Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya
(Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa
(di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya
tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha
Mendengar lagi Maha Mengetahui. ( al-'Isrā': 1)
Pengajaran Mesej Peristiwa al-'Isrā' wal-Mi'rāj
1.Pergantungan perjuangan mutlak hanya kepada ALlah SWT.
Selama 10 tahun memikul amanah kerasulan, bapa saudaranya Abu Talib menjadi
benteng perlindungan politik dan kekuasaan dari hegemoni kafir Quraish. Sebagai
salah seorang Pembesar Quraish, Abu Talib sentiasa mempertahankan dan
melindungi Rasulullah SAW dari sebarang bentuk tindakan provokasi. Dalam bahasa
mudah, Abu Talib adalah ‘godfather’ kepada anak buahnya.
2.Begitu juga dengan peranan Sayyidatina Khadijah r.a. yang menjadi sumber
kekuatan ekonomi dan kekuatan motivasi keluarga bagi memikul amanah dakwah yang
masih baru berputik. Sayyidatina Khadijah r.a. menghabiskan seluruh hartanya
untuk perjuangan dakwah Rasulullah SAW.
3.ALlah SWT memberi isyarat kepada Rasullulah SAW dan semua pejuang dakwah
bahawa pergantungan mutlak dalam perjuangan dakwah hanyalah kepada ALlah SWT
sumber segala pergantungan hidup.
4.Kematian Abu Talib dan Sayyidatina Khadijah r.a. selang beberapa bulan
memberi mesej jelas bahawa selepas ini pergantungan perjuangan Rasulullah SAW
bukan lagi kepada manusia. Hanya ALlah SWT tempat bergantung harap.
5. Peristiwa Thaif di mana Rasulullah SAW mengharap bantuan dan pertolongan
dakwah setelah kematian dua tiang tonggak perjuangannya selama ini berakhir
dengan penolakan dan penghinaan penduduk Thaif. Rasulullah SAW dihalau dengan
balingan batu oleh anak muda Thaif hingga luka berdarah badan Baginda. Malaikat
penjaga Gunung juga tidak tahan akan penghinaan begitu rupa hingga memohon izin
Baginda untuk menghancurkan penduduk Thaif. Namun, baginda melihat optimis akan
perubahan generasi yang bakal berlaku. Sebaliknya, Baginda mendoakan agar dari
tulang sulbi penduduk Thaif ini nanti akan menerima ajaran dakwahnya. Bukan
dendam kesumat dan sumpah laknat.
6.Setelah melalui dua peristiwa pahit yang merupakan ujian ketahanan jiwa
dan mental serta fizikal dalam menunaikan amanah dakwah, yang dinamakan oleh
pengkaji Sirah sebagai Tahun Kesedihan atau ‘Ām al-Ḥuzn, maka ALlah SWT
menjemput Baginda mengadapnya dalam Peristiwa penuh mukjizat al-'Isrā' wal-Mi'rāj.
7. Pasca al-'Isrā' wal-Mi'rāj, maka perintah berhijrah diturunkan
sebagai tanda bermulanya fasa kedua perjuangan dakwah Baginda, iaitu fasa dawlah
Islam.
8. Rupa-rupanya ALlah SWT menghantar mesej penting buat para pendakwah.
Hanya yang tahan ujian jiwa, mental dan fizikal yang terpilih untuk menerima
kalungan penghargaan ALlah sebagai pejuang, mujahid dakwah.
9. Juga mesej ALlah SWT yang penting bahawa fasa pembinaan model baldatun
thayyibatun wa rabbun ghafûr mestilah ditangan mereka yang mampu menjalani
ujian getir kesabaran menghadapi fitnah dan mehnah perjuangan.
(Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian
Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang
baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!. (Saba’: 15)
10. Urutan peristiwa kematian Abu Talib dan Saidatina Khadijah, disusuli
dengan peristiwa Thaif yang memilukan, kemudian anugerah teramat istimewa al-'Isrā'
wal-Mi'rāj sebelum arahan Hijrah mengandungi banyak ibrah dan mesej
tersurat dan tersirat.
11.Tugasan penting Hijrah untuk membina model Masyarakat Islam bukan suatu
tugas tanpa persiapan. al-'Isrā' wal-Mi'rāj adalah skima ILahi yang amat
istimewa. Dalam ilmu pengurusan moden disebut sebagai ‘environmental
scanning’ dan melihat cabaran mendatang dengan pendekatan ‘helicopter
view’. Melihat sejarah, bangun jatuh bangsa-bangsa, cabaran ujian para
Rasul terdahulu, pengakhiran nasib mereka yang taat dan derhaka, kehidupan
syurga dan neraka adalah bertujuan untuk Baginda siap memikul amanah berat
Kekhalifahan sebagaimana termaktub dalam Al-Baqarah 2:30.
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat;
"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi".
12.ALlah SWT telah membekalkan Baginda dengan resepi terpenting bagi
kejayaan dunia dan akhirat bagi menjayakan misi Kekhalifahan ini. Umat Islam
jika ingin berjaya di dunia dan di akhirat, menjadi hamba kepada ALlah dan
menjadi Khalifah kepada manusia wajib menjadikan kehidupannya “Solat-centric”.
Solat menjadi paksi kehidupannya sepanjang hayat dan sekiranya ini dapat
dilaksanakan seutuhnya, maka umat Islam akan meraih anugerah Al-Falah
oleh ALlah SWT.
13. Justeru itu Solat menjadi elemen terpenting untuk kejayaan umat Islam.
Solat dikaitkan dengan Misi Kekhalifahan di mana Masjid menjadi Pusat
Pentadbiran mengurus umat dalam masyarakat Islam yang baru berputik. Maqasid
bagi Institusi Masjid adalah untuk membina nilai-nilai kehambaan dan
nilai-nilai kekhalifahan.
14. Inilah mesej terpenting al-'Isrā' wal-Mi'rāj. Namun Solat yang
hanya menekankan soal 'ubudiyyah atau perhambaan semata-mata tanpa
diimbangi dengan soal kekhalifahan bakal melahirkan masyarakat yang lemah dan
mudah diperhambakan.
15. Apa yang dimaksudkan dengan Maqasid Masjid dengan Misi Kekhalifahan
ialah peranan Masjid untuk memimpin perubahan masyarakat dari penyakit
kejahilan, kemiskinan dan perpecahan. Misi Kekhalifahan ialah misi Pembebasan
dari tiga penyakit umat ini.
16. Bukankah surah Al-Maa'uun 107:1-7 mendefinisikan siapakah pendusta
agama? Siapa orang yang solat tetapi celaka di sisi ALlah?
Tahukah kamu orang-orang yang mendustakan agama?
yakni orang yang menindas anak yatim
dan tidak bersedia memelihara hidup golongan
peminta-minta,
maka celakalah golongan yang shalat!
yakni orang-orang yang menganggap remeh shalat mereka;
yakni orang-orang yang gemar menampak-nampakkan
namun enggan untuk memberi sumbangsih (bantuan pertolongan)
(Ahmad Azam Abd Rahman adalah Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
(WADAH))
Disunting daripada teks asal.
No comments:
Post a Comment