Sunday, January 9, 2011

Inilah pertama kali saya dengar ceramah seperti ini!



"Apa yang disampaikan oleh penceramah lain daripada apa yang biasa kita dengar. Kisah yang dibentangkan baru dan luar daripada lingkungan kebiasaan", kata seorang hadirin ceramah Naib Presiden WADAH, Tuan Haji Ahmad Azam Abd Rahman di Masjid At Taqwa Taman Bertam Indah Kepala Batas.


Ahmad Azam bermula menerangkan tentang suasana dan ragam semasa serta kemelut di hadapi di dunia Islam. Katanya menurut penganalisis, puak Zionis telah hampir mencapai tahap yang paling tinggi di dunia manakala umat Islam di kedudukan paling rendah. Keadaan ini disifatkan seperti lantunan bola di mana apabila ia berada di kedudukan teratas maka ia akan jatuh ke bawah. Sementara apabila bola itu mencecah lantai terbawah ia akan melantun semula ke atas. Ramalannya berpandukan pandangan pemikir-pemikir Islam adalah sudah sampai masa umat Islam bangkit semula sambil Zionis akan merudum turun.

Ahmad Azam mengingatkan bahawa Zionis tidak akan rela dan tidak akan biasa membiarkan sebarang kepimpinan Islam atau pergerakan Islam maju di segenap bidang. Mereka bertungkus lumus merancang dan membuat onar untuk merosakkan segala usaha kepimpinan Islam dan bertekad akan menghalang kemunculan kepimpinan Islam yang berwibawa. Mereka tidak menunggu dan lalai terhadap sebarang bentuk kebangunan umat atau negara. Mereka akan tabur bibit-bibit penyusupan, pengkhianatan, permusuhan dan serangan samada terang-terangan atau secara halus. Sesiapa sahaja yang menentang, yang enggan tunduk dan yang melawan akan dilabel dan diburu sebagai teroris.


Ahmad Azam menerangkan tentang buku bekas Presiden Amerika, Richard Nixon bertajuk "Seize the Moment". Buku itu ditulis pada 1992 tentang saranan Nixon kepada dasar luar Amerika supaya mengambil tindakan strategik bagi menguasai kepimpinan dunia setelah terkuburnya Kesatuan Komunis Soviet. Nixon membahagikan wilayah dunia Islam kepada empat bahagian dan menyarankan Amerika mendampingi, mempengaruhi dan menguasai kepimpinan Mesir, Turki, Pakistan dan Indonesia kerana negara-negara ini merupakan tonggak bilangan penduduk dan kepimpinan dunia Islam. Walaupun tidak semua perancangannya menurut apa yang berlaku masakini namun pelaksanaan strategi menguasai dunia Islam itu nyata dirasai hingga sekarang. Terlalu banyak hal ehwal strategik dan penting di negara-negara itu ditentukan Amerika seumpama imperialis.

Ahmad Azam menceritakan tentang Sudan yang telah cuba menegakkan kenegaraan Islam berasaskan shariah. Negara Sudan yang berjuang berhempas pulas untuk keluar daripada dilanda kemiskinan dan ketidakstabilan. Sudan yang baru menerokai minyak sebagai sumber kekayaan di selatannya. Negara yang menerima pelaburan yang banyak daripada kita. Sekarang negara Muslim terbesar di Afrika itu di ambang perpecahan yang parah. Kawasan Selatan Sudan yang kaya minyak itu dijangka akan mengundi dalam satu pungutan suara hasil rundingan damai dan keputusan hampir pasti kawasan majoriti Kristian ini akan berpisah untuk menjadi negera merdeka. Merungsingkan lagi, sudah pasti kuasa-kuasa besar akan mengasak kerajaan Sudan tentang wilayah Darfur dan jika tidak ditangani oleh umat Islam iai akan berakhir dengan satu lagi pemisahan bagi menjadi Sudan bukan lagi sebuah negara yang berdaulat dan bermakna.

Ahmad Azam memberikan beberapa contoh lagi tentang himpitan ke atas umat samada di peringkat global ataupun tempatan. Ia memerlukan satu kebangkitan umat Islam, pimimpin, pertubuhan dan masyarakatnya. Kita tidak lagi boleh melihat saja dan membiarkan ianya berlalu begitu sahaja.


Diceritakannya tentang perjuangan silam pemimpin khilafah Uthmaniyah, Sultan Murad II yang gigih ingin menawan kota Constantinople. Percubaannya berkali-kali gagal akibat kekebalan dan kehebatan pertahanan kota itu. Sultan Murad tidak putus asa malah merancang melalui pembentukan generasi selepasnya. Dia mendidik anaknya Muhammad melalui didik Syeikh Syamsuddin dan diajarnya Al Qur'an, Sunnah, Sains serta penguasaan pelbagai bahasa. Muhammad al-Fatih merupakan seorang sultan yang mementingkan kekuatan dalaman dan luaran para tenteranya. Dia mempunyai kepakaran dalam bidang ketenteraan, sains, matematik dan menguasai enam bahasa (bahasa Turki, Greek, Hebrew, Arab, Parsi dan Latin) pada ketika berumur 21 tahun. Seorang pemimpin yang hebat, warak dan tawaduk selepas Sultan Salahuddin Al-Ayubbi (pahlawan Islam dalam Perang Salib) dan Sultan Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz (pahlawan Islam dalam peperangan di Ain Jalut menentang tentera Mongol). Malah sifat-sifat baginda dan tenteranya telah diisyaratkan oleh Rasulullah S.A.W:

Constantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya (yang menakluk) adalah sebaik-baik raja dan tenteranya (yang menakluk) adalah sebaik-baik tentera.

Muhammad al Fateh menakluk Constantinople pada umur 21 tahun yang membawa kepada kehancuran Empayar Byzantine.

Seorang Sahabat Rasullullah S.A.W, Abu Ayub Al Ansari pernah mengikuti ekspedisi perang menentang tentera Rom di Constantinople ketika di zaman kerajaan Bani Umaiyyah. Beliau ingin jasadnya dikuburkan di tembok Constantinople dan ketika ditanya mengapa beliau ingin dikuburkan ditembok tersebut, beliau berkata kepada panglima Bani Umaiyah: "Aku mendengar baginda Rasulullah S.A.W mengatakan seorang lelaki soleh akan dikuburkan di bawah tembok tersebut dan aku juga ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang mana dia akan memimpin sebaik-baik tentera seperti yang telah diisyaratkan oleh baginda."

Kejayaan Muhammad dalam menewaskan tentera Rum menyebabkan ramai kawan dan lawan kagum dengan kepimpinannya. Taktik dan strategi peperangannya dikatakan mendahului pada zamannya dan juga kaedah pemilihan tenteranya. Di atas jasanya, Masjid Al Fatih telah dibina bersebelahan makamnya.

Diceritakan bahawa para tentera Sultan Muhammad Al Fatih tidak pernah meninggalkan solat wajib sejak baligh dan separuh dari mereka tidak pernah meninggalkan solat rawatib sejak baligh. Hanya Sultan Muhammad Al Fatih sajalah yang tidak pernah meninggalkan solat wajib, tahajud dan rawatib sejak baligh hinggalah ke saat baginda meninggal dunia.

Mustafa Kamal Ataturk telah merubah secara paksa dan dengan kekejaman yang sistematik menjadikan Turki negara sekular yang ekstrim dan mengharamkan amalan agama Islam yang sebenar. Namun, telah bangkit semula satu generasi sekarang walaupun selepas hampir 100 tahun selepas Ataturk untuk mengembalikan syiar Islam di Turki.

Ahmad Azam berpesan bagi kita membina generasi dari awal, anak-anak atau cucu-cucu kita yang masih boleh dibentuk dan diasuh supaya mereka kelak bakal tampil sebagai pejuang bagi menebus maruah umat dan mengangkat martabat Islam. Harapan inilah yang paling cerah dan di ruang lingkup yang terdaya. Kita tidak perlu hanya mempersoalkan apa pihak lain buat walaupun itu penting sebagai usaha amar ma'ruf nahy mungkar. Diberikan contoh di Masjid al Fatih di Turki, pengalaman solat subuh sepertimana solat Jumaat dengan saf-saf penuh dan anggota jemaah terdiri daripada ramai anak-anak muda.

Jika saf solat subuh di sini dipenuhi secara berjemaah dan anak-anak muda memenuhi saf solat berjemaah, kita sudah mempunyai harapan untuk merubah nasib umat Islam. Maka Masjid adalah barisan depan kebangkitan ini dengan dokongan pemimpin, keluarga dan masyarakat.

Ahmad Azam juga menyarankan anak-anak dan generasi muda membaca kerana pembacaan itu adalah cetusan mesej iqra', pembacaan al Qur'an, menelaah buku ilmiah, pengetahuan, sastera dan apa yang bermanfaat yang diminati. Diberikannya contoh pengalamannya berda'wah di penjara Amerika sewaktu beliau menjadi pelajar. Didapati ramai banduan penjara Amerika memeluk Islam hasil pembacaan terutama membaca terjemahan al Qur'an.


Pesanannya juga tentang infaq fi sabilillah, ahli jemaah masjid, masyarakat dan individu Muslim perlu menyumbang segala yang termampu demi menegakkan agama Allah dan mendokong program-program Islam. Tanpa kekuatan dana maka sukar untuk melakukan perubahan yang berkesan. Banyak yang masih perlu dilakukan bagi membangunkan Islam dan umatnya pada aspek pendidikan, kebajikan dan ekonomi.

Tentang ancaman-ancaman seperti program dan acara yang melalaikan dan menyeleweng umat Islam terutama muda-mudinya, sambutan tahun baru dan lain-lain, Ahmad Azam menyarankan kita berusaha mencegahnya dengan program alternatif sendiri di samping menyuarakan bantahan. Diberikan contoh, Masjid KLCC menganjurkan program jemaah masjid mendekati pemuda-pemudi dan remaja yang berkeliaran di menara raksasa itu. Ia memang berat dan perit payahnya tetapi perlu yakini bahawa ada kesannya, inshallah. Bantahan-bantahan pelbagai pihak tentang Hari Valentine juga ada kesannya kepada sambutan ini. Kita tidak boleh berhenti untuk berda'wah, menganjurkan program kebaikan, mengajak kepada yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar.

Friday, January 7, 2011

Rohingya Education Centre REC

REC


Rohingya Education Centre REC adalah usaha murni pertubuhan bukan kerajaan Future Global Network FGN bersama WADAH Pulau Pinang yang diamanahkan oleh UNHCR Malaysia bagi menjalankan pendidikan formal kepada anak-anak pelarian Rohingya. Pusat ini beroperasi sejak Julai 2010 di Taman Arowana, Permatang Pauh, Pulau Pinang.


Satu majlis perasmian telah diadakan sempena pembukaan pusat ini. Program di mulakan dgn ucapan pengacara majlis yang merupakan waris pelajar Madrasah Uthmaniah ABIM Sg Gelugor. Ini diikuti dengan persembahan pelajar Rohingya, nyanyian pelajar perempuan dengan lagu dalam Bahasa Melayu bertajuk "assalamu'alaikum" Kumpulan pelajar lelaki pula melagukan nasyid "my mother". Kemudian, ucapan aluan wakil pelajar perempuan dalam Bahasa Melayu. Wakil pelajar lelaki pula berucap dalam Bahasa Inggeris yang lancar dengan nada Hindi .


Tuan Haji Ahmad Azam Abd Rahman mewakili FGN dan Tuan Haji Abd Halim Ismail, setiausaha agong WADAH Pusat turut memberikan ucapan. Pada ucapan perasmian Ms Anna Maria Pelosi, Wakil UNHCR, beliau memberikan ucapan yang rata-rata yang hadir menganggap baik dan memberangsangkan. beliau menasihati dan menyarankan para pelajar Rohingya supaya menghargai negara ini, jasa dan baktinya, rakyat dan masyarakatnya serta suasana aman dan damai untuk mereka gigih menjalani pendidikan.


Para pelajar telah menghadiahkan lukisan " dari hati mereka" - from their heart, satu lukisan tangan yang dibingkaikan. Para tetamu melawat kelas serta mendengar taklimat pengetua REC.


Jamuan disediakan untuk semua tetamu termasuk waris pelajar Rohingya yang berusaha menyediakan sajian menu negara asal mereka. Alhamdulillah, sekitar 300 orang Rohingya dan tetamu lain hadir.


Latarbelakang


Rohingya merupakan kumpulan etnik minoriti Islam yang tinggal di Arakan, barat Myanmar. Mereka sering dinafikan hak asasi, sehingga sebahagian besar mereka tidak diberikan kerakyatan oleh pemerintah Myanmar. Mereka tertakluk kepada pelbagai jenis peras ugut seperti terpaksa membayar cukai secara arbitrari, rampasan tanah, meroboh rumah kediaman, pengusiran dan sebagainya. Mereka digunakan sebagai buruh paksa bagi membina jalan dan bekerja di kem-kem tentera. Masyarakat Rohingya juga tidak dibenarkan mengamalkan ajaran Islam dan mengadakan apa jua majlis yang bercorak keagamaan. Pemberian Zakat dan penyembelihan binatang qurban juga tidak dibenarkan kerana dikatakan menggugat ekonomi orang ramai di seluruh negara Myanmar.

Pada tahun 1978 masyarakat Islam Rohingya menghadapi pembunuhan dan pengusiran oleh masyarakat beragama Buddha yang disokong oleh tentera pemerintah. Akibatnya, beribu-ribu melarikan diri keluar negara - terpaksa merempat di Saudi Arabia, Bangladesh, Thailand, Pakistan dan Malaysia. (FGN)


Education for Refugees


Education centers for refugee children are run by an NGO partner on behalf of UNHCR, while others are community-based education centers organised by the refugee communities themselves where UNHCR provides support, including volunteer teachers, where possible.

As of end November 2010, there are some 19,800 Rohingya refugees and asylum-seekers registered with UNHCR in Malaysia.

Refugees live in quiet ways within Malaysian society, till people sometimes do not realise they exist, nor understand the circumstances that compelled them to flee their homeland with virtually nothing to their name but the clothes on their backs.

For most refugees, their deepest wish is to go home again. But until long term solutions can be found for them, they need the compassion and the understanding of Malaysians to help them survive here.

Education for refugee children is recognised as a universal human right but very few refugees have access to formal education. The absence of education among refugee children will become a handicap for them as they grow up. It inhibits their opportunity to better their lives, creating a possible second generation of an illiterate and unskilled community. (UNHCR)