MEMPERTEGUH TEKAD
PERJUANGAN, MELAKAR HARAPAN MASA DEPAN - MOHAMAD RAIMI AB RAHIM,
PRESIDEN ABIM
Yang Dihormati Profesor
Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman,
Pengerusi Majlis Syura
Kebangsaan Yang Dikasihi Dato’ Profesor Dr. Siddiq Fadzil, Ketua Majlis
Istisyari Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
Yang Berbahagia Tuan Haji
Ahmad Azam Ab.Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
Yang Berusaha Saudara
Muhammad Khir Sujud, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
(PKPIM)
Yang dimuliakan
tetamu-tetamu kehormat,
Ahli-ahli Majlis Syura
Kebangsaan (MSK),
Ahli-ahli Majlis
Perundingan Kebangsaan ABIM (MPKA),
Teman-teman seperjuangan;
Saf Pimpinan dan Ahli
Jawatankuasa Kerja ABIM peringkat Pusat,
Negeri dan Daerah,
Ketua-ketua Agensi ABIM dan kaum kerabat besar pendukung Wadah-ABIM-PKPIM,
Para Petugas dan Penggerak
Seminar dan Muktamar Kali Ke-46 ABIM,
Muktamirin dan Muktamirat,
perserta Seminar Masa Depan Kebangkitan Islam yang dirahmati Allah sekalian,
Assalamu’alaykum
warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah,
setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi yang telah
menganugerahkan kepada kita kekuatan untuk berkumpul, bagi menunaikan
tanggungjawab kita sebagai ahli gerakan yang komited dengan perjuangan. Begitu
pantas masa berlalu, kita kini berada di ambang tahun baru 1439 Hijrah dan
telah meninggalkan tahun 1438 Hijrah. Bersempena sambutan 45 Tahun ABIM dalam
muktamar yang lalu, kita telah meluncurkan agenda kebangkitan gerakan melalui
Ucapan Dasar bertajuk ‘Mengemudi Gelombang Nahdah, Memartabatkan Khayra Ummah’.
Pada muktamar kali ini, kami akan mengungkapkan halatuju gerakan ABIM melalui
Ucapan Dasar yang bertajuk ‘Memperteguh Tekad Perjuangan, Melakar Harapan Masa
Depan’.
Kita juga amat berbahagia
kerana pada kali ini, kita berhimpun buat kesekian kalinya dalam Ijtimak
Harakiy ke-5 dan bersempena dengannya, dilangsungkan Seminar Politik Islam dan
Demokrasi. Insya Allah kami akan menggariskan halatuju, pendirian dan peranan
gerakan ini dalam mendepani cabaran masakini sesuai dengan semangat zaman hari
ini.
Sebagai awwal al
khutwah, marilah kita bersama-sama memulakan muktamar ini dengan
memperteguhkan kembali dhamir dan keyakinan diri yang paling mendalam terhadap
garis-garis besar perjuangan sebagai sebuah harakah Islamiyyah.
Muhasabah Gerakan
Muktamirin dan Muktamirat
yang dikasihi,
Telah kita tinggalkan
muktamar yang lalu berbekalkan pesan ruhaniyyah yang terkandung lewat Surah al
Muzzammil. Kita pulang dengan keteguhan iltizam dan tekad yang padu untuk
mempersiapkan generasi penggerak kebangkitan baru dakwah ini dengan tarbiyyah kejiwaan
melalui amalan qiyamullail, dhikrul’lLah dan kesabaran. Sebagai tarbiyyah
harakiah, ia membawa implikasi bahawa amalan bangkit pada malam hari –
Qiyamullail; bukanlah sekadar dilaksanakan ketika tamrin atau program secara
musim-musiman semata-mata.
Bahkan, latihan pengukuhan
dan bekal kejiwaan ini haruslah menjadi sebati dan membudaya serta dipraktikan
kehidupan harian yang tidak terpisah dari para dai’e dan keluarga warga Jamaah.
Memetik pesan Dr Majdi al Hilali dalam karyanya Suwar Marfudhah Ihdzarha
Akhi Ad-Daíyah; para dai’e tidak punya pilihan, melainkan menjadi ruhban
al Lail di malam mempersiap bekalan ruhaniyyah, bagi melaksanakan dengan
baik beban dakwah di siang harinya;
“Tidak ada alasan bagi
setiap kita untuk tidak bangun malam, meski terdapat beribu-ribu beban dan
kesibukan-kesibukan, ada pun kesibukan itu tidak bisa melebihi kesibukan
Junjungan Rasulullah SAW yang merupakan pemimpin negara dan panglima perang.
Baginda menuntaskan permasalahan yang ada, mengkaji segala permasalahan umat
dan memberi nasihat serta mau’izhah buat mereka. Namun di sebalik semua
itu, Rasulullah tidak pernah meninggalkan bangun malam meskipun untuk sehari.
Demikianlah halnya dengan para sahabat Rasulullah, mereka tidak pernah
meninggalkan bangun malam.”
Hari ini, kita hadir
sekali lagi setelah setahun berlalu untuk bermuhasabah setulusnya– pada tahap
manakah prestasi kita secara fardhiah sekaligus jama’iyy, dalam
menghidupkan amal kerohanian yang menjadi salahsatu daripada tonggak Budaya
ABIM. Perlu kita pertegaskan di kesempatan penting bermuktamar ini, bahawa
gerakan ABIM sentiasa memberikan perhatian yang mendalam dan peringatan yang
konsisten, terhadap kepentingan dimensi ruhaniyyah dan spiritual ini bagi
setiap lapisan pimpinan serta ahlinya. Sebagai pewaris perjuangan dan pelanjut
risalah Ar Rasul S.A.W bagi meneruskan misi abadi dakwah dan Islah -- tidak
dapat tidak; kita harus melalui skima latihan dan mengikuti jejak yang telah
dirintis Baginda SAW dan generasi al Quran yang unggul (jil al Quraniy farid).
Imam Malik r.a telah mengungkapkan kaedah ini menerusi kata-katanya yang
masyhur; “Orang yang terkemudian dari umat ini, sekali-kali tidak akan dapat
diperbaiki, kecuali dengan cara yang sama yang telah digunakan, untuk
memperbaiki generasi umat terdahulu”.
Justeru, marilah kita
bersama-sama memulakan muktamar kali ini dengan satu bentuk peneguhan semula
terhadap amanah dakwah yang dipikul – bahawa kerja dakwah ini memerlukan kepada
keikhlasan yang semurninya kepada Allah SWT tanpa mengharapkan upah, imbalan
dan ganjaran duniawi. Zaman apa pun tidak akan mengubah prinsip dakwah para
anbiya’ dan mursalin ini, seperti yang diseru secara konsisten dan berulang
oleh para anbiya dalam Al-Qur’an:
وَيَا قَوْمِ لَا أَسْأَلُكُمْ
عَلَيْهِ مَالًا ۖ إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَى اللَّهِ
“Dan wahai kaumku! Aku
tidak meminta kepada kamu sebarang harta benda sebagai upah menyampaikan
ajaranku, upahku hanyalah daripada Allah semata-mata.” (Hud: 29)
Menurut Tafsir al Munir,
ungkapan kata-kata seperti ini sering diutarakan secara berulang-ulang oleh
para Nabi lain setelah Nuh, seperti Hud, Soleh, Syu’aib dan Muhammad S.A.W
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak
meminta kepada kamu sebarang upah atas penyampaian risalah ini, kecuali kasih
sayang (kamu terhadapku) disebabkan pertalian kekeluargaan.”
Inilah mesej penting yang
disebut dalam al Qur’an, bahawa para anbiya’ itu tidak mengharapkan apa-apa
ganjaran dari hasil usaha dakwah mereka, melainkan daripada Allah SWT
semata-mata. Dan prinsip serta sikap ini bukan hanya eksklusif kepada para
anbiya sahaja. Inilah yang difahami dan dicontohi para sahabat seperti Amirul
Mukminin Sayyidina Abu Bakr as Siddiq, tatkala mengungkapkan bahawa beliau
hanyalah seorang pekerja yang berkhidmat untuk umat tanpa mengharapkan balasan
dan ganjaran- “Inni ajri ummat al muslimin.”
Soal pembersihan dan
pengukuhan jiwa melalui keikhlasan perlu kita titik beratkan, kerana ternyata
melalui sirah, bahawa generasi sahabat yang mendapat tarbiyyah langsung
daripada Rasulullah sendiri pun, tidak terlepas dari terhimbau dengan ganjaran
keduniaan berupa ghanimah, tatkala diuji dalam perang Uhud. Peringatan penting
ini dicatat melalui firman Allah SWT di dalam surah Ali ‘Imran 152:
مِنْكُمْ مَنْ يُرِيدُ الدُّنْيَا
وَمِنْكُمْ مَنْ يُرِيدُ الْآخِرَةَ
“Antara kamu ada yang
menghendaki keuntungan dunia sematamata, dan antara kamu ada yang menghendaki
akhirat.” Abdullah Ibnu Mas’ud menyebut perihal ayat ini. “Kami tidak
mengetahui ada yang mencintai dunia sehinggalah turunnya ayat ini.”
Ayat yang
berlatarbelakangkan tragedi dalam Perang Uhud ini merupakan peringatan penting
kepada semua penggalas amanah dakwah dan pejuang agama Islam, untuk memperkukuh
persiapan kejiwaan dengan menanamkan keikhlasan berjuang semata-mata kerana
Allah, dan bukannya mengejar habuan duniawi. Sepertimana yang terjadi kepada
sebahagian kumpulan pemanah sewaktu dalam Perang Uhud tersebut, kealpaan dan
kesambil-lewaan kita memandang enteng dimensi Rabbaniyyah ini, bakal mengundang
padah yang merugikan dan menggagalkan perjuangan ini! Inilah pengajaran penting
ayat ini dari sudut hukum dan fiqh kehidupan seperti yang disimpulkan oleh
Syeikh Wahbah Zuhaily:
“Allah SWT Maha benar
janji-Nya untuk menolong kaum Muslimin selama mana mereka berada di atas
kebenaran, dan ketika berada di medan pertempuran, mereka berjihad dengan
bersungguh-sungguh, sabar, taat dan bersatu teguh. Adapun sikap pengecut,
takut, lemah, bercerai-berai, perselisihan dan ketamakan kepada dunia adalah
sebab kehinaan dan kekalahan”. (Tafsir al Munir)
Dalam nada yang sama, Syed
Qutb memberikan peringatan penting seperti berikut:
“Hati mereka telah
berbelah bahagi dan tidak lagi berpadu dalam satu barisan dan tidak lagi
mempunyai matlamat yang satu. Perasaan tamak haloba telah mencemari kebersihan
keikhlasan dan dedikasi yang perlu di dalam perjuangan ‘aqidah, kerana
perjuangan ‘aqidah bukan seperti perjuangan-perjuangan yang lain. Ia adalah
perjuangan di medan hati. Dan kemenangan tidak dapat dicapai di medan
pertempuran sebelum ia dicapai di dalam perjuangan di medan hati. Ia adalah
perjuangan kerana Allah dan Allah tidak memberi pertolongan di dalam perjuangan
itu melainkan kepada perjuangan-perjuangan yang benar-benar ikhlas kepada-Nya…
Kadang-kadang pejuang kebatilan yang terang-terang mengibarkan panji-panji
kebatilan dalam setengah-setengah perjuangan telah mendapat kemenangan kerana
sesuatu hikmat yang diketahui Allah, tetapi pejuang-pejuang yang mengangkat
panji-panji ‘aqidah tetapi berjuang tanpa ikhlas kepada-Nya tidak akan
dikurniakan Allah pertolongan kemenangan buat selama-lamanya sehingga mereka
diuji dan lulus dalam ujian itu. Inilah maksud yang mahu dijelaskan oleh
al-Qur’an kepada kaum Muslimin melalui ayat yang menyebut keadaan mereka dalam
Peperangan Uhud itu.” (Tafsir Fi Zilal, Ali Imran: 152).
Inilah pra-syarat
perjuangan para anbiya dan solihin sepanjang zaman, yang perlu dihayati dan
dijadikan peringatan dari semasa ke semasa, dalam wadah yang kita cintai ini.
Bekal persiapan kejiwaan yang mantap inilah yang akan memberikan daya tahan dan
daya juang, mendepani mehnah dan tribulasi di medan dakwah dan perjuangan menyampaikan
kebenaran Risalah. Namun, adalah menjadi jatidiri ABIM sedari awal
penubuhannya, bahawa kita bukanlah gerakan rahbaniyyah yang tenggelam dalam kelazatan
dunia ruhaniyyah semata-mata, lalu mengasingkan diri untuk mendepani
permasalahan duniawi sebagai juru Islah, fenomena yang disinggung oleh Maulana
Abul Hasan an Nadwi dalam karyanya, ‘Rabbaniyyah La Rahbaniyyah’.
Bahkan sebaliknya, seperti
yang dihuraikan oleh Sa’id Hawwa lewat karyanya, ‘Kai Numdi ba’idan ‘an
ittiyajadana al ‘asr’ (Agar kita tidak lari jauh daripada kehendak-kehendak
semasa pada zaman kita). Penggerak harakah seharusnya berperanan sebagai
kelompok rabbaniyyah yang arif tentang semangat zamannya serta berada di
tengah-tengah kemelut duniawi, bagi menyampaikan amanatu’d da’wah, iaitu
melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan mendidik umat, sesuai dengan
keperluan zamannya.
KRISIS GLOBAL
الم
غُلِبَتِ الرُّومُ
فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُمْ مِنْ
بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ
ي بِضْعِ سِنِينَ ۗ لِلَّهِ الْأَمْرُ
مِنْ قَبْلُ وَمِنْ بَعْدُ ۚ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ
بِنَصْرِ اللَّهِ ۚ يَنْصُرُ مَنْ
يَشَاءُ ۖ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ
وَعْدَ اللَّهِ ۖ لَا يُخْلِفُ اللَّهُ
وَعْدَهُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
“Alif Lam Mim. Telah
dikalahkan bangsa Romawi di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan
itu akan menang dalam beberapa tahun (lagi). Bagi Allah-lah urusan
sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan di hari (kemenangan
bangsa Romawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman, karena
pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Dialah Yang
Maha Perkasa lagi Maha Penyayang, (sebagai) janji yang
sebenar-benarnya dari Allah.”
(Surah ar Rum: 1-6).
Dalam muktamar yang lalu,
kita telah menyentuh secara mendalam beberapa trend sekaligus dampak geopolitik
dunia kontemporari, yang dicirikan oleh Revolusi Perindustrian 4.0, revolusi
sosial dan kebangkitan kuasa baru. Ternyata, dalam dunia hyperconnectivity,
segalanya terus bergerak pantas, terlalu pantas sehingga manusia zaman ini seringkali dicirikan oleh kepantasan
tindakan refleksinya, terhadap suasana persekitaran. Dalam banyak keadaan,
manusia seolah-olah tidak punya banyak masa dan ruang, untuk melakukan
kontemplasi dan retrospeksi diri, lantaran dipaksa untuk membuat keputusan
segera dan terburu-buru.
Dalam Age of
Accelaration, speed is everything. Dalam era digital dan gajet yang serba
pantas, nilai humanistik seperti kesabaran dan semakin pudar nilainya. Manusia
boleh hilang sabar hanya kerana kelembapan data jalur lebar di ruang awam. Anak
kecil sering memberontak dek kerana siri animasi kegemarannya, gagal dimuat
turun. Di sebalik kepantasan dunia hiper realiti ini, Thomas L. Friedman,
seperti yang dituangkan lewat karyanya Thank You for Being Late,
menyimpulkan bahawa manusia hari ini – baik secara individu atau bermasyarakat;
sebenarnya memerlukan lebih ruang dan masa untuk berfikir dan melakukan
refleksi diri, terhadap persekitarannya dan setiap keputusan-keputusan penting
yang dibuat di dalam kehidupan.
Dalam era ketangkasan
globalisasi dan teknologi, berlaku ketidakseimbangan dalam kadar adaptasi
majoriti manusia di pelbagai luahan dunia. Ia jelas memanfaatkan hanya
segelintir kecil manusia yang mampu untuk adapt dan respon terhadap
kepantasan tersebut, sementelahan majoriti yang lain gagal untuk beradaptasi,
lantas terus jauh terpinggir dan tersisih, dalam jurang kesenjangan dan
kemiskinan.
Di sebalik segelintir
kisah-kisah kejayaan para CEO, enterprenuer dan innovator era Revolusi Industri
4.0 yang seringkali dipaparkan menerusi majalah korporat seperti Forbes,
gelombang baru ini juga secara langsung telah mewujudkan dampak besar terhadap
kehidupan generasi muda. Hakikat ini diperakui sendiri oleh pengasas dan Ketua
Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook, Mark Zuckerberg dalam ucapan pentingnya di
Universiti Harvard pada Mei 2017:
“But today, we have a level of wealth inequality that hurts
everyone. When you don’t have the freedom to take your idea and turn it into a
historic enterprise, we all lose. Right now our society is way overindexed on
rewarding success and we don’t do nearly enough to make it easy for everyone to
take lots of shots. Let’s face it. There is something wrong with our system
when I can leave here and make billions of dollars in 10 years while millions
of students can’t afford to pay off their loans, let alone start a business”.
Dalam kesenjangan kek
ekonomi yang tidak rata pada ketika ini, kegagalan untuk bersaing untuk meraih
kejayaan dalam kancah liberal-kapitalisme sepertimana yang sering dimomokkan,
mengakibatkan manusia kini dirudung dengan tekanan emosi, kesempitan hidup dan
kemarahan.
Seperti yang diamati oleh
Pankaj Mishra, pada ketika ini kita sedang mendepani era Age of Anger di
mana manusia berdepan dengan krisis resentment (rasa tidak puas hati
yang membuak-buak) dan situasi anomie (tidak menentu) pada skala global,
yang ditandai dengan berleluasanya kebencian, rasa tamak haloba, ketaksuban,
fanatisme dan rasisme. Justeru gejala ekstremisme yang terzahir melalui ISIS
(DAESH) misalnya, ialah manifestasi kebencian dan kemarahan terhadap dunia;
yang dipersepsikan sebagai tidak adil dan saksama kepada semua manusia.
“Savage violence has
erupted in recent years across a broad swathe of territory: wars in Ukraine and
the Middle East, suicide bombings in Belgium, Xinjiang, Nigeria and Turkey,
insurgencies from Yemen to Thailand, massacres in Paris, Tunisia, Florida,
Dhaka and Nice. Conventional wars between states are dwarfed by those between
terrorists and counter-terrorists, insurgents and counterinsurgents; and there
are also economic, financial and cyber wars, 11 wars over and through
information, wars for the control of the drug wars over and through
information, wars for the control of the drug trade and migration, and wars
among urban militias and mafia groups. Future historians may well see such
uncoordinated mayhem as commencing the third – and the longest and strangest –
of all world wars: one that approximates, in its ubiquity, a global civil war.
Unquestionably,”
(Pankaj Mishra, Age
of Anger: A History of the Present)
Salah-satu manifestasi
penting berleluasanya sikap amarah ini, berpunca daripada apa yang diistilahkan
oleh Pankaj Mishra sebagai angry tribalism dan tribalist hatred of minority.
Gejolak amarah ini antara lain jelas terzahir den meningkatnya fenomena politik
populisme, yang disemarakkan oleh demagog seperti Presiden Amerika Syarikat,
Donald Trump. Gelombang amarah ini terus disemarakkan ke seluruh dunia oleh
para politikus demagog seangkatan dengannya. Walhasilnya, api kebencian mula
membakar dan memerangkap kita di dalam lingkaran radically insecure world.
Dampak penting daripada
dua supertrend yang mencirikan semangat zaman ini – acceleration
dan anger; ialah semakin terserlahnya jurang dan kesenjangan kelompok
elit vis-à-vis massa, merentas batas geografi. Dalam susuk Donald Trump
misalnya, elit penguasa telah menyatu bersama dengan elit ekonomi, membina satu
persekongkolan ampuh untuk mendepani rakyat terbanyak. Ini sekaligus telah
merubah samasekali makna di sebalik, batas yang membentuk sempadan etika
politik yang berasaskan pengasingan kuasa. Susulan dari itu tercetuslah apa
yang diistilahkan oleh Naomi Klein sebagai New Shock Politics – sejenis
gerakan baru politik pemerintah yang menggunakan taktik kejutan merangkumi apa
saja - politik, ekonomi, sosial, bahkan malapetaka.
Amalan shock politics
ini telah menimbulkan satu suasana yang penuh dengan kejutan, kekeliruan,
ketakutan dan kebergantungan rakyat kepada pemerintah, yang kemudiannya
menjustifikasikan setiap perampokan ke atas khazanah negara atas nama
pertumbuhan yang “indah”: pertubuhan ekonomi, kemajuan, keamanan, keharmonian
dan perpaduan. Matlamat akhir orde baru shock politics ala-Trump ini,
ialah untuk menggandakan semaksimanya, laba dan kekayaan hanya dalam kalangan
kelompok 1% elit pemerintah dan pedagang, selagi mana mereka memegang tampuk
kekuasaan.
Obsesi pimpinan dunia
terhadap politik domestik dan afiliasi orde geopolitik global kini sedang
bergerak dari wacana adikuasa Amerika Syarikat, ke arah kuasa baru, dengan
China-Russia sebagai alternatif yang bakal mengeheret dunia ke kancah konflik
yang lebih melukakan. Pertimbangan politik realisme telah menjadi dominan dalam
percaturan global hari ini. Sayugia, dunia semakin hilang keyakinan terhadap
kredibiliti dan kemampuan PBB dan agensi antarabangsa yang bernaung di
bawahnya, untuk menangani atau menyelesaikan krisis; pelarian dan migrasi,
pemerkosaan alam sekitar, terrorisme, kemiskinan, kesenjangan ekonomi dan
pelbagai kemelaratan yang sedang melanda dunia.
Impak gerak kerja bagi
menjayakan sasaran dunia menjelang 2030 - Sustainable Development Goals
(SDGs) seperti no poverty dan zero hunger, hanya tampak
cantik di atas lembaran kertas progress report, berbanding impak
langsung yang dijelmakan di lapangan. Hakikat real politiknya, misi murni
menggapai keamanan dunia terus menerus dipungkiri dan disabotaj oleh veto
kuasa-kuasa besar, yang kemaruk mengejar new populism. Hal ini dapat dilihat
seperti rentetan pengunduran Amerika Syarikat, dari perjanjian alam sekitar Accord
de Paris, dan buntunya penyelesaian krisis Syria yang masih berpanjangan,
di Majlis Keselamatan PBB.
DUNIA ISLAM
Sementelahan, dunia Islam
terus-menerus ditandai dengan konflik berpanjangan dan ketandusan kepimpinan
kolektif, untuk menangani permasalahan ummah. Tahun ini, genaplah 48 Tahun
Sidang Kemuncak Negara Islam (OIC) yang ditubuhkan, rentetan dengan peristiwa
kebakaran Masjid al Aqsa pada tahun 1969. Malangnya, pertubuhan tersebut
hanyalah watak sampingan yang kelihatan tidak relevan, baik dalam proses
diplomasi mahupun advokasi ke arah membebaskan Al Quds dan Palestin, daripada
cengkaman dan kezaliman rejim Zionis Israel. Krisis pembantaian etnik Rohingya
di Arakan, Burma juga merupakan batu uji yang penting bagi kesatuan negara
Islam, khususnya negara majoriti Muslim yang berada dalam kesatuan ASEAN.
Langkah-langkah lebih
drastik dan tegas harus dilaksanakan. Tidak memadai kita berpuas hati dengan
sekadar berhimpun dan menghantar bantuan kemanusiaan secara musim-musiman. Kita
tidak boleh lagi bersikap talam dua muka; mengkritik dan menghentam pada siang
hari, dan bermain bola sepak pada malam harinya. Sukan bukan sekadar wahana
perpaduan. Sukan juga berperanan sebagai wadah pernyataan sikap. Amalan boikot
merupakan salah-satu intrumen protes dan diplomasi yang bagi sebuah negara yang
terhormat dan bermaruah!
Sementelah, pasca lawatan
Trump di Arab Saudi pada Mei lalu, negara-negara Teluk telah mengambil
pendirian drastik, untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan negara Qatar.
Negara tersebut didakwa mendanai dan melindungi pemimpin pengganas dan menyebarkan
berita palsu, menerusi rangkaian penyiaran Al Jazeera. Krisis terbaru negara
Teluk yang memperlihatkan peranan utama Arab Saudi melalui Menteri Luarnya,
Adel Al Jubeir, merupakan perkembangan baru, yang sekadar mengeruhkan lagi
kemelut yang sedia ada melanda dunia Islam.
