Monday, June 12, 2017

DR SIDDIQ FADZIL: AL HIKMAH



Bicara Ramadhan dan Pelancaran Wacana Al Hikmah

oleh Prof. Dato' Dr. Ust. Siddiq Fadzil, 12 Jun 2017, Kolej Dar al Hikmah


Adakah ianya satu kebetulan melancarkan Wacana Al-Hikmah pada malam ini, malam sambutan Nuzul Al Quran, kerana Al Quran itu sendiri sarat dengan hikmah, sangat tinggi kedudukannya dan mengungguli kitab-kitab yang sebelumnya. Segala sesuatu yang termuat di dalam Al Quran adalah hikmah.

Untuk memetik, menimba hikmah, cara terbaik adalah dengan merenung al Quran, di samping menekuni al Sunnah. Ia boleh dipelajari, boleh diambil dengan usaha gigih, maka salah satu misi Rasulullah s.aw. ialah mengajar al Kitab dan al hikmah.

Seorang profesor dari Sudan pernah bertanya, jika sepenting itulah Al Quran dan al hikmah, mengapa di dalam kurikulum pendidikan kita tidak diajar al hikmah

Sebenarnya hikmah ada di mana-mana, ada dalam segenap sudut hidup kita.

Hikmah ialah sifat Allah. Al Hakim ialah nama Allah, yang memilik hikmah. 'Al Hakim' disebut sekitar 90 kali di dalam Al Quran. Hikmah juga dibekalkan kepada semua nabi-nabi a.s.

Maka seharusnya kita berusaha untuk meraih hikmah ini sebanyak mungkin kerana sesiapa yang diberi hikmah ini sesungguhnya dia mendapat  kebaikan yang sangat banyak. Sebab itu para ulama yg merasakan mereka mendapat hikmah dan kebaikan yang banyak, mereka begitu menjaga peribadi diri mereka.

Hikmah bermaksud kedalaman dan ketepatan kefahaman tentang sesuatu. Hikmah meliputi percakapan pertuturan yang tepat, tindakan yang tepat sesuai dengan realiti dan keperluan keadaan.

Hikmah ada di mana-mana, dalam kehidupan, dalam syariat. Hakikat itu disebut oleh Ibn Qayyim – bahawa ‘syariat itu dibina di atas al hikam’ (hikam jamak bg hikmah). Hukum hakam adalah hikmah, yang telah ditetapkan di dalam Al Quran dan al Sunnah, yang ditetapkan oleh nass.

Kita amati kisah seorang qadi di Andalusia, Yahya ibn Yahya Al-Laith yang menjatuhkan hukum ke atas kesalahan amir. Qadi Yahya memutuskan untuk melangkau dua hukuman iaitu memerdekakan hamba, atau jika tidak mampu, memberi makan 60 orang miskin, lalu dia menghukum amir tersebut dikenakan berpuasa selama 2 bulan berturut-turut, kerana menurut ijtihadnya kedua-dua hukuman sebelum itu tidak berkesan ke atas seorang amir yang kaya raya.

Namun hukuman ini disangkal para ulama lain berdasarkan hujah bahawa maslahat umat (membebaskan seorang hamba) lebih penting daripada mendidik seorang amir. Kebebasan itu sangat penting bagi seorang manusia, kebebasan mengatasi segala-galanya.

Sebab itulah Shaykh Rashid Ghanouchi mengatakan keutamaan "kebebasan sebelum syariat".

Kita renungi kisah bagaimana Rasullullah s.a.w. melayani, menegur dan mengajar seorang ‘Arab badwi yang kencing di dalam masjid disebabkan kejahilannya. Sahabat-sahabat mahu melarang malah ingin bertindak keras, tetapi ditegah oleh Rasulullah s.a.w. Inilah hikmah.

Kita fikirkan kisah bagaimana Rasullullah sa.w. melayani penyair Arab Abu al 'izzah al Jumahi yang syairnya mengutuk dan mempersenda Rasulullah s.a.w. dan agama Islam. Abu al ‘Izzah tertangkap pada Perang Badar, lalu dia merayu-rayu untuk dilepaskan dan Rasulullah s.a.w. telah membebaskannya. Tetapi kemudiannya Abu al ‘Izzah mendabik dada, terus mempersenda Rasulullah s.a.w. Beberapa tahun selepas itu dia ikut serta pada Perang Uhud, dan ditakdirkan tertangkap lagi. Kali ini dia merayu-rayu lagi untuk dibebaskan, tetapi tidak dilepaskan oleh Rasulullah sa.w. 

Sabda Rasulullah s.a.w., "Orang Mu’min  tidak akan dipatuk dua kali pada satu lubang." Hikmahnya, orang mukmin mesti belajar daripada kesilapan lalu, jangan ditipu lagi oleh musuh. 

Banyak yang tidak menyedari bahawa separuh daripada al Quran itu ialah berbentuk dialog. Hanya separuh adalah hukum hakam perintah daripada Allah swt. Pendidikan berasaskan dialog yang menyedarkan, merangsang berfikir.

Maka, untuk mendapatkan hikmah, cubalah teliti al Quran daripada aspek dialog-dialognya, berbanding sebahagian  yang berorientasikan hukum dalam meneliti al Quran.




(disunting daripada catatan Dr Nur Izura Udzir, WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA)

No comments: