KEBANGKITAN ISLAM JILID 2.O: Satu
Rumusan Awal
Gagasan
Kebangkitan Islam Jilid 2.0 bermakna melakar khittah- strategi perjuangan
– charting our own course of action in an
active and affirmative manner, not just being reactive or responsive to events.
Adalah difahamkan idea ini dimajukan bagi memugar semula dan memperbaharui
iltizam dakwah dan islah gerakan Islam
sesuai dengan perkembangan dan perubahan zaman berpandukan kepada mengakar pada
tradisi dan sekaligus merai perubahan realiti zaman dan lingkungan - al
asala wal mu’asara. Mengakar pada tradisi bermakna ada asas al Qur’an dan
al Sunnah. Memahami realiti dengan fiqh
al-waqi'.
“Dan
hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan,
menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar ; merekalah
orang-orang yang beruntung.” (Q.S. Ali Imran [3]: 104)
Dakwah dan islah
yang dibawa adalah berlandaskan khayra
ummah (umat terbaik) dan bertujuan menyebarkan rahmah. Menekuni dakwah
dengan penuh hikmah kebijaksanaan serta kefahaman dan pengertian – bil hikmah dan ‘ala basirah berpandukan firman Allah swt:-
“Katakanlah:
“Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu)
kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk
orang-orang yang musyrik”.” (Yusuf [12]: 108)
Misi dakwah dengan
secara ringkas tetapi penuh erti adalah
mengajak manusia seluruhnya mengabdikan diri menyembah Allah swt seutuh dan
setulusnya – ta’bidunnas li rabbihim.
Ini bermakna menyeru, menyampaikan dan menganjurkan agar semua menuju ke arah kebaikan dan mencegah
kemungkaran.
Wahai
sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu
dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang
yang) bertaqwa. (Al-Baqarah 2:21)
Dia
lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala
isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air
hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis
buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi
Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan
Yang Maha Esa). (Al-Baqarah 2:22)
Menekuni Islah pula
adalah agar tercapai matlamat perjuangan iaitu mencapai mardatillah - redha Illahi menerusi amal perjuangan, membangun
umat, mendaulatkan syariat tanpa ada niat lain. Inilah keikhlasan dan ikrar tulus
perjuangan Islah.
“Nabi
Syuaib berkata: "Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku
berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, dan Ia pula mengurniakan daku
pangkat Nabi sebagai pemberian daripadaNya, (patutkah aku berdiam diri dari
melarang kamu) sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku
melarang kamu daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki
sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya
melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan
kepadaNyalah aku kembali.” (Hud 11:88)
Umat Islam
hendaklah melaksana amanat umat terbaik (khayra
ummah) yang ditampilkan kepada manusia, untuk bermanfaat kepada manusia dan
untuk beri khidmat kepada manusia. Membawa manfaat, maslahat, khidmat untuk
menyumbang kepada kemanusiaan sejagat - li naf'in naas, li maslahatin naas,
li khidmatin naas.
“Kamu
adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang
ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli
Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang
beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Q.S. Ali
Imran [3]: 110)
Khairunnaas man yanfa'unnaas –
‘sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat bagi yang lain’. (al Bukhari)
Anjurannya
adalah supaya kita menyeru kepada semua manusia dengan risalah (mesej) rahmatan
lil alamin – dengan rahmah dan kasih sayang. Ini kerana kita amat menyedari
bahawa menyimpang dan melencong daripada kebangkitan Islam, muncul dokongan
kuat pencemaran citra Islam melalui paparan imej samseng dan budaya
gangsterisme atas nama maruah
bangsa, nasionalisme palsu dan
memelihara Islam. Islam tidak sama sekali membenarkan ‘asabiyyah dalam erti melindungi kemungkaran dan mempertahankan
kezaliman atas nama perkauman.
Dan
tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi
rahmat bagi sekalian alam. (Al-Anbiyaa' 21:107)
Dakwah dan islah hendaklah
menuju kepada keberagamaan syumul, sempurna dan utuh. Hasrat adalah supaya berlaku
perubahan dari al-tadayyun al-manqus (incomplete
religiousity) kepada al-tadayyun
al-shamil (keberagamaan yang utuh dan sempurna). Ini bererti beribadat dan
memperbaiki ibadat serta sensitif terhadap kepedulian sosial, keprihatinan
umat, derita kemanusiaan dan menentang gejala kemungkaran. Tokoh Indonesia
mengungkapkan kata ‘salih spiritual dan salih sosial’. Kita akur nasihat dan pesanan
bermakna Shaykh Mustafa Masyhur, seorang tokoh Ikhwan al Muslimin, aslih nafsaka wad’u ghayraka – ‘perbaiki
dirimu dan ajaklah orang lain’. Titipan Ahmad Azam Abd Rahman adalah supaya menjadi
hamba Allah terbaik dan sekaligus khalifah Allah bertanggungjawab memimpin
perubahan. Ini adalah mesej utama.
Menjadi amanah
gerakan untuk menampilkan Islam dalam wajahnya yang tulen – taqdim al-Islam bi surah al-asliyyah-dalam
menyikapi fenomena kemajmukan yang semakin berkecamuk dan pencitraan Islam yang
dicemari radikalisme. Kebangkitan Islam Jilid 2.0 adalah detik penting gerakan
dakwah melancarkan gelombang kebangkitan baharu secara intensif untuk menganjak
tahap keberagamaan umat menuju kesempurnaan - al-tadayyun al shamil.
Gerakan
kebangkitan mesti berusaha membebaskan dan memberdaya umat, mencerahkan dan mencerdaskan
pemikiran rakyat – dinamakan gerakan tanwir,
reformasi-islahiy dan tamkin. Gerakan
hendaklah memahami fiqh al taghyir
(fiqh perubahan), menganjur fiqh al-taharrur (fiqh pembebasan) dan fiqh al tamkin (fiqh pemberdayaan), serta
bangun menentang fiqh al-istibdad (fiqh penindasan) serta menolak al istibdad al siyasiy (politik tirani).
Menurut Abd Rahman al Kawakibi, membiarkan berleluasa al istibdad adalah merelakan penindasan dan kezaliman sehinggakan orang-orang
baik mempunyai agama dan memiliki nilai tetapi tanpa kebenaran. Sementara penjahat
dan penyangak berwenang-wenang melakukan pelanggaran dan kebatilan.
Gerakan mesti
mempunyai keberanian berdiri di atas prinsip yang diyakini – moral strength and courage of conviction. شجاعة الشجعان
Gerakan
kebangkitan hendaklah menampilkan Islam dengan wajahnya sebenar sebagai agama
rahmah bukan dengan wajah yang menakutkan, bukan agama yang marah-marah, bukan
agama rasis perkauman sempit, tidak merelai rasuah serta kezaliman dan bukan cenderung
bersifat menghukum.
Kita mendokong prinsip
rakyat sebagai sumber kekuasaan (al-sha`b
masdar al-sultah), pengiktirafan terhadap karamah insaniyyah dalam sistem demokrasi yang Islami serta mengangkat
martabat rakyat sebagai insan yang dimuliakan. Kita mesti bersama rakyat memperjuangkan
kebebasan, keadilan, hak asasi dan maruah rakyat. Semua ini terkandung di dalam
maqasid al shariah memenuhi daruriyyat al khamsah, keutamaan objektif
terpenting bagi menegak dan mengekalkan serta menjamin survival agama demi
kesejahteraan umat manusia berserta tujuan kewujudannya, supaya kehidupan di
dunia tidak menjadi porak-peranda dan rosak hingga merugikan kita di akhirat
nanti.
Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan)
aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya,
sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya),
sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha
Mendengar, lagi Maha Melihat.
(Al-Mujaadalah
58:1)
Peristiwa yang
dirakam dalam surah Al Mujadilah menunjukkan suara rayuan dan hujah seorang
wanita di hadapan Rasulullah s.a.w., diangkat dan didengari Allah swt, dan
wahyu diturunkan memutuskan perkara yang dibawa olehnya. Wanita tersebut adalah
Khawla binti Tha’labah r.a. Pada zaman Khaifah Umar al Khattab r.a., Khawla
telah menahannya di tengah jalan dan bersyarah memberikan teguran dan nasihat
kepada Umar, Amirul Mu’minin. Apabila sahabat menegur perbuatan itu, Umar
menyangkal dan mengatakan wanita ini telah didengari oleh Allah di langit ketujuh.
Oleh itu Umar menyatakan dia akan tetap berdiri menunggu mendengar kata-kata wanita
ini sehingga dia pergi. Begitulah sikap pemerintah al rashidin wal mahdiyin
mendengar suara dan rintihan rakyat jelatanya.
Gerakan dakwah mesti
hadir dengan penuh wibawa bagi menampilkan kembali citra Islam sebagai agama
rahmat dan kasih sayang sekaligus menjelmakannya dalam kehidupan bermasyarakat
dan bernegara, membangunkan agenda pembinaan Bangsa Malaysia yang inklusif didasari
oleh semangat persaudaraan tanahair dan ukhuwwah
insaniyyah (persaudaraan insan) bebas dari chauvinisme, rasisme, kecurigaan
dan kecemburuan sosial.
Kita merujuk Fiqh
Islam – fiqh al waqi’ al maliziy yang
mengiktiraf status al-muwatanah al-kamilah (warganegara penuh) yang sah. Maka seterus
kita mesti melakar peta jalan ke arah hidup
bersama berharmoni - fiqh al-ta`ayush, sama-sama menikmati hak
dan sama-sama memikul tanggungjawab atas prinsip lahum ma lana, wa `alayhim ma `alayna. Tidak banyak pihak kini bersungguh dalam menangani dan
mendepani cabaran mengurus dan menyelesaikan formula kepelbagaian dalam bingkai
kesatuan. Yang ada hanyalah lip service
– pernyataan-pernyataan tanpa komitmen. Malah ada yang bergiat mengeruhkan lagi hubungan
yang ada. Oleh itu, kalau bukan gerakan Islam mendepani cabaran ini, siapa
lagi?
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah
menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan
kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan
beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di
sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih
keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Al-Hujuraat 49:13)
Kita mesti memobilisasikan anak-anak muda supaya
menggabungkan diri bersama gerakan ini kerana mereka pewaris risalah, tenaga
penggerak umat dan harapan masa depan kebangkitan. Mereka bakal penyambung amanat al da’wah dan misi perjuangan. Kita harus menyedari persaingan
dan tarikan sengit bagi mencorak kecenderungan dan pemikiran anak-anak muda
masakini dengan pesatnya keterbukaan, lambakan idea dan ledakan maklumat.
Kami ceritakan
kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu
orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka
dengan hidayah petunjuk. (Al-Kahfi 18:13)
Dan
Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka
bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang
mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan
menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna
kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."
(Al-Kahfi 18:14)
Inilah kekuatan
iman dan daya juang yang ingin kita lihat dimiliki anak-anak muda pada
ayat-ayat yang diulangi dan sering dibaca setiap Jumaat yang mulia.
Gerakan komited untuk menegakkan syariat mencakupi nilai, hukum dan maqasidnya. Syariat adalah al
Qur'an bermula dengan minal fatihah ila
an naas. Matlamat, objektif syariat adalah masalihul ibad - maslahat
hamba-hamba Allah bukan maslahat muslimin semata-mata. Kita wajar mengamalkan pola
fikir maqasidi (al-fikr al-maqasidiy), pemikiran yang berorientasikan
pencapaian objektif mengetahui wasilah dan mengenali matlamat. Pemikiran yang menurut
urutan keutamaan yang tepat (fiqh al-awlawiyyat) dan membuat pertimbangan
maslahah yang cermat (fiqh al muwazanat).
Orientasi gerakan adalah
penjelmaan kesederhanaan Islam, toleransi, berimbang di antara idealisme dan
realisme - wasatiyatul islam, al tasamuh al islamiy, waqi’i
mithali. Pemikiran kontemporari, futuristik tanpa melupakan pengajaran
sejarah agar menyedari realiti masa kini dan bersiap sedia untuk masa depan - mu’asir,
mustaqbali, tarikhi.
Gerakan perlu
menghormati dan merujuk ulama’ mu’tabar serta berkeupayaan mendalam
mengolah naratif dan melakukan analisis
situasi tepat dan jitu. Penilaian tepat dan menghargai pengalaman sejarah penting agar gerakan dakwah
tidak terbabas daripada menangani isu menurut prinsip memastikan tertegak
kebenaran dan keadilan. Faham post-truth,
‘pasca-kebenaran’ muncul dengan gelagat terang-terangan menolak, meremehkan
nilai kebenaran dengan semata-mata mementingkan kemenangan atau kesudahan
mencapai tujuan. Faham ini juga menghantui orang beragama.
Sesuai dengan
kekuatan tradisi ilmu gerakan Islam, hendaklah dititikberatkan pembinaan budaya
ilmu yang kuat berasaskan epistemologi Islam yang komprehensif dan integratif
agar terus melakukan pembelajaran semula serta membangun ilmu-ilmu penting yang
terabai. Epistemologi Islam didasarkan kepada sumber wahyu, akal sihat, panca
indra, intuisi, bersifat tawhidy, sarat dengan nilai, berorientasi dunia dan
akhirat.
Wahai
orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari
tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya
Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun
maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di
antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan
kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya
tentang apa yang kamu lakukan. (Al-Mujaadalah 58:11)
Menuntut
ilmu adalah wajib bagi setiap Muslim (H.R. Ibn Majah)
"Siapa saja yang Allah kehendaki
baginya kebaikan maka ia akan difahamkan dalam masalah agama" [ H.R.
Bukhari & Muslim ]
Teras gerakan
adalah dakwah dan tarbiyah: tarbiyah
ilmiah yang memberikan kefahaman utuh dan mendalam tentang serba serbi agama
Islam serta tarbiyah pembinaan sahsiah
membina kefahaman dan membina watak sepadu serta seimbang menghayati
nilai-nilai memperbaiki amal dan akhlak para pendakwah. Kader-kader gerakan ini
menjadi masdarul khayr – sumber kebaikan, kebaikan untuk
dirinya dan melimpah kebaikan kepada orang di sekitarnya, menjadi ‘inspiring personality’ – mengilhamkan
orang lain agar menjadi baik.
Orang beragama
mempunyai moral imperative – kewajipan
moral membawa standard akhlak tertinggi dan
memastikan manusia berasa selamat dengan lidah, tingkahlaku dan wataknya. Tidak
ada kompromi dalam kedudukan dan pendirian moral pendakwah dan ahli agama.
“Dan
siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah
dan mengerjakan kebajikan dan berkata, “Sungguh, aku termasuk orang-orang
Muslim (yang berserah diri)?” (Fussilat 41: 33)
Gerakan Islam mesti
bersifat ummatik senantiasa bersama rakyat, bukan bersifat elitis, bahkan menjadi
juara kepada masyarakat madaniy dengan jaringan luas meliputi Non Muslim dan
bukan Melayu. Kita mesti hadir memperjuangkan keadilan sosial, menyantuni umat
dan menangani kemelaratan, kemiskinan, krisis akhlak serta keruntuhan moral
anak muda. Pembelaan dan memperjuangkan isu tidak wajar dibiarkan dan serahkan
naratif sosial kepada pihak lain.
"Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu
menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah
berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan
segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang
ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang
miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang
meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang
akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang
menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan
orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan
juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang
demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan
mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa." (Al-Baqarah 2:177)
“Barang
siapa yang menunjukkan kepada suatu kebaikan, maka baginya pahala seperti orang
yang melaksanakannya” (Muslim)
“Ajaklah
mereka memeluk Islam dan beritahu mereka apa-apa yang diwajibkan atas mereka
yang berupa hak Allah di dalamnya. Demi Allah, Allah memberi petunjuk kepada
seseorang lantaran engkau, adalah lebih baik bagimu daripada engkau memiliki
unta merah” (Bukhari)
Gerakan mesti bersemangat
amal jama’iyy dan budaya kolektif mengembleng tenaga dan potensi yang
berbeda-beda bagi mencapai matlamat jamaah, bermula dengan menghargai perbedaan
dan kepelbagaian, berkepimpinan jama’iyy
dan syura serta tidak berpusat kepada peribadi.
Kita mesti
berusaha memahami dan mematuhi adab ul
ikhtilaf – adab perbedaan pendapat dan menjadi penyuluh jalan dan contoh
teladan bagi menangani permasalahan besar umat masakini di segenap peringkat.
Sekali lagi kalau kita tidak mendepani penyelesaian masalah ini, siapa lagi?
Sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam
barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun
kukuh. (As-Saff 61:4)
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu
kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada
"Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian
jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah
kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya -
jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah
lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (An-Nisaa' 4:59)
Rumusan paling
penting sekali adalah menterjemah dan memanifestasikan idealisme perjuangan di
atas, dijelmakan dan dizahirkan melalui berjihad, bergiat, bertindak, bersungguh,
beristiqamah, berdisiplin dan berinfaq di lapangan dalam keadaan berat atau
ringan dengan program dan aktiviti semasa serta perancangan baru gerakan
dakwah.
Pergilah
kamu beramai-ramai (untuk berjuang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan
ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan
berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu
pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu,
jika kamu mengetahui. (At-Taubah 9:41)
(telah dibentang pada usrah gabungan Wadah-ABIM-Pembimbing Pulau Pinang)
Rujukan:
Siddiq Fadzil. 1983. Garis- Garis Besar Haluan Perjuangan. ABIM
Siddiq Fadzil.
2016. Jati Diri Perjuangan Dakwah. wadahutara.blogspot.com
Mohamed
Raimi Ab. Rahim. 2016. Mengemudi Gelombang Nahdah, Memartabatkan
Khayra Ummah (Kebangkitan Islam Jilid 2.0).
ABIM
No comments:
Post a Comment