Sunday, December 4, 2016

MUHAMMAD NUR MANUTY: ANWAR IBRAHIM DAN KARAMAH INSAN


DR MUHAMMAD NUR MANUTY: PENDIDIKAN KARAMAH INSAN DALAM PEMIKIRAN ANWAR IBRAHIM

Mukaddimah

Anwar Ibrahim tokoh pejuang rakyat yang istiqamah kepada perjuangannya menegakkan negara Malaysia berteraskan kebenaran, keadilan, ketelusan, berintegriti dan berakhlak mulia. Sewaktu memimpin gerakan Islam selaku Presiden ABIM 1972-1982 dan kemudian berkecimpung dalam arena politik 1982 sehingga kini, Anwar menjadikan usaha memartabatkan karamah insan – kemuliaan insan sebagai suatu objektif terpenting perjuangan reformasi.

Metodologi Pemikiran Pendidikan Karamah Insan

Susur galur dan minat Anwar Ibrahim kepada dunia keilmuan dapat dilihat sejak dia berada di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Keaktifannya menggerakkan Badan Revolusi Ugama MCKK telah mendekatkannya dengan pembacaan buku-buku agama yang ditulis oleh ulama’ dan ilmuan tempatan serta antarabangsa. Semasa Anwar memimpin Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Kebangsaan (PKPIM), dia mula membahaskan persoalan karamah insan dengan memaparkan idea-idea tokoh-tokoh gerakan dakwah antarabangsa seperti Imam Hasan al Banna, Sayyid Abul ‘Ala Maududi, Sayyid Qutb dan lain-lain. Perbincangan karamah insan kupasan tokoh-tokoh gerakan Islam antarabangsa adalah dirujuk dan diambil daripada al Qur’an dan al Sunnah. Ini menjadikan asas pemikiran Islam Anwar lebih kental.

Anwar menetapkan Tafsir al Qur’an berbahasa Inggeris karya Abdullah Yusuf Ali sebagai salah sebuah rujukan utama usrah-usrah awal ABIM. Anwar bersama rakan-rakan pengasas ABIM menelaah kitab ihya’ ulum al din, karya penting Hujjatul Islam Imam al Ghazali r.h. bersama seorang guru pembimbing kerohanian.

Kitab ihya’ ulum al din membicarakan persoalan karamah insan secara komprehensif. Anwar juga mempelajari kitab minhaj al salihin min ahadith wa sunnati al khatami al anbiya’ wal al mursalin karangan ‘Izzudin Baliq (Beirut: 1978). Kitab ini rujukan penting selain daripada tafsir fi zilal al qur’an karya Sayyid Qutb.

Anwar mengupas dan mengemukakan idea-idea ‘Allamah Muhammad Iqbal, failasuf dan penyair terkenal dengan sentuhan-sentuhan karamah insan pada sya’ir-sya’ir Iqbal seperti The Secrets of the Self dan The Mysteries of Selflessness. Selanjutnya, kupasan pemikiran guru dan mentornya di UM dan ABIM, Sayyid Muhammad Naquib al Attas. Karya al Attas, Islam and Secularism diterbitkan oleh ABIM menjadi rujukan penting pada wacana-wacana ilmiah anjuran ABIM. Anwar menggunakan karya Syed Hossein Nasr, The Encounter of Man and Nature: The Spiritual Crisis of Modern Man (1968) yang banyak membahaskan tema insan dan persoalannya dengan modenisme.

Anwar Ibrahim juga menyorot pemikiran Malek Bennabi, tokoh ilmuan Algeria yang banyak membicarakan persoalan tamaddun. Malek Bennabi mengolah kepentingan manusia dengan Allah swt dalam konteks tamadun (al hadarah) yang baru di dunia Islam dengan menggunakan prinsip insan, tanah dan zaman. Metodologi pemikiran Anwar juga memperlihatkan hubungannya yang rapat dengan dia orang tokoh ilmuan Universiti Al Azhar, Syaikh Muhammad al Ghazali dan Syaikh Yusuf al Qaradawi. Anwar juga gemar merujuk kepada figur Islam di Amerika, Malcolm X atau nama Islamnya al Hajj Abdul Malik Shabbaz. Dia menekankan betapa tingginya konsep karamah insan dalam Islam melalui peristiwa dan pengajaran apabila Malcolm menyaksikan dengan matanya sendiri himpunan raksasa jemaah haji dari seluruh dunia bersidang di ‘Arafah dengan hanya memakai kain ihram berwarna putih menandakan persamaan manusia tanpa mengira bangsa, warna kulit atau status sosial.

Suatu keunikan pemikiran Anwar Ibrahim adalah dia bukan sahaja membahaskan subjek dengan rujukan-rujukan Islam tetapi juga merujuk pemikiran tokoh-tokoh kemanusiaan aliran Konfusius, Kristian dan Marxis. Anwar juga menggunakan ideal Paulo Freire, tokoh pendidik Brazil yang membicarakan tentang A Pedagogy of Liberation.

Asas-asas Karamah Insan dan Kemanusiaan Sejagat

Keprihatinan Anwar Ibrahim tentang perjuangan memartabatkan insan bertunjang kepada dua khazanah terpenting Islam iaitu al Qur’an dan al Sunnah.

Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan. (al isra’: 70)

Islam mengiktiraf perbedaan bahasa dan warna kulit bukan sebagai unsur perpecahan. Sebaliknya perbedaan tersebut adalah tanda kekuasaan Allah swt.

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui. (al ruum:22)

Perbedaan untuk saling berkenalan di antara satu dengan yang lain.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Al-Hujuraat:13)

Lantaran umat manusia dijadikan daripada sumber yang satu dengan anugerah penghormatan dan peranan yang sama maka Islam memupuk  semangat kesatuan manusia (wihdah insaniyyah) yang disatukan oleh semangat kemanusiaan. (Anwar Ibrahim, 1978)

Islam menentang keras amalan diskriminasi bangsa dan kaum. Sebaliknya Islam menganjurkan toleransi, persahabatan dan timbang rasa sesama manusia. Islam meletakkan nilai taqwa serta ta’awun (tolong-menolong dalam kebaikan) sebagai nilai tertinggi hubungan sesama manusia.

Islam meleburkan faham fanatik (‘asabiyah qaumiyyah) ekstrim kerana kemudaratannya kepada manusia. Hadith junjungan kita Muhammad s.a.w. menjamin karamah insan berlaku sesama manusia.
Semua kamu berasal dari Adam dan Adam berasal dari tanah. Tidak ada kelebihan seorang Arab ke atas seorang bukan Arab kecuali ketaqwaannya.”

Abu Dhar al Ghifari r.a. seorang yang terkenal dengan kezuhudannya pernah tiba-tiba memanggil Bilal ibn Rabah r.a., ‘’Ya Ibnu Sauda” (Wahai anak orang hitam). Rasulullah s.a.w. segera memberikan teguran keras dengan nada kemarahan, “Sungguh sungguh terlalu; sungguh terlalu; sungguh terlalu. Tidak ada kelebihan anak orang hitam daripada anak orang putih. Tidak ada perbedaan dalam memuliakan manusia, baikpun yang hidup ataupun yang telah mati.”

Penghormatan tinggi Islam ke atas manusia berlainan agama dapat disaksikan pada contoh teladan junjungan kita Muhammad s.a.w. yang menunjukkan tanda hormat ke atas jenazah seorang Yahudi yang secara kebetulan dibawa lalu di hadapan Baginda s.a.w. Apabila sahabat yang bersamanya mempersoalkan, Rasulullah s.a.w. menegur mereka dengan berkata: “alaysat nafsan!”(bukankah dia juga manusia (bernyawa)).

Anwar Ibrahim mengukuhkan hujahnya tentang kemuliaan darjat insan dengan memetik pemikiran Syaikh Yusuf al Qaradawi bahawa asas tasamuh (toleransi) dalam Islam adalah ‘ I’tiqad seorang Muslim tentang karamah insan’. Keduanya, I’tiqad Muslim bahawa perbedaan agama adalah kekuasaan Allah swt.

Jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia jadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih (pendapat), kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. (Hud: 118-119)

Anwar  menegaskan keperluan melaksanakan prinsip keadilan  dan akhlak mulia bagi semua manusia serta tindakan yang adil diambil jika orang Muslim menzalimi orang bukan Muslim.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum membuatmu tidak berlaku adil. Berbuat adillah karena ia lebih mendekati ketakwaan.” (al ma’idah: 8)

Jaminan tegas mempertahankan hak asasi rakyat berpaksi kepada prinsip kemuliaan insan yang begitu jelas diisytiharkan oleh junjungan kita Muhammad s.a.w. pada rapat wada’ yang dihadiri 100,000 umat Islam dengan sabda keramatnya: “Sesungguhnya nyawa, harta dan kehormatan kamu adalah suci sepertimana kesucian hari Hajj.”

(Anwar Ibrahim, 1978)

Pelaksanaan Karamah Insan dalam Sistem Pendidikan Negara

Sejarah mengangkat martabat insan secara praktis di negara ini terpahat kukuh dengan penubuhan Yayasan Anda Akademik (YAA), Jalan Daud, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada awal 70’an. Anwar Ibrahim bersama rakan-rakan ABIM dan PKPIM mendirikan institusi pendidikan rakyat dengan bertujuan mengangkat posisi anak-anak muda Melayu yang terpinggir kerana kemiskinan terutama masyarakat luar bandar. Yayasan Anda mencernakan semula anak muda agar menjadi insan beridealisme tinggi serta berketrampilan dari segi ilumu pengetahuan. Pada dasarnya, Yayasan Anda berjaya memanusiawikan sebahagian besar pelajarnya.

Pelantikan Anwar menjadi Menteri Pendidikan di dalam kabinet Dr Mahathir sememangnya sesuatu yang dinanti-nantikan oleh segenap lapisan masyarakat. Mereka prihatin dengan hasrat kejelasan hala tuju falsafah pendidikan negara serta isi kandungan sistem pendidikan. Apabila Anwar mengambil tampuk kementerian, dia telah melaksanakan beberapa perkara penting. Dia menukar nama kementerian pelajaran kepada kementerian pendidikan kerana ada perbedaan bahawa pendidikan lebih komprehensif sifatnya.

Anwar Ibrahim beruzlah bersama para ilmuan dan pegawai-pegawai kementeriannya di IAB bagi mengemukakan suatu pandangan baru tentang kurikulum sekolah. Kurikulum baru dinamakan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Justeru penekanan menangani integrasi ilmu pengetahuan berasaskan tawhid dan insan.

Suatu falsafah baru pendidikan negara (FPN) dikemukakan iaituPendidikan di Malaysia adalah usaha berterusan ke arah  memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan’.

Anwar berusaha melihat keberkesanan karamah insan dalam sistem pendidikan negara dengan iltizamnya mewujudkan dasar pendemokrasian pendidikan. Semua rakyat tanpa mengira bangsa, warna kulit, bahasa dan agama hendaklah dijamin peluang secara adil dan saksama mendapat tempat di bangku sekolah, kolej dan universiti. Hak ini menepati prinsip Hak Asasi Manusia PBB dan Pengisytiharan Hak Asasi Islam OIC. Anwar sangat mengambil berat kaum mustadh’afin di negara ini dibela dengan jaminan mendapat pendidikan sama baik dengan golongan berada. Anwar sering merujuk pemikiran Paola Freire, penulis buku A Pedagogy for Liberation: Dialogues on Transforming Education. Pendidikan mesti menjadi satu wahana meningkat kesedaran hakiki manusia (human consciousness)

Karamah Insan dalam konteks Renaissance (al Nahdah) di Negara-negara Asia

Anwar Ibrahim meluaskan daerah wacana karamah insan bukan sahaja pada dunia Islam. Pada karya terpenting Anwar, The Asian Renaissance (1997), dia membicarakan keperluan tasawur – world view Asia sepadu dengan menerima hakikat bahawa masyarakat madani hendaklah menjadikan konsep insan sebagai makhluk yang berakhlak dengan memiliki prinsip-prinsip ketuhanan yang tinggi (transcendence), bukan sahaja dianugerahkan dengan hak-hak yang tidak terpisah, tetapi mempunyai tanggungjawab yang tidak tergugat dengan Allah, keluarga, manusia dan alam tabi’i. Anwar memugarkan semula idealisme dan nilai-nilai sejagat kehormatan insan seperti yang telah diperjuangkan oleh tokoh-tokoh kemanusiaan ternama sperti Rabindranath Tagore, Muhammad Iqbal, Jose Rizal, Sun Yat Sen dan Mahatma Gandhi. Kesemua mereka menjadikan Asia dan ‘keasianan’ sebahagian struktur dunia yang terbina di atas paksi maruah insan. Suatu idea yang selama ini hanya dimonopoli oleh dunia Barat. (Anwar Ibrahim, 1997)

Karamah Insan dalam konteks Dialog Agama dan Ketamadunan

Anwar Ibrahim adalah pelopor awal dialog antara agama dan tamadun di Malaysia sejak dekad 70’an. Ucapannya pada  Muktamar Senawi ABIM 1978 di DTC UKM dapat dicatat sebagai sangat bernilai tentang Islam dan hubungannya dengan masyarakat majmuk negara ini. Dia menekankan prinsip karamah insan sebagai asas terpenting bagi mewujudkan persefahaman di antara pelbagai agama dan tamadun.

Impak daripada ucapan tersebut difahamkan Anwar diundang hadir ke retreat kepimpinan DAP di Cameron Highlands waktu itu. Mereka berpeluang mendengar tawaran Islam tentang konsep kemanusiaan sejagat demi kerukunan hidup bersama di dalam negara jamak bangsa, agama dan budaya di Malaysia.

Selaku Timbalan Perdana Menteri, Anwar berjaya menganjurkan sebuah Persidangan Antarabangsa tentang Islam and Confucianism, anjuran Pusat Dialog Peradaban UM pada 1997. Inilah julungkalinya di dunia Islam, sebuah seminar penting diadakan yang dapat menghimpunkan tokoh-tokoh ilmuan daripada dua tamadun besar dunia Islam dan Cina dengan fokus perbahasan mengenai isu kemanusiaan dalam tradisi Islam dan Cina.

Pendidikan Karamah Insan dalam Siasah

Anwar Ibrahim memilih jalur siasah bagi menterjemahkan idealisme kependidikan insan dalam dirinya. Ini jelas kelihatan pada 17 perkara perjuangan Parti KeAdilan Rakyat 1999 dan Pengiystiharan Permatang Pauh 1998. Anwar menegaskan tunjang kepada demokrasi dan masyarakat madani ialah konsep karamah insan – kemuliaan darjat insan seperti yang ditegaskan oleh Allah swt pada surah al isra’ ayat 70.

Anwar sentiasa merujuk keperluan melakukan islah (reformasi) ke atas dirinya sendiri sebagai makhluk Allah swt yang dicipta dengan segala keistimewaannya. Inilah ketegasan al islah mastata’tu yang diisytiharkan Nabi Syu’ib a.s.

Syu'aib berkata: "Hai kaumku, bagaimana fikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku dan dianugerahi-Nya aku dari pada-Nya rezeki yang baik (patutkah aku menyalahi perintah-Nya)? Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali. (Hud: 88)

Kesimpulan

Perjuangan mengangkat karamah insan bagi menghadapi cabaran getir pada saat ini menjadi semakin mendesak. Pencabulan hak asasi oleh pemerintah semakin berwewenang. Meskipun kedengaran suara-suara pihak berkuasa melaungkan keinginan dasar wasatiyyah Islam, nampaknya semakin deras proses ‘nyah-manusiawi’ (dehumanisation) berlaku. Kita wajar bersatu fikrah dan bersatu tindakan bagi menyelamatkan masyarakat dan negara Malaysia daripada mengalami kerosakan parah di tangan orang-orang yang merosakkan bumi Allah ini (al mufsiduna fi al ard).

Dan apa bila di katakan kepada mereka ‘janganlah berbuat kerosakan di bumi’  mereka menjawab, ‘sesungguhnya kami justru orang-orang yang melakukan perbaikan’. Ingatlah, sesungguhnya merekalah yang berbuat kerosakan tetapi mereka tidak menyedari. (al baqarah: 11-12)



(Disunting dan diadaptasi daripada kertas kerja asal YB Senator Dr Muhammad Nur Manuty di Seminar Pemikiran Pendidikan Anwar Ibrahim 22 November 2016)

Friday, December 2, 2016

ANUAR TAHIR: ANWAR IBRAHIM DAN MASYARAKAT MADANI


ANWAR IBRAHIM: PENDIDIKAN DEMOKRASI DAN MASYARAKAT MADANI
(Catatan Ringkas)

Anwar Ibrahim adalah sosok yang amat komited kepada perubahan sosial. Anak kelahiran Bukit Mertajam ini sejak awal lagi menjadikan social change sebagai agenda utama perjuangannya. Itulah tema bicara percakapannya sejak zaman muda sehinggalah dia menduduki tangga teratas negarawan rantau ini. Anwar Ibrahim mula memberikan perhatiannya kepada persoalan ini sejak dia berada di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), sekolah berasrama penuh bersejarah dan alma mater. Di situ lagi dia memupuk minat kepada bahan bacaan ilmiah serius dan meminati tokoh-tokoh ilmuwan dunia yang tersenarai sebagai pejuang-pejuang sosial.

Pembacaan

Anwar Ibrahim yang telah digelar Tokoh Pembaca 1988 dipengaruhi oleh banyak tulisan-tulisan seluruh dunia serta persahabatannya dengan tokoh-tokoh besar seperti Syed Hussein al Attas, Sayyid Naquib al Attas, Abul Ala al Mawdudi, Muhammad al Ghazali, Yusuf al Qaradawi dan Muhammad Natsir. Rakan-rakannya di dalam ABIM dan Yayasan Anda Akademik (YAA) diajak bersama menekuni karya-karya Hasan al Banna, Sayyid Qutb, Muhammad Qutb, Muhammad Iqbal, Hossein Nasr, Toshihiko Izutsu, Ali Shariati, Muhammad Asad, Ivan Ilich, Paolo Freire, Malek Bennabi hingga kepada penulis-penulis seperti Franz Fanon, Herbert Marcuse dan lain-lain. Kadang-kadang ada di kalangan para aktivis ABIM dan YAA tidak menjangkau betapa panjangnya senarai buku-buku yang perlu dibaca dan diwacanakan. Rasanya masih segar dalam ingatan sebahagian daripada aktivis-aktivis itu betapa buku Myth of the Lazy Native, Syed Hussein al Attas dan Reconstruction of Religious Thought, Muhammad Iqbal menjadi bacaan wajib aktivis ABIM dan penggerak YAA ketika itu.

MCKK

Osman Bakar, rakan karib Anwar Ibrahim di Kolej Melayu Kuala Kangsar menceritakan tentang kesedaran begitu tinggi sekali Anwar Ibrahim yang bermula di bangku sekolah menengah lagi membantu pelajar-pelajar miskin di bidang pendidikan dan pembelajaran. Ketika di Tingkatan 6, Anwar mengasaskan dan mengetuai Badan Revolusi Ugama (BRU) MCKK.

Anwar berkata bahawa penduduk tempatan di pekan Kuala Kangsar menganggap MCKK amat feudal – para pelajarnya angkuh dan sombong. Ketika bersiar – outing , para pelajar melaram keluar ke pekan Kuala Kangsar memakai tali leher dan hanya makan di restoran-restoran kerana dilarang makan di gera-gerai rakyat oleh pihak Kolej. Menurut Anwar, selama 5 tahun berada di Kolej dia langsung tidak mengenali orang-orang kampung di sekitar maktab itu dan dia merasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena kepada sistem MCKK. Pelajar Kolej dilatih untuk berkhidmat kepada negara tetapi berada terpisah daripada masyarakat. Ini menyebabkan Anwar bertindak menyusup keluar memanjat pagar melepasi sempadan Kolej untuk bergaul dengan penduduk sekitar. Melalui BRU pelajar-pelajar MCKK banyak menganjurkan kelas-kelas tambahan akademik dan kelas-kelas sivik-motivasi untuk pelajar-pelajar sekitar Kuala Kangsar.

Anwar telah bersungguh-sungguh mengajar bahasa Inggeris di sebuah sekolah Arab di atas Bukit Chandan berhampiran istana yang indah. Di sanalah Anwar, Osman Bakar dan rakan-rakan mereka mula mengenali dan mempelajari istilah-istilah Arab daripada guru-guru sekolah itu. Pada masa yang sama, Anwar Ibrahim mula mendapat perhatian dan minat penduduk setempat. Di samping menganjurkan kelas-kelas bimbingan pelajar sekolah, Anwar turut diundang berceramah di surau-surau dan dewan orang ramai. Ucapan dan ceramah Anwar sentiasa membawa tema dan mesej taghyir - islah dan perubahan. Semua ini berlaku sewaktu usia Anwar masih belasan tahun dan seorang pelajar di sekolah elit jolokan ‘Eaton of the East’ kerana kebanyakan pelajarnya terdiri daripada kalangan anak-anak bangsawan. Bagi Anwar, ‘menyusup keluar pagar MCKK’ itu suatu yang memberangsangkan dan berbaloi sekali. Dari situlah dia membina jati diri, dan dari situ juga kelak dilihat kepeloporannya dalam bidang pendidikan golongan terpinggir. Al marhum Desmond Muzaffar Tate, seorang guru yang rapat dengannya di Kolej mengungkapkan bahawa Anwar memiliki ‘a strong religious conviction’ – keyakinan agama yang teguh.

Mahasiswa

Kegiatan yang Anwar tekuni sewaktu di MCKK, kemudiannya diteruskan dengan lebih berkesan sebagai mahasiswa di Universiti Malaya (UM) bermula pada 1967. Setelah setahun menjadi mahasiswa, Anwar diberi kepercayaan mengambil alih kepimpinan Persatuan Bahasa Melayu UM (PBMUM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan dia telah memberikan wajah baru kepada kedua-dua organisasi berkenaan. Kempen Gerakan Kesedaran yang dia cetuskan telah membawa para mahasiswa ke desa dan kampung-kampung pendalaman, menjadi anak-anak angkat dan tinggal bersama-sama orang kampung. Orang kampung telah ketinggalan di dalam serba-serbi arus pembangunan negara. Misi mahasiswa adalah mendekati orang kampung agar meningkatkan kesedaran dan membawa perubahan kepada kehidupan terutamanya persoalan pendidikan anak-anak.

Yayasan Anda Akademik

Penubuhan ABIM pula dikatakan selari dengan pengasasan sekolah swasta bernuansa Islam, Yayasan Anda Akademik (YAA) yang dipelopori pada 1971. Sekolah yang diwujudkan berpusat di Kg Baru, di tengah-tengah kota raya serta jantung kependudukan Melayu Kuala Lumpur. Kemudian YAA berpindah ke Jalan Pantai Baru, di bangunan rumah kedai 4 tingkat milik UDA. Tempat ini dipilih kerana berada di Lembah Pantai berdekatan dengan daerah menara gading Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Maktab Perguruan Bahasa dan Institut Bahasa.

YAA adalah sebahagian usaha Anwar dan rakan-rakan aktivis dengan sokongan beberapa orang tokoh akademik bertujuan untuk menerapkan Islam ke dalam sistem pendidikan kebangsaan. Penubuhannya juga merupakan permulaan sebuah pusat perkaderan generasi baru. Guru-gurunya masih muda membawa nyalaan obor idealisme yang tinggi mendidik para remaja Islam yang mendapat ‘peluang kedua’ di tengah-tengah kotaraya Kuala Lumpur yang dilingkari pelbagai masalah.

Anwar menjadikan pendidikan berasaskan tarbiyah dan tadrib – latihan sebagai pilihan untuk menyediakan pelapis dan kader-kader Islam yang berpotensi. Sistem pendidikan kebangsaan konvensional dan sistem peperiksaannya tidak menjadi penghalang kepada kreativiti dan inovasi graduan dan mahasiswa dalam menerapkan kefahaman Islam kepada pelajar mereka. Menerusi sekolah swasta bernuansakan Islam ini, YAA telah melakukan eksperimen yang menarik dengan membina kefahaman dan menerapkan tasawur Islam kepada para pelajar remaja Islam. Pelajar yang sebelum ini tidak cemerlang dan tercicir semasa belajar di sekolah kerajaan. Kebanyakan pelajar adalah lepasan SPM yang menyambung ke Tingkatan 6 dan pelajar yang menduduki semula SPM, berasal daripada seluruh negara. Pelajar datang dari luar Kuala Lumpur ditempatkan di tingkat 16 dan 17 Flat PKNS Kg Kerinci yang disewa khas. Peluang pembelajaran kedua ini telah menghasilkan calon-calon mahasiswa yang cenderung kepada Islam, suatu fenomena baru pada waktu itu.

Guru-guru muda YAA bukan sahaja menerima imbuhan yang rendah bahkan tidak berada pada kelas kedudukan yang tinggi pada pandangan mata masyarakat umum. Namun semua pengorbanan ini telah menjadikan mereka lebih terhormat pada perspektif menjunjung idealisme perjuangan. Anwar Ibrahim telah melahirkan sebuah legasi perjuangan pendidikan dan pengkaderan Islam dalam sistem pendidikan sekular warisan zaman kolonial. Tidaklah menghairankan apabila mahasiswa, graduan universiti dan para pensyarah menara ganding pun turun dan tampil mengajar di YAA.

Memperkenalkan mata pelajaran Prinsip Islam sebagai subjek teras di luar peperiksaan adalah kemuncak eksperimen Anwar dan rakan-rakannya. Mata pelajaran ini diajar secara progresif oleh para aktivis Islam yang selama ini berhempas pulas berjuang membawa perubahan di kalangan para mahasiswa di kampus-kampus.

Aktivisme

Anwar telah lama menggagaskan pendidikan politik dan masyarakat madani sebelum 1971 lagi. Dia ditakdirkan mengumandangkan sebuah fenomena kebangkitan yang dia sendiri mempelopori di rantau ini. Kebangkitan yang dikenali sebagai nahdah Islami, al wa’yul Islami, Islamic Resurgence – kebangkitan baru Islam yang menggejala sejak tahun 1970 ‘an. Pidato Anwar Ibrahim benar-benar mempengaruhi anak-anak muda  dan ungkapan-ungkapan al Qur’an, istilah-istilah khayra ummah, ummatan wasatan, al amar bil ma’ruf wa nahyu ‘anil mungkar dan konsep Islam sebagai ad din yang dilantuninya begitu memikat mereka pada waktu itu. Ceramah dan ucapan disampaikan denagn karisma secara menarik dan berkesan bagi seorang yang berasal latarbelakang pendidikan sekolah kebangsaan dan aliran Inggeris. Pendirian politiknya amat terbuka meletakkannya sebagai pejuang dan pendidik demokrasi ampuh sejak awal lagi.

Sebagai Presiden ABIM, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan kemudiannya Pengarah IIFSO serta wakil WAMY Asia Pasifik, Anwar menyampaikan dakwahnya dengan membicarakan tentang hutang, kemiskinan, penderitaan golongan miskin dan terpinggir. Ungkapan popular exploitation de l'homme par l'homme – penindasan manusia ke atas manusia dan kata-kata menyengat Anwar sendiri ‘yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana’ membuatkan pidato-pidatonya sangat mengesankan.

Frasa-frasa kata membicarakan tentang perubahan, Islam, reformasi yang Anwar laungkan sejak zaman pelajar hingga diangkat menjadi tokoh politik negara tidak berubah. Inilah tema sosial politik dia sejak menggerakkan kesedaran mahasiswa di sudut-sudut pidato – speaker’s corner, di seminar, tamrin dan persidangan antarabangsa. Karyanya ‘Menangani Perubahan’, buku koleksi berisi kertas-kertas kerja dan ucaptama di pelbagai persidangan dan forum mendokumentasi dan membuktikan bahawa itulah pendidikan politik Anwar. From Things Changing to Changing Things: Planning for the Ummah dibentangkan pada Persidangan Masa Depan Ummah di Makkah al Mukarramah 1987. Managing Change in Political Leadership dibentangkan pada Persidangan sempena 100 Tahun International Herald Tribune di Singapura 1987 dan juga di Asian Institute of Management Manila 1988 adalah monumental.

Tema-tema perubahan yang berat ini dibawa olehnya ke mana-mana dan menjadi asas pendidikan politik kepada semua. Buku karangannya,  The Asian Renaissance terbitan 1996 amat perlu dihalusi bagi memahami pemikiran politik dan masyarakat madani Anwar Ibrahim.

Penglipur Lara

Istilah-istilah yang dipopularkannya sejak zaman muda seperti agent of change, catalyst for change dan jurubicara umat mungkin kesan pengaruh pemikiran Ibn Khaldun. Ketika Anwar Presiden ABIM, dia pernah mengarahkan supaya dianjur sebuah seminar di Dewan Bahasa dan Pustaka bertajuk Ibn Khaldun and Social Change dengan menjemput pembicara utama Dr Fathi Osman seorang ilmuwan kelahiran Mesir yang menetap di England. Seminar yang membicarakan  isu ilmiah dan topik seberat itu sudah tentu tidak menarik ramai peserta lalu Anwar meminta supaya sebanyak mungkin mahasiswa dan para pensyarah hadir. Ahli-ahli ABIM beramai-ramai dikerahkan bagi menyertai seminar dengan pengisian yang berat ini.

Peristiwa yang berlaku lebih 30 tahun lalu masih segar di dalam ingatan kerana ABIM disaman polis lalu dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengadakan perhimpunan tanpa permit polis. Penganjur menerima panggilan seorang pegawai polis berketurunan Punjabi. Pegawai polis mula bertanya, “Bolehkah saya bercakap dengan Encik Ibnu Khaldun?” Lalu dijawab, “Maaf Encik. Ibn Khaldun sudah meninggal lebih 700 tahun dulu.” Pegawai itu terus mengemukakan soalan keduanya, “Kalau begitu bolehkah saya bercakap dengan Encik Fathi Osman?” Lalu dijawab, “Maaf Encik. Fathi Osman sudah lama berlepas pulang ke England.” Kemudian, pegawai polis menelefon lagi dan kali ini dia bertanya tentang seorang yang bernama Kamaruddin. Lalu dijawab, “Di sini banyak Kamaruddin. Ada Kamaruddin Mohd Nor, ada Kamaruddin Jaafar.” Pegawai itu memilih Kamaruddin Mohd Nor lalu sapina dihantarkan kepada Kamaruddin Mohd Nor. ABIM telah menang kes perbicaraan itu. Penganjur seminar Kamaruddin Jaafar bukan Kamaruddin Mohd Nor.

Anwar adalah orang terawal di negara ini membincangkan tokoh pemikir dan membicara isu perubahan oleh pemikir kelahiran Algeria Malek Bennabi. Anwar membawa karya Malik Bennabi ke usrah, karya yang berbahasa Arab diterjemah daripada Perancis asal. Naqib usrah waktu itu, al marhum Ustaz Fadzil Noor mengakui bahawa karya itu amat berat lalu mencuba menterjemahkan dalam bahasa Melayu secara lisan halaman demi halaman kitab itu. Hampir semua ahli usrah terlena kecuali Anwar Ibrahim yang tekun mendengarnya dengan penuh minat dan perhatian. Malah dia mengulas dan memberikan pandangan tentang kitab itu.

Masyarakat Madani

Oleh kerana minatnya kepada gagasan ini, Anwar Ibrahim memperkenalkan istilah ‘Masyarakat Madani’ bagi menterjemahkan Civil Society. Namun gagasan ini tidak disambut oleh cendekiawan di sini. Tetapi apabila istilah itu diperkenalkan buat pertama kalinya di Jakarta, pada Simposium Festival Istiqlal, para cendekiawan Indonesia memberikan sambutan hangat. Sejumlah judul buku dan makalah atas nama masyakarat madani diterbitkan di negara buluh runcing itu.

Anwar Ibrahim seorang pengamal civil society sejak zaman mudanya. Dia mengalakkan agar warga negara boleh berbeda pandangan menggunakan semua saluran bagi mengutarakan pendapat, bantahan dan bertunjuk rasa.

Persahabatannya dengan pelbagai golongan berlainan pegangan dan merentas kepercayaan telah menjadi amalan keterbukaannya sejak zaman muda lagi. Banyak pengajaran dan contoh teladan dapat dipelajari daripada sikap Anwar. Contohnya, persahabatannya dengan Gus Dur, Nurcholis Majid dan Sujak Sivaraksa yang memperjuangkan faham co-existence mungkin disalah tafsir dengan menuduhnya liberal walhal ia menggambarkan seorang ahli politik yang mengamalkan dasar inklusif dalam persahabatan dan perjuangan.

Anwar sejak berusia muda telah berinteraksi dan bekerjasama dengan badan-badan seperti YMCA, Young Christian Workers, Hindu Sangam, Tamil Bell, Hindu Youth Organisation, Young Buddhist Association dan banyak lagi pertubuhan-pertubuhan. Dia berhubung dengan WAY, WFDY, Friedrich Naumann Stiftung dan Konrad Adeneur Stiftung. Politik kerjasama telah lama berada di sepanjang perjalanan perjuangan Anwar sejak tahun 60’an lagi.

Anwar digelar ‘pemimpin politik jalanan’ kerana penglibatannya di dalam tunjuk perasaan sejak 60’an sehinggalah siri-siri protes terbaru kini. Ada yang sangat marah dengan penglibatan Anwar sehingga mengeluarkan kata, “Nanti bila dia mati, kita tanam saja dia di tepi jalan.” Kata-kata begini terjadi kerana salah faham terhadap prinsip dan pegangan hidup Anwar yang bersungguh-sungguh memperjuangkan demokrasi dan civil society.

Sebagai seorang yang menghormati dasar civil society dan menamakannya masyarakat madani, Anwar sangat meraikan perbedaan pendapat. Tidak ramai yang mahu menjadi penggerak masyarakat madani. Anwar memilih menjadi penggerak dan kekal sebagai seorang pencinta damai yang menolak kekerasan. Anwar menerima sebarang aksi atau protes aman sebagai ekspresi sesiapa pun selagi tiada unsur kekerasan. Pengarang Charles Allers menggelarkan Anwar Ibrahim sebagai ‘Muslim Democrat’ yang difikirkan tepat sekali. Barangkali gelaran ini sejajar dengan gelaran yang pernah diberikan kepada  Bung Hatta di Indonesia sebagai Pengeran Demokrasi.

