Showing posts with label PUM. Show all posts
Showing posts with label PUM. Show all posts

Friday, June 17, 2011

Karikatur: ABIM Gesa Utusan Mohon Maaf Kepada Umat Islam



Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam berhubung penyiaran karikatur bertajuk “Kekeliruan Kes Rogol” dalam akhbar milik Umno itu, yang didakwa menghina Islam.

Presidennya Dr Muhd Razak Idris menegaskan karikatur itu yang disiarkan dalam Utusan Malaysia semalam mengandungi unsur-unsur yang menghina perundangan Islam.

“Dalam hal ini, kita mahu Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam di atas penyiaran karikatur yang kalau kita lihat mengandungi unsur-unsur kejahilan terhadap perundangan Islam dan hukum syariat.

“Ini tidak seharusnya berlaku dalam masyarakat dan tidak juga harus dilakukan oleh organisasi media yang memperjuangkan Melayu dan Islam,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Selain itu, jelas beliau, pelukis karikatur ini seolah-olah jahil tentang Islam dan perlu bertaubat selain berjanji tidak akan mengulangi perkara sama.

“Saya rasa pelukis itu jelas begitu jahil dengan hukum agama dan saya menyeru kepada dia agar bertaubat dan tidak lagi melakukan tindakan yang menunjukkan kejahilan dalam hal-hal agama.

“Jadi saya minta, selepas ini mana-mana kartun yang mahu disiarkan harus disemak dulu oleh mereka yang pandai agama kerana kita tidak mahu undang-undang ini dilihat sebagai menzalimi mangsa rogol, dalam kartun ini ia digambar macam itu,” katanya.

Kelmarin, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Dewan Pemuda PAS Kelantan mengecam penyiaran karikatur itu sambil menyifatkan ia menghina Islam dan mahu penerbit dan pelukis karikatur itu didakwa.

Tegas Muhd Razak, karikatur karya “Miki” itu menggambarkan perundangan Islam tidak boleh menuntut keadilan bagi mangsa rogol.

Tambah beliau, apa sahaja bahan bukti boleh dibawa ke mahkamah dan mangsa rogol berhak mendapat pembelaan yang sah.

“Dalam sudut perundangan Islam, ada prosedur-prosedur yang harus dipatuhi, kartun ini mempunyai unsur penghinaan apabila menggunakan undang-undang Islam dan kaedah pembuktian yang dilihat tidak mampu memberi keadilan kepada mangsa.

“Sebagai contoh dalam kes rogol dan mengikut kefahaman saya mangsa boleh membawa kes ini ke mahkamah dengan membawa bukti yang dimiliki yang akan dinilai di mahkamah,” katanya.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Nik Mat pula menyifatkan Utusan Malaysia sebagai “Denmark Malaysia” kerana menyiarkan karikatur yang menghina syariat Islam.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada akhbar Denmark yang pernah menyiarkan karikatur yang menghina Islam dengan menerbitkan kartun Nabi Muhammad memakai serban yang bentuknya mirip sebutir bom.

Menurut Muhd Razak, sistem perundangan Islam dilakukan penghakiman dalam mahkamah dan bukan secara terbuka.

“Kartun ini dilihat tidak wajar dan prosedur Islam, pembuktian harus dinilai oleh orang yang tepat dan memahami perundangan Islam, bukan sekadar seperti dalam kartun ini yang hanya menunjukkan kejahilan.

“Dan, ingin saya tegaskan prinsip perundangan Islam sebetulnya perlu dibawa ke sistem penghakiman dan ia tidak boleh dilakukan secara terbuka.

“Jadi ia sudah jelas, Utusan Malaysia harus memohon maaf, karikatur ini memaparkan kejahilan terhadap prosedur perundangan Islam seolah-olah undang-undang Islam menolak keadilan kepada mangsa rogol,” katanya.


16 Rejab 1432H, 17 Jun 2011

Oleh: Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, The Malaysian Insider

Monday, May 16, 2011

Sangat wajar Anwar mengadu terus ke hadrat Allah : Dr Wahbah Al Zuhaili



Peralatan moden dengan teknologi secanggih mana pun tidak layak menjadi dalil dalam penghakiman Islam.

AJK Majlis Fatwa Antarabangsa, Syeikh Dr Wahbah Az-Zuhaili berkata, meskipun peralatan itu digunakan oleh pengarah filem di Hollywood sekalipun, alat-alat itu tetap tidak boleh menjadi saksi.

"Kini alat-alat moden terlalu banyak seperti boleh menggunakan telefon tangan atau video. Jelas semua itu sengaja diadakan oleh mereka yang tidak baik, munafik dan rendah moral," tegasnya.

Dr Wahbah menegaskan demikian ketika menyampaikan ceramah mengenai Sumpah dan Qazaf di Masjid Negeri, dekat sini, hari ini.

Ucapan beliau telah diterjemahkan oleh pendakwah tempatan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dr Wahbah juga menyatakan Al-Quran menetapkan penuduh wajib mendatangkan empat saksi yang adil dan sebenar.

Tegasnya. jika penuduh gagal membawa empat saksi adil itu, mereka adalah pendusta atau munafik.

Beliau juga menyebutkan saksi adil itu mesti tidak melakukan dosa besar, tidak mengekalkan dosa kecil dan tidak melakukan kerja-kerja yang mencarikkan maruah dirinya.

"Orang fasik gugur sifat keadilannya dan mereka yang tiada padanya keadilan, Islam menolak kesaksiannya," tegasnya yang merupakan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1430H.

Menjawab soalan yang berkisar tentang video seks, DNA dan Anwar Ibrahim, Dr Wahbah menolak dengan sekeras-kerasnya dengan jawapan tegas.

Menurutnya, beliau menyebutkan pernah berlaku di Mesir di mana perkara dilakukan kepada seorang ulamak yang dilakukan superimpose bagi menampakkan beliau sedang menari dengan artis menggunakan alat moden.

Malah, ujarnya, Majma' Fiqhiah Islami Makkah menolak isu ini kerana ia adalah rekaan dan kerenah kecil sahaja.

Tiada pakar juga menjadi punca penolakan itu kerana asasnya tidak kuat, malah mahkamah antarabangsa juga tidak menerima sesuatu kes sewenang-wenangnya.

"Umat Islam hendaklah mengambil Syariat Islam dalam menyelesailkan permasalahan dalam kehidupan mereka dan letakkan undang-undang syaitan di bawah tapak kaki mereka," tegasnya.

Dr Wahbah menggesa umat Islam segera mengambil iktibar dari semua peristiwa yang Allah SWT datangkan seperti tsunami dan gempa bumi akibat daripada sikap dan amalan manusia mutakhir.

Beliau dalam lawatan ke negara ini selama empat hari berakhir esok.

"Saya kenal Anwar Ibrahim begitu lama, beliau seorang yang baik dan bersih. Sangat wajar beliau mengadu terus ke Hadrat Allah SWT dari menyibukkan diri dengan isu-isu politik yang remeh temeh ini," tegasnya pada program anjuran bersama Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Dr Wahbah mempunyai penglibatan dan sumbangan yang amat besar dalam dunia Islam dan umat Islam.

Beliau yang juga tenaga pakar dalam Majlis Persidangan Fiqh Antarabangsa (Majma Fiqh l-Islami), mempunyai kepakaran yang amat tinggi dalam penulisan ilmiah.

Karya Dr Wahbah menjadi rujukan umat Islam di dunia antaranya yang tersohor di Malaysia adalah Kitab TafsirAl-Munir Fi Al-Aqidah Wa Al-Syariah Wa Al-Minhaj dan Kitab Fiqh Perundangan Islam.


Ismail Hashim, Harakahdaily, SHAH ALAM, 14 Mei 2011