KULIAH TAFSIR MAUDHUIYY SIRI-74: MEWASPADAI GEJALA KEHILANGAN HIKMAH,
BUTA SEJARAH DAN KUFUR NIKMAT
4. Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa
kaumnya supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka
Allah sesatkan siapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang
Dia kehendaki. Dan Dia-lah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.
5. Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Musa dengan membawa ayat-ayat
Kami, (dan Kami perintahkan kepadanya): “Keluarkanlah kaummu dari gelap gulita
kepada cahaya terang benderang dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah”.
Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi
setiap orang penyabar dan banyak bersyukur.
6. Dan (ingatlah), ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Ingatlah nikmat
Allah atasmu ketika Dia menyelamatkan kamu dari (Fir`aun dan)
pengikut-pengikutnya, mereka menyiksa kamu dengan siksa yang pedih, mereka
menyembelih anak-anak laki-lakimu, membiarkan hidup anak-anak perempuanmu; dan
pada yang demikian itu ada cubaan yang besar dari Tuhanmu”.
7. Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: “Sesungguhnya jika
kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu
mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.
(Surah Ibrahim 4-7)
Huraian Maksud Ayat
- Bahasa Ibunda dan Dakwah Para Rasul -
Seluruh para rasul pada umumnya
membawa misi yang sama: ikhraju ‘n-nas
mina ‘zzulumati ila ‘n-nur, iaitu pembebasan manusia dari gelita kesesatan
dan kejahilan, untuk dibawa ke dalam benderang cahaya ilmu dan kebenaran. Misi
profetik itulah yang kita sebut sebagai misi tahririy-tanwiriy (pembebasan dan pencerahan). Untuk itu tentunya
diperlukan alat kemunikasi yang berkesan. Justeru, para rasul dan seluruh para
pewaris misi para rasul memang harus komunikatif-artikulatif. Ayat 4 surah
Ibrahim menyebut bahawa alat komunikasi terbaik adalah bahasa ibunda kaum itu
sendiri (lisan al-qawm). Hanya dengan
pengantar bahasa ibunda mesej tahririy-tanwiriy
itu dapat disampaikan dan difahami dengan jelas dan tepat, mudah dan cepat.
Bahasa dalam konteks ini tidak hanya asal bahasa ibunda, tetapi harus
dipertimbangkan juga kesesuaian kata-kata dan bentuknya dengan tahap kemampuan
khalayak memahaminya.
Abdullah Yusuf Ali mengatakan, “If the object of a message is to make things clear, it must be
delivered in the language current among the people to whom the apostle is sent.
Through them it can reach all mankind. There is even a wider meaning for
‘language’. It is not merely a question of alphabets, letters, or words. Each
age or people - or world in a psychological sense - casts its thoughts in a
certain mould or form. God’s Message - being universal - can be expressed in
all moulds and forms, and is equally valid and necessary for all grades of
humanity, and must therefore be explained to each according to his or her
capacity or receptivity. In this respect the Qur’an is marvellous. It is for
the simplest as well as the most advanced”.
Dalam melaksanakan misi
pembebasan dan pencerahan tersebut, semua rasul memakai bahasa pengantar bahasa
ibunda kaum masing-masing. Ketetapan tersebut dibuat oleh Allah s.w.t. sendiri
berasaskan ilmu dan hikmah ketuhanan-Nya. Ayat 4 tersebut ditutup dengan
menyebut dua Nama Indah Tuhan: al-`Aziz
dan al-Hakim (Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana). Ertinya, Tuhan Maha
Berkuasa melaksanakan segala kehendak-Nya, dan Maha Bujaksana dalam segala
perbuatan, tindakan dan ketetapan-Nya, termasuk ketetapan-Nya mengutus para
rasul dengan bahasa kaum mereka.
Jika objektifnya ialah untuk
menjadikan gerakan pembebasan dan pencerahan itu merata dan merakyat, maka
pilihan satu-satunya ialah pemakaian bahasa ibunda, bahasa pribumi atau bahasa
lokal. Pemakaian bahasa asing tidak mungkin membawa hasil (pembebasan dan
pencerahan) yang merata dan merakyat. Strategi pemakaian bahasa asing hanya
mungkin membentuk segelintir kaum elit yang tercabut dari akar kaum dan
bangsanya. Kerana itu pemilihan bahasa asing sebagai pengantar pendidikan
rakyat adalah suatu penyimpangan dari hikmah, dan sekaligus menolak
kebijaksanaan Tuhan Yang Maha Hakim (Bijaksana) yang telah mengutus semua
rasul-Nya dengan bahasa kaum mereka masing-masing. Mempelajari bahasa asing memang
ada keperluannya, tetapi ia tidak boleh mengambilalih peranan bahasa ibunda.
Kita boleh berinovasi dan melakukan pelbagai eksperimen, tetapi jangan sampai
kehilangan wisdom.
- Musa `a.s. dan Misi Profetiknya -
Ayat 5 surah Ibrahim merumuskan
dua misi utama pengutusan Musa `a.s.: a.
Membebaskan kaumnya dari gelita (kesesatan dan kejahilan), dan membawa mereka
kepada benderang cahaya ilmu dan kebenaran. b. Mengingatkan mereka dengan hari-hari Allah (ayyami ‘Llah). Hakikatnya, kedua-duanya bukan misi eksklusif Musa
`a.s. semata-mata, tetapi misi bersama para rasul keseluruhannya. Mesej mereka
memang rata-rata bersifat dan bersemangat liberatif, dalam pengertian
pembebasan manusia dari segala bentuk zulumat.
Kata zulumat yang bererti kegelapan
itu disebut dalam bentuk jamak (plural) kerana kenyataannya kegelapan memang
pelbagai - kesesatan, kejahilan, kezaliman, kesempitan, kesakitan, kemunduran,
kekotoran, kebiadaban dan sebagainya. Para rasul adalah pejuang-pejuang misi
liberatif-transformatif dalam pengertian memimpin umat ke arah kehidupan yang
cerah dalam sinaran cahaya petunjuk Ilahi (al-nur).
Kata al-nur disebut dalam bentuk
tunggal (mufrad/singular) kerana ia
merujuk cahaya dari Allah Yang Maha Esa. Cahaya kebenaran memang hanya satu,
cahaya yang sebenar hanya memancar dari satu sumber, iaitu Allah s.w.t.
Pencerahan dan pencerdasan adalah
misi profetik yang harus diteruskan dengan melawan gerakan pembodohan yang
banyak dilakukan oleh pihak-pihak berkepentingan. Amalan mengongkong umat dalam
kepompong pemikiran sempit kepartian dan perkauman seperti yang sedang
berleluasa ketika ini adalah juga sejenis zulumat
yang harus dilawan. Demi penerusan dan pelestarian misi profetik tahririy-tanwiriy, umat harus
dimerdekakan dari segala bentuk pembelengguan dan penindasan politik, ekonomi
dan budaya
Misi kedua Musa `a.s. dan
rasul-rasul lain, termasuk Muhammad s.`a.w. ialah meratakan kesedaran tentang
hari-hari Allah (tadhkiruhum bi ayyami
‘Llah). Yang dimaksudkan dengan hari-hari Allah (ayyami ‘Llah) adalah sejarah, iaitu ketika Allah memperlihatkan
peristiwa fenomenal yang sarat dengan erti dan pengajaran, peristiwa yang
menyerlahkan kekuasaan-Nya secara luar biasa baik berupa pencurahan nikmat atau
penimpaan laknat, peristiwa penting yang membawa impak besar terhadap kehidupan
dan nasib masa depan sesuatu bangsa. Dalam kaitan ini Abdullah Yusuf Ali
mengulas, “The Days of God: the days when
God’s mercy was specially shown to them. Every day and every hour and every
minute, God’s grace flows to us abundantly, but there are special events in
personal or national history which may be commemorated as Red-letter Days.”
Kesedaran sejarah sebagai bahagian penting misi para rasul dapat disaksikan
dari banyaknya paparan kisah-kisah (al-qasas)
umat silam dalam kitab-kitab yang diturunkan Allah melalui rasul-rasul-Nya.
Al-Qur’an sendiri mengandungi banyak kisah-kisah sedemikian yang semuanya
membawa mesej pengajaran (`ibrah).
- Hikmah dan Sejarah -
Antara ayyami ‘Llah (sejarah) dengan `ibar/`ibrah
(pengajaran), ternyata wujud hubungan langsung yang sangat erat. Justeru, bukan
sekadar suatu kebetulan apabila bapak sejarawan Ibn Khaldun memasukkan dua kata
tersebut (ayyam dan `ibar) dalam judul karya monumentalnya,
Kitab al-`Ibar wa Diwan al-Mubtada’ wa
al-Khabar fi Ayyam al-`Arab wa al-`Ajam wa al-Barbar wa Man `Asarahum min Dhawi
al-Sultan al-Akbar. Judul lengkap karya sejarah tersebut diterjemahkan oleh
Franz Rosenthal sebagai Book of Lessons
and Archive of Early and Subsequent History, Dealing with the Political Events
Concerning the Arabs, Non-Arabs, and Berbers, and the Supreme Rulers who were
Contemporary with them. Bagaimanapun ia lebih terkenal dengan sebutan
singkatnya, Kitab al-`Ibar.
