Sunday, March 15, 2015

HANYA TINGGAL KENANGAN



Pada zaman diktator Nasser di Mesir, orang-orang yang taat membuta tuli diberi keutamaan walaupun pada umumnya mereka ini diketahui bodoh. Orang-orang tolol tetapi patuh lebih dihargai daripada para pakar segenap bidang. Murshid al Am Ikhwan al Muslimin Umar Tilmisani membayangkan betapa sedih dan pilu perasaan saudara mara kerabat keluarga Ikhwan yang terpenjara dan sedang disiksa apabila seorang alim Al Azhar mengampu memberi puji-pujian ke atas “keadilan” dan “kasih sayang” pemerintahan Nasser yang korup.

Menurut Tilmisani, orang-orang yang bertindak keluar daripada Ikhwan juga  mempunyai getaran perasaan yang seolah memaksa dirinya memperingati kebaikan-kebaikan yang diperolehinya sewaktu bergabung dengan Ikhwan. Mereka seolah-olah ingin kembali ke pangkuan jamaah yang telah mendidik dan dia tidak akan lupa kemanisan dan nikmat intima’ bersama Ikhwan. Perilaku dan tindakannya akan mempamerkan hasil tarbiyah Ikhwan. Meskipun dia bersumpah bahawa dia bukan Ikhwan tetapi tidak ada seorang pun akan mempercayainya. Tilmisani berkata, mereka inilah yang diperlakukan oleh Naseer sehingga mereka memuja, menjilat dan mendokong Naseer yang zalim itu.

Di tanah air kita, di antara orang yang paling memusuhi gerakan Islam adalah mereka yang pernah menjadi ahli dan pernah berada di dalam satu angkatan. Memang sebahagian daripada mereka masih bangga mempamerkan penglibatan lampau mereka bersama gerakan. Mereka gemar merujuk penyertaan serta melahirkan rasa kenangan bersama organisasi ini. Mereka ingin supaya dilihat oleh generasi muda dan yang baru kepada organisasi ini bahawa mereka adalah bekas-bekas aktivis yang kini telah berjaya menduduki posisi terpuji di dalam masyarakat, menjawat jawatan tinggi kerajaan, berpengaruh dan berada di anjung kekuasaan. Mereka sangat senang apabila mendapat ruang menonjolkan imej dan peluang mendapat publisiti. Tetapi sebahagian daripada upah gadaiannya adalah mereka bersekongkol menjadi tukang pukul bagi menyerang gerakan, mencemar nama baik kepimpinannya dan membendung perjuangan keadilan.

Orang sesat sebegini merasakan bahawa mereka boleh menggunakan perkara lucah dan tak senonoh serta kejelikan sebagai waras dan munasabah serta menganjurkan resam jahat sebagai cocok dan boleh diterima. Ini adalah kerana mereka fikir mereka adalah orang yang mempunyai kelayakan cemerlang, memperagakan pula asal usul mereka, jawatan empuk dan anugerah serta gelaran yang berjela-jela dibariskan. Mereka sangat berhasrat  untuk meyakinkan orang lain bahawa “salah pun boleh jadi benar” dan kejayaan itu boleh dicapai melalui jalan melanggar adab serta tingkahlaku tidak berakhlak. Mereka bekerja keras bagi menawan hati orang terutama golongan muda bahawa mereka “berniat baik” dan ingin membawa mereka kepada “kebaikan”.

Ketahuilah bahawa pengkhianatan dan fitnah bukan dan tidak pernah menjadi sebahagian daripada budaya ABIM atau amalan mana-mana orang Islam yang benar ataupun direstu oleh mana-mana rakyat Malaysia yang berfikir. Tidak ada sesiapa di kalangan insan yang mempunyai karamah, perasaan moral, akhlak dan kesopanan boleh menerima atau merelai tindak tanduk jahat mereka itu.  

Mereka ingin supaya orang yang mereka seru agar menjadi khalayak tertawan yang memiliki minda terpesona melalui gelagat mereka yang memikat. Mereka gagal menggarap bahawa gerakan Islam datang sebagai kesedaran dan kebangkitan hati nurani ummah, sebagai daya membebaskan minda rakyat, supaya berpegang teguh kepada iman dan supaya tidak mudah dibelai penipuan.  

Musuh-musuh ini merupakan jiwa yang tidak mempunyai hati perut kerana suka merobak rabik kesucian hati budi ummah melalui usaha curang dan bahasa cabul mereka. Sebaliknya, gerakan Islam datang membawa tarbiyyah memupuk dan mensuci tabiat hati, menyeru kepada budi baik, rahmah dan kesantunan. 

Gerakan ini datang untuk mengeratkan ikatan ukhuwwah, persahabatan, persaudaraan dan menyampailkan risalah rahmatan lil alamin penuh kasih sayang kepada manusia. Manakala musuh-musuh durjana ini mengajak kepada pengkhianatan, kebencian, perkauman dan kebaculan. 

Mereka mengatakan bahawa mereka bangga kerana datang daripada gerakan ini tetapi mereka merekacipta, merekayasa dan berhempas pulas untuk mencerca pelopor dan pengasas gerakan Islam ini.  Mereka tidak bermaruah dan tidak mempunyai kehormatan diri. Mereka telah menjadi pendakyah dan saudagar penghinaan. Mereka gagal memahami bahawa tanpa maruah dan tanpa tujuan bagi menegakkan kebenaran dan keadilan, mereka sebenarnya berada dalam alam kebejatan dan hina.

Tanpa keberanian berpandukan prinsip - the courage of conviction, apabila mengabaikan pegangan teguh kepada keimanan, istiqamah kepada perjuangan dan mengharungi tribulasi menegakkan kebenaran, sebarang kenangan mengenai ABIM hanyalah tinggal memori penuh nostalgia dan kenangan kehilangan sesuatu yang sangat berharga pada suatu masa dahulu.



“Ya Allah, tunjukkan kepada kami yang benar itu benar dan berilah kami kemampuan mengikutinya, dan tunjukkan kepadaku yang batil itu batil, dan berilah kami kemampuan menjauhinya".





No comments: