KERUNTUHAN INTEGRITI: PERANAN GERAKAN ISLAH
(Memahami
pesan islahi dalam surah Hud)
84. Dan kepada penduduk Madyan, Kami utus shu`ayb, saudara mereka. Shu`ayb berkata: “Wahai kaumku, sembahlah Allah, tiada Tuhan bagimu selain Dia, dan janganlah kamu mengurangi takaran dan
timbangan, aku melihat kamu berada dalam
kondisi yang stabil (makmur dan serba cukup),
tetapi aku khuatir kamu ditimpa siksaan pada hari kiamat.
85. Wahai kaumku, penuhilah takaran dan timbangan
dengan adil dan jangan kamu kurangi hak orang lain, dan jangan pula berbuat kerosakan (fasad) di
bumi.
86. Baki (yang halal) rezeki dari Allah yang ada
padamu lebih baik bagimu jika kamu betul-
betul
beriman. Dan aku bukan penjamin(penjaga)
tingkah-lakumu.”
87.Mereka berkata: “Wahai Shu`ayb, adakah solatmu (agamamu) menyuruhmu supaya
kami meninggalkan sesembahan nenek-moyangkami atau melarang kami membelanjakan
harta kami sesuka kami? Sebenarnya kamu orang yang penyantun dan
arif.”
88. Shu`ayb
bertanya, “Wahai kaumku, tidakkah kamu
tahu bahawa Allah telah memberi
petunjuk kepadaku, dan Dia memberi rezeki yang baik kepadaku? Aku tidak akan
membenarkan (diriku melakukan) sesuatu yang
aku larang kamu melakukannya. Aku
hanya menghendaki pembaikan (islah) semampuku.
Aku hanya mengharap pertolongan
Allah.
Kepada-Nya aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya pula aku kembali.
(Hud:84-88)
117. Tuhanmu tidak akan membinasakan penduduk negeri tanpa sebab (secara zalim) selagi penduduknya
berbuat kebaikan (melaksanakan islah).
(Hud:117)
11. Apabila mereka diingatkan, “Janganlah kamu
menimbulkan kerosakan di muka bumi”,
mereka malah
membantah dengan menjawab, “Sebenarnya
kamilah yang selalu membuat
kebaikan.”
12.Ketahuilah!
Sesungguhnya merekalah pelaku kerosakan
(al-mufsidun) sebenarnya,
tetapi mereka tidak menyedari.
(al-Baqarah:11-12)
Mukadimah
Risalah para rasul sepanjang sejarah semuanya berpaksi pada tauhid
(mengesakan Allah) dengan segala
implikasinya. Kerana itu Dr. Taha Jabir
al-Elwaniy dalam gagasan maqasid al-shari`ah-nya
(al-maqasid al-`ulya al-hakimah)
meletakkan tawhid sebagai objektif
utama syari`at, di samping tazkiyah (penyucian
jiwa manusia) dan `umran (pentamadunan
bumi/alam). Maqasid al-shari`ah (objektif
utama syari`at) pada hakikatnya adalah nilai-nilai universal yang terumus pada
satu kata: maslahah dalam pengertian pemeliharaan dan pengembangan kepentingan
dan manfaat umat keseluruhannya (masalih
al-`ibad). Untuk merealisasikan
objektif maslahah, diperlukan penampilan manusia yang salih dan muslih (manusia yang baik dan mampu memperbaiki yang lain). Lawan bagi kata maslahah ialah mafsadah (kerosakan).
Sejarah manusia banyak diwarnai perlawanan antara al-muslihun (pejuang maslahah/islahumat
keseluruhannya) berhadapan dengan al-mufsidun (pelaku mafsadah/fasad)yang menindas dan mengeksploitasi massa rakyat semata-mata
demi kepentingan diri. Petikan ayat-ayat dari surah Hud di atas memberikan pemerian tentang perlawanan Nabi Shu`ayb `a.s. terhadap gejala fasad dalam kehidupan masyarakat
zamannya, khususnya al-fasad al-iqtisadiy
(kerosakan di ranah ekonomi) akibat keruntuhan integriti moral warga Madyan,
terutama para elit ekonominya. Sifat materialistik, tamak, rakus dan
mementingkan diri telah menjadikan
mereka “binatang-binatang ekonomi” yang
berleluasa mengeksploitasi rakyat kecil menerusi pelbagai bentuk penindasan, penipuan
dan pengkhianatan urus-niaga. Agenda islah
Nabi Shu`ayb `a.s. bertolak dari
pembangunan `aqidah (tawhid) yang
berlanjut pada penegakan nilai amanah dan keadilan dalam kehidupan sosial umat, khususnya dalam bidang ekonomi. Perjuangan
islahi Nabi Shu`ayb `a.s. melawan kebejatan perilaku bisnes warga kota Madyan
seharusnya dapat memugar semangat dan komitmen islahi, dan seterusnya
mengilhami penggagasan sebuah model
ekonomi berasaskan iman (faith-based),
berteraskan nilai integriti (the economics
of integrity).
Huraian Maksud
Ayat-ayat
Petikan ayat-ayat di atas merakamkan dialog nabi Shu`ayb `a.s.
dengan kaumnya tentang islah keagamaan
dan kemasyarakatan di tengah umat yang mengalami kesesatan `aqidah dan
keruntuhan integriti moral. Formula islah yang ditawarkan dan diperjuangkan
oleh nabi Allah tersebut berpaksi pada ajaran tawhid sebagai pandangan sarwa (worldview)
yang menjadi asas cara hidup keseluruhannya - sistem nilai dan hukum-hakam dalam segala ranah
kehidupan: agama, politik, ekonomi dan
sosial. Tawhid dalam pengertian yang setepat dan setulennya memang membawa implikasi dalam realiti kehidupan di segala bidang, termasuk
kehidupan muamalat materi duniawi sehari-hari. Ayat 84 (...sembahlah
Allah, tiada Tuhan bagimu selain
Dia, ....) mengangkat prinsip tawhid yang dihubungkan langsung dengan nilai integriti - amanah
dan keadilan - dalam transaksi bisnes dan segala urusan muamalat (...dan janganlah kamu mengurangi takaran dan
timbangan, ...).
Madyan adalah kota bisnes yang terletak di tengah jalur
perdagangan utara-selatan (Sham dan
Hijaz). Kedudukan strategik tersebut memang
menguntungkan warga kota Madyan,
terutama dari segi ekonomi. Tetapi
dari sisi lain, kedudukan tersebut juga telah
membuka kesempatan kepada mereka untuk melakukan kesewenang-wenangan - menipu, menindas, memeras dan mengeksploitasi; malah
merompak kafilah-kafilah perdagangan yang melintasi daerah tersebut. Madyan
benar-benar telah menjadi kota “syurga” penipu
dan perompak yang kejam. Krisis integriti
ternyata bukan hanya suatu isu masa lalu, dan bukan juga suatu gejala
lokal, tetapi masih mewabak di mana-mana hingga ke hari ini. Penipuan tidak hanya dilakukan secara
individu oleh pedagang-pedagang kelas ikan bilis, tetapi dilakukan juga oleh golongan
profesional, dan lebih dahsyat lagi ia dilakukan oleh syarikat-syarikat gergasi
multi-national corporations; malah banyak juga berlaku sejenis “rompakan terselubung” yang dilakukan oleh negara dan kuasa-kuasa dunia.
Untuk menangani krisis integriti sekronik itu, yang diperlukan
bukan sekadar kursus business ethics atau
suatu akta pencegahan, tetapi suatu gerakan islah
berasaskan `aqidah (iman) yang mampu
membangkitkan rasa takut kepada hukuman Allah dan keinginan yang meluap-luap
untuk mendapatkan keredhaan-Nya. Hanya iman yang dapat mendisiplinkan dan
mengembalikan integriti bangsa yang sudah sedemikian bejat dilanda fasad. Justeru, seperti yang diisyaratkan dalam ayat 84, hanya umat yang beriman yang menyedari erti
puas dan redha dengan kemakmuran yang ada (...
aku melihat kamu dalam kondisi yang stabil
- makmur dan kecukupan...), dan
hanya umat yang beriman yang menyedari bahaya hukuman Tuhan, duniawi-ukhrawi, akibat
kecurangan dan kezaliman mereka (...tetapi
aku khuatir kamu ditimpa siksaan pada hari kiamat). Hanya kekuatan rohaniah keagamaan yang dapat
mengawal sifat tamak dan rakus. Hanya
integriti moral berasaskan iman yang dapat memberikan kekuatan mempertahankan
prinsip amanah dan keadilan ketika berhadapan dengan pelbagai goda pesona keuntungan (haram), dan ketika
berhadapan dengan realiti lingkungan budaya korupsi, apabila orang lain
leluasa mengaut keuntungan secara tidak bermoral. Dan hanya iman yang
dapat membangkitkan rasa malu melakukan hal-hal yang tidak selayaknya dilakukan
oleh orang yang bermaruah.
Andainya warga Madyan itu beriman, tentunya mereka sudah
merasa cukup bahagia dengan kemakmuran yang ada, tanpa keperluan melakukan penipuan dan kecurangan.
Iman akan memberikan mereka keyakinan bahawa
amanah dan keadilan tidak akan menjadikan mereka miskin. Sebaliknya, mereka akan menyedari bahawa budaya curang akan membawa bencana. Seorang
penipu akhirnya akan mendapat giliran ditipu. Demikianlah hakikatnya hukum yang
beraku dalam budaya tipu-menipu. Keadaan
ini akan menciptakan kehidupan yang tidak selamat. Setiap saat terdedah kepada
kemungkinan ditipu.
Ayat 85 mengulangi seruan nabi Shu`ayb `a.s. kepada penegakan
nilai amanah dan keadilan. Tetapi kali ini tidak dalam bentuk larangan, sebaliknya
dalam bentuk suruhan (Dan wahai kaumku, penuhilah takaran dan
timbangan dengan adil...). Gaya pengungkapan bentuk suruhan (memenuhi dan
menyempurnakan takaran dan timbangan)
mengesankan makna yang lebih positif dan lebih kuat. Kata awfu/ifa’ (memenuhi dan menyempurna) membawa
erti bukan sekadar tidak mengurangi,
tetapi lebih medorong kepada penambahan. Gaya pengungkapan sedemikian
terasa membawa semangat toleransi, simpati dan peduli. Pesan moral amanah dan
keadilan dipertegas lagi dalam ungkapan seterusnya, tetapi cakupannya lebih menyeluruh -
tidak hanya pada urusan takar-menakar dan timbang-menimbang barang
dagangan, tetapi meliputi segala yang menjadi hak orang lain (...dan janganlah kamu kurangi hak orang
lain...). Pesan ini menuntut sikap jujur dan adil dalam semua urusan yang melibatkan takaran, ukuran,
timbangan dan nilaian semua jenis hak - materi dan non-materi, jasmani dan rohani. Justeru,
kata ashya’ (jamak kata shayi’) meliputi juga sesuatu
yang bersifat abstrak, non-fizikal dan non-material
(ghayr al-mahsusat). Ini bererti tuntutan bersikap jujur dan adil
dalam menilai seseorang - wataknya, kemampuannya, ketokohannya,
sumbangannya, statusnya dan martabatnya.
Kegagalan bersikap jujur dan adil dalam menilai seseorang adalah suatu
kezaliman yang mencederai hati dan membenihkan ketegangan dalam kehidupan
bermasyarakat. Justeru, keadilan bererti setiap orang yang berhak mendapat
haknya (giving every one his due). Nabi
Shu`ayb `a.s. menyimpulkan pesan-pesan islahi-nya dengan larangan menyeluruh yang
meliputi segala bentuk perlakuan fasad (...dan janganlah kamu melakukan kerosakan
dibumi). Yang harus ditentang dan dilawan bukan hanya kecurangan ekonomi,
tetapi semua bentuk kecurangan - ekonomi, politik, sosial dan seterusnya. Kata
mufsidin (pelaku kegiatan fasad)
pada hujung ayat tersebut menyiratkan
makna kesengajaan dan keleluasaan melakukan fasad.
Merasa beruntung dengan melakukan fasad (penipuan dan kecurangan lainnya) adalah suatu perkiraan yang
salah. Keberuntungan yang hakiki adalah pendapatan
yang halal dari urus-niaga yang jujur dan adil. Ayat 86 (Baki [yang halal] rezeki dari Allah yang ada padamu lebih baik
bagimu...), menegaskan suatu hakikat penting bahawa keuntungan yang
diperolehi dari bisnes yang beretika dan berintegriti adalah lebih baik, lebih selamat dan lebih
membawa barakah dengan syarat didasari iman (...jika kamu betul-betul beriman,..). Tanpa iman, amal tidak bernilai. Demikianlah kaitan
antara iman (tawhid) dengan persoalan
untung-rugi dan baik-buruk kehidupan kini dan nanti. Tetapi persoalan sama ada mereka beriman atau
tidak adalah tanggungjawab diri peribadi mereka sendiri. Mereka sendirilah yang berhadapan secara
langsung dengan Allah, menanggung segala risiko dari sikap dan perilaku yang
mereka pilih, (...Dan aku bukan penjamin [penjaga] tingkah-lakumu). Ertinya, tanggungjawab rasul hanya
menyampaikan, bukan memaksa. Ia tidak
dibebani tanggungjawab mengawal dan menjaga segala perbuatan mereka, yang terbuka dan tersembunyi. Melaksanakan kewajipan dan mencari yang halal
harus lahir dari pedalaman hati (iman) yang tulus semata-mata kerana Allah,
bukan kerana manusia. Demikianlah ayat
86 ini berhujung dengan meletakkan tanggungjawab (beriman dan beramal) di atas
bahu setiap individu.
Ayat 87 mengungkapkan tindak balas warga Madyan terhadap agenda
islah nabi Shu`ayb `a.s. Kedua-dua
inti seruan nabi Shu`ayb `a.s. (tawhid dan
etika bisnes) ditolak, malah dipersenda. Seruan tawhid
mereka tolak dengan kata-kata, “..adakah
solatmu (agamamu) menyuruhmu supaya kami meninggalkan sesembahan nenek-moyang
kami?...”. Nabi Shu`ayb `a.s. memang
terkenal dengan ketekunannya mengerjakan ibadat (solat), sesuai dengan `aqidah tawhid yang menuntut pengabdian seutuhnya kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa; dan sekali gus menolak shirk dalam segala bentuknya,
termasuk penyembahan berhala. Pengertian tawhid seperti itulah yang tidak difahami oleh warga kota Madyan. Ternyata mereka telah kehilangan daya fikir rasional
dan kritis sehingga menjadi sedemikian setia mempertahankan kesesatan dan
kebatilan tradisi pusaka nenek-moyang. Seruan
etika bisnes (amanah dan keadilan) pula mereka tolak dengan berkata, “...atau melarang kami membelanjakan harta
kami sesuka kami?...”. Mereka
mempersoalkan apa hubungannya solat (amal keagamaan nabi Shu`ayb `a.s.)
dengan praktik jual-beli di pasar? Mereka
tidak mengerti bahawa tawhid (mengesakan
Allah) menuntut komitmen mengamalkan
syari`at-Nya dalam segala bidang kehidupan,
termasuk kehidupan muamalat bisnes dan kegiatan perekonomian lainnya. Kerana
itu mereka menolak campur tangan agama dalam urusan kehidupan ekonomi. Membawa-bawa agama ke dalam kancah
kehidupan bererti menyekat kebebasan berekonomi. Mereka mahu
bebas mengendalikan harta-benda mereka untuk kepentingan diri mereka sendiri. Kerana menjaga vested interest mereka menolak syari`at yang menghendaki mereka membayar zakat dan menginfaqkan harta untuk kebajikan. Mereka tidak dapat menerima ajaran bahawa
halal yang sedikit lebih baik daripada haram yang banyak. Bagi mereka ajaran agama
yang sedemikian itu bertentangan dengan dasar pertumbuhan ekonomi. Apa pun alasannya, yang jelas mereka
adalah orang-orang yang tidak rasional, tertutup dan fanatik terhadap tradisi sesat;
dan mereka juga adalah orang-orang yang rakus dan serakah sehingga tidak mempedulikan
hukum halal-haram. Sanggahan mereka ternyata sangat dangkal, dan kerana tidak mampu berhujah dengan ilmu
dan akal sihat, lalu mereka bertindak biadab, mengejek dan mempersendanabi
utusan Allah, “...sebenarnya kamu orang yang penyantun dan arif.” Kata-kata
tersebut sebenarnya bermaksud sebaliknya,
bahawa Nabi Shu`ayb `a.s. itu orang bodoh, dangkal dan jahil.
Nabi Shu`ayb `a.s. menanggapi reaksi kaumnya dengan tenang, santun
dan penuh yakin sebagai nabi yang mendapat petunjuk Ilahi, (...Wahai
kaumku, tidakkah kamu tahu bahawa Allah telah
memberi petunjuk kepadaku, dan Dia
memberi rezeki yang baik kepadaku...). Demikianlah penampilan seorang nabi
yang dikurniai petunjuk Ilahi, yakin dan
percaya diri, hujahnya kuat,
keterangannya jelas. Di hadapan
khalayak kaumnya, Shu`ayb `a.s. memperlihatkan keteguhan sikapnya dan keyakinan
dirinya sebagai seorang yang telah menerima anugerah nubuwwah dan hikmah serta
rezeki yang halal secukupnya tanpa melakukan penipuan dan kecurangan. Dengan
mematuhi prinsip amanah dan keadilan dalam bermuamalat jual-beli, ia masih mendapat keuntungan (halal) secukupnya.
Shu`ayb `a.s. adalah pendakwah dan juru islah yang mempraktikkan apa yang
didakwahkannya (...Aku tidak membenarkan [diriku melakukan] yang aku larang kamu
melakukannya...). Ia bukan jenis pemimpin hipokrit yang “cakap tak
serupa bikin”, berperi-peri melarang
orang, tetapi dia sendiri melakukannya dalam sembunyi; pura-pura menyantun, diam-diam menyamun; pura-pura membela, tahu-tahu memperkosa.
Setelah kaumnya memberikan reaksi sedemikian rupa itulah
Shu`ayb `a.s. mendeklarasikan komitmen islahinya yang kemudian diabadikan
sebagai misi para da`i dan pejuang islah sepanjang
zaman, “...Aku hanya menghendaki pembaikan
[islah] semampuku.
Aku hanya mengharap pertolongan Allah.
Kepada-Nya aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya pula aku kembali.” Objektif
gerakan islah adalah murni, semata-mata demi kebaikan umat keseluruhannya; meskipun ada pihak yang merasakan bahawa tawhid dan integriti moral bererti hilangnya
kepentingan peribadi dan terlepasnya kesempatan mengaut mengaut keuntungan. Hakikatnya, yang hilang dan terlepas adalah pendapatan yang
kotor dan jijik, untuk digantikan dengan
pendapatan yang besih dan halal serta
kehidupan sosial kemanusiaan yang harmonis, bahagia dalam semangat saling
peduli, mesra tanpa dendam dan permusuhan.
Shu`ayb `a.s. menyatakan komitmennya untuk memperjuangkan agenda islah dengan kekuatan dan keupayaan
semaksimumnya. Kata “ma ‘stata`tu” dalam ayat tersebut membawa
maksud kerja kuat hingga ke hujung batas keupayaan. Tuhan akan menolong kerja kuat yang didasari ketulusan niat. Hanya
kepada-Nya para pejuang (al-muslihun)
berserah dan bergantung, kerana hanya
Dia satu-satunya kekuatan penentu kejayaan. Dan akhirnya kepada-Nya jua semua
harus kembali bersama amal perjuangan yang diniatkan hanya untuk mendapatkan
keredhaan-Nya.
Islah adalah
salah satu tema besar surah Hud. Persoalan
islah disebut berulang kali di pelbagai tempat, termasuk di ayat 117, “Tuhanmu
tidak akan membinasakan negeri tanpa sebab (secara zalim) selagi penduduknya
berbuat kebaikan.”. Ayat ini mengungkapkan sunnatu ‘Llah dalam penentuan untung nasib bangsa. Tuhanlah yang
menentukan jatuh dan bangun sesuatu bangsa mengikut sunnah-Nya yang tidak pernah dan tidak akan pernah berubah. Kehancuran sesuatu bangsa selamanya
bersebab, kerana Tuhan tidak menghukum secara
zalim. Serosak mana pun keadaan keadaan sesuatu bangsa, mereka tidak akan
dihancurkan selagi masih ada gerakan islah
yang komited memperbaikinya. Mengenai kata “zulmin” dalam
ayat tersebut, Abdullah Yusuf Ali memberikan catatan, “There are different shades of
interpretation for this verse. I follow
Baidhawi in construing zulmin here as ‘a single wrong’. He thinks that the wrong referred to is shirk, or
polytheism: God will not destroy for mere wrong belief if the conduct is
right. I incline to interpret in more
general terms ... He is too Merciful to
destroy for a single wrong, if there is any hope of reclaiming the wrong-doers
to repentance and amendment or right life.
An alternative interpretation is:
to destroy communities unjustly.”
Memang terdapat kalangan mufassirin yang memaknai kata “zulmin”
dalam ayat tersebut sebagai syirik. Ertinya, biar sesuatu bangsa itu melakukan syirik bentuk
apa pun, mereka tidak dihancurkan selama
warganya masih melaksanakan prinsip dan nilai islah (amanah dan keadilan) dalam muamalat kehidupan sosial. Kehancuran bangsa akan berlaku apabila tatanan
moral masyarakat ditonggang-langgangkan, lalu berleluasalah kezaliman dan penganiayaan
tanpa pencegahan yang berkesan. Dari ayat inilah terumusnya hukum sejarah: sesuatu
bangsa boleh bertahan dengan kekafiran, tetapi tidak akan dapat bertahan dengan
kezaliman,
ان الامم تبقى مع الكفر، ولا تبقى مع الظلم
Demikianlah kritikalnya peranan al-muslihun (para
pejuang islah) dalam menentukan survival bangsa. Mereka tidak hanya melaksanakan kewajipan
terhadap Tuhan, tetapi juga menyelamatkan
bangsa dari bencana kemurkaan-Nya.Untuk melaksanakan misi islah, golongan al-muslihun harus
berhadapan dengan golongan al-mufsidun
(kelompok pelaku fasad/kerosakan) yang selalu tampil
berselindung di balik retorik dan slogan
islah. Ayat 11 dan 12 surah al-Baqarah
mendedahkan tipu daya kaum al-mufsidun mengabui mata rakyat massa. Mereka membungkus fasad dalam kemasan islah, menyebar mafsadah yang diberi label maslahah.
Pengajaran
Bagi Aktivis Islah
Ayat 88 surah Hud di
atas harus selamanya menjadi landasan komitmen perjuangan islahi mentauhidkan
Allah, mengislahkan manusia, mengimarahkan bumi. Krisis integriti yang
melanda seluruh lapisan umat ketika ini harus ditangani menerusi gerakan islah keagamaan dan kemasyarakatan yang menyeluruh.
Gejala fasad yang meratai segenap sektor masyarakat ketika ini tidak
kurang seriusnya berbanding kerosakan masyarakat zaman Ibn Taymiyyah (abad
7-8H), suasana serba fasad yang mendorong
Shaykh al-Islam tersebut menulis kitab:
السياسة الشرعية في اصلاح الراعى والرعية
Judul kitab tersebut cukup jelas memberikan isyarat fasad yang
melanda umat -
penguasa dan rakyat. Yang memerintah
dan yang diperintah sama rosaknya sehingga tidak ada pilihan selain mengislah kedua-duanya - al-ra`iy
(pemerintah) dan al-ra`iyyah (rakyat). Kedua-duanya
sama-sama melakukan kezaliman seperti yang diungkapkannya:
وكثيرا ما يقع الظلم من الولاة والرعية ،هؤلاء يا خذون ما لا يحل ،وهؤلاء
يمنعون ما يجب ، ...
Demikianlah sebahagian daripada kebobrokan yang menggejala
dalam kehidupan umat, dahulu dan sekarang. Penguasa merompak harta rakyat, sementara rakyat mengelak dari kewajipan infaq.
Dalam realiti hari ini,
para da`i yang juru islah tidak harus membatasi daerah gerakannya
hanya dalam kalangan rakyat massa, tetapi
harus menjangkau ke daerah elit politik dan elit ekonomi. Demikian juga isu
yang harus ditangani tidak harus dibataskan pada masalah-masalah individu, tetapi menjangkau ke daerah politik, ekonomi
dan sosial yang lebih luas, dengan
tahap kompetensi keilmuan yang lebih tinggi. Justeru, gejala fasad yang
melanda sudah sampai ke tahap yang cukup parah sehingga telah merosak trias-politika
(pemisahan kuasa) yang
menjadi teras tatanan kenegaraan kita. Kehidupan ekonomi rakyat telah semakin
memprihatinkan akibat keruntuhan tatakelola yang baik, keruntuhan integriti, mewabaknya rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Gemblengan
kekuatan dakwah dan islah sebenarnya dapat menjelmakan gerakan moral
yang mampu menciptakan perubahan.
Untuk menjadikan dakwah dan islah sebagai kekuatan
perubahan, perlu ada usaha yang jujur dan serius untuk meningkatkan kompetensi
para da`i, di samping usaha korektif memperbaiki sikap dan perilaku para
aktivis dakwah dan islah. Paparan kisah penampilan Nabi Shu`ayb `a.s. dalam surah Hud di
atas seharusnya menyedarkan kita tentang bagaimana sebaiknya menyikapi
umat, yang bagaimana sekalipun sikap mereka, hubungan persaudaraan harus tetap
dipelihara. Kata “akhahum” (saudara mereka) pada ayat 84
perlu direnung dan dihayati.
Demikian juga kata “ya qawmi” (wahai kaumku) yang diucapkan oleh Nabi Shu`ayb `a.s. ketika
menyapa kaumnya yang jelas-jelas menolak seruannya, perlu diteladani dalam melayani umat
sebangsa.Sesungguhnya dakwah dan islah adalah amanah suci Ilahi yang harus
sentiasa dipelihara dari sebarang pencemaran. Ia bukan medan mencari populariti
dan glamour peribadi, bukan
pentas peragaan diri para selebriti, dan
bukan juga gelanggang persaingan pengaruh antara mashayikh.
(Dr Siddiq Fadzil, Kuliah Tafsir Maudhuiyy Siri ke 75)
TM75
KDH:28112015.
No comments:
Post a Comment