Sebagaimana yang diisyaratkan dalam judul karya tersebut, sejarah, menurut Ibn
Khaldun, mempunyai dua dimensi: lahir dan batin. Lahirnya adalah
peristiwa-peristiwa nyata yang dilalui oleh sesuatu bangsa atau negara,
sementara batinya adalah pengajaran, sebab-musabab, prinsip dan aturan (sunnatu ‘Llah). Kefahaman tentang batin
sejarah atau mesej tersirat di balik peristiwa sejarah itulah yang dinamakan
hikmah atau wisdom.
Hakikat inilah
yang diungkapkan oleh Muhsin Mahdi tentang falsafah sejarah Ibn Khaldun, “The prominent position of `ibra in the title and in the text point in the
same direction: a movement from the externals of history to its internal
nature. Ibn Khaldun specifically identifies this effort with scientific or
philosophic investigation, and calls it a part of wisdom (hikma, sophia). `Ibra, therefore, is not only the link between history and wisdom, but also
the process through which history ia contemplated with the aim of understanding
its nature and utilizing the knowledge thus gained in action.” (Mahdi, M.,
1957: 71).
Demikianlah hakikat peri
pentingnya belajar dari sejarah sebagai bahagian daripada agama. Meremehkan
sejarah bererti mengabaikan komponen penting al-Qur’an, dan mengenepikan misi
besar para rasul. Kegagalan memahami dan menangkap mesej sejarah pula bererti kehilangan
hikmah. Malangnya, ramai kalangan ulama dan fuqaha’ sendiri yang gagal melihat
kepentingan sejarah seperti yang diungkapkan oleh Ibn Khaldun. Demikianlah
gejala yang melatari usaha muhaddith besar al-Hafiz Shamsu ‘d-din al-Sakhawiy
mempertahankan ilmu sejarah dengan menghuraikan objektif dan manfaatnya. Usaha
membela sejarah dari celaan sesetengah kalangan fuqaha’ itu dilakukannya
menerusi karya terkenalnya al-I`lan
bi-al-tawbikh li-man dhamma al-tarikh (Pernyataan Tempelak terhadap Mereka
yang Mencela Sejarah).
- Nilai Sabar dan Syukur -
Ternyata tidak semua orang
memahami erti dan kepentingan ayyami
‘Llah (sejarah). Ayat 5 menyebut secara khusus golongan yang mampu memahami
sejarah sebagai ayat atau tanda kekuasaan Allah. Merekalah yang disebut sebagai
golongan sabbar dan shakur (penyabar dan banyak bersyukur).
Dalam ayyami ‘Llah ada sejarah pahit
yang harus dibaca sebagai tanda tuntutan agar bersabar, di samping ada pula
sejarah manis yang harus dibaca sebagai tanda tuntutan bersyukur.
Mengenai kata
sabbar dan shakur, Abdullah Yusuf Ali menjelaskan, “Sabbar is the intensive form, and includes all the ideas implied in
sabr in an intensive degree. Shakur and shakir have in them the idea of
appreciation, recognition, gratitude as shown in deeds of goodness and
righteousness. Both terms are applied to God as well as to men. A slight
distinction in shades of meaning may be noted. Shakur implies that the
appreciation is even for the smallest favours and response on the other side;
it is a mental attitude independent of specific facts. Shakir implies bigger
and more specific things.”
Peringatan tentang betapa
berertinya ayyami ‘Llah dengan segala
iktibar dan pengajarannya, segera diikuti dengan contoh salah satu bentuk ayyami ‘Llah dalam sejarah Bani Isra’il.
Ayat 6 merakamkan catatan bagaimana Musa `a.s. melaksanakan misi memperingatkan
kaumnya tentang pengalaman ayyami ‘Llah
yang telah mereka lalui, iaitu nikmat pertolongan Allah yang menyelamatkan
mereka dari azab penderaan Fir`aun ke atas mereka. Babak sejarah yang mereka
tempuh itu membawa mesej ujian: sabar ketika ditimpa bencana penindasan kejam,
dan syukur ketika Allah menyelamatkan mereka dari petaka tersebut. Bencana yang
berupa kerja paksa di luar keupayaan, penyembelihan anak-anak lelaki kerana ditakuti
akan muncul dari kalangan mereka wira penggugat kekuasaan Fir`aun, dan
pembiaran anak-anak perempuan hidup untuk dihina dan ditindas, memang suatu
ujian berat. Semuanya harus disikapi dengan sabar, bukan dalam pengertian
menerima kezaliman dan merelakan penghinaan. Tetapi sabar dalam pengertian
ketahanan menanggung derita tanpa mengalami al-hazimat
al-nafsiyyah atau psychological
defeat (kekalahan psikologis), dan tanpa putus asa dari usaha membebaskan
diri. Pengalaman pahit tersebut seharusnya menyedarkan mereka betapa berertinya
nikmat pertolongan Allah menyelamatkan mereka dengan cara yang di luar
perkiraan semua. Nikmat penyelamatan Ilahi itu seharusnya disyukuri selamanya,
dari generasi ke generasi. Justeru, tanpa nikmat pertolongan Ilahi tersebut
nasib dan sejarah hidup mereka kekal sebagai kasta hamba yang hina, diperas dan
ditindas, dihempas dan dipulas.
Demikianlah al-Qur’an mengajarkan
dua nilai penting - sabar dan syukur - yang memang sentiasa relevan sepanjang
hayat, kerana hidup manusia bila-bila dan di mana pun tidak lekang dari dua
pengalaman - dikurnia nikmat atau ditimpa musibah. Dengan demikian, dua nilai
inilah yang harus dihayati silih berganti. Syukur ketika mendapat nikmat, sabar
ketika ditimpa musibah.
Betapa agungnya nilai syukur
diungkapkan pada ayat 7 dalam bentuk deklarasi ketuhanan yang mengumandang
sepanjang zaman tentang keberuntungan orang yang bersyukur, deklarasi janji
Allah yang disampaikan dalam nada yang tegas dan pasti, bahawa sesiapa yang
bersyukur nescaya akan bertambah-tambah nilmat yang diperolehinya. Bagi manusia
mukmin ayat 7 surah Ibrahim ini menumbuhkan keyakinan dan kedamaian jiwa kerana
ia adalah janji Allah yang tidak mungkin dimungkiri. Di samping itu ia juga
menumbuhkan kewaspadaan yang tinggi dalam penggunaan nikmat. Dengan semangat
syukur, ia tidak akan menyalahgunakan nikmat untuk tujuan jahat, kotor dan
curang. Dan tidak juga menggunakannya dengan motif memperaga dan
membanggakannya di hadapan khalayak. Jika nikmat digunakan dengan cara yang
diredhai Allah dan disenangi manusia, akan wujud masyarakat sejahtera dan
berkebajikan.
Janji penambahan nikmat untuk
mereka yang bersyukur, diimbangi dengan peringatan keras terhadap mereka yang
kufur nikmat, bahawa mereka akan didera dengan azab yang pedih. Kufur nikmat
boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Antaranya termasuklah sikap tidak
mensyukurinya, atau mengingkari hakikat bahawa Allah sebagai pengurnia
sebenarnya. Kufur nikmat berlaku apabila seseorang itu berasa bahawa nikmat
(kejayaan) yang diraihnya adalah hasil usaha, ilmu dan kemahirannya diri
peribadinya sendiri, seolah-olah kemampuan dan keupayaan dirinya itu bukan
nikmat kurnia Allah. Kufur nikmat juga berlaku apabila ia disalahgunakan untuk
tujuan memenuhi nasfu, melakukan kerosakan (fasad) atau motif
membangga-banggakan diri di hadapan khalayak.
Azab yang keras (al-`adhab al-shadid) yang akan
ditimpakan ke atas mereka yang kufur nikmat juga boleh berlaku dalam pelbagai
rupa. Ada yang dihilangkan sama sekali, ada yang dikekalkan zahirnya tetapi dihilangkan
kesan rasa nikmatnya, ada yang dikekalkan wujudnya, tetapi hakikatnya menjadi
beban yang menyiksa dan mendera, dan ada pula azab yang ditangguhkan ke suatu
masa (sama ada di dunia atau di akhirat). Yang pasti, kufur nikmat tidak akan
terlepas dari pembalasan. Syukur atau kufur, manfaat dan akibatnya kembali
kepada manusia sendiri. Allah tidak beruntung kerana disyukuri, dan tidak rugi
kerana dikufuri. Disyukuri atau dikufuri, Allah tetap Maha Kaya lagi Maha
Terpuji.
(Dr Siddiq Fadil adalah Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia)
No comments:
Post a Comment