolongan Allah s.w.t. dan kualiti umat Islam – kualiti mu’minin. Dia (Allah) memperkuatkan engkau dengan pertolongan-Nya (pertolongan Allah) dan dengan orang yang beriman. (surah :8, ayat: 62) Inilah dua factor kejayaan… bi nasrihi wa bil mu’minin.

Golongan al mu’minin seperti mereka yang berada di sekeliling Rasulullah s.a.w. Gelaran seperti al qawiyul amin (merujuk kepada Nabi Musa a.s.) dan hafizun alim (merujuk kepada Nabi Yusuf a.s.) serta banyak lagi.

Perjuangan kita bertitik tolak daripada satu idealisme. Dalam keadaan mana pun idealism ini tidak boleh mati. Komitmen kepada idealisme itu menjadi sebab kita ingin membawa perubahan – menjadi agen perubahan. Kita ingin berubah bagi melaksana idealisme perjuangan.

Sejauh mana kita guna idealisme ini untuk didokongi orang-orang muda dan para pelajar kerana pada usia inilah mereka mempunyai idealisme yang cukup tinggi. Kerana idealisme itulah kita membuat perubahan. Tanpa idealisme buat apa kita inginkan perubahan?

Ada kematian idealism pada sebuah pertubuhan. Mereka ini menjadi alat bagi mempertahankan kebobrokan. Persatuan itu melakukan kesilapan strategi besar kerana menyokong regim yang korup. Mereka mengkompromi idealisme dan mengkhianati perjuangan.

Kesempatan ini harus diambil supaya gerakan Islam yang tulen memenangi persaingan. Kesempatan ini perlu diambil demi menyelamatkan generasi muda bagi mengekalkan idealism perjuangan.

Kenapa dikatakan mereka mengkhianati perjuangan? Sebabnya adalah mereka  bukan saja menyokong parti korup tetapi parti itu merupakan budaya yang merosakkan umat – budaya kezaliman, budaya fitnah, budaya rasuah, budaya diskriminasi…

Nama parti itupun telah dijadikan dan dimomokan sebagai sesuatu yang jelek. Mana mungkin gerakan muda Islam mendokong budaya buruk seperti ini. Apa telah jadi kepada idealism perjuangan mereka? Sebenarnya, persatuan ini telah melakukan satu kesalahan yang fatal.

Gerakan Massa

Ada pergerakan Islam yang mempunyai dilemma di antara samada menjadi gerakan eksklusif atau gerakan massa ( lebih terbuka dan inklusif). Kita tidak pernah ada dilemma seperti ini. Kita mesti bersifat massa – jamahiriyyah. Pergerakan massa terbuka, inklusif dan mempunyai golongan teras – safwatul mukhtarah.
Perkaderan itu penting. Dana juga cukup penting. Tetapi kekuatan kita adalah komitmen kepada perjuangan – ikhlas dalam perjuangan – itu yang membawa keberkatan.

Harus diingat babak bersejarah dan terpenting pada abad ke 20 adalah kebangkitan Islam dan perubahan yang dibawa. Siapa yang mendanainya, siapa yang membiayainya? Tidak ada kekuatan dana atau tokoh korporat. Kerana yang bangkit dan berjuang hanyalah anak-anak muda yang tidak ada apa-apa – namun itulah yang mencipta sejarah.

Betapa banyak badan-badan yang kaya raya tetapi tidak ada usaha dan tidak ada pencapaiannya. Oleh itu, jangan tunggu dana semata-mata, buat sebaik mungkin kerana yang ikhlas itulah yang membawa keberkatan.
Berpuluhan tahun gerakan ini disaingi, disabotaj, dihijack dan menghadapi pelbagai karenah serta gangguan. Kita masih mempunyai keyakinan bahawa sesiapa yang ikhlas dalam perjuangan, itulah yang diterima oleh Allah swt sebagai amal yang ikhlas – mujahidin dan mukhlasin.

Ada sekolah-sekolah kita didiskriminasi sedangkan lain-lain memperolehi bantuan. Gerakan ini pun sudah didiskriminasi. Namun dengan semangat juang, ini tidak akan memberikan kesan apa-apa pun. Bantuan kewangan kalau ada bagus, kalau tidak ada pun tidak mengapa. Gerakan kita berjaya bukan dari bantuan penguasa.

Kita ingin katakan begini:-
Andai yang ditahan itu memang hak kita, maka itu satu kezaliman.
Andainya kita tidak berhak ke atas pemberian itu, kita ridha, kerana itu memang bukan hak kita.
Tetapi kalau itu hak kita dan ia disekat, diselewengkan, maka setiap sen akan melaknat mereka yang menghalangnya daripada sampai kepada yang berhak.

Intipati Gerakan

Substance kita adalah ilmu, fikrah dan komitmen perjuangan. Dengan pertolongan Allah swt, kita akan survive selama mana kita mempunyai substance – keilmuwan, pemikiran dan komitmen – keazaman perjuangan. Sunnatullah……Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan. (Surah : 13, Ayat : 17)

Jika bangkit semata-mata berdasarkan emosi, ia akan lekas lenyap.

Inshallah, gerakan ini akan survive – mempunyai kelangsungan selagi mana memberikan manfaat kepada manusia…wa amma ma yan fa unnas. Di tengah-tengah gelanggang ini mampukah kita terus memberikan manfaat kepada manusia, manfaat kepada Islam dan umat? Kita selamat selagi kita menjadi aset dan bukan liabiliti kepada umat.

Namun, Islam mengajarkan kita bahawa bukan sahaja kita harus mempunyai substance tetapi perlu tampil dengan meyakinkan. Bekas atau packaging yang tidak menarik akan tidak terjual. Oleh itu bukan cuma substance tetapi juga penampilan – presentation.

Pencitraan wadah kita – imej – harus meyakinkan, memikat dan memukau. Lihat hadith kedua dari matan arba’in karya Imam al Nawawi. Selama ini kita menangkap tiga mesej utama iaitu Islam, Iman dan Ihsan tetapi mukadimah hadith ini pun perlu kita perhatikan iaitu penampilan Jibril a.s. - ….tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya….

Inilah yang dinamakan penampilan iaitu bukan semata-mata penyampaian mesej tetapi penampilan penyampaian yang impresif. Tidak wajar lagi penampilan yang lekeh dan tidak bermaya.

Kualiti Kepimpinan

Pada akhirnya, kita ingin membina kepimpinan yang berkualiti. Adakah kita telah meletakkan set standard yang tinggi yang tidak mampu untuk dicapai, dipertahankan dan menyusahkan orang yang terkemudian? Standard ini adalah boleh dicapai – achievable – dengan melebarkan dan memperluaskan ilmu supaya tidak berkisar dan berbicara disiplin khusus masing-masing sahaja tetapi meliputi syariah dan pemikiran Islam bagi aliran yang bukan berasal pendidikan agama.

Musalahah

Kita menyokong usaha-usaha konsolidasi dalaman gerakan tetapi di samping konsolidasi itu harus ada musalahah – reconciliation. Musalahah dengan kawan-kawan dan rakan-rakan yang terpisah akibat sesuatu yang telah berlalu pada masa dahulu. Masa telah berlalu dan harapannya telah timbul ketenangan dan kedamaian. Kita harus berusaha supaya gerakan kita terus membesar bukan mengecil.

Carilah jalan kemungkinan untuk musalahah – perpaduan – setelah berlalunya masa kecuali mereka yang telah melakukan kesalahan jenayah syariah yang tidak terampun seperti qazaf.

Sejarah

Adalah sangat perlu supaya samada ahli, kader dan pimpinan mengetahui dan memahami sejarah perjuangan gerakan. Sejarah dianggap sebagai alat penting oleh tokoh-tokoh pengurusan – history as a leadership tool – bagaimana mengetahui sejarah dan mengetahui bagaimana untuk memanfaatkan sejarah.

Sejarah bukan remeh atau mudah dipandang enteng oleh setengah orang – apa erti sejarah – nostalgia of irrelevant details – mengingati peperangan yang telah berlalu.

Apabila timbul isu pertikaian dan ada yang tidak menghormati pandangan syura, maka kita tidak hairan dan tidak terkesan kerana kita mempunyai sejarah dan pengalaman dalam perkara yang sama sebelum ini. Kita mampu  menghadapinya.

Sejarah kita penting dan kita perlu hasilkan karya atau memoir yang dapat merekodkan catatan perjalan perjuangan gerakan. Baru-baru ini ada kuliah seorang professor Barat tentang sejarah tanah air yang terperinci tetapi bab kebangkitan Islam hanya sekadar kisah Kaum Muda sahaja. Babak terpenting kebangkitan Islam dan pemuda serta pelajar sekitar 60’an-80’an tidak dinyatakan olehnya dan ini menimbulkan reaksi hangat audien termasuk pengerusi forum tersebut.

Sunday, September 2, 2012

UCAPAN DASAR WADAH PULAU PINANG: Dr Wan Salim Mohd Noor





UCAPAN DASAR PENGERUSI WADAH PENCERDASAN UMAT (WADAH) PULAU PINANG pada MUKTAMAR WADAH NEGERI PADA 2 SEPTEMBER 2012 Ustaz Dr Wan Salim Mohd Noor


Muktamirin dan muktamirat sekelian!


1. Muhasabah

Dalam kesempatan ini kita elok rasanya kita memperingatkan kembali diri masing-masing tentang hakikat gerakan dakwah, islah dan tajdid yang sama-sama kita perjuangkan sejak 4 dasawarsa yang lalu atas nama PKPIM, ABIM dan WADAH. Kita perlu memperingatkan kembali bahawa sesungguhnya gerakan ini bukanlah satu usaha kecil yang boleh dilaksanakan secara sambil lewa sahaja. Gerakan ini  sebenarnya merupakan suatu usaha kerja yang menyeluruh. Matlamat yang ingin dicapai juga jauh berbeza daripada perjuangan-perjuangan yang biasa diusahakan oleh pelbagai pihak yang lain. Ia tidak berakhir dengan penguasaan tampuk pemerintahan, peningkatan taraf ekonomi rakyat, keamanan negara, kestabilan situasi sosial dan sebagainya. Perjuangan ini berhasrat untuk mengadakan perubahan total terhadap semua aspek kehidupan manusia yang tersasar daripada landasan kebenaran atau al-sirat al-mustaqim dan mengembalikannya semula ke jalan tersebut menerusi pelaksanaan misi suci iaitu ‘ubudiiyyah (pengabdian kepada Allah SWT), melakukan kebajikan kepada sesama makhluk dan berjihad fi sabilillah.

Firman Allah SWT:
 “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah dan beribadatlah kepada Tuhan kamu , kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat). Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya…”  (Al-Hajj: 77 – 78)

Sesungguhnya perjuangan ini terlalu besar untuk dilakukan oleh usaha individu. Bebanannya amat berat untuk dipikulkan ke atas orang tertentu atau beberapa orang tertentu sahaja. Justru kita memerlukan usaha sama dalam ertikata yang sebenarnya. Kita memerlukan keikhlasan dan komitmen yang utuh, persaudaraan yang ikhlas, perpaduan yang kental dan semangat kesetiakawanan yang tinggi.

Sebagai anggota senior gerakan Islam kita wajar mengambil ihtisab pesanan mantan Ketua HELWA Ustazah Dr. Siti Zulaikhah Mohd Noor tentang wakaf ujrah yang dimaksudkan sebagai mewakafkan profesionalisme kita untuk jamaah dan usaha kerja harakah. Kita juga perlu merenung peringatan yang pernah disuarakan oleh al-Marhum Ustaz Ni’mat Yusoff, salah seorang tokoh awal ABIM dan pengasas Ma’had Tarbiyyah Dehrang supaya tidak hanya menyumbang sisa sahaja untuk gerakan Islam dan untuk umat kita.

Oleh itu, dalam usaha untuk meningkatkan lagi prestasi perjuangan kita ini dan untuk merancakkan lagi aktiviti-aktivitinya, maka WADAH akan berusaha mendaftar kepakaran, kebolehan dan minat para ahli. Kita harap semua ahli akan memberi kerjasama dan akan menyumbang dengan segera dan dengan penuh kerelaan dan tanggungjawab apabila diminta nanti.

Begitu juga diharap para anggota akan menyumbang kewangan dan material dengan rela dan segera kepada tabung WADAH dan tabung-tabung yang lain untuk membantu  madrasah, institusi dan program yang telah dan akan diatur.  

Dengarlah sabda Rasulullah s.‘a.w. sebagaimana yang dilaporkan oleh Abu Hurairah r.‘a:
 “Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan diri seseorang dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya.” (Riwayat Muslim, al-Darimi dan Ahmad).


2. Kepedulian Umat

Di peringkat global, kita perhatikan umat Islam hari ini berada di dalam keadaan dilema di antara komitmen Islamnya dengan cara hidup dan gaya hidup semasa yang banyak dipengaruhi faham materialism dan budaya nafsu yang tidak selari dengan tuntutan-tuntutan iman dan misi Islam yang suci.
Kebanyakan negara umat Islam kini masih diperintah oleh penguasa-penguasa sekular yang tidak selesa dengan ajaran-ajaran Islam dan cara / gaya hidupnya. Mereka ini memimpin rakyat jelata dengan corak dan sistem pemerintahan yang banyak bercanggah dengan prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang diajar di dalam Islam.

Perkembangan mutakhir di dunia Islam memanifestasikan rasa mual, resah dan bosan umat Islam terhadap pemerintahan sekular yang sudah terbukti gagal membawa kehidupan yang aman dan sejahtera kepada rakyat jelata. Mereka akhirnya bertekad untuk kembali mencari penyelesaian secara Islam. Amanah berat ini terpikul di atas bahu para pemimpin beberapa pertubuhan Islam yang diberi kepercayaan oleh rakyat di negara-negara tertentu untuk mengendali urusan-urusan mereka dan sekaligus harapan untuk menyelesaikan masalah-masalah hidup yang dialami mereka sejak puluhan tahun yang lalu. Semoga para pemimpin Islamis mampu melaksanakan tanggungjawab yang berat ini dengan izin dan ma‘unah Allah SWT.

Di peringkat nasional, janji-janji terus ditabur, bantuan dan “hadiah-hadiah” pun dihambur dengan lumayan kepada rakyat jelata apabila pilihan raya umum semakin hampir menjelang . Namun lazimnya, seperti masa-masa lalu,“janji ditepati” hanya tinggal sebagai slogan kosong semata-mata. Apa yang berlaku kekayaan negara yang melimpah ruah hanya dinikmati oleh kalangan tertentu sahaja; sedangkan masih ramai rakyat yang hidup di bawah paras kemiskinan, sementara sebahagian lagi bertungkus lumus bekerja untuk memenuhi keperluan keluarga disebabkan kos sara  hidup yang semakin meningkat dengan harga komoditi yang kian melambung tinggi!

Di peringkat negeri,  majoriti umat Islam masih berpendapatan rendah dan mereka dibelenggu pelbagai masalah termasuk kos sara hidup yang meningkat, penempatan dan perumahan yang sukar dan masa depan ekonomi yang tidak memberangsangkan. Situasi sosial umat Islam  di negeri ini menghadapi masalah krisis dalaman, keruntuhan akhlak dan ikatan persaudaraan yang semakin terlerai.

Ironisnya Pulau Pinang sejak dahulu lagi adalah sebuah negeri yang berkembang pesat serta maju, tetapi majoriti umat Islam ketinggalan daripada arus kemajuan dan tidak menikmati kemewahan. Rata-rata umat Islam di negeri ini secara relatifnya memiliki aset yang sedikit, pendapatan yang lebih kecil dan tahap pendidikan yang lebih rendah.

Di samping itu Pulau Pinang yang sedang dibangunkan dengan kadar yang cukup pantas kini menjejaskan warisan penduduk, keseimbangan persekitaran dan kehijauan. Pembangunan juga menimbulkan pertindihan perancangan, kesesakan, banjir kilat dan lain-lain lagi daripada gejala-gejala kotaraya.

Di tengah-tengah cabaran inilah WADAH yang mempunyai misi pencerahan dan pencerdasan umat perlu beroperasi dengan upaya seadanya. WADAH Pulau Pinang perlu merancang, merumus dan memberi fokus yang realistik dan berkesan dalam usaha menegakkan cita-cita Islamiyyah yang digalas sejak zaman belia lagi iaitu ketika giat bekecimpung di dalam aktiviti-aktiviti yang dirancang dan dikendalikan oleh ABIM.

Salah satu cabaran besar yang dihadapi oleh kepimpinan umat dan gerakan Islam ialah bagaimana untuk merobah umat al-yad al-sufla (penadah) kepada umat al-yad al-‘ulya (penyumbang).

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hizam, Rasulullah s.‘a.w. bersabda yang maksudnya:
 “Tangan yang di atas (yang memberi)lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima atau meminta). Maka kerana itu mulakanlah memberi kepada mereka yang di bawah tanggunganmu (keluarga). Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Sesiapa yang memohon dipelihara (agar tidak sampai meminta-minta) Allah akan memeliharanya dan sesiapa yang memohon dicukupkan (agar ia tidak bergantung kepada selain daripada Allah) maka Allah akan mencukupkannya.” (Al-Bukhari).


3. Kesenjangan

Sepertimana kesenjangan yang berlaku kepada tahap kesejahteraan rakyat berbanding kemajuan negeri, begitu jugalah keadaannya yang wujud di dalam politik. Kesenjangan sering dapat disaksikan di antara idealisme untuk mengadakan perubahan, janji pemimpin dan apa yang sebenarnya berlaku di lapangan.

Untuk mengatasi kesenjangan ini maka diharap institusi-institusi dan agensi-agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam, Jabatan Agama Negeri, Pusat Urus Zakat, Baitul Mal dan badan-badan lain yang diamanahkan untuk kebajikan umat Islam akan mempamirkan prestasi tinggi dan dapat menyelesaikan segala aspirasi dan rintihan umat agar tercapai tujuan merealisasikan tahap kehidupan yang menyelesakan (hayatan tayyibah). Begitu juga contohnya, jabatan-jabatan yang bertanggungjawab untuk perbandaran, utilitii dan kesejahteraan bandar dan penduduk, diharapkan mampu meningkatkan kualiti kehidupan dari aspek-aspek ketelusan, kebersihan, kecekapan, kepantasan, kemesraan, profesionalisme, memudahkan segala urusan…, bukan sepertimana prestasi hambar yang wujud pada kepimpinan sebelum ini. Prestasi yang tidak mencerminkan idealisme perubahan itulah yang dimaksudkan dengan kesenjangan.

Bagi gerakan dan aktivitis Islam, perubahan bermakna mengisi ruang-ruang yang ada untuk menyumbang kepada pencapaian hayatan tayyibah. Usaha sedemikian perlu dilakukan supaya gerakan Islam tidak hanya menjadi agitator, tetapi menjadi tenaga penggerak islah. Di sini aktivis Islam wajar menghayati pesanan al-Marhum Shaikh Mustafa Masyhur supaya memainkan peranan serampang dua mata islah nafsak wad’u ghairak – Perbaikilah diri anda sendiri dan serulah orang lain.

Kesenjangan yang berlaku jika tidak ditangani dengan bijaksana akan menyebabkan rakyat dan umat kecewa dengan janji-janji sebelum perubahan, seterusnya menyebabkan mereka hilang kepercayaan kepada kepimpinan baru dan kembali semula merelakan diri dan kehidupan untuk diterajui oleh regim sebelumnya serta mengekalkan budaya yang lalu.

4. Pengisian

Sebagai sebuah gerakan Islam semasa yang berhasrat untuk menjana kecerdasan dan kecemerlangan umat, maka WADAH mesti sentiasa diperkasakan dengan elemen-elemen yang dapat membantunya merealisasikan hasrat tersebut. Berikut disarankan beberapa langkah pengisian yang difikirkan perlu bagi tujuan yang dimaksudkan:

·                     Pemantapan ilmu, pengisian dimensi rohani dan amalan berterusan hendaklah diterapkan dengan bersungguh-sungguh oleh jamaah.

·      Gerakkerja berjemaah dan pengurusan paling efishen dengan  memanfaatkan kepakaran, pengalaman dan alatan adalah menjadi kewajipan perjuangan masakini.

·       WADAH dan para ahlinya harus berusaha menguasai pengetahuan, ketangkasan pengolahan dan artikulasi perihal asasi umat, isu semasa dan berketerampilan melahirkan pandangan dan panduan bernas untuk menawarkan penyelesaian.

·       Cabaran semasa memerlukan keupayaan artikulatif dalam memahami dan mengolah syari‘ah, maqasid al-syari‘ah, siyasah al-syar‘iyyah, fiqh Kenegaraan, fiqh keutamaan, fiqh keseimbangan, fiqh perubahan, fiqh semasa, fiqh pluraliti, ekonomi berkeadilan, sekular dan sekularisasi dan konsep kewarganegaraan.

·       Perbahasan mengenai isu-isu ekonomi, politik, isu-isu semasa umat, memerlukan jawapan, pandangan dan panduan yang jujur, jitu, tepat dan cepat sebelum ianya diwacanakan dan diwarnai pihak-pihak lain yang tidak bertanggungjawab dan sebelum ianya dipengaruhi pelbagai aliran dan trend yang mengelirukan.

·       Adalah disarankan supaya dihidupkan semula usrah umum (halaqah ‘ammah), dengan pendekatan kuliah Tafsir Maudu‘iyy atau topik terpilih daripada isu-isu kontemporari secara mingguan bagi memenuhi keperluan ilmu ketiga-tiga generasi jamaah. Ini amat penting dalam usaha pengisian ilmu yang dikendalikan secara tersusun untuk semua ahli termasuk pelapis.


·       Helwa WADAH perlu disusun semula serta diaktifkan bagi menjayakan cita-cita WADAH secara seiringan.

·       Segala program dan aktiviti pengisian hendaklah dipastikan terlaksana dengan baik dan teratur supaya semangat para ahli dapat dikentalkan kembali dan penyertaan dalam program-program WADAH dapat dirancakkan semula.

Para ahli WADAH khasnya dan para anggota harakah Islamiyyah amnya patut mengamati maksud firman Allah yang berbunyi:
 “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Nisa’: 100).





5. Tumpuan WADAH

Untuk merealisasikan pencapaian hasrat WADAH, maka prasyaratnya amat menuntut pengorbanan masa dan tumpuan penuh para ahli di samping amat memerlukan tekad dan komitmen yang bulat daripada pihak kepimpinan.

Secara am tumpuan WADAH adalah seperti berikut:

·    Keahlian:   Mengumpul dan menggembleng ahli, aktiviti usrah, kuliah / usrah umum, gabungan, pertemuan, pembinaan rangkaian dan jaringan.

·    Pemikiran:    Menggerakkan institut kajian dasar, menyampaikan pandangan secara tersusun kepada pihak berwajib, pembuat dasar dan masyarakat amnya, tentang isu asasi umat, ekonomi, sosial dan semasa.

·       Institusi:  Membangunkan dan mempertingkatkan prestasi madrasah-madrasah SEMI, SERI, Al-‘Uthmaniah, Outreach, Rohingya Educational Centre REC, TASKI, Tabung Ekonomi.

·  Aktivisme: Melaksanakan kerja di lapangan, memberi sumbangan, merencana program dan ceramah kemasyarakatan, bekerjasama dengan gerakan dakwah, ABIM dan Pembimbing, membantu golongan du‘afa jauh dan dekat.

·     Jaringan:  Melebarkan serta mengeratkan perhubungan serta wilayah pengaruh supaya lebih ramai mengetahui kehadiran dan tujuan WADAH, mendukungnya serta menerima apa yang ditawarkannya untuk semua.


Sekian, Wa akhiru da‘wana anil hamdu lil’Lahi Rabbil ‘Alamin.


Wassalamu ‘alaikum wrh., wbr.


Ustaz Dr Wan Salim Mohd Noor
Gelugor, Pulau Pinang
15 Syawwal 1433 / 02 September 2012.