Thursday, January 14, 2016

DR SIDDIQ FADZIL: BANGUNKAN KECERDASAN BERFIKIR UMAT



SALWA adalah sebahagian penting dalam menggalas perjuangan Wadah Pencerdasan Umat. Satu-satunya aspirasi besar wadah ini adalah mencerdaskan umat.


BERFIKIR

Pencerdasan adalah keperluan yang sangat mendesak berasaskan kenyataan bahawa umat kita perlu disedarkan kerana sudah terbelenggu dalam pemikiran yang dibentuk golongan tertentu dan oleh mereka yang berkepentingan. Umat kita lemah berfikir, malas berfikir. Phenomena ini disebutkan oleh Malek ben Nabi sebagai al da’fu wa al kasal fi al tafkir – lemah dan malas berfikir.

Phenomena umat Islam ini di mana-mana, mudah tertipu, mudah dieksploitasi, dibohongi dan diperbodohkan sehingga seorang sasterawan terkenal Rendra mengarang puisi tentangnya.

Ketika sambutan alaf baru milenium 2000, Rendra mengatakan bahawa Indonesia belum merdeka. Padahal semua orang tahu Indonesia telah mengisytihar kemerdekaannya tanggal 1945. Mengapa dia berkata begitu? Dia memerhatikan rakyat terbelenggu dengan cara fikir, pola fikir yang dikuasai golongan tertentu sangat mudah diheret ke mana saja. Rakyat tidak bebas dan tidak mampu serta mudah dibohongi. Rendra menyalahkan terutamanya parti-parti politik yang punya kecenderungan dan ghairah membelenggu pemikiran ahli-ahlinya. Baik parti pemerintah atau parti pembangkang dengan pemaksaan pemikiran seperti “baca yang ini saja, bukan yang ini!” serta “dengar dari kami saja, jangan dengar yang itu!” Ini bukan phenomena di Indonesia sahaja.

Dalam suasana beginilah relevannya peranan Wadah Pencerdasan Umat suppaya membangunkan daya fikir umat, membina thinking capacity. Umat tidak akan mampu ke mana-mana jika masih tidak mampu berfikir.


KEILMUWAN

Amanat pimpinan kita yang lalu menyentuh tentang Misi Kecendekiawanan dalam Gerakan Reformasi Islahi (2015). Teks amanat ini telah sampai kepada Anwar Ibrahim di belakang jeriji kurungannya dan dia menghargainya serta berpesan supaya diedarkan seluasnya dan kepada pimpinan partinya – kerana itulah yang mesti diperjuangkan oleh parti reformasi. Apalah guna jeritan-jeritan reformasi padahal pemikiran masih di tahap parti lama. Anwar sangat menginginkan semangat reformasi islahi mengakar dan meresap sepenuhnya dalam partinya.

Kekuatan tradisi keilmuan kita mesti dilestarikan dan kita bukan bermula bertolak daripada titik kosong. Tradisi ilmu sudah ada pada Wadah ABIM PKPIM sejak hari pertama kita lahir sebagai pergerakan. From day one, kita muncul dengan  tradisi ilmu, tradisi yang tidak ada pada wadah-wadah lain. Pengalaman selama 40 tahun, jika dikira sebagai contact hours – waktu pembelajaran yang mungkin merupakan ukuran berapa buah universiti yang telah dihadiri.

SALWA tidak terkecuali daripada tugas memperkuatkan tradisi ilmu ini. Usrah bukan bererti menadah kitab tok guru tetapi usrah adalah belajar bersama. Naqib berperanan memastikan supaya perbincangan sampai kepada objektif agar terarah tetapi naqib tidak semestinya menjadi penjawab semua soalan. Naqib tidak semestinya seorang tok guru.

Begitulah memahami usrah sebagai proses pembelajaran bersama. Asasnya al Qur’an dan al Sunnah. Itulah sumber tradisi ilmu berpaksikan al Qur’an dan al Sunnah dan seterusnya berkembanglah ke mana-mana pun. Al Qur’an mesti hadir, daripada pembacaan, pemahaman hingga penghayatannya. Itulah tradisi yang kita pertahankan dan kita mewariskan. Inilah uncompromising policy – dasar yang tidak boleh diabaikan, pangkalnya mesti rujukan al QurĂ¡n. Al Qur’an ditafsirkan dengan panduan dan penjelasan al Hadith Rasulullah s.a.w.

