ANWAR IBRAHIM: PENDIDIKAN DEMOKRASI DAN MASYARAKAT MADANI
(Catatan Ringkas)
Anwar Ibrahim adalah sosok yang
amat komited kepada perubahan sosial. Anak kelahiran Bukit Mertajam ini sejak
awal lagi menjadikan social change
sebagai agenda utama perjuangannya. Itulah tema bicara percakapannya sejak
zaman muda sehinggalah dia menduduki tangga teratas negarawan rantau ini. Anwar
Ibrahim mula memberikan perhatiannya kepada persoalan ini sejak dia berada di
Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), sekolah berasrama penuh bersejarah dan alma mater. Di situ lagi dia memupuk
minat kepada bahan bacaan ilmiah serius dan meminati tokoh-tokoh ilmuwan dunia
yang tersenarai sebagai pejuang-pejuang sosial.
Pembacaan
Anwar Ibrahim yang telah digelar
Tokoh Pembaca 1988 dipengaruhi oleh banyak tulisan-tulisan seluruh dunia serta
persahabatannya dengan tokoh-tokoh besar seperti Syed Hussein al Attas, Sayyid
Naquib al Attas, Abul Ala al Mawdudi, Muhammad al Ghazali, Yusuf al Qaradawi
dan Muhammad Natsir. Rakan-rakannya di dalam ABIM dan Yayasan Anda Akademik (YAA)
diajak bersama menekuni karya-karya Hasan al Banna, Sayyid Qutb, Muhammad Qutb,
Muhammad Iqbal, Hossein Nasr, Toshihiko Izutsu, Ali Shariati, Muhammad Asad,
Ivan Ilich, Paolo Freire, Malek Bennabi hingga kepada penulis-penulis seperti
Franz Fanon, Herbert Marcuse dan lain-lain. Kadang-kadang ada di kalangan para
aktivis ABIM dan YAA tidak menjangkau betapa panjangnya senarai buku-buku yang
perlu dibaca dan diwacanakan. Rasanya masih segar dalam ingatan sebahagian
daripada aktivis-aktivis itu betapa buku Myth
of the Lazy Native, Syed Hussein al Attas dan Reconstruction of Religious Thought, Muhammad Iqbal menjadi bacaan
wajib aktivis ABIM dan penggerak YAA ketika itu.
MCKK
Osman Bakar, rakan karib Anwar
Ibrahim di Kolej Melayu Kuala Kangsar menceritakan tentang kesedaran begitu
tinggi sekali Anwar Ibrahim yang bermula di bangku sekolah menengah lagi
membantu pelajar-pelajar miskin di bidang pendidikan dan pembelajaran. Ketika
di Tingkatan 6, Anwar mengasaskan dan mengetuai Badan Revolusi Ugama (BRU)
MCKK.
Anwar berkata bahawa penduduk
tempatan di pekan Kuala Kangsar menganggap MCKK amat feudal – para pelajarnya
angkuh dan sombong. Ketika bersiar – outing
, para pelajar melaram keluar ke pekan Kuala Kangsar memakai tali leher dan
hanya makan di restoran-restoran kerana dilarang makan di gera-gerai rakyat
oleh pihak Kolej. Menurut Anwar, selama 5 tahun berada di Kolej dia langsung
tidak mengenali orang-orang kampung di sekitar maktab itu dan dia merasakan
bahawa ada sesuatu yang tidak kena kepada sistem MCKK. Pelajar Kolej dilatih
untuk berkhidmat kepada negara tetapi berada terpisah daripada masyarakat. Ini
menyebabkan Anwar bertindak menyusup keluar memanjat pagar melepasi sempadan
Kolej untuk bergaul dengan penduduk sekitar. Melalui BRU pelajar-pelajar MCKK
banyak menganjurkan kelas-kelas tambahan akademik dan kelas-kelas
sivik-motivasi untuk pelajar-pelajar sekitar Kuala Kangsar.
Anwar telah bersungguh-sungguh
mengajar bahasa Inggeris di sebuah sekolah Arab di atas Bukit Chandan
berhampiran istana yang indah. Di sanalah Anwar, Osman Bakar dan rakan-rakan
mereka mula mengenali dan mempelajari istilah-istilah Arab daripada guru-guru
sekolah itu. Pada masa yang sama, Anwar Ibrahim mula mendapat perhatian dan
minat penduduk setempat. Di samping menganjurkan kelas-kelas bimbingan pelajar
sekolah, Anwar turut diundang berceramah di surau-surau dan dewan orang ramai.
Ucapan dan ceramah Anwar sentiasa membawa tema dan mesej taghyir - islah dan perubahan. Semua ini berlaku sewaktu usia Anwar
masih belasan tahun dan seorang pelajar di sekolah elit jolokan ‘Eaton of the East’ kerana kebanyakan
pelajarnya terdiri daripada kalangan anak-anak bangsawan. Bagi Anwar, ‘menyusup
keluar pagar MCKK’ itu suatu yang memberangsangkan dan berbaloi sekali. Dari
situlah dia membina jati diri, dan dari situ juga kelak dilihat kepeloporannya
dalam bidang pendidikan golongan terpinggir. Al marhum Desmond Muzaffar Tate,
seorang guru yang rapat dengannya di Kolej mengungkapkan bahawa Anwar memiliki ‘a strong religious conviction’ –
keyakinan agama yang teguh.
Mahasiswa
Kegiatan yang Anwar tekuni sewaktu
di MCKK, kemudiannya diteruskan dengan lebih berkesan sebagai mahasiswa di
Universiti Malaya (UM) bermula pada 1967. Setelah setahun menjadi mahasiswa,
Anwar diberi kepercayaan mengambil alih kepimpinan Persatuan Bahasa Melayu UM
(PBMUM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan dia telah
memberikan wajah baru kepada kedua-dua organisasi berkenaan. Kempen Gerakan
Kesedaran yang dia cetuskan telah membawa para mahasiswa ke desa dan
kampung-kampung pendalaman, menjadi anak-anak angkat dan tinggal bersama-sama
orang kampung. Orang kampung telah ketinggalan di dalam serba-serbi arus
pembangunan negara. Misi mahasiswa adalah mendekati orang kampung agar
meningkatkan kesedaran dan membawa perubahan kepada kehidupan terutamanya
persoalan pendidikan anak-anak.
Yayasan Anda Akademik
Penubuhan ABIM pula dikatakan
selari dengan pengasasan sekolah swasta bernuansa Islam, Yayasan Anda Akademik
(YAA) yang dipelopori pada 1971. Sekolah yang diwujudkan berpusat di Kg Baru,
di tengah-tengah kota raya serta jantung kependudukan Melayu Kuala Lumpur.
Kemudian YAA berpindah ke Jalan Pantai Baru, di bangunan rumah kedai 4 tingkat
milik UDA. Tempat ini dipilih kerana berada di Lembah Pantai berdekatan dengan
daerah menara gading Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Maktab Perguruan Bahasa dan Institut Bahasa.
YAA adalah sebahagian usaha Anwar
dan rakan-rakan aktivis dengan sokongan beberapa orang tokoh akademik bertujuan
untuk menerapkan Islam ke dalam sistem pendidikan kebangsaan. Penubuhannya juga
merupakan permulaan sebuah pusat perkaderan generasi baru. Guru-gurunya masih
muda membawa nyalaan obor idealisme yang tinggi mendidik para remaja Islam yang
mendapat ‘peluang kedua’ di tengah-tengah kotaraya Kuala Lumpur yang dilingkari
pelbagai masalah.
Anwar menjadikan pendidikan
berasaskan tarbiyah dan tadrib –
latihan sebagai pilihan untuk menyediakan pelapis dan kader-kader Islam yang
berpotensi. Sistem pendidikan kebangsaan konvensional dan sistem peperiksaannya
tidak menjadi penghalang kepada kreativiti dan inovasi graduan dan mahasiswa
dalam menerapkan kefahaman Islam kepada pelajar mereka. Menerusi sekolah swasta
bernuansakan Islam ini, YAA telah melakukan eksperimen yang menarik dengan
membina kefahaman dan menerapkan tasawur Islam kepada para pelajar remaja Islam.
Pelajar yang sebelum ini tidak cemerlang dan tercicir semasa belajar di sekolah
kerajaan. Kebanyakan pelajar adalah lepasan SPM yang menyambung ke Tingkatan 6
dan pelajar yang menduduki semula SPM, berasal daripada seluruh negara. Pelajar
datang dari luar Kuala Lumpur ditempatkan di tingkat 16 dan 17 Flat PKNS Kg
Kerinci yang disewa khas. Peluang pembelajaran kedua ini telah menghasilkan
calon-calon mahasiswa yang cenderung kepada Islam, suatu fenomena baru pada
waktu itu.
Guru-guru muda YAA bukan sahaja
menerima imbuhan yang rendah bahkan tidak berada pada kelas kedudukan yang
tinggi pada pandangan mata masyarakat umum. Namun semua pengorbanan ini telah
menjadikan mereka lebih terhormat pada perspektif menjunjung idealisme
perjuangan. Anwar Ibrahim telah melahirkan sebuah legasi perjuangan pendidikan
dan pengkaderan Islam dalam sistem pendidikan sekular warisan zaman kolonial.
Tidaklah menghairankan apabila mahasiswa, graduan universiti dan para pensyarah
menara ganding pun turun dan tampil mengajar di YAA.
Memperkenalkan mata pelajaran
Prinsip Islam sebagai subjek teras di luar peperiksaan adalah kemuncak
eksperimen Anwar dan rakan-rakannya. Mata pelajaran ini diajar secara progresif
oleh para aktivis Islam yang selama ini berhempas pulas berjuang membawa
perubahan di kalangan para mahasiswa di kampus-kampus.
Aktivisme
Anwar telah lama menggagaskan
pendidikan politik dan masyarakat madani sebelum 1971 lagi. Dia ditakdirkan
mengumandangkan sebuah fenomena kebangkitan yang dia sendiri mempelopori di
rantau ini. Kebangkitan yang dikenali sebagai nahdah Islami, al wa’yul Islami, Islamic Resurgence – kebangkitan
baru Islam yang menggejala sejak tahun 1970 ‘an. Pidato Anwar Ibrahim
benar-benar mempengaruhi anak-anak muda
dan ungkapan-ungkapan al Qur’an, istilah-istilah khayra ummah, ummatan wasatan, al amar bil ma’ruf wa nahyu ‘anil
mungkar dan konsep Islam sebagai ad
din yang dilantuninya begitu memikat mereka pada waktu itu. Ceramah dan
ucapan disampaikan denagn karisma secara menarik dan berkesan bagi seorang yang
berasal latarbelakang pendidikan sekolah kebangsaan dan aliran Inggeris. Pendirian
politiknya amat terbuka meletakkannya sebagai pejuang dan pendidik demokrasi
ampuh sejak awal lagi.
Sebagai Presiden ABIM, Presiden
Majlis Belia Malaysia (MBM) dan kemudiannya Pengarah IIFSO serta wakil WAMY
Asia Pasifik, Anwar menyampaikan dakwahnya dengan membicarakan tentang hutang,
kemiskinan, penderitaan golongan miskin dan terpinggir. Ungkapan popular exploitation de l'homme par l'homme – penindasan
manusia ke atas manusia dan kata-kata menyengat Anwar sendiri ‘yang kaya
bertambah kaya, yang miskin papa kedana’ membuatkan pidato-pidatonya sangat
mengesankan.
Frasa-frasa kata membicarakan
tentang perubahan, Islam, reformasi yang Anwar laungkan sejak zaman pelajar
hingga diangkat menjadi tokoh politik negara tidak berubah. Inilah tema sosial
politik dia sejak menggerakkan kesedaran mahasiswa di sudut-sudut pidato – speaker’s corner, di seminar, tamrin dan
persidangan antarabangsa. Karyanya ‘Menangani Perubahan’, buku koleksi berisi
kertas-kertas kerja dan ucaptama di pelbagai persidangan dan forum
mendokumentasi dan membuktikan bahawa itulah pendidikan politik Anwar. From Things Changing to Changing Things:
Planning for the Ummah dibentangkan pada Persidangan Masa Depan Ummah di
Makkah al Mukarramah 1987. Managing
Change in Political Leadership dibentangkan pada Persidangan sempena 100
Tahun International Herald Tribune di Singapura 1987 dan juga di Asian
Institute of Management Manila 1988 adalah monumental.
Tema-tema perubahan yang berat
ini dibawa olehnya ke mana-mana dan menjadi asas pendidikan politik kepada
semua. Buku karangannya, The Asian Renaissance terbitan 1996 amat
perlu dihalusi bagi memahami pemikiran politik dan masyarakat madani Anwar
Ibrahim.
Penglipur Lara
Istilah-istilah yang
dipopularkannya sejak zaman muda seperti agent
of change, catalyst for change dan jurubicara umat mungkin kesan pengaruh
pemikiran Ibn Khaldun. Ketika Anwar Presiden ABIM, dia pernah mengarahkan supaya
dianjur sebuah seminar di Dewan Bahasa dan Pustaka bertajuk Ibn Khaldun and Social Change dengan
menjemput pembicara utama Dr Fathi Osman seorang ilmuwan kelahiran Mesir yang
menetap di England. Seminar yang membicarakan isu ilmiah dan topik seberat itu sudah tentu
tidak menarik ramai peserta lalu Anwar meminta supaya sebanyak mungkin
mahasiswa dan para pensyarah hadir. Ahli-ahli ABIM beramai-ramai dikerahkan bagi
menyertai seminar dengan pengisian yang berat ini.
Peristiwa yang berlaku lebih 30
tahun lalu masih segar di dalam ingatan kerana ABIM disaman polis lalu
dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengadakan perhimpunan tanpa permit polis.
Penganjur menerima panggilan seorang pegawai polis berketurunan Punjabi.
Pegawai polis mula bertanya, “Bolehkah saya bercakap dengan Encik Ibnu
Khaldun?” Lalu dijawab, “Maaf Encik. Ibn Khaldun sudah meninggal lebih 700
tahun dulu.” Pegawai itu terus mengemukakan soalan keduanya, “Kalau begitu
bolehkah saya bercakap dengan Encik Fathi Osman?” Lalu dijawab, “Maaf Encik.
Fathi Osman sudah lama berlepas pulang ke England.” Kemudian, pegawai polis
menelefon lagi dan kali ini dia bertanya tentang seorang yang bernama
Kamaruddin. Lalu dijawab, “Di sini banyak Kamaruddin. Ada Kamaruddin Mohd Nor,
ada Kamaruddin Jaafar.” Pegawai itu memilih Kamaruddin Mohd Nor lalu sapina
dihantarkan kepada Kamaruddin Mohd Nor. ABIM telah menang kes perbicaraan itu.
Penganjur seminar Kamaruddin Jaafar bukan Kamaruddin Mohd Nor.
Anwar adalah orang terawal di
negara ini membincangkan tokoh pemikir dan membicara isu perubahan oleh pemikir
kelahiran Algeria Malek Bennabi. Anwar membawa karya Malik Bennabi ke usrah,
karya yang berbahasa Arab diterjemah daripada Perancis asal. Naqib usrah waktu
itu, al marhum Ustaz Fadzil Noor mengakui bahawa karya itu amat berat lalu
mencuba menterjemahkan dalam bahasa Melayu secara lisan halaman demi halaman
kitab itu. Hampir semua ahli usrah terlena kecuali Anwar Ibrahim yang tekun
mendengarnya dengan penuh minat dan perhatian. Malah dia mengulas dan
memberikan pandangan tentang kitab itu.
Masyarakat Madani
Oleh kerana minatnya kepada
gagasan ini, Anwar Ibrahim memperkenalkan istilah ‘Masyarakat Madani’ bagi
menterjemahkan Civil Society. Namun
gagasan ini tidak disambut oleh cendekiawan di sini. Tetapi apabila istilah itu
diperkenalkan buat pertama kalinya di Jakarta, pada Simposium Festival
Istiqlal, para cendekiawan Indonesia memberikan sambutan hangat. Sejumlah judul
buku dan makalah atas nama masyakarat madani diterbitkan di negara buluh
runcing itu.
Anwar Ibrahim seorang pengamal civil society sejak zaman mudanya. Dia
mengalakkan agar warga negara boleh berbeda pandangan menggunakan semua saluran
bagi mengutarakan pendapat, bantahan dan bertunjuk rasa.
Persahabatannya dengan pelbagai
golongan berlainan pegangan dan merentas kepercayaan telah menjadi amalan
keterbukaannya sejak zaman muda lagi. Banyak pengajaran dan contoh teladan
dapat dipelajari daripada sikap Anwar. Contohnya, persahabatannya dengan Gus
Dur, Nurcholis Majid dan Sujak Sivaraksa yang memperjuangkan faham co-existence mungkin disalah tafsir
dengan menuduhnya liberal walhal ia menggambarkan seorang ahli politik yang
mengamalkan dasar inklusif dalam persahabatan dan perjuangan.
Anwar sejak berusia muda telah
berinteraksi dan bekerjasama dengan badan-badan seperti YMCA, Young Christian
Workers, Hindu Sangam, Tamil Bell, Hindu Youth Organisation, Young Buddhist
Association dan banyak lagi pertubuhan-pertubuhan. Dia berhubung dengan WAY,
WFDY, Friedrich Naumann Stiftung dan Konrad Adeneur Stiftung. Politik kerjasama
telah lama berada di sepanjang perjalanan perjuangan Anwar sejak tahun 60’an
lagi.
Anwar digelar ‘pemimpin politik
jalanan’ kerana penglibatannya di dalam tunjuk perasaan sejak 60’an sehinggalah
siri-siri protes terbaru kini. Ada yang sangat marah dengan penglibatan Anwar
sehingga mengeluarkan kata, “Nanti bila dia mati, kita tanam saja dia di tepi
jalan.” Kata-kata begini terjadi kerana salah faham terhadap prinsip dan
pegangan hidup Anwar yang bersungguh-sungguh memperjuangkan demokrasi dan civil society.
Sebagai seorang yang menghormati
dasar civil society dan menamakannya
masyarakat madani, Anwar sangat meraikan perbedaan pendapat. Tidak ramai yang
mahu menjadi penggerak masyarakat madani. Anwar memilih menjadi penggerak dan kekal
sebagai seorang pencinta damai yang menolak kekerasan. Anwar menerima sebarang
aksi atau protes aman sebagai ekspresi sesiapa pun selagi tiada unsur
kekerasan. Pengarang Charles Allers menggelarkan Anwar Ibrahim sebagai ‘Muslim Democrat’ yang difikirkan tepat
sekali. Barangkali gelaran ini sejajar dengan gelaran yang pernah diberikan
kepada Bung Hatta di Indonesia sebagai
Pengeran Demokrasi.
Perjalanan peribadi bersama Anwar
menunjukkan bahawa di dalam sekecil-kecil perkara pun dia tidak pernah merestukan
sebarang unsur keganasan. Bagaimana mungkin dikenangkan tentang apa yang pernah
terjadi ke atas diri Anwar, sesuatu yang ironis sekali apabila seorang pencinta
damai ini dipukul hingga pengsan oleh Ketua Polis Negara semasa ditahan di
lokap Bukit Aman satu ketika dulu. Ini adalah sejarah hitam penganiayaan yang
berlaku terhadap mantan pemimpin nombor dua negara dan tokoh masyarakat madani.
Inilah episod yang memalukan seluruh negara.
Demikianlah catatan ringkas
tentang Anwar dalam pendidikan demokrasi dan masyarakat madani untuk kita kaji
dan meneliti bersama. Benarlah kata-kata sahabatnya Dr Siddiq Fadzil,
“Sesungguhnya Anwar Ibrahim itu bukan sekadar aktor politik, tetapi dia ada;ah
pemikir dan tokoh kemanusiaan yang hebat sebenarnya.”
(Disunting dan diadaptasi
daripada kertas kerja asal Mohd Anuar Tahir di Seminar Pemikiran Pendidikan
Anwar Ibrahim 22 November 2016)
No comments:
Post a Comment