Sunday, February 28, 2016

DR SIDDIQ FADZIL: MEMPERINGATI WIRA PEMUDA AL KAHFI

TM76





MEMPERINGATI  WIRA DARI GUA:
PEMUDA-PEMUDA AL-KAHFI  DALAM PENCITRAAN  QUR’ANI
(Memahami mesej surah al-kahf ayat   19  -  26)







19.  Dan demikianlah Kami bangunkan mereka, agar di antara mereka saling bertanya.  Salah seorang  di antara mereka berkata, “Sudah berapa lama kamu berada (di sini)?”   Mereka menjawab,  “Kita berada  (di sini)  sehari   atau   setengah hari.”       Berkata (yang lain pula),       “Tuhan-mu    lebih mengetahui  berapa lama kamu berada (di sini).    Maka suruhlah  salah seorang di antara  kamu pergi ke kota  dengan membawa wang perakmu ini,   dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik,   dan bawalah  sebahagian  makanan  itu  untukmu,   dan hendaklah dia  berlaku lemah-lembut dan jangan sekali-kali menceritakan halmu kepada sesiapa pun.

20.  Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, nescaya mereka akan melempari kamu dengan batu,  atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika demikian nescaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya.”

21.  Dan demikian (pula) Kami perlihatkan  (manusia) dengan mereka,  agar mereka tahu,    bahawa Janji Allah benar,  dan bahawa (kedatangan) hari Kiamat tidak ada keraguan padanya.     Ketika   mereka  berselisih tentang urusan mereka,  maka mereka berkata, “Dirikanlah sebuah  bangunan di atas  (gua)  mereka,   Tuhan lebih mengetahui tentang mereka.”    Orang   yang  berkuasa  atas urusan mereka berkata, “Kami pasti akan mendirikan sebuah rumah ibadat di atasnya.”

22.  Nanti (ada orang yang akan) mengatakan,  “(jumlah mereka) tiga (orang),  yang keempat adalah anjingnya,” dan (yang lain) mengatakan, “(jumlah mereka) lima (orang),    yang  keenam  adalah anjingnya,”   sebagai terkaan  terhadap yang ghaib;    dan  (yang lain lagi) mengatakan, “(jumlah mereka) tujuh (orang), yang kedelapan adalah anjingnya.”   Katakanlah (Muhammad),  “Tuhan-ku lebih mengetahui  jumlah  mereka;    tidak ada yang mengetahui  (bilangan)  mereka  kecualisedikit.”    Kerana  itu janganlah engkau (Muhammad) berbantah  tentang  hal mereka,    kecuali perbantahan lahir sahaja dan jangan engkau menanyakan tentang mereka (pemuda-pemuda    itu) kepada siapa pun.            

23.  Dan janganlah sekali-kali engkau mengatakan terhadap sesuatu, “Aku pasti melakukan itu besok pagi, “

24.  kecuali  (dengan mengatakan),  “In sha’a ‘Llah.”   Dan ingatlah kepada Tuhan-mu apabila engkau lupa dan katakanlah, “Mudah-mudahan Tuhan-ku akan memberiku petunjuk kepadaku agar aku yang lebih dekat (kebenarannya) daripada ini.”

25.  Dan mereka tinggal dalam gua selama tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun. 

26.  Katakanlah, “Allah lebih mengetahui berapa lamanya mereka tinggal (di gua);  miliknya semua yang tersembunyi di langit dan di bumi.  Alangkah terang penglihatan-Nya dan alangkah tajam pendengaran-Nya;   tidak  ada  seorang pelindung pun  bagi  mereka selain  Dia;   dan Dia tidak mengambil seorang pun menjadi sekutu-Nya dalam menetapkan  keputusan.”





Mukadimah

Ashab al-Kahf  bukan sekadar sebuah kisah,  tetapi suatu peristiwa sejarah yang diabadikan dalam al-Qur’an untuk menyampaikan mesej  tentang erti hakiki  kewiraan yang bercirikan iman dan perjuangan.   Peristiwa heroik tersebut berlaku pada awal tarikh masihi,  di sebuah kota (yang tidak jelas namanya) dalam kerajaan Romawi purba,  ketika  memuncaknya  reign of terror dan gaya hidup materialistik-hedonistik dalam tradisi keagamaan memuja berhala yang dipaksakan ke atas seluruh warga.     Sepanjang era tersebut,  kuasa adalah segala-gala.  Yang berkuatkuasa adalah undang-undang rimba   -   yang besar membuli yang kecil, yang kuat memangsakan yang lemah.  Golongan elit penguasa merajalela memaksakan kemahuannya ke atas rakyat jelata.  Prinsip keadilan, kebebasan,  hak asasi  dan segala nilai murni peradaban hancur dimamah keserakahan penguasa.    Kerajaan  menguasai dan mendominasi segala sumber kehidupan.  Segalanya dari kerajaan,  sehingga tidak ada siapa pun boleh memiliki apa-apa (kekayaan,  kehormatan,  keselesaan dll)  tanpa izin dan restu kerajaan.   Semuanya harus ditentukan oleh kerajaan,   termasuk kepercayaan dan agama anutan.   Tidak ada siapa pun yang boleh menganut agama selain agama negara -  menyembah berhala.   Sistem sedemikian telah menyuburkan budaya  opportunism dalam kalangan rakyat     -    untuk hidup harus mengampu kerajaan.   Demikianlah,  rakyat rata-rata sudah menjadi  hamba nafsu kebendaan dan pengabdi kekuasaan.      Tidak mematuhi kemahuan kerajaan,  alamat celakalah padahnya.                      

Tuhan yang Maha Penyayang,  tebaran rahmat-Nya amat luas,  boleh sampai ke mana sahaja,  dan boleh menjangkau siapa sahaja yang dikehendaki-Nya.   Di tengah masyarakat yang rosak separah itu,  masih ada rahmat hidayah yang menyerap ke dalam hati sekumpulan anak-anak muda.  Merekalah ashab al-kahf  yang berlindung di gua demi menyelamatkan iman dan pendirian mereka.  Keberanian bersikap   -   menolak  agama dan budaya sesat anutan penguasa dan masyarakat  -  mendedahkan diri mereka kepada bahaya deraan kejam penguasa yang sudah mengerahkan seluruh jenteranya menangkap mereka.     Pemuda-pemuda al-kahf  itu menjadi buruan  rejim kuku besi  yang mulai merasa  tergugat.   Bagi kerajaan, mereka adalah “musuh” negara, “pengkhianat” bangsa,  dan “perosak” agama.     Jumlah mereka memang sangat kecil,   hanya beberapa orang,  tetapi keberanian mereka menolak agama dan budaya pihak berkuasa tetap menakutkan kerana mereka memiliki potensi besar membenihkan kesedaran rakyat.  Justeru, mereka memiliki kekuatan iman, kekuatan fikrah,  kekuatan daya tahan dan daya juang yang luar biasa.     

Dalam situasi sedemikian,  satu-satunya pilihan bagi pemuda-pemuda al-kahf  tersebut ialah `uzlah,   mencari tempat berlindung yang selamat,    sebuah gua yang meskipun pada zahirnya kasar, kelam, sempit, berbahaya dan menyeramkan;   tetapi apabila Tuhan berkenan menabur rahmat-Nya,  ia  menjadi lapang dan nyaman.   Demikianlah,  hakikatnya  mereka lari kepada (perlindungan) Allah.    Tidak ada perlindungan lebih selamat dan lebih nyaman daripada perlindungan Allah.  Di sanalah berlakunya     tadbir perencanaan Tuhan yang Maha Bijaksana,    mereka tertidur  dalam belaian rahmat Ilahi selama lebih tiga ratus tahun.         


Huraian Maksud Ayat

Ayat 19 menyerlahkan kekuasaan Tuhan yang amat menakjubkan dengan membangunkan pemuda-pemuda al-kahf  setelah ditidurkan selama ratusan tahun dalam keadaan sihat, segar-bugar walaupun tanpa makan-minum  selama tempoh tersebut.       Mereka sendiri tidak menyangka telah tidur selama itu.    Mereka hanya menduga paling lama sehari atau setengah hari.        Keajaiban tersebut bukan untuk dirahsiakan,  tetapi kemudiannya didedahkan kepada umum dengan bukti nyata yang cukup meyakinkan.    Tujuannya ialah untuk menjawab isu keraguan terhadap hari kebangkitan.   Setelah Kiamat,   manusia yang semuanya telah mati  dibangkitkan semula.  Justeru,  bangun dari tidur ratusan  tahun,  hakikatnya  hampir sama dengan bangun semula setelah mati.      Keajaiban tersebut adalah bukti bahawa segala janji Ilahi pasti ditepati.

Pemuda-pemuda al-kahf yang tertanya-tanya selama mana mereka telah tidur,   akhirnya menyerahkan persoalan tersebut kepada Tuhan Yang Maha Mengetahui.   Demikianlah adab manusia mukmin ketika berhadapan dengan sesuatu kemusykilan.   Soal-jawab tentang persoalan seperti itu tidak perlu diperpanjang.    Mereka segera beralih kepada persoalan lain yang lebih mendesak bahawa mereka sama-sama lapar dan perlu makan.      Peristiwa masuk kota untuk membeli makanan inilah pula yang menyedut perhatian orang ramai terhadap siapa sebenarnya mereka,  dan mengungkapkan semula sejarah yang tercipta lebih tiga abad yang lalu.       Warga kota dapat mengesan jejak  pemuda al-kahf itu menerusi  wang perak  (dirham) yang dihulurkan untuk  membeli makanan,   atau mungkin juga dari dialek pertuturan dan pakaiannya.     

Memang rencana Tuhan mahu membuka peristiwa ini kepada pengetahuan umum dengan maksud yang dinyatakan secara eksplisit dalam ayat 21,    iaitu untuk meyakinkan mereka bahawa janji Ilahi membangkitkan manusia yang telah mati bukan gertak kosong,  tetapi benar-benar akan terjadi.        Selain itu tersirat pula hakikat bahawa isu kehilangan misterius sekumpulan pemuda beriman itu masih terus hidup di tengah masyarakat walaupun setelah tiga abad.     Selama tempoh tersebut banyak perubahan telah berlaku,   termasuk berakhirnya  pemerintahan rejim zalim pemuja berhala  zaman pemuda kahfi,    digantikan oleh kerajaan baru yang beriman.    Ternyata yang berubah bukan hanya raja yang memerintah,   tetapi yang lebih bererti lagi ialah berubahnya agama, budaya, ideologi, sistem nilai, dan cara berfikir rakyat.    Generasi yang hidup pada zaman pemerintahan baru inilah yang memiliki kesedaran sejarah tentang kehebatan pemuda-pemuda yang berani bersikap   menolak tradisi bejat dan sesat untuk memilih iman dengan segala risikonya.        Di mata generasi baru ini,     pemuda-pemuda al-kahf bukan lagi orang-orang buruan,  tetapi pahlawan yang sangat menginspirasikan.       Demikianlah hakikatnya,    citra manusia dalam sejarah boleh berubah.

Pemuda-pemuda al-kahf itu sendiri memang tidak menyedari perubahan yang telah berlaku.   Masa yang dilalui dalam gua terasa seperti baru sehari atau setengah hari.    Rasa cemas masih menghantui perasaan mereka.   Kerana itu mereka sangat berhati-hati merencana strategi,    jangan sampai ada yang tahu siapa mereka dan di mana tempat persembunyian mereka.  Andainya mereka tertangkap,  risikonya besar sekali    -     direjam atau didera untuk memaksa mereka kembali  kepada agama dan budaya sesat.    Risiko berat inilah yang mereka cuba hindari,  kerana mereka tahu benar  bahawa kembali kepada kesesatan bererti  rugi besar duniawi-ukhrawi.

Al-Qur’an  tidak memaparkan rincian peristiwa yang membawa kepada terungkapnya hakikat bahawa merekalah sebenarnya  pemuda-pemuda al-kahf  yang menghilang (demi menyelamatkan iman) tiga abad yang lalu.   Terdapat indikasi bahawa Tuhan segera mematikan mereka sejurus selepas terungkapnya segala yang terjadi.     Kematian mereka adalah rahmat dari Allah Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat mereka.  Justeru,  serba-serbinya telah berubah sehingga menyukarkan mereka menyesuaikan diri andainya mereka hidup lebih lama lagi.   Selain itu  mereka dihadirkan untuk membawa misi khusus Ilahi,  dan misi tersebut telah sempurna terlaksana.   Mungkin juga kematian yang berlaku pada waktu itu sebagai  rahmat kurnia Allah menyempatkan mereka menyaksikan perubahan yang berlaku walaupun untuk hanya beberapa detik.        

Al-Qur’an hanya menggambarkan sambutan hangat masyarakat terhadap kemunculan semula pahlawan-pahlawan yang selama ini terselubung misteri dan teka-teki.  Demikian tingginya penghormatan mereka terhadap pemuda-pemuda ashab al-kahf itu sehingga gua persembunyian mereka menjadi tumpuan ramai,   masing-masing ingin mengabadikan rasa hormat dan apresiasi dengan cara sendiri-sendiri.     Ayat 21 menyatakan berlakunya perselisihan dalam kalangan pelbagai pihak tentang apa yang harus dilakukan terhadap gua persembunyian yang menyimpan sejarah besar  yang ketika itu sudah menjadi makam pahlawan.     Ada yang ingin membina bangunan tugu peringatan,  sementara pihak berkuasa pula memutuskan untuk membina masjid di atasnya.    Di balik pengkisahan tentang perselisihan tersebut,   tersirat suatu hakikat bahawa semuanya adalah pengagum-pengagum  ashab al-kahf  yang berkongsi keinginan  mengabadikan sanjungan, hormat dan apresiasi dengan cara masing-masing.      Demikianlah terciptanya peristiwa sejarah yang cukup mengharukan:   kelmarin diburu sebagai pengkhianat,  hari ini dinobat sebagai pahlawan.   Ia berlaku dengan kuasa Allah menurut sunnah aturan-Nya.       Memang sejarah mempunyai undang-undangnya sendiri yang menjadi bahagian daripada sunnatu ‘Llah.  

Wira-wira al-kahf itu telah mati,    tetapi al-Qur’an membayangkan kisah mereka tidak pernah mati.   Polemik dan debat tentang persoalan-persoalan  di sekitar mereka terus berlaku sepanjang zaman.  Ayat 22 menyebut bahawa suatu ketika nanti akan muncul   pelbagai teori tentang jumlah sebenar  pemuda-pemuda tersebut    -      tiga, lima atau tujuh orang.    Ternyata minat untuk menelusuri lebih jauh tentang ashab al-kahf terus tumbuh terutama dalam kalangan ilmuwan-sejarawan.  Terasa ada isyarat pada ayat tersebut bahawa yang benar adalah tujuh orang.   Yang mengatakan tiga dan lima orang disebut  rajman bi ‘l-ghayb (terkaan terhadap yang ghaib),    tetapi  yang mengatakan tujuh orang tidak disebut demikian.    Bagaimanapun gaya dan nada al-Qur’an mengungkapkan isu tersebut memberikan indikasi bahawa soal jumlah pemuda yang terlibat tidak perlu dipolemikkan.   Yang penting dalam  pengajian sejarah bukan rincian kisah,    tetapi `ibrah  atau iktibar pengajarannya.  Dalam konteks ashab al-kahf,    berapa pun jumlahnya  (tiga, lima atau tujuh)  tidak merubah pengajaran yang terkandung dalam peristiwa sejarah tersebut.

Ayat-ayat seterusnya membawakan pesan Tuhan tentang bagaimana menyikapi  persoalan-persoalan ghaybiyyat (perkara-perkara ghaib)  baik mengenai masa lalu atau masa mendatang.    Hal-hal seperti itu hanya Tuhan yang tahu.  Kerana itu serahkan dan kembalikan sahaja kepada-Nya dengan kata Allahu a`lam (Allah sahajalah yang lebih tahu).   Ilmuwan-sejarawan tidak perlu mengada-ngada,   berteori dan berhipotesis tentang hal-hal ghaib yang di luar daerah jangkauannya.   Sebagaimana masa lalu,   masa depan juga adalah daerah ghaybiyyat  yang  hanya diketahui dengan pasti oleh Tuhan sendiri.   Memang kita harus  melihat ke hadapan,  merancang dan bersiap menghadapi  kemungkinan-kemungkinan masa depan.    Tetapi  penentu apa yang akan terjadi adalah kuasa Allah.   Kerana itu apa pun yang kita ingin lakukan harus disandarkan kepada Allah dengan in sha’a ‘Llah.

Sikap mengembalikan segalanya kepada Allah dan menyandarkan segalanya kepada kuasa Allah adalah bahagian daripada implikasi tauhid.    Allah adalah kuasa tunggal yang semutlaknya dalam menentukan segala-gala.

Khatimah

Citra manusia dalam sejarah boleh berubah  kerana ini tertakluk kepada penafsiran semula dari masa ke masa berasaskan perspektif  dan sudut pandang yang berbeza dan berubah.  Pencitraan palsu oleh media propaganda politik tidak akan mampu bertahan lama kerana dasarnya bukan fakta dan kebenaran.      Apa yang selalu dipromosikan sebagai  “sejarah” seringkali berupa versi bikinan pemerintah yang didasari motif kepentingan.    Sejarah yang direkayasa seperti itulah yang selalu dipenuhi distorsi  sehingga menciptakan fenomena tragik  ramainya pahlawan yang tidak didendang. Tetapi akan sampai masanya,   sejarah bikinan seperti itu tidak  mampu berhadapan dengan sejarah tandingan yang berasaskan kejujuran ilmiah.     
       


KDH:27022016.

Thursday, February 11, 2016

DR SIDDIQ FADZIL: ANWAR IBRAHIM 365



Kita berhimpun bagi mengingati suatu babak dalam sejarah umat. Saya sendiri sangat terkesan dengan pemenjaraan Anwar Ibrahim.

Pada akhir usia ini, kita sentiasa terkenang kenikmatan Allah swt berikan selama ini dalam kehidupan. Di antara nikmat Allah swt yang sangat dihargai adalah ditakdirkan bertemu dan persahabatan dengan Anwar Ibrahim sejak tahun-tahun 60’an.

Sekiranya sekarang ditakdirkan tidak berjumpa Anwar Ibrahim lagi sebelum mati, kita ingin dirakamkan sesungguhnya jasa Anwar Ibrahim kepada diri saya sangat besar. Dia telah memperkenalkan harakah Islamiyyah. Kalau tidak bertemu, saya tidak akan menjadi seperti apa yang ada sekarang.

Oleh itu, mana mungkin saya berdiam diri apabila sahabat baik difitnah dan diaibkan serta dizalimi sebegitu rupa.

Sesiapa sahaja kalau mahu mengkritik pemikiran dan gagasan idea Anwar Ibrahim contohnya program Buku Jingga dan sebagainya, dipersilakan. Tetapi apabila memfitnah jahat, ini mesti ditentang!

Saya mengenali Anwar Ibrahim sejak 1966 sewaktu saya di Maktab Perguruan Lembah Pantai. Kami begitu akrab sekali. Tetapi nasib saya berbeda. Saya tidak pernah dipenjara dan saya menjadi malu. Mujur mungkin kerana saya tak tahan ditahan.

Saya tidaklah sekuat sahabat-sahabat lain jika dipenjarakan. Ini mungkin berkat kata orang tua-tua, “Pandai-pandailah menjaga diri. Jangan sampai terkurung atau tersepit. Kalau terkurung, biar di luar. Kalau tersepit, biar di atas.” (berseloroh)

Pemenjaraan Anwar Ibrahim adalah suatu kezaliman dan tindakan pengecut.  Dr M sebenarnya seorang pengecut. Seorang yang ahli dalam menggunakan kekuasaannya dan memperalatkan segala jentera kerajaan. Dia tidak berani berlawan secara anak jantan. Tidak berani berdepan dengan Anwar di gelanggang lalu dipenjarakan. Orang begini tidak wajar dihormati. Itulah diwarisi oleh pemimpin sekarang, seorang murid yang pandai menggunakan kuasa yang dipelajari daripada mahagurunya.

Mereka ini kelihatan gagah semasa berada di tampuk kuasa. Tetapi apabila kuasa tiada, anaknya sendiri pun tidak terdaya unutk berbuat apa-apa untuk membelanya.

Saya menghormati Anwar menjalani kehidupan di dalam penjara. Ibrah daripada kisah Nabi Yusuf a.s. dipenjarakan adalah nama kemasyhuran Nabi Yusuf a.s. kekal disebut-sebut sehingga kini tetapi nama-nama mereka yang memenjarakannya dilupakan orang.

Kehidupan penjara tidak asing bagi seorang pejuang. Mereka tidak gentar dengan penjara. Ibn Taimiyyah juga ada mengatakan: "Ketika aku dimasukkan ke dalam penjara dan sesaat kemudian para pengawal mengunci pintunya, aku seperti mendengar firman Allah Ta'ala:
(Ingatlah) semasa orang-orang munafik, lelaki dan perempuan (yang sedang meraba-raba dalam gelap-gelita pada hari kiamat), berkata kepada orang-orang yang beriman: “Tunggulah kami, biarlah kami mengambil sedikit dari cahaya kamu”. (Lalu) dikatakan (kepada mereka secara mengejek-ejek): “Baliklah kamu ke belakang, kemudian carilah cahaya (di sana)”, serta diadakanlah di antara mereka (yang beriman dan yang munafik itu) sebuah tembok yang mempunyai pintu, di sebelah dalamnya mengandungi rahmat (Syurga dan nikmat), dan di sebelah luarnya, dari situ terdapat (neraka) dan azab seksa. (Al-Hadid : 13)

Orang-orang munafik dan orang-orang mu’min dipisahkan oleh tembok. Di dalam penjara ada rahmah manakala di luar penjara tersiksa.

Daripada surat yang diutuskan oleh Anwar Ibrahim, saya dapat merasakan sesuatu nikmat yang dikecapi Anwar Ibrahim. Anwar berkata, “ Benar, saya diasingkan daripada orang tetapi saya merasa dekat dengan Allah swt.”

Allah swt berfirman di dalam surah al Nur: ‘’Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat …" (An-Nur : 19)

Oleh itu janganlah merasa sudah menang wahai pelaku kejahatan. Allah swt mungkin menangguhkan balasan dan hukuman. Mereka jangan sekali-kali merasa sudah menang. Yakinlah Allah swt menangguhkan keputusan hukumanNya kepada mereka yang melakukan kezaliman.

Hanya mereka tidak mengerti tentang tragedi yang melanda sejarah umat. Lim Guan Eng, seorang Non Muslim menangis apabila melihat Anwar Ibrahim dipenjarakan tetapi mereka yang pernah berusrah bersamanya bergembira apabila melihat Anwar di penjara. Guan Eng dapat merasakan betapa ruginya bangsa dan negara dengan terpenjaranya Anwar. Kalau kita tidak merasakan kerugiannya maka malanglah kita.

Buktikanlah kalau Anwar akan dilupakan oleh rakyat! Jawapannya, tidak mungkin.

Marilah kita menjawab kepada mereka yang memenjarakannya: “You are Wrong!” – Kamu salah!

Anwar Ibrahim bukan sekadar jasadnya. Bagaimana mungkin memenjarakan idea dan pemikiran Anwar Ibrahim. Oleh itu, marilah kita menyemarakkan pemikiran Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim seorang ilmuwan yang luar biasa. Keprihatinannya terhadap nasib rakyat termiskin merupakan perjuangan yang melayakkan dia diangkat sebagai pemimpin yang hebat, jika kita rujuk kepada buku Asian Drama – An Inquiry into the Poverty of Nations.

Saya belajar daripadanya untuk mengenali tokoh-tokoh pemikir. Anwar mengetahui apa yang dia bicarakan dan dia tahu apa yang dicakapkan tentang maqasid shariah. Apabila kita menyebut Dr Raysuni, Anwar sebut Ibn Ashur tentang maqasid shariah. Dia memahami pemikiran-pemikiran terkini. Oleh itu, jangan jadi seperti burung kakak tua yang hanya menyebut-nyebut ‘maqasid shariah’, menyebut sekadar apa yang orang lain sebut.

Anwar Ibrahim bukan sekadar membaca teks ucapan tetapi dia mengetahui apa yang dibacanya dan disampaikan.

Walaupun jasadnya di Sungai Buluh tetapi pemikirannya berada di merata-rata.

Kita merupakan organisasi yang paling kaya dengan pemikiran dan intelektualisme, maka laksanakan agenda perkembangan intelektual.

Apa tandanya anak jantan?

Anak jantan matinya di tengah gelanggang
Anak jantan tidurnya di puncak gelombang

Apa maknanya mati di gelanggang?

Maksudnya mati dalam keadaan berjuang dan melawan!



(Dr Siddiq Fadzil di Anjung Rahmat sempena Mengingati Satu Tahun Anwar Ibrahim di penjara)
(Disunting daripada catatan oleh sdr Fauzan dan sdr Sirajuddin)


Tuesday, February 9, 2016

ANWAR IBRAHIM 365



Ketika kali pertama kami bersua di hulu Sungai Bambu, saya diseliputi rasa hiba dan sayu. Hiba melihat wajah dan tubuhnya yang cengkung dan sesekali dia menahan sakit. Sayu kerana di balik tekanan dan mehnah yang menimpa diri dan keluarganya, dia masih menyambut saya dengan senyuman. Aneh sekali sosok peribadi ini, dia yang bertanya khabar saya dengan ramah sedang saya sudah bergenang air mata menahan rempuhan ombak air mata.

Begitulah pertemuan kami dari sehari ke bulan berikutnya. Saya menyaksikan sebuah madrasah tarbiyyah di hulu Sungai Bambu ini. Pasaknya telah disediakan seawal beliau menjadi Presiden ABIM dan memimpin sebuah harakah Islamiyyah belia yang terkemuka. Rupanya ujian keluar-masuk tirai besi oleh sang tirani ini adalah sebuah proses uzlah yang luar biasa. Dari usianya muda sehingga kini, ujian datang bertimpa dan ketika itulah beliau keluar masuk penjara hanya untuk membuktikan betapa korupnya moral dan kebankrapan akhlaq sang tirani.

Saya tidak berminat dengan kisah politiknya. Kerana di mata saya, kekuatan peribadinya adalah luar biasa. Barangkali jika kita yang biasa-biasa ini, sudah pasti akan gila jika dtindas begini. Namun, sekali lagi saya menyaksikan sosok tubuh yang hanya dipenjara jasadnya tetapi tidak jiwa dan pemikirannya.

Seorang rakan dari Indonesia pernah berpesan kepada saya bahawa Anwar Ibrahim tidak akan mati walau dibunuh berkali-kali. Ini kerana pemikirannya sangat hidup dan sangat dekat dengan ummat. Maka, sekalipun dia menghuni sel di balik jeriji besi, pemikirannya mesti ditulis dan dicatat agar sentiasa segar. Teman saya menceritakan bahawa sejarah kelahiran kitab Fiqhud Dakwah, titipan Almarhum Pak Natsir, Putera teragung dari Indonesia adalah hasil pemikiran Almarhum Pak Natsir yang dicatat oleh anak muridnya ketika beliau dipenjara. Wallahi, Fiqhud Dakwah bukan kitab biasa, ia sangat luar biasa. Ia mutiara penjara dan telah melahirkan ribuan kader dakwah!

Berkerut-kerut dahi saya mencatat nama-nama tokoh yang beliau sebut dan kitab-kitab tersohor yang beliau tekuni. Ada ketikanya saya “stress” yang amat kerana saya langsung tidak boleh mengeja nama penulis mahupun kitabnya. Sudahnya, saya dengan rasa malu dan rendah diri meminta beliau menulis nama penulis dan nama kitabnya. Tepuk dahi. Sedang apabila pulang ke rumah, saya melihat deretan buku dan penulis yang sama di kutubkhanah keluarga. Tepuk dahi dua kali.

Tahun lepas sahaja beliau telah membaca lebih 500 buah buku. Itulah perbezaan utama kepimpinan dan kapasiti intelektual beliau berbanding dengan pimpinan negara yang lain. Malah beliau juga menggunakan perkataan “mengunyah” ketika membuat deskripsi bahan bacaan yang beliau telah selesai pembacaannya secara tuntas. Apabila beliau selesai “mengunyah” buku bermakna kita harus bersedia untuk berdebat dengan beliau tentang jalur pemikiran penulisan atau doktrin yang dibahaskan.

Perjalanan intelektual beliau sangat mengkhayalkan. Tidak mustahil tempoh beruzlah ini beliau akan melepasi bilangan 500 buah buku setahun sedang Al Quran pun beliau mampu khatam dalam tempoh minima 3 hari sehingga sebulan.

Makalah Paulo Reglus Neves Freire sangat segar apabila beliau membicarakannya semula dalam konteks pendidikan dan kemiskinan. Diasuhnya juga saya agar menekuni semua, maksud saya semua tanpa kecuali penulisan Dr Yusuf Al Qaradhawi tanpa cuai. Maksud beliau jika saya membaca teks dalam Bahasa Melayu, saya mesti membaca bersama teksnya yang asal di dalam Bahasa Arab dan merentas ke Bahasa Inggeris. Bingung saya dibuatnya. Teks yang sama tetapi saya harus ulang baca dalam bahasa yang berbeda. Ketika itulah baru saya mengerti dari mana beliau menjana keupayaan intelektualnya dan kefasihan multi-bahasanya.

Disiplin dalam budaya ilmu ini tiada kompromi. Pernah seorang rakan usrah beliau mengkisahkan bahawa di dalam unit usrah, beliau adalah pencatat yang tekun dan tegar. Jika mahu apa yang dibincangkan di dalam usrah, maka lihatlah catatan beliau. Ketika itu juga, saya terasa empangan mata saya hangat ketika melihat catatan-catatan kuliyyah beliau di Sungai Bambu. Tulisannya sedikit bergetar barangkali menahan sakit akibat kecederaan bahunya yang tidak tertanggung. Tetapi enggan mengalah mencatat.

Catatan-catatan nota itu barangkali adalah sebuah tesis kedoktoran yang sifatnya akademik tetapi mempunyai ruh pejuang.

Ia hidup dalam anugerah intelektual dan daya ketahanann jiwa yang terisi dengan sebuah budaya keilmuan harakiyy yang sekian lama dibugar di madrasah tarbiyyah ini. Saya kerap serba salah apabila beliau menegur penulisan tesis PhD bapak saya. Kelihatannya dia mendesak. Dalam dunia ini, selain penyelia tesis bapak saya, hanya beliau dan Almarhum Professor Ahmad Ibrahim sahaja yang telah khatam membaca tesis PhD bapak saya itu. Maka beliau mengulas dari satu topik ke satu topik sehinggalah sekecil-kecil nota kaki tesis tersebut dan bapa saya akur dengan keilmuannya tanpa bahas. Aneh sekali. Bapak sering mengungkapkan, “He knows better” sambil mengingatkan bahawa setiap daripada kita ini berhutang dengan sosok ini.

365 ini adalah mantra yang padu kerana 365 juga saya belajar memaknai sebuah pengorbanan dan perjuangan. Barangkali 365 ini juga, sewajarnya beliau diangkat menjadi seorang mahaguru ummat yang sedang bertapa dan dijauhkan dari nista fitnah yang kita sahaja tahu betapa geringnya Negara kita ketika ini. Kita ketandusan pimpinan adiwira yang benar-benar memperjuangkan keadilan dan kebenaran.

365 telah genap kiraannya pada 10 haribulan Februari, 2016. Perjalanan intelektual dan kerohanian beliau serta jiwa daienya sangat gagah terpasak. Dhamir yang sangat mengasihani ummat terpancar di sanubarinya kerana bicaranya setiap kali dalam pertemuan kami adalah kepeduliannya terhadap kehidupan ummat yang kian ditekan sarat.

Usai 365, maka hari 366 adalah klimaks untuk menghentikan kebobrokan dan penindasan tirani. Membebaskan beliau tidak cukup dengan slogan-sloganan dan sentimental pidatonya. Ia mesti diisi dengan conviction yang padu dan keyakinan terhadap perjuangannya. Perjalanan intelektualnya mesti ditulis. Penolakannya yang keras terhadap rasuah dan kezaliman mesti diangkat. Akhlaqnya sebagai seorang daie ketika dihenyak tanpa belas dan difitnah secara terancang oleh konspirator keji mesti diperlihatkan. Kepimpinannya semenjak usia belia dan memimpin negara adalah catatan historikal yang anggun. Sejarah Malaysia akan kelam tanpa kelibat beliau dalam paparan sebenar dinamika kepimpinan negara.

365 adalah kesaksian kita semua bahawa menjadi penakut itu akan menjadi penyesalan yang sangat hina ketika mati. Sebagaimana yang diungkapkan oleh penyair ulung Rendra dalam puisinya “Kesaksian Bapak Saija”, “….Hidup tanpa daya, sebab daya ditindih ketakutan. Setiap hari seperti mati berulang kali…Sekarang setelah aku mati, baru aku menyadari bahawa ketakutanku membantu penindasan, Dan sikap tidak berdaya, menyuburkan ketidakadilan”.

Semoga beliau dipelihara Allah dan kembali dengan lebih sakti lagi.

Anwar Ibrahim, 365.



(Nukilan Fadhlina Sidek)

BEBASKAN ANWAR IBRAHIM



SIARAN MEDIA ABIM
9 Februari 2016

ABIM TUNTUT PEMBEBASAN ANWAR IBRAHIM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru rakyat Malaysia mengimbau semula pemenjaraan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang genap setahun pada 10 Februari 2016. Sesungguhnya peristiwa pemenjaraan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mantan Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Pembangkang merupakan peristiwa hitam yang tragis dalam sejarah politik dan perkembangan demokrasi negara yang kita cintai.

Anwar Ibrahim merupakan simbol dan lambang keberanian pemimpin yang sanggup mengambil segala risiko - hatta mengorbankan kebebasannya jasadnya - demi perjuangan membela hak rakyat dan menyanggah kezaliman elit pemerintah. Tampak semakin jelas, dalam situasi negara yang terus-terusan dilanda krisis kepimpinan dan integriti yang mencemar reputasi rakyat Malaysia seantero dunia, pemimpin berjiwa besar yang sanggup meletakkan kepentingan peribadi bagi menempuhi perit-jerih perjuangan bersama rakyat terbanyak semakin sukar dicari. Justeru amatlah malang; di kala negara memerlukan lonjakan gergasi untuk segera keluar dari kemelut sosio-politik dan ekonomi yang kian mencengkam, pemimpin pejuang rakyat yang komitmennya telah diuji dan kualiti kepimpinan telah diiktiraf di peringkat antarabangsa dibiarkan mendekam di penjara selama 5 tahun.  

Anwar Ibrahim - tanpa ragu - merupakan seorang tahanan politik yang dipenjarakan secara arbitrari, yakni pemenjaraan salah yang dilakukan tanpa bersandarkan bukti yang kukuh.   Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Working Group on Arbitrary Detention – UNWGAD) telah sebulat suara mendapati Anwar dipenjarakan secara haram, dan melanggar undang-undang antarabangsa melalui Pendapat No. 22/2015;  Pemenjaraan Saudara (Anwar) Ibrahim adalah arbitrari. . . mengambil kira semua hal dalam kes tersebut, Kumpulan Kerja ini berpendapat bahawa jalan untuk membetulkan keadaan adalah untuk membebaskan Saudara (Anwar) Ibrahim dengan serta merta, dan memastikan hak-hak politik beliau yang dirampas oleh kerana pemenjaraan beliau ini dikembalikan”.  
Pemenjaraan politik bukanlah sesuatu yang baru lagi menghairankan. Dalam apa pun nama sistem dan istilahnya dalam liku-liku sejarah peradaban manusiawi, hakikatnya tetap sama -  bahawa wujud insan-insan tidak berdosa sepanjang zaman yang dihumbankan di balik jeriji dek pertuduhan palsu yang menjengkelkan dan dakwaan memualkan!  Hanya segelintir yang buta sejarah berani menafikan betapa undang-undang telah disalahgunakan oleh pemegang tampuk kekuasaan untuk memenjarakan secara zalim seteru politik dan para penentang yang lantang memperjuangkan prinsip kebenaran dan keadilan. Demikianlah juga, hanya pemerintah yang telah tercabut rasa kemanusiaannya laksana Al Sisi dan Sheikh Haseena yang tega memekakkan telinga dan memejamkan mata dan terus-terusan membelenggu musuh politik sementelahan dikutuk masyarakat bertamadun seantero dunia.   
Walaupun demikian, ABIM berkeyakinan majoriti rakyat Malaysia masih punya ketinggian akalbudi, naluri kesedaran yang mendalam dan dhamir yang suci untuk mengakui hakikat bahawa Anwar Ibrahim merupakan mangsa politik keji  konspirator yang sanggup menggunakan apa sahaja helah bagi mengaibkan dan merampas hak kebebasan seteru yang tidak dapat ditundukkan dalam gelanggang politik demoktratik secara budiman, adil dan saksama.  Pertuduhan dan sabitan kesalahan seksual ke atas beliau melalui kerahan dan sebaran propaganda lucah yang diarusperdanakan buat tontonan umum telah meninggalkan warisan memori yang memalukan khususnya buat generasi muda negara.  
ABIM menilai bahawa seluruh episod serangan yang jijik terhadap peribadi DSAI telah membiakkan budaya fitnah dalam masyarakat dan menyuburkan amalan Qazaf - menuduh wanita dan lelaki yang baik berzina atau liwat tanpa mendatangkan 4 orang saksi - yang amat dibenci oleh ajaran agama. Bahkan sebaliknya, penekanan terhadap pemeliharaan maruah (hifz ‘ird) dan kemulian insaniah yang digariskan dalam objektif pensyariatan Islam telah dilanggar dengan wewenangnya dalam siri serangan propaganda terhadap beliau. Sahsiah peribadi dan komitmen keislaman Anwar Ibrahim, yang diiktiraf oleh ulama-ulama’ muktabar dan cendiakawan Islam di pelbagai belahan dunia dari usia mudanya sewaktu memimpin gerakan Islam sehinggalah saat dan tika ini telah tercalar dan tercemar dengan tuduhan Qazaf yang dipropagandakan di peringkat nasional.
Marilah kita bersama-sama merenung dan menghayati mesej penting Syekh Yusuf Qaradhawi dalam surat umumnya kepada seluruh rakyat Malaysia pada 27 Oktober 2014 sewaktu Dato Seri Anwar Ibrahim melalui fasa-fasa terakhir kes perbicaraan beliau di Mahkamah Persekutuan.
“Dalam kaitan inilah, Anwar Ibrahim adalah seorang pemimpin besar.Dengan jejak sejarah perjuangan dan pengalamannya, kesabaran, ketahanan dan kegigihannya sejak muda hingga sekarang, seharusnya beliau dihormati dan dilayani selayaknya, sesuai dengan perjuangannya, dan tidak wajar sama sekali beliau dilempari tuduhan-tuduhan palsu yang tidak berasas”
Bersempena genap setahun penahanan Dato Seri Anwar Ibrahim pada 10 Februari 2016, ABIM dengan ini menuntut agar Dato Seri Anwar Ibrahim dibebaskan segera  secara sah menurut saluran perundangan dan dibersihkan dari segala sabitannya melalui semakan kehakiman yang sedang diusahakan oleh barisan peguam beliau. Sementara proses tersebut berlangsung, beliau haruslah diberikan segala haknya sebagai tahanan politik yang dijamin di bawah perundangan antarabangsa termasuklah hak bagi mendapatkan rawatan berterusan menurut pilihannya bagi mengubati kesakitan dan kecederaan beliau yang kini telahpun berusia 68 tahun.  ABIM turut menuntut agar hak untuk bertemu dengan peguam-peguam beliau yang dijamin oleh peruntukan undang-undang diberikan sepenuhnya tanpa sekatan-sekatan politik dan birokratik yang menjejaskan akses beliau terhadap nasihat perundangan yang selayaknya. Keluarga Dato Seri Anwar Ibrahim juga haruslah diberikan akses sepenuhnya untuk bersua, bertemu mata dan berkomunikasi tanpa sebarang halangan dengan beliau sewaktu di penjara.
Akhir sekali, jika ada satu pengajaran penting yang perlu kita insafi dari peristiwa pemenjaraan insan bernama Anwar Ibrahim ialah beliau mengajar setiap daripada rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran dan keadilan untuk menjadi berani – berani menyatakan keberanan dan keadilan, dan berani menguasai ketakutan yang membelenggu diri dari menyatakan dengan penuh lantang bangkangan terhadapan kebatilan dan kezaliman. Inilah mesej penting pemimpin pejuang rakyat seperti yang diungkapkan oleh pejuang pembebasan apartheid Nelson Mandela “I learned that courage was not the absence of fear, but the triumph over it. The brave man in not he who does not feel afraid, but he who conquers that fear”. 

Jika takut pada risiko, jangan bicara soal perjuangan!



MOHAMAD RAIMI AB.RAHIM
Presiden


Thursday, February 4, 2016

al-Qaradawi: TINGGALKANLAH MESIR, AL SISI!


Pesan al-Qaradawi kepada As-Sisi dan kuncu-kuncunya “Tinggalkanlah Mesir”

التاريخ: 25 يناير2016
Tarikh: 25 Januari 2016


Dr Yusuf Qaradawi menyifatkan As-Sisi sebagai seorang munafik dan pendusta. Dia menyeru As-Sisi serta kuncu-kuncunya supaya meninggalkan Mesir demi rakyat negara itu.

Dr Yusuf Qaradawi menyampaikan ucapannya yang disiarkan pada petang Ahad bersempena peringatan kali kelima Revolusi 25 Januari Mesir. Dia menyifatkan Abdul Fattah as-Sisi sebagai Munafiq dan pendusta (Al-Munafiqul Kazzab). Dia secara tegas menuntut As-Sisi dan kuncu-kuncunya supaya meninggalkan Mesir dan menyeru kepada rakyat Mesir agar bangkit menentang kezaliman.

Dr Yusuf Qaradawi pada awalnya menyifatkan “Peringatan sempena Revolusi 25 Januari” adalah suatu perkara yang baik disambut manusia timur dan barat. Dia menambah, “Kita telah hidup sebelumnya dan selepasnya, dan kita telah melihat negara-negara arab bergolak berubah dan Segala Puji untuk Allah. Akan tetapi telah menjadi jelas kepada kita bahawa ummah ini tidak menguasai urusannya, kerana ada di sana kuasa terpendam yang juga berkepentingan ke atas urusan ini dan tidak suka ummah ini hidup dengan kestabilan dan kemuliaan. Kuasa ini juga tidak suka melihat ummah ini bebas menentukan bagi apa yang terbaik untuknya dan lepas melakukan apa yang mereka inginkan.”

Dia juga mengatakan, “Kita telah melihat negara ini (Mesir) dipandu ke arah haluan lain, dan kepada dunia lain walhal sepatutnya rakyat Mesirlah yang menentukan arah kehidupan mereka tanpa sebarang halangan ke atas mereka. Akan tetapi rampasan kuasa telah datang sekaligus mengubah kehidupan mereka keseluruhannya, menukar Mesir, nasib anak-anaknya dan hal-ehwalnya. Sedangkan Mesir telah diperjuangkan oleh kebangkitan yang suci. Dan kebangkitan ini telah diperjuangkan oleh pemuda-pemudinya, golongan tuanya, Islam dan Kristian. Setiap rakyat bangun memperjuangkan kebangkitan ini dan dengan kebangunan ini Mesir bergerak ke suatu arah.”

Dia turut mengatakan, “Rampasan kuasa yang kejam ini datang dan memusnahkan Mesir serta mensia-siakan apa yang telah dipertahankan oleh rakyatnya. Negara ini yang sebelumnya merdeka, namun kini rakyatnya tidak lagi boleh mengatakan ‘Ya atau Tidak’, dan tidak mampu untuk menentukan apa yang yang baik untuk diri sendiri.”

Shaykh Yusuf Qaradawi turut membantah, “Rampasan kuasa jahat dilakukan oleh Abdul Fattah as-Sisi, dia adalah seorang munafik dan pendusta dan talam dua muka serta mempunyai lidah bercabang (Al-munafiqul kazzab zul wajhain wa zul lisanain), dia telah menyumbat rakyat Mesir kesemuanya kepada keadaan malang sebelumnya. Dia telah menyentap hamparan dibawah  mereka dan mengheret mereka kepada kehidupan yang tiada padanya kebebasan bahkan tiada lagi sebarang denyutan.”

Presiden Kesatuan Uama Sedunia berkata lagi, “Setiap perkara di Mesir menjadi rosak dan buruk, akibat daripada revolusi balas (counter revolution) yang telah mencabut semua perihal Mesir, dan bertambahlah kesulitan dan kefasadan.”

“Justeru, apakah yang rakyat Mesir boleh lakukan?”

“Hendaklah mereka kembali beriman kepada Allah, dan iman itu membawa erti Ummah ini tidak mampu untuk bersabar keatas kezaliman dan fasad. Mesir mengalami kerugian berbilion Geneh Masri setiap hari.”

Al Qaradawi bertanya, “Kearah mana lagi mereka yang zalim ini mahukan rakyat Mesir pergi? Kearah destinasi gelap mana lagi? Adakah ada disana yang lebih gelap daripada apa yang dialami? Negara ini tidak tahu kemana lagi arah yang ia tuju, dan mereka yang menyertai dalam rampasan ini sedang membawa kita ke arah destinasi-destinasi yang bahaya dan membinasakan.”

“Mesir mempunyai ruang dan peluang bagi menjadi negara yang mulia setelah ketinggalan beberapa tahun yang lama, akan tetapi mereka yang zalim ini telah mensia-siakan peluang-peluang ini kesemuanya.”

Dr Yusuf Qaradawi turut menekankan bahawasanya Allah ta’ala tidak memberkati setiap amalan yang dilakukan oleh mereka yang melakukan rampasan kuasa ini, dan tiada kebaikan pada amalan mereka dan tidak memberi manfaat pada manusia.

Allah taala berfirman

"واستفتحوا وخاب كل جبار عنيد"،

Dan (rasul-rasul serta umatnya yang beriman) memohon pertolongan daripada Allah dan terkecewalah tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi bersikap degil.” (Ibrahim:15)


 وقال تعالى: "وعنت الوجوه للحي القيوم وقد خاب من حمل ظلما

Dan segala muka akan tunduk dengan berupa hina kepada Allah Yang Tetap Hidup lagi Yang Kekal Mentadbirkan makhluk selama-lamanya dan sesungguhnya telah rugi dan hampalah orang yang menanggung dosa kezaliman” (Ta Ha: 111)

Al Qaradawi berkata, “Bagi pembantu-pembantu As-Sisi yang zalim, Allah tidak akan membiarkan mereka selama-lamanya.  Allah ta’ala berfirman:-

Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, kami timpakan keatas mereka secara mengejut dengan bala bencana maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)”  (al-An’am: 44)

“Maka apakah yang dikehendaki oleh puak-puak rampasan kuasa ini untuk Mesir kita?”

Dr Yusuf Qaradawi menyeru kepada As-Sisi dan mereka yang bersama-samanya, “Aku katakan kepada kamu, ‘Tinggalkanlah Mesir’, kasihanilah negara ini, kasihanilah yang berada di bumi nescaya yang berada di langit akan mengasihanimu, tinggalkanlah Mesir kepada penduduknya. Biarkanlah negara ini berpegang kepada haknya dan bekerjasama sesama mereka.”

“Sesungguhnya sebarang kerjasama meskipun sedikit akan memberi faedah sesama mereka.” Rasulullah s.a.w. bersabda “Orang beriman itu dengan orang beriman yang lain seperti bangunan yang menyokong satu sama lain” dan baginda s.a.w. juga bersabda “Orang islam itu bersaudara.”

“Tidak mungkin akan datang daripada mereka yang zalim ini sebarang kebaikan untuk negara ini buat selama-lamanya. Hendaklah mereka meninggalkan mesir, wahai as-Sisi dan wahai orang yang bersama dengan as-Sisi serta juga mereka yang tidak bersama-sama tetapi mengidamkan manfaat dan kebaikan untuk diri sendiri serta mengabaikan sebarang kebaikan untuk negara.”

 “Ini bukanlah kebaikan, ini adalah keburukan dan jika disingkapkan sebaliknya juga keburukan, ianya kehinaan dan jika disingkapkan sebaliknya juga penghinaan, ia adalah Jahannam dan jika disingkapkan sebaliknya adalah azab Allah” ".

“Kita mahukan Mesir hidup merdeka, bahagia dan kuat. Dan wajib keatas kita mendoakan kerahmatan bagi kebangkitan ini. Mendoakan kerahmatan ke atas syuhada kebangkitan ini dan bilangan besar yang turut termasuk dalam golongan-golongan syuhada, yang gugur sebelum dan selepas ‘Raba’ah’. Ke atas setiap orang di kalangan mereka kita katakan ‘Semoga Allah redha akan mereka dan mereka redha akanNya’.’’

Syaikh Yusuf al Qaradawi turut mengingatkan, “Bersama kita ribuan orang telah syahid, ada gugur syahid, ada yang diculik daripada rumahnya lalu dikembalikan ke rumahnya dalam keadaan sudah dibunuh, ada yang ditangkap dan tidak diketahui ke mana mereka dibawa dan apa yang telah dilakukan kepada mereka. Dan ramai lagi yang tidak diketahui kemana mereka telah pergi. Hendaklah kita mengingati mereka dan mendoakan kerahmatan untuk mereka.”

Allah ta’ala berfirman:-

ولا تحسبن الذي قتلوا في سبيل الله أمواتا

dan janganlah kamu menyangka mereka yang dibunuh di jalan Allah sebagai mati” (Ali Imran: 169)

“Kita mendoakan kerahmatan ke atas para syuhada ini dan bilangan mereka bukanlah sedikit, dan ada di antara mereka yang terkorban di dalam penjara-penjara yang kejam. Mereka terkorban kerana tidak mendapat bantuan kecemasan, khidmat perubatan dan tidak mendapat makanan mahupun sesuap, ribuan yang terkorban. Kita doakan agar mereka mendapat rahmat, dan kita menantikan balasan Allah ta’ala. Penguasa yang zalim ini tidak mengambil peduli tentang orang yang sakit dan tidak menghindari orang yang merayu-rayu meminta pertolongan serta mereka yang merengkok di Penjara ‘Aqrab dan selainnya.”

“Hati-hati kami bersama saudara-saudari kita, anak-anak perempuan kita yang antaranya dirogol di beberapa kawasan, di dalam penjara dan di luar penjara. Mereka yang dirogol antaranya pelajar-pelajar al-Azhar dan pelajar-pelajar universiti. Pemuda pemudi dibunuh dan diseksa. Kami bersimpati ke atas keluarga mereka dan setiap kita merupakan ahli keluarga mereka yang terbunuh. Kami bersimpati kepada pemuda-pemuda yang ditamatkan pembelajaran mereka tanpa sebarang hak. Dan kami menyeru pemuda-pemuda di setiap pelusuk  agar tidak takut kepada sesiapa pun melainkan Allah, hendaklah mereka bangkit menentang kezaliman ini.”

Allah taala berfirman:-

الذي يبلغون رسالات الله ويخشونه ولا يخشون أحدا إلا الله

Orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah serta mereka takut melanggar perintahNya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan makhluk-makhluknNya untuk membalas mereka)” (al Ahzab: 39)
 
 “Wahai pemuda-pemuda Mesir, bangkitlah, dan janganlah kamu berputus asa. Janganlah kamu menyerah diri kepada mereka yang zalim. Mereka itu akan tunduk rebah di hadapan kamu insya Allah, dan kebenaran akan menang, dan kebenaran akan mengatasi kebatilan, dan keadilan akan mengalahkan kezaliman, dan kebaikan akan menewaskan kejahatan dan ini merupakan ketetapan Allah (sunnatullah).”

Allah ta’ala berfirman:-

Dia menurunkan air(hujan) dari langit lalu membanjiri tanah-tanah lembah menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk manfaat makhlukNya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi perumpamaan perbandingan tentang perkara yang benar dan salah. Adapun buih itu maka akan  hilang lenyaplah ia hanyut terbuang manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan” (al-Ra’d: 17)

“Allah s.w.t berkuasa untuk menolong kita tetapi dengan syarat kita hendaklah menolongNya. Dia tidak akan menolong kita jika kita tidak menolong agamaNya. Akan tetapi Allah akan bantu kita jika kita tolong agamaNya.”

Allah ta’ala berfirman:-

ولينصرن الله من ينصره إن الله قوي عزيز* الذين إن مكناهم في الأرض أقاموا الصلاة وآتوا الزكاة وأمروا بالمعروف ونهوا عن المنكر ولله عاقبة الأمور

“….dan Allah pasti menolong orang yang menolong agamaNya, sesungguhnya Allah maha Kuat lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah dibumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”  (al-Hajj: 40-41)

“Percayalah wahai saudara-saudara bahawa Allah bersama kamu dan tidak akan membiarkan kamu selama-lamanya. Aku memohon kepada orang Islam kesemuanya pada malam ini agar mereka berdoa kepada Allah yang Mulia, dan hendaklah mereka berdiri melakukan qiyam pada malam ini bagi yang mampu, melakukan solat subuh dan berdoa kepada Allah untuk menghukum orang yang zalim. Demi Allah tidak akan sesekali menjadi sia-sia doa-doa mereka  keatas orang yang zalim. Allahlah yang berupaya memakbulkan doa-doa ini.”

Shaykh Yusuf Qaradawi menutupkan ucapannya,

“Wahai Tuhan, musnahkanlah mereka yang zalim ini dengan azab yang dahsyat, dan janganlah kamu tinggalkan dari mereka walaupun sedikit.”