Kemudian kajian pemikiran berorientasikan gerakan, keilmuan dan kepimpinan harakiy yang terdahulu. Diikuti dengan perbahasan pemikiran intelektual Muslim kelas bertaraf dunia dengan nama-nama tokoh-tokoh tersohor pada waktu itu. Sekarang mungkin perbahasan sekitar pemikiran ilmuwan seperti Qaradawi, Raysuni dan Ghanoushi. Kajian dan perbincangan juga meliputi karya pemikir-pemikir bukan Islam.


SEJARAH

Begitulah pentingnya pengetahuan tentang sejarah kita, sejarah gerakan yang mesti dihargai. Di dalam dunia bisnes, sejarah mempunyai tempat yang penting – how can you know where you are going if you do not know where you have been?

Mereka yang melupakan dan tidak mengendahkan sejarah akan terhuyung hayang berfikir-fikir, rupa-rupanya mereka telah balik kepada yang dahulu. Mereka tersesat dalam perjalanan. Bagi organisasi dan parti seperti ini, bukannya sesuatu itu pencapaian baru malah telah berundur 30 tahun ke belakang. Ini semua berlaku kerana tidak mengetahui sejarah.

Pemikir Henry Pirenne pada karyanya Muhammad and Charlemagne menerangkan bagaimana kesan kemajuan dan pengaruh Islam mencetuskan evolusi kebangkitan Eropah baru. Oleh itu ufuk pembacaan kita perlu luas kerana tidak cukup jika dihadkan kepada karya-karya tokoh-tokoh gerakan Islam tertentu sahaja.

Penulis ekonomi Gunnar Myrdal pada karyanya Asian Drama mengkaji tentang kemiskinan rakyat dan kepedulian. Gerakan kita telah mengambil kepedulian terhadap kemiskinan dan kesengsaraan rakyat sejak tahun 70’an. Aktivis-aktivis tahun 70’an adalah anak-anak kampung yang tahu apa itu kemiskinan. Sekarang mungkin mengetahui tetapi tidak merasainya. Merasai bisa tetapi tak bisa merasainya. Kita merasai kemiskinan dan kita mengkaji punca-puncanya. Myrdal merumuskan bahawa pembandaran tidak menyelesaikan masalah kemiskinan di Asia.

Dakwah kita bukan hanya berceramah sahaja. Perlu ada gerakan keIslaman yang menangani masalah. Penyelesaiannya bukan sahaja bergantung kepada usaha pemerintah. Terutama bagi pemerintah yang berada di dalam penguasaan golongan korporat. Apabila politik bersekongkol dan berkesedudukan dengan bisnes, maka habislah semua secara terang-terangan dan rakyat melarat. The Silent Takeover oleh Noreena Hertz  mendedahkan bagaimana dalam dunia global syarikat-syarikat korporat memanipulasi dan mengambilalih daripada kerajaan dan ahli politik dalam segenap urusan pentadbiran negara dan masyarakat.

Anjakan kini berlaku daripada ekonomi berpengetahuan kepada ekonomi manusiawi agar mengembalikan kemanusiaan ke dalam ekonomi. Pemikiran harus luas sepertimana perkembangan dunia keilmuan yang luas. Kita tidak boleh menjadi seperti Fir’aun yang memaksa satu sudut pandangan bagi semua orang – Fir'aun berkata: "Aku tidak mengemukakan kepadamu, melainkan apa yang aku pandang baik; dan aku tiada menunjukkan kepadamu selain jalan yang benar"(40: 29) Sekadar memperolehi ijazah BA tahun 80’an sebagai modal hingga ke masakini sudah tidak memadai.

Paulo Freire dalam Pedagogy of the Oppressed memperjuangkan orang yang tertindas bagaimana bagi memberdayakan golongan melarat dan termiskin. Ustaz-ustaz kita seperti al marhum Ustaz Fadzil Noor, Ustaz And Wahab Zakaria adalah mereka yang berkualiti dan mengikuti perkembangan pemikiran ini. Memikirkan bagaimana untuk membela kaum yang tertindas kerana mereka tidak akan menerima sistem pendidikan biasa. Golongan tertindas memerlukan pendidikan khas untuk bangkit dan memupuk daya juang, keyakinan diri dan percaya kepada diri sendiri.


CABARAN MASAKINI

Banyak sangat masalah yang menimpa umat pada aspek pendidikan, politik, ekonomi, sosial dan ini bukanlah kerja sambil-sambilan. Perjuangan di dalam wadah ini bukan kerja sambilan - “sambil-sambil bermain dengan cucu”. Kalau kita mahu mewarisi dan mencontohi perjuangan Nabi Shu’aib a.s., komitmen Nabi Shu’aib pada perjuangan dakwah, maka bekerja untuk reformasi islahi adalah sejauh yang termampu – semaksimumnya pada material, fizikal dan moral – seluruh jiwa dan raga. In uridu illal islaha mastatu`tu - Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) islah selama aku masih berkesanggupan (Hud:88). Jangan berundur, selagi terdaya kekuatan yang dikurniakan Allah s.w.t selagi itulah kita berjuang. Tradisi inilah yang mesti kita terapkan dan kita pelihara.

Saya amat terhutang budi kepada sahabat, guru dan mentor saya Anwar Ibrahim. Dia adalah orang yang banyak menyumbang bagi membentuk dan mempengaruhi saya. Saya tidak akan menjadi seperti saya ini jika ditakdirkan tidak bertemu dengannya. Saya sangat tersinggung apabila ada orang yang sanggup memperlekehkannya. Padahal orang itu mempunyai masalahnya tersendiri.

Anwar Ibrahim seorang manusia luar biasa. Ketangkasan politiknya tidaklah kita ingin bicarakan di sini. Keintelektualannya amat menyerlah. Sewaktu dia menjadi Menteri Pendidikan, dia telah mengarahkan  semua Naib-Naib Canselor membaca laporan tentang kemerosotan pengajian tinggi di Amerika Syarikat, begitu dia prihatin dengan tahap intelektualisme di universiti-universiti. Saya pernah berpesan melalui tirai besi bagi menanyakan tajuk sebuah buku kerana saya hanya teringat se patah perkataan dalam tajuknya, Anwar menjawab dengan maklumat lengkap: tajuk penuh, pengarang, penerbit dan tahun penerbitan - A Nation at Risk: The Imperative for Educational Reform - A Report to the Nation and the Secretary of Education,  United States Department of Education by the National Commission on Excellence in Education, April 1983 serta dia menambah pula maklumat buku baru yang menyusuli laporan itu - A Test of Leadership -Charting the Future of U.S. Higher Education (2006).


KRITIK DIRI

Kemerosotan kualiti intelektual berlaku di mana-mana. Ramai berkelayakan akademik tinggi tetapi tidak ramai merupakan real intellectual. Lulusan Azhar pun perlu menilai semula dan melakukan self criticism – kritik diri terutama yang berada memencak di pentas-pentas dakwah dan ceramah. Profesor Yusuf al Qaradawi sendiri juga seorang lulusan Azhar menulis sebuah risalah Risalat al-Azhar bayna al-ams wa al-yawm wa al-ghad menganjurkan Azhar melakukan al naqd al dhatiy – kritikan diri bagi menangani kemerosotan kualiti dan standard pengajiannya. Dia menyarankan agar kurikulum pengajian Islam di Azhar diubahsuai dan dikemaskini,  termasuk kuliah usuluddin dan fiqhnya yang sebahagian kandungannya dinilai sudah ketinggalan zaman dan tidak mampu menjawab persoalan-persoalan kontemporari seperti sekularisme, modenisme, pasca modenisme.  Dia menegur budaya ketergantungan pelajar kepada nota pensyarah yang lebih bermotif keuntungan untuk pensyarah daripada manfaat bagi pelajar. Pelajar didapati tidak lagi merujuk ummahatul kutub – karya-karya agong ulama’ kerana merasakan cukup dengan nota-nota (al-mudhakkirat).

