Recep Tayyip Erdogan
Latarbelakang
Recep Tayyep Erdoğan dilahirkan
di Kasımpaşa Istanbul pada 26 Februari, 1954 kepada Ahmet dan Tenzile Erdogan dalam
sebuah keluarga Muslim yang patuh mengamalkan Islam berketurunan Kaukasia.
Datuknya terkorban dalam peperangan menentang
Rusia and Armenia pada 1916. Keluarganya berpindah daripada Batumi (kini
Georgia) ke Rize, sebuah bandar persisiran pantai di Lautan Hitam, di mana dia
melalui usia kanak-kanaknya. Ayahnya adalah seorang pengawal pantai di Rize. Erdogan
berumur 13 tahun apabila ayahnya membuat keputusan berpindah semula ke Istanbul,
dengan pengharapan untuk mencari kehidupan yang lebih baik bagi lima orang
anaknya yang sedang membesar. Keluarganya kemudian kembali ke Istanbul, ke tempat
Erdogan dilahirkan di Kasim Paşa, salah satu kawasan termiskin Istanbul. Semasa
dia berada di alam persekolahan rendah dan menengah, dia menjual jus limau,
tembikai dan simit – roti bijan- di tepi jalan-jalan Istanbul bagi saraan dan
membantu pendapatan ayah serta keluarganyanya.
Pada 1978, dia mendirikan rumah
tangga bersama Emine Gulbaran dan dikurniakan dua orang anak perempuan, Esra
and Sümeyye; serta dua orang anak lelaki, Necmettin Bilal and Ahmet Burak. Pada
1988 ayahnya telah meninggal. Pada 2011 ibunya pula meninggal dunia.
Pendidikan dan Kerjaya
Erdogan belajar di sekolah rendah
Kasımpaşa Piyale pada 1960. Dia menjalani persekolahan menengah atas di sekolah
agama Imam Hatip sehingga 1973, memperolehi diploma daripada sekolah menengah
Eyüp serta selanjutnya memperolehi ijazah dalam jurusan ekonomi dan bisnes
daripada Aksaray School
of Economics and Commercial Sciences (kini Faculty of Economics and Administrative Sciences di Universiti
Marmara) pada 1981. Erdogan seorang yang berpengetahuan agama, banyak menghafal
al Qurán dan lancar pembacaan qiraatnya. Dia amat tawadu’ dan sangat
menghormati para alim dan gurunya.
Sewaktu usia belia, dia bermain
bola sepak untuk sebuah kelab tempatan yang kini mengambil nama sempenanya. Di
antara 1969 dan 1982, dia bermain di peringkat tempatan sehingga berusia 16
tahun, apabila dia dipindahkan kepada liga amatur. Pada waktu itu dia bermain
untuk pasukan Kasımpaşa Spor. Fenerbahce, di antara kelab bola sepak terbaik
Turki, berhasrat menawarkan kontrak
kepadanya, tetapi ayah Erdogan tidak bersetuju. Stadium Kasımpaşa Spor's dinamakan
sempenanya dan Trabzonspor juga
bercadang untuk menamakan stadium mereka stadium Recep Tayyip Erdoğan. Erdogan
pernah menunjukkan bakat kemahirannya dalam pertandingan persahabatan bersama
artis-artis dan selebriti Turki.
Politik Awal
Erdogan terlibat dalam politik
sejak menganggotai Persatuan Pelajar Nasional Turki semasa sekolah menengah dan
sewaktu dia di Universiti Marmara. Kerjaya politiknya bermula apabila dilantik
sebagai presiden Cawangan Belia Beyoğlu Parti Kesejahteraan Nasional - National Salvation Party (MSP—Milli
Selamet Partisi), parti Islamis di bawah
kepimpinan Necmettin Erbakan pada lewat 1970’an. Al marhum Erbakan merupakan
mentor kepada pemimpin muda ini. Pada 1980, sebuah rampasan kuasa tentera Turki
telah mengharamkan semua parti-parti politik.
Apabila parti-parti dibenarkan
semula pada 1982, Erdogan meneruskan kegiatan bersama parti baru Erbakan, Refah Partisi (RP) – Parti Kebajikan RP, dan
dia telah dilantik sebagai Datuk Bandar Istanbul, dengan kemenangan besar
menewaskan lawan-lawannya pada 1994. RP merupakan parti pembangkang kepada
kerajaan pusat Ankara. Pada 1995, dia menjadi presiden cawangan RP di Istanbul, dan telah dilantik ke dalam
Jawatankuasa Pusat RP pada 1996.
Ada pemerhati mengatakan bahawa
Erdogan mewakili “ Islam di lapangan" - 'street Islam' berbanding
dengan pergerakan politikal Islam kelasik yang dibawa oleh Necmettin Erbakan.
Pertembungan Erdogan dengan
undang-undang berlaku sejurus kudeta tentera 1980, apabila dia sedang bekerja
untuk Perbadanan Pengangkutan Istanbul. Majikannya yang merupakan seorang kolonel
bersara mengarahkan Erdogan supaya mencukur misainya. Erdogan enggan dan
terpaksa meletak jawatan.
Erdoğan datang daripada golongan
kelas bawahan hidup bersama orang-orang yang lasak yang lazimnya enggan
berkompromi. Tatkala menganggotai gerakan Islamis Turki sewaktu belia, Erdoğan dan
kemudiannya disertai oleh isterinya Emine aktif dan bertanggungjawab
mengukuhkan dan mengkonsolidasi barisan penyokong-penyokong tegar yang membawa
kemenangan parti di bandaraya Istanbul. Di samping penggubalan dasar dan
strategi, kepimpinan terserlah Erdoğan ke atas organisasinya, dan tumpuannya
kepada pungutan suara serta kajian tinjauan di lapangan (opinion polls), telah membawa kepada kejayaannya pada 2002 dan
memastikan pencapaian undian melebihi
50% pada 2011.
Datuk Bandar Istanbul
Erdogan memenangi pilihanraya
jawatan datuk bandar dengan mendapat 25% undi pada Mac 1994. Dia berhadapan
dengan kritikan bermula pada hari pertama dia menjejak kaki ke pejabatnya.
Pihak sekularis membantah kerana Erdogan merasmikan pembukaan dewan bandaraya
dengan pembacaan doa dan bukan nyanyian lagu kebangsaan serta penghormatan
tradisi seperti lazimnya.
Sewaktu menjadi Datuk Bandar, dia
berjaya menyelesaikan timbunan hutang bandaraya Istanbul, memajukan pembangunan
ekonominya, menaikkan gaji pekerja, memberikan khidmat kesihatan dan sosial
yang paling baik kepada penduduknya. Dalam masa 4 tahun, dia mempercepatkan
siap sistem pengangkutan bawah tanah – subway,
memperolehi sumber bekalan air baru, membina jalan-jalan dan lebuhraya baru serta
memodenkan jabatan bomba. Di antara insiatifnya adalah persidangan meja bulat
Datuk-Datuk Bandar pada Persidangan Istanbul dan langkah ini telah membawa
kepada pergerakan Datuk-Datuk Bandar antarabangsa.
.
Sebagai Islamis pertama memegang
jawatan datuk bandar, para pengkritiknya terpaksa mengakui bahawa Erdoğan terbukti
sebagai pengurus yang kompeten dan pintar, dan berjaya menyelesaikan dengan
berkesan masalah alam sekitar dan kesejahteraan bandar, menjadikan Istanbul
lebih "hijau". Cogankatanya untuk Istanbul – Clean, Safe and Beautiful Istanbul – Bandaraya Bersih, Selamat dan
Indah telah tercapai maksudnya. Erdogan menerima anugerah United Nations HABITAT award.
Kedua-dua pihak penyokong dan
pengkritiknya mengatakan bahawa tempohnya sebagai datuk bandar sangat
produktif. Dia cuba membina sebuah
masjid baru di tengah-tengah Taksim tetapi dibantah keras oleh pihak sekularis.
Dia menganjurkan solat istisqa'
memohon hujan dalam usaha menyelesaikan masalah bekalan air yang meruncing di
Istanbul pada waktu itu. Dia mengharamkan minuman arak di semua bangunan awam
milik dewan bandaraya. Dia melarang iklan gambar wanita yang berbikini dan
berpakaian dalam daripada papan-papan iklan milik bandaraya. Pada bulan
Ramadan, kafeteria dewan bandaraya tidak menghidangkan sajian termasuk
sudut-sudut teh-kopi. Para sekularis memuji khidmatnya menjadikan bandaraya itu
bersih dan indah tetapi keputusannya melarang alkohol di kafe-kafe bandar
dibantah.
Dia disanjung ramai kerana mereka
melihatnya sebagai seorang yang bersih dan tidak korup – berlainan dengan
ahli-ahli politik Turki yang lain. Secara berseloroh apabila ditemuduga oleh
akhbar Hurriyet, dia dilaporkan menggelar dirinya sebagai "Imam
Istanbul." Ini akan disalahertikan kemudian hari oleh musuh-musuhnya.
Dia berhadapan juga dengan
pelbagai cabaran. Dia telah disaman sebanyak 18 kali berkaitan sistem tiket,
sistem bekalan gas, pengurusan alam sekitar berkaitan industri dan perdagangan
serta pengurusan feri. Dia mendapat sokongan dan simpati rakyat bawahan dengan
tidak terus memusnahkan binaan rumah-rumah setinggan dan dia berkata bahawa, “Saya pun pernah diam di rumah setinggan,”
mengenang zaman lalunya di Kasim Pasa.
Kebolehan Erdoğan memenangi 34%
undian pilihanraya 2002 membuktikan
rakyat biasa Turki telah menerima Erdoğan sebagai pengurus Istanbul yang handal
dan bukan sebagai seorang fundamentalis yang dimomokkan serta ditakuti.
Penjara
Pada 1998, Mahkamah Perlembagaan
Turki menjatuhkan hukuman pembatalan ke atas Refah Partisi kerana bertentangan
dengan Perlembagaan, atas alasan mengancam sekularisme di Turki dan
mengharamkan pengasasnya, Erbakan daripada politik.
Erdogan menjadi penceramah aktif
di dalam demonstrasi-demonstrasi yang dianjurkan oleh penyokong-penyokong parti
yang telah diharamkan. Dia telah didakwa dan didapati bersalah kerana
melanggar Kemalisme dan dia dipenjarakan
setelah membaca sebuah puisi sewaktu berdemonstrasi di Siirt, sebuah bandar di
timor. Puisi itu adalah gubahan Mehmed Ziya Gökalp, seorang sekular nasionalis
Turki jika diterjemahkan berbunyi: -
Masjid-masjid markaz kita
Kubah-kubah topi kita
Orang beriman tentera kita
Askar pembela agama kita
Dia dilucutkan jawatannya sebagai
Datuk Bandar Istanbul. Para hakim juga perintah melarangnya daripada memegang
jawatan-jawatan kerajaan dan melarangnya daripada menyertai pilihanraya
parlimen. Erdogan dihukum penjara selama 10 bulan tetapi telah menjalankan
hukuman selama 4 bulan sebelum dibebaskan.
Dia amat popular dan disanjungi
orang ramai sehingga 2000 buah kereta rombongan berkonvoi terdiri daripada
penyokong-penyokong mengiringinya dari Masjid Eyup Sultan Camii, ke Fatih Camii
hinggalah ke Penjara Pinarhisar di Kirklareli. Lebuh Fatih ditutup oleh polis
akibat kerumunan orang ramai.
Erdogan berucap seolah-olah sebagai
seorang Presiden. Dalam ucapan perpisahan penuh bersemangat, Erdogan menyeru:
"Ini bukan sebuah perpisahan. Saya
telah selalu sebutkan, harapan saya bahawa ini adalah jeda sejenak pada siri
lagu-lagu yang sedang diputarkan. Saya tidak mengucapkan selamat tinggal. Ini hentian
sedetik. Kita akan teruskan bekerja untuk projek-projek kita sebagaimanaa
sebelum ini. Lagu gubahan kemudiannya akan membawa kepada sanubari Turki - kedamaian,
kasih sayang, persaudaraan dan akan tetap menyatukan kecintaan kamu.”
Berpuluh ribu para penyokongnya yang
hadir melaungkan “ Turki berbangga dengan
anda”. Erdogan bermadah, "Jika
langit dan bumi menimpa kita. Jika banjir dan gunung berapi meletup. Kita tidak
akan berganjak daripada misi kita. Landasan aku adalah Islam. Jika aku dilarang
bersuara tentangnya, apalah ertinya kehidupan?”
Negarawan
Pada 2001, Erdoğan bersama
rakan-rakan termasuk Abdullah Gul telah menubuhkan Adalet ve Kalkınma Partisi – Parti Keadilan dan Pembangunan - AKP
atau AK Parti. AK Parti muncul hasil kumpulan yang berpisah daripada Saadet Partisi - Virtue Party – Parti Kebahagiaan setelah
ia diharamkan oleh mahkamah pada 2001
because atas alasan aktiviti anti-sekular.
Pemisahannya daripada pergerakan Erbakan
berlaku pada 2001, apabila dia dan sayap pragmatik pergerakan itu menyedari
bahawa mereka memerlukan dokongan massa jika mereka bercita-cita unutk
memenangi pilihanraya. Pada 2002, Erdoğan mengambil manfaat daripada rintihan
dan perasaan umum rakyat yang sudah jenuh dengan pertelingkahan ahli politik
lama dan krisis ekonomi yang meruncing. Erdogan dan partinya memberikan harapan
baru dan idea yang segar.
AK Parti telah memenangi pilihanraya
2002 dengan undian terbesar 34.3% tetapi Erdogan masih belum layak bertanding. Pada
Mac 2003, AK Parti menggunakan kejayaan majoriti mereka bagi membolehkan
Perlembagaan dipinda dan mengizinkan Erdogan bertanding di bandar kelahiran
isterinya di Siirt dan dia telah dilantik menjadi Perdana Menteri Turki pada Mac
14, 2003. Pada 2014 Erdoğan dipilih sebagai presiden pertama dilantik melalui
pilihanraya.
Semasa menjadi perdana menteri,
dia menunjukkan kewibawaan kepimpinan yang cemerlang di kacamata dunia Islam.
Di antara kejayaannya termasuk siri-siri reformasi besar ekonomi, sosial dan
kebudayaan Turki yang meletakkannya sebagai negarawan tersohor pelbagai
dimensi. Posisi dan pendiriannya yang tegas tentang isu-isu umat Islam dan hal
global, khususnya hak rakyat Palestin, yang mendapat sanjungan serta
penghormatan dunia Islam. Dengan dokongan kuat dan padu rakyatnya, Erdogan
mempamerkan khidmat cemerlang kepada Islam dengan membela hak asasi dan
tuntutan keadilan umat. Di peringkat
global, Erdogan adalah salah seorang
pemimpin Islam yang menyeru kepada persefahaman di antara peradaban, dan
seorang pendokong kuat dialog, hidup bersama cara aman dan bekerjasama
antarabangsa di antara kepelbagaian budaya seluruh dunia. Dia rapat mendampingi
Profesor Yusuf al Qaradawi, Sheikh Rashid al Ghanoushi dan Anwar Ibrahim dalam
isu keprihatinan umat dan dialog ketamaddunan.
Di dalam negara, Erdogan merintis
kempen pembaharuan ekonomi, sosial dan kebudayaan yang membuka jalan kepada
pembangunan pesat dan meletakkan Turki di tangga negara termaju dari segi
ekonomi dan perindustrian, tanpa berkompromi tentang demokrasi dan keadilan.
Erdogan berjaya mengeluarkan negaranya daripada kemelesetan ekonomi,
mengurangkan hutang negara, menarik pelabur asing dan mencapai pertumbuhan
ekonomi sebanyak 7.3%. Bank Dunia memuji Erdogan ke atas reform yang dia
laksanakan yang telah megembalikan Turki kepada status ekonomi stabil. Di bidang pendidikan, Erdogan menambahkan dana
peruntukan sekolah-sekolah seluruh negara dan bertindak dengan berkesan mengurangkan
jurang gender dalam kesimbangan pendidikan. Jumlah universiti digandakan
bilangannya. Pendidikan di Turki adalah
percuma.
Dia juga berjaya melakukan
reformasi perundangan, dan khususnya, suatu pakej reformasi keselamatan sosial
dan kesihatan di mana semua orang di bawah umur 18 tahun layak kepada khidmat
perubatan dan umur persaraan dinaikkan kepada 65 tahun. Pada 2008, dia
memperkenalkan undang-undang melarang merokok di kawasan awam. (Turki merupakan
negara di mana sebilangan besar rakyatnya adalah perokok tegar).
Kejayaan besar demokratik dicapai
olehnya – pembaharuan besar-besaran, rundingan pembukaan pasaran EU dan keprihatinan
hak asasi termasuk menamatkan penderaan dan penyiksaan, suatu kelaziman di
dalam penjara-penjara Turki. Erdoğan juga mengusahakan beberapa reformasi
demokratik, termasuk langkah-langkah besar bagi menamatkan konflik dengan minoriti Kurdis. Dia telah menawarkan sebahagian
pengampunan kepada aktivis-aktivis Kurdis, membenarkan penggunaan bahasa Kurdis
di media massa dan mengembalikan nama-nama asal bandar-bandar Kurdis dan hak
kebudayaan Kurdis.
Bagi dasar luar, Erdogan berjaya
memulihkan hubungan dengan Greece dan menandatangani perjanjian bersama
pimpinan negara itu untuk menubuhkan Unit Operasi Gerak Bersama bagi menyertai
Operasi Bantuan Keamanan. Dia juga mengambil siri-siri langkah ke arah
rekonsiliasi dengan Armenia dan berjumpa kerap kali dengan presidennya. Erdogan
khususnya menjalinkan hubungan erat diplomatik dan perdagangan bersama
negara-negara Arab dan Islam. Erdogan
juga mengambil langkah-langkah penting ke arah penyertaan Turki ke dalam
Kesatuan Eropah. (Namun dihalang oleh Perancis dan sekutu mereka yang memandang
serong kepada negara umat Islam di Eropah)
Pengiktirafan
Di samping hadiah King Faisal
International Prize for Service to Islam, Erdoğan telah menerima pelbagai
anugerah atas pencapaian dan pembaharuannya. European Voice Organization
menamakannya The European of the Year in
2004 – Tokoh Eropah 2004 sementara majalah
Time menamakannya sebanyak dua kali dalam senarai 100 most influential people in the world – ‘100 orang paling
berpengaruh di dunia’. Di samping itu, dia menerima 15 ijazah kehormat doktor
falsafah.
Penentangan Para General dan Masalah Tudung Wanita
General-general dan birokrasi
sekular ekstrim Kemalis amat membencikan pakaian tudung kepala wanita kerana ia
melambangkan amalan Islam dan agama di ruang awam. Erdogan terpaksa menghantar
anak-anak perempuannya ke universiti di Amerika bagi menyambung pengajian supaya
memelihara aurat.
Markaz turus tentera Turki
sungguh gusar apabila AK Parti mengambil alih kerajaan pada tahun 2002 dan
mereka dengan sengaja memulaukan upacara-upacara rasmi apabila
pemimpin-pemimpin baru Turki kerana diiringi isteri-isteri mereka yang masing-masing
bertudung. Kedegilan general-general ini membayangkan ancaman tersirat
sepertimana tindakan pembersihan mereka ke atas sesiapa sahaja yang mempunyai
kecenderungan Islam selepas pengharaman
Refah Partisi era Erbakan.
Apabila jelas AK Parti berhasrat
untuk melantik Abdullah Gül, sebagai presiden Turki pada 2007, Ketua Turus
Angkatan Tentera mula memberikan isyarat-isyarat getir. Pegawai-pegawai tentera
bersara mengaturkan demonstrasi-demonstrasi pro-sekularis. Ratus ribuan orang
telah hadir ke demonstrasi di bandar-bandar bahagian barat.
Pada April 27, 2007, parliamen
mengadakan pusingan pertama pemilihan presiden dan Gül tidak mencapai majoriti dua pertiga.
Petang itu juga, markaz turus tentera menyiarkan memorandum memberi amaran
bahawa “kami mengikuti dan mengawasi perbahasan”
dan “kami adalah pembela sekularisme”
serta ugutan, “jika perlu kami akan mempamerkan reaksi kami”. 5 hari kemudian, sebuah
lagi kubu kuat Kemalis iaitu Mahkamah Perlembagaan menyokong permohonan parti
pembangkang sekular CHP supaya dibatalkan pemilihan tersebut atas isu teknikal.
Setelah menerima ugutan terbuka
daripada markaz turus tentera, beberapa orang pemimpin dan penyokong AK Parti telah
memuatkan beg masing-masing untuk bersiap sedia disumbat ke dalam penjara.
Tetapi Turki telah berubah, Erdoğan, Gül, dan AK Parti tidak gentar dan patah
semangat. Mereka mengubah tarikh
pilihanraya parlimen ke hadapan diawalkan dari November ke Julai. Apabila
diberi pilihan di antara AK Parti dan junta tentera, rakyat Turki mengundi secara besar-besaran mahukan
AK Parti. Pada Julai 22, 2007, AK Parti mendapat 46.6 % undi; parti
pro-military CHP hanya dapat 20.9 %. Pada Ogos 28, 2007, parlimen baru melantik
Abdullah Gül sebagai presiden dan isterinya, Hayrünnisa, menjadi “wanita pertama” Turki
yang memakai tudung kepala.
Selama beberapa bulan, pimpinan
tertinggi tentera terus memboikot acara-acara rasmi, kadangkala dengan perbuatan
kesat dan biadap. Namun, tidak timbul lagi persoalan kerana tentera telah
terpaksa kembali kepada berek mereka. Dulu, tentera boleh mencampuri urusan negara
kerana ahli-ahli politiknya tidak popular dan rakyat merelakannya. Tetapi kini,
angkatan tentera yang dikerah tidak dapat digembelingkan lagi bagi menentang
sebuah parti politik popular yang telah memenangi separuh daripada undian
nasional. Lambat laun, sistem yang ada terpaksa menyesuaikan dirinya: Abdullah
Gul bersifat lemah lembut, mesra dan pandai menyantuni orang, serta membina
imej dirinya sebagai seorang negarawan ayng moderat. Orang Turki telah
membiasakan diri mereka melihat wanita bertudung. Mereka pula membiasakan diri
melihat isteri-isteri para pemimpin AK Parti yang bertudung, di mana ada yang
sangat jelita tudungnya, seperti pakaian
isteri bekas menteri , Ali Babacan, yang berpakaian seolah-olah di dalam cerita
kisah seorang permaisuri.
Pemimpin Terulung Turki
Erdogan sering dikatakan sebagai
presiden Turki paling berkuasa semenjak Ataturk. Dia juga dianggap di antara
pemimpin paling karismatik di dunia sekarang. Dia telah memajukan ekonomi dan
pada suatu sudut juga, menyumbang kepada pembaharuan politik dan berupaya
mengendurkan kuasa tentera daripada mencampuri urusan politik. Dia menangani
dengan tegas pesaing tegarnya iaitu tentera yang sering mencampuri pemerintahan
dan merampas kuasa.
Kerajaannya telah bertindak
pantas ke atas rangkaian Ergenekon – suatu komplot sekularis totok yang merancang huru hara bagi menjustifikasi
rampasan tentera. Banyak pihak memuji kerajaannya dalam bertindak ke atas
institusi-institusi kebal yang sepanjang sejarahnya hanya menindas kebebasan
rakyat Turki.
AK Parti memupuk pakatan dan
rakan dalam mendepani tentangan pahit pihak Kemalis yang berada di dalam
birokrasi dan tentera. Dengan mengamal politik akomodasi dan keupayaan
berpragmatik, Erdoğan and Gül mengusaha inspirasi nasional
kerana ramai telah serik dengan ancaman rampasan kuasa tentera dan penindasan
ekstrim Kemalis. Erdogan dan Gul juga menarik perlindungan politik dengan
merancakkan penyertaan EU. Erdogan melaksanakan lawatan kilat kepada banyak ibu
kota Eropah bagi meraih sokongan dan prestasinya
cergas serta mengkagumkan.
Politik Turki sejak 2002 telah
berjalan secara stabil secara relatifnya. Dia membawa kestabilan politik dan
ekonomi kepada sebuah negara yang sebelumnya hanya melonjak daripada krisis
kepada krisis lain. Turki telah muncul sebagai penjana besar pembuatan dan
ekspot.
AK Parti telah memenangi 4
pilihanraya umum. Turkey telah menikmati pertumbuhan ekonomi yang pesat, reform
perlembagaan, dan kemunculan sebagai kuasa gobal. Kejayaan ini, karismanya dan
usahanya menjadikannya model bagi banyak negara-negara Islam.
Erdoğan seorang yang mendominasi
landskap politik. Bagi kebanyakan rakyat terutama daripada pendalaman Anatolia,
dia telah menawarkan khidmat kesihatan
yang lebih baik, orang yang tidak sekular kembali mendapat tempat dan diwakili
serta dia menambahbaik baik infrastruktur negara. Dia berjaya menyiapkan
terowong landasan tren baru di bawah Selat Bosphorus serta sedang menyiapkan
pembinaan Jambatan Ketiga menyeberangi selat itu. Terowong pertama pengangkutan darat juga
sedang dipertimbangkan. Bangunan-bangunan mercu tanda bersejarah dan warisan terbilang
Uthmaniyah telah diperbaiki, diperbaharui dan diindahkan dengan pesat dan kemas
menambahkan lagi minat serta daya tarikan pelancung ke Turki.
Erdogan juga bekerja keras bagi
memastikan kebebasan beragama di dalam negaranya yang majoriti Muslim tetapi
telah lama diperintah oleh regim ekstrim sekular yang menindas penganut dan
pengamal agama. Latarbelakangnya dan komitmen kepada nilai-nilai Islam menarik
kepercayaan dan dokongan majoriti rakyat Muslim Turki yang beragama tetapi
telah diabaikan oleh kerajaan sebelum ini.
Pada pentas antarabangsa, dia dilihat
sebagai sosok yang defensif – tinggi, tetapi berwatak keras dan tidak senyum
mesra. Tetapi di dalam negaranya sendiri, dia kelihatan riang ceria,
berseloroh, menyindir dan juga mendeklamasi sajak kepada ribuan penyokong yang
membanjiri perhimpunannya. Erdogan memiliki karisma combative - mudah bertarung, sifat yang digemari bandar-bandar
kecil pendalaman Anatolia.
Dia mengutuk dan membantah Israel
secara terbuka dan terang-terangan atas tindakan kejam serta tidak
berperikemanusiaan Israel ke atas rakyat Palestin. Dia menerajui sokongan
kepada pergerakan dan pejuang pembebasan Syria serta membantu semua pelarian
Syria dengan segala kemudahan dengan tulus tanpa curiga atau teragak-agak. Dia
telah menawarkan perdamaian dan hak asasi kepada minoriti Kurdis.
Erdogan menggambarkan pendirian
politik partinya sebagai: “Kami telah
membuka lembaran baru dengan kumpulan orang yang baru, parti yang baru… Kami
bukan anti-Eropah. Malah kami pro-Eropah.”
Kata-katanya kini sering
dipertikaikan oleh media terutama Barat. Tentang ungkapan lamanya “landasan aku adalah Islam,” Erdoğan menjawab,
“Islam adalah agama; demokrasi cara
memerintah. Anda tidak boleh membandingkan kedua-duanya. Kita hanya mahu
menambah kebahagiaan kepada rakyat.”
Cabaran
Kini, pergolakan dan percaturan
global menyaksikan serangan media Barat yang dahsyat dan bertalu-talu ke atas Turki
khususnya kepimpinan dan peribadi Erdogan. Jika dulu dia dijulang dan diangkat,
sekarang media giat memperlecehkan tindak tanduk Erdogan hingga ke tahap
memperbesarkan setiap pertuturannya supaya dapat merendahkan sosoknya serta
menjatuhkan imejnya di khalayak dunia.
Media dalam negara juga adalah
antara yang paling bebas di dunia dan TV serta akhbar-akhbar yang menentang AKP
dan mempunyai agenda sekular serta Kemalis terus menerus menyiarkan berita yang
memburukkan Erdogan dan kerajaannya. Ini adalah keunikan Turki yang menjadi lebih
bebas bersuara dan lebih demokratik, ironisnya di bawah pimpinan Erdogan yang
telah membawa pembaharuan demokratik yang luas.
Apabila kemasukkan ke EU
tergendala, ia memberikan kesan kepada kelancaran ekonomi dan perdagangan. Mata
wang Turki pula menyusut akibat spekulasi dan serangan. Prestasi syarikat –syarikatnya
berdepan dengan apa yang ramai orang Turki percaya sebagai sabotaj, contohnya
syarikaa penerbangan Turkish Airlines adalah yang antara paling berjaya
masakini tetapi sering diganggu-gugat oleh ancaman pengganas.
Pergerakan Gulen juga dilaporkan telah
berubah menjadi pesaing dan ancaman kepada Erdogan melalui rangkaiannya yang
melebar di dalam jentera pentadbiran dan juga pelusuk negara.
Pilihanraya terbaru
memperlihatkan perubahan strategi parti-parti saingan yang kini tidak lagi
menunjukkan penentangan terang-terangan terhadap tradisi beragama dan lambang-lambang
Islam malah cuba mempamerkan keterbukaan budaya dan pegangan kepada pluraliti
kemajmukan. Lambang-lambang sekular tegar seperti gambar potret Ataturk telah dikurangkan
sewaktu kempen pilihanraya.
Parti-parti lain juga sering membangkitkan
kecurigaan dan kegusaran rakyat terhadap tendensi berkuasa mutlak jika Presiden
diberikan kuasa eksekutif. Mereka ditakutkan dengan bayangan kehilangan
kebebasan dan paksaan yang menghakis demokrasi. Rakyat juga terutama elit dan
sekular bandar semakin menanam sikap skeptikal terhadap Erdogan terutama
nilai-nilai, amalan dan kegemilangan Uthmaniyah yang mereka lihat ingin
dikembalikan olehnya.
Rancangan pembangunan Gezi
Park dan Istana baru presiden mendapat
tentangan berbentuk demonstrasi besar-besaran pada Jun 2013.
Paling mencabar adalah bagaimana
untuk menangani polarisasi mendalam - semacam berpuak-puak di antara mereka
yang sekularis dan mereka yang beragama yang kian berkembang di dalam
masyarakat yang semakin renggang. Perpecahan ini amat ketara dengan kekuatan AK
Parti bersama majoritinya walaupun tidak
lagi absolut, dan kedegilan pembangkang yang mengambil sikap zero sum – nekad menang atau kalah - berkeras supaya AK Parti mesti digagalkan
walau dengan apa cara sekalipun. Pembangkang menolak untuk berbincang dan
bekerjasama dalam penggubalan perlembagaan baru dan ini menjadi rintangan kepada
janji dan inisiatif AK Parti bagi
mempelawa serta meyakinkan minoriti Kurdis untuk berdamai.
Perbualan, pertengkaran dan
perdebatan hangat berlaku di sesi-sesi santai, majlis jamuan dan perjumpaan di
antara mereka yang liberal yang mempertahankan prestasi reformis AK Parti dan
mereka yang sekularis mengecam kesalahan AK Parti yang dituduh melanggar norma susila
Ataturk. Ini seolah-olah pertembungan di
antara kelas – class warfare. Daripada
pemetaan demografi pengundian, AK Parti seolah-olah mewakili majoriti rakyat baru
perbandaran yang datang daripada kampung-kampung dan kalangan peniaga kecil
manakala sekularis mewakili elit lama yang terdiri daripada pelarian empayar
Uthmaniyah yang telah membangunkan Republik
Turki sejak 1920an yang menguasai bandar-bandar persisiran pantai barat.
Cabaran serta langkah ke hadapannya
tidak mudah dan Erdoğan tabah menerima prinsip yang disebutkannya sendiri
sebagai meraikan natijah demokratik – embracing
any democratic outcome.
No comments:
Post a Comment