Ucapan Dasar Muktamar ke 7 WADAH Pencerdasan Umat
Pulau Pinang 12 Julai 2014 di Markaz ABIM Sg Gelugor.
Ramadan al Mubarak
Ramadan membawa
kita keluar daripada kebiasaan kepada rehlah bermakna - meninggalkan
materialisme yang berserabut dan dunia yang fana. Kita beruzlah - mengasingkan diri tetapi
secara ma'nawiy - ‘uzlah ma'nawiyyah tanpa
meninggalkan kehidupan ini atau lari daripada dunia serta tanggungjawab
semasa. Kehidupan harian berjalan tetapi
keenakan dan keinginan nafsu itu dikawal dan diurus secara sedar dan sengaja.
Tempat selera nafsu syahwat digantikan oleh kelazatan iman - lazzah al-iman. Dengan itu disiplin diri
menjadi normal dan dianggap sebati - suatu kebiasaan. Ada semacam pusuan arus -
surge, pemugaran semula keikhlasan,
kesabaran, kasih sayang, belas kasihan dan keazaman. Puasa dan Ramadan
membentuk malakah - bakat atau tabiat
hati - habits of the heart -
qualities of the soul - ṣifāt al nafs.
Itulah
tanda-tanda kemunculan syakhsiyah Islamiyyah haqiqiyyah -
keperibadian Muslim yang hakiki - paling berharga bagi anggota gerakan Islam.
Menangani Kecelaruan Semasa
Jika seseorang
berpuasa tetapi masih berbohong dan melakukan kejahatan, maka Allah swt tidak
berkehendakkan puasa orang itu - mafhum hadith Rasulullah s.a.w.
Begitulah jika
seseorang meneruskan Ramadan dengan tiada pencerahan spiritual dan tiada
pencerdasan ma'nawiy yang berlaku pada dirinya - maka tiada penambahan bekalan
iman dan taqwa kecuali hanya lapar dan dahaga sahaja - mafhum hadith.
Betapa rendahnya
budi pekerti dan akhlak jika semata-mata kerana mengejar dunia, ingin pangkat ,
kaut harta, amal budaya carma dan
gelagat suka sampul - sehingga menggadai
prinsip, hilang idealisme perjuangan, berlaku khianat, sanggup menipu - tipu
kering dan bersumpah palsu.
Zaman kini
merupakan era meta myth - pembohongan besar-besaran dan zaman mega
death - pembunuhan dahsyat
dan kejam berleluasa. Ini cabaran lingkungan zaman kita. Sekarang masa fitnah dan penipuan besar-besaran
dengan menanamkan bibit syak dan keraguan kepada imej umat Islam, kewibawaan
ulama dan juga kredibiliti ikon serta tokoh-tokoh pengasas - pelopor gerakan
serta kebangkitan Islam.
Nampaknya, musuh
Islam berjaya melalui propaganda terang-terangan, komplot jahat dan pergerakan halus untuk menyisihkan Islam dan gerakan Islam daripada arus perdana serta
supaya kita sentiasa mencurigai dan dicurigai - menyamakan sebarang syi'ar,
nilai, budaya, usaha, pembaharuan dan perancangan Islam kepada ekstremisme dan
terorisme. Ada juga usaha untuk merendah-rendahkan akhlak pemimpin serta
pejuang-pejuang Islam. Muncul pula kumpulan-kumpulan fanatik berwajah macam
Islamis yang mendakwa menjuarai perjuangan Islam tetapi lebih banyak
mencetuskan kekeliruan dan huru hara, gemar cabar mencabar tanpa menuruti
akhlak dan adab Islam.
Sahsiah-sahsiah Islamiyyah
sejati perlu tampil bagi menangani gejala fasad
dan kemungkaran. Kita tekuni mafhum hadith melarang mungkar menurut kemampuan
dan daya dengan tangan - kuasa (bi yadihi),
dengan lisan – bersuara (bi lisanihi),
dengan hati (bi qalbihi)- tidak ridhai dan tidak rela serta tidak akan
tunjuk sebarang sokongan atau simpati. Tetapi menurut Dr Siddiq Fadil kita
tidak patut sanggup untuk tidak ambil peduli serta berdiam diri.
Pencerdasan dan Kefahaman
Menurut Sheikh
Taha Jabir Alwani, penyakit yang paling parah bagi umat ini adalah perbedaan
dan perpecahan. Banyak sungguh pihak
yang bercanggah dan saling berantakan sehinggakan memberi gambaran seolah-olah
ajaran Islam, perintah dan larangannya untuk umat hanyalah bagi menggalakkan
perpecahan dan supaya hanyut di bawa arus persengketaan sepanjang masa.
Sheikh Alwani
menyeru supaya kita mengembalikan semula dimensi iman ke dalam dada umat Islam.
Iman yang mengawal perhubungan sesama Muslim yang semakin terhakis. Pemugaran
semula iman dan kefahaman mantap serta penguasaan mendalam ilmu pengetahuan
Islam sahaja yang menjamin pemupukan semula silaturrahim, meleraikan perbedaan
dan menjauhkan rasa benci di hati-hati kita.
Dengan bekalan
ini kita akan berada di kedudukan lebih
utama iaitu posisi berjihad di jalan suci bukan berbalah sesama
sendiri. Untuk itu, norma tatatertib,
tingkahlaku Islam, tasamuh, adab dan adab al
ikhtilaf menjadi konsep dan pegangan penyelesaian. Namun, jiwa kerdil dan
kedangkalan tidak akan menghargai atau menghayati pedoman ini, membawa ke
lembah kewujudan yang sempit lagi berprasangka serta hidup yang penuh
kegagalan.
Sering dikatakan
bahawa perbedaan pandangan adalah kerangka sihat yang boleh memperkayakan minda
Muslim dan merangsang perkembangan intelektual. Kepelbagaian perspektif dapat
dilihat, isu dan permasalahan diperbahaskan dengan lebih mendalam, lebih tepat
dan menyeluruh. Namun sedih sekali dengan tersurutnya ummah, wacana sihat tidak
lagi berlaku.
Kita perlu
sanggah cemuhan bahawa kita menghadapi sindrom - The inability to engage in intellectual discourse and resolving
differences of opinion through vibrant dialogue and healthy debate without resorting to criminalising one
another and excommunicating others.
Ledakan maklumat
dalam bentuk yang serba berpautan,
pantas dan percantuman media melahirkan ahli-ahli agamawan papan kunci yang
berselerak.
Padahal,
persepsi dan pandangan harus holistik dan berimbang, menembusi setiap dimensi
bukan aspek-aspek remeh untuk dijadikan bahan menghukum, mengutuk dan menolak
pihak lain. Ikhtilaf dan hawaa - ego, cenderung untuk menguasai jiwa, pemikiran,
sikap dan perasaan sehinggakan melupakan prinsip-prinsip asas Islam dan
tasawur. Apabila hilang keseimbangan, pertimbangan mahupun keutamaan, hukuman
dilontarkan dengan mudah menghampiri amalan takfiriyun
- kefanatikan dan kegopohan untuk
mengeluarkan orang daripada agama.
Oleh itu, kita
perlu menjauhi amalan mudah memberi penglabelan semata-mata kerana perbedaan
pendapat atau aliran. Terutama sekali
pertubuhan Islam dan pergerakan da'wah perlu ada tasamuh, tawadu' dan rasa
hormat kepada ulama, tokoh-tokoh kepimpinan gerakan dan mereka yang terbukti
telah menyerahkan diri jiwa raga mereka kepada jalan islah dan kebangkitan
ummah.
Pertubuhan Islam
tidak harus terikat atau terjerat dengan ragam agenda politik partisan yang
singkat, mengambil jalan pintas untuk meraih sokongan, menginginkan dokongan
atau mengidamkan dana tajaan. Contohnya, tuduhan dan kecaman seperti liberal,
plural, menyeleweng adalah merbahaya kerana perbuatan ini ada tendensi
menghampiri kegemaran takfiriyun.
Apabila seorang tokoh kepimpinan pergerakan Islam menyatakan pegangan
rujukannya Al Qur'an dan Al Sunnah, memelihara arkan al-Islam dan arkan al-Iman
serta menegaskan perjuangannya adalah mengislah sedaya upayanya, cukuplah itu
dan jauhilah perbuatan melabelkannya selainnya.
Sheikh Alwani
mengingatkan supaya kita hindari pihak
yang memiliki kejahilan yang agresif, kefanatikan golongan yang degil,
komplot-komplot musuh yang berkonspirasi serta orang suruhan pihak
berkepentingan. Memang sukar dan hampir mustahil untuk melawan dan menyanggah
kesemuanya tetapi yang penting adalah memastikan umat Islam terutama
pemuda-pemudinya diberikan harapan, dibekalkan keampuhan ilmu, kefahaman dan
persepsi jelas akhlak, etika dan adab menangani perbedaan dan melestarikan
jihad serta idealisme perjuangan.
Rasulullah
s.a.w. pernah memberitakan khabar gembira kepada para sahabat bahawa ada
seorang di kalangan mereka yang dipilih terbaik dan dijanjikan syurga.
Rasulullah s.a.w. menceritakan bahawa kejayaan sahabat itu adalah kerana pada
setiap malam sahabat berkenaan tidak akan tidur sehingga tiada lagi perasaan
dendam atau marah terhadap seorang Muslim yang lain.
Menggarap Kerangka Besar Idealisme Perjuangan
Kita saksikan
pada tingkahlaku para pemimpin masyarakat yang menjanjikan idealisme tetapi
masih bergelut dengan pertembungan- juxtaposition
di antara kepentingan perjuangan nasib rakyat dengan
kepentingan-kepentingan kecil di antara tokoh-tokoh dan individu-individu serta
penyokong-penyokong tegar.
Perbandingan
dengan regim lama yang mewakili sistem yang bobrok dan rosak tidak cukup.
Idealisme yang didokong jelas terpampang harus sampai kepada islah mastata’tu – menjana perubahan sedaya
upaya sebaik mungkin – perubahan yang real dan nyata.
Para pimpinan
pelbagai peringkat institusi dan agensi agama perlu mengenepikan persoalan
politik dan pergelutan biasa mencari pengaruh dan kuasa atau sekadar bersandar
mengisi jawatan tinggi dengan kedudukan yang empuk dan selesa tanpa memberi
kesan kepada kebangunan umat. Kita perlu memperingatkan semua supaya mempunyai hemah serta mempamerkan
persefahaman dan thiqah sesama
sendiri, sentiasa memberikan harapan kepada ummah dan akrab bersahabat membangunkan
umat bersama-sama dengan jamaah dakwah seperti WADAH.
Rahmat kepada Seluruh Alam
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan
hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan
mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik sesungguhnya
Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya,
dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah
pertunjuk. (Surah al Nahl: 125)
Islam itu tinggi
dan tiada yang melebihi kemuliaannya. Oleh itu, agama ini dan penganutnya patut
sentiasa berada pada kedudukan moral yang tinggi – taking the high moral ground. Seruan dakwah dengan penuh hikmah,
dengan contoh teladan terbaik serta hujah yang bernas tidak mengizinkan sikap
rasis, atau merelakan trend Christian
baiting atau Chinese bashing.
Tindakan ekstrim begini hanya menakutkan dan menjauhkan orang daripada risalah rahmatan lil alamin yang dibawa oleh
kita selaku umat Islam.
Pada sebuah
rencana yang menarik, seorang penulis Kristian bernama Emmanuel memberikan
komentar, “Ribuan orang Christian saban
tahun memeluk Islam tetapi umat Islam pula yang nampak menggelabah merasakan
mereka terancam.” Katanya lagi, “Padahal
sepatutnya kamilah yang sepatutnya merasakan kerisauan demikian.”
Pada zahirnya, ramai
Non Muslim berasa kurang selesa dengan kehadiran agama di persada awam. Di
kalangan mereka merasa kurang senang dengan hubungan di antara agama dan
politik. They are often uncomfortable
with the presence of religion, certainly in the public sphere and are quite
ambivalent about the relationship of religion to politics.
Ini dapat
dilihat pada penentangan luas terhadap cadangan perlaksanaan hukum jenayah
Islam atau cadangan bagi meneguhkan shariah Islam di dalam pemerintahan. Pendekatan
garis keras sudah tentu akan menebalkan prasangka dan mempengaruhi tanggapan
mereka.
Pendakwah dan
aktivis juga perlu mendalami ilmu dan kemahiran serta menghayati seruan da'wah bil hal, da'wah bil hikmah, mauizah
hasanah - kebijaksanaan, teladan terbaik dan hujah yang bernas. Kita perlu
sedar dan peka terhadap tahap kecurigaan dan Islamophobia yang tinggi masakini,
dan sebarang tindakan berunsur garis keras akan melebarkan jurang serta
menjauhkan titik persefahaman.
Kita perlu
mengelak pendekatan naif seperti mengambil tajuk atau penganjuran program contohnya,
"Bagaimana Berinteraksi dengan
Non-Muslim" - kerana konotasinya menggambarkan seolah-olah orang Non
Muslim merupakan makhluk asing.
Kita tentu sedar
tetapi bagaimana untuk menangani kesenjangan dan jurang di antara seorang profesional
yang memiliki kondo mewah di lokasi eksklusif di Pulau Pinang yang mengeluh
menganggap tarafnya sebagai warganegara kelas dua, manakala seorang lagi
penganggur di kampung yang tidak memiliki apa-apa tetapi menganggap dirinya
mempunyai ketuanan bangsa.
Ekonomi
Di antara
pelbagai perkara yang menghimpit umat dan rakyat adalah kos pemilikan rumah di
negeri ini. Jika pimpinan yang berkuasa dan diberi amanah tidak menangani
pembinaan rumah mampu milik dengan serious maka penempatan golongan
berpendapatan rendah yang kebanyakannya umat Islam akan terjejas dan mereka
tidak akan merasakan kualiti kesejahteraan hidup di negeri ini seperti
dinikmati oleh warga lain.
Suatu aspek lagi adalah gaji yang rendah
diberikan khususnya kepada graduan-graduan walaupun bakat mereka dikehendaki
dan mereka berkhidmat di industri-industri rancak di negeri ini. Gaji yang
rendah (serta penyediaan kemudahan yang sangat terhad) tidak membantu kepada
pertumbuhan ekonomi dan menekan hidup orang muda yang berbakat. Model ekonomi
berasaskan gaji rendah perlu berubah dan Pulau Pinang mesti ke hadapan memimpin
perubahan ini.
Akitiviti
Islamic Outreach
ABIM yang beroperasi di Lebuh Acheh kini sedang dipugar semula dengan
penglibatan sahabat senior bersama anggota-anggota pelapis muda. Kejutan pihak
berkuasa agama menuntut sewa telah membuahkan hikmah tersendiri supaya kita
bertindak lebih aktif membela satu sudut kerdil dakwah kepada Non Muslim. Ia
juga menunjukkan bahawa pergantungan kerja dakwah agama ini bukan kepada
autoriti, institusi atau agensi agama tetapi kepada sejauh mana keberkatan
serta bantuan Allah swt kepada usaha ini
melalui cara yang kita tidak dugakan. Marilah kita bersama menyumbang
setulusnya bagi memastikan kelangsungan IOA.
Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela
(ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan
meneguhkan tapak pendirian kamu. (Surah Muhammad:7)
Rohingya
Educational Centre REC adalah institusi pendidikan sebagai sumbangan secara
langsung memastikan generasi muda pelarian Rohingya agar berpeluang terdidik
dengan mendapat kepercayaan UNCHR serta rakan NGO FGN. Baru-baru in sebuah
pertubuhan Kanada mengumumkan akan mendirikan sebuah sekolah antarabangsa untuk
pelarian juga dengan kerjasama UNHCR, menggunakan kurikulum Kanada. Ini bakal
meninggikan tanda aras pendidikan pelarian.
Institusi-Institusi
Pendidikan di bawah Yayasan Takmir iaitu SERI dan SEMI ad Diniah serta Madrasah
Uthmaniah ABIM terus berkembang dengan baik. Marilah kita doakan kejayaan
sekolah-sekolah kita khususnya supaya Madrasah Uthmaniyah ABIM terpilih sebagai
model sekolah antarabangsa Islam kelak.
Usrah telah
melalui perkembangan positif dengan adanya usrah peringkat Pulau dan usrah
peringkat Seberang di samping usrah gabungan WAP bulanan. Adalah disarankan
para isteri dan aktivis SALWA dan HELWA dijemput bersama ke usrah-usrah ini
supaya pergerakan WADAH mendapat dokongan penuh keluarga dan masyarakat. Idea
usrah umum perlu dihidupkan semula sepertimana pernah wujud dengan berkesan di
Masjid Sg Gelugor pada zaman 80’an supaya aktiviti ini lebih inklusif dan
bersama memanfaatkan masyarakat.
Idea penubuhan
Institut Pencerdasan Umat sebagai kumpulan pemikir perlu digarap dengan
serious semula.
Semua aktiviti
ini sangat memerlukan dana. Oleh itu, semua ahli disarankan bersegera
mengamalkan sadaqah dan infaq fi sabilillah serta diingatkan
tentang simpanan tabung harian WADAH masing-masing yang terbukti praktikal dan
berkesan bagi mengumpul sumbangan tetap kepada WADAH setiap bulan.
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang
baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat syurga yang
bidangnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang bertaqwa.
(Surah ali Imran 133)
Dari Ibnu Abbas,
berkata: “Rasulullah SAW adalah orang
yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan ketika
Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadan, lalu
tadarus al-Quran (dengan Nabi SAW). Sungguh Rasulullah ketika ditemui Jibril
menjadi orang yang lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan, sehingga
lebih banyak daripada tiupan angin yang berhembus.’ (Hadis Bukhari dan
Muslim)
(Dr Wan Salim Mohd Noor, Yang di Pertua WADAH Pencerdasan Umat Pulau Pinang)
No comments:
Post a Comment