Berleluasanya penceramah, penghukum dan penglabel yang tidak dicabar kerana memakai gelaran agamawan di atas tanggapan sebagai pembawa warisan, tetapi mereka juga ada nafsu, ada hawa, ada fujur dan mereka tidak sepatutnya dikultuskan jika bermasalah. Sehingga ada menganjurkan supaya diadakan kebangkitan bagi mengkoreksikan keadaan kerana orang awam turut terikut dan diperbodohkan. Bukan orang awam sahaja, orang berlainan aliran pun dihardik dan perbodohkan juga.

Contohnya, kita lihat perbahasan tentang isu hudud. Ada yang menggesa mahu perlaksanaannya berlaku sekarang. Memang kita mempertahankan hudud tetapi sedar betapa perlunya melihat realiti dan mengikut prioriti. Kita sejak 70’an lagi telah komitted memperjuangan tatbiqul syari’ah. Ada yang menyamakan pandangan penangguhan dengan penentangan dan ini semestinya tidak betul dan tak sama. Hudud sebahagian daripada syari’ah. Tokoh seperti Dr al Raysuni menjelaskan bahawa hudud sebagai juz’un saghirun wa muakharun salah satu juzuk daripada Shari’ah Islam yang besar, dan bukannya keseluruhan hukum hakam Islam itu sendiri. Shari’ah itu minal fatihah ilal nnas. Ini pandangan ulama kontemporari kelas dunia. Al Raysuni menulis karya tentang maqasid shari’ah dan dia juga menulis karya mempertahankan shari’ah. Zaman kini zaman penuh ketidakpercayaan dan hilang kewibawaan sistem perundangan. Jiak saksi boleh diupah, hakim boleh dirasuah, bukti boleh diubah maka keadaan ini perlu dibetulkan terlebih dahulu. Ini pandangan ulama pejuang shari’ah. Janganlah pula dianggap menentang hukum Allah. Oleh itu kita mesti membangkitkan kekuatan intelektual.


KEINTELEKTUALAN

Anwar Ibrahim adalah pencinta ilmu yang tegar. Dengan umurnya menghampiri 70’an dia berharap untuk membaca, menulis dan berbicara tentang ilmu sepuas-puasnya. Pada kesempatan yang amat terhad, Anwar ada berkongsi dengan merujuk beberapa karya besar di antaranya The Quest for a Moral Compass oleh Kenan Malik yang mengkaji sejarah pemikiran moral sepanjang alaf. Komitmen keintelektualan Anwar Ibrahim dapat dilihat daripada nukilan kirimannya kepada saya, katanya,

Dengan hampir mencecah umur 70 ini, saya sekonyong-konyongnya tertarik dengan pendekatan saudara menulis dan berhujah dengan tenang jauh daripada simpang siur dan pergelutan politik. Mungkin kerana suasana haba dan keheningan diri.

Kebetulan saya baru selesai mengunyah The Quest for a Moral Compass: A Global History of Ethics yang saya segera bandingkan dengan Bertrand Russell A History of Western Philosophy,  Islamic Philosophy from Its Origin to the Present: Philosophy in the Land of Prophecy Sayyid Hossein Nasr, Orientalism Edward Said dan Tabai al-Istibdad wa-Masari al-Isti’bad (The Nature of Despotism) Abd Rahman al Kawakibi.

Semangat saya berkobar-kobar walaupun di dalam penjara.


Sekali lagi, itulah sebab saya marah kepada mereka yang meremehkannya.



(Adaptasi Catatan Kasar Rakaman Ucaptama Dr Siddiq Fadzil di Tamrin Kebangsaan SALWA WADAH di Pusat Dakwah dan Tarbiyah WADAH Kg Sg Merab  2015)
SALWA adalah pergerakan wanita Wadah Pencerdasan Umat Malaysia


No comments: