TEKS SYARAHAN PENGANTAR PELANCARAN DAN DISKUSI BUKU MELAYU
DAN ISLAM: MARTABAT UMAT DAN DAULAT RAKYAT
by Wasif Wan ·
Kami dahului dengan pernyataan tahmid kesyukuran  al-hamdu
li'Llah  dan rasa terharu atas
sambutan terhadap buku Melayu dan Islam: 
Martabat Umat dan Daulat Rakyat. 
Di tengah suasana seperti ini, saya tidak dapat menyembunyikan rasa
takut-takut dan malu-malu,  kerana ketika
mengerjakan buku ini,  saya tidak
membayangkan sambutan bersemangat begini. 
Tidak ada yang luar biasa dalam proses penerbitannya.  Bermula dengan pertanyaan teman-teman tentang
nasib  tulisan-tulisan saya yang terbiar
dan berserakan,  saya terdorong
mengumpul,  memilih dan mengeditnya untuk
diterbitkan dalam bentuk sebuah buku yang seadanya dan  sejadi-jadinya.    Andainya saya tahu bahawa buku ini akan
diberi perhatian  sebegini rupa  -  
dilancarkan, dibedah dan didiskusikan   
-     mungkin saya tidak akan
berani menerbitkannya. 
Bagaimanapun,  buku
ini telah telanjur terbit dan kerana itu ia harus siap untuk ditanggapi oleh
khalayak pembacanya.  Mudah-mudahan
penulisnya dikurniakan ketahanan ruhaniah dalam menghadapi  segala kemungkinan  -- 
dukungan dan kritikan,  tidak lupa
diri kerana dukungan,  dan tidak berkecil
hati kerana kritikan.  Terlepas dari soal
setuju atau tidak dengan pemikiran  dalam
buku ini,  sebagai penulis saya mengucapkan
terima kasih kepada seluruh khalayak yang sudi memberikan perhatian kepada buku
ini.   
Atas susah payah rakan-rakan menjayakan majlis pelancaran
dan diskusi buku malam itu saya ucapkan jazakumu
'Llahu khyara 'l-jaza' .  
Mudah-mudahan semangat di sebalik usaha ini bukan sangat kerana buku
saya,  tetapi komitmen kita semua
terhadap penyuburan budaya ilmu. 
Terima kasih kepada rakan-rakan yang tampaknya menyambut
buku ini dengan bersemangat sekali, sehingga saya sendiri menjadi hairan,
apalah istimewanya buku ini?  Saya hanya
dapat menduga bahawa  ketika menyambut
buku ini,  yang mereka sambut sebenarnya
adalah pemikiran mereka sendiri. 
Demikianlah hakikatnya,  kita
memang banyak berkongsi pemikiran, berkongsi 
idealisme,  berkongsi  wawasan dan gagasan.  Tetapi tidak semua kita berkesempatan
mengungkapkan, mengucapkan atau menyuarakannya. Andainya dugaan itu benar, saya
sangat berbahagia  dapat melaksanakan
peranan  mewakili anda sekalian  untuk mengungkapkan yang tak terungkap,
mengucapkan yang tak terucap dan menyuarakan yang tak tersuara itu.
Sebagai karya manusia, buku ini tentu sekali mengandungi
pelbagai kelemahan manusiawi.  Dengan
menginsafi  keterbatasan ilmu, pengalaman
dan daya renung, saya akan sangat berterimakasih andainya ada yang sudi
memberikan teguran dan koreksi.  Memang
saya tidak dapat memberikan jaminan akan bersetuju dengan pendapat anda,  tetapi saya tetap akan menghormati  hak anda untuk tidak bersetuju dengan
saya.  
Sebuah karya tulis biasanya lahir dari liku-liku  intellectual
journey dan pengalaman di kancah kehidupan penulisnya.   Demikianlah wacana di sekitar Islam dan
Melayu yang termuat dalam buku yang dilancarkan sebentar tadi,  dilatari 
timbunan pengalaman perjalanan keilmuan selama puluhan tahun.  Persoalan tentang sejarah Islam dan
kebudayaan Melayu memang sudah tersentuh sepanjang  mengikuti pengajian menengah dan
universiti,  tetapi sentuhan paling
mengesankan adalah  kuliah-kuliah Prof.
Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang Islam dalam sejarah dan kebudayaan
Melayu yang sempat kami ikuti dalam pengajian pasca-sarjana.   Sejak itu (1975)  bidang ini kami tekuni tanpa henti terutama
selama tempoh melaksanakan tugas meneruskan pengajaran kursus yang
sebelumnya  dikendalikan oleh Prof.
al-Attas sendiri,  di Institut Bahasa,
Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, 
UKM.  Memang,  tahun-tahun perkhidmatan di UKM sebagai
tenaga akademik di Jabatan Persuratan Melayu adalah kurnia kesempatan belajar
dan mengajar pelbagai aspek pengajian Melayu, 
kebudayaan dan kesusasteraannya, 
termasuk karya-karya agungnya seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah
dan lain-lainnya.  
Tidak kurang pentingnya adalah penglibatan kami yang
berterusan dalam gerakan Islam tanahair 
(PKPIM, ABIM dan WADAH).  
Pengalaman dari kancah perjuangan merealisasikan idealisme keislaman
selama lebih emat dekad itu tentunya banyak mewarnai,  dan bahkan menyemangati  pemikiran, gagasan dan wawasan yang tertuang
dalam buku ini.  Justeru,  gerakan Islam pencetus  kebangkitan Islam yang cukup fenomenal
sepanjang dekad-dekad menjelang hujung abad ke-20 itu,  bukan sekadar membawa keriuhan  retorik slogan-sloganan,  tetapi jelas membawa fikrah dan risalah tahririyyah-taghyiriyyah atau misi
pembebasan dan perubahan.   Dalam
merangka agenda perubahan tersebut,  para
ideologue gerakan  tentunya telah
meneliti pesan-pesan al-Qur'an dan al-Sunnah tentang khayriyyat al-ummah (keunggulan umat), di samping  karya-karya agung  pemikir besar seperti Ibn Khaldun tentang
jatuh-bangun  bangsa dan tamadun,  Malik Bennabi tentang masalah pemikiran dan
syarat-syarat kebangkitan (syurut
al-nahdah) dan  sarjana-sarjana besar
lainnya.  Sebagai gerakan yang berkiprah
di tengah realiti kemalaysiaan pula tentunya ia juga menangani isu-isu
setempat,  termasuk  isu Islam dan Melayu serta persoalan
kemajmukan masyarakat.
Dari latar sedemikian itulah lahirnya karya tulis,  Islam dan Melayu:  Martabat Umat dan Daulat Rakyat yang
mengangkat persoalan pemberdayaan bangsa dengan nilai-nilai agama (Islam).    Bertolak dari hakikat Melayu sebagai suatu
realiti  jelmaan sunnatu 'Llah,   bahawa
manusia selamanya diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku,  bukan tanpa maksud,  tetapi dengan tujuan mulia   -   
saling kenal dan saling 
hormat.   Tidak salah andainya
seluruh anak bangsa ingin agar bangsanya dikenal sebagai umat  yang kuat, mulia dan berwibawa.   Untuk itulah kami mengangkat nilai maruah
dan harga diri yang ketika ini terhakis di tengah maraknya budaya fitnah,
gossip, mengaib dan memalukan orang 
seenaknya dan semahu-mahunya. 
Kontrak sosial yang menyepakati bahawa rakyat Melayu,  "…jangan ia difadihatkan, dinista yang
keji-keji…"  diinjak-injak dengan
leluasa,  tanpa mempedulikan lagi
sumpahan apabila penguasa  
"…memberi  aib seseorang
hamba Melayu,  alamat negerinya akan
binasa.".    Bangsa tidak dapat
dibina dengan caci-maki dan sumpah-seranah penguasa. Bangsa yang mulia dan
bermartabat dibangun dengan kesedaran tentang maruah  yang dicirikan oleh sifat  al-haya'   -  
tahu malu atau sense of shame,   malu melakukan perbuatan keji, malu menjadi
rakyat negara yang mundur,  malu
menganggotai organisasi yang korup dan seterusnya.  Dari sifat tahu malu itulah bangkitnya
semangat juang untuk berubah,  menebus
maruah yang tercemar.
Kami juga menyerlahkan nilai ilmu sebagai kekuatan
pengangkat martabat umat.  Kata iqra' 
yang mengawali penurunan kitab suci al-Qur'an menandakan bermulanya
demokratisasi pendidikan  dan revolusi
keilmuan melawan gerakan pembodohan untuk mencipta umat yang enlightened,  umat yang mengalami pencerahan keilmuan,  lalu mampu melihat hakikat segala
sesuatu  dengan tepat sebagaimana wujud
hakikinya.    Matlamat akhir gerakan pencerahan
bersemangat iqra'  ialah untuk mengenal Allah, mencapai  ma`rifah
yang membentuk sikap  wa 'sjud wa 'qtarib (tunduk mengabdi dan
menghampirkan diri kepada Allah).       
Demikianlah realisasi tawhid (pengesaan Allah) sebagai  kekuatan pembebasan,   pencipta manusia merdeka yang memiliki
keberanian bersikap,  menolak dan
melawan  kezaliman dan kebatilan,  kalla
la tuti`hu (jangan sekali-kali, jangan patuh kepadanya…).   Mesej surah  
al-`Alaq adalah nilai ilmu sebagai kekuatan transformatif:  bermula dengan  iqra'  (baca) 
berakhir menjadi  merdeka dengan
sujud  hanya kepada Tuhan Yang Maha Esa,
dan menjadi perkasa dengan mendampingkan diri kepada  Tuhan Yang Maha Berkuasa.
Ilmu dan iman adalah 
unsur penting pemberdayaan bangsa. 
Bangsa yang lemah dan penakut tidak akan menjadi bangsa yang mulia dan
bermartabat.  Lewat puisinya Kesaksian
Bapak Saija,  penyair ternama WS Rendra
menampilkan  Pak Saija yang bangkit dari
alam barzakh untuk membuat kesaksian 
betapa menyesalnya beliau menjadi manusia penakut selama hidupnya.  Ia takut 
membuka mulut untuk memprotes ketidakadilan,  ia takut melawan kerana melawan bererti mati.  Tetapi ternyata akhirnya Pak Saija mati juga
sebagai korban kezaliman.  Ia  mati walaupun tidak melawan.  Ia menyesal, 
tetapi  sayang,  ia telah terlambat, kerana penyesalan itu
timbul hanya sesudah mati dibunuh dan mayatnya ditendang ke dalam longkang.  Sesudah mati baru ia menyedari bahawa
sepanjang hayatnya sebagai penakut ia telah bersyubahat dengan orang-orang
zalim.  Justeru,  kerana ketakutannya melawanlah, maka orang
lain berleluasa melakukan kezaliman. 
Penyesalan terlambat seorang penakut itulah yang diungkapkanya dengan
kata-kata:
                 
Hidup tanpa daya
                 
Sebab daya ditindih ketakutan
                 
Setiap hari seperti mati berulang kali
                 
Setiap saat berharap menjadi semut
                  agar
bisa menjadi tidak kelihatan.
                 
Sekarang setelah mati
                  baru
aku menyedari
                 
bahwa ketakutanku membantu penindasan,
                  dan
sikap tidak berdaya menyuburkan ketidakadilan.
Pak Saija sebenarnya bukan tidak berdaya, tetapi dayanya
telah dilumpuhkan oleh sifat penakutnya. 
Memang kekuatan tidak akan berguna tanpa keberanian.  Kerana itu orang Melayu selalu memadukan
kekuatan dengan keberanian sebagaimana yang terungkap dalam serangkap pantun:
                  Apa
guna pergi ke bendang
                 
Kalau tidak menanam padi
                  Apa
guna keris disandang
                 
Kalau tidak berani mati.
Hidup tanpa daya dalam belenggu budaya takut, bukanlah
kehidupan yang didambakan oleh manusia bermaruah, berilmu dan beriman.   Justeru, budaya takut (culture of fear)  jelas
bertentangan dengan aspirasi kebebasan yang terpancar dari ajaran tauhid.  Surah Quraysh menyebut  Allah sebagai Tuhan Pengurnia makanan untuk
bebas dari kelaparan, dan Dia jugalah Pengurnia keamanan untuk bebas dari
ketakutan.   Demikianlah hakikat
kebebasan dari ketakutan, di samping kebebasan dari kelaparan sebagai suatu
yang amat terkait dengan iman dan pengabdian kepada Tuhan Yang Maha Esa.
Daya maju sesuatu bangsa banyak ditentukan oleh faktor
budaya yang teguh dan kepimpinan yang tangguh. 
Untuk memacu daya maju bangsa Melayu, budayanya harus diperkasa dengan
nilai-nilai kudus kewahyuan dari al-Qur'an dan al-Sunnah.  Dengan demikian bangsa ini akan menjadi umat
yang berjaya menepati kata  al-falah, kejayaan hakiki
duniawi-ukhrawi.    Laungan azan hayya `ala 'l-falah (mari bersama meraih
kejayaan) yang berkumandang setiap hari bekali-kali itu seharusnya diangkat
menjadi salah satu nilai utama pembentuk winning
mind-set dan seterusnya pembina orientasi kejayaan (success orientation)
yang kuat di kalangan umat.  Yang kita
aspirasikan adalah bangsa berjaya yang benar-benar berjaya,  bukan bangsa yang berlagak sebagai bangsa
yang berjaya dengan berbelanja besar membeli barang-barang perhiasan  mewah bangsa yang telah berjaya, buying the ornaments of success.
Melayu harus dibangun dengan nilai-nilai murni
keagamaan,  bukan dengan sentimen
perkauman sempit.   Melayu ideal dalam
wawasan buku ini  adalah Melayu yang
Islamis,  bukan Melayu yang racist.  
Melayu yang Islamis adalah Melayu yang berakhlak mulia,  kaya dengan rasa kasih kemanusiaan,   setia menjunjung nilai  ukhuwwah, persaudaraan  dalam erti luas yang merentasi batasan ras dan
agama,  ukhuwwah yang meliputi ukhuwwah Islamiyyah (persaudaraan
seagama), ukhuwwah wataniyyah  (persaudaraan setanahair) dan ukhuwwah insaniyyah  (persaudaraan kemanusiaan). 
Untuk merealisasikan gagasan Melayu yang menepati ciri
khayra ummah,  kita memerlukan pemimpin
yang membina bangsa,  bukan
"pemimpin" yang membesar diri dan memperkaya kroni.   Bangsa Melayu harus bijak memilih
pemimpinnya yang mampu melaksanakan misi pemberdayaan bangsa,   pemimpin-pendidik-teladan yang menghayati
nilai-nilai murni yang 
diperjuangkannya.  Dengan kata
lain, kita memerlukan mekanisme pengangkatan pemimpin yang dapat menjamin
terangkatnya orang yang terbaik dalam pengertian pemimpin yang berkualiti
integriti moral, kekuatan daya fikir, stamina kerja kuat,  menyintai ilmu dan menyayangi rakyat,
menepati  konsep al-Imam al-`adil  (pemimpin
adil) sebagaimana yang dihuraikan oleh al-Imam Hasan al-Basriy r.`a. dalam
risalah jawapannya kepada permintaan 
`Umar ibn `Abd al-`Aziz,  mujaddid
abad pertama Hijriah yang diiktiraf sebagai Khamis
al-Khulafa' al-Rashidin (al-Khalifat al-Rashid Kelima).   Sesungguhnya bangsa ini akan bangkit sebagai
umat yang gagah dan bermaruah dengan pemimpin yang empowering dan inspiring.
Sekarang adalah saatnya kita memikirkan dengan jujur tentang kualiti kepimpinan
yang seperti itu.  Terima kasih.
 Siddiq Fadzil,
Hotel De Palma,
Ampang, Kuala Lumpur.

 
No comments:
Post a Comment