Perjalanan peribadi bersama Anwar menunjukkan bahawa di dalam sekecil-kecil perkara pun dia tidak pernah merestukan sebarang unsur keganasan. Bagaimana mungkin dikenangkan tentang apa yang pernah terjadi ke atas diri Anwar, sesuatu yang ironis sekali apabila seorang pencinta damai ini dipukul hingga pengsan oleh Ketua Polis Negara semasa ditahan di lokap Bukit Aman satu ketika dulu. Ini adalah sejarah hitam penganiayaan yang berlaku terhadap mantan pemimpin nombor dua negara dan tokoh masyarakat madani. Inilah episod yang memalukan seluruh negara.

Demikianlah catatan ringkas tentang Anwar dalam pendidikan demokrasi dan masyarakat madani untuk kita kaji dan meneliti bersama. Benarlah kata-kata sahabatnya Dr Siddiq Fadzil, “Sesungguhnya Anwar Ibrahim itu bukan sekadar aktor politik, tetapi dia ada;ah pemikir dan tokoh kemanusiaan yang hebat sebenarnya.”




(Disunting dan diadaptasi daripada kertas kerja asal Mohd Anuar Tahir di Seminar Pemikiran Pendidikan Anwar Ibrahim 22 November 2016)

Monday, November 28, 2016

DR SIDDIQ FADZIL: WAWASAN KEPENDIDIKAN ANWAR IBRAHIM




PENDIDIKAN KEINSANAN:  MENYOROT WAWASAN
KEPENDIDIKAN  ANWAR IBRAHIM

Siddiq Fadzil



Mukadimah

Dalam era kekuasaan media,  kita selalu tertipu dengan propaganda.   Media sebagai image maker banyak melakukan pemalsuan citra,   yang kecil diperbesar dan yang besar diperkecil.   Antara yang cuba dimangsakan adalah Anwar Ibrahim,  tokoh yang sumbangannya selalu dinafikan, dan kebesarannya selalu diperkecilkan.    Mudah-mudahan kita masih memiliki  kejujuran nurani, daya fikir kritis  dan keberanian bersikap objektif dalam menilai seseorang.    Anwar Ibrahim adalah tokoh multi-dimensi dalam pengertian memiliki kemampuan yang pelbagai.  Umum mengenalinya sebagai pemimpin karismatik,  ahli politik berkaliber dan strategis yang cemerlang.    Tetapi selain itu beliau juga sebenarnya adalah seorang pemikir serius dan ilmuwan berwawasan luas.   Banyak wawasan dan gagasannya yang segar dan menginspirasikan:  wawasan  kebangkitan Islam, wawasan kebangkitan Asia,  wawasan ekonomi kemanusian,  wawasan pendidikan keinsanan,  wawasan masyarakat madani, dan yang terkini gagasan World Forum for Muslim Democrats.


Wawasan Kependidikan         

Anwar Ibrahim adalah pemimpin-pendidik   yang gigih memperjuangkan  pendidikan sebagai birth right,  hak yang lahir bersama kelahiran setiap anak manusia.  Sejak muda beliau sangat memprihatinkan nasib anak-anak yang tidak mendapat peluang dan kemudahan  belajar,  terutama kanak-kanak di luar bandar.    Mereka adalah antara korban kepincangan dasar urban biased development,  dasar  pembangunan yang lebih memusat di kawasan bandar.   Sementara itu mereka yang berpeluang mendapat pendidikan pula, banyak dirosakkan oleh sistem pendidikan yang terlalu bersifat pragmatik dan utilitarian sehingga mengabaikan objektif  utama islah al-insan (pembaikan insan).   Akibatnya berleluasalah  gejala moral decadence,  kebejatan moral dalam pelbagai bentuknya.   Yang paling menyolok adalah hypocrisy  elit kepimpinan sebagaimana yang dirumuskan  oleh Anwar sendiri ketika diwawancarai oleh Zainah Anwar,

                  The  leaders  were  condemning  corruption,   but  they  were  enriching
                   themselves.      They  talked  about    Malay  nationalism but  they  were
                  alienated  from  the  Malay  masses.       They   were   obsessed  with  the
                  west.   They were too accommodating to non-Malay sentiments.    They
                  were extremely  slow  in implementing  national  policies  in  education
                  and language.    We  were impatient and angry  about  the plight of the
                  Malays,   their education,   rural development,  rural health.   There was
                  this  huge  University  Hospital,   but no clinics in the rural areas.   There
                  were  schools  with  no  laboratories,    no   libraries  and  no    qualified
                  teachers.  We were very angry,  disgusted and critical of the government.
                 There seemed to be no moral foundation and no spiritual guidance.    We
                  turned to Islam to fill this vacuum and to look for solutions.         (Zainah   
                  Anwar, 1987:12-13)

Ketempangan sedemikian itulah yang membibitkan kesedaran reformatif-islahi  yang kemudiannya mengorientasikan gerakan kesiswaan PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia)  yang dipimpinnya.  Dalam wawasan reformasi-islahinya,  agenda pendidikan menempati posisi teras sebagaimana terserlah dalam orientasi  gerakan kepemudaan yang muncul menyusul pada tahun 1971 iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). 

Sebaik sahaja menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya,  Anwar Ibrahim terus terjun ke dunia pendidikan kerakyatan dengan menubuhkan  Yayasan Anda,  sebuah sekolah menengah kerakyatan  di Kampung Baru, Kuala Lumpur, yang menampung pelajar-pelajar yang tidak mendapat tempat di sekolah-sekolah kerajaan.    Mengenai sekolah ini Nagata menyebutnya sebagai gabungan pola pendidikan agama dan sekular:

                     Religious and secular education patterns in such a way that pupils can
                     both  sit  for the national  promotional  examinations  which  open  the
                     doors  of  occupational   opportunity  to government and private sector
                     and  receive  a  solid  religious  and  moral   foundation for life as  good
                     Muslims.  (Nagata, J., 1984:92).      

Persekolahan model Yayasan Anda segera berkembang dengan memakai nama yang berbeza-beza di Ipoh, Taiping, Sungai Petani, Alor Star dan Kota Kinabalu.  Yang menjadi ciri khas persekolahan model ini ialah pengajaran subjek Prinsip Islam yang memperkenalkan shumuliyyat al-Islam,  iaitu  Islam sebagai cara hidup yang utuh dan menyeluruh.   Selain itu ialah orientasi keislamannya yang kental sebagai jelmaan semangat kebangkitan Islam yang menggelora ketika itu.  Sekolah-sekolah tersebut rata-rata dikendalikan oleh aktivis-aktivis gerakan Islam ABIM.  Majoriti besar aktivis ABIM ketika itu adalah guru-guru, dan mereka memang sangat instrumental dalam gerakan pemerataan kesedaran Islamiah yang berteraskan pendidikan.

