MENANGKAP HIKMAH DALAM DIALOG
QUR’ANI: YANG TERSURAT DAN TERSIRAT DALAM AYAT 57 – 73 SURAH TAHA
Siddiq Fadzil
Mukadimah
Apabila al-Qur’an disebut hakim
(...wa ‘l-Qur’ani ‘l-hakim) bererti ia adalah khazanah hikmah paling
kaya. Al-hikmah, termasuk hikmah Qur’aniah sebenarnya dapat dipelajari menerusi
tadabbur, perenungan yang serius dan berterusan dengan akal yang jenih
dan hati yang bersih. Al-hikmah ada pada setiap ayat, termasuk ayat-ayat dialog
yang memang banyak sekali terdapat dalam al-Qur’an. Demikian banyaknya sehingga
ada ulama yang menebutnya kitabu hiwar atau kitab dialog yang memuatkan
dialog antara pelbagai pihak: dialog Allah s.w.t. dengan para malaikat, dialog
Allah s.w.t. dengan iblis, dan dialog para nabi dengan Tuhan. Malah al-Qur’an
juga banyak memaparkan pemikiran yang bertentangan dengannya secara yang sangat
objektif, dan setelah itu dibahas berasaskan hujah dan keterangan. Banyaknya
ayat-ayat dialog diindikasikan oleh banyaknya kata qala (berkata) dan
kata-kata terbitannya yang berjumlah lebih 1700 patah kata. Apabila al-Qur’an
menyebut tujuan penciptaan manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku ialah untuk
saling mengenal (...lita`arafu), jelas tidak mungkin berlaku ta`aruf
tanpa dialog. Dengan demikian dialog adalah sebahagian daripada tujuan
penciptaan insan. Sebagai khalifah Allah, manusia melaksanakan misinya dengan
bahasa yang dipakai untuk dialog, kerana ia diamanahkan untuk menyebar dan
memartabatkan kalimatu ‘Llah.
Dialog Qur’ani (al-Hiwar
al-Qur’aniy)
Antara dialog menarik dalam
al-Qur’an ialah dialog tiga segi: Musa – Fir`aun – Tukang sihir dalam surah
Taha. Dialog ini terjadi berikutan kedatangan Musa dan Harun `a.s. menuntut
pembebasan Bani Isra’il dari penderaan dan cengkaman kekuasaan Fir`aun. Yang
tersirat dalam tuntutan tersebut ialah maksud untuk membina bangsa yang
merdeka. Musa dan Harun mendatangi Fir`aun atas sifat mereka sebagai utusan
Allah dengan bukti mukjizat (tongkat dan tangan). Demikianlah latar yang
menyebabkan Fir`aun melenting, “Dia (Fir`aun) berkata, ‘Apakah engkau
datang kepada kami untuk mengusir kami dari negeri kami dengan sihirmu, wahai
Musa?’ “ ayat 57. Demikianlah kata-kata Fir`aun yang tersurat. Tetapi
di balik kata-kata tersebut terungkap mentaliti para penguasa zalim, yang
sangat takut kehilangan kuasa. Apa pun tuntutan, apa pun perbezaan dan apa pun
gerakan pembaharuan, semuanya dianggap ancaman kepada kekuasaannya.
Gerakan yang membawa aliran
pemikiran yang berbeza harus ditumpaskan dengan menghancurkan punca-punca
kekuatannya seperti kekuatan ekonomi, kekuatan moral atau sebagainya. Dalam
konteks Nabi Musa, antara punca kekuatannya ialah mukjizat yang dipersepsikan
oleh Fir`aun sebagai “sihir”. Kerana itu yang ia ingin hancurkan ialah “sihir”
Nabi Musa. “Maka kami pun pasti akan mendatangkan sihir semacam itu
kepadamu, maka buatlah suatu perjanjian untuk pertemuan antara kami dan engkau
yang kami tidak akan menyalahinya dan tidak (pula) engkau, di suatu tempat
terbuka yang sesuai bagi kedua pihak.” - ayat 58. Demikian cabaran
Fir`aun kepada Musa a.s, untuk bertanding dengan tukang-tukang sihirnya di
suatu gelanggang terbuka yang letaknya
sama jauh (jaraknya) bagi kedua-dua pihak. Dengan tidak menyebut secara
spesifik tempat, hari dan waktunya, bererti dengan keangkuhannya ia mencabar
untuk bertanding di mana-mana dan bila-bila sahaja. Cabarannya segera disambut
oleh Musa `a.s. dan sekali gus menentukan hari dan waktunya, “Dia (Musa)
berkata ‘(Perjanjian) waktu (untuk pertemuan kami dengan kamu itu) ialah pada
hari raya dan hendaklah orang-orang dikumpulkan pada siang waktu dhuha.’ “
- ayat 59. Hari raya (yawmu ‘z-zinah) ialah hari kelepasan am, ketika
seluruh warga menghias diri dan berhimpun di lapangan. Waktu dhuha pula ialah
ketika matahari mula memancarkan sinarnya agar semua orang dapat menyaksikan
pertandingan itu dengan jelas di tengah benderang siang. Natijahnya nanti,
berita kemenangan yang hak mengalahkan yang batil akan tersebar ke seluruh
pelusuk negeri. Demikianlah terjadinya suatu yang luar biasa apabila golongan
minoriti (Musa dan Harun `a.s.) dapat membuat penentuan peristiwa besar dalam
pemerintahan otokratik yang menguasai segala-gala.
Fir`aun segera beredar untuk
mengatur strategi dan tipu daya bangaimana mengalahkan Musa `a.s., “Maka
Fir`aun meninggalkan (tempat itu), lalu mengatur tipu dayanya, kemudian dia
datang kembali (pada hari yang ditentukan).” - ayat 60. Dalam satu ayat
yang demikian singkat, terungkap pelbagai usaha persiapan Fir`aun untuk
menghadapi hari pertandingan yang telah disepakati. Usaha tersebut tentunya
meliputi pengerahan tenaga seluruh kaki tangan pentadbirannya, terutama para
penasihatnya dan utusan-utusannya untuk menghimpunkan tukang-tukang sihir yang
berserakan di seluruh negeri. Setelah itu ialah membinaan semangat dan daya
lawan tukang-tukang sihir yang telah berhimpun, serta tawaran hadian lumayan
jika mereka menang. Setelah segalanya siap, Fir`aun bersama seluruh pendukung-pendukungnya
datang ke lokasi pertandingan.
Sebelum pertandingan dimulakan,
Musa `a.s. mengingatkan tukang-tukang sihir yang hadir tentang akibat buruk
tindakan mereka melawan kebenaran dari Tuhan, “Musa berkata kepada mereka
(para pesihir) ‘Celakalah kamu! Janganlah kamu mengada-adakan kebohongan
terhadap Allah, nanti Dia membinasakan kamu dengan azab’. Dan sungguh rugi
orang yang mengada-adakan kebohongan.”. - ayat 61. Amaran dan nasihat
Musa `a.s. yang terbit dari iman dan keikhlasan itu ternyata telah menggoyahkan
tekad para tukang sihir Fir`aun sehingga mereka bersengketa sesama sendiri dan
terpaksa mengadakan perundingan sulit, “Maka mereka berbantah-bantah
tentang urusan mereka dan mereka merahsiakan percakapan (mereka).” -
ayat 62. Setelah saling membangkitkan semangat sesama mereka, akhirnya mereka
kembali sepakat untuk melawan. Mereka mesti melawan dan mesti menang, tidak
boleh kalah. Ini adalah pertandingan hidup-mati. Kalah bererti mereka dan sihir
mereka tidak akan laku lagi. Orang akan meninggalkan mereka, dan semuanya akan
menumpu pada Musa.
Mereka sepakat mempertahankan Fir`aun, sistem
pemerintahannya dan seluruh budaya hidupnya, “Mereka (para pesihir)
berkata ‘Sesungguhnya dua orang ini adalah pesihir yang hendak mengusirmu dari
negerimu dengan sihir mereka berdua, dan hendak melenyapkan adat budayamu yang unggul.’
“ - ayat 63. Tuduhan konon Musa dan Harun `a.s. bercita-cita mengusir mereka
dari negeri kediaman mereka memang sengaja dibesar-besarkan untuk membangkitkan
kemarahan orang ramai. Demikian juga tuduhan bahawa mereka berdua akan
menghapuskan segala adat budaya warisan mereka. Semua bangsa berbangga dengan
adat budaya mereka. Rasa bangga itulah yang dieksploitasi agar mereka melawan
Musa dan Harun `a.s.
Tukang-tukang sihir itu telah siap
dengan segala tipu daya sihir masing-masing dan tampil dengan gaya yang
memperlihatkan kehebatan, “Maka kumpulkanlah segala tipu daya (sihir)
kamu, kemudian datanglah dengan berbaris, dan sungguh beruntung orang yang
menang pada hari ini.” - ayat 64. Ayat ini adalah kata-kata
tukang-tukang sihir sesama mereka agar masing-masing menggunakan segala
kemampuan (sihir) yang mereka miliki. Tampil ke gelanggang dalam perbarisan
adalah untuk memberikan kesan kehebatan yang boleh menggentarkan lawan agar
terganggu konsentrasinya. Pertandingan bermula dengan pihak tukang-tukang sihir
menawarkan pilihan kepada Musa, siapa yang hendak memulakannya, “ Mereka
berkata, ‘Wahai Musa! Apakah engkau yang melemparkan (dahulu) atau kami yang
lebih dahulu melemparkan?’ “ - ayat 65. Kata-kata tersebut terasa lunak
dan beradab. Mungkin memang begitu bahasa yang standard dalam pertandingan
sihir zaman itu. Tafsiran lain menyebut bahawa ungkapannya memang lunak dan
beradab, tetapi isinya adalah suatu cabaran yang angkuh.
“Dia (Musa) berkata,
‘Silakan kamu melemparkan! Maka tiba-tiba tali-tali dan tongkat-tongkat
terbayang olehnya (Musa) seakan-akan ia merayap cepat, kerana sihir mereka.’ “
- ayat 66. Tampaknya semua berlaku dengan cepat, mendadak dan mengejutkan.
Semua tali dan tongkat tukang-tukang sihir itu tiba-tiba menjadi ular-ular yang
liar dan buas. Segala yang tampak di sana memang dahsyat dan menyeramkan kerana
ia adalah puncak kehebatan segala sihir yang ada di Mesir ketika itu. Memang
luar biasa, sehingga menimbulkan sedikit rasa takut di hati Musa `a.s., “Maka
Musa merasa takut dalam hatinya.” - ayat 67. Rasa takut dalam hati bererti
rasa yang tidak kelihatan pada zahirnya. Yang ditakuti ialah andainya Tuhan
memberikan kemenangan kepada mereka sebagai istidraj walaupun seketika, yang
akhirnya mereka tetap akan kalah. Rasa takut yang dialami oleh Musa `a.s.
ketika itu samalah seperti yang dirasakan oleh Nabi Muhammad s.`a.w. ketika
menghadapi perang Badar sehingga Junjungan s.`a.w. bermunajat, “Andainya
kaum Muslimin kalah, maka tidak ada lagi orang yang akan menyembah-Mu ya
Allah.”. Tafsiran lain menyebut bahawa rasa takut dalam suasana sedemikian
adalah suatu yang manusiawi. Keadaan yang memang menakutkan, ditambah dengan
gemuruh sorakan penyokong-penyokong Fir`aun yang menyangka mereka akan menang,
menyebabkan Musa `a.s. lupa sesaat bahawa Allah bersamanya - mendengar dan
menyaksikan. Kerana itu Tuhan segera mengingatkannya, “Kami berfirman,
‘Jangan takut! Sungguh engkaulah yang unggul (menang)’“ - ayat 68.
“ Dan lemparkan apa yang
ada di tangan kananmu, nescaya ia akan menelan apa yang mereka buat. Apa yang
mereka buat itu hanyalah tipu daya pesihir (belaka). Dan tidak akan menang
pesihir itu, dari mana pun ia datang. “ - ayat 69. Tidak terbayang
perubahan suasana yang berlaku di gelanggang pertandingan apabila tongkat mukjizat Musa `a.s. menelan dan melahap
ular-ular tukang sihir itu satu demi satu. Ketika semua orang terpegun
menyaksikan apa yang berlaku, tiba-tiba mereka dikejutkan oleh tindakan
dramatik tukang-tukang sihir yang sujud sambil menyatakan iman mereka kepada
Allah, “ Lalu para pesihir itu merunduk bersujud, seraya berkata, ‘Kami
telah beriman kepada Tuhan Harun dan Musa.’” - ayat 70. Mereka
menyedari hakikat yang mereka lawan bukan sihir, tetapi kuasa Tuhan. Sebagai
orang-orang yang benar-benar ahli dalam ilmu sihir, mereka tahu batas jangkauan
sihir. Yang mereka lawan tadi memang jelas di luar jangkauan sihir. Kerana itu
mereka beriman dengan Tuhan Musa dan Harun. Mereka menyebut Allah dengan cara
demikian kerana konsep Allah belum difahami secara meluas ketika itu. Mungkin
sekali keputusan untuk beriman itu ada kaitannya dengan peringatan Musa `a,s.
Ketika pertandingan hendak dimulakan tadi. Yang jelas ia adalah kuasa Allah
yang boleh memberikan sentuhan iman kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Tuhan
adalah muqallib al-qulub, Maha Kuasa membolak-balikkan hati manusia. Tetapi
hakikat inilah yang tidak difahami oleh Fir`aun.
Dengan itu bermulalah dialog
Fir`aun dengan tukang-tukang sihir. “ Dia (Fir`aun) berkata, ‘Apakah kamu
telah beriman kepadanya (Musa) sebelum aku memberi izin kepadamu? Sesungguhnya
dia itu pemimpinmu yang mengajarkan sihir kepadamu. Maka sungguh, akan aku potong
tangan dan kakimu secara bersilang, dan sungguh akan aku salib kamu pada
pangkal pohon kurma dan sungguh, kamu pasti akan mengetahui siapa di antara
kita yang lebih pedih dan lebih kekal siksaannya.’ “ - ayat 71.
Keputusan pertandingan dengan Musa sudah muktamad. Musa menang, Fir`aun kalah.
Fir`aun marah sekali, tetapi kemarahannya disasarkan kepada tukang-tukang sihir
atas alasan beriman sebelum mendapat keizinannya. Seolah-olah ia akan
mengizinkan jika mereka memohonnya lebih dahulu. Fir`aun tetap tidak menerima
hakikat bahawa yang dimiliki oleh Musa adalah mukjizat, bukan sihir, lalu
menuduh Musa sebagai guru besar sihir dan tukang-tukang sihirnya adalah
murid-muridnya. Apa yang berlaku dalam pertandingan hari itu, menurutnya adalah
persekongkolan guru dengan murid-muridnya. Kemarahan yang sudah tidak terkawal
lagi menyebabkan Fir`aun mengancam akan menyiksa tukang-tukang sihirnya dengan
cara yang sangat mengerikan. Fir`aun tidak menyangka bahawa tukang-tukang
sihirnya berani menjawab kata-katanya. Perubahan mendadak, keberanian yang tiba-tiba,
itulah jelmaan the power of iman yang tidak difahami oleh Fir`aun.
“ Mereka (para pesihir)
berkata, ‘ Kami tidak akan memilih (tunduk) kepadamu atas bukti-bukti nyata
(mukjizat), yang telah datang kepada kami dan atas (Allah) yang menciptakan
kami. Maka putuskanlah yang hendak engkau putuskan. Sesungguhnya engkau hanya
dapat memutuskan pada kehidupan di dunia ini.’ “ - ayat 72. Iman yang
telah menyerap ke dasar hati akan menciptakan transformasi diri menjadi kuat,
tabah dan berani. Hikmat al-iman itulah hakikat di sebalik keberanian
tukang-tukang sihir menolak Fir`aun dan meremehkan ancamannya. Mereka tidak
merayu agar dilepaskan dari hukuman, tidak juga meminta keringanan, sebaliknya
menyerahkan kepada Fir`aun apa yang ingin ia lakukan. Mereka tahu batas kuasa
Fir`aun yang hanya selama hidup duniawi, dan berapa lamalah yang namanya
al-hayat al-dunya itu.
“ Kami benar-benar telah
beriman kepada Tuhan kami, agar Dia mengampuni kesalahan-kesalahan kami dan
sihir yang telah engkau paksakan kepada kami. Dan Allah lebih baik (pahala-Nya)
dan lebih kekal (azab-Nya).’ “ - ayat 73. Demikianlah yang namanya
orang beriman, mereka menginsafi dosa-dosa yang telah dilakukan. Menggunakan
sihir untuk menafikan mukjizat dari Allah adalah dosa, walaupun dipaksa (oleh
Fir`aun). Ungkapan “Dan Allah lebih baik (pahala-Nya) dan lebih kekal
(azab-Nya) “ adalah jawapan yang tepat kepada kata-kata Fir`aun, “ ...kamu
pasti akan mengetahui siapa di antara kita yang lebih pedih dan lebih kekal
siksaannya.”
Khatimah
Hikmah dalam pelbagai
pengertiannya terserlah dalam dialog-dialog yang terakam dalam ayat-ayat di
atas. Hikmah dalam erti kebijaksanaan dapat ditemukan pada Nabi Musa `a.s.,
juga pada tukang-tukang sihir setelah beriman. Hikmah dalam pengertian rahsia
di sebalik sesuatu seperti iman (hikmat al-iman) juga terdapat pada
tukang-tukang sihir tersebut. Selain itu hikmah dalam erti hakikat yang
tersirat di balik yang tersurat juga terdapat pada ayat-ayat tersebut. Mungkin
banyak lagi hikmah yang boleh ditangkap dengan tadabbur yang lebih
mendalam.
Rujukan
Al-Zuhayliy, Wahbah. 1991.
Al-Tafsir al-Munir. Juz. 15-16. Beirut: Dar al-Fikr alMu`asir.
Departemen Agama RI. 2005.
Al-Hikmah: Al-Qur’an dan Terjemahannya. Bandung: Deponegoro.
Ibn `Ashur, Muhammad al-Tahir.
T.t. Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir. Jil. 7. Tunis: Dar Sahnun.
Mahjub, `Abbas. 2006. Al-Hikmah
wa al-Hiwar: `Ilaqah Tabaduliyyah. `Amman: Jidaran li al- Kitab al-`Alamiy.
Qutb, Sayyid. T.t. Fi Zilal
al-Qur’an. Jil.5.
Yusuf Ali. A. 1983. The Holy
Qur’an: Text, Translation and Commentary. Maryland: Amana Corp.