Wednesday, October 26, 2011

Membahagiakan Sahabat - Amanat al da'wah


Pada waktu muncul video mengaibkan Anwar Ibrahim, telah disampaikan kepada Dr Siddiq Fadil tentang kasihannya sahabat-sahabat melihat keluhan Anwar Ibrahim yang tidak henti difitnah dan dianiayai sejak umur 20'an hingga umurnya 64 sekarang ini. Ustaz Siddiq pun pergi ke rumah Anwar Ibrahim bagi membahagiakan seorang sahabat, Ustaz Siddiq menyampaikan tadhkirah. Tadhkirah bagi peringatan kepada sahabat yang dilihat menderita memanjang. Tadhkirahnya tentang kisah Nabi Yusuf a.s. Kisah di dalam al Qur'an menceritakan ujian berat ke atas Nabi Yusuf dicampakkan ke dalam perigi oleh komplot adik beradiknya, dijual sebagai hamba abdi, difitnah dengan cara yang keji dan merengkok bertahun-tahun lamanya di dalam penjara. Kisah ini diungkapkan dari al Qur'an untuk memperteguhkan kekuatan dan semangat seorang sahabat.

"Demikianlah itu (adalah) di antara berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); padahal kamu tidak berada di sisi mereka, ketika mereka memutuskan rencananya (untuk memasukkan Yusuf ke dalam sumur) dan mereka sedang mengatur tipu daya." (Surah Yusuf: 102)

"Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal.  Al Qur'an itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya, dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman." (Surah Yusuf: 111)

Nabi Yusuf a.s. tidak bersalah namun dipenjarakan tanpa bicara. Dipenjara walaupun bukti-bukti menunjukkan sebaliknya. Hukuman ditentukan oleh imra'atul aziz - isteri sang pemerintah. Begitulah tadhkirah yang telah disampaikan oleh Ustaz Siddiq untuk menggembirakan sahabat yang sangat berjasa.

Rupa-rupanya ada kumpulan yang marah kepada Ustaz Siddiq kerana tadhkirah ini. Padahal segolongan mereka tahu dan telah mengaji tentang pengkisahan ini. Kemarahan akibat permusuhan yang amat sangat kepada Anwar Ibrahim. Tadhkirah dikatakan indikator dokongan kita kepada Anwar Ibrahim. Walhal itulah pelaksanaan tanggungjawab da'wah - amanat al  da'wah.

Menurut Ustaz Siddiq, waktu ini fitnah yang paling keji adalah tuduhan liwat dan zina. Oleh itu, gerakan Islam perlu tampil bagi menangani dua isu utama iaitu maruah - satu tujuan maqasid shariah dan isu kefasikan. Maruah dipermain-mainkan dan diinjak-injak semahu-mahunya. Mana mungkin kita tidak terpanggil untuk membela, lagi pula yang dihina dan diaibkan itu sahabat dan pemimpin pengasas ABIM. ABIM tidak mungkin menjadi ABIM tanpa sumbangan Anwar Ibrahim seperti apa yang ada - itu hakikat yang harus diterima. Ustaz Siddiq meminta terutamanya pemuda-pemudi ABIM memahami hakikat ini.

Ustaz Siddiq menceritakan bahawa al marhum Ustaz Ni'mat Yusuf sendiri mengakui bahawa dia berada dan belajar lama di Mesir dan menghirup suasana sungai Nil tetapi masa itu dia tidak sedar tentang harakah Islamiyyah. Pencerahan dan kesedaran tentang harakah Islamiyyah disampaikan oleh Anwar Ibrahim kepadanya.

Tiada seorang Melayu pun dihina begitu dahsyat sekali sejak Hang Jebat. Gerakan Islam yang kita warisi harus berperanan dan kita tidak pernah dapat terima samasekali fitnah dan tohmahan sebegini rupa. Ini kesalahan jenayah Qazaf. Ada elemen-elemen yang tepelanting jauh akibat memusuhi Anwar Ibrahim dan terus menerus membeli dan menjaja apa saja bagi mengaibkannya. Sehingga ada yang hilang kesedaran, hapus kewajaran dan musnah kesarjanaan hanya kerana permusuhan ini. Padahal kita perlu menyelamatkan umat daripada kefasikan.

Apabila al Qur'an menyebut golongan seperti ini sebagai al fasiqun, serta hilang kelayakan kesaksian selama-lamanya (abada) kecuali taubat  , maka mereka sudah hilang kredibiliti, tidak boleh dipercayai lagi, tak layak didengari ceramahnya, pidato atau tulisannya. Sekiranya disambut pula fitnah ini oleh orang lain terus menerus, maka merebaklah kefasikan akibat qazaf dan melebarlah fitnah besar ke dalam tubuh masyarakat kita.

Mereka mengecam dan meremehkan faqih al asr, tokoh fuqaha semasa, Profesor Yusuf al Qaradawi mengatakan Profesor Qaradawi tidak tahu fakta-faktanya. Padahal fiqh Islam itu jelas dan nyata, bahawa selagi tiada empat orang saksi maka ia jenayah Qazaf.

Kita harus bersikap tegas. Kesalahan mereka berat. Ini bukan akibat kelalaian tetapi wilful malice - pemfitnah yang agresif. Penolakan jamaah terhadap elemen pemfitnah ini jelas dan tegas demi amanah al da'wah.

(Oktober 2011)

Monday, October 24, 2011

AZIZ BARI: ABIM TUNTUT PENYELESAIAN AKADEMIK

Isu surat tunjuk sebab yang ditujukan kepada Profesor Abdul Aziz bin Bari atas kenyataan beliau yang dikatakan bertentangan dengan kepentingan universiti mengundang polemik yang berpanjangan dalam masyarakat. Ini ditambah pula dengan liputan media dan kenyataan oleh pelbagai kelompok yang boleh menjejaskan reputasi kedua belah pihak.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mempunyai nama dan kredibiliti yang tinggi dalam masyarakat di Malaysia. UIAM telah berjasa melahirkan graduan yang berkualiti dan mampu memberikan sumbangan yang besar kepada agama, bangsa dan negara. UIAM juga mempunyai reputasi yang baik diperingkat antarabangsa. Sementara Professor Abdul Aziz bin Bari adalah seorang tokoh akademik dalam bidang perundangan yang begitu dihormati di Malaysia. Beliau telah banyak menyumbangkan buah fikiran menerusi ceramah dan penulisan buku dan makalah dalam bidang kepakaran beliau iaitu perlembagaan.

ABIM berpandangan bahawa sebarang isu yang melibatkan pandangan , pendirian dan buah fikiran dalam bidang kepakaran seseorang adalah persoalan akademik. Maka sewajarnya segala persoalan akademik dilayan secara akademik juga, bukan menerusi tindakan undang-undang atau seumpamanya. Seharusnya medium perbincangan dibuka seluas-luasnya menerusi forum, perbahasan dan perbincangan ilmiah. Tampilkan pandangan lain yang boleh menjadi pencabar atau alternatif kepada pandangan yang menjadi tajuk perbincangan.

Sekiranya perkara ini terjadi, ABIM percaya kredibiliti kedua-dua belah pihak dapat dipelihara dan bakal menjadi teladan kepada orang ramai dalam usaha memasyarakatkan ilmu. ABIM juga khuatir jika ada campur tangan luar yang membayangi isu ini. Jika perkara ini berlaku ia akan merugikan kedua-dua pihak dan akhirnya akan menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap dunia academia di Malaysia. ABIM menuntut isu ini diselesaikan dengan segera secara matang dan bertanggungjawab oleh semua pihak.

AMIDI BIN ABDUL MANAN
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Sunday, October 23, 2011

Mencari Kedamaian di Patani




 Berita media dan akhbar mutaakhir akan selalu merujuk kawasan berpendudukan Islam sebagai wilayah bergolak Selatan Thai. Penduduknya mempunyai talian rapat dengan kita kerana berbangsa dan  berbahasa Melayu serta beragama Islam.

Hari ini  di Bangunan ABIM Negeri di Gelugor, WADAH Pulau Pinang berpeluang mendengar penerangan ringkas dan tuntas saudara Wan Abd Rahman dari Global Peace Mission (GPM), organisasi yang memikul amanah misi kemanusiaan ABIM-WADAH di peringkat antarabangsa. Saudara Wan Abd Rahman, aktivis WADAH, ABIM dan KBI, anak jati Kelantan bertugas dengan GPM dan bertanggungjawab ke atas urusan misi kemanusiaan di Selatan Thai.

Dari segi sejarah umumnya, kesemua 14 wilayah pernah bernaung di bawah kerajaan Islam Raja Patani, kemudian diserahkan oleh Inggeris kepada kerajaan Thai Bangkok atas sebab-sebab muslihat penjajah yang strategik dan geo-politik sewaktu itu. Dengan demikian terpisahlah wilayah Melayu-Muslim ini berdepan dengan asimilasi kebudayaan Thai-Buddha serta pelbagai tekanan ekonomi-politik yang bertahun-tahun lamanya.

Di 5 wilayah yang mempunyai umat Islam yang masih berbahasa Melayu terdapat 1.7 juta umat Islam yang terdiri daripada 60% bilangan jumlah penduduk. 5 wilayah tersebut adalah Patani, Yala, Narathiwat, Songhkla dan Satun.

Penduduk Islam tetap memperjuangkan hak mereka terutama mempertahankan kesucian agama dan kedaulatan bahasa. Tuntutan yang dikemukakan oleh Haji Sulung, pejuang Patani,  merupakan lapan perkara yang bukan meminta kemerdekaan ataupun autonomi tetapi hanya hak-hak sebagai rakyat beragama Islam di wilayah di mana mereka bermajoriti. Konflik telah berlarutan sekian lama sehingga memuncak pada tahun 2000'an, terutama pada pemerintahan Thaksin. Period itu menyaksikan peristiwa besar yang menyayatkan seperti kepungan dan serangan ke atas Masjid Kerisik mengorbankan ramai pemuda, pembunuhan beramai-ramai Tak Bai dan pembunuhan jemaah yang sedang bersolat subuh di Masjid Bechah Airong. Kini ribuan telah terkorban dan dilaporkan hilang.

Walaupun ada tawaran-tawaran perdamaian pada saat-saat tertentu, tetapi keadaan puak dan kepimpinan umat Islam yang berpecah belah tidak menunjukkan bahawa adanya satu kesatuan atau kepimpinan ulung untuk menyambut peluang-peluang damai. Pilihanraya Thai baru-baru ini pun menyaksikan 5 buah parti berlainan mewakili orang Islam Selatan Thai. Perbedaan politik ditambah getir dengan perselisihan khilafiah dan kelainan fahaman. Ini diburukkan lagi dengan kehadiran pelbagai pihak yang mempunyai kuasa dan cara tanpa menurut lunas undang-undang. Kecelaruan ini semua memihak kepada penerusan konflik tanpa reda.

GPM yang mewakili ABIM mengambil pendirian dan pendekatan sederhana, mengutamakan bantuan kemanusiaan dan hanya bertindak bagi kepentingan umat Islam sahaja bukan menyokong puak-puak atau  kelompok-kelompok kuasa. Tujuan kita adalah untuk menolong umat Islam keluar daripada lingkaran kemiskinan dan kemalaratan, untuk cuba mengangkat martabat umat dan memberikan sinar harapan.

GPM menumpukan kepada misi bantuan ekonomi, pendidikan dan kebajikan. Di antara usaha yang lakukan adalah untuk membantu beberapa institusi rumah anak yatim supaya berdikari. Pada aspek pendidikan pula, ada anak-anak yang dibantu supaya menyambung pendidikan seperti di Kolej Dar Al Hikmah dan SEMI Negeri Sembilan.

Tumpuan awal WADAH Pulau Pinang adalah pendidikan kerana difikirkan mampu mengeluarkan sebahagian anak muda melalui ilmu, kemahiran dan pengembangan pemikiran bagi memperbaiki nasib dan membela umat apabila berjaya kelak.

WADAH disarankan menjalankan tinjauan melalui ziarah dan perhubungan masyarakat di sana supaya mengenalpasti institusi ayng tulen dan kaedah berkesan menyalurkan bantuan dan bentuk misi kemanusiaan kependidikan. Di sana ada institusi pengajian tinggi samada kerajaan atau pembiayaan sendiri. Di sana juga ada tempat di cerok-cerok seperti di Betong di mana jarang sekali diziarahi atau dibantu oleh orang Malaysia. Keadaan pondok atau sekolah berkenaan amat daif dan jalan-jalan ke sana berliku-liku. Cerita-cerita tentang aktiviti keganasan juga membimbangkan tetapi hakikat ini tidak harus mematahkan semangat dan azam kita kerana di mana saja kita berada bumi ini pun bumi Allah s.w.t. jua.

Kaedah membantu pula haruslah untuk memberikan peluang memajukan anak-anak muda ke hadapan bukan sebagai subsidi yang melemahkan mentaliti untuk berdikari serta sentiasa bergantungan kepada pemberian orang lain. Kita sedar juga misi kemanusiaan Barat dan lain-lain juga aktif di sana menaja institusi serta aktiviti keagamaan dan kita perlu berusaha dengan lebih gigih lagi.


WADAH Pulau Pinang terus menyokong usaha murni Global Peace Mission dan berharap akan menjalinkan kerjasama bermakna untuk misi bantuan pendidikan Patani.