Pasca Arab Spring,
sebilangan penguasa Arab terus-menerus menzalimi, memenjara dan memburu
saki-baki tokoh gerakan Islam dan pembebasan, yang dijustifikasikan dengan
“kesalahan” menyokong kumpulan militan, dan terlibat dengan aktiviti keganasan.
Dengan mengambil kira perkembangan; amatlah penting untuk gerakan Islam
bernuansa ummatik seperti ABIM, memanfaatkan kesempatan bermuktamar ini, untuk
berhenti sejenak dan bermuhasabah, menilai secara komprehensif persekitaran dan
cabaran kontemporari pada peringkat global dalam menentukan hala tuju
organisasi, merancang strategi dan menyusun awlawiyyat harakah.
Dalam perkembangan dunia
yang serba tangkas dan semarak api kebencian yang menjulang tinggi, ABIM harus
tampil secara rasional, moderat, praktikal dan berhikmah, agar tidak
terperangkap dengan gejala isti’jal yang membinasakan, mahupun sikap ghuluw
yang boleh membakar tali persaudaraan. Sebagai gerakan yang memperjuangkan
kemaslahatan umat, ABIM akan terus bercitra ummatik dan berperanan secara
aktif, membela kelompok tertindas, dan menyebarkan rahmat Islam di ceruk mana
sekalipun mereka berada, tanpa mengenal sempadan nation state dan birthism
yang telah membataskan ukhuwwah insaniyyah dan menyemai kebencian. Dalam hal
ini, ABIM akan terus memperkukuh rangkaian gerakan antarabangsa sebagai the
third force; dalam menjayakan advokasi, diplomasi dan misi kemanusiaan.
GERAKAN ISLAM, POLITIK DAN
DEMOKRASI
Hubungan antara gerakan
Islam, politik dan demokrasi, telah menjadi tumpuan para pengkaji dan pemerhati
politik semenjak sekian lama. Setelah hampir setengah abad semenjak era
kebangkitan Islam tahun 1970-an berlangsung, dunia telah menyaksikan pelbagai
detik dan fasa penting membabitkan perkembangan gerakan Islam sejagat. Menurut
Hamid dan McCants dalam karya terbaru mereka Rethinking Political Islam
(2017), gerakan Islam arus perdana pada saat ini sedang berdepan dengan
beberapa persoalan mendasar yang menuntut rethinking - penilaian semula
asas-asas penting, yang selama ini menjadi tunjang kepada orientasi dan
pendekatan gerakan Islam, dalam melaksanakan politik perubahan:
“The ‘twin shocks’ of the Egyptian coup and the rise of the
Islamic State have challenged conventional wisdom on political Islam, leading
some academics ad policy-makers, as well as Islamists, to rethink basic
assumption about Islamist movements. The question raised by the twin shocks
were particularly pointed for mainstream Islamist who followed the rules of the
electoral game but failed to see their agenda implemented as quickly or
comprehensively as the Islamic State’s. Was the lesson to push for more
comprehensive change? Was is to make further compromises and concessions? Or
was it to abandon electoral politics altogether?”
Walaupun kesimpulan umum
yang dibuat merentas 12 buah negara tersebut – meliputi benua Asia Barat
merentas benua Indo-Pak, dan rantau Melayu dengan variasi lokal dan relativiti
sosio-budaya yang pelbagai, sukar untuk menafikan bahawa proses rethinking
yang menjadi thesis utama kajian ini merupakan persoalan fundamental yang
melingkari hubungan antara gerakan Islam, politik dan demokrasi.
Walaupun tidak menerima
kesan langsung kesan pembantaian fizikal dan pasungan pemerintah pasca Arab
Spring seperti yang dialami oleh Jamaat-e Islami Bangladesh dan India dan di
benua Indo-Pak, gerakan Islam di Asia Tenggara bergelut dengan berkembangnya
gejala radikalisme dan ektremisme yang terkait dengan ISIS seperti yang dilihat
di Indonesia, Filipina dan Malaysia.
Seperti yang diamati oleh
banyak pengkaji ; Esposito et.al 2016, Cesari, 2016, Azhar Ibrahim, 2004 dan
Shadi, 2017), antara sumbangan dan
keberhasilan utama gerakan dan organisasi Islam di Malaysia dan Indonesia ini ialah
normalisasi dan birokratisasi wacana Islam dalam hubungan antara pemerintah dan
rakyat.
Dalam kata lain, semarak wa’yu
al Islamiy dan agenda Islamisasi yang direkayasa oleh gerakan Islam seperti
ABIM, telah berhasil meletakkan agenda Islam sebagai faktor pertimbangan
penting, tanpa dikesampingkan dan proses penggubalan dasar, perlaksanaan polisi
dan pembangunan negara, dan tidak terkesan dengan percaturan populariti politik
pihak tertentu.
Dari perspektif ini,
pemerhati menyimpulkan bahawa proses Islamisasi dalam pemerintahan negara yang
dicetuskan oleh gerakan Islam di Malaysia khususnya ABIM, telah kemudiannya
diterima dan diaplikasikan, dalam dasar dan polisi kenegaraan di Malaysia.
Namun seperti yang diamati oleh Joceyln Cesari, agenda Islamisasi telah di‘hijacked’
di bawah birokrasi keagamaan di dalam pemerintahan, yang merubah wajah
Islamisasi menjadi rigid dan birokratik. Fenomena Twinshocks, walaupun
tidak memberikan kesan langsung kepada gerakan Islam di Asia Tenggara, turut
menyumbang kepada perubahan pendirian dan kecenderungan politik sebahagian
gerakan Islam di seluruh dunia. Sebagai contoh ada gerakan Islam yang mengambil
pendekatan berkongsi kuasa, seperti di Tunisia dan di sebahagian tempat lain,
mengambil sikap dan pendirian politik yang lebih condong menyokong dan
bersama-sama dasar pemerintah, bagi mengelakkan tekanan.
Di beberapa tempat lain
seperti Jordan pula, telah timbul konflik di dalam kalangan gerakan Islam dalam
menentukan sikap dan kerjasama terhadap pemerintah. Seperti yang diamati oleh
Syekh ‘Ali Al-Qaradhagi, Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Antarabangsa, di mana
beliau mengatakan kini telah berkembangnya apa yang dimaksudkan dengan fenomena
pertembungan dan pembantaian sesama golongan Islamis (dorbul islamiyyin bi’l
islamiyyin) ketika menanggapi landskap politik semasa.
Sepanjang penubuhan ABIM;
kita tetap konsisten mengekalkan teras dakwah walaupun terpaksa mendepani
pelbagai polemik politik. Ini telah dicermati oleh Prof. Dr. Shaharudin
Badarudin (2016), yang mengatakan bahawa sikap dan pendirian ABIM terhadap
politik amat konsisten sejak dari awal penubuhannya.
“Dalam aksi politik dakwah sepanjang sejarahnya, ABIM telah
menggunakan beberapa prinsip dakwah dan tarbiah sebagai asas kepada
perjuangannya dan ini bermakna bahawa segala persoalan, cabaran, krisis dan
kemelut kemanusiaan terutamanya yang menyentuh soal politik mestilah ditangani
dari kaca mata pendakwah dan mengikut prinsip-prinsip dakwah yang sejati.”
Antara ciri-ciri tersebut
sepertimana yang dinyatakan beliau ialah pendekatan keMalaysiaan ABIM - Manhaj
Maliziy; yakni dasar tidak berparti (non-partisan) dan tampil
sebagai kekuatan politik yang bebas (independent political force), yang
mana dalam erti kata lain: ABIM berperanan secara aktif dalam proses politik
kenegaraan, tanpa perlu menjadi mahupun berpihak pada parti politik tertentu.
Sebagai sebuah gerakan non-partisan, ABIM tidak akan tunduk dengan mana-mana
parti politik.
Namun, sebagai sebuah
gerakan Islah dan pencerahan umat, ABIM sentiasa berpartisipasi dalam proses
politik, selari dengan kefahaman yang jelas, bahawa Islam sebagai satu sistem
yang menyeluruh yang merangkumi segenap aspek (termasuk politik), yang
merupakan suatu elemen penting dalam agama.
Namun begitu, dalam
melihat pendekatan politik dakwah, ABIM berpandangan bahawa penglibatan dalam
sistem pilihanraya bukanlah uslub asasi atau tugas utama (jawhar al amal),
tetapi hanyalah sebagai tugas kedua (umur janibiyah). Seperti yang
dipertegaskan oleh Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil di dalam Ucapan Dasar Presiden
ABIM aktiviti politik tidak boleh mengatasi kepentingan gerakan Islam dan tugas
utama Islam itu sendiri. Seperti yang diungkapkan oleh Syekh Abdullah Bin
Bayyah, “sekiranya perkataan agama itu bermaksud suatu sistem umum untuk
memelihara lima fakulti: agama, nyawa harta, keturunan dan akal; maka inilah
politiknya.”
Dalam konteks dan
kefahaman inilah, maka ABIM mengutamakan dakwah dalam pendekatan dan
partisipasi politiknya; ‘berdakwah di jalur politik, berpolitik di jalur
dakwah” – satu bentuk ungkapan serta pendekatan yang dipopular dan dipraktikkan
oleh Bapak Muhammad Natsir di Indonesia. Dari sudut sisi lain, Islam itu bersifat
demokrasi dengan erti bahawa Islam itu bersifat anti-Istibdad, anti
absolutisme, anti sewenang-wenang.
Secara lebih mendalam, Pak
Natsir mengatakan bahawa ia tidak melihat adanya perbedaan antara “Demokrasi
Barat dengan Demokrasi Timur” seperti yang dikatakan Presiden Sukarno. Tetapi,
yang ada hanyalah “Demokrasi” dan “Bukan Demokrasi”. Penyimpangan dalam
pelaksanaan demokrasi menurut Natsir tidak terletak pada sistem, melainkan
terletak pada manusia-manusia pelaku politik, yang tidak pandai meletakkan
kepentingan negara dan kepentingan bersama di atas kepentingan golongan dan
pribadinya sendiri.
Ujar Natsir, pelaku-pelaku
politik itu telah mengabaikan moral politik, idealism, batas-batas antara yang
hak dengan yang batil serta ukuran-ukuran yang objektif tentang keadilan.
Bertitik tolak dari ini; dalam muktamar sanawi yang lalu, telah kita tekankan
sokongan dan komitmen kita terhadap gagasan kontemporari Muslim Demokrat, satu
gagasan pemikiran siyasah yang mendukung wawasan siyasah Islamiyyah, serta
sekaligus mendukung amalan demokratik. Gagasan Muslim Demokrat menuntut umat
Islam untuk tampil mendepani cabaran politik semasa, sepertimana yang
dinukilkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dalam ucaptamanya bersempena
dengan penganjuran World Forum of Muslim Democrats di Tokyo tahun lalu:
“Demokrat Muslim mesti
menjadi suara jurubicara nurani koheren di tengah-tengah kancah kekeliruan (deficit
demokrasi) yang menyelubungi ini. Suara yang jelas terang benderang dengan
analisis kritikal mengutuk kemelampauan fanatik dan juga regim-regim (kleptokrat
dan autokrat)”.
DEMOKRASI VS KLEPTOKRASI
Dengan merudumnya amalan
dan institusi demokrasi di pelbagai belahan dunia seperti yang diamati oleh
Larry Diamond (2015) dan Francis Fukuyama (2014), satu dinamika baru telah
muncul dalam politik dunia. Seiring dengan semaraknya trend Populisme Baru dan
kebangkitan Nasionalisme Baru pada skala global, dunia turut menyaksikan
berkembangnya amalan kleptokrasi yang dilihat sebagai ancaman besar kepada
demokrasi dan pemusnah pembangunan negara.
Istilah ‘kleptocracy’
yang mula diperkenalkan dalam literatur politik seawal tahun 1819 oleh Leigh
Hunt dan dipopularkan oleh Stanislav Andreski sekitar tahun 1960an merujuk
kepada rule by thieves – pemerintahan para maling yang merujuk kepada
sebuah bentuk pemerintahan yang merompak hasil kekayaan negara untuk memperkaya
diri sendiri dan kelompok tertentu.
Kamus Cambridge
mendefinasikan ‘kleptocracy’ sebagai: ‘a society whose leaders
make themselves rich and powerful by stealing from the rest of the people.’
Justeru, kleptokrasi ialah keadaan di mana sesebuah masyarakat itu dipimpin
oleh kelompok yang memperkayakan diri dan memperkukuhkan cengkaman
kekuasaannya, hasil khazanah kekayaan negara yang dicuri dari tangan sekalian
rakyat.
Maka, pemimpin kleptokrat
ini selayaknya digelar pencuri seperti yang didefinasikan oleh Kamus Oxford
English Dictionary sebagai “A thief in a position of political power; a
greedy or corrupt politician.” Pengarang Why Nation Fails, Daron
Acemoglu dan James Robinson telah menyenaraikan seawal tahun 2004 generasi
kleptokrat di negara membangun, termasuklah pemimpin Congo/Zaire, Mobutu Sese
Seko, Rafael Trujillo (Dominican Republic), Duvaliers (Haiti), Somozas
(Nicaragua), Idi Amin (Uganda) dan Charles Taylor (Liberia). Sementelahan,
Ferdinand Marcos dan Mohammad Soeharto pula sering dirujuk sebagai simbol
pemimpin kleptokrat di Asia Tenggara pada penghujung abad lalu.
Namun, pendedahan
kontroversi Karen Dawisha mengenai amalan kleptokrasi di Russia sepanjang
pemerintahan Vladimir Putin dalam karyanya Putin’s Kleptocracy: Who Owns
Russia telah membuka mata banyak pihak, tentang ancaman bentuk baru
kleptorasi yang beliau istilahkan sebagai ‘kleptocratic authoritarianism’
terhadap ekonomi, kebebasan dan institusi demokratik sesebuah negara. Putin dan
rangkaian oligarki pasca-Kesatuan Soviet seperti Arkady Rotenberg, Yuri
Kavalchuk, Gennady Timchenko dan Roman Abramovich, ujar Dawisha, telah
melahirkan satu persengkongkolan kelompok elit penguasa dan elit ekonomi yang
merompak khazanah kekayaan sumber asli Russia, dengan menguasai dan menghakmilikperibadikan
asset negara tersebut, seperti syarikat minyak Gazprom dan Rosneft.
Ternyata, seperti ujar Ben
Judah (2016), berbeda dengan autoritarianisme abad 20 yang berpaksikan ideologi
dan amalan kuku besi melalui pemerahan keringat rakyat, ciri penting, jika
tidak terpenting bagi autoritarianisme abad 21 ialah kekayaan luar biasa - excessive
wealth.
Ketangkasan teknologi era
globalisasi dan perkembangan industri kewangan persisir pantai, telah
mempermudahkan modus operandi kleptokrat, yang memanfaat sepenuhnya era keemasan
penggubahan wang haram – the golden age of money laundering;
“…Contemporary
authoritarians are mostly kleptocrats.This means corruption is not a feature of
their regimes, but rather the invariable nature of their rule. An unforeseen
consequence of globalization is that it has never been easier to be a
kleptocrat. Corruption is used to create power bases, cement regimes, forge
political alliances, and eliminate foes. Amassing extraordinary levels of
wealth, as both a tool and a pleasure of power, was considerably riskier in a
world of segregated, more independent national financial systems. Corrupt
bureaucrats today can steal immense fortunes and then launder them immediately
into offshore funds, from which they can then easily sequester these assets in
the West.”
Ternyata Vladimir Putin
tidak bersendirian dalam rangkaian pemimpin negara yang dipimpin oleh
kleptokrat. Dalam laporan bertajuk ‘The Kleptocracy Curse: Rethinking
Containment’ oleh Hudson Institute (2016), Presiden Azerbaijan, Ilham
Alivey, Presiden Equatorial Guinea,Teodoro Obiang dan Presiden Kazakhstan,
Nursultan Nazarbayev telah dikenalpasti sebagai sebahagian rangkaian kleptokrat
kontemporari. Melalui korupsi dan penyelewengan khazanah negara yang dijustifikasi
melalui penyalagunaan kuasa, sang kleptokrat kemudiaannya melaburkan hasil
rompakan tersebut melalui pembelian aset dan pelaburan, menggunakan akaun
persisir pantai sebagai proksi, dalam bentuk anonymous shell company. Wang
dan aset tersebut kemudiannya digubah dan ‘disucikan’, untuk dipulangkan
kembali dalam bentuk keuntungan untuk dimanfaatkan oleh kleptokrat, untuk
mengukuhkan cengkaman kekuasaan dalam negara melalui rasuah, pembelian undi,
pemberian ‘subsidi’ dan memperkaya diri, kerabat dan apparatus.
Melalui dana gelap ini,
para kleptokrat akan menguasai institusi-institusi penting yang sepatutnya
menjadi pengawal kepada amalan demokratik dan menegak keadilan, lantas
merubahnya menjadi institusi dan intrumen bagi menjustifikasikan amalan
kleptokrasi dan meneruskan tampuk pemerintahan. Tatkala ekonomi negara semakin
parah dan jurang kemiskinan terus meningkat, kelompok elit penguasa dan elit
ekonomi kleptokrat terus menambah aset kekayaan di luar negara dan semakin
ghairah berbelanja mewah. Dalam konteks ini, amalan kleptorasi akan sentiasa
memaksimumkan risiko kerugian sesebuah Negara, sementelahan memaksimumkan
keuntungan peribadi para kleptokrat.
Inilah trend dan sindrom
kleptorasi yang melanda negara-negara seperti Rusia, China, Kazakhstan dan
lain-lain. Menurut Kleptocracy Initiative, kleptokrasi dijangka terus
bersemarak, kerana para kleptokrat dan wannabe kleptocrats, bernafsu
besar di seluruh dunia. Mereka sedang dijangkiti addiction – sejenis
kecanduan dan ketagihan untuk terus memanfaatkan industri gelap offshore,
bagi meragut khazanah kekayaan negara, yang akan menyelamatkan mereka, hatta
apabila sudah tidak lagi memegang jawatan kelak. Inilah punca yang menyumbang
kepada kesenjangan kekayaan golongan 1%.
Justeru amatlah malang
apabila Malaysia turut terpalit dalam lingkaran jahat global kleptoracy,
melalui skandal 1MDB. Penglibatan Malaysia didedahkan melalui kajian oleh Tax
Justice Network (2016), yang merekodkan bahawa sehingga 2014, sebanyak USD 12.4
trilion telah dikenalpasti berpunca dari 150 negara membangun, dan dilaburkan
di industri persisir pantai.
“Almost a third of the $12.1 trillion of
poorer country flight wealth comes from Russia, China, Malaysia, Mexico, and
Venezuela. Those countries are all major oil exporters, except for China.”
Dalam menanggapi kleptokrasi ini, , al Quran mengisyaratkan dengan jelas agar
janganlah harta berputar dalam kalangan orang kaya sahaja, lewat firman Allah
SWT:
لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ
الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ
“….. Supaya harta itu
tidak hanya beredar di kalangan orang kaya daripada kalangan kamu.” (Surah
al Hasyr: 7)
Perkara yang disebut di
dalam ayat ini, memberi isyarat kepada hala tuju Syariat Islam dalam persoalan
harta; bahawa harta mestilah beredar kepada semua pihak, dan diambil manfaatnya
oleh semua lapisan masyarakat. Peredarannya tidak hanya terhad dalam kalangan
golongan elit hartawan sahaja, sebagaimana yang berlaku di dalam sistem
kapitalisme.
Seperti yang dihuraikan oleh Syekh Yusuf al
Qaradhawi di dalam kitabnya, Al Maqasid al Syariah al Muta’alaqah bi’l Mal,
antara Maqasid Syariah berkaitan pembahagian harta ialah untuk mendekat jurang
perbezaan antara golongan yang kaya dan para fakir miskin:
“Ajaran dan hukum hakam
Islam bertujuan untuk membatasi kemerajalelaan golongan hartawan dan golongan
berada di samping meninggikan tahap kehidupan para fakir miskin. Dalam kata
lain, mengurangkan julat perbezaan antara kaya dan miskin dalam masyarakat.”
Malahan, Islam sangat
mementingkan agar semua lapisan mayarakat memiliki peluang yang sama, malah
Islam meberikan perhatian khusus terhadap jalur dan lapisan masyarakat yang
lemah, yakni golongan musta’dafin. Penekanan ini amat bertepatan dengan
objektif Islam terbesar dan juga Maqasid Syariah dalam pembahagian harta atau
kekayaan dalam masyarakat, iaitu merealisasikan keadilan dalam pengagihannya,
dalam kalangan berbagai kelompok dan individu.
Dilarang melebihkan
pemberian harta kepada suatu golongan dengan membelakangkan yang lain. Tidak
boleh diberi laluan atau dibuka pintu kepada sebahagian khusus, manakala untuk
sebahagian yang lain pula, pintu dihalang dan ditutup!
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ
تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ
أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ
اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
“Sesungguhnya, Allah
menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang
berhak menerimanya). Apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah
menyuruh) kamu menghukum dengan adil.” (Surah An Nisa: 58)
Sebagaimana Allah
memerintahkan penegakkan keadilan, begitu jugalah Allah melarang berleluasanya
kezaliman:
وَلَا
تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ
دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ
“Dan janganlah kamu
cenderung kepada orang yang berlaku zalim yang akan menyebabkan kamu dibakar
api neraka, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun selain daripada Allah.
Kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.” (Surah Hud: 113)
Islam melarang kezaliman,
bahkan cenderung sekalipun kepada sebarang bentuk kezaliman. Namun, Islam
mengetatkan lagi larangan pada kezaliman dalam urusan harta benda, melebihi
kezaliman dalam hal-hal yang lain, kerana ia berkaitan rapat dengan hak-hak
manusia, sehingga sebuah hadis shahih menyebut bahawa, “Orang yang mati
syahid, semua dosanya diampunkan, kecuali hutang”. Sesungguhnya, hak-hak
manusia ditegakkan di atas dasar perkiraan yang ketat, manakala hak-hak Allah
pula dilandaskan di atas dasar toleransi dan tolak ansur (musamahah).
Isu kleptokrasi mestilah
dilihat sebaga pakej lengkap hubungan kenegaraan dan masyarakat, yang
merangkumi isu sosio-budaya, ekonomi, politik dan perundangan. Ia perlu
dipandang serius sebagai satu proses penghakisan hak untuk membina sebuah
masyarakat madani yang mapan. Amalan kezaliman dan ketidakadilan yang merebak
liar boleh menyemarakkan penindasan golongan terpinggir, dan menggugat
idealisme demokrasi, apatah lagi keperluan terhadap tatakelola yang baik. Kita
perlukan kesungguhan serta kekuatan moral untuk berubah; bersatu menghapus dan
mencegah kewujudan pepijat ekonomi yang membinasakan.
Maka, adalah menjadi
tanggungjawab keagamaan, untuk umat Islam menegakkan keadilan dan menentang
sebarang kezaliman, dalam bentuk perampasan dan perompakan harta, oleh kelompok
elit kleptokrat, yang menyedut khazanah kekayaan rakyat dan negara. Membujur
lalu, melintang patah. Inilah tanggungjawab Muslim Demokrat untuk menentang
Sang Kleptokrat!
GENERASI MUDA DAN POLITIK
Liputan Akhbar Wall
Street’s Journal berjudul “Is Malaysia a Kleptocracy?’ pada Jun lalu
sekali lagi telah menempatkan Malaysia di tengah-tengah perhatian masyarakat
antarabangsa. Gelombang kejutan ekoran skandal membabitkan syarikat pelaburan
1MDB masih lagi meninggalkan kesan yang amat mendalam bekasnya pada benak
sanubari rakyat Malaysia pada ketika ini. Wujud sentimen yang tinggi oleh
rakyat terhadap situasi politik dan amalan demokrasi yang dilihat semakin
pudar. Seperti yang diindikasikan oleh Survei Malaysia 2017: Mood Rakyat oleh
Institut Darul Ehsan (IDE), 69% daripada 4486 responden yang ditemuramah
memberikan persepsi bahawa skandal 1MDB telah menjejaskan reputasi kepimpinan
Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Razak yang pastinya memberi kesan pula
terhadap prestasi pentadbiran kerajaan persekutuan. Secara keseluruhannya,
hanya 19% responden menyatakan bahawa mereka ‘berpuas hati’ terhadap situasi
politik dan amalan demokrasi di Malaysia. Walaubagaimanapun, satu trend yang
konsisten ialah merudumnya minat, kesedaran dan partisipasi politik di kalangan
sebahagian besar generasi muda Malaysia.
Belia dilihat semakin menjauh
daripada segala yang berbaur politik kepartaian dan sebaliknya lebih
mementingkan halhal terkait survival ekonomi peribadi. Hasil survei Merdeka
Centre dan Watan bagi mengukur Perspesi Belia terhadap Ekonomi, Kepimpinan dan
Isu Semasa yang dibentangkan pada September 2017 mendapati bahawa 70% responden
tidak berminat dengan politik sementara 66% berpendapat bahawa politikus tidak
boleh dipercayai. Yang jelas nyata, wujud kecenderungan yang tinggi dikalangan
anak muda (40%) untuk tidak mendaftar sebagai pengundi. Wujud kepercayaan yang
menebal dikalangan belia bahawa undi mereka tidak berharga dan bakal membawa
sebarang kesan terhadap keputusan pilihanraya atau kesan terhadap masa depan
politik negara.
Hakikatnya, majoriti
daripada 3.77 juta orang pengundi layak yang masih belum berdaftar sehingga Mac
2017 terdiri daripada generasi muda yang berumur 21 tahun. Survei Malaysia 2017
oleh IDE turut mengindikasikan bahawa tidak lama menjelang detik Pilihanraya
Umum ke-14, sebanyak 50% kelompok pengundi muda berdaftar berumur 21-30 tahun
masih belum membuat keputusan dan pendirian untuk memilih sesuatu parti. Hasil
dapatan kajian-kajian mengenai sikap, kesedaran dan pendirian belia terhadap
politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan tren yang konsisten –
bahawa segmen belia terbanyak makin hilang minat terhadap politik dan isu-isu
politik.
Kajian Indeks Belia
Malaysia oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (2015) mendapati
bahawa domain sosialisi politik (perbincangan isu politik, mengikuti
perkembangan politik dan penyertaaan dalam aktiviti politik) berada di
kedudukan tercorot berbanding 11 domain lain yang diukur. Dengan skor 45.82,
minat politik di kalangan belia Malaysia berada di tahap ‘tidak memuaskan’.
Semakin jelas bahawa sebahagian besar generasi muda semakin hilang kepercayaan
dan wujud keputusasaan terhadap iklim semasa politik tanahair serta harapan ke
arah perubahan politik yang lebih menjanjikan manfaat buat mereka.
“Tidak ada parti yang
berhak menerima undi saya” merupakan antara respon yang konsisten yang
diberikan oleh generasi muda, mengingatkan kita tentang slogan keramat rakyat
Argentina yang membentuk blok suara ketiga sewaktu piliharanraya Presiden 2003
– “nuestras sueños no caben en sus urnas”- our dreams do not fit in
their ballot boxes! Rumusan utama yang dapat dibuat hasil analisa survei
dan kajian berkaitan belia ialah fakta bahawa domain utama yang menjadi
keprihatinan oleh majoriti belia ialah perihal kesejahteraan ekonomi.
Isu kenaikan kos sara hidup,
penggajian yang rendah, penggangguran, keberhutangan, kebankrapan,
kebolehpekerjaan, masalah pemilikan rumah dan aset hartanah masa hadapan
merupakan keluhan-keluhan yang saban hari diutarakan oleh generasi muda dan
konsisten dicatat dalam kajian-kajian berkaitan belia dan kesejahteraan ekonomi
negara (MTEM, 2015; IYRES, 2015; Rozailin & Junaidah, 2016, Merdeka Centre,
2017). Kegelisahan belia sebenarnya merupakan refleksi logikal dan semulajadi
terhadap kelembapan ekonomi negara dan segala kesannya terhadap peningkatan
beban kewangan dan sara hidup rakyat. Beberapa petunjuk terkini yang
dikemukakan oleh Bank Negara dan Bank Dunia terhadap prestasi ekonomi amat
menggusarkan. Bank Negara dalam laporannya pada Ogos 2017 menyatakan bahawa
kadar inflasi menyeluruh berada pada kadar 3.7%, setelah mencatat kadar
tertingginya 5.1% pada Mac 2017.
Kemerosotan nilai ringgit
sebanyak 12.3% berbanding 2015 (sebelum skandal 1MDB), telah dan akan terus
memberi kesan langsung kepada rakyat akibat kenaikan harga barang dan inflasi.
Dengan kadar tukaran matawang Ringgit Malaysia berbanding Dolar AS terus kekal
tinggi pada kadar 4.22 (Oktober 2017), pelbagai lapisan dan segmen rakyat akan
terus terjejas. Lebih menghimpit, penarikan subsidi minyak dan kegagalan
kerajaan pusat mengawal kenaikan harga minyak telah melonjak kenaikan kos sara
hidup keseluruhan rakyat yang telah sememangnya tinggi sejak pengenalan GST
pada 1 April 2015.
Bebanan hutang isi rumah
yang sedang ditanggung rakyat Malaysia berbanding nisbah hutang kepada KDNK
kekal pada kadar setinggi 88.4% pada penghujung tahun 2016. Terbaru, Laporan
terkini Bank Dunia pada Oktober 2017 mengesahkan bahawa Malaysia dalam termasuk
kalangan negara Asia Timur dan Pasifik yang mencatatkan nisbah hutang isi rumah
melebihi 70% , selain Thailand. Nisbah hutang isi rumah berbanding pendapatan
pula terus kekal tinggi di kalangan negara membangun dengan kadar 146%. Menurut
perangkaan Majlis 29 Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), secara purata setiap
rakyat Malaysia diibaratkan menanggung hutang sebanyak RM31,075. Kadar
pertumbuhan ekonomi negara dijangka akan menurun dalam tempoh dua tahun
(2018-2019) mengikut unjuran terkini Bank Dunia, jurang kesenjangan ekonomi
antara kelompok hartawan dan rakyat termiskin juga semakin meluas.
Dengan mengambil jurang
perbezaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pengarang The
Colour of Inequality, Dr.Muhammad Abdul Khalid, menyimpulkan bahawa
sememangnya wujud jurang kesenjangan pendapatan yang semakin melebar di
kalangan rakyat Malaysia. Jurang yang melebar turut wujud melihat kepada data
pelaburan Amanah Saham Bumiutera dengan 72% pencarum memiliki purata simpanan
sebanyak RM536 sahaja di dalam akaun mereka, berbanding purata RM 725,038 yang
dimiliki oleh sekelompok kecil - 0.2% -pemegang unit pelaburan tersebut.
وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ
فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ
“Dan apa saja musibah
yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan
Allah memaafkan sebagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).”(Asy Syuraa:
30)
MALAPETAKA SOSIAL
Ketika kehidupan ekonomi
rakyat semakin memprihatinkan akibat keruntuhan tatakelola yang baik,
keruntuhan integriti, mewabaknya rasuah dan penyalahgunaan kuasa, negara terus
dikejutkan dengan rentetan tragedi sosial dan jenayah yang menyesakkan dada. Di
sebalik pelbagai kawalan perundangan dan dasar kesejahteraan sosial yang wujud,
gejala fasad, kebobrokan akhlak dan perilaku jenayah yang melanda sudah sampai
ke tahap yang cukup parah.
Penderaan tidak berperikemanusiaan
yang mengakibatkan kematian pelatih Universiti Pertahanan Nasional Malaysia ,
Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21 dan pelajar T.Nhaveen, 18 tahun merupakan
cerminan yang menakutkan terhadap wajah generasi muda yang semakin hilang
pedoman dan pertimbangan akhlakiah. Tragedi kebakaran Maahad Tahfiz Ittifaqiyah
Keramat yang mengorbankan 25 orang pelajar seolah mengesahkan bahawa perilaku
jenayah kejam termasuk pembunuhan kini bukan lagi merupakan kes-kes terpencil.
Pada tahap ini, jenayah buli, penderaan dan pembunuhan oleh remaja liar
berpeleseran ibarat bom jangka yang hanya menunggu untuk meledak pada bila-bila
masa.
Simptomnya sudah sering
kelihatan di sekeliling kita – dari sekolah ke taman perumahan, dari gedung
beli-belah di kotaraya sehinggalah ke semak samun di pedalaman desa – tanpa ada
sesiapa yang berani menegur apatah lagi membimbing. Adakah ini petanda yang
mengisyaratkan bahawa telah sempurnanya masyarakat kita telah menjadi
individualistik yang hilang kepedulian sosial? Apakah kita telah ditimpa
penyakit mati rasa hingga sanggup membiarkan anak-anak dan generasi pewaris
kita hanyut bergelumang dalam kegelapan? Ke manakah perginya kelompok
politikus, pendidik, para da’ie dan agamawan yang sepatutnya
menghulurkan tangan menyelamatkan masa depa anak-anak ini?
Ternyata lebih banyak
persoalan dari jawapan dan penyelesaian setiap kali masyarakat berdepan dengan
tragedi membabitkan kebobrokan moral dan perilaku devian generasi muda hari
ini. Barangkali kita tidak perlu jauh untuk mencari jawapan kepada
persoalan-persoalan ini, kerana anak-anak yang mentah ini tidak perlu pergi
jauh untuk mentauladani kebobrokan moral. Rumah tidak lagi menjadi tempat
perlindungan yang selamat untuk anak-anak. Waima ibu-bapa dan ahli keluarga
juga tidak lagi dapat dipercayai oleh anak- anak sebagai pelindung dan pembela
mereka. Sabitan hukuman penjara selama 48 tahun dan 24 sebatan terhadap ke atas
seorang bapa durjana berumur 36 tahun yang dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah
Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak telah membuka masyarakat terhadap realiti
dunia gelap penderaan dan pemerkosaan kanak-kanak yang selama ini diketengahkan
oleh pejuang hak kanak-kanak dan wanita termasuk HELWA ABIM.
Keruntuhan insititusi
keluarga telah hampir sempurna apabila bapa yang sepatutnya menjadi pelindung
kepada anak remaja berumur 13 tahun telah selama beberapa tahun melakukan
jenayah paling keji yang membawa kepada 623 tuduhan seksual termasuk liwat,
rogol dan penganiayaan seksual. Kita yakin dan percaya bahawa ramai lagi manusia
perosak seperti ini yang terus berkeliaran di negara kita dan berada di
rumah-rumah yang didiami oleh anak-anak gadis yang sepatutnya mereka lindungi.
Kita dapat menyepakati hakikat bahawa Malaysia kini ditimpa malapetaka sosial
yang telah merobek dan sedang meruntuhkan satu persatu institusi sosial dalam
masyarakat meliputi pendidikan, kekeluargaan, kejiranan, keagamaan.
MELAKAR HARAPAN MASA DEPAN
Generasi muda adalah
pelakar masa hadapan umat. Generasi muda yang membawa perubahan menurut Buya
Hamka adalah generasi yang mempunyai keberanian mendepani zaman, iaitu mereka
yang memulakan suatu usaha yang belum pernah diusahakan; Sang Pencetus (The
Initiator). Menerusi buku Generation M: Young Muslims Changing The World,
Shelina Janmohamed, mengatakan bahawa generasi muda muslim (Generasi M) adalah
kelompok yang paling penting dan berpengaruh. Generasi M yang dimaksud oleh
Shelina adalah mereka yang berpegang teguh dengan ajaran Islam tanpa
mengesampingkan moderniti berbekalkan kepribadian dinamis, kreatif, dan mempunyai
rasa ghairah (terhadap apa usahakan).
Justeru; kita harus
meluangkan kepercayaan kepada generasi muda untuk ke hadapan melakar perubahan
yang seiring dengan anjakan zaman. Generasi Perubahan? Sebagai pewaris dan
pelanjut risalah nubuwwah, kita dididik agar sentiasa bersikap optimis
dan tidak sama sekali berputus asa dari mengharap rahmat Allah, biar bagaimana
sukar sekalipun mehnah dan tribulasi yang datang menimpa.
قَالَ
وَمَنْ يَقْنَطُ مِنْ رَحْمَةِ رَبِّهِ إِلَّا الضَّالُّونَ
“Dia (Ibrahim) berkata ‘Tidak ada yang
berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang yang sesat.” (Surah Al
Hijr: 56)
Begitulah jawapan Nabi
Ibrahim a.s terhadap malaikat yang mendatangainya seperti yang dinukilkan oleh
Syekh Wahbah Zuhayli ketika menafsirkan ayat 56 Surah Al Hijr dalam Tafsir al
Munir. Baginda ‘alaihissalam menafikan dengan tegas sikap pesimis dan
putus asa dalam dirinya, bahwa sesungguhnya baginda sama sekali bukanlah orang
yang berputus asa dari rahmat Allah, kerana sifat berputus asa hanyalah bagi
orang yang mendustakan serta melencong jauh dari jalan kebenaran. Begitulah
jualah sikap Nabi Allah Ya’kub a.s berpesan kepada anakanaknya sebelum ke Mesir
bagi mencari berita tentang Yusuf a.s dan Bunyamin.
يَا بَنِيَّ اذْهَبُوا فَتَحَسَّسُوا
مِنْ يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَيْأَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ لَا
يَيْأَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ
“Dan jangan kamu
berputus asa dari rahmat Allah.” (Suruh Yusuf :87)
“Janganlah kalian berputus
asa, kerana yang demikian itu dilarang oleh Allah SWT, dan tidak berputus asa
dari rahmat Allah kecuali orang yang kafir, iaitu orang-orang yang tidak
mempercayai takdir dan tidak tahu hikmah Allah kepada hambaNya. Adapun orang
Mukmin, mereka tidak pernah berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah.
Mereka selalu berharap agar diberikan keluasan dan kelapangan” (Tafsir Al
Munir)
Dalam menyampaikan dakwah
dan misi mengeluarkan manusia keluar dari kejahilan dan kegelapan, baginda
junjungan Ar Rasul SAW sendiri telah menunjukkan suri tauladan terbaik sewaktu
menenangkan pertanyaan Zaid bin al Harithah setelah dakwah junjungan baginda
ditolak oleh puak Bani Thaqif di Ta’if. Bagaimana hendak pulang ke Makkah pula
wahai Rasulullah! Tidakkan mereka telah pulau dan halau tuan hamba?
“Wahai Zaid! Dengarlah!
Sebenarnya Allah jua yang akan memberi ruang dan kelapangan dan Allah jua yang
akan membantu agamaNya” (al Buti: Fiqh Sirah)
Optimisme Dalam Waspada
Tokoh pendidik Brazil
Paolo Freire merupakan tokoh yang terkehadapan dalam membincangkan pedagogi
harapan dan aplikasinya dalam mendidik dan merubah masyarakat. Melalui karyanya
Pedagogy of Hope (2004), Freire menegaskan bahawa kepercayaan merupakan
keperluan setiap ontologi insan. Tanpa harapan, ujar Freire, manusia akan
kehilangan esensi dalam kehidupanya dan bakal menepuh kekecewaan serta berputus
harap tatkala berdepan dengan kesulitan.
Namun harapan sahaja tidak
memadai kerana harapan terhadap perubahan memerlukan tindakan, menuntut
pergorbanan dan perjuangan. “My hope is enough. Alone, it does not win. But
without it, my struggle will be weak and wobbly. We need critical hope the way
a fish needs unpolluted water…The idea that hope alone will transform the
world, and action undertaken in that kind of naivete, is an excellent route to
hopefulness, pessimism, and fatalism. But the attempt to do without hope, in
the struggle to improve the world, as if that struggle could be reduced to
calculated acts alone, or a pure scientific approach, is a frivolous illusion.
To attempt to do without hope, which is based on the need for truth as an
ethical quality of the struggle, is tantamount to denying that struggle is one
of its mainstays. The essential thing, as I maintain later on, is this: hope
needs practice. As ontological need, hope needs practice in order to become
historical concreteness. That is why there is no hope in sheer hopefulness. The
hoped-for is not attained by dint of raw hoping. Just to hope is to hope in
vain.”
Harapan harus sentiasa
disemarakkan dan dibajai agar hidup walaupun dalam serba kesulitan. Harapan
akan paling bercahaya tatkala diselubungi mendung hitam keputus-asaan. Namun
optimisme juga harus sentiasa dalam keadaan waspada. Kegagalan melaksanakan
harapan yang dijanjikan bakal membawa kepada hopelessless yang kemudian
akan membunuh segala saki baki benih harapan yang masih tinggal untuk
menyaksikan perubahan.
“When it becomes a
program, hopefulness paralyzes us, immobilized us. We succumb to fatalism, and
then it becomes impossible to muster the strength we absolutely need for a
fierce struggle that will re-create the world”.
KEBENARAN DAN PEMBEBASAN
Tekad merealisasikan
harapan dan cita-cita besar seyogia diterjemahkan dan dipersembahkan dalam satu
perjuangan! Harapan yang tidak dikerjakan hanya tinggal harapan. Benar sekali
ungkapan penyair W.S Rendra bahawa perjuangan itu adalah pelaksanaan kata-kata!
Dan apakah kata-kata yang lebih baik untuk menghapuskan kepalsuan dan
kebathilan daripada kata-kata yang berdiri tegak atas kebenaran (al -Haqq)?
بَلْ نَقْذِفُ بِالْحَقِّ عَلَى
الْبَاطِلِ فَيَدْمَغُهُ فَإِذَا هُوَ زَاهِقٌ ۚ وَلَكُمُ الْوَيْلُ مِمَّا
تَصِفُونَ
“Sebenarnya Kami
melontarkan yang hak kepada yang batil lalu yang hak itu menghancurkannya, maka
dengan serta merta yang batil itu lenyap. Dan kecelakaanlah bagimu disebabkan
kamu mensifati (Allah dengan sifat-sifat yang tidak layak bagi-Nya)”. (Al
Anbiya: 18)
Jurjany-Al mendefiniskan haqq sebagai “kepastian yang tidak
diragukan lagi”. Al Bahiy dalam Al Islam fi Hall Mashakil al Mujtama’at al
Islamiyah al Mu’asirah menyimpulkan bahawa kalimah haqq amat terkait
rapat dengan keadilan dan ihsan (‘adl wa ihsan) kerana kedua-duanya
merupakan matlamat pencapaian nilai yang dituju setiap kali kalimah haqq
disebut di dalam Al Quran.
Begitu jugalah dapatan
Hashim Kamali (1993) ketika menyimpulkan kajiannya berkaitan penggunaan kalimah
Haqq dalam perundangan Islam:
The Shari’ah tends to
integrate right and obligation into the broad concepts of haqq (right) and hukm
(ruling). A balanced implementation of rights and duties, in, turn, governed by
Qu’anic standars of justice, as haqq is inextricably linked with ‘adl (justice)
in the Qur’an. In fact, “justice” is one of the Qur’anic meanings of haqq…In
the Qur’an, right and duty merge into justice so much so that they become, in
principle an extension of one another. The relationships between ruling and
justice is also one of means and ends: a ruling is the means towards justice,
while the fulfillement and realization of haqq in its dual capacities of right
and obligation is predicated upon justice. Islam thus seeks to establish
justice by enforcing Shari’ah rulings which, in turn, is expected
simultaneously to mean the proper fulfillment of rights and duties.
Al Haqq yakni kebenaran Al
Quran dan risalah yang kita pikul akan menyentuh dan mencairkan hati-hati sang
pencari kebenaran sebagaimana yang berlaku kepada pendeta-pendeta Najashi
sewaktu diperdengarkan akan hakikat kebenaran;
وَإِذَا سَمِعُوا مَا أُنْزِلَ إِلَى
الرَّسُولِ تَرَىٰ أَعْيُنَهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ مِمَّا عَرَفُوا مِنَ
الْحَقِّ ۖ يَقُولُونَ رَبَّنَا آمَنَّا فَاكْتُبْنَا مَعَ الشَّاهِدِينَ
“Dan apabila mereka
mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata
mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Quran) yang telah mereka
ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri); seraya berkata:
“Ya Tuhan kami, kami telah
beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas
kebenaran Al Quran dan kenabian Muhammad s. a. w.). (Al Maidah : 83)
HAK DAN PEMBELAAN
Al Haqq juga amat terkait dengan pembelaan
hak. Dalam kebenaran itu ada kekuatan buat mereka yang lemah, tertindas dan
tidak punya kuasa. Begitulah terkaitnya hak dengan misi pembelaan kelompok
lemah dan tertindas seperti yang diungkapkan dengan jelas oleh Al Faruq
Sayyidina Umar al Khattab sewaktu ucapan pelantikannya sebagai Khalifah:
Orang yang lemah di antara
kamu adalah kuat di sisiku hingga aku harus menolong mendapatkan haknya,
Sedangkan orang yang kuat di antara kamu adalah lemah di sisiku hingga aku
harus mengambil hak orang lain yang berada di sisinya.
Sejarah moden telah
merakamkan kejayaan perjuangan membela bangsa kulit hitam yang tertindas di
pelbagai belahan dunia. Ucapan keramat pejuang pembebasan kulit hitam, Martin
Luther King Jr – I have a Dream – bukan sekadar harapan dan retorika di
pentas pidato. Untuk mencapai impian dan harapan melihat keadilan dan
kesamarataan bagi golongan kulit hitam di bumi Amerika Syarikat, gerakan Hak
Sivil yang dipimpinnya telah melakukan pengorbanan dan perjuangan yang amat
besar. Sepertinya yang dirakamkan oleh Alex Haley dalam karyanya Roots,
memang orang kulit hitam seperti Kunta Kinte ditindas, diperhambakan serta
dinafikan hak asasi dan demokratiknya sehingga beberapa keturunan.
Hakikat sejarah yang sama
berlaku di Afrika Selatan. Seperti yang dirakam dalam autobiografinya Long
Road to Freedom perjuangan panjang Nelson Mandela – menuntut hak rakyat
kulit hitam yang dinafikan oleh rejim apartheid akhirnya telah mendapat
sokongan seantero dunia. 38 Kebenaran ialah pra-syarat awal kepada mana-mana
perjuangan keadilan pembebasan. Perjuangan harus bermula dengan Hidup dalam
Kebenaran, atau apa yang diistilahkan oleh Vaclac Havel sebagai Living in
Truth. Tokoh utama disebalik kejayaan Revolusi Velvet yang menyaksikan
pembebasan Czechoslovakia dari cengkaman kuku besi komunisme tersebut
menegaskan bahawa rakyat selama-selamanya tidak akan bebas dari cengkaman autokrasi
jika takut untuk hidup dalam kebenaran lantas merelakan diri selamanya terpesorok
dalam hidup penuh penipuan, kepura-puraan dan kebatilan – living a lie.
Selama mana hidup dalam kepura-puraan tersebut tidak dipertentangkan dengan
hidup bermaruah yang berpaksikan kebenaran, maka selagi itulah kepalsuannya
akan terus tersembunyi dan bermaharajalela.
“The original and most
important sphere of activity, one that predetermines all the others, is simply
an attempt to create and support the independent life of society as an
articulated expression of living within the truth. In other words, serving
truth consistently, purposefully, and articulately, and organizing this
service. This is only natural, after all: if living within the truth is an
elementary starting point for every attempt made by people to oppose the
alienating pressure of the system, if it is the only meaningful basis of any
independent act of political import, and if, ultimately, it is also the most
intrinsic existential source of the “dissident” attitude, then it is difficult
to imagine that even manifest “dissent” could have any other basis than the
service of truth, the truthful life, and the attempt to make room for the
genuine aims of life”. VACLAV HAVEL, Power of The Powerless (1978)
Maka dalam misi kita
mengislah umat ini, juru Islah dan para daie harus selamanya setia kepada
risalah kebenaran. Kebenaran merupakan jambatan kepada keadilan yang tidak
boleh sama sekali dikompromikan kerana akhirnya, kebenaran terhadap risalahlah
yang menjadi neraca penilaian dan penentuan Ilahi. Inilah mesej penting
disebalik doa yang dipanjatkan oleh Nabi Syu’ib a.s kepada Allah tatkala
ditentang oleh kaumnya.
قَدِ افْتَرَيْنَا عَلَى اللَّهِ
كَذِبًا إِنْ عُدْنَا فِي مِلَّتِكُمْ بَعْدَ إِذْ نَجَّانَا اللَّهُ مِنْهَا ۚ
وَمَا يَكُونُ لَنَا أَنْ نَعُودَ فِيهَا إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ رَبُّنَا ۚ
وَسِعَ رَبُّنَا كُلَّ شَيْءٍ عِلْمًا ۚ عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْنَا ۚ رَبَّنَا
افْتَحْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ قَوْمِنَا بِالْحَقِّ وَأَنْتَ خَيْرُ الْفَاتِحِينَ
“Ya Tuhan kami, berilah
keputusan antara kami dan kaum kami dengan hak (adil) dan Engkaulah Pemberi
keputusan yang sebaik-baiknya. (Surah al A'raf: 89)
ABIM TERUS MELANGKAH
Ketika muktamar lalu; kita
telah menyusun awlawiyyat gerakan kita kepada beberapa agenda kepeloporan.
Penyusunan ini sangat penting untuk ABIM memanfaatkan setiap sumber serta
kekuatan secara berhemah. Analisis secara sistemik seperti berikut adalah muhasabah
penting terhadap setiap pencapaian serta kekurangan yang telah dilakar ketika
ini.
Pembinaan Generasi Al-Qur’an. Nahdah baru kebangkitan Islam tidak
seharusnya terpisah daripada Al-Qur’an. Atas kesedaran ini, ABIM mengorak
langkah menubuhkan ABIM Press yang insya’Allah akan meluncurkan beberapa
penerbitan yang sama-sama membantu kita untuk mentadabbur Al-Qur’an. Kupasan
tafsir-tafsir utama seperti Fizilalil Qur’an, Tafsir Al-Azhar, Al-Maraghiy,
Al-Munir, An-Nasafiy dan lain-lain, perlu menjadi intipati utama sepanjang
perbincangan usrahusrah ABIM. Nahdah baru kebangkitan Islam harus bernuansakan
ke arah membina Generasi Qur’ani. Sebagai menyahut gagasan ini, ABIM telah
melancarkan Siri Bicara Al-Quran yang akan dijalankan untuk 12 siri.
Pencerdasan Rakyat dan Pendemokrasian. Mendepani era
berleluasanya Fake News dan Post-Truth yang menghakis empati
masyarakat terhadap demokrasi dan kewarganegaraan, seharusnya merangsang kita
lebih inovatif ke arah meratakan kesedaran politik dalam kalangan generasi
muda. Inisiatif filem Pendek Buang adalah adalah antara inisiatif pendidikan
demokrasi yang digerakkan ABIM. Eksperimen filem pendek ini harus menjadi
inspirasi untuk menganjak platform advokasi ABIM ke medan yang lebih mencabar.
Usahasama latihan dengan pihak Google telah dilaksanakan sebanyak dua kali
dengan harapan akan melapangkan lagi medan dakwah ABIM dalam bidang media.
Helwa & Pemberdayaan Keluarga. Keutuhan keluarga
menjamin keutuhan umat. Menggejalanya jenayah seksual yang mengancam
kanak-kanak dan remaja di samping keruntuhan institusi keluarga amat
mengkhuatirkan. Gejala-gejala ini adalah refleksi kepada kepincangan latar
sosio-ekonomi yang sedang melanda negara kita. Di balik latar ini; literasi
undang-undang serta kesedaran hak wanita dan kanak-kanak perlu digiatkan.
Alhamdulillah inisiatif KAMAR (Keluarga Mawaddah Wa Rahmah) telah
disambut dengan amat baik sehingga ke peringkat negeri. Usaha menyuburkan
amalan budaya ilmu perlu digerakkan dengan lebih giat untuk melengkapkan
generasi baru kepimpinan HELWA. Ruang dan sokongan dengan mengambil semangat Al-Qawwam
(pelindung) sangat vital untuk mengembangkan potensi sedia ada dalam kalangan
para aktivis HELWA.
Pendidikan al Hikmah. Alhamdulillah, baru-baru ini
Sekolah Rendah Islam ABIM Alor Setar (SERIAS), telah menerima pengiktirafan
membanggakan sempena ‘Hari Anugerah Kecemerlangan, Sekolah Swasta dan
Antarabangsa, Peringkat Negeri Kedah 2017’. Begitu juga dengan pencapaian TASKI
Al Firdaus Klang (Meru) yang menerima Anugerah Cemerlang kategori Sek. Agama
Pra Sekolah Swasta di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Pengiktirafan
adalah indikasi bahawa institusi
pendidikan ABIM mampu menawarkan khidmat secara berdaya saing sekiranya
diuruskan secara professional dan berpandukan idealisme Pendidikan Al Hikmah.
Potensi para guru serta pelajar di bawah institusi-institusi pendidikan ABIM
turut digilap menerusi penganjuran program Seminar Pendidikan Al-Hikmah, Tamrin
Nuqaba untuk para nuqaba.
Membugar Budaya Dialog. Penglibatan salah seorang pimpinan
ABIM dalam debat mengenai hak asasi kemanusiaan dengan duta negara Sweden
menyedarkan betapa relevannya pendekatan dialog ini sebagai cabang penting
dakwah di lapangan. Begitu juga dengan penglibatan kita secara aktif dalam
proses NHRAP menerusi Grup Peguam ABIM telah mendedahkan kita dengan pelbagai
isu berkaitan dengan hak asasi manusia di negara ini. Keterbukaan kita
mendepani pelbagai persoalan dan polemik secara ilmiah dan wasatiyyah telah
mengundang kepercayaan pelbagai pihak dan institusi dari dalam mahupun luar
negara.
Belia & Keberanian Zaman. Inisiatif Sekolah Masa Hadapan yang
digagaskan menerusi ABIM Negeri Selangor dengan sokongan ABIM Pusat baru-baru
ini, menawarkan perspektif pendidikan yang lebih segar dan futuristik sifatnya.
Adalah menjadi harapan ABIM dengan pelancaran Buku Manifesto Sekolah Masa
Hadapan ini akan merangsang para aktivis muda ABIM untuk tampil menerajui
perubahan zaman. Inisiatif-inisiatif seperti AYG boleh dijadikan rujukan untuk
dijadikan sebagai model rujukan pembangunan pusat sehenti pembangunan belia ke
seluruh negara. Begitu juga dengan inisiatif pendidikan alam sekitar yang
ditawarkan menerusi GRASS Malaysia. Intipati kepada pembentukan
inisiatif-inisiatif ini haruslah mampu merungkai persoalan serta memenuhi
keperluan masyarakat. Sebagai contoh; iktibar hasil gerak kerja pembangunan
bakat Khan Academy serta Opportunity@ work sangat penting untuk dirujuk untuk
memenuhi tuntutan ekonomi yang semakin mencabar.
Gerakan Amal Kemasyarakatan. Pengalaman ketika Tamrin Qiyadiy
Kebangsaan 2017 di perkampungan orang asli Pos Tuel, Gua Musang, Kelantan Darul
Naim, baru-baru ini, menyedarkan peri pentingnya gerak amal kemasyarakatan
disemarakkan sehingga ke peringkat akar umbi. Perkampungan Orang Asli Pos Tuel
adalah satu usaha dakwah serta amal kemasyarakatan para aktivis yang harus
dicontohi ibrahnya. Pendedahan penganjuran tamrin ini antara lain adalah untuk
merangsang kreativiti para aktivis ABIM untuk merencanakan gerak kerja secara
berkesan di lapangan akar umbi. Perlaksanaan program-program seperti Dirimu
Amat Berharga (DERMAGA), Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB), Skuad Prihatin,
khidmat nasihat guaman ABIM serta Biro Kesihatan ABIM (BKA) perlu terus
bergerak serta dikembangkan potensinya untuk memenuhi keperluan sosio-ekonomi
umat yang amat memerlukan.
ABIM dan Agenda Ummatik. Penganjuran Malam Kemanusiaan Kita
Satu Umat merupakan manifestasi keprihatinan ABIM terhadap isu umatik. Sebagai
gerakan ummatik, ABIM akan terus mendukung visi ummatik dan memainkan
peranannya membela kelompok tertindas terutama sekali di Rohingya, Syria, serta
Palestin. Pembabitan ABIM dalam program Caesar Files yang mendedahkan kekejaman
rejim Al Asaad di samping kempen penerangan advokasi “Rohingya: Bantu Atau
Bantai”, di samping perkembangan semasa yang mengkhuatirkan di Palestin,
menyedarkan kita peri pentingnya penerangan serta advokasi terus digerakkan.
ABIM serta Malaysia Life Line For Syria (MLLFS) dan Global Peace Mission (GPM);
akan terus memperkukuh rangkaian gerakan kemanusiaan di peringkat antarabangsa
sebagai the third force yang meliputi gerak kerja kemanusiaan, advokasi serta
diplomasi, dan Countering Violent Extremism (CVE) dengan pelbagai jaringan
gerakan Civil Society (CSO) di peringkat antarabangsa.
Mengembleng Gerakan, Memacu Organisasi
Sesungguhnya ABIM amat
bertuah kerana didukung oleh barisan kepimpinan, ahli, petugas, aktivis, dan
sukarelawan yang bergerak dengan penuh komited dalam pelbagai bidang dan
lapangan bagi merealisasikan visi dan misi organisasi yang telah kita gariskan.
Matlamat untuk menggandakan jumlah keahlian, melaksanakan transformasi
institusi dan agensi, melebarluaskan perkhidmatan sosial dan kemasyarakatan
serta meningkatkan advokasi dan ikhtiar memberdaya umat telah disambut dan
digerakkan secara bersungguh-sungguh oleh pendukung setia gerakan tercinta ini
di negeri, daerah dan di luar negara. Dalam kesempatan bermuktamar tahun ini,
kami ingin menyeru muktamirin dan muktamirat agar menilai kembali khittah
gerakan secara kritis dan objektif agar himmah dan optimisme untuk
melihat jamaah tercinta ini berkembang sentiasa berpijak kepada waqi’
dan relevan dengan semangat zaman. Bagi berdepan dengan new realities, kita
mengkaji model dan strategi baru dalam organizational management yang
sesuai dengan sifat dan matlamat pertumbuhan organisasi yang kita cita-citakan.
Sebagai sebuah organisasi pelopor kebangkitan Islam dan agenda Islamisasi di
Malaysia, ABIM tidak boleh membiarkan dirinya terperangkap dalam apa yang
disebut oleh Clayton Christensen sebagai the Innovator’s Dilemma.
Dilema ini berlaku apabila
pemain dan pesaing baru muncul secara agresif memasuki sesuatu bidang
kebitaraan yang telah lama dipimpin oleh sebuah organisasi pelopor, organisasi
pelopor tersebut gagal menangani new realities, hilang punca dan tidak
ketahuan strategi yang tepat dan model adaptasi terbaik yang perlu dilakukan
bagi mengekalkan kepeloporannya. Organisasi pelopor yang gagal keluar dari
perangkap dilema ini hampir pasti akan hilang tampuk kepeloporannya - atau
lebih parah – bakal berdepan kegagalan lantas menjadi tidak relevan dan akan
akhirnya terkubur. Walhasil, rumus Christensen; “successful, outstanding
companies can do everything “right” and yet still lose their market leadership
– or even fail – as new, unexpected competitors rise and take over the market”.
Namun dalam optimisme dan
keghairahan yang membara dalam melonjak ABIM agar terus terkehadapan dalam
rangkaian bidang kepeloporannya, kita juga harus berwaspada terhadap beberapa
gejala dan ancaman praktik pengurusan yang sering merencat pertumbuhan
organisasi dalam era siber teknologi ini. Salah satu gejala tersebut ialah apa
yang di sebut sebagai Overcommited Organisation. Dalam keluaran
September-Oktober 2017, Harvard Business Review telah mengangkat satu rencana
bertajuk ‘Overcommitted Organisation: How to Avoid Team Burnout’ pada
muka depannya. Kajian komprehensif selama 15 tahun ke atas 8 firma perkhidmatan
global dan syarikat antarabangsa yang melibatkan lebih 5500 pekerja tersebut
telah merumuskan bahawa model pengurusan organisasi kontemporari yang bersifat
‘multi-teaming’ telah meningkatkan risiko berlakunya konflik dalam
organisasi.
Dalam kata lain, seseorang
petugas dalam organisasi dituntut untuk melaksanakan tugasan di dalam pelbagai
pasukan-pasukan kecil di bawah payung sebuah organisasi yang sama, atau dalam
beberapa organisasi sekaligus. Berbeza dengan multitasking yang menumpu
kepada kepelbagaian kategori tugas, multiteaming memanfaatkan kepakaran,
kemahiran dan kebitaraan khusus seseorang petugas untuk dimanfaatkan bersama
oleh pelbagai pasukan, di pelbagai tingkat dan lapisan struktur organisasi.
Bagi memenuhi kepelbagaian tuntutan organisasi dengan sumber yang terbatas, petugas
organisasi tersebut dikehendaki melaksanakan pelbagai projek dan aktiviti
organisasi pada satu-satu masa. Petugas sedemikian akan berdepan risiko yang
tinggi untuk mengalami stress, kelesuan dan burnout yang pastinya menjejaskan
organisasi secara keseluruhan. Keadaan tambah parah dalam situasi di mana
sesebuah organisasi itu terlibat dengan begitu banyak bidang tumpuan dan
berlaku pertindihan serta konflik pengurusan dalam bidang-bidang tersebut.
Justeru kepimpinan
organisasi disaran perlu bijaksana meletakkan fokus keutamaan, menyediakan
persekitaran yang kondusif dan mewujudkan saluran komunikasi timbal balik yang
lebih berkesan selain mengambil langkah-langkah deskriptif yang tuntas bagi
menjamin dinamika dan keutuhan organisasi secara holistik. Dalam konteks
organisasi seperti ABIM, memahami trend, gejala dan cabaran pertumbuhan
organisasi ini amat relevan melihat kepada kapasiti dan keterbatasan sumber
sedia ada bagi memenuhi kadar unjuran perkembangan organisasi yang kita
sasarkan di masa hadapan.
Hasil kesedaran inilah,
ABIM harus mengambil pendekatan baru yang lebih fokus dan pragmatik-realistik
dalam menentukan halatujunya bagi tahun-tahun mendatang. Tumpuan tidak harus
lagi hanya berpusat kepada matlamat untuk membesarkan kapasiti organisasi dan
menggandakan sumber organisasi. Hal demikian pastinya penting, dan akan terus
kita usahakan. Namun yang lebih penting ialah untuk merubah pendekatan dan
mentaliti dari ‘pengembangan organisasi’ semata-mata kepada mentaliti baru
pengurusan iaitu ‘perubahan sistem’.
Strategi baru ini menuntut
pemimpin organisasi berfikir dan bertindak ‘beyond organizational scale –
growing the reach of a prescriptive, organizationally designed solution to a
problem – to systemic scale, with the goal of shifting the rules, norms and
values that make up social systems (Beyond Organizational Scale, WEF,
2017). Pendekatan ini menuntut ABIM untuk mengambil 5 pendekatan utama dalam
melaksanakan anjakan ke arah perubahan sistemik:
1) Menjadi organisasi yang
lebih kompleks sekaligus fleksibel dan adaptif.
2) Membangunkan
kemampuannya sebagai organisasi berasaskan data dan bukti (evidence base)
3) Menubuhkan, menyelaras
dan menggerakkan gabungan (coalitions).
4) Menjalinkan hubungan
yang erat dan kerjasama strategik dengan kelompok penggubal dan pelaksana dasar
di pelbagai peringkat dalam dan luar negara.
5) Mengambil pendekatan
yang berhikmah dan meraikan kepelbagaian bagi menganjak perubahan minda,
amalan, norma dan nilai dalam usaha menuntut perubahan sistem.
Dalam melakar harapan dan
merealisasikan masa depan yang diimpikan oleh generasi pewaris perjuangan, ABIM
harus mendepani zaman dengan penuh keberanian dan inovatif. Sementelahan
kesetiaan kepada idealisme perjuangan tidak sekali-kali akan kita kompromikan,
ABIM perlulah melangkah dengan penuh berani melaksanakan tajribah bagi meneroka
dimensi dan pendekatan baru yang dinamik, progresif dan inovatif dalam misi
menjayakan amanah al-dakwah secara lebih meluas dan berkesan.
AYUH MELANGKAH!
Muktamirin dan Muktamirat
yang dirahmati Allah sekalian,
Sesungguhnya tugas dan
kewajipan kita - seperti yang disorot sepanjang ucapan dasar ini - ternyata
jauh lebih banyak dari masa dan kesempatan yang kita miliki - al wajibat
aksar min al-awqat. Cabaran, mehnah dan tribulasi yang sedang menimpa umat
sememangnya menuntut komitmen dan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi dari
seluruh kader-kader harakah Islamiyyah Angkatan Belia Islam Malaysia. Dengan
penuh rasa keinsafan bahawa kita telah dipilih dan dipertanggungjawabkan oleh
Allah Subhana’lLah Ta’ala untuk menggalas amanat al-da’wah yang mulia
ini, marilah kita bersama-sama kembali dengan setulusnya ke dalam dakapan
tarbiyyah jamaah, merapatkan saf, dan mengatur langkah beriringan umpama binaan
ampuh yang tersusun kukuh dan tidak bisa dirobek.
Ayuh! Di perhimpunan yang
penuh rahmat ini, marilah kita memohon setulusnya ke hadrat Allah Rabbul Jalil
agar meperteguhkan tekad dan mempersatukan hati-hati ini dalam ikatan ukhuwwah
Islamiyyah yang padu bagi memikul beban dakwah dan melaksanakan misi pencerahan
sangat didambakan oleh umat pada saat dan detik ini;
وَأَلَّفَ
بَيْنَ قُلُوبِهِمْ ۚ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ
بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّهُ عَزِيزٌ
حَكِيمٌ
“Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di
antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta
benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di
antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati)
mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.(Al-Anfal 8:63)
Ayuh, melangkahlah wahai
teman-teman seperjuanganku dengan penuh tekad dan mujahadah, dalam sukar
ataupun senang, berat mahupun ringan. Walaupun perjalanan yang kita serukan ini
tampak jauh, sulit dan berliku, namun kita yakin dan pasti, tanpa sekelumit pun
keraguan bahawa mujahadah di jalan Allah itu merupakan sebaik-baik jalan yang
ditempuh.
انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا
وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ
خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا
قَاصِدًا لَاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنْ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ ۚ
وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ
أَنْفُسَهُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
“Berangkatlah kamu baik
dalam keadaan merasa ringan ataupun merasa berat, dan berjihadlah dengan harta
dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu
mengetahui. (41) Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang
mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka
mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. (at-Taubah:
41-42)
Dengan penuh optimisme,
Angkatan Belia Islam Malaysia akan terus mara ke hadapan dan mengorak langkah
penuh yakin untuk melakar masa depan yang penuh harapan buat negara dan umat
tercinta. Selamat bermuktamar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
BIBLIOGRAFI
Abdullah,
Saifuddin. (2017). New Politics 2.0 Multiracial and Moderate Malaysian
Democracy. Selangor, Malaysia: Institut Darul Ehsan (IDE).
Advisory
Commission on Rakhine State. (2017). “Towards a peaceful, fair and prosperous
future for the people of Rakhine.” Final Report of the Advisory Comission on
Rakhine State.
Al-Qaradhawi,
Yusuf. (2013). Maqasid Syariah Berhubung dengan Harta. Kuala Lumpur:
Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SYURA) & Koperasi Muslimin
Malaysia Berhad.
Asad,
Muhammad. (1999). The Principles of State and Government in Islam. Malaysia:
Islamic Book Trust.
Badaruddin,
Shaharuddin. (2016). Masyarakat Madani dan Politik: ABIM & Proses
Demokrasi. Selangor: IDE Research Sdn. Bhd.
Bank
Negara Malaysia. (2017). Sorotan dan Perangkaan Bulanan (Ogos 2017). Sorotan
dan Perangkaan Bulanan, Bank Negara Malaysia.
Chow,
Melissa Darlyne. (20 September 2017). Distrust of politicians one factor for
low number of young voters. http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2017/09/20/distrustof-politicians-one-factor-for-low-number-of-young-voters/.
Dawisha,
Karen. (2014). Putin’s Kleptocracy: Who Owns Russia?. Simon & Schuster.
Fadhil,
Siddiq. n.d. Koleksi Ucapan Dasar Muktamar Sanawi ABIM (1982-1988). Kuala
Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia.
Freire,
Paolo. (2014). Pedagogy of Hope: Reliving Pedagogy of the Oppressed. London,
United Kingdom: Bloomsbury Publishing PLC.
—.
(1996). Pedagogy of the Oppressed. Penguin Group (CA).
Hanafiah,
Muammar Ghaddafi. (2014). Tafsir Maudhu’iy: Masyarakat dan Pembangunan Sosial.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Harian,
Wartawan Sinar. (13 September 2017). “Rakyat setuju GST punca kenaikan kos sara
hidup.” Sinar Harian.
Hashim,
Dr. Rozailin bt Hj. Abdul Rahman & Prof. Datin Dr. Junaidah. (2016).
“Kesejahteraan Ekonomi di Kalangan Belia Malaysia.”
Prosiding
Seminar Penyelidikan IYRES 2016. Kuala Lumpur: Institut Penyelidikan
Pembangunan Belia Malaysia. 333-342.
Ibrahim,
Azhar. (2014). Contemporary Islamic Discourse in the Malay - Indonesian World:
Critical Perspectives. Selangor, Malaysia: SIRD.
Institut
Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES). (2015). “Indeks Belia Malaysia
2015 (IBM ‘15).”
Janmohamed,
Shelina. (2016). Generation M: Young Muslims Changing the World. London, United
Kingdom: I.B. Tauris & Co Ltd.
Jory,
Kamaruzzaman Bustamam-Ahmad & Patrick. (2013). Islamic Thought in Southeast
Asia: New Interpretations and Movements. Malaysia: University of Malaya Press.
Kamal,
Boo Su-Lyn & Shazwan Mustafa. (23 September 2017). “Disenchanted by blurred
lines, some middle-class youths to sit out GE14.” The Malay Mail Online.
https://sg.news.yahoo.com/disenchanted-blurred-lines-middle-class-youths-sitge14-225400214.html.
Kluster
Penyelidikan, Pusat Kajian Pilihanraya & GIS, Institut Darul Ehsan (IDE).
(13 September 2017). Survei Malaysia 2017: GST punca kenaikan kos sara hidup.
http://www.ideselangor.org/v2/index.php/penyelidikan-footer/item/383-sm2017-gst.
Lee,
Annabelle. (20 September 2017). Opposition fails to capitalise on discontent
among the youth. https://www.malaysiakini.com/news/395728#8AoAGtM1RhKZ8I8f.99.
Majlis
Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM). (2015). “Memorandum Sidang Meja Bulat: Laporan
Status Ekonomi Bumiputera.” Sidang Kemuncak Ekonomi Melayu 2015. Majlis
Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).
Malik,
Maszlee. (2015). Good Governance, Civil Society and Islam. Kuala Lumpur: IIUM
Press.
ABIM
Selangor(2017). Manifesto Sekolah Masa Hadapan: Platform Perubahan
Pendidikan
Malaysia. Selangor, Malaysia:.
McCants,
Shadi Hamid & William. (2017). Rethinking Political Islam. New York, United
States: Oxford University Press Inc.
Means,
Gordon P. (2009). Political Islam in Southeast Asia. Boulder, CO, United
States: Lynne Rienner Publisher Inc.
Mohd
Asri Abdul (ed.), Mohd Halimi Abdul Hamid (ed.), Dr. Rahmah Hashim (ed.).
(2009). Mohammad Natsir: Berdakwah di Jalur Politik, Berpolitik di Jalur
Dakwah. Selangor: Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Kolej Universiti Islam
Antarabangsa Selangor (KUIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Panel
Penyelidikan NUNJI. (2017). Islam dan Kenegaraan: Suatu Perbahasan dalam
Konteks Fiqh Malaysia. Malaysia: Ilham Books.
Politweet.Org.
(11 October 2017). How Political Interest is Divided by Language on Facebook in
Malaysia (July 2017). https://politweet.wordpress.com/2017/10/11/how-political-interest-is-dividedby-language-on-facebook-in-malaysia-july-2017/#more-1354.
Rahman,
Fazlur. (2000). Revival and Reform in Islam. London, United Kingdom: Oneworld
Publications.
Saravanamuttu,
Johan. (2016). Power Sharing in a Divided Nation: Mediated Communalism and New
Politics in Six Decades of Malaysia’s Elections. Singapore: ISEAS.
Schwab
Foundation for Social Entrepreneuship. n.d. “Beyond Organizational Scale: How
Social Entrepreneurs Create Systems Change.” World Economic Forum.
http://reports.weforum.org/schwab-foundation-beyond-organizational-scale/.
Su-Lyn,
Boo. (30 September 2017). Pakatan Youth: Abstaining from voting meaningless
without change of government. http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/pakatan-youthabstaining-from-voting-meaningless-without-change-ofgovernme#feL43tj2Qek4LAZO.97.
Vaclav
Havel, John Keane. (1990). The Power of the Powerless: Citizens Against the
State in Central Eastern Europe. Armonk, United States: Taylor & Francis
Inc.
Ziauddin
Sardar, MerrylWyn Davies. (2015). “Introduction: Searching for Power.” In
Critical Muslim 14 (Power), by Ziauddin Sardar (ed.), 3-21. Hurst Publishers.