Berita media dan akhbar mutaakhir akan selalu merujuk kawasan berpendudukan Islam sebagai wilayah bergolak Selatan Thai. Penduduknya mempunyai talian rapat dengan kita kerana berbangsa dan berbahasa Melayu serta beragama Islam.
Hari ini di Bangunan ABIM Negeri di Gelugor, WADAH Pulau Pinang berpeluang mendengar penerangan ringkas dan tuntas saudara Wan Abd Rahman dari Global Peace Mission (GPM), organisasi yang memikul amanah misi kemanusiaan ABIM-WADAH di peringkat antarabangsa. Saudara Wan Abd Rahman, aktivis WADAH, ABIM dan KBI, anak jati Kelantan bertugas dengan GPM dan bertanggungjawab ke atas urusan misi kemanusiaan di Selatan Thai.
Dari segi sejarah umumnya, kesemua 14 wilayah pernah bernaung di bawah kerajaan Islam Raja Patani, kemudian diserahkan oleh Inggeris kepada kerajaan Thai Bangkok atas sebab-sebab muslihat penjajah yang strategik dan geo-politik sewaktu itu. Dengan demikian terpisahlah wilayah Melayu-Muslim ini berdepan dengan asimilasi kebudayaan Thai-Buddha serta pelbagai tekanan ekonomi-politik yang bertahun-tahun lamanya.
Di 5 wilayah yang mempunyai umat Islam yang masih berbahasa Melayu terdapat 1.7 juta umat Islam yang terdiri daripada 60% bilangan jumlah penduduk. 5 wilayah tersebut adalah Patani, Yala, Narathiwat, Songhkla dan Satun.
Penduduk Islam tetap memperjuangkan hak mereka terutama mempertahankan kesucian agama dan kedaulatan bahasa. Tuntutan yang dikemukakan oleh Haji Sulung, pejuang Patani, merupakan lapan perkara yang bukan meminta kemerdekaan ataupun autonomi tetapi hanya hak-hak sebagai rakyat beragama Islam di wilayah di mana mereka bermajoriti. Konflik telah berlarutan sekian lama sehingga memuncak pada tahun 2000'an, terutama pada pemerintahan Thaksin. Period itu menyaksikan peristiwa besar yang menyayatkan seperti kepungan dan serangan ke atas Masjid Kerisik mengorbankan ramai pemuda, pembunuhan beramai-ramai Tak Bai dan pembunuhan jemaah yang sedang bersolat subuh di Masjid Bechah Airong. Kini ribuan telah terkorban dan dilaporkan hilang.
Walaupun ada tawaran-tawaran perdamaian pada saat-saat tertentu, tetapi keadaan puak dan kepimpinan umat Islam yang berpecah belah tidak menunjukkan bahawa adanya satu kesatuan atau kepimpinan ulung untuk menyambut peluang-peluang damai. Pilihanraya Thai baru-baru ini pun menyaksikan 5 buah parti berlainan mewakili orang Islam Selatan Thai. Perbedaan politik ditambah getir dengan perselisihan khilafiah dan kelainan fahaman. Ini diburukkan lagi dengan kehadiran pelbagai pihak yang mempunyai kuasa dan cara tanpa menurut lunas undang-undang. Kecelaruan ini semua memihak kepada penerusan konflik tanpa reda.
GPM yang mewakili ABIM mengambil pendirian dan pendekatan sederhana, mengutamakan bantuan kemanusiaan dan hanya bertindak bagi kepentingan umat Islam sahaja bukan menyokong puak-puak atau kelompok-kelompok kuasa. Tujuan kita adalah untuk menolong umat Islam keluar daripada lingkaran kemiskinan dan kemalaratan, untuk cuba mengangkat martabat umat dan memberikan sinar harapan.
GPM menumpukan kepada misi bantuan ekonomi, pendidikan dan kebajikan. Di antara usaha yang lakukan adalah untuk membantu beberapa institusi rumah anak yatim supaya berdikari. Pada aspek pendidikan pula, ada anak-anak yang dibantu supaya menyambung pendidikan seperti di Kolej Dar Al Hikmah dan SEMI Negeri Sembilan.
Tumpuan awal WADAH Pulau Pinang adalah pendidikan kerana difikirkan mampu mengeluarkan sebahagian anak muda melalui ilmu, kemahiran dan pengembangan pemikiran bagi memperbaiki nasib dan membela umat apabila berjaya kelak.
WADAH disarankan menjalankan tinjauan melalui ziarah dan perhubungan masyarakat di sana supaya mengenalpasti institusi ayng tulen dan kaedah berkesan menyalurkan bantuan dan bentuk misi kemanusiaan kependidikan. Di sana ada institusi pengajian tinggi samada kerajaan atau pembiayaan sendiri. Di sana juga ada tempat di cerok-cerok seperti di Betong di mana jarang sekali diziarahi atau dibantu oleh orang Malaysia. Keadaan pondok atau sekolah berkenaan amat daif dan jalan-jalan ke sana berliku-liku. Cerita-cerita tentang aktiviti keganasan juga membimbangkan tetapi hakikat ini tidak harus mematahkan semangat dan azam kita kerana di mana saja kita berada bumi ini pun bumi Allah s.w.t. jua.
Kaedah membantu pula haruslah untuk memberikan peluang memajukan anak-anak muda ke hadapan bukan sebagai subsidi yang melemahkan mentaliti untuk berdikari serta sentiasa bergantungan kepada pemberian orang lain. Kita sedar juga misi kemanusiaan Barat dan lain-lain juga aktif di sana menaja institusi serta aktiviti keagamaan dan kita perlu berusaha dengan lebih gigih lagi.
WADAH Pulau Pinang terus menyokong usaha murni Global Peace Mission dan berharap akan menjalinkan kerjasama bermakna untuk misi bantuan pendidikan Patani.
No comments:
Post a Comment