Gerakan kependidikan ini juga didukung kekuatan idea demokratisasi pendidikan, bahawa pendidikan tidak seharusnya menjadi hak eksklusif golongan istimewa,  sebaliknya harus dapat dinikmati secara kolektif oleh seluruh rakyat, tanpa mengira kaum dan agama atau status sosialnya.  Komitmen terhadap semangat democratization of education yang dikobarkan oleh Anwar Ibrahim telah membangkitkan kesedaran pemerataan pendidikan, di samping pemerataan kesedaran tentang hak mendapat  pendidikan berkualiti.


Pendidikan Keinsanan

Komitmen kependidikan Anwar Ibrahim juga terbina hasil penjelajahannya yang luas dalam dunia keintelektualan.  Pelbagai aliran pemikiran, Timur dan Barat  dipelajari dengan tekun, untuk kemudiannya diadun menjadi suatu gagasan yang segar.  Demikianlah beliau mengadun pemikiran Paolo Freire dari Brazil dengan pemikiran ‘Abd al-Rahman al-Kawakibiy dari Syria untuk menggagaskan pendidikan pembebasan dan pemberdayaan.      Paolo Freire (1921-1997) adalah tokoh pemikir yang menggagaskan pendidikan  untuk kaum tertindas.  Antara bukunya yang banyak dibicarakan dalam kalangan masyarakat pendidik ialah Pedagogy of the Oppressed dan Education as the Practice of Freedom.    Paolo Freire menggunakan pendidikan sebagai wahana membangkitkan kaum tertindas yang buta huruf dan terbenam dalam budaya bisu.   Freire  berkeyakinan bahawa manusia betapa pun jahilnya, dan berapa pun lamanya terbenam dalam budaya bisu (submerged in the culture of silence),  ia tetap berpotensi untuk mampu melihat dunianya secara kritis.  Pendidikan yang tepat akan membangkitkan kesedaran tentang hakikat dirinya sebagai manusia yang bermartabat.  Pendidikan yang tepat juga akan membebaskannya dari budaya bisu,  dan seterusnya memberinya keberanian tampil di pentas dialog kritis.    Dengan kata lain,  pendidikan liberatif  mampu menciptakan transformasi radikal,   merubah manusia buta huruf yang pasif dan bisu,   menjadi manusia baru yang berani bangkit menggugat budaya dan order masyarakat yang menindasnya selama ini.

`Abd al-Rahman al-Kawakibiy (1854-1902)  adalah ilmuwan-pejuang yang termasuk dalam rangkaian tokoh-tokoh gerakan islah akhir abad ke-19  dan awal abad ke-20   yang dipelopori oleh Jamal al-din al-Afghaniy,  Muhammad `Abduh dan Rashid Rida.  Kekuatan al-Kawakibiy adalah analisisnya tentang gejala penindasan  sebagaimana yang tertuang dalam bukunya  Taba’i` al-Istibdad wa Masari` al-Isti`bad.      Bagi al-Kawakibiy,  ibu segala bentuk penindasan adalah penindasan politik.  Rakyat diindoktrinasi untuk menerima hakikat bahawa golongan penguasa  memang diciptakan untuk memerintah semahu mereka,  sementara rakyat pula memang dicipta untuk  mengabdi kepada penguasa,   adil atau zalim.     Al-Kawakibiy mengatakan bahawa rakyat yang tertindas dalam pemerintahan despotik dilayani bagaikan anjing yang dihina tetapi tetap setia,  rela mengabdi walaupun hanya diberi tulang.    Rakyat Muslimin di pelbagai rantau dunia terbelenggu dalam kezaliman para penguasa yang dibantu oleh fuqaha’ al-istibdad (ulama penindasan).     Umat diindoktrinasi dengan fiqh al-istibdad (fiqh penindasan) yang berintikan ajaran syukur kalau penguasa adil,  sabar kalau mereka zalim.   Satu-satunya cara melawan penindasan bagi Al-Kawakibiy adalah pendidikan pembebasan, ilmu yang dapat menyedarkan umat tentang betapa buruknya kehidupan yang sedang mereka alami,  dan sekali gus memberikan harapan bahawa mereka boleh memperbaikinya.  Dengan kesedaran sedemikian, mereka akan mulai merasakan sakitnya ditindas dan diperas.  

Wacana penindasan dan pentingnya pendidikan pembebasan  memang sangat relevan dalam konteks masyarakat pasca-kolonial yang masih terbelenggu dalam sikap jiwa hamba warisan penjajahan,   dan dilanjutkan oleh penguasa pasca-kemerdekaan.   Anwar dan rakan-rakannya menyedari bahawa kemerdekaan telah tidak diisi dengan pembinaan jiwa merdeka,   malah telah berlaku proses dehumanisasi (penghakisan ciri dan nilai keinsanan).   Manusia yang kehilangan hak dan martabatnya adalah manusia yang telah kehilangan kemanusiaannya.  Kerana itu isu insaniyyat al-insan menjadi keprihatinan utama, dan seterusnya membangkitkan kesedaran tentang pendidikan keinsanan.  

Pendidikan yang berorientasi keinsanan inilah yang menjadi tumpuan utama ketika Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pendidikan.   Antara sumbangan besar beliau sebagai Menteri Pendidikan ialah perumusan Falsafah Pendidikan Negara yang berintikan idea keinsanan,  “...memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.”     Bagi Anwar human development  adalah paksi pembangunan di segala sektor dan bidang,  termasuk pembangunan ekonomi yang harus menjadi bahagian integral daripada keseluruhan falsafah pembangunan insan.   Beliau mengingatkan bahawa manusia yang dimaksudkan dalam konteks pembangunan ekonomi yang digagaskannya,  bukan manusia menurut definisi humanisme sekular yang sentiasa haus dan rakus,   tetapi manusia unggul  seperti yang dikonsepsikan dalam tamadun-tamadun besar dunia,   iaitu seperti chun tzu (manusia sempurna) dalam Konfusianisme,   dan insan salih (manusia baik) dalam Islam.   Pembangunan ekonomi tidak dilihat dari perspektif homo economicus yang materialistik,  tetapi dari perspektif homo islamicus yang mampu menciptakan keseimbangan material-spiritual. 


Universiti  dan Kualiti Keintelektualan

Berbicara tentang kebangkitan Asia,   Anwar Ibrahim mengingatkan peri pentingnya kecemerlangan intelektual dan pengayaan budaya (intellectual excellence and cultural enrichment).  Mediokriti  harus segera digantikan dengan kecemerlangan (intelektual). Justeru,   kemajuan dan kebangkitan tidak mungkin berlaku di tengah kebekuan dan kegersangan intelektual.  Mengenai kepentingan iklim keintelektualan yang segar sebagai  prasyarat perubahan,   beliau mengatakan,  “The reengineering of society, to make it more open, transparent and tolerant,  is also contingent upon a vibrant intellectual climate.” (Anwar Ibrahim, 1997:30).

Ternyata Anwar Ibrahim sangat memprihatinkan  kualiti keintelektualan di negara ini, dan seterusnya kepiawaian para graduan yang ditampilkan oleh universiti-universiti tempatan.   Dilatari keprihatinan tersebut, ketika menjadi Menteri Pendidikan,  beliau telah mengarahkan semua Naib Canselor membaca sebuah laporan tentang kemerosotan pengajian tinggi di Amerika Syarikat.  Laporan berjudul A Nation at Risk (1983) itu mengungkapkan keprihatinan terhadap tahap kekuatan intelektual, moral dan spiritual bangsa Amerika,  “Our concern,  however, goes well beyond matters such as industry and commerce.  It also includes the intellectual, moral and spiritual strength of our people which knit together the very fabric of our society.”                          

 Perhatiannya terhadap mutu pengajian tinggi tidak terbatas hanya ketika menjadi Menteri Pendidikan,  tetapi berterusan hingga sekarang.   Dalam pesanan khasnya kepada penulis,  beliau menyarankan agar diteliti juga laporan selepas A Nation at Risk di atas,  iaitu A Test of Leadership (2006) yang memprihatinkan pelbagai gejala kemorosotan dalam pendidikan tinggi Amerika Syarikat.   Kesimpulan laporan tersebut menyatakan:

                 
                  The future of our country’s colleges and universities is threatened by
                   global  competitive pressures,   powerful technological development,
                   restraints on public finance,  and serious structural limitations  that
                   cry out  for reform.

                   Our report  has  recommended  strategic actions  designed to make
                   higher  education  more  accessible,   more  affordable,    and  more
                   accountable,   while maintaining world-class quality.   Our Colleges
                   and universities must become more transparent,  faster to respond
                   to rapidly changing circumstances  and  increasingly productive in
                   order  to deal  effectively with the powerful  forces of  change   they
                   now  face.

 Laporan-laporan sedemikian menarik perhatian Anwar,  kerana beliau sendiri memang mengaspirasikan universiti  berkualiti tinggi yang  dapat menjadi pusat pengembangan minda kreatif dan adventurous.    Beliau menerima pentingnya pengkhususan,   tetapi tidak harus terkurung dalam kepompong  pengkhususan.  Sebaliknya harus ada pendedahan secukupnya kepada idea-idea penting dari disiplin lain  dan perkembangan pemikiran umum semasa. Di samping cemerlang dalam bidang masing-masing, para graduan juga harus memiliki cita rasa seni, sastera, musik dan karya-karya yang tinggi nilai estetikanya.     Para graduan universiti yang menguasai bidang yang pelbagai itulah yang beliau sebut sebagai multidimensional men.   

Beliau juga menginginkan agar institusi-institusi pengajian tinggi memiliki kesanggupan  dan keberanian melakukan penerokaan baru dalam pelbagai bidang   falsafah, agama, perundangan, ekonomi, seni dan sains.  Pelajar-pelajar universiti pula tidak harus hanya terpaku pada buku-buku teks semata-mata,  tetapi harus dibimbing untuk meneroka idea-idea dari karya sarjana-sarjana besar, dan   mengikuti polemik  intelektual dari pelbagai aliran.    Di samping membangkitkan ghairah keintelektualan,  beliau juga mengingatkan pentingnya nilai-nilai murni kerohanian seperti keihlasan,  kerendahan dan kemurahan hati, serta kecintaan pada kebenaran dan keadilan.    Tanpa didasari nilai-nilai tersebut,   ilmu setinggi mana pun tidak akan membawa kebaikan.  (Anwar Ibrahim,  1997: 106-107).    

Anwar Ibrahim memang sangat komited dengan epistemologi Islam.   Peranan kuncinya dalam penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) membuktikan kesungguhannya dalam usaha membangun semula tamadun keilmuan Islam berteraskan epistemologi tawhidik dalam pengertian Islamisasi ilmu.     Sebagai ilmuwan Islamis, beliau cukup menyedari   masalah-masalah yang membelit tradisi keilmuan sekular Barat dengan segala akibatnya.   Kritiknya yang konsisten terhadap sekularisme,  mengimplikasikan komitmen terhadap de-sekularisasi ilmu,  untuk seterusnya dikembalikan kepada tawhid  sebagai prinsip dan kaedah integratif  menuju kesepaduan ilmu dalam suluhan wahyu Ilahi.


Khatimah

Anwar Ibrahim adalah contoh manusia pencinta ilmu yang setulennya.  Beliau benar-benar telah mengecapi ladhdhat al-ma`rifah (kelazatan ilmu).   Kerana itu beliau selamanya sangat akrab dengan ilmu dan ilmuwan.   Apabila berbicara tentang sesuatu,   dapat dipastikan beliau memang tahu apa yang dibicarakannya,  bukan pura-pura tahu seperti sesetengah orang.   Pidato-pidatonya yang memukau,  bukan hanya kerana gaya retorikanya yang istimewa,  tetapi lebih daripada itu adalah kekentalan ideanya yang terhasil dari penjelajahannya dalam dunia keilmuan yang memang cukup luas.  Kemanusiaan seorang manusia,  bukan pada raga jasmaninya,  tetapi pada akal budinya.  Demikianlah keyakinan dan pegangan hidup Anwar Ibrahim yang ternyata sangat teruja dengan bait-bait puisi Abu al-Fath al-Busti:

                         Ya khadima ‘l-jismi,  kam tashqa li khidmatihi,
                         Litatluba ‘r-ribha mimma fihi khusranu,
                        Aqbil `ala ‘n-nafsi wa ‘stakmil fada’ilaha,
                        Fa anta bi ‘n-nafsi, la bi ‘l-jismi insanu.

                         Wahai pengabdi jasmani,  betapa penat kau merawatnya,
                         Bak mencari laba,  di pasar  ruginya segala niaga
                         Hadap sajalah jiwa dan minda, bina hingga sempurna
                         Dengan akal budi, bukan raga jasmani, kau jadi manusia.      





Rujukan

Allers,  Charles.  2013.  Anwar Ibrahim:  Evolution of a Muslim Democrat.  Singapore:
                           Monsoon.

Al-Kawakibiy,  `Abd al-Rahman.  2009.  Taba’i` al-Istibdad wa Masari` al-Isti`bad.  Kaherah:
                             Dar al-Shuruq. 

Anwar Ibrahim.  1997.  The Asian Renaissance.  Singapore:  Times Book International.

Freire,  Paolo.  1968.  Pedagogy of the Oppressed.  New York: The Seabury Press.

Nagata, Judith.  1984.  The Reflowering of Malaysian Islam: Modern Religious Radicals and
                             Their Roots.  Vancouver: University of British Columbia Press.

Siddiq Fadzil.  2014.  Pendidikan al-Hikmah dan Misi Pencerahan.    Kajang:  Akademi
                             Kajian Ketamadunan.       
  
-----------------  2015.  Misi Kecendekiawanan dalam Gerakan Reformasi Islahi.  Bangi:
                             Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Zainah Anwar.  1987.  Islamic Revivalism in Malaysia:  Dakwah Among the Students.
                             Petaling Jaya:  Pelanduk Publication.








KDH/IDE/UNISEL: 28112016.