DR MUHAMMAD NUR MANUTY: PENDIDIKAN KARAMAH INSAN DALAM PEMIKIRAN ANWAR
IBRAHIM
Mukaddimah
Anwar Ibrahim tokoh pejuang
rakyat yang istiqamah kepada perjuangannya menegakkan negara Malaysia
berteraskan kebenaran, keadilan, ketelusan, berintegriti dan berakhlak mulia.
Sewaktu memimpin gerakan Islam selaku Presiden ABIM 1972-1982 dan kemudian
berkecimpung dalam arena politik 1982 sehingga kini, Anwar menjadikan usaha
memartabatkan karamah insan – kemuliaan insan sebagai suatu objektif terpenting
perjuangan reformasi.
Metodologi Pemikiran Pendidikan Karamah Insan
Susur galur dan minat Anwar
Ibrahim kepada dunia keilmuan dapat dilihat sejak dia berada di Kolej Melayu
Kuala Kangsar (MCKK). Keaktifannya menggerakkan Badan Revolusi Ugama MCKK telah
mendekatkannya dengan pembacaan buku-buku agama yang ditulis oleh ulama’ dan
ilmuan tempatan serta antarabangsa. Semasa Anwar memimpin Persatuan Mahasiswa
Universiti Malaya dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Kebangsaan (PKPIM),
dia mula membahaskan persoalan karamah insan dengan memaparkan idea-idea
tokoh-tokoh gerakan dakwah antarabangsa seperti Imam Hasan al Banna, Sayyid
Abul ‘Ala Maududi, Sayyid Qutb dan lain-lain. Perbincangan karamah insan
kupasan tokoh-tokoh gerakan Islam antarabangsa adalah dirujuk dan diambil
daripada al Qur’an dan al Sunnah. Ini menjadikan asas pemikiran Islam Anwar
lebih kental.
Anwar menetapkan Tafsir al Qur’an
berbahasa Inggeris karya Abdullah Yusuf Ali sebagai salah sebuah rujukan utama
usrah-usrah awal ABIM. Anwar bersama rakan-rakan pengasas ABIM menelaah kitab ihya’ ulum al din, karya penting
Hujjatul Islam Imam al Ghazali r.h. bersama seorang guru pembimbing kerohanian.
Kitab ihya’ ulum al din membicarakan persoalan karamah insan secara
komprehensif. Anwar juga mempelajari kitab minhaj
al salihin min ahadith wa sunnati al khatami al anbiya’ wal al mursalin
karangan ‘Izzudin Baliq (Beirut: 1978). Kitab ini rujukan penting selain
daripada tafsir fi zilal al qur’an
karya Sayyid Qutb.
Anwar mengupas dan mengemukakan
idea-idea ‘Allamah Muhammad Iqbal, failasuf dan penyair terkenal dengan
sentuhan-sentuhan karamah insan pada sya’ir-sya’ir Iqbal seperti The Secrets of the Self dan The Mysteries of Selflessness. Selanjutnya,
kupasan pemikiran guru dan mentornya di UM dan ABIM, Sayyid Muhammad Naquib al
Attas. Karya al Attas, Islam and
Secularism diterbitkan oleh ABIM menjadi rujukan penting pada wacana-wacana
ilmiah anjuran ABIM. Anwar menggunakan karya Syed Hossein Nasr, The Encounter of Man and Nature: The
Spiritual Crisis of Modern Man (1968) yang banyak membahaskan tema insan
dan persoalannya dengan modenisme.
Anwar Ibrahim juga menyorot
pemikiran Malek Bennabi, tokoh ilmuan Algeria yang banyak membicarakan
persoalan tamaddun. Malek Bennabi mengolah kepentingan manusia dengan Allah swt
dalam konteks tamadun (al hadarah)
yang baru di dunia Islam dengan menggunakan prinsip insan, tanah dan zaman.
Metodologi pemikiran Anwar juga memperlihatkan hubungannya yang rapat dengan
dia orang tokoh ilmuan Universiti Al Azhar, Syaikh Muhammad al Ghazali dan
Syaikh Yusuf al Qaradawi. Anwar juga gemar merujuk kepada figur Islam di
Amerika, Malcolm X atau nama Islamnya al Hajj Abdul Malik Shabbaz. Dia
menekankan betapa tingginya konsep karamah insan dalam Islam melalui peristiwa
dan pengajaran apabila Malcolm menyaksikan dengan matanya sendiri himpunan
raksasa jemaah haji dari seluruh dunia bersidang di ‘Arafah dengan hanya
memakai kain ihram berwarna putih menandakan persamaan manusia tanpa mengira bangsa,
warna kulit atau status sosial.
Suatu keunikan pemikiran Anwar
Ibrahim adalah dia bukan sahaja membahaskan subjek dengan rujukan-rujukan Islam
tetapi juga merujuk pemikiran tokoh-tokoh kemanusiaan aliran Konfusius,
Kristian dan Marxis. Anwar juga menggunakan ideal Paulo Freire, tokoh pendidik
Brazil yang membicarakan tentang A
Pedagogy of Liberation.
Asas-asas Karamah Insan dan Kemanusiaan Sejagat
Keprihatinan Anwar Ibrahim
tentang perjuangan memartabatkan insan bertunjang kepada dua khazanah
terpenting Islam iaitu al Qur’an dan al Sunnah.
Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka
di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami
lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang
telah Kami ciptakan. (al isra’: 70)
Islam mengiktiraf perbedaan bahasa
dan warna kulit bukan sebagai unsur perpecahan. Sebaliknya perbedaan tersebut
adalah tanda kekuasaan Allah swt.
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan
bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang
demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.
(al ruum:22)
Perbedaan untuk saling berkenalan
di antara satu dengan yang lain.
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari
lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan
bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu
dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang
yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau
bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam
PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Al-Hujuraat:13)
Lantaran umat manusia dijadikan
daripada sumber yang satu dengan anugerah penghormatan dan peranan yang sama
maka Islam memupuk semangat kesatuan
manusia (wihdah insaniyyah) yang
disatukan oleh semangat kemanusiaan. (Anwar Ibrahim, 1978)
Islam menentang keras amalan
diskriminasi bangsa dan kaum. Sebaliknya Islam menganjurkan toleransi,
persahabatan dan timbang rasa sesama manusia. Islam meletakkan nilai taqwa serta ta’awun (tolong-menolong dalam kebaikan) sebagai nilai tertinggi
hubungan sesama manusia.
Islam meleburkan faham fanatik (‘asabiyah qaumiyyah) ekstrim kerana
kemudaratannya kepada manusia. Hadith junjungan kita Muhammad s.a.w. menjamin
karamah insan berlaku sesama manusia.
“Semua kamu berasal dari Adam dan Adam berasal dari tanah. Tidak ada
kelebihan seorang Arab ke atas seorang bukan Arab kecuali ketaqwaannya.”
Abu Dhar al Ghifari r.a. seorang
yang terkenal dengan kezuhudannya pernah tiba-tiba memanggil Bilal ibn Rabah
r.a., ‘’Ya Ibnu Sauda” (Wahai anak orang
hitam). Rasulullah s.a.w. segera memberikan teguran keras dengan nada
kemarahan, “Sungguh sungguh terlalu; sungguh
terlalu; sungguh terlalu. Tidak ada kelebihan anak orang hitam daripada anak
orang putih. Tidak ada perbedaan dalam memuliakan manusia, baikpun yang hidup
ataupun yang telah mati.”
Penghormatan tinggi Islam ke atas
manusia berlainan agama dapat disaksikan pada contoh teladan junjungan kita
Muhammad s.a.w. yang menunjukkan tanda hormat ke atas jenazah seorang Yahudi
yang secara kebetulan dibawa lalu di hadapan Baginda s.a.w. Apabila sahabat
yang bersamanya mempersoalkan, Rasulullah s.a.w. menegur mereka dengan berkata:
“alaysat nafsan!”(bukankah dia juga
manusia (bernyawa)).
Anwar Ibrahim mengukuhkan
hujahnya tentang kemuliaan darjat insan dengan memetik pemikiran Syaikh Yusuf
al Qaradawi bahawa asas tasamuh (toleransi) dalam Islam adalah ‘ I’tiqad seorang Muslim tentang karamah
insan’. Keduanya, I’tiqad Muslim
bahawa perbedaan agama adalah kekuasaan Allah swt.
Jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia jadikan manusia umat yang satu,
tetapi mereka senantiasa berselisih (pendapat), kecuali orang yang diberi
rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. (Hud: 118-119)
Anwar menegaskan keperluan melaksanakan prinsip
keadilan dan akhlak mulia bagi semua
manusia serta tindakan yang adil diambil jika orang Muslim menzalimi orang
bukan Muslim.
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang
yang selalu menegakkan kebenaran karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan
janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum membuatmu tidak berlaku adil. Berbuat
adillah karena ia lebih mendekati ketakwaan.” (al ma’idah: 8)
Jaminan tegas mempertahankan hak
asasi rakyat berpaksi kepada prinsip kemuliaan insan yang begitu jelas
diisytiharkan oleh junjungan kita Muhammad s.a.w. pada rapat wada’ yang dihadiri
100,000 umat Islam dengan sabda keramatnya: “Sesungguhnya nyawa, harta dan kehormatan kamu adalah suci sepertimana
kesucian hari Hajj.”
(Anwar Ibrahim, 1978)
Pelaksanaan Karamah Insan dalam Sistem Pendidikan Negara
Sejarah mengangkat martabat insan
secara praktis di negara ini terpahat kukuh dengan penubuhan Yayasan Anda
Akademik (YAA), Jalan Daud, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada awal 70’an. Anwar
Ibrahim bersama rakan-rakan ABIM dan PKPIM mendirikan institusi pendidikan
rakyat dengan bertujuan mengangkat posisi anak-anak muda Melayu yang terpinggir
kerana kemiskinan terutama masyarakat luar bandar. Yayasan Anda mencernakan
semula anak muda agar menjadi insan beridealisme tinggi serta berketrampilan
dari segi ilumu pengetahuan. Pada dasarnya, Yayasan Anda berjaya memanusiawikan
sebahagian besar pelajarnya.
Pelantikan Anwar menjadi Menteri
Pendidikan di dalam kabinet Dr Mahathir sememangnya sesuatu yang
dinanti-nantikan oleh segenap lapisan masyarakat. Mereka prihatin dengan hasrat
kejelasan hala tuju falsafah pendidikan negara serta isi kandungan sistem
pendidikan. Apabila Anwar mengambil tampuk kementerian, dia telah melaksanakan
beberapa perkara penting. Dia menukar nama kementerian pelajaran kepada kementerian
pendidikan kerana ada perbedaan bahawa pendidikan lebih komprehensif sifatnya.
Anwar Ibrahim beruzlah bersama
para ilmuan dan pegawai-pegawai kementeriannya di IAB bagi mengemukakan suatu
pandangan baru tentang kurikulum sekolah. Kurikulum baru dinamakan Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Justeru penekanan menangani integrasi ilmu
pengetahuan berasaskan tawhid dan insan.
Suatu falsafah baru pendidikan
negara (FPN) dikemukakan iaitu ‘Pendidikan di Malaysia adalah usaha
berterusan ke arah memperkembangkan
potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang
seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan’.
Anwar berusaha melihat
keberkesanan karamah insan dalam sistem pendidikan negara dengan iltizamnya
mewujudkan dasar pendemokrasian pendidikan. Semua rakyat tanpa mengira bangsa,
warna kulit, bahasa dan agama hendaklah dijamin peluang secara adil dan saksama
mendapat tempat di bangku sekolah, kolej dan universiti. Hak ini menepati prinsip
Hak Asasi Manusia PBB dan Pengisytiharan Hak Asasi Islam OIC. Anwar sangat
mengambil berat kaum mustadh’afin di
negara ini dibela dengan jaminan mendapat pendidikan sama baik dengan golongan
berada. Anwar sering merujuk pemikiran Paola Freire, penulis buku A Pedagogy for Liberation: Dialogues on
Transforming Education. Pendidikan mesti menjadi satu wahana meningkat
kesedaran hakiki manusia (human
consciousness)
Karamah Insan dalam konteks Renaissance
(al Nahdah) di Negara-negara Asia
Anwar Ibrahim meluaskan daerah
wacana karamah insan bukan sahaja pada dunia Islam. Pada karya terpenting
Anwar, The Asian Renaissance (1997), dia membicarakan keperluan tasawur – world
view Asia sepadu dengan menerima hakikat bahawa masyarakat madani hendaklah
menjadikan konsep insan sebagai makhluk yang berakhlak dengan memiliki
prinsip-prinsip ketuhanan yang tinggi (transcendence),
bukan sahaja dianugerahkan dengan hak-hak yang tidak terpisah, tetapi mempunyai
tanggungjawab yang tidak tergugat dengan Allah, keluarga, manusia dan alam tabi’i.
Anwar memugarkan semula idealisme dan nilai-nilai sejagat kehormatan insan
seperti yang telah diperjuangkan oleh tokoh-tokoh kemanusiaan ternama sperti
Rabindranath Tagore, Muhammad Iqbal, Jose Rizal, Sun Yat Sen dan Mahatma
Gandhi. Kesemua mereka menjadikan Asia dan ‘keasianan’ sebahagian struktur
dunia yang terbina di atas paksi maruah insan. Suatu idea yang selama ini hanya
dimonopoli oleh dunia Barat. (Anwar Ibrahim, 1997)
Karamah Insan dalam konteks Dialog Agama dan Ketamadunan
Anwar Ibrahim adalah pelopor awal
dialog antara agama dan tamadun di Malaysia sejak dekad 70’an. Ucapannya
pada Muktamar Senawi ABIM 1978 di DTC
UKM dapat dicatat sebagai sangat bernilai tentang Islam dan hubungannya dengan
masyarakat majmuk negara ini. Dia menekankan prinsip karamah insan sebagai asas
terpenting bagi mewujudkan persefahaman di antara pelbagai agama dan tamadun.
Impak daripada ucapan tersebut
difahamkan Anwar diundang hadir ke retreat kepimpinan DAP di Cameron Highlands
waktu itu. Mereka berpeluang mendengar tawaran Islam tentang konsep kemanusiaan
sejagat demi kerukunan hidup bersama di dalam negara jamak bangsa, agama dan
budaya di Malaysia.
Selaku Timbalan Perdana Menteri,
Anwar berjaya menganjurkan sebuah Persidangan Antarabangsa tentang Islam and Confucianism, anjuran Pusat
Dialog Peradaban UM pada 1997. Inilah julungkalinya di dunia Islam, sebuah
seminar penting diadakan yang dapat menghimpunkan tokoh-tokoh ilmuan daripada
dua tamadun besar dunia Islam dan Cina dengan fokus perbahasan mengenai isu
kemanusiaan dalam tradisi Islam dan Cina.
Pendidikan Karamah Insan dalam Siasah
Anwar Ibrahim memilih jalur
siasah bagi menterjemahkan idealisme kependidikan insan dalam dirinya. Ini
jelas kelihatan pada 17 perkara perjuangan Parti KeAdilan Rakyat 1999 dan
Pengiystiharan Permatang Pauh 1998. Anwar menegaskan tunjang kepada demokrasi
dan masyarakat madani ialah konsep karamah insan – kemuliaan darjat insan seperti yang ditegaskan oleh Allah swt pada
surah al isra’ ayat 70.
Anwar sentiasa merujuk keperluan
melakukan islah (reformasi) ke atas dirinya sendiri sebagai makhluk Allah swt
yang dicipta dengan segala keistimewaannya. Inilah ketegasan al islah mastata’tu yang diisytiharkan Nabi
Syu’ib a.s.
Syu'aib berkata: "Hai kaumku, bagaimana fikiranmu jika aku
mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku dan dianugerahi-Nya aku dari pada-Nya
rezeki yang baik (patutkah aku menyalahi perintah-Nya)? Dan aku tidak
berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang. Aku tidak
bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan
tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada
Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali. (Hud: 88)
Kesimpulan
Perjuangan mengangkat karamah
insan bagi menghadapi cabaran getir pada saat ini menjadi semakin mendesak.
Pencabulan hak asasi oleh pemerintah semakin berwewenang. Meskipun kedengaran
suara-suara pihak berkuasa melaungkan keinginan dasar wasatiyyah Islam, nampaknya semakin deras proses ‘nyah-manusiawi’ (dehumanisation) berlaku. Kita wajar
bersatu fikrah dan bersatu tindakan bagi menyelamatkan masyarakat dan negara
Malaysia daripada mengalami kerosakan parah di tangan orang-orang yang
merosakkan bumi Allah ini (al mufsiduna
fi al ard).
Dan apa bila di katakan kepada mereka ‘janganlah berbuat kerosakan di
bumi’ mereka menjawab, ‘sesungguhnya
kami justru orang-orang yang melakukan perbaikan’. Ingatlah, sesungguhnya
merekalah yang berbuat kerosakan tetapi mereka tidak menyedari. (al baqarah:
11-12)
(Disunting dan diadaptasi
daripada kertas kerja asal YB Senator Dr Muhammad Nur Manuty di Seminar
Pemikiran Pendidikan Anwar Ibrahim 22 November 2016)
No comments:
